Monday, September 5, 2011

Wakaf

Sebenarnya, dah lama nak kongsi tentang wakaf ni. Tapi asyiklah malas nak menaip. Makanya maklumat yang diperoleh daripada taklimat ringkas oleh Perbadanan Wakaf Selangor tempoh hari, terperuk dalam Buku Rahsia Kerajaan versi 2010/2011. Kikiki...

Seperti yang dikatakan oleh seorang sahabat, 'Tak kenal, maka taaruf'. Jadi sebelum bercerita lebih lanjut, mari aku kenalkan siapa Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) ni. PWS adalah merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor yang pada asalnya adalah Unit Wakaf yang bernaung di bawah MAIS. PWS telah diisytihar penubuhannya pada 11 Januari 2011. Objektif penubuhan PWS adalah untuk:

  • Mengembali dan mengembangkan budaya berwakaf di kalangan umat Islam.
  • Menggalakkan amalan berwakaf harta alih dan tidak alih
  • Membangun dan memajukan hartanah wakaf sedia ada dan baru dengan projek yang berdaya maju dari segi ekonomi dan sosial.
  • Menggunakan hartanah wakaf dan manfaatnya secara optimim dan berkesan.
  • Memenuhi niat dan hasrat pewakaf serta memastikan hartanah wakaf tidak terbiar dan lupus.

Apakah yang dimaksudkan dengan wakaf?
Wakaf adalah satu ibadah menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan umum dan khusus dengan niat sebagai ibadah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Dalil-dalil Wakaf
Antara dalil yang disebutkan dalam Al-Quran mengenai wakaf adalah daripada surah Ali Imran ayat 92 yang bermaksud;
"Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kepada kebajikan yang sempurna, sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui".

Manakala bagi hadis, Rasulullah turut menyebut tentang wakaf ini dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud;
"Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali 3 perkara, Sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kepadanya."

Para ulama' berpendapat bahawa amalan wakaf adalah satu-satunya ibadah yang berbentuk sedekah jariah dan ianya mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya;
1. Menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir kepada pewakaf hingga ke hari akhirat selagi harta tersebut kekal dan dimanfaatkan.
2. Satu sistem yang berpotensi untuk menyumbang kepada kesejahteraan sosial masyarakat Islam melalui konsep pengumpulan harta bersama.
3. Pengecualian cukai hingga 7% .
4. Menjadi penyelamat ketika melalui titian sirat. Harta yang diinfak akan menjadi tunggangan yang sepantas kilat ketika melintasi titian sirat.

Selain itu, amalan wakaf juga boleh memberi manfaat kepada orang yang berwakaf dalam segala segi. Contohnya, seseoarang itu mahu mendidik anak-anaknya menjadi soleh. Maka, apabila dia mewakafkan hartanya, hendaklah dia berniat; "Ya Allah, seandainya ada manfaat daripada harta yang aku wakafkan ini, kau berikanlah manfaat daripada wakaf ini kepada anak-anakku supaya menjadi anak yang soleh." Begitulah caranya. Niatkan supaya manfaat ibadah wakaf tadi disalurkan kepada apa yang kita hajatkan. Allah juga turut berfirman dalam Surah Hud ayat 114 yang bermaksud;
"Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada ketika-ketika yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah- perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat."

Terdapat banyak lagi kelebihan berwakaf lain tapi inilah yang sempat disalin dan tertulis dalam pamplet yang diberikan. Sebuah lagi hadis mengenai anjuran bersedekah (berwakaf) ini adalah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud;
Daripada Abu Hurairah r. a berkata : " Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s. a. w lalu bertanya : Ya Rasulullah! Sedekah manakah yang lebih besar pahalanya? Nabi menjawab : Sedekah yang engkau berikan, sedangkan engkau pada masa itu masih sihat dan engkau bakhil (merasa sayang untuk mendermakan harta), engkau takut menjadi fakir dan engkau berangan-angan untuk menjadi lebih kaya. Maka janganlah engkau menangguhkan sedekah sehingga apabila ruh sampai di kerongkong, lalu ketika itu baru engkau berkata : Untuk si polan harta ini, untuk si polan harta ini, pada hal harta engkau itu memang akan dimiliki (diwarisi) oleh orang lain. 


Saham Wakaf Selangor
Jumhur ulama' juga mengharuskan wakaf harta boleh alih. Tidak semestinya tanah atau bangunan saja. Oleh sebab itulah diwujudkan Saham Wakaf Selangor (SWS) ni. SWS adalah satu cara berwakaf melalui wang tunai iaitu dengan cara membeli unit-unit saham yang ditawarkan oleh MAIS sebagai pemegang amanah dan mewakafkan unit-unit saham tersebut selama-lamanya kerana Allah SWT dengan tujuan demi kepentingan dan kebajikan ummah.

Bagaimana Menyertai SWS?
1. Penyertaan hendaklah menggunakan borang yang disediakan dan boleh dikemukakan dimana-mana kaunter yang disediakan.
2. Kadar penyertaan minimum adalah RM10 (seunit) dan tiada kadar maksimum.
3. Penyertaan terbuka kepada orang ramai dan juga organisasi.
4. Setiap peserta tidak menerima sebarang bentuk dividen atau keuntungan kerana ianya bersifat wakaf (sumbangan kekal)
5. Penyertaan juga dibolehkan bagi pihak wakil mana-mana individu yang telah meninggal dunia atau masih hidup.

Selepas membaca syarat-syarat di atas, tidak ada alasan untuk kita berbakti kepada kedua ibu bapa walaupun mereka sudah tiada di dunia ini. Macam aku, lepas dengar taklimat ni baru tersedar aku tak buat amalan pertama dalam hadis diatas iaitu sedekah jariah untuk arwah mak. Yelah, tiap bulan bagi duit pada Abah je, pada mak tak ada apa-apa. Dengan adanya SWS ni, insyaAllah aku akan istiqomah mewakafkan sedikit daripada gaji yang diterima atas nama arwah mak. Jangan risau, bukan dengan cara mengisi borang aje, masih ada beberapa cara lain untuk wakaf ni seperti;

  • Mengunjungi  Kaunter Bahagian Baitulmal & Mal MAIS
  • Pejabat Agama Islam Daerah
  • Kaunter Lembaga Zakat Selangor
  • Ejen Penerangan & Kutipan
  • Skim Potongan Gaji
  • Pos
  • E-Mals (www.mais.gov.my)
  • Bank Simpanan Nasional (BSN)
  • Bank In ke akaun Bank Islam:
    • Perbadanan Wakaf Selangor: 12 038 01 010810 6
Mudah bukan? Bagi yang sudah berjawatan tetap, mungkin lebih mudah kalau potong melalui gaji. Atau kalau dah banyak sangat potongan, boleh bank in saja. Cuma sebelum nak bank in, kena niatkan wakaf tu untuk siapa. Contohnya kalau untuk arwah mak atau ayah atau untuk anak-anak atau ahli keluarga lain, niatkan dengan "Aku mewakafkan  RM ____ untuk _________________ (nama orang/almarhum/almarhumah) kerana Allah Taala". Begitulah niatnya. Kalau untuk diri sendiri, niatkan dengan "Aku berwakaf RM _____ kerana Allah Taala."

Inilah serba sedikit maklumat yang dapat dikongsikan bersama. Sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan, boleh terus lihat di laman web MAIS. Sesungguhnya, melakukan kebaikan itu sangatlah mudah dan setiap yang dilakukan itu berdasarkan niat. Jika kita berniat mahu melakukan kebaikan, insyaAllah akan dipermudahkan jalannya.

No comments: