Engagement Fund ;)

Monday, 26 January 2009

Migrain

Migrain juga dikenali sebagai hemikrania, perkataan Greek yang membawa maksud sebelah tengkorak. Ia juga dikenali sebagai vascular headache.

Sakit kepala yang berlaku berulang, berdenyut-denyut selalunya terjadi sebelah kepala sahaja. Ada juga yang bermula di sebelah kepala sahaja dan kemudiannya melarat kedua-dua belah kepala. Dalam kes yang teruk, migrain menyebabkan pening (nausea), muntah, cirit-birit, pengekalan cecair badan (retention of fluid) dan sensitif kepada bunyi dan cahaya.

Jenis-jenis migrain yang utama

1 - Classic migraine

Lebih kurang 10% hingga 15% pesakit migrain mengalami migrain jenis ini. 10 hingga 30 minit sebelum berlakunya migrain, tanda-tanda awal (warning) berlaku. Tanda-tanda ini dikenali sebagai aura atau prodrome dan ia berlaku selama 5 - 15 minit. Tanda-tanda aura ini adalah seperti berikut: terlihat cahaya terang (bright spots), garisan zigzag (zigzag lines), penglihatan berganda (double vision), buta sementara (temporary blindness), kebas (numbness), kepala terasa berpusing (dizziness), pening (drowsiness), sukar bercakap (slurred speech) dan keliru (confusion). Selepas tanda-tanda ini hilang, migrain mula menyerang.

Aura dikatakan disebabkan oleh saluran darah yang menghantar darah ke otak dan tisu sekelilingnya mengecil sementara, jadi menghad penghantaran darah ke bahagian tersebut. Ini menyebabkan gangguan pada saraf rasa dan pengawalan motor. Bagaimanapun ada juga yang mengatakan bahawa aura bermula di sistem saraf – satu fenomena yang dikenali sebagai “spreading depression of the cortex”. Ada kajian yang menunjukkan bahawa pengaliran darah hanya bertambah beberapa jam selepas aura terjadi dan sakit kepala bermula.

2 - Common migraine

Tanpa amaran awal terlebih dahulu seperti classic migrain. Lebih biasa terjadi.

Sebab-sebab terjadinya migrain

Ia berlaku bila saluran darah mengembang dan mengecut dengan cepat. Migrain juga dikaitkan dengan proses pembengkakan (inflammasi). Kenapa ia berlaku sedemikian masih belum dikenalpasti secara jelas. Bagaimanapun, beberapa perkara penting yang menyebabkan fenomena ini berlaku adalah seperti yang dinyatakan di bawah:

Keturunan

Saluran darah individu tertentu tidak begitu sensitif kepada kesan-kesan penyejukan (effect of cooling). Membran platlet pula tidak mampu mengekalkan serotonin dengan effektif (serotonin adalah bahan kimia dalaman yang boleh mengecutkan saluran darah).

Pemakanan

* Makanan yang mengandungi monosodium glutamate MSG (seperti Ajinomoto), cheese, nitrate, coklat, kekacang, alkohol dan aspartame boleh menyebabkan migrain. Ada antara makanan ini yang mengandungi tyramine atau phenylethylamin yang boleh bertindak mengembangkan saluran darah, jadi menyebabkan migrain.

* Kemungkinan juga makanan ini menyebabkan reaksi allergik yang akan menyebabkan migrain.

* Diet yang menurunkan kandungan gula dalam darah mungkin menyebabkan migrain.Ini kerana kandungan gula yang rendah menyebabkan saluran darah mengembang.

* Tidak makan atau lambat makan mengikut waktu juga boleh menyebabkan terjadinya migrain.

* Orang yang kerap meminum minuman yang mengandungi kaffein seperti kopi, teh, nescafe, coca-cola dsb selalu menghadapi “caffeine withdrawal syndrom” bila mereka cuba menghentikan tabiat mereka secara mendadak. Sindrom ini sama dengan migrain. Ini adalah kerana kaffein menyempitkan saluran darah, dan pemberhentiannya akan menyebabkan saluran darah mengembang.

Hormon

Turun naik hormon wanita, oestrogen, dikaitkan dengan kejadian migrain. Migrain mungkin tidak disebabkan oleh oestrogen secaraterus, tetapi disebabkan oleh paras oestrogen yang tidak menentu naik dan turun:

* Mengandung. Selalunya kejadian menurun semasa mengandung.

* Haid. Ramai wanita yang mengalami migrain sebelum, semasa dan selepas datang haid.

* Pil perancang. Ada pil perancang yang mengandungi oestrogen. Ini boleh menyebabkan migrain.

* Menopause (putus haid). HRT (hormone replacement therapy) yang menggunakan hormon termasuk oestrogen menyebabkan mereka yang mengambilnya mengalami migrain.

Cara hidup

* Berlaku pertukaran dalam masa tidur dan jaga. Terlebih atau terkurang tidur juga menyebabkan migrain.

* Pemakanan yang tidak teratur (lihat di atas).

* Pengambilan ubat.

o Ubat yang menyebabkan saluran darah mengembang boleh menyebabkan migrain. Begitu juga dengan beberapa persediaan herba seperti yang mengandungi ginkgo biloba.

o Penggunaan berlebihan ubat migrain juga boleh menyebabkan migrain.

Penyebab-penyebab lain

* Perubahan cuaca.

* Cuaca terang matahari atau lampu.

* Bunyi bising yang kuat. Bau yang kuat.

* Menonton tv, memandang skrin komputer dengan lama.

* Stress dan tekanan emosi. Sesetengah orang mengalami migrain selepas menghadapi tekanan emosi dan sesetengahnya semasa menghadapi tekanan emosi.

* Jantina. Perempuan lebih kerap (tiga hingga empat kali lebih kerap berbanding lelaki).

* Merokok.

Rawatan

Rawatan tanpa ubat-ubatan

Menghadkan pemakanan dan makan secara teratur. Perempuan yang menghadapi migrain sebelum haid perlu mengurangkan pemgambilan garam kerana garam boleh menyebabkan fluid retention (lihat di atas).

* Pengurangan stress seperti senaman yang kerap dan teratur dan mengamalkan teknik-teknik untuk mengurangkan tegangan badan.

* Kenakan benda yang panas seperti menggunakan botol air panas ke tempat yang sakit.

* Kenakan benda yang sejuk seperti beg yang mengandungi ais.

* Cara hidup yang lebih teratur seperti makan secara teratur dan dapatkan tidur yang cukup.

* Baring di tempat yang gelap dan senyap pada permulaan migrain.

* Biofeedback. Pesakit diajar mengawal pengembangan dan pengecutan otot dan saluran darah. Teknik ini lebih berkesan jika diajar kepada pesakit kanak-kanak.

* Rawatan lain yang mungkin boleh menolong anda ialah refleksologi (urut saraf kaki). Petua orang-orang tua seperti basahkan bahagian bawah (iaitu dari kaki ke badan dan ke kepala) dahulu semasa anda mandi mungkinjuga berkesan.

Rawatan menggunakan ubat-ubatan - ubat pemberhenti migrain

* Vasocontrictors. Ergotamine dan dihydroergotamine mengecutkan saluran darah. Penting untuk mengambilnya pada permulaan migrain.

* 5-HT agonist seperti Sumatriptan, Naratriptan, Zolmitriptan, Rizatriptan. Ia berfungsi dengan bertindak menggantikan fungsi serotonin.

* Isometheptene.

* Kombinasi aspirin + acetaminophan + caffeine.

Rawatan menggunakan ubat-ubatan - ubat melegakan migrain

* Analgesic(ubat tahan sakit) termasuk narcotic analgesic tetapi ia boleh menyebabkan ketagihan.

* Corticosteroid untuk migraine yang lama (sehingga 24 jam) kerana ia boleh mengurangkan inflamasi.

Rawatan menggunakan ubat-ubatan - mencegah migrain

* Sesuai untuk yang menghadapi migrain dua kali atau lebih setiap bulan atau migrain yang terlalu teruk sehingga menganggu perjalanan hidup seharian.

* Betablocker terutamanya propranolol melancarkan perjalanan darah.

* Calcium channel blocker melancarkan perjalanan darah.

* Non-steroidalanti-inflammatory drugs (NSAIDs), aspirin. Aspirin mengurangkan sakit dan juga mengurangkan pengumpulan platlet.

* Ubat anti-depressant seperti amitryptyline boleh mengawal kandungan serotonin.

* Riboflavin atau vitamin B2 dalam lingkungan 400mg sehari.

Rawatan menggunakan herba-herba

* Antara rawatan herba yang digunakan untuk melegakan sakit migrain ialah St. John’s wort (hypericum), feverfew dan gastrodia. Kelebihan rawatan jenis ini ialah ia tidak melibatkan ubat-ubatan yang selalunya mempunyai kesan-kesan sampingan yang tidak baik. Bagaimanapun, rawatan herba mengambil masa yang lebih lama dan memerlukan pesakit mengambil herba tersebut untuk jangkamasa lama sebelum kesannya dapat dilihat.

Artikel ini dipetik daripada www.anispharmacy.com. Saya selalu tiada jawapan yang tepat apabila ditanyakan apakah sebab sebenar seseorang itu diserang migrain(kerana saya juga adalah penghidap migrain). Semoga artikel ini menjawab segala persoalan yang berlegar-legar di fikiran.=]

Sunday, 25 January 2009

Salam Pertemuan....

Assalamualaikum....
Pembuka bicara....

Alhamdulillah,setelah sekian lama menyimpan hasrat untuk mempunyai blog sendiri, akhirnya hasrat ini tertunai. Setiap orang tentulah mempunyai tujuan yang berlainan ketika terfikir untuk menghasilkan blog. Saya? Sekadar ingin berkongsi maklumat dan perjalanan hidup di bumi Allah ini. Bukan semua orang dikurniakan dengan kebolehan untuk menulis. Begitu juga dengan saya. Baru tadi saya membaca satu ruangan di akhbar Pancaindera yang walaupun cara penulisannya bersahaja, namun kesannya tertusuk hingga ke ulu minda. Penulis ruangan tersebut mengkritik 'blogger' yang hanya menulis sesuka hati tanpa mempedulikan ejaan,tatabahasa mahupun kosa kata yang digunakan. Bukankah 'Bahasa Jiwa Bangsa'? Semoga saya tidak tergolong dalam golongan 'blogger' yang menyeleweng bahasa...Renung-renungkan dan selamat berfikir...