Engagement Fund ;)

Monday, 30 March 2009

Ceritera hidupku...

Bismillahirrahmanirrahim...Seminggu lamanya aku tidak menjengah ke sini kerana kesibukan dan keterbatasan waktu. Semuanya kerana The Phantom of The Opeara(POTO). Isnin... Semua kelas yang ada dibatalkan kerana ketiadaan bekalan elektrik di semua fakulti termasuk Fakulti Pengajian Bahasa. Patutlah terasa berat hati ketika bangkit dari katil. Erm... Min, Ain, aku, Hawa dan beberapa teman sekelas yang ada di situ membisu dan saling berpandangan. Berfikir mahu buat apa selepas ini. Awal-awal Min sudah bersuara; "I tak nak balik. Nanti mesti tidur aje kat hostel". Aku yang bosan menunggu bangun dan mengeluarkan idea 'bernas'; "Jom kita pergi SOGO!", yang sebenarnya hanya sekadar kata-kata. Ain, Min dan Hawa saling berpandangan. "Ha'ah kan, jom la kita tengok wayang. Cerita sekarang pun boleh tahan". Hah, sudah... Aku kurang pasti siapa yang bersuara. Tapi, agak lama juga kami berbicara menganai topik wayang dan SOGO sebelum ada kata putus. Dipendekkan cerita, idea 'bernas' tadi dipersetujui. Kami bertolak ke KL dengan menaiki Sang Kancil Hawa kira-kira jam 11.00 pagi.
Subhanallazi sahkharalana haaza wamakunnalahu mukrinina wainna ila lamunqolibun

Walaupun kami tahu latihan untuk POTO akan bermula jam 3.00 petang. Rasanya, tak salah sekali ni datang lewat sebab selalunya kamilah yang setia menunjuk muka. Agak lama juga kami meronda di SOGO. Sebelum berangkat, kami mengisi perut di M (bukan nama sebenar). Hehehe...Kesilapan paling besar adalah memesan air berkarbonat sejuk walaupun tekakku sudah terasa perit dan tidak selesa. Kami sampai di Dewan Utama pada jam 5.00 petang dan teman-teman lain sudah mula berlatih. Latihan hanya tamat pada jam 8.15 malam. Alhamdulillah, sempat juga aku makan malam bersama Kakak Bear(bukan nama sebenar) dan bertukar-tukar pandangan dan cerita.



Pagi Selasa. Sekali lagi aku diuji. Kali ini dengan kedinginan suhu, kepenatan yang mencengkam, suara yang tersekat di kerongkong dan jarak perjalanan yang harus aku lalui untuk sampai ke kelas kerana aku perlu menapak ke Fakulti Kejuruteraan, fakulti paling jauh di sini! Apatah lagi dalam keadaan hujan. Sepanjang berada di kelas, tumpuanku tidak sepenuhnya kerana terasa seperti mahu demam. Habis kelas, kami ke PP untuk makan tengahari sebelum meniti laluan pejalan kaki ke hostel. Benarlah bagai dikata. Dari petang hingga ke malam, aku hanya terlantar di katil.


Alhamdulillah, demamku surut pada hari Rabu. Yang tinggal cuma batuk dan muqaddimah selesema. Penyakit dua serangkai ini agak merisaukan kerana aku memerlukan suara untuk POTO. Cara terbaik adalah berpantang makan untuk seketika hinggalah POTO selesai. Latihan tetap berjalan seperti biasa hingga ke malam.


Debaran makin terasa pada Khamis yang telah menjelma. Oleh sebab petangnya ada kelas ganti oleh Miss Puspa, latihan hanya berlangsung pada waktu malam. Buat kali pertama, aku tidak menghadiri mesyuarat mingguan i Rakan. Ya, aku perlu utamakan yang utama kerana POTO adalah termasuk dalam markah untuk subjek 'Theatre in TESL'. Memandangkan latihan tamat agak awal, aku bercadang untuk tidur awal. Namun, sesuatu diluar dugaan telah berlaku. Siren panjang dari pondok pengawal menghadirkan rasa kurang enak. Tambahan pula, jam di meja sudah menginjak ke angka 2. Kemudian, sayup-sayup terdengar pengumuman. Aku cuma dapat menangkap perkataan 'kosongkan blok', 'berkumpul di gelanggang tenis', 'kebakaran' dan 'F2'. Cepat-cepat aku mengetuk pintu bilik sebelah untuk mengkhabarkan apa yang terjadi. Tapi, kami berbolak-balik untuk turun. Bila saja aku mendengar siren Bomba dan melihat sebuah jentera Bomba masuk ke kawasan hostel, perasaan cemas memuncak. Lantas aku menelefon Kakak Bear untuk bertanya memandangkan lokasi rumahnya yang dekat dengan pondok pengawal yang memungkinkan dia mendengar dengan jelas pengumuman yang dibuat. Huh! Lega bila dia mengatakan hanya penghuni di H2 yang diarahkan untuk mengosongkan bangunan. Tapi aku, Faien dan Kak Far turun juga untuk melihat apa yang berlaku sebenarnya. Aduh, rupanya kejadian tadi hanyalah sebahagian daripada latihan kebakaran. Benar-benar mengganggu waktu tidurku yang terhad....

Hari ini adalah hari terakhir untuk kami berlatih dengan props dan kostum bagi membiasakan keadaan esok. Masalah yang timbul memang banyak terutama dari bahagian teknikal. Bagiku, tiada majlis yang sempurna. Seharian kami berkampung di Dewan Utama. Hanya rehat untuk makan tengahari dan bersolat saja. Itupun kami cuma ke masjid untuk bersolat. Petangnya, barulah aku pulang ke hostel untuk membersihkan diri dan memakai 'kostum' kerana malam ini adalah 'rehearsal' penuh. Pertama kali berlakon dengan props dan kesan lampu. Kali pertama, memang bagiku yang terburuk kerana serba serbi tak kena. Pengarah juga tidak berpuas hati menyebabkan kami terpaksa ulang buat kali kedua. Kali ini, lebih bagus dan kukira sempurna. Sangkaku, cuma 2 kali. Tetapi, pengarah masih tidak berpuas hati menyebabkan kami bermula semula. Semuanya mengeluh dan menarik muka. Mana tidaknya, ada segelintir dari kami yang berada di Dewan dari pagi tanpa balik ke rumah waima untuk mandi atau menukar baju. Demi A+, kami buat-buat tak kisah. Tapi, rehearsal kali ini yang paling sempurna dan agak lucu juga kerana aksi-aksi tambahan yang dilakonkan oleh para pelakon dan semua yang terlibat dek kerana kepenatan. Semuanya tamat pada 2.00 pagi.

Hari kemuncak... Aku terjaga lewat pagi ini. Itupun dikejutkan oleh deringan Nokia 6810 menandakan ada mesej masuk. Cepat-cepat aku bangun untuk mengejar subuh yang hampir ke penghujung. Usai solat, barulah aku bersiap. Mujurlah Dewan masih lengang dan agak sunyi ketika kami sampai. Aku yang ditugaskan untuk protokol majlis terus bersedia untuk bertugas sebelum berada di belakang pentas. Mulanya risau juga kalau-kalau tetamu yang dijemput tidak kunjung tiba kerana masalah-masalah yang timbul sebelum ini. Namun, kerisauan yang bersarang di hati beransur pergi bila melihat satu demi satu bas sekolah berhenti di hadapan Dewan Utama. Hampir kesemua kerusi yang ada penuh. POTO bermula ketika jarum pendek jam berada di angka 10. Kita hanya merancang, Allah jualah yang menentukan. Walaupun kita cuba yang terbaik, pasti akan ada juga kesilapan. Biarlah kami sahaja mengetahui apa sebenarnya terjadi. Alhamdulillah, kejayaan berpihak pada kami. Tepukan dan reaksi dari penonton memberi galakan kepada kami untuk tidak lemah dengan kesilapan yang berlaku. Pementasan tamat sebelum jam 12.00 tengahari. Semuanya tersenyum dan bersorak apabila Madam Zarihan memberi perkhabaran mengenai gred kami untuk subjek ini. Terima kasih buat semua teman sekelas yang telah memberi komitmen dan kerjasama untuk The Phantom of The Opera. Terima kasih buat Faein dan Siti yang sudi datang untuk memberi sokongan walaupun aku agak terkilan kerana orang yang pada mulanya berjanji untuk hadir tidak kunjung tiba hinggalah pementasan tamat.
Tugas aku belum berakhir kerana perlu membantu kumpulan B pula. Aku hanya meninggalkan Dewan pada jam 3.00 petang. Penatnya, tak dapat diungkap dengan kata-kata. Sampai di rumah, aku lantas bersolat zuhur sebelum terpacak di depan TV. Bimbang terlajak tidur andai bersantai di dalam bilik kerana penat.





Hari ini, satu tugas baru menanti. Perancangan awalku terpaksa dibatalkan kerana panggilan tugas. Seperti yang selalu Mantan Presiden i Rakan katakan, "Bersedia untuk tidak bersedia". Perasaan bersalah dan berbelah bagi memang menggunung. Antara tanggungjawab dan masa santai, aku wajib dahulukan tanggungjawab. Terasa mahu menarik diri di saat akhir tika membuka mata pagi tadi kerana kepenatan yang masih terasa. Seluruh badanku juga lenguh ditambah dengan kepala yang agak berat. Memikirkan janji yang sudah dibuat, aku gagahkan diri juga. Aku tiba di tempat kejadian pada jam 8.50 pagi. Bayang bosku masih belum kelihatan. Jadi, program hari ini bermula agak lambat. Aku yang tidak tahu menahu mengenai perjalanan program ini dipanggil oleh Presiden untuk diberi taklimat. Training of Facilitator. Program yang sekian lama dirancang telah menjadi kenyataan hari ini. Bila melihat tentatif, aku menarik nafas lega kerana program akan berakhir pada jam 2.00 petang. Aku mendapat pengalaman baru daripada program ini. Namun, seperti yang selalu terjadi, TOF siri 1 ini tamat lewat dari masa asalnya iaitu kira-kira 3.30 petang. Aku dan sahabiah lain redha dengan keadaan ini kerana sudah lali.

Monday, 23 March 2009

Lagu Untuk Ibu

Lagu Untuk Ibu

Seorang Wanita
Bermahkota Ibu
Menggenggam Jari-Jari Kecil
Ikatan Ini Tidak Kan Terurai
Kerna Tautan Ini
Tautan Darah dan Akidah
Dan Rahmat Dari Allah

Kini Ibu
Peganglah Tanganku Ini
Biar Kubawa
Ibu Menjelajah
Hasil Titik Peluhmu
Biar Kubawa
Kealam Ku
Hasil Ukiranmu
Selama Ini

Dodoianmu Ibu
Membina Benteng Pemisah
Antara Yang Hak Dan Yang Batil
Membakar Semangat Perjuangan
Mengait Kasih Pada Junjungan Tercinta
Tersujud Lemah
Mengabdi Diri
Kepada Yang Esa

Jika Belum Pernah
Kau Dengar Ucapan Terima Kasihku
Ketahuilah Doaku Ini
Moga Tuhan Menyayangimu
Sepertimana Kau Mengasihiku
Dari Dulu Hingga Kini
Untuk Selama-Lamanya

Sunday, 22 March 2009

Bintang hati..

Latihan teater yang dijadualkan malam ini terpaksa dibatalkan dek kerana ketiadaan bekalan elektrik di fakulti. Akhirnya, kami yang berdedikasi untuk berlatih (masuk bakul angkat sendiri la gamaknye) duduk bermesyuarat tak rasmi (dalam bahasa kasarnya 'berjoyah') di bangku yang ada di hadapan FSP. Perkara yang dibincangkan tak lain, masalah dan hal-hal berbangkit mengenai The Phantom of The Opera. Cuma tinggal 5 hari saja lagi sebelum pementasan. Aku cuma menadah telinga mendengar kawan-kawan lain 'berjoyah' sambil mendongak ke langit. Subhanallah, pemandangan di langit sangat indah. Bintang-bintang bertaburan dan bersinar girang. Hatiku yang sedang rawan sedikit terubat. Sedang asyik menikmati keindahan kerlipan bintang-bintang, satu cahaya indah memancar. Ada tahi bintang(shooting star bak kata Pearl dan Nadia yang turut meihat fenomena itu)! Aku sangat jarang berpeluang melihat fenomena ini. Memang dari dulu aku suka melihat bintang-bintang di langit. Memang tak dapat digambarkan perasaan ini bila melihat kebesaran ciptaan Ilahi yang satu ini. Ketika semester akhir tahun asas dulu, aku diberi peluang hampir setiap malam untuk melihat bintang-bintang dari tingkap bilikku di cluster D disebabkan kedudukan rumahku yang menghadap tasik dan kegelapan yang menyelubungi memungkinkan aku melaksanakan hobiku ini. Betapa Allah telah melukis alam ini dengan kejadian yang menakjubkan. Allahuakbar...

Rejected?!!!

Selasa lepas, berlaku satu peristiwa yang agak menyakitkan hati. Sahabiah-sahabiah yang berada di tempat kejadian pasti tahu apa yang telah berlaku. Memang membuatkan kami membebel sendiri. Inilah namanya lelaki. Tak semua yang bersikap begini. Cuma segelintir. Tapi, kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Hai lelaki, tahukah anda bahawa wanita tidak sekuat anda? Nasihat ikhlas buat lelaki-lelaki yang berkenaan, hulur-hulurkanlah tangan dan ringankan beban. Sampai hari ini, aku masih ingat teguran dari Ustazah Aziah ketika majlis Jalinan Kasih,Restu Ilmu semasa Perkampungan Ilmu di tingkatan 5 dulu yang melarang kaum wanita mengangkat benda berat. Kini, teguran itu telah diulang suara oleh Ustazah Hafiza dan Ustazah Hafizah (2 orang berbeza) dan mereka menyatakan kesannya sekali. Kiranya, nasihat yang keluar dari orang yang lebih tua dari kita memang sudah dimaklumi kesan-kesannya.

Ubat Hati...

Kira-kira jam 3.30 petang tadi, Aienn memberitahu padaku mengenai majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran Masjid Ar-Ridzuan, Kg. Bestari Jaya malam ini. Hatiku berbolak-balik untuk memberi persetujuan. Akhirnya aku hanya mampu berkata "Tengoklah nanti." Entah kenapa sepanjang hari ini aku gelisah dan berasa susah hati. Seperti ada masalah besar yang mengisi ruang pemikiran tetapi tersembunyi di sebalik keresahan. Semua yang aku lakukan serba tak kena. Akhirnya, aku berkeputusan untuk 'membaiki' jubah baru yang agak labuh. Baru separuh, aku berhenti. Lama aku termenung. "Pergi ke tak pergi? Tak pergi rugi." Persoalan itu tetap berlegar-legar di kepala. Dalam pada itu, aku tetap mengeluarkan sepasang baju kurung dan sehelai tudung untuk digosok. Persediaan kalau-kalau aku tergerak untuk pergi. Setelah siap menggosok 2 pasang baju kurung, aku menjeling jam di meja. Jarum pendek sudah menginjak ke angka 7. Janjinya tadi 7.30. Soalan yang tadi berlegar di kelapa lenyap bersama matahari yang kian terbenam. Baju-baju yang aku keluarkan untuk digosok ku biarkan berlonggok. Aku cepat-cepat bersiap. Tepat jam 7.30, aku sudah terpacak di ruang tamu menunggu Aienn bersiap. Dalam hati aku berdoa supaya pemergianku ini dapat mengubati hati yang lara dan selebihnya beroleh apa yang bakal disampaikan oleh penceramah. Aku bergerak bersama Aienn dan Mek Za meredah jalan pintas ke kampung. Tika tiba di sana, masih belum ramai sementelah majlis pun bermula jam 9 malam.

Usai solat isyak berjemaah, majlis dimulai dengan alunan selawat diikuti persembahan nasyid dan bacaan sajak. Kemudian, barulah forum dimulakan. Moderator yang mengendalikan forum malam ini adalah Ustaz Asyraf Bin Suarin, Imam Masjid Kuala Selangor manakala panel-panel jemputan terdiri daripada Ustaz Abdul Hadi Bakri Bin Abdullah- Imam Besar Masjid Al-Husna Bandar Sunway- dan Ustaz Hj. Zainal Abidin Bin Sulaiman - Kadi Pejabat Agama Kuala Selangor. Tajuk forum adalah tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu Wahdah Pemangkin Khaira Ummah.

Tika disebut bahawa Rasulullah lahir dan wafat pada tarikh yang sama (12 Rabi'ulawal), aku agak tersentak. Terlupa tentang itu. Sesungguhnya, Rasulullah adalah contoh tauladan yang paling baik dalam semua perkara dan orang yang menjadikan Rasulullah sebagai contoh tidak lain adalah:-
1. Orang-orang yang mengharapkan Allah (iaitu orang-orang yang percaya dengan janji-janjiNya).
2. Orang-orang yang mengharapkan kedudukan selesa di akhirat
3. Orang yang banyak mengingati Allah.
Ini kerana semua perkara yang dilakukan oleh Baginda adalah perkara yang membawa ke arah kebaikan. Bila saja seseorang itu mengucap 2 kalimah syahadah, dia telah menjadi umat Muhammad s.a.w dan dia bersaudara dengan muslim yang lain. Tidak akan bau syurga bagi orang-orang yang memutuskan silaturrahim. Antara ciri-ciri umat Muhammad:-
1. Bila bertemu, diucapkan salam (Assalamualaikum)
2. Bila terdengar berita mengenai keuzuran(sakit), dia datang berziarah.
* Suatu ketika dahulu, seorang sahabat telah menziarahi Husin yang sedang sakit. Lalu malaikat bertanya adakah dia ziarah kerana Husin atau Allah? Lalu sahabat tadi pun menjawab dia menziarahi Husin kerana Allah; lalu diampunkan dosanya.
3. Mengiringi jenazah ke kubur.
4. Menjamu orang ramai(membuat kenduri)
*Rasulullah pernah bersabda 'Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing'.
5. Mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w.
*Solat berjemaah
*Berwudhuk sebelum tidur
*Makan menggunakan tangan kanan. Makan menggunakan tangan juga ada caranya.
-Orang yang makan menggunakan 1 jari adalah orang yang zalim.
-Orang yang makan menggunakan 2 jari adalah orang yang sombong dan ego.
-Orang yang makan menggunakan 3 jari barulah orang yang mengikuti sunnah Rasulullah.
Mulakan suapan dengan menggunakan 3 jari, kemudian barulah menggunakan kesemua jari
yang lain. Selain itu, hisaplah jari selepas makan kerana dicelah-celah jari itu ada enzim yang
boleh membantu penghadaman. Subhanallah, segala perbuatan Baginda ada hikmah
sebaliknya.
*Bersalaman. Apabila bersalaman, pandanglah tepat ke arah anak mata orang yang disalami.
*Sunnah Baginda dalam rumahtangga; memeluk isteri selama 10 saat. Hasil kajian, terdapat beberapa kebaikan memeluk isteri iaitu
-Memanjangkan umur pasangan selama 5 tahun.
-Merembeskan hormon di kepala yang boleh membantu meredakan stress.
-Membakar kolestrol.

Perbincangan diteruskan lagi dengan soalan dari moderator kepada panel pertama iaitu, apakah ciri-ciri umat terbaik? Ustaz Abdul Hadi terus membacakan sepotong ayat Al-quran yang dari Surah Ali Imran yang bermaksud: Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah... -110:Ali Imran-
Sudah jelas disebut di dalam Al-Quran 3 ciri umat terbaik iaitu Mengajak kepada kebaikan, mencegah kepada kemungkaran dan beriman kepada Allah. Bagi mencegah kemungkaran, ada 3 peringkat iaitu mencegah dengan tangan atau perbuatan, mencegah dengan mulut dan mencegah di dalam hati(selemah-lemah iman). Bila perkara mungkar ini tidak dicegah, maka dosa akan berleluasa. Allah telah menciptakan umat Islam sebagai umat yang seimbang. Perkara mudah yang dilakukan dalam kehidupan seharian tetapi memberi manfaat dan keseimbangan hidup yang sangat besar adalah solat kerana solat merangkumi semua aspek hidup termasuk rohani, jasmani, fizikal dan mental kerana setiap pergerakan di dalam solat ada rahsia dan kelebihan tersendiri. Perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah ketika hari kebangkitan nanti adalah solat kita. Madah bicara terakhir yang dapat aku dengar sebelum bersurai adalah dari Ustaz Asyraf iaitu 3 benda yang berlaku pada akhir zaman iaitu:-
1. Islam hanya pada nama
2. Al-quran hanya tinggal tulisan
3. Masjid hanya tinggal
Malangnya, aku dan sahabiah-sahabiah lain tidak dapat menunggu sehingga majlis berakhir kerana kami terpaksa bergegas pulang memandangkan jam sudah hampir ke angka 12. Bimbang tidak boleh masuk ke dalam hostel. Itu pun, siren telah berbunyi ketika kaki melangkah melepasi pagar hostel. Alhamdulillah kami sempat sampai. Rasanya, inilah serba sedikit ilmu yang dapat aku kongsikan bersama. Sekadar untuk peringatan pada sahabat-sahabat dan diriku sendiri kerana mata pertama yang menatap tulisan ini tidak lain adalah mataku sendiri. Mudah-mudahan kita sama-sama mendapat manfaat, insyaallah..

Saturday, 21 March 2009

La Tahzan

Sepi..kacau..serba tak kena

Ya, manusia hanya merancang

Allah jualah yang menentukan segalanya

Aku tak marah,tak juga menyalahkan

Cuma diriku seperti kehilangan

Entah...

Kerana perancangan

atau kerana diriku

Friday, 20 March 2009

Antara teori dan praktikal...

Terasa begitu berat mahu mengangkat kelopak mata ni. Namun, kerana aku duduk di sofa tingkat dua perpustakaan, kutahankan juga mata yang kuyu. Kelas agak padat minggu ini ditambah dengan latihan teater yang sentiasa mengisi waktu-waktu yang tiada kelas. Pagi tadi pun, latihan berjalan seperti biasa. Malam tadi, aku sempat bertemu dengan Abang Garang yang kini sedang menjalani praktikal di sebuah sekolah menengah di Shah Alam. Mulanya agak pelik melihat dia di Unisel tetapi aku segera sedar yang minggu ini sekolah bercuti. Bila ditanya, dia hanya tersenyum dan melahirkan kegembiraannya menjadi cikgu pelatih. Usai usrah, Abang Garang menyampaikan beberapa wasiatnya kepadaku dan Aienn. Semasa mula dipanggil, aku agak cuak. Namun setelah dijelaskan, perasaan cuak hilang tetapi terasa ada bebanan baru yang tergalas di pundakku.

Ahad lepas, secara rasminya aku memperturunkan semua ilmu setiausaha yang aku ada. Mula-mula melepaskan jawatan sebagai S/U, terasa boleh bernafas tenang kembali. Kerja sebagai S/U memang agak sibuk. Tetapi, selepas beberapa ketika, aku merindui kerja-kerja S/U semula. Lucu bunyinya. Namun itu hakikatnya. Dulu, tak pernah terlintas langsung di fikiran untuk memegang jawatan ini kerana sudah diset dalam minda sejak di bangku sekolah bahawa jawatan S/U hanya untuk orang yang bertulisan cantik saja. Bila dipilih untuk menggantikan S/U sedia ada yang berpindah, aku menukar persepsi. Sebenarnya, aku tidak pernah pun mengikuti mana-mana kursus atau seminar dalam bidang ini. Cuma belajar dari pemerhatian dan pengalaman orang lain.

Hingga ke hari ini, aku masih ingat saat aku menemani Aini, Pengarah bagi Program Pertandingan Pidato Piala Merdeka 2007 berjumpa dengan orang-orang tertentu di bahagian pentadbiran universiti menyelesaikan urusan yang berkenaan. Masih terngiang-ngiang teguran dan tunjuk ajar Hawa mengenai protokol dan pengurusan dokumen. Kebanyakan ilmu yang aku ada sebenarnya adalah sumbangan dari orang yang lebih berpengalaman. Alhamdulillah, ilmu itu sangat berguna padaku. Cuma, benarlah kata orang ilmu yang tidak diamalkan ibarat pohon yang tak berbuah. Disebabkan bosku dulu cuma meminta menyediakan surat dan urusan selebihnya diselesaikan oleh beliau, maka aku kurang mempraktikkan kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi dengan pihak atasan.

Beberapa minggu lepas, seorang sahabiah mengatakan aku S/U yang manja dek kerana tidak menguruskan sesuatu prosedur sepenuhnya. Aku cuma ketawa mendengar dia berkata begitu tanda mengiakan. Seorang setiausaha yang bagus tahu teori dan mempraktikkannya. Bukan sekadar tahu bagaimana mahu buat itu dan ini. Ilmu boleh diperoleh dengan pelbagai cara sama ada melalui percakapan, penulisan atau pun pemerhatian.

Monday, 16 March 2009

Atas Nama Cinta

Tika mata
Diuji manisnya senyuman
Terpamit rasa menyubur harapan

Dan seketika
Terlontar ke dunia khayalan
Hingga terlupa singkat perjalanan
Tersedar aku dari terlena
Dibuai lembut belaian cinta

Rela aku pendamkan
Impian yang tersimpan
Enggan ku keasyikan
Gusar keindahannya
Merampas rasa cinta
Pada Dia yang lebih sempuna

Bukan mudah
Bernafas dalam jiwa hamba
Dan ku cuba
Menghindarkan pesona maya
Kerna tak upaya ku hadapinya
Andai murka-Nya menghukum leka

Diatas nama cinta
Pada yang selayaknya
Kunafikan yang fana
Moga dalam hitungan
Setiap pengorbanan
Agar disuluh cahaya redha-Nya


Biar sendiri hingga hujung nyawa
Asal tak sepi dari kasih-Nya
Kerna sesungguhnya hakikat cinta
Hanya Dia yang Esa

Saratkan hati ini dengan cinta hakiki
Sehingga ku rasai
Nikmat-Nya
Syurga-Nya
Cinta-Nya

Saat berharga buatku...

Alhamdulillah,aku masih diberi kesempatan untuk mencoret sesuatu di sini. Semalam, aku berkesempatan meluangkan masa bersama kedua ibu bapaku. Mengikut perancangan, aku akan pulang ke rumah hujung minggu ini. Namun, tiba-tiba Encik Presiden memberi perkhabaran bahawa Seminar Pengurusan Organisasi akan diadakan pada 21 Mac ini bersamaan hari sabtu. Terpaksa aku akur dengan takwim yang telah dirancang. Mujurlah ketika aku menelefon ke rumah Jumaat lepas, mak menyatakan hasrat untuk menziarahi makcikku yang akan berangkat ke Tanah Suci pada esok hari. Dapat jugalah aku berjumpa dengan kedua ibu bapaku. Ketika berada disana, pelbagai cerita keluar. Semuanya berkisar tentang keadaan di Mekah. Ini merupakan kali ketiga mereka menjejakkan kaki ke sana. Masa berlalu, zaman juga turut berubah. Dikhabarkan bahawa kini semuanya sudah diubah suai dan dilengkapi dengan teknologi moden bagi memberi kemudahan kepada para jemaah. Sewaktu mak dan abah menunaikan umrah tahun lalu, kebanyakan tempat masih dalam proses pembinaan dan pengubahsuaian. Bila aku mendengar mereka bercerita itu dan ini, hati terasa untuk menjejakkan kaki di sana. Insyaallah ada rezeki dan di panjangkan umur, aku akan tiba juga di sana.

Dalam perjalanan pulang ke Unisel, hujan turun selebat-lebatnya dari persimpangan masuk ke Puncak Alam. Namun, ketika tiba di Jalan Ijok, keadaan kembali reda. Cuma langit gelap menyelubungi. Usai solat asar aku singgah di 99 Speedmart untuk membeli barang-barang keperluan yang telah pun habis. Tika inilah hujan turun selebat-lebatnya. Kilat yang memancar menyilaukan mata dan menghadirkan rasa gerun. Terus aku teringat pesanan Ustaz Firdaus. "Kilat itu sebenarnya alat untuk memanah syaitan yang berkeliaran. Jadi, kalau hujan kilat, jangan berada di tempat lapang kerana syaitan boleh menumpang di badan manusia untuk mengelak panahan tersebut. Bimbang nanti kilat tersebut akan memanah kita yang ditumpangi oleh syaitan laknatullah." Aku berulang-ulang membaca istia'zah dalam hati tiap kali kilat memancar. Setengah jam jugalah aku tersadai di luar 99 Speedmart bersama-sama abah sebelum hujan reda dan membolehkan aku berlari masuk ke kereta. Aku tiba di Unisel tika maghrib baru melabuhkan tirai. Usai solat maghrib, kami mengisi perut di Cangkir Kafe, Pusat Pelajar kerana abah tidak mahu keluar dari kawasan kampus untuk mencari gerai makan. Kemudian, abah menghantarku ke hostel sebelum bertolak pulang ke rumah.

Sebelum terlupa, belum terlewat rasanya untuk aku mengucapkan Selamat Hari Lahir buat abang keduaku, Muhammad Farhan Bin Mispul(An) yang genap berusia 23 tahun pada 14 Mac lepas. Semoga dimurahkan rezeki dan usia yang dikurniakan diberkati dan diiringi redha Allah.

Saturday, 14 March 2009

Permataku

Sunyi...selubungi malam...
Mengusik minda yang terlontar jauh...
Masih hangat terasa ...
Tangan yang membelai yang mengusik manja...
Daku damba kasihmu...
Biar jadi pedoman...
Buat penyuluh jalan kugapai impian...


Angin...kau nyanyikan lagu...
Untuk permataku...tenang selalu...
Bayu...sampaikan berita...
Daku kini ceria...aman dan bahgia...
Selimutkan rinduku bersama malammu...


Hadirlah...kau dalam mimpiku...
Agar kau selalu...ada disisiku...
Rindu belaian kasihmu...Rindu senyumanmu...
Penawar lukaku...
Dengarkan laguku...hadiah untukmu...
Jasa dan baktimu ku kenang selamanya...


Dikaulah cahaya...
Bila malam menjelma...
Kasihmu membawa ke syurga...
Dan redha yang Esa...

Friday, 13 March 2009

Dari hitam, kepada ungu...

Salam pertemuan...Seminggu lamanya aku mati kutu dek kerana wireless connection yang bermasalah. Susah untuk mencari sumber rujukan untuk assignment. Tambahan pula, rabu lepas kami diberi 'take home test' yang memerlukan gambar-gambar untuk diletakkan sekali di dalamnya. Kelam kabut juga aku mencari sumber. Alhamdulillah, hari ini aku berkesempatan untuk ke perpustakaan dan mencari bahan-bahan yang patut untuk assignment mingguan Tn. Hj. Baghawi yang mengajar subjek sosiologi pendidikan(educational sociology). 2 minggu mendatang, aku pasti akan kembali sibuk kerana hari pementasan teater 'The Phantom of The Opera' semakin hampir. Kami perlu memantapkan persediaan kami. Cabaran paling besar tentulah bagi pelakon-pelakon utama. Perananku? Cuma pemberi semangat kepada pengarah(Eizla) dan penari-penari Masquerade. Hehehe...Buat kawan-kawan yang berminat, bolehlah hadir pada 28 Mac 2009 di Dewan Utama Kampus Bestari Jaya UNISEL. Pementasan akan bermula jam 10.00 pagi. Tiada bayaran dikenakan.

Hari isnin yang lalu, aku, Faein, Aienn, Mek Za dan Ila mengembara ke Shah Alam untuk melaksanakan amanah yang diberi oleh Encik Presiden. Kami perlu mencari 'pakaian seragam' bagi kegunaan majlis-majlis rasmi dan program persatuan. Syaratnya, mesti hitam. Adoyai! Hitam? Semuanya mempersoalkan kenapa hitam menjadi pilihan. Kami keluar dari rumah pada jam 8.15. Langit kelihatan gelap dan 'angin gatal' (kerana tudung kami asyik berkibaran hingga menghalang pandangan) galak bertiup. Sangkaku, sempat untuk menaiki bas pertama. Namun hampa bila dikhabarkan bahawa bas tersebut baru saja bergerak. Akhirnya, kami duduk menunggu di hadapan Dewan Biru. Hujan rintik-rintik mulai turun.

Selepas hampir sejam kami menunggu, kami membuat keputusan untuk menaiki teksi hingga ke BB. Dalam perjalanan ke sana, kami berselisih dengan Wawasan Sutera. Semuanya mengeluh...Mujurlah ketika sampai di BB, ada sebuah Bas Selangor yang sedia untuk bergerak. Hujan mulai lebat ketika perjalanan dimulakan. Mudah-mudahan hujan rahmat. Perjalanan yang ditempuh agak jauh kerana kami menaiki KTM. Dari Sg. Buloh ke KL Central dan bertukar keretapi untuk laluan ke Pelabuhan Klang. Bagiku, cara ini lebih selamat daripada menaiki bas melalui Kuala Selangor dan Klang. Kami tiba di Stesen KTM Shah Alam tepat jam 12.30 tengahari. Wah,perjalanan pergi saja mengambil masa setengah hari! Setengah jam menunggu di situ, Bas Rapid KL T529 yang akan membawa kami ke Kompleks PKNS Shah Alam muncul. Kononnya, nak jimat bajet tapi rugi masa. Rupanya, bas tersebut pusing satu Shah Alam terlebih dulu. Akhirnya, kami tiba di destinasi tepat jam 1.00 petang. Tempat kunjungan pertama adalah mesin ATM. Selesai urusan di mesin ATM kami mula mencari butik yang ada menjual jubah seperti yang ditetapkan oleh Encik Presiden. Selepas mencari, kami tertarik untuk masuk ke dalam Butik Sudirman Alwi yang tergantung pelbagai jenis jubah bercorak. Masing-masing mula memilih.



Mulanya, kami tertarik dengan jubah hitam yang bersulam bunga-bunga kecil berwarna hijau di tangan. Malangnya, tidak semua saiz yang kami perlukan ada. Jadi, masing -masing sibuk mencari warna yang ada semua saiz. Akhirnya ungu menjadi pilihan. Untuk mencukupkan jumlah bagi mendapatkan harga borong, masing-masing menambah sepasang jubah lagi termasuk aku.

Ketika keluar dari butik tersebut, barulah kami sedar bahawa peruntukan masa bagi memilih jubah sahaja adalah 2 jam! Patut la kebanyakan lelaki tak berapa nak suka mengikut kaum wanita membeli-belah termasuk abang-abangku sendiri. Kami terus ke surau untuk bersolat. Selepas makan, kami meronda di bahagian bawah pula. Beberapa sahabiah telah tergoda oleh kasut-kasut yang cantik bersusun di atas rak pameran. Akhirnya, kami bertolak pulang dengan menaiki teksi kerana mahu menjimatkan masa. Tambangnya pun tidak la mahal seperti yang kami jangkakan. Cuma RM 6 bagi satu teksi. Perjalanan pulang juga ditemani hujan yang sederhana lebat sehinggalah kami tiba di Unisel.


Jubah tak rasmi kami...

Wednesday, 4 March 2009

Kisah motor...

Ketika sedang bersantai tengahari tadi, aku menerima satu panggilan telefon daripada cik setiausaha. Panggilan yang telah membuatkan aku tergesa-gesa menukar pakaian dan bergegas ke PKP. Sedari jam 2 petang, aku berada di booth Kursus Perkahwinan yang memerlukan aku dan beberapa sahabat lain mencari penyertaan. Sehingga jam 3.30 petang, cik setiausaha menyuarakan hasrat untuk ke canseleri bagi mendapatkan cop pengesahan untuk menampal memo. Kami memutuskan untuk meminjam motorsikal seorang sahabat yang turut sama di situ kerana motornya seperti skuter yang memudahkan aku memandangkan aku berbaju kurung. Mulanya, gelabah juga kerana pertama kali mengendalikan skuter. Alhamdulillah, kami selamat tiba di canseleri. Setelah selesai urusan, aku tergesa-gesa untuk pulang ke hostel kerana jam di tangan sudah menginjak ke angka 4. Kelas terakhir pada hari ini bermula jam 5. Namun, ketika mahu menghidupkan enjin, sesuatu berlaku. Jeng...jeng...jeng... Mujurlah ada beberapa siswa yang kebetulan berada disitu menghulur bantuan, meringankan beban. Aduhai, ada pulak pantang larang skuter ni ye. Kalau begini, nanti yang itu tak hidup. Kalau buat begitu, nanti sini mati pulak. Macam-macam. Akhirnya, aku membuat satu kesimpulan di mana banyak-banyak motor yang pernah aku guna (Andak, Mus, Zakwan dan Muk), motor Andak adalah yang paling tip top. Pengajaran lain yang aku peroleh daripada peristiwa ini pula, jangan hanya membantu insan yang kita kenal. Bantulah insan yang memerlukan bantuan walau siapa pun dia.

Tuesday, 3 March 2009

Maafkan aku...

Terasa begitu berat perasaan bersalah yang bermukim di hati ini...Sejuta kemaafan ku pohon pada teman-teman sekelasku. Entah, tidak tahu mahu memilih yang mana. Kedua-duanya penting. Ibarat ditelan mati emak diluah mati bapak. Terpaksa ku anjakkan kehadapan hari sepatutnya kami keluar bersama. Akhirnya, anganan itu hampir terrealisasi bila aku mengatakan 9 Mac jadualku kosong.Sebenarnya, dari semester lepas lagi mereka mengajak aku keluar bersama. Sekadar untuk menghabiskan masa bersama dan mencari beberapa keperluan untuk teater. Prinsipku, mendahulukan perkara yang datang dulu. Tapi kini aku terpaksa membuat pilihan yang lebih bijak. Bukan mudah untuk membuat keputusan yang terbaik dan memuaskan hati semua pihak malah kadangkala yang membuat keputusan juga tidak berpuas hati dengan apa yang telah diputuskan. Maafkan aku sekali lagi. Semoga kalian berpuas hati dengan keputusan yang telah aku buat.

Kebenaran memang menyakitkan

Sedang khusyuk mengulangkaji tajuk kuliah siang tadi, mataku tertancap pada sebaris kata-kata.

"Anyone can become angry, that is easy. But to be angry with the right person, the right degree, at the right time, for the right purpose, and in the right way - this is not easy."
Aristotle (384-322 BC)

Lantas teringat kembali perbualan ku bersama Kak Chik siang tadi. Kita begitu mudah marah dengan kebenaran, tapi begitu payah untuk menerima hakikat. Mengapa? Bukanlah tujuanku untuk menunding jari pada siapa-siapa kerana kadang-kadang aku juga tergolong dalam kalangan orang yang begitu. Aku menulis ini tidak lain untuk mengingatkan diriku sendiri. Bukankah lebih elok jika diteliti terlebih dahulu sebelum marah kepada orang lain? Itu lebih berhemat daripada terus menyerang. Apa yang diperkatakan selalunya berdasarkan kisah benar. Dalam perjuangan, kritikan itu perlu kerana kita akan lebih tahu dan sedar kelemahan dan kekurangan kita. Kalau hanya bergaul sesama sendiri dan enggan mendengar pendapat dan pandangan orang lain, sampai sudah pun kita masih di takuk lama tanpa sebarang anjakan.