Engagement Fund ;)

Thursday, 30 April 2009

Kejutan Yang Tak Menjadi...

Ya, memang selalunya perancanganku akan berubah (tak banyak, sikit mesti ada) di saat-saat akhir. Asalnya, Kak Chik dan aku sudah merencana untuk membuat kejutan hari jadi Najib pada malam 30.04.09. Tiba-tiba, ada permintaan daripada Encik Presiden untuk menjemput sekali semua pimpinan. Aiseh, sebenarnya yang ni saja-saja je. Bukan rasmi pun. Sekali dengan perjumpaan akhir bersama Andak yang bakal meninggalkan bumi UNiSEL mengikut jejak Cik Runner, Rahmah dan Abang Garang. Penat juga la aku tawar menawar dengan Encik Presiden untuk menerangkan situasi sebenar menggunakan medium SMS (sebab aku tak suka cakap dalam telefon). Akhirnya, untuk tidak membazir masa, Aienn menawarkan diri untuk menerangkan situasi sebenar. Alhamdulillah...Selesai masalah. Tapi tak selesai jugak kerana aku perlu merancang satu lagi majlis sambutan hari lahir untuk Najib di peringkat pimpinan sebagai kata putus bagi masalah tadi. Dalam kesengalan, aku menaip bait-bait perkataan yang sesuai bagi SMS jemputan ke majlis Hari Lahir Encik Timbalan dan Ketua Exco Rehlah yang belum diraikan. Respon daripada mesej tersebut telah menambah kesengalanku. Ada pula yang berkecil hati kerana hari lahirnya dulu tidak diraikan. Ada juga yang mahukan majlis yang lebih formal sebagai penutup kepada semester ini. Sudahnya, aku terpaksa juga mencuri sedikit masa Encik Presiden yang kukira sedang mengulangkaji untuk peperiksaan esoknya. Akhirnya, termaktublah keputusan untuk menjadikan majlis tersebut sebagai 3 dalam 1. Bagaimana? Aku yang perlu memikirkan kerana akulah punca masalah ini terjadi(ye ke?)

Esoknya(28.04.09), aku menapak ke Pusat Pelajar untuk menempah kek dan sedikit makanan bagi majlis tersebut. Dan semalam(29.04.09), ketika aku menghidupkan semula telefon bimbit selepas selesai menjawab 2 kertas peperiksaan, bertalu-talu mesej masuk ke dalam inbox. 3 daripada mesej tersebut bertanyakan tentang majlis malam ini. Selepas membalas mesej-mesej tersebut, Aienn memberitahu bahawa mangsa kejadian(Encik Timbalan) masih belum diberitahu. Aku cuak kerana takut menjadi majlis syok sendiri pulak. Yang dirai tak datang, yang merancang terlentang. Akhirnya, Yusof memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Bagi Kak Sham, Faien dan Kak Suma yang menjadi perantara. Okeh, selesai satu masalah...


Usai solat maghrib, aku, Aienn dan Faien bergerak ke Pusat Pelajar untuk mengambil kek dan makanan yang ditempah. Sempat pula berposing di bakery Makcik. Ketika sampai di Kafe(tempat kejadian), kelihatan Encik Presiden mundar mandir. Mencari kelibat yang lain barangkali. Mujurlah mangsa kejadian masih belum muncul. Beberapa minit kemudian, barisan pimpinan lain tiba dengan muka ceria(seronok nak makan kek kot!). Kami memilih tempat yang agak tersorok supaya tidak mengganggu orang lain. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan Encik Presiden(tanpa sebarang insiden yang menyakitkan hati bagi mengenakan mangsa-mangsa kejadian) diikuti dengan ucapan daripada mangsa-mangsa kejadian. Ucapan yang paling terkesan adalah;


Yang tak sambut besday pun sibuk nak potong kek


Najib: Terima kasih la sebab rancang majlis ni. Terharu... Sebenarnya, tak berapa nak terkejut sebab masa pergi PP petang tadi dah nampak kek ni. Pelik juga, kenapa la kek ni ada nama aku.
(kwang kwang kwang...kantoi pulak)

Orang lain: Ko ni, diam-diam sudah la.


Mangsa-mangsa kejadian(tidak termasuk Encik Presiden)

Kek Mac

Kek April

Alhamdulillah, terrealisasi juga majlis bidan terjun ini. Aku merasakan ukhuwah antara kami bertambah erat tika berkumpul ramai-ramai begini. Aku sangat menghargai kehadiran mereka kerana masih sudi mengorbankan sedikit masa walaupun ada peperiksaan keesokan harinya. Terima kasih yang tak terhingga kuucapkan. Kenangan manis bagi penutupan semester ini.

Sunday, 26 April 2009

Selangor Menang Lagi

Pasukan Selangor meraikan kejayaan menumpaskan Kelantan bersama-sama Piala FA selepas menang 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti ekoran terikat 1-1 selepas masa tambahan.

Merah kuning lambang kebanggaan
Selangor merancang kejayaan
Gemuruh sorakan menggegarkan
Cabaran disambut dengan kesungguhan
Kecemerlangan...kecemerlangan
Kecemerlangan jadi kenyataan

Merah kuning keberanian merempuh segala halangan
Sekali melangkah buktikan kemampuan
Merah kuning keberanian merempuh segala halangan
Sekali melangkah buktikan kemampuan
Selangor Darul Ehsan

Selangor Darul Ehsan

MUET oh MUET..!!

Alhamdulillah..Aku selesai menghadapi MUET bagi Paper Writing siang tadi. Pertama kali menggunakan format baru. Terkejar-kejar juga bila melihat jam di hadapan yang tiba-tiba sudah beranjak ke masa penamat. Waktu paling cemburu padaku sewaktu aku berada di sesi kedua; writing. Fuh..! Rasanya tak cukup kertas nak mencatat isi penting mengikut format subjek Academic Writing Skills. Tiba masa listening, aku agak risau memandangkan soalannya tidak hanya pilihan jawapan A, B atau C tetapi termasuk soalan yang memerlukan jawapan pendek. Sudahlah sekolah tersebut berlokasi di tepi jalan utama, ditambah kerja-kerja pembinaan yang berjalan betul-betul di sebelah bangunan peperiksaan tersebut dijalankan telah menaikkan tekanan kami. Suara dari radio pula tidaklah kuat mana (barangkali aku sudah terbiasa menggunakan headphone semasa membuat latihan atau memang radio tersebut bermasalah) menyebabkan semua calon pakat tolak meja dan kerusi sehampir mungkin dengan radio. Pengawas pula tidak menegah. Melihatkan situasi tersebut, serasa mahu ketawa kerana tidak pernah pula calon-calon dibenarkan mengubah kedudukan kerusi dan meja semasa peperiksaan berjalan. Mudah-mudahan kejayaan berpihak padaku. Aminnn.

Wednesday, 22 April 2009

Demam Periksa?

Salam Pertemuan...
Sejak bahang peperiksaan mula dirasa, aku menjengah blog ini sekadar di pinggiran. Kalendar peperiksaanku masih belum bertanda sementelah kertas pertama akan bermula pada 29 April ini. Boleh lagi 'ceporan' bak kata orang jawa. Agak tension juga memikirkan bahawa 29 haribulan nanti 2 kertas sekaligus. Apa nak buat, itu yang dah tersurat. Lebih mengasyikkan, kedua-dua kertas tersebut adalah teori yang agak bosan. Educational sociology dan educational psychology.
2 Mei - Introduction to sociolinguistics.
3 Mei - Teaching of aural oral.
4 Mei - Media resources in ELT.
Duhhh. Semuanya macam teori jerk..

Pun begitu, sempat lagi aku berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa KL jumaat lepas. Berbeza sungguh perancangan tahun ini dan tahun sudah. Tahun sudah, aku menyertai rombongan Abang Garang dan 3 sahabiah lain. Tahun ini, aku bersama dengan Faien dan Sue. Mujurlah aku ke sana pada hari persekolahan. Kalau la hari Sabtu atau Ahad, memang sesak yang teramat. Mahu menyelit pun payah. Kali ini, aku berjalan dan meneroka ke seluruh ruang pameran dengan seronok dan bahagianya kerana keadaan yang agak lengang. Apa yang menyedihkan, bajetku untuk buku tiada atas sebab tertentu dan terpaksalah aku berjimat cermat dengan hanya membeli beberapa buku yang kurasakan paling menarik dan bermanfaat bagiku. Sempat juga aku berjumpa dengan penulis Faisal Tehrani yang kebetulan sedang meninjau gerai-gerai pameran yang lain dan juga seniorku semasa di Hamidiah dulu iaitu kakak PKU sesi 00/01, Kak Fatimah Hidayah. Kepada yang mempunyai masa terluang dan bajet yang mengizinkan, datang la ke Pesta Buku Antarabangsa KL yang akan berlangsung hingga 25 April ini. Sekian, terima kasih.

Tuesday, 21 April 2009

Sahabat..

jika seseorang membalas persahabatanmu
dengan kepura-puraan
jauhilah dan jangan terlanjur memberi belas kasihan
banyak orang yang boleh mengganti kedudukannya
dengan meninggalkan, engkau merasa lebih nyaman
hati masih sanggup menahan sabar menanti sang kekasih
walau jarak terlalu jauh memisahkan
tidak semua orang yang kau suka
akan suka kepadamu
dan tidak semua orang yang kau beri kesetiaan
akan membalas dengan ketulusan
jika persahabatan tidak tercipta secara alami
apalah erti sebuah cinta yang penuh kepalsuan
apalah erti seorang sahabat
jika sanggup mengkhianati sahabatnya
berubah sikap dari cinta menjadi dendam
melupakan keindahan hubungan yang pernah terjalin
membuka rahasia yang selama ini dijaga
apa erti kehidupan dunia jika tidak melahirkan
seorang sahabat nan setia, memegang janji
lagi baik hati..

Imam Asy-Syafi'i

Wednesday, 15 April 2009

FMTS

Kira-kira jam 10.45 pagi tadi, aku mendapat panggilan daripada HEP mengenai kehadiran untuk temuduga Fasilitator Minggu Tekad Siswa bagi Sesi Mei 2008/2009. Aku perlu ke Pejabat HEP pada jam 2.30 petang untuk ditemuduga. Aku bertolak ke Canseleri kira-kira jam 2.15 petang bersama-sama dengan Kak Chik dan Kak Ida yang kebetulan datang ke Unisel hari ini untuk menyelesaikan urusan transkrip sebelum konvo hujung tahun ini. Dalam Perjalanan, Faien menelefon dan mengkhabarkan mengenai keadaan yang mulai sesak di luar pejabat HEP. Ketika tiba di situ, hampir kesemua kerusi yang disediakan penuh. Aku menulis nama untuk menentukan giliran ditemuduga. Aku adalah calon ke-25. Mujurlah kami dipanggil secara berjemaah ke dalam bilik temuduga iaitu 5 orang bagi satu sesi. Calon pertama hingga kelima dipanggil dahulu. Faien turut bangun. Rupanya dia adalah antara orang yang terawal. Sementara menunggu, aku dan Kak Suma membuat dialog sendiri mengenai soalan dan jawapan yang bakal ditanya. Agak lama juga Faien di dalam. Mungkin kerana calon terawal, maka semangat untuk menemu duga masih segar. Sebaik saja beliau muncul, kami terus merisik soalan yang ditanyakan dan penemu duga yang terlibat. YDP dan NYDP MPP dan Ustaz Firdaus yang merupakan staf HEP. Walaupun pernah melalui proses ini, aku tetap berdebar dan cuak. Berdebar dengan orang-orang yang akan menemu dugaku dan cuak dengan soalan-soalan yang bakal diajukan.

Tika tiba giliranku, penemu duga sudah bertukar iaitu NYDP, TYDP dan Setiausaha Agung MPP. Fuh! Lega sedikit debaran di dada. Seperti biasa, kami perlu memperkenalkan diri. Kemudian, mereka mula bertanya soalan-soalan berkaitan biro yang dipilih semasa mengisi borang permohonan. Kali ini, aku memilih Biro Disiplin sebagai pilihan utama diikuti Biro Residen dan Makanan. Alhamdulillah, aku berjaya menjawab soalan-soalan yang diajukan. Sebelum sesi temuduga berakhir, kami ditanya mengapa mahu menjadi FMTS? Jawapan yang keluar dari calon lain sama dengan apa yang aku lontarkan namun aku menambah satu jawapan yang membuatkan Setiausaha Agung MPP ketawa iaitu "Saya sedia untuk belajar, mengajar dan diajar". Sudah dijangka reaksi beliau kerana beliau adalah mantan Exco Kelab Fasilitator dan ahli PKPIM. Aku meminjam ayat tersebut dari 7 Budaya PKPIM dan itulah juga ayat yang selalu disebut-sebut oleh Presiden Kelab Fasilitator. Satu ayat yang tepat dan padat bukan?

Tuesday, 14 April 2009

Rabitah Hati

Hati ini telah bersatu
Berkumpul di perut bumi-Mu
Hati ini telah berpadu,
Bersatu memikul beban dakwah-Mu
Hati ini telah mengikat setia,
Untuk mendaulat,untuk mendokong...
Syariat-Mu di alam maya
Maka Ya Allah, eratkankanlah...
Ikatan yang ada
Maka Ya Allah, eratkanlah...
Ikatan yang ada

Kekalkan kemesraan yang ada
Tunjukkanlah jalan yang benar
Suburkanlah dengan cahaya-Mu
Tiada malap terangi alam-Mu
Hidup suburkanlah dengan ma'rifat-Mu
Tapi jika ingin mematikannya...
Matikanlah
Sebagai syuhada'
Dalam perjuangan menegakkan agama yang mulia

Unisel -> Ampang -> Wangsa Maju

Sabtu...
7.05! Subhanallah...Aku lewat pagi ini. Rancangan untuk berjaga hingga ke pagi punah bila aku kaku di perbaringan entah bila. Sedar-sedar, hari sudah cerah. Aku lantas melompat dari katil untuk mengejar Subuh gajah yang sudah berevolusi menjadi subuh dinosaur. Nokia 2610 menjerit minta diangkat. Tertera nama Andak di skrin. Aku tahu aku sudah sangat lewat. Makin kalut bila melihat sehelai jubah coklat dan sepasang baju kurung maroon lembut masih belum bergosok. Barang keperluan lain juga masih belum dimasukkan ke dalam beg. 'Aduh! Kalau ada program aje mesti lambat' Perlahan kata-kata tersebut bergema di telinga. Sepantas mungkin aku selesaikan semua perkara yang belum aku mulakan tadi. Dalam pada itu, aku memohon ribuan kemaafan daripada Andak kerana lewat. Aku meniti anak tangga dengan pantas. Tidak mahu Andak dan Kak Sham menunggu lebih lama kerana 1 jam telah berlalu.

Aku cepat-cepat memohon kemaafan kerana membuatkan perjalanan kami terganggu kerana kami sepatutnya menaiki bas pertama untuk mengejar masa program yang bermula 8.30 pagi. Andak mengkhabarkan mengenai dua lagi sahabat yang berkemungkinan besar masih lena diulit mimpi. Bila Kak Sham membuat kata putus untuk menunggu mereka, aku meminta diri untuk mengisi perut. Roti Telur menjadi pilihan kerana itulah satu-satunya menu yang ada ketika aku dan Aienn meninjau tempat makanan yang kosong. Usai makan, aku menelan ubat-ubat yang dibekalkan ketika membuat pemeriksaan di klinik kelmarin. Benarlah bagai dikata. Dua orang sahabat tadi baru sedar dari lena. Memandangkan waktu sudah merangkak ke pukul 9, kami berangkat tanpa mereka. Itu pun bila mereka menelefon buat kali kedua dan memaklumkan bahawa mereka akan ke sana dengan motor. Tiba di Puduraya, kami terus ke stesen Putra Plaza Rakyat dan mengambil tren ke Ampang. Kami tiba di situ kira-kira jam 11.15 pagi. Agak lama juga kami menunggu balasan mesej dan panggilan telefon Kak Baitie yang menguruskan perjalanan kami sambil masing-masing menyuarakan hasrat untuk ke PC Fair yang sedang berlangsung di KLCC. Orang yang dikatakan akan datang mengambil kami di stesen ke Masjid Bukit Indah tidak kunjung tiba hinggalah akhirnya dua orang remaja perempuan di sebelah kami memberitahu cara untuk ke sana sama ada dengan bas atau teksi. Oleh sebab sudah banyak masa terbuang, kami memilih teksi untuk ke sana.

Tiba saja di Masjid Bukit Indah, kami terpinga-pinga seketika kerana tidak tahu tempat ceramah berlangsung. Kekeliruan berganda bila tidak seorang pun manusia yang kami temui tidak membuat muka pelik bila ditanyakan tentang program IDT (Interactive Dakwah Training) ini. Mereka cuba tahu bahawa program yang berlangsung di situ untuk hari ini adalah Kursus Haji dan Ceramah Makanan Halal. Hampir satu jam melangut di beranda masjid, barulah kami mendapat maklumat yang tepat. Rupanya program berlangsung di bilik seminar yang terletak di hadapan pejabat pengurusan masjid. Sangat rugi kerana slot pertama sudah sampai ke penghujung. Mengikut rumusan daripada penceramah iaitu Brother Lim, aku dapat menyimpulkan bahawa slot tersebut adalah mengenai sejarah asal usul Kristian. Slot kedua diambil alih oleh Brother Amin yang telah mengkaji mengenai Kristian secara teliti. Beliau menerangkan secara ringkas dan perkara asas apa itu Kristian dan bagaimana untuk mengetahui perbezaan antara Katolik dan Protestant. Kemudian, kami berhenti untuk solat Zuhur dan makan tengahari. Slot ketiga bermula pada jam 2.30 petang. Kami telah diajar pendekatan cara untuk berdakwah oleh Brother Lim. Beliau menegaskan, bahawa matlamat kita berdakwah adalah untuk menangi hati mereka, bukan menang perbincangan. Memang kadang-kadang kita dikelirukan dengan soalan-soalan yang pelik-pelik. Sebab itulah kita harus tahu konsep dan caranya. Beliau turut menerangkan kepercayaan bagi penganut Kristian dan bagaimana untuk mematahkan hujah-hujah pedas mereka dengan bukti dan perbandingan yang terdapat di dalam Bible dan Al-Quran. Slot seterusnya adalah slot paling menarik bagi kami iaitu 'Bible Study'. Kami diajar bagaimana untuk membaca Bible. Kini, barulah kami tahu kebenaran dan kebatilan yang tersembunyi.Program hari pertama tamat pada jam 5.35 petang.

Memandangkan kami datang dari jauh, maka kami memerlukan tempat untuk bermalam. Brother Lim mengkhabarkan bahawa Muslimat akan bermalam di sebuah taska manakala Muslimin pula akan ditempatkan di sebuah surau. Sangkaku, tempat penginapan terletak berhampiran. Rupanya, berlokasi di Wangsa Maju. Agak jauh juga dari Masjid Bukit Indah. Kami telah dihantar oleh dua Brothers yang muncul pada akhir program. Ku kira, mereka adalah sukarelawan bagi program ini. Sepanjang perjalanan, kami bercerita itu dan ini sehingga Brother yang duduk disebelah pemandu berkata "Korang ni bagus la. Selalunya orang lain senyap je bila naik kereta dengan orang yang tak kenal." Aku hanya senyum. Kak Sham menjawab bagi pihak; "Kitorang memang macam ni. Kalau senyap aje bosan la pulak". Brother tersebut ketawa. Hujan turun agak lebat ketika kami tiba di Taska Shaz. Selepas mengambil barang, Brother yang memandu sempat berpesan; "Ha, pandai-pandai la tekan loceng dan bagi salam ye. Esok pagi saya datang ambil pukul 8". Aku mahu tergelak mendengarnya. Wan Cik, kakitangan taska tersebut menyambut kami di muka pintu. Kami masuk ke dalam dan meletakkan barang-barang sebelum masing-masing ke bilik air untuk berwudhuk dan menunaikan solat asar. Wan Cik berpesan supaya tidak kekok sepanjang berada di situ. "Buat la macam rumah sendiri ye. Nak makan ke, nak minum apa-apa, ambil kat dapur." Beliau berpesan sebelum meminta diri ke tingkat atas. Usai solat asar, kami membuka bungkusan nasi lemak baki dari makan tengahari tadi yang dibekalkan oleh Brother Lim. Berbungkus-bungkus nasi lemak di dalam plastik kuning. Kami cuma mampu menghabiskan kurang dari 8 bungkus daripada kesemua jumlah yang ada. Malamnya, kami tidak menyangka yang Brother Lim turut menguruskan makan malam untuk kami. Ketika membuka bungkusan yang dihantar oleh seorang Sister, spontan aku berkata "Nasi Lemak jugak...". Kak Sham menyambung; "Dh agak dah. Takpe la, hari ni hari nasi lemak." Serentak kami ketawa. Jauh di sudut hati, aku bersyukur. Alhamdulillah, masih ada rezeki di depan mata.

Ahad...
Aku terjaga jam 6.30 pagi. Aienn kulihat baru solat subuh. Semuanya tidur pulas malam tadi. Mungkin kerana kepenatan. Jam 7.30 pagi, kami sudah siap berdandan. Sementara menanti Brother yang menghantar kami semalam tiba, sempat juga la bergambar kenangan di Taska Shaz. Tepat jam 8, Proton Waja kelabu berhenti di depan pintu pagar. Kami bersalaman dengan Wan Cik dan mengucapkan terima kasih atas segalanya. Kami tiba di Masjid Bukit Indah pada jam 8.30 pagi++. Bilik seminar masih lengang. Hanya ada beberapa peserta di dalamnya. Brother Lim menjemput kami bersarapan. Seingatku, ini kali pertama program luar yang sempoi dan tidak terlalu formal.

Sebelum memulakan slot pagi ini, Brother Lim mengimbas kembali apa yang telah beliau sampaikan semalam.Tepat jam 9.35 pagi, barulah slot dimulakan. Tajuk untuk slot pada pagi ini adalah salah tanggapan terhadap islam. Brother Lim memprovok kami dengan persoalan-persoalan yang selalu ditanyakan oleh orang-orang beragama lain dan beliau mahu kami berfikir soalan-soalan lain yang mungkin akan ditanya kepada kita. Setelah terkumpul beberapa soalan, Brother Lim mula menghuraikan cara untuk menjawab soalan-soalan tersebut beserta dengan dalil yang berkaitan sama ada ayat Al-Quran atau hadis. Slot kedua adalah mengenai dakwah, yang berlangsung sejurus selepas soalan terakhir selesai dikupas. Beliau mengupas tentang pendekatan dakwah yang berkesan dan turut menceritakan pengalaman beliau sebelum ini. Kami berhenti rehat untuk makan dan solat zuhur kira-kira jam 1.15 petang. Slot petang bertajuk 'Bukti Al-Quran dari Allah'. Wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah adalah sama dengan apa yang kita baca hari ini tanpa sebarang perubahan dari segi bahasa dan tulisan. Beliau turut memberi Bukti-bukti dari ayat Al-Quran untuk mengukuhkan hujah. Slot terakhir adalah perbandingan antara agama-agama yang ada dimuka bumi ini. Kami ditunjukkan dengan slide yang mengandungi maklumat-maklumat dan gambar-gambar mengenai agama-agama tersebut. Memandangkan masa begitu pantas berlalu, beliau terpaksa meringkaskan penerangan. Slot berakhir tepat jam 5.30 petang.

Hujan yang turun sedari tengahari tidak menunjukkan tanda untuk berhenti. Kami bergegas menunaikan solat asar sebelum berangkat pulang.Kami dihantar ke Stesen LRT Ampang. Tidak perlu menunggu lama kerana tren sampai beberapa minit selepas kami membeli tiket.

Bagi sahabat-sahabat yang berminat untuk menyertai program 'Interactive Dakwah Training' yang dianjurkan oleh PERKIM ini, program seterusnya adalah pada :
Tarikh: 9 & 10 Mei 2009 (Fasa 1) dan 23 & 24 Mei 2009 (Fasa 2).
Masa: 8.30 pagi - 5.30 petang
Tempat: Masjid Bukit Indah, Ampang, Selangor.
Bayaran: RM 120 bagi orang awam dan RM 100 bagi pelajar.

Selain pengisian yang menarik dan penceramah yang berpengalaman, anda turut diberi:
  • Senaskhah terjemahan Al-Quran berbahasa inggeris, Bible, buku 'Quran & Modern Science', Fundamentals of Tauhid (Bahasa Cina) dan sijil penyertaan.
  • Sarapan pagi dan makan tengahari turut disediakan.

Saturday, 11 April 2009

Jika kamu memiliki seseorang

Jika kamu memancing ikan....
Setelah ikan itu terlekat di mata kail,
hendaklah kamu mengambil ikan itu....
Janganlah sesekali kamu LEPASKAN ia
semula ke dalam air begitu saja....
Kerana ia akan SAKIT oleh kerana bisanya
ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan MENDERITA selagi ia masih hidup.
Begitulah juga ........
Setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN
kepada seseorang...
Setelah ia mulai MENYAYANGIMU hendaklah kamu MENJAGA hatinya....
Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu saja....
Kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu
dan mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN segalanya selagi dia mengingatmu. ...
Jika kamu menadah air biarlah berpada,
jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh....
cukuplah sekadar KEPERLUANmu. ..
Apabila sekali ia retak.... tentu sukar untuk kamu menampalnya semula.... Akhirnya ia dibuang....
Sedangkan jika kamu cuba memperbaikinya mungkin ia masih dapat dipergunakan lagi....
Begitu juga jika kamu memiliki seseorang,
TERIMALAH seadanya....
Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu ISTIMEWA....
Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan KESILAPAN bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya. ...
akhirnya kamu KECEWA dan meninggalkannya.
Sedangkan jika kamu MEMAAFKANNYA boleh jadi hubungan kamu akan TERUS hingga ke akhirnya....
Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi...
yang kamu pasti baik untuk dirimu.
Mengenyangkan. Berkhasiat.
Mengapa kamu berlengah,
cuba mencari makanan yang lain..
Terlalu ingin mengejar kelazatan.
Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya. Kamu akan MENYESAL.
Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan........yang pasti membawa KEBAIKAN kepada dirimu.
MENYAYANGIMU. .. MENGASIHIMU. ..
Mengapa kamu berlengah,
cuba MEMBANDINGKANNYA dengan yang lain.
Terlalu mengejar KESEMPURNAAN.
Kelak, kamu akan KEHILANGANNYA apabila dia menjadi milik orang lain..
Kamu juga yang akan MENYESAL.........

Thursday, 9 April 2009

Hikmah

Malam tadi aku menerima satu pesanan ringkas ketika sedang mengedit assignment. Pelawaan dari Kak Chik untuk makan tengahari bersama hari ini. Memang sudah agak lama kami tidak bersua kerana kesibukan masing-masing. Aku terpaksa menolak pelawaan beliau kerana kelas aku dijadualkan penuh, ditambah lagi dengan dua ujian! Untuk tidak mengecewakan beliau, aku bercadang supaya kami berjumpa tengahari esok. Harapanku, semoga tiada halangan di saat akhir seperti yang selalu terjadi padaku.

Rabu lepas, aku akhirnya berkesempatan untuk melangsaikan hutang yang sekian lama tertangguh. Terima kasih kepada Min dan Ain yang sudi menunggu. Agak serba salah juga mulanya tika meminta izin untuk menyelesaikan urusan tersebut kerana kami sepatutnya mengadakan perbincangan. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Terima kasih juga buat Aienn yang menemaniku.

Ketika berbalas mesej dengan Kak Chik malam tadi, aku mengkhabarkan keadaan kesihatanku. Ketika dia memberitahu bahawa aku kerap jatuh sakit pada semester ini, baru aku perasan bahawa imunisasi aku memang teruk. Di saat ini pun, aku tidak dapat bercakap dengan betul kerana tekakku meragam. Mujurlah aku sempat ke Klinik Kampus tengahari tadi, dengan ditemani oleh Min dan Ain. Apa yang boleh kusimpulkan, semua dugaan yang diberi padaku mempunyai hikmah tersendiri kerana setiap apa yang terjadi memang ada hikmahnya tersendiri...

Saturday, 4 April 2009

Sebuah Pertemuan...

Setiap permulaan, pasti ada pengakhirannya. Begitu juga dengan pertemuan, akan diakhiri dengan perpisahan. Pejam celik, pejam celik, sudah hampir tiga tahun aku berada di bumi Unisel ini. Hari bersilih ganti sama dengan orang yang datang dan pergi. Andai aku ada kuasa, aku mahu kami bertemu dan kekal selamanya. Tapi itu tak mungkin akan berlaku. Bila ditatap kembali gambar-gambar kenangan dengan sahabat-sahabat yang sama-sama menyumbang tenaga untuk sesuatu program dan sama-sama menyertai program yang diajurkan universiti atau persatuan, rasa rindu sarat memenuhi ruang hati. Ada juga gambar yang membuat aku tersenyum sendiri. Tak kurang juga gambar-gambar yang menghadirkan rasa sebak. Aku rindu dengan mereka. Akan datang, beberapa sahabat yang sudah biasa di pandangan mata turut meninggalkan kami.

Alhamdulillah, petang tadi aku sempat meluangkan masa bersama Andak, Chief Investigator, Faein dan Aien walaupun waktu asalnya telah berubah. Kalau mahu diikutkan masa lapang, memang sampai sudah pun kami tak akan berjumpa kerana kami tidak ditakdirkan untuk mempunyai masa lapang yang sama. Jadi, terpaksalah aku memanfaatkan masa senggang yang ada. Agak terkilan juga kerana 2 orang teman tidak dapat menyertai kami atas sebab yang tak dapat dielakkan. Bagiku, antara cara untuk merapatkan ukhuwah adalah dengan makan bersama. Selain makan, kami turut bertukar-tukar cerita dan pendapat dan boleh dikatakan bertaaruf panjang. Semoga ukhuwah yang terjalin akan terus mekar walau tidak lagi bersua muka.

Friday, 3 April 2009

Renungan...

Lidah kelu disaat kematian. Kematian pasti menjelma. Hanya masa dan
waktunya yg tidak kita ketahui. Cuba kita amati?Mengapa kebanyakan orang
yg nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa, lidahnya kelu, keras
dan hanya mimik mukanya yg menahan kesakitan sakaratul maut.

Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud:

" Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan
kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya." Ini jelas menunjukkan, kita
disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan
berkumandang. Sebagai orang Islam kita wajib menghormati azan. Banyak
fadhilatnya. Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan
diamkan diri mengapa azan kita tidak boleh mendiamkan diri !!! Lantas
sesiapa yg berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya
ketika nazak. Kita takut dgn kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba
maka kita tidak dapat mengucap kalimah "Lailahaillallah.." yg mana sesiapa
yg dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya dicabut Allah dgn izinNya
menjanjikan syurga untuk mereka. Dari itu marilah kita sama-sama
menghormati azan dan mohon kpd Allah supaya lidah ini tidak kelu walaupun
nyawa sedang dicabut.


"Ya Allah..anugerahkanlah kematian kami dgn kematian yg baik lagi mulia,
lancarkan lidah kami mengucap kalimah Lailahaillallah..semasa sakaratul
maut menghampiri kami amin..amin..amin Yarobbal a'lamin.."

WASIAT NABI JUNJUNGAN KPD SAIDINA ALI R.A.
Wahai Ali, bagi org mukmin ada 3 tanda-tandanya:
1) Tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia.
2) Tidak terpesona dgn pujuk rayu wanita.
3) Benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia..

Wahai Ali, bagi org alim itu ada 3 tanda2nya:
1) Jujur dlm berkata-kata.
2) Menjauhi segala yg haram.
3) Merendahkan diri.

Wahai Ali, bg org yg jujur itu ada 3 tanda2nya:
1) Merahsiakan ibadahnya.
2) Merahsiakan sedekahnya.
3) Merahsiakan ujian yg menimpanya.

Wahai Ali, bg org yg takwa itu ada 3 tanda2nya:
1) Takut berlaku dusta dan keji.
2) Menjauhi kejahatan.
3) Memohon yg halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

Wahai Ali, bg ahli ibadah itu ada 3 tanda2nya:
1) Mengawasi dirinya.
2) Menghisab dirinya.
3) Memperbanyakkan ibadah kpd Allah s.w.t.

Petua Imam Syafie

PETUA IMAM SYAFIE:4 PERKARA UNTUK SIHAT


Empat perkara menguatkan badan
1. makan daging
2. memakai haruman
3. kerap mandi
4. berpakaian dari kapas


Empat perkara melemahkan badan
1. banyak berkelamin (bersetubuh)
2. selalu cemas
3. banyak minum air ketika makan
4. banyak makan bahan yang masam


Empat perkara menajamkan mata
1. duduk mengadap kiblat
2. bercelak sebelum tidur
3. memandang yang hijau
4. berpakaian bersih


Empat perkara merosakkan mata
1. memandang najis
2. melihat orang dibunuh
3. melihat kemaluan
4. membelakangi kiblat


Empat perkara menajamkan fikiran
1. tidak banyak berbual kosong
2. rajin bersugi (gosok gigi)
3. bercakap dengan orang soleh
4. bergaul dengan para ulama


4 CARA TIDUR
1. TIDUR PARA NABI
Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan
bumi.

2. TIDUR PARA ULAMA' & AHLI IBADAH
Miring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat malam.

3. TIDUR PARA RAJA YANG HALOBA

Miring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang banyak dimakan.

4. TIDUR SYAITAN
Menelungkup/tiarap seperti tidurnya ahli n
eraka.

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Sesuatu yang tak dijangka telah berlaku minggu ini. Kenapa harus diulang kesilapan yang sama? Bukankah sejarah perlu diteliti supaya tidak berulang? Aku benar-benar terkilan. Kamikah yang salah memilih? Aku tak mampu memikul semuanya sendiri. Aku keliru. Jawatan bukan sekadar nama dan pangkat, tapi ia adalah amanah dan tanggungjawab. Sebaris kata-kata keramat ini sudah lama aku pasakkan di minda. Mudah-mudahan aku berjaya melaksanakan apa yang patut aku laksanakan.

Hari ini (3 April) merupakan tanggal kelahiran yang ke 24 bagi abang sulungku, Muhammad Faiz bin Mispul. Selamat Hari Lahir. Semoga beroleh kejayaan dan berada dalam redha Allah selalu. Baru beberapa minggu lepas aku mengetahui bahawa salah seorang sepupuku juga turut dilahirkan pada tanggal ini tetapi setahun lebih awal daripada abangku. Ye, tak kenal maka tak cinta. Selamat Hari Lahir juga kuucapkan padanya.
Apa yang kita inginkan pasti tak dapat kerana ada halangan,didalam halangan pasti ada hikmahnya,didalam hikmah belum tentu kita tahu ia perlukan kesabaran dan ketabahan,di sebalik kesabaran pasti ada khabar baik...


Hidup ini tak sunyi dari masalah dan kesulitan. Setiap hari, kita diuji dengan pelbagai perkara yang tak dijangka. Apa yang mampu aku lakukan, hadapi semuanya dengan hati terbuka dan redha dengan ketentuanNya. Bagiku, payah untuk menjaga hati. Hati sendiri, hati sahabat-sahabat, hati mak abah, hati abang-abang, hati semua orang... Aku paling benci bila perlu memilih di saat akhir kerana aku terpaksa mengubah perancangan rapi telah dibuat dan kadang-kadang memungkiri janji. Aku terpaksa melukai banyak hati. Hati sendiri apatah lagi. Antara melukai hati orang lain dan hati sendiri, aku lebih rela aku yang terluka...

Wednesday, 1 April 2009

April Fool...

Adakah anda ketahui fakta yang agak
pahit di sebalik hari April Fool ?

Kira-kira beribu-ribu tahun yang
lampau, negara Sepanyol diperintah
oleh orang-orang Islam. Kuasa orang
Islam di Sepanyol ketika itu cukup
kuat, yang tidak mungkin boleh
ditandingi.
Orang-orang Kristian di Barat ingin
sekali menghapuskan Islam daripada
semua bahagian dunia dan mereka telah
berjaya pada satu tahap. Tetapi mereka
telah cuba untuk menghapuskan Islam di
Sepanyol dan cuba menakluknya
(conquer), tetapi gagal.

Mereka kemudiannya menghantar beberapa
orang perisik ke Sepanyol untuk
mengkaji keadaan orang Islam di sana
dan mengesan apakah kekuatan yang
mereka miliki. Dan, mereka dapati
bahawa kekuatan yang ada pada orang-
orang Islam ialah TAQWA. Muslim di
sana tidak hanya sekadar muslim pada
nama, tetapi mereka mempraktikkan
ajaran Islam. Mereka tidak hanya
membaca Al-Quran, bahkan melaksanakan
kandungan Al-Quran. Mereka
berkata 'tidak' kepada muzik, mereka
juga berkata 'tidak' kepada arak dan
semua benda yang diharamkan oleh
Islam. Jika mereka baca dalam Al-Quran
mengenai hijab, mereka laksanakannya,
berbeza dengan keadaan kebanyakan
masyarakat Islam kita pada hari ini.
Marilah kita berganding tangan dan
berjanji untuk menjadi Muslim yang
benar-benar melaksanakan perintah
Allah (Practicing Muslims).

Orang-orang Kristian telah menjumpai
satu jalan yang boleh melemahkan
kekuatan yang dimiliki orang-orang
Islam. Mereka telah menghantar
pelbagai jenis alkkohol dan rokok ke
Sepanyol dengan percuma (free of
cost). Teknik ini nampaknya berkesan
dan ianya telah mula melemahkan
keimanan orang-orang Islam terutamanya
generasi muda Sepanyol.

Natijahnya, Katholik Barat telah
berjaya menghapuskan pengaruh Islam
dan menawan seluruh Sepanyol yang
membawa satu noktah akhir kepada
pemerintahan 800 tahun Islam di
Sepanyol. Kejatuhan terakhir muslim di
sana ialah ketika kejatuhan Grenada
(Ghornata) pada 1 haribulan April.
Dan, daripada tarikh itu, setiap
tahun mereka merayakan 'Hari Bodoh'
pada 1 April, yang mana mereka telah
berjaya membuatkan umat Islam bodoh
pada tarikh ini dan kita sebagai orang
Islam juga telah diperbodohkan oleh
Kristian yang mana mereka sekarang
merayakan bulan April sebagai hari
bodoh.