Engagement Fund ;)

Sunday, 31 May 2009

Dah Cuti Sekolah Rupanya...

Ketika sampai di rumah kelmarin, aku perasan ada lebih daripada 3 keping kad jemputan ke majlis perkahwinan di atas meja depan. Lantas aku mengerling ke kalendar yang tergantung di dinding dan terdetik di hati; "Patutlah, dah mula cuti sekolah." Hari ini pun aku turut mengikut mak dan abah ke majlis perkahwinan jiran sebelah rumah di Klang dan saudara mak juga di Klang. Sepanjang perjalanan ke sana, lebih dari 5 buah rumah turut mengadakan majlis yang sama. Ada yang bertemakan merah, emas, coklat, ungu, biru dan juga hijau. Minggu depan masih ada beberapa undangan yang perlu dipenuhi (untuk mak dan abah je la kot). Selamat Pengantin Baru di ucapkan kepada Kak Siti Nasirah dan pasangannya (jiran sebelah rumah di Klang). Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat.

Segalanya Tetap di Ingatan

28 Mei 2009..Hari terakhir bagi Minggu Tekad Siswa sesi Mei 2008/2009. Terasa sayu bila memikirkan waktu yang beranjak pergi. 6 hari yang diperuntukkan tidak terasa lama. Alhamdulillah, segalanya berjalan seperti yang dirancang walaupun tetap ada sedikit kekurangan. Cuma pada hari pendaftaran(23 Mei 2009), keadaan tidak selancar yang diharapkan. Seawal 8.30 pagi aku dan pasukanku mengambil tempat masing-masing. Bersedia untuk memastikan keadaan di residen lancar. Mulanya, kami masih boleh berbual dan bergoyang kaki memandangkan masih belum banyak kenderaan dan manusia di kawasan residen. Tatkala matahari tegak di atas kepala, ketegangan mulai terasa baik di pihak kami mahupun ibu bapa dan pelajar baru yang mendaftar. Mungkin kerana bahang mentari yang agak bisa atau juga masalah di Dewan Utama. Entah.. Kami tetap berusaha mengawal keadaan hinggalah aku hampir putus asa ketika sebahagian besar daripada mereka tidak mahu bekerjasama dengan peraturan yang telah ditetapkan hingga menyebabkan laluan di Cluster menjadi sesak dan kenderaan tidak dapat bergerak langsung! Saat itu, Allah saja yang tahu apa yang terzahir di hatiku dan mungkin juga sahabat-sahabat lain. Namun, aku tetap semat di hati 3 prinsip yang diterapkan sepanjang MTS ini iaitu Sabar,Senyum dan Salam. Terima kasih tak terhingga ku ucapkan kepada pihak yang memahami tugas kami pada hari tersebut. Ada juga ibu bapa yang menyapa mesra dan mengikut saja peraturan yang termaktub. Sedikit sebanyak menyejukkan hati yang kian membara. Hingga petang, keadaan agak terkawal. Itupun setelah Ketua dan Penasihatku turun padang ke cluster siswi. Lewat petang itu, YDP MPP turut sama menyumbang bakti. Barulah kami tahu bahawa ada insiden yang berlaku di kaunter pendaftaran di Dewan Utama yang kami yakin merupakan penyumbang utama keadaan di residen menjadi kecoh dan tidak terkawal. Daripada senior-senior FMTS juga aku dikhabarkan bahawa inilah kali pertama keadaan berlaku seperti simulasi (situasi yang direka sewaktu simulasi lebih teruk daripada situasi sebenar).


"Residen Masuk...Residen"

Bila ditanya, kenapa susah-susah nak jadi FMTS? Dah la cuti sekejap. Penat pulak tu. Tak cukup tidur. Stress lagi. Itulah komen daripada segelintir rakan-rakanku. Kenapa ye? Tak dinafikan, memang penat. Tak cukup tidur, banyak jalan, stress dan yang sewaktu dengannya la. Disebalik semua keadaan tu, ada kemanisan yang pastinya takkan luput ditelan masa. Daripada cuma menjeling, jadi tersenyum. Daripada cuma tersenyum, jadi bertegur sapa. Itulah situasi sepanjang MTS. Kami bukannya kenal rapat antara satu sama lain. Tapi, secara tiba-tiba sudah terjalin satu ikatan antara kami. Pengalamanlah yang paling berharga dalam kamus hidupku kerana setiap pengalaman baru yang dilalui bakal mematangkan kehidupan yang ditempuhi. Lebih banyak kite memberi, lebih banyak kita dapat kembali. Bila dan bagaimana, hanya Allah yang berkuasa keatas segalanya.
"Apabila kalian diberi penghormatan dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah penghormatan itu
(dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah selalu membuat perhitungan atas tiap-tiap sesuatu."
(An-Nisa': 86)

Friday, 22 May 2009

FMTS Episod 2

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...
Masuk hari ini, genaplah seminggu aku kembali ke kampus yang masih lagi lengang. Cuma di beberapa tempat, meriah dengan suara dan gelagat mahasiswa yang sudah pun berada di sini sejak seminggu lalu. Ini merupakan kali kedua aku menyertai Minggu Tekad Siswa (MTS) dan kali ini aku diletakkan dalam Biro Residen. Bukan tidak mahu menabur bakti dengan Biro Sahsiah tapi aku lebih suka mengutip banyak pengalaman sementelah sewaktu mengisi borang permohonan pun Sahsiah tidak termasuk dalam senarai. Sewaktu pertama kali dahulu, Abang Garang yang juga Pengarah MTS (yang pada waktu itu adalah Minggu Apresiasi Siswa) mengingatkan supaya mencatat kesemua maklumat yang dibentang oleh biro-biro lain semasa pembentangan master plan berjalan. Kini, terbukti nasihat beliau amat-amat berguna. Malangnya, Buku Rahsia Kerajaanku yang mengandungi maklumat-maklumat tersebut tertinggal di rumah. Alhamdulillah, walaupun kami semua tidak pernah bekerja dalam Biro Residen sebelum ini, bantuan dari FMTS lain amat kami hargai.

Hari ini aku benar-benar stress. Beberapa kali aku restart laptop bila tiba-tiba 'hang' sewaktu sedang menyiapkan slide show untuk i Rakan. Kemudian, ketika mahu menjenguk ke laptop Faiz yang duduk di hadapanku, secara tak sengaja cawan berisi Nescafe jatuh dan mengalirlah semua cairan yang berada di dalamnya. Aku yang terkejut cepat-cepat mencari tisu dari dalam beg tanpa terfikir untuk menyelamatkan laptop yang sudah pun terkena Nescafe tersebut. Bila Faien menjerit "Akak, angkat la dulu laptop ni!", barulah aku tersedar. Gelabah aku bila suku daripada bahagian bawah laptopku dibasahi Nescafe tersebut. Cepat-cepat aku keringkan dengan tisu yang sudah pun berada di tangan. Mujurlah semuanya selamat. Lebih lega bila Fendi mengeluarkan teori sains bahawa Nescafe mempunyai kepekatan yang lebih berbanding air biasa. Aduh..terpaksa aku mengedit semula slide show yang hampir siap kerana plug pulak tercabut dari soket selepas bateri ditanggalkan. Sabar ajelah...

Kira-kira 4 petang, ketuaku memanggil semua anak buah untuk membincangkan mengenai tugasan kami serta memberitahu serba sedikit maklumat yang beliau peroleh daripada perjumpaan bersama pihak Jananiaga. Memang kerja kami agak sukar dan mencabar kerana kami bakal berhadapan dengan pelbagai ragam dan kerenah ibu bapa semasa hari pendaftaran nanti. Masing-masing yang sudah keletihan kerana seharian duduk menunggu di kafe kelihatan tiada mood dan hilang tumpuan. Hinggalah ketika...

Hatimi:Masalah sekarang ni kat cluster. Kadang-kadang kereta yang ada lambang ni tak nak alih ke parking luar.

Faien:Kita cakap la elok-elok kat diorang.

Fendi:Nanti kalau orang lain tanya, kenapa kereta ni boleh parking kat sini?, nak cakap apa pulak?

Hatimi:Alah,pandai-pandai la cover macam yang Navin bagi tau semalam.

Masing-masing masih lagi blurr dan tidak menumpukan perhatian.

Faiz: Ah, kita cakap je kat pak cik yang tanya tu; "Pakcik, sebenarnya kereta ni memang rosak. Jom kita tolak ramai-ramai pergi kat luar".

Habis saja Faiz bersuara, semua ketawa besar. Boleh pulak macam tu ye? Hai, macam-macam.

Esok pagi merupakan simulasi sebelum hari sebenar menjelma. Aku pasti pelakon-pelakon handalan yang membintangi drama tanpa skrip ini akan beraksi dengan cemerlang. Cuma tunggu dan lihat sajalah...

Sunday, 17 May 2009

Konsert Antara Dunia



Tema: Menyemarak Kebangkitan, Meneraju Ummah
Tarikh: 1 Ogos 2009 (Sabtu)
Masa: 7.00 malam - 11.00 malam
Tempat: Stadium Malawati, Shah Alam
Anjuran: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia
Dengan Kerjasama: Rabbani Productions (M) Sdn. Bhd.

Harga Tiket:
RM 10 (Biasa)
RM 30 (Sederhana)
RM 50 (VIP)

Hubungi untuk dapatkan TIKET:
Abdul Qahhar : 013-6288614
Ummu Syazwina : 013-2042597

Pidato Kepimpinan Siswa


PIDATO KEPIMPINAN SISWA BERSAMA YB. PUAN NURUL IZZAH ANWAR

Tarikh: 27 Mei 2009

Hari: Rabu

Masa: 8.45 Malam

Tempat: Dewan Besar UNISEL, Kampus Bestari Jaya

Pakaian: Kemas dan sopan

Saturday, 16 May 2009

Terima Kasih Cikgu

Masih jelas diminda
bisikan suaramu..memanggil
Di situ langkahku bermula
mengejari cita..kau disisi

Lantas ku utuskan
lagu untuk menyatakan
terima kasih guru
kerna hulur tanganmu
ku menghargai setulus jiwaku
bicaramu guru
kan ku ingat selalu
menjadi azimat
hingga ke akhirnya

Guru..ibarat pelita
sentiasa menyinar
kamar hidupku..
Guru..kau pewaris ilmu
mendidik diriku
hinggaku berjaya

Andai diberi peluang
inginku terbang tinggi
di awangan kanku petik
bintang-bintang
ku jadikan hadiah untukmu
moga tuhan merahmatimu
Terima Kasih..

Mirwana

Tepat jam 12.oo tadi, bertukar sudah tarikh dan hari. 16 Mei. Tarikh keramat yang menghargai warga pendidik. Istimewanya pendidik yang bergelar cikgu, ustaz, ustazah, teacher mahupun sir, gelaran itu melekat sampai bila-bila. Mereka ibarat ibu dan ayah kerana tugas mereka bukan hanya mengajar subjek-subjek yang ada tetapi juga memanusiakan kita. Kerana itulah tugas mereka bukan hanya sekadar mengajar tetapi juga mendidik. Tema sambutan pada tahun ini merupakan 'Guru Pembina Negara Bangsa'. Sebaris ayat yang ringkas namun mempunyai maksud yang dalam. Maju mundur sesebuah negara bergantung kepada tahap pendidikannya. Namun, secanggih mana pun sistem pendidikan yang diguna pakai oleh sesebuah negara, keberkesanannya tetap bergantung kepada orang yang menyampaikannya, iaitu guru. Seorang guru bukan hanya perlu mengajar tetapi perlu terlebih dahulu memahami dan menguasai ilmu yang bakal diajarkan supaya pembelajaran akan menjadi lebih berkesan. Tanggungjawab seorang pendidik tidak hanya mengajarkan ilmu khusus seperti yang tercatat dalam silibus tetapi merangkumi aspek-aspek sahsiah dan kerohanian agar murid-murid nanti bukan saja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga cemerlang pada akhlaknya. Kesabaran adalah perkara utama yang perlu dipupuk dan ditanam dalam diri kerana tidak semua orang mempunyai tahap penerimaan yang sama ketika proses pembelajaran berlangsung. Selain itu, kerenah pelajar yang pelbagai harus diteliti supaya guru dapat menyesuaikan sikap dan tingkah laku mereka dalam proses pengajaran.

Semua yang tercatat diatas aku kutip daripada pembacaan dan pendengaran daripada media massa dan juga apa yang telah aku lalui sepanjang hampir 3 tahun mengikuti kursus perguruan. Cerita-cerita daripada para pensyarah dan senior yang telah pun turun ke sekolah-sekolah untuk praktikal aku ambil sebagai ilmu dan ingatan. Ada yang manis dan tidak kurang cerita pahit. Memang bukan mudah untuk menjadi seorang guru. Jadi, hari gurulah harinya untuk kita meraikan guru-guru kita. Kedua ibu bapaku juga merupakan guru suatu ketika dulu. Semalam pun abah masih menerima ucapan selamat hari guru dan terima kasih daripada bekas pelajarnya melalui SMS. Kalau masih mengajar dulu, memang seronok bila tiba hari guru kerana akulah yang akan menjadi 'tukang buka hadiah' bagi hadiah-hadiah yang diterima oleh mak. Penuh satu kereta dengan pelbagai saiz hadiah. Nilainya bukan menjadi kepentingan tetapi tanda ingatan itulah yang penting. Mak paling suka bila mendapat pen merah kerana pen merah memang keperluan mana-mana guru pun. Berbeza dengan abah, hadiah yang diterima saban tahun tidak banyak seperti mak memandangkan abah mengajar di sekolah menengah. Mengikut pengalamanku, bila umur sudah meningkat, kesedaran untuk memberi hadiah kepada guru-guru amat rendah termasuklah diriku sendiri.

Ketika di Hamidiah dulu, tamat saja perhimpunan pagi, semua murid akan beratur panjang untuk bersalaman dengan semua guru. Kemudian, kami akan ke Dewan As-Shafie untuk majlis seterusnya. Memang seronok kerana setiap tahun cara sambutannya berbeza kerana yang mengelolakan juga orang yang berlainan. Kepada guru-guruku, sejuta penghargaan kuberikan. Terima kasih atas segala ilmu yang dicurahkan dan sabar melayan kerenahku dan juga rakan-rakanku. Inilah antara guru-guru yang merupakan guru kelasku:

Darjah 1 - Cikgu Rahmah
Darjah 2 - Cikgu Zaharah
Darjah 3 - Cikgu Tusiam
Darjah 4 - Cikgu Rozita
Darjah 5 - Cikgu Zurihan
Darjah 6 - Cikgu Saharudin

Kenangan bersama Cikgu Saharudin dan rakan-rakan sekelas 6 Setia 2000

Tingkatan 1 - Teacher Tiara Nurbani
Tingkatan 2 - Cikgu Mazura
Tingkatan 3 - Cikgu Shamsiah (Mentor - Ustazah Azlinda)
Tingkatan 4 - Cikgu Ezana
Tingkatan 5 - Ustazah Engku Zarihan (Mentor - Cikgu Maiselamah)


Kenangan bersama Cikgu Maiselamah - Hari Guru 2005

Terima Kasih Cikgu...

Selamat Tinggal Cinta

Aku kembali semula ke Unisel hari ini. Singkatnya cutiku kali ini. Terasa berat hati ketika mahu meninggalkan rumah tadi.Mudah-mudahan apa yang bakal aku hadapi sepanjang 2 minggu ini memberi manfaat dan pengertian besar buatku. Esok kami akan berangkat ke Nur Lembah Pangsun untuk menjalani induksi FMTS seawal pagi lagi. Kisah seterusnya akan aku ceritakan nanti.

Wednesday, 13 May 2009

AGM PERAMAH dan Irham Night 3

Semenjak aku menggunakan akaun email Gmail, aku sudah amat jarang membuka akaun Yahoo yang mana aku gunakan semata-mata untuk YM. Akibatnya, aku lambat mengetahui mengenai aktiviti yang dijalankan oleh PERAMAH (Persatuan Alumni Maahad Hamidiah). Jadi, buat sahabat-sahabat yang berkelapangan, AGM PERAMAH dan majlis makan malam tahunan(Irham Night 3) akan diadakan serentak pada tahun ini. Maklumat lanjut adalah seperti dibawah:

Tarikh : 16 Mei 2009
Tempat : Dewan As-Shafie, SMKA Maahad Hamidiah
Masa : 6.00 petang
Bayaran : RM 20.00 (RM 10.00-Makan , RM10.00 Pendaftaran Keahlian)

Maklumat diatas adalah seperti yang dihantar melalui email.Sebarang maklumat lanjut, sila kunjungi yahoo group PERAMAH

Jadi, sahabat-sahabat yang berdekatan dengan Maahad dan berkelapangan, datang la ye. Masih sempat lagi ni. Seperti tahun lepas, aku menghadapi masalah yang sama tahun ini iaitu tugas di universiti yang menunggu (ye ye je). Insyaallah ada masa dan umur panjang, tahun depan aku akan menyertai kalian.

Monday, 11 May 2009

Jalan-jalan Cari Pasal

Siang tadi, aku telah memenuhi undangan walimatulurus salah seorang seniorku, Kak Edura di rumahnya di Jalan Kebun. Pemergianku hari ini ditemani oleh sahabatku yang juga sedang bercuti, Aten memandangkan inilah satu-satunya cara untuk bersua muka dengannya, menyelam sambil minum air. Beberapa sahabat yang merancang untuk hadir pada mulanya tidak sampai hajat kerana beberapa halangan yang tidak dapat dielakkan. Setelah memenuhi undangan tersebut, aku melirik ke jam di dashboard kereta. Masih awal lagi waktunya.

Aku terus menghalakan kereta ke Pelabuhan Klang. Hajat hati untuk menjejakkan kaki di Tanjung Harapan, tempat yang telah sekian lama aku tidak kunjungi. Dulu, selalu juga abah membawa kami adik-beradik ke situ memandangkan jarak dari Taman Desa Utama ke Tanjung Harapan tidaklah jauh mana. Alhamdulillah, aku masih ingat jalannya. Kira-kira jam 3.00 petang, kami tiba di situ. Aku mencari tempat meletak kereta yang agak redup kerana terik mentari akan membuat kereta hangat dan berkepam. Frasa 'buang tebiat' yang kami sebut-sebut sepanjang perjalanan ke sini terus lenyap memandangkan ramai juga pengunjung yang bersantai di sini walaupun bahang mentari terasa menyengat. Daripada yang bersendirian hinggalah yang sudah berkeluarga, semuanya asyik menikmati bayu pantai yang bertiup lembut. Terasa lega bila aku sudah mengadap laut. Inilah ubat mujarab bagiku untuk menghilangkan keresahan dan tekanan yang aku alami sejak beberapa minggu sudah. Hembusan angin laut yang sejuk seakan membawa pergi segala masalah yang ada. Agak lama juga kami di situ sebelum bergerak ke destinasi seterusnya.

Sejam berikutnya kami meredah lautan manusia di Jusco Bukit Tinggi. Mulanya mahu membasahkan tekak di Old Town Kopitiam kerana masing-masing kepingin merasa keenakan kopi putihnya. Bila menjenguk ke dalam premis yang sederhana besar itu dan kesemua tempat duduk penuh, kami terus melangkah. Akhirnya, langkah kaki terus ke Laksa Shack biarpun Aten mengidam spaghetti Secret Recipe. Usai makan, kami meronda sebentar sebelum ke aras bawah. Aku berhajat untuk membeli sebiji kek untuk meraikan hari ibu. Mujurlah La Boheme tidak sesesak Lavender yang sentiasa penuh dengan pengunjung sejak aku sampai tadi. Akhirnya, kami menyertai barisan manusia yang panjangnya hingga menutupi laluan di hadapan kaunter aiskrim Mc D untuk membeli McFlurry yang sudah terlalu lama tidak dijamah. Perjalananku untuk cuti semester kali ini sempurna kerana hasratku untuk ke Tanjung Harapan tertunai juga.

Akhir sekali, aku perlu memastikan "to do list" dan amanat dari Encik Presiden terlaksana dengan baki cuti yang kurang dari 4 hari ini.

Sunday, 10 May 2009

Selamat Hari Ibu


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Hari ini merupakan sambutan hari ibu bagi kebanyakan negara di seluruh dunia. Sangkaku, satu dunia menyambutnya hari ini. Bila aku membaca sejarah hari ibu dan beberapa fakta mengenai sambutan ini di Wikipedia, barulah aku mengetahui bahawa hari ibu tidak disambut serentak di seluruh dunia. Bila tarikhnya atau bagaimana kita menyambutnya bukanlah isu besar kerana pada hari-hari biasa juga kita boleh meraikan ibu yang telah melahirkan kita. Ucapan untuk ibuku yang ku panggil mak; Selamat hari ibu...adik sayang mak sangat-sangat..terima kasih segalanya..

Tuesday, 5 May 2009

Apple Crumble

Bahan asas:
100 gram biskut Marie
1 cawan oat
1 biji telur
2 sudu besar mentega

Inti:
3 biji epal hijau
1/2 cawan gula perang
1/2 cawan gula
1 sudu besar mentega
2 sudu makan tepung kastad
1 camca serbuk kayu manis

Hancurkan biskut Marie. Hancur ikut selera masing-masing la ye. Nak hancur sangat ke, tak nak hancur sangat ke. Satukan oat dan biskut Marie dan ramas bersama telur dan mentega sampai la dia jadi lembab. Okey, letak tepi dulu. Untuk intinya pulak, cairkan mentega. Masukkan gula dan gula perang. Biarkan hingga cair. Masukkan epal yang telah dipotong kiub. Gaul dan gaul lagi. Kemudian, masukkan serbuk kayu manis. Kalau tak suka bau dia yang tak berapa nak best, tak payah letak pun tak apa. Kacau lagi. Akhir sekali, masukkan tepung kastad dan gaul rata. Biar hingga 2 ke 3 minit sebelum tutup api. Sentuhan terakhir, mampatkan separuh daripada bahan asas tadi ke dalam acuan. Tekan, tekan dan tekan hingga betul-betul mampat. Dah sudah, tuangkan bahan inti. Ratakan. Akhir sekali, tutup dengan separuh lagi bahan asas tadi. Pandai-pandai la nak mampatkan dia macam mana. Nanti kejap, belum boleh makan lagi. Kena bakar selama 20 ke 30 minit dulu. Dah siap bakar, sejukkan kejap sebelum letak dalam peti sejuk. Setengah jam kemudian, keluarkan dari peti dan makan la dengan aiskrim vanila.

*Resepi asal ku peroleh daripada Mimynn dan diolah sedikit dek kerana ada beberapa bahan yang macam best je kalau campur sekali. Hehehe... Nak tau rasa dia macam mana, cuba la buat sendiri ye.

Sunday, 3 May 2009

1 Je Lagi..

Lenguh di jari masih lagi terasa di saat jari-jariku rancak menekan kekunci laptop. Alhamdulillah, selesai sudah kertas Teaching of Aural-Oral Skills. Agak bimbang juga pada mulanya kerana aku kurang fokus pada kertas ini dek kerana hambatan perasaan yang maha kuat sehingga mengalih tumpuanku. Malam tadi pun, aku hanya menyelak nota-nota sekadar di pinggiran. Mujurlah apa yang diberitahu bakal keluar, memang keluar. Terima kasih kepada kawan-kawan yang berkongsi 'tips'. Cuma, inilah satu-satunya subjek yang membuat tangan ku kebas dan jemariku sengal kerana terlalu banyak menulis. Masa 3 jam yang diperuntukkan pula seperti perlu ditambah. Apakan daya, semua subjek teaching akan ada soalan mengenai lesson plan dan kami perlu menulisnya dengan lengkap termasuk objektif. Fuh, buntu juga la otak ni memikirkan.

Esok, kertas terakhir iaitu 'Media Resources in ELT' yang mungkin memerlukan aku memerah otak lagi untuk soalan lesson plan. Sabarlah menanti ye...

Friday, 1 May 2009

Duhai Hati..


Maafkan aku kerana membisu
Inilah aku..
Mudah memaafkan namun payah untuk melupakan
Mungkin juga salahku
Apa kan daya, hati yang lara
Tiada pengubatnya
Biarkan aku sendiri
Hanya deruan ombak
Atau mungkin hembusan angin pantai
Mampu menyembuhakan kelukaan
Meredakan keresahan
Maafkan aku