Engagement Fund ;)

Monday, 29 June 2009

Sesi Bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...
Alhamdulillah dengan izinNya, program yang dirancang dalam masa yang singkat hampir menjadi nyata. Justeru, anda dijemput untuk menghadiri Pidato Kepimpinan & Sesi Dialog bersama Dato' Seri Anwar Bin Ibrahim pada:

Tarikh: 9 Julai 2009 (Khamis)
Masa: 8.00 Malam
Tempat: Dewan Utama, UNISEL Kampus Bestari Jaya

Semua dijemput hadir untuk sama-sama memeriahkan program ini.

Saturday, 27 June 2009

Di Balik Cermin Mimpi..

Di balik cermin mimpi
Aku melihat engkau
Di dalam engkau
Aku melihat aku
Ternyata kita adalah sama
Di arena mimpi yang penuh bermakna

Bila bulan bersatu dengan mentari
Bayang-bayang ku hilang
Di selebungi kerdip nurani
Mencurah kasih, kasih murni
Mencurah kasih

Di balik cermin, cermin mimpi
Adalah realiti yang tidak kita sedari
Hanya keyakinan dapat merestui
Hakikat cinta yang sejati
Hakikat cinta yang sejati

Dengan tersingkapnya tabir siang
Wajah kita jelas terbayang
Dan terpecah cermin mimpi
Menjadi sinar pelangi
Pelangi

M. Nasir

*Pertama kali dengar lagu ni, terus tertarik dengan liriknya. Seperti ada banyak maksud tersirat.

Akukah yang Bersalah???

Satu panggilan...
Cukup untuk membuat aku gelisah.
Kembali muhasabah diri.
Kenapa tiba-tiba ni? Kerana perkara itu atau masalah lain?
Entah.. Tak faham..
Macam Kak Chik cakap;
"Orang melayu ni terlalu berbudi bahasa..sampai semuanya nak dikiaskan"
Padaku, biarlah berpada-pada..
Jangan sampai timbul tanda tanya
atau syak wasangka..
Jangan kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar...
.........................



Wednesday, 24 June 2009

10 Tahun UNISEL

Seawal pagi lagi aku sudah bersiap untuk ke Majlis Sambutan 10 Tahun Unisel yang diadakan di Dewan Utama, UNISEL. Maklumat yang diterima dari Shardiansha, perlu berada di sana seawal 7.30 pagi. Awal tu.. Namun maklumat dari Kak Chik mengatakan majlis hanya akan bermula 9.00 pagi. Jadi, aku memilih pertengahannya. Kira-kira jam 8.30 pagi aku sampai di Dewan Utama. Meriah suasana di perkarangan dewan. Tika melangkah masuk ke dalam, kerusi yang ada hampir penuh. Mujurlah beberapa sahabat yang lain sudah menempah sebaris tempat duduk untuk persatuan kami.

Kira-kira jam 9.15 pagi, YAB Dato' Menteri Besar Selangor, Dato' Abdul Khalid Ibrahim tiba. Tepat seperti yang tertulis dalam buku aturcara. Bermula dengan pemeriksaan perbarisan kehormat Askar Wataniah di dataran dewan dan persembahan kebudayaan dan seni mempertahankan diri di luar dan lobi dewan. Sejurus selepas tetamu kehormat dan jemputan lain mengambil tempat, majlis dimulakan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Negeri Selangor. Persembahan dari kumpulan nasyid Nur I See turut menyerikan lagi majlis pada pagi yang hening ini diikuti dengan bacaan doa bagi memberkati lagi majlis sambutan ini. Majlis diteruskan lagi dengan persembahan pentomin dan deklamasi sajak oleh mahasiswa UNISEL. Seterusnya, ucapan dari Naib Canselor UNISEL, Datuk Dr. Rosti bin Saruwono dan akhirnya ucapan perasmian oleh YAB Dato' Abdul Khalid Ibrahim. Setelah sempurna gimik persamian dan nyanyian lagu UNISEL, kesemua tetamu kehormat melawat ke booth-booth pameran yang tersedia di bahagian belakang dewan dengan diiringi pihak pengurusan UNISEL serta barisan MPP. Majlis bersurai kira-kira jam 12.30 tengah hari, setengah jam awal dari jangkaan.

Monday, 22 June 2009

Bingkisan untuk Abah..



Maaf kerana lewat menulis entri ini. Namun aku tak lewat mengucapkan 'Selamat Hari Bapa' untuk abah. Sempat menelefon ke rumah selepas pulang dari surau tadi. Jarang sekali abah mahu mengangkat telefon. Tadi, sebaik mengucapkan hello dan memberi salam, suara abah yang menjawab. Lantas aku mengucapkan 'Selamat Hari Bapa' kepadanya. Perancangan awal mahu meraikan abah hari ini. Namun dek kerana keadaan tidak mengizinkan untuk aku pulang ke rumah, sambutan tersebut terpaksa ditunda. "Selamat Hari Bapa untuk abah yang disayangi. Terima kasih kerana mendidik kami menjadi manusia. Adik sayang abah..."

Terlalu banyak pengorbanan abah pada kami 3 beradik. Pernah hidup berjauhan dengan beliau namun abah tetap sentiasa diingati. Abah yang ajar aku mengaji dari alif hinggalah akhirnya khatam satu Al-quran. Masih ingat, dulu kadang-kadang aku ikut sekali abah mengajar waktu pagi. Pendek kata, kemana abah pergi, aku seboleh mungkin ikut. Abahlah abah terbaik untuk kami...=)

Sunday, 21 June 2009

Dari UNISEL ke KUIS

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...
Semalam, semalaman aku tidak melelapkan mata. Ada kerja yang perlu diselesaikan. Balik dari makan malam bersama Faien dan Aienn, aku terus menghidupkan laptop. Mencari sedikit bahan-bahan assignment sebelum memulakan kerja membuat slide untuk pembentangan esok. Arahan dari Najib dan Encik Presiden hanyalah slide Powerpoint. Tapi aku seperti mahu melengkapkan pembentangan esok dengan slide bergambar yang selalunya aku buat menggunakan Windows Movie Maker. Memandangkan masa yang ada agak singkat, aku hanya mengedit slide untuk persembahan MTS tempoh hari. Alhamdulillah, slide tersebut siap ketika azan subuh dilaungkan. Sepanjang malam, hatiku berdebar-debar menanti hari siang. Pelbagai persoalan bertandang di fikiran. Pelbagai gambaran datang menerpa di pandangan. Beberapa kali juga aku mainkan kembali slide tersebut untuk memastikan ianya sempurna. Usai solat subuh, aku terus ke dapur dan menjerang air. Pesanan dari seorang sahabat yang meminta bantuan untuk membuat air bagi melengkapkan hidangan sarapan aku penuhi. Dengan keadaan kelam kabut, 3 bekas besar air teh siap dibancuh (terima kasih Kak Chik, jadi tukang rasa kadar kemanisan air teh saya). Kira-kira 7.30 pagi, barulah aku, Faien dan Aienn turun ke Dewan Biru untuk berkumpul sebelum bertolak ke KUIS bagi Lawatan Mahabbah antara i Rakan dan ALAM. Mujurlah bas masih belum sampai. Kami memulakan perjalanan tepat jam 8.30 pagi, sejam lewat dari perancangan.




Sebaik saja berada dalam kedinginan air-cond, kantuk yang cuba ditahan kembali. Namun aku abaikan dengan melihat pemandangan di sepanjang jalan sambil memerhatikan jalan yang dilalui. Akhirnya, aku terlelap juga. Sedar-sedar, hujan diluar mengiringi perjalanan kami. Agak lebat juga hujan yang turun. Alhamdulillah, tepat 10.40 pagi kami tiba di KUIS. Pihak ALAM (AL-Azhar Members) sudah pun menunggu ketibaan kami. Sejuta kemaafan dipohon kerana kelewatan kami. Perkara pertama yang muncul di minda; "Uiks, semuanya berjubah dan tudung labuh ni." Kedengaran juga beberapa sahabat lain membandingkan keadaan di sini dan UNISEL. Landskapnya lebih menarik dan pohon-pohon yang merimbun menyejukkan persekitaran dan mata yang memandang. Untuk seketika, kami bersalaman dan bertanya khabar menjalinkan perkenalan. Kemudian kami dibawa ke sebuah bilik tutorial (berdasarkan tanda yang ada di luar bilik tersebut) untuk bersarapan. Kuih-muih yang ada aku jamah seadanya kerana tidak tertelan rasanya memikirkan apa yang bakal dihadapi.


Sesi Taaruf dari pihak i Rakan

Kemudian, kami dibawa ke bilik mesyuarat pengurusan untuk agenda seterusnya. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari pengerusi majlis, Saudara Akmal dengan sepotong ayat Quran; 'Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti : Al-Hujurat:13' dan diikuti dengan bacaan asmaul husna dan lagu tema ALAM, Semarak Perjuangan. Sedikit ucapan aluan dari Presiden ALAM, Saudara Muhammad Fahmi Iberahim sebelum sesi taaruf dari pihak i Rakan dan pihak ALAM. Usai sesi taaruf kedua-dua belah pihak, Presiden i Rakan, Saudara Ahmad Mustapha Ab Azais membentangkan portfolio dan gerak kerja i Rakan disusuli dengan pembentangan dari exco-exco i Rakan sendiri. Tepat jam 12.40, majlis berhenti untuk makan tengahari dan solat zohor di Masjid Al-Azhar, KUIS. Slot kedua bersambung pada jam 2.25 petang iaitu pembentangan portfolio dan gerak kerja ALAM. Begitu teliti maklumat yang disampaikan dan dikongsi oleh mereka. Saat ini, aku perlu menambah kelajuan menulis supaya tidak terlepas maklumat penting yang boleh diambil dan diguna pakai oleh i Rakan sebagai penambah baikkan organisasi selain melawan rasa ngantuk yang datang tanpa dipinta.

Slot ketiga adalah Sesi Dialog dimana kedua-dua pihak mengajukan soalan-soalan dan berkongsi pendapat. Pelbagai idea baru timbul dan boleh diadaptasi di kedua-dua kampus. Slot ini berlangsung selama satu jam sebelum berpindah ke slot terakhir iaitu Slot Resolusi. Hasil dari perbincangan, perkongsian pendapat dan kritikan membina dari kedua-dua pihak, tersenarailah 6 resolusi yang bakal dilaksanakan untuk memantapkan lagi gerakan i Rakan dan ALAM sendiri.

Suasana pada Sesi Dialog


Penyampaian Cenderahati dari Pihak ALAM


Sedikit bingkisan buat ALAM




Sejurus selepas solat asar, sempat juga aku dan pimpinan HAWA berbual dan berkongsi pandangan sementara menunggu bas. Akhirnya, tepat jam 6.30 petang kami bergerak meninggalkan KUIS dengan ilmu dan pengalaman baru yang membantu untuk menambah baik pengurusan organisasi dan gerakan i Rakan. Semoga hubungan yang terjalin memberi manfaat kepada i Rakan dan ALAM serta UNISEL dan juga KUIS.

Friday, 19 June 2009

Segalanya Tetap di Ingatan : Episod 2

Kacau fasilitator kumpulan lain


Konon-konon sibuk tengok apa adik-adik kumpulan buat =)


Perasmian yang tak menjadi (tali rafia pun belasah je la...)



Cuba nak jadi Mac Gyver ke Faien?Hehehe..

Insiden haru.."Residen masuk..residen.."


Sesi sarapan pagi bersama Ketua Biro


Sesi berpidato...


Barisan pengadil pidato yang 'berkakilebar'


Gambar 'bercambah' yang goyang..



Pandangan sisi...

"Kembong, katak kembong, katak kembong, katak kempis..."


"Mengumumkan ketibaan......"


Pidato Kepimpinan oleh YB Nurul Izzah


Sesi Soal Jawab...

Kedua-dua Farahin mengabadikan kenangan bersama YDP dan NYDP


Ni buat apa ni? Aerobik ke, poco-poco?

Kelas Poco-poco segera


Dah habis dah..sambung Treasure Hunt pulak lepas ni..


Penjaga Checkpoint terakhir



Retro 60-an di zaman milenia

Orang biasa...Basikal Tua...


Sesi salam mahabbah sebelum berpisah...


Duhai Hati

Terasa seperti ada banyak masalah yang datang bertimpa-timpa. Masalah yang lama pun belum selesai sepenuhnya, sudah bertamu masalah yang baru.Mungkin inilah ujian yang harus dilalui. Serabut juga bila beberapa sahabat lain turut berkongsi perkara yang sama. Apa kan daya, perubahan itu sangat payah bila kita sudah berada di zon selesa untuk jangka masa yang lama. Lupa bagaimana nak keluar dari kepompong dan melalui zaman dan cabaran baru yang menanti seiring dengan peredaran masa.Coretan ini hanyalah sekadar mahu meringankan beban di kepala dan mengubat hati yang lara. Tiada kena mengena dengan yang sudah tiada di dunia tapi bersangkut paut dengan yang masih bernafas di atas bumi. =)

Kembali Bercahaya

Alhamdulillah, setelah seminggu menjadi penghuni tetap ruang tamu rumah kami, akhirnya bilik kami yang gelap gulita kembali bercahaya(Sila klik di sini untuk mengetahui cerita sebenar). Mulanya tahap keyakinan untuk Jananiaga datang membaiki kerosakan yang berlaku sangat rendah kerana ada beberapa kes yang terjadi sebelum ini. Seawal 8.30 malam kami sudah menunggu di ruang tamu. Manalah tahu kot-kot datang awal daripada waktu yang ditetapkan dari temujanji; jam 9.00 malam. "Kita ni macam nak tunggu ape je" Aku bersuara ketika duduk di 'katil' kami di ruang tamu sementelah kedua-duanya berbaju lengkap memandangkan pada waktu yang sama (9.00 malam) kami berdua ada urusan di luar. "Mesti dia terkejut. Yelah, selalunya orang-orang lain selamba je pakai baju tidur ngan kain batik". Kak Chik menyambung. Aku tergelak-gelak mendengar kenyataan tersebut. Setiap bunyi motor yang menyapa di pendengaran membuat aku menjenguk ke luar. Melihat kalau-kalau mereka datang. Jam di pergelangan dikerling. 3 minit lagi menginjak ke angka 9.

Akhirnya tepat jam 9.00 malam mereka tiba dengan membawa borang aduan kerosakan dan kelengkapan yang diperlukan. "Wah, on time!" Aku menzahirkan. Syukurlah. Sangka kami, mereka cuma mahu membaiki kerosakan lampu bilik dan memeriksa plug dan suis yang ada. Rupanya semua kerosakan yang diadu diperiksa termasuklah mendapat gantian langsir yang koyak. Alhamdulillah. Salah seorang staf maintainence memberitahu kerosakan hanya pada lampu, bukan pada semua plug dan suis yang ada. Bermakna, hipotisis kami langsung tidak boleh diguna pakai! Cuma kerosakan pada paip di kedua-dua tandas belum dapat dibaiki kerana ketiadaan alat gantian.

*Kesimpulannya, duduk tingkat 4 pun takpe kan Kak Chik. Takde la masalah paip bocor ni.

Thursday, 18 June 2009

"Orang Kelantan makan aje..."

Kira-kira jam 12.30++ malam semalam, kami bertiga(aku,Kak Chik, dan Faien) mengisi tiga kerusi kosong di meja makan. Hajat di hati mahu menghabiskan kuih-muih yang dibeli petang tadi. Kuih udang dan keledek goreng masih belum terusik di dalam plastik. Sambil makan, pelbagai cerita keluar dari mulut kami bertiga. Sedang aku enak mencicah keledek goreng dengan sambal tumis yang dibekalkan(pakej), Faien bersuara....

Faien: Faien tak biasa la pulak makan dengan sambal tumis ni. Kalau orang Johor cicah dengan sambal kicap.

Aku: Ye ke? Kalau kat tempat akak pun memang makan dengan sambal tumis macam ni.

Sambal tumis..

Faien: Tak, makan dengan sambal kicap la kak. Sambal kicap yang tumbuk tu. Memang sedap. Makcik Faien akan buat satu balang untuk stok.

Sambal kicap...

Untuk seketika, keluar pula cerita mengenai sambal daripada kami bertiga.

Aku: Kitorang biasanya cicah dengan sambal tumis ni la. Bukan keledek goreng je yang dimakan dengan sambal tumis ni, keladi goreng, ubi goreng, pisang goreng pun macam tu jugak. Pergh..! Menjilat jari. Tapi Johor memang camtu kan? Makan pisang goreng(dan yang sewaktu dengannya) dengan sambal kicap. Ayah akak pernah gak cerita.

Faien: Ye la kot. Kat Johor memang dari dulu lagi cicah dengan sambal kicap. Ntah, tak pandai nak makan dengan sambal tumis.

Kak Chik: Oit, dah-dah. Ha, orang Kelantan makan aje.

Kak Chik yang senyap sedari tadi tiba-tiba bersuara dan kenyataan itu telah membuatkan kami saling berpandangan sebelum tergelak besar.

Kak Chik: Yang korang dok baloh tu, bukannya dapat apa pun. Tengok saya ni. Makan je apa yang ada.

Dengan selambanya Kak Chik mengambil sepotong kuih udang dan mencicahnya dengan sambal tumis.

Aku: Yelah tu, orang Kelantan makan aje. Kitorang pun belasah aje. Cuma nak cerita. Saya pun layan je. Sambal tumis ke, sambal kicap ke.

Faien: Okey-okey, sebab sekarang takde sambal kicap, kita makan je la apa yang ada depan mata ye.

Akhirnya kami berdua menghabiskan makanan yang ada dengan ketawa yang masih berbaki. Lucu mengingatkan reaksi selamba Kak Chik yang menyampuk tika kami sedang berbalah tentang sambal tumis dan sambal kicap. Pesanan penaja, alang-alang dah bermastautin di sesebuah tempat, ambil kesempatan untuk mengetahui budaya dan adat tempat tersebut. Bak kata pepatah, 'Jauh perjalanan, luas pemandangan, tambah pengalaman' (ada ke tambah pengalaman tu?takpe, kira pakej la tu)...

*Faien, nanti kalau akak gi Johor akak cicah dengan sambal kicap deh.. Hehehe..

Monday, 15 June 2009

Warna Hati...

Pada flora ada bunga...

Pada unggas ada sayap...

Pada angin ada pesan...

Pada bulan ada rindu...

Pada kasih ada sayang...

Pada aku?....................

Sunday, 14 June 2009

Kepentingan Nama

Nama merupakan pengenalan bagi seseorang. Setiap perkenalan selalunya akan dimulai dengan memberitahu nama terlebih dahulu dan kadang-kadang kesilapan menyebut atau mengeja nama menjadi isu yang sangat sensitif. Justeru, beberapa tips untuk mengingat nama kenalan kita yang di petik dari buku karangan Abbas As Sissi, Bagaimana Menyentuh Hati (edisi eBook yang aku peroleh dari seorang adik).

1. Hendaklah kita tanamkan rasa ingin dan suka menghafal nama orang lain.

2. Ketika sedang berkenalan, hendaklah kita bersedia untuk menghafal namanya — secara lengkap atau sebahagian saja— lalu mengingat-ingat dan menggunakan pada saat itu juga tatkala berbual-bual dengannya.

3. Nama biasanya terdiri dari tiga bahagian: namanya sendiri, nama orang tuanya, dan nama keluarganya. Nama yang paling disukai oleh pemiliknya adalah namanya sendiri atau kuniah-nya. (sebutan nama yang dikaitkan dengan anak lelaki tertua, seperti Abu Khalid, Ummu Khalid, dan sebagainya). Jika Anda tambahkan pada nama itu nama keluarganya, itu akan lebih baik. Biasanya nama keluarga yang satu dengan yang lain tidak sama jadi sangat mudah untuk dihafal, seperti As-Siisi. Adapun nama-nama seperti Muhammad, Ali, Hasan, atau Sa'ad akan sangat banyak dijumpai, sehingga agak sulit menghafalnya.

4. Ketika berkenalan dengan nama yang baru, anda harus mengingat orang-orang yang mempunyai nama yang sama —yang telah anda kenal sebelumnya—agar mudah untuk menghafal.

5. Pada waktu berkenalan, Anda harus memerhatikan wajah dan keadaannya; apakah ia berjanggut, memakai kaca mata, bagaimana warna kulit, suara, bentuk tubuhnya, pekerjaannya, serta di mana dan bagaimana perkenalan itu berlangsung.

6. Untuk memantapkan ingatan, Anda boleh menulis nama-nama tersebut, dan setiap kali bertemu hendaklah Anda memanggil mereka dengan nama-nama tersebut. Jika tempat tinggalnya jauh, hendaklah Anda mengirim surat kepadanya, kerana ini mempunyai impak yang amat besar dalam mempererat hubungan anda dengan mereka. Surat menyurat itu sendiri merupakan sarana dalam tarbiyah.

7. Ketika bertemu lagi, Anda harus mengingat-ingat pertemuan-pertemuan sebelumnya dan pertemuan yang pertama kali, kerana ini dapat membantu anda dalam mengingat namanya dengan cepat.

8. Berkenalan dengan seseorang merupakan pintu bagi anda untuk berkenalan dengan teman-temannya, hingga anda mempunyai data nama yang amat banyak. Anda pun harus berusaha agar nama-nama itu tetap melekat di kepala.

Ukhuwah Kembali Bertaut

Semalam aku menerima ajakan dari Faien yang dijemput untuk menghadiri satu program di Gombak. Mulanya hatiku berbolak-balik juga. Namun takdir Allah lebih hebat dari perancangan manusia (kata-kata yang selalu disebut Kak Chik). Kira-kira 2.30 petang, kami bertolak dari Unisel. Ketika tiba di sana, kami terasa janggal kerana tidak seorang pun manusia yang kami kenal melainkan orang yang menjemput, Saudara Merico. Setelah mendaftar, kami terus menyertai yang lain di dalam dewan. Ketika mahu berwudhuk, aku perasan satu wajah yang seperti biasa ku lihat. Tapi, di mana ya? Ligat mindaku bekerja untuk mengingat kembali. Rasa seperti juniorku di Hamidiah dulu. Ketika di musolla, sempat aku berkenalan dengan beberapa peserta yang salah seorangnya merupakan sahabat kepada wajah yang seperti biasa ku lihat. Betul tanggapanku. Dia merupakan adik usrahku di Hamidiah dulu. Pertama kali aku menghadiri program luar yang menemukan semula dengan warga Hamidiah yang dikenali! Perasaanku? Sangat-sangat gembira. Sempat juga merisik khabar tentang adik-adik yang lain dan bertukar nombor telefon. Semoga ukhuwah yang kembali terjalin kekal selamanya.

Selain dari insiden yang tidak dijangkakan itu, impianku untuk memiliki buku yang pertama kali ku lihat dalam sebuah blog dapat ditunaikan. '50 Kata-kata Tokoh Berpengaruh dan cerita di sebaliknya' kini menjadi koleksi dengan hanya RM15. Andai sahabat-sahabat mahu meminjamnya, boleh la berjumpa dengan tuan empunya buku ye..

Satu lagi khabar gembira yang ku terima tika sedang cuba menghabiskan tomyam ayam yang terpaksa dibungkus dek kerana masa yang semakin hampir ke 12.00 malam dan perut yang sudah sarat dengan isi; mesej yang masuk ke dalam inbox dari jauh yang berbunyi 'Salam..maaf la kacau malam-malam..Hawa ni..Ingat tak?Hawa balik minggu depan..16hb..17 hb sampai la rumah..Harap boleh jumpa..' Sahabat di Hamidiah yang kini melanjutkan pengajian di India memberitakan kepulangannya ke Malaysia! Sudah terlalu lama tidak bertemu mata dengan beliau. Sebelum berlepas ke sana dulu pun aku tak berkesempatan menemuinya kerana masa yang tidak mengizinkan. Insyaallah, aku akan cuba meluangkan masa untuk bertemu dengan Siti Hawa. Sahabat-sahabat lain yang juga bakal pulang ke Malaysia dalam masa terdekat ini, (Hani dan Dila) mungkin boleh turut serta.

Sebelum terlupa...Selamat Hari Lahir kepada sahabat-sahabatku;

Shah Umie - 12 Jun

Hani Hidayah - 13 Jun

Husnul Hanani - 13 Jun

Maznee - 14 Jun

Maaf atas kealpaanku untuk menghantar ucapan selamat melalui SMS. Memang tepat jam 00.00, telefon bimbitku akan berbunyi menandakan ada sesuatu tercatat di kalendar. Ucapan khas untuk kalian,

Semoga umur yang dikurniakan diberkati dan dimurahkan rezeki. Semoga berbahagia dengan kehidupan yang dijalani dan sentiasa berada dalam rahmat Allah selalu.

Di Sebalik Ujian

Mata yang tadinya kuyu terus kembali bugar. Penat memandu dari Unisel ke Gombak dan kembali semula ke Unisel juga lenyap. Lama aku meluangkan masa dengan seorang sahabat di ruang sembang maya; Yahoo Messenger. Kali terakhir bertemu dengan beliau adalah kira-kira sebulan lepas. Tika bersua muka dengannya, dia masih seperti biasa. Rupanya, ada duka di sebalik muka yang ceria. Hari ini, terungkai semuanya. Masalah sahabatku adalah masalahku juga. Tegakah kita andai melihat sahabat kita tenggelam dalam masalahnya tanpa membuat apa-apa tindakan? Aku akui, aku bukanlah pemikir yang kreatif untuk memikirkan jalan penyelesaian terbaik tapi aku boleh menjadi pendengar yang setia. Dengan hanya meluahkan beban yang sarat di hati, perasaan menjadi lega dan tenang. Sedikit ilmu yang aku ada aku kongsikan dengannya. Semua kata-kata motivasi yang kuingat aku beri kepadanya. Biar dia tahu masalah boleh selesai tanpa perlu pasrah dan membiarkan masalah memakan diri. Bila mahu berubah, tetapkan hati dan bulatkan tekad. Allah sentiasa bersama kita walaupun kita selalu alpa dengan nikmatNya. DIA tak pernah menarik nikmat oksigen walaupun kita melakukan perkara-perkara yang dilarang. Malah DIA juga tetap menghantar kembali roh ke dalam jasad ketika bangun dari tidur biarpun kita leka dengan mainan dunia atau lupa untuk bersyukur dengan nikmat yang diberikan. Betapa sayangnya Maha Pencipta kepada kita. Apa yang penting, jangan mudah berputus asa.

Allah telah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud;
Kamu (umat islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang maaruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik.

Mengapa kita tidak membuktikan hakikat yang telah tercatat di dalam Al-Quran ini? Memang payah untuk merubah diri dari yang kurang baik kepada yang terbaik. Selagi kita mencuba dan melakukan secara berperingkat, insyaallah akan dipermudahkan jalan. Sedangkan Al-Quran pun diturunkan secara berperingkat, inikan pula kita manusia yang sentiasa ada halangan dan berdepan dengan kerenah nafsu dan dugaan dari makhluk yang tidak ternampak oleh mata kasar. Jangan menunggunya esok kerana boleh jadi kita tidak akan berbuat apa-apa bila esok tiba. Teori membawa diri ketika bermasalah sangatlah tidak boleh diguna pakai. Khuatir kita hanyut bersama masalah tersebut. Kalau ada orang atau sahabat-sahabat di dalam hidup, sekurang-kurangnya merekalah pengganti semangat yang hilang dan penyokong setia untuk kita terus mara. Samalah seperti biri-biri yang lumrah hidupnya di dalam kelompok. Jika tertinggal sendirian, mudahlah serigala menyerangnya berbanding dengan sewaktu berada dalam kelompok yang banyak tadi. Manusia juga begitu. Apa yang penting, sentiasa mengadu pada Allah dan berdialog denganNya. Jadikan Al-Quran sebagai rujukan utama. Jangan lupa untuk bersyukur dengan ujian yang menimpa kerana itu adalah salah satu tanda Allah masih sayangkan kita. Allah tidak akan menguji kita dengan ujian yang tidak setimpal dengan kemampuan hambaNya kerana DIA Maha Mengetahui. Sedikit petikan kata-kata Imam Hassan Al-Banna; Kita memang harus menunggu putaran waktu itu, tetapi kita tidak boleh berhenti.
Kita harus terus berbuat dan terus melangkah, kerana kita memang tidak mengenal
kata "berhenti" dalam berjihad. Jihad ini boleh saja diertikan dengan pelbagai perkara. Jadi, tepuk dada, tanyalah hati. Apa yang mahu kita jihadkan? Mungkin juga merubah diri dari kurang baik kepada yang terbaik. Patah-patah perkataan yang terpapar untuk entri kali ini tidak lain untuk peringatan bagi diriku juga kerana mataku adalah mata pertama yang menatapnya dan mindaku lebih dulu memproses apa yang tercatat di sini. Semoga baris-baris ayat di atas menjadi teman buat sahabatku di kejauhan untuk terus kuat dan tabah dengan ujian yang menimpa.

Saturday, 13 June 2009

Ilmu Ada Di mana-mana

Pagi tadi aku hanya mampu terlantar di katil dek kerana kesakitan yang tiba-tiba datang menerpa. Ajakan seorang sahabat ke canseleri terpaksa aku batalkan. Cuma ketika matahari sudah puas memancarkan cahayanya, kesakitan itu beransur pergi. Aku gagahkan diri untuk bangun lantaran janji kepada Faien yang menunggu di bilik gerakan. Setelah selesai urusan di Fakulti Kejuruteraan, aku berkemas untuk ke destinasi seterusnya, Masjid Unisel. Asalnya cuma meneman Faien yang mahu bertemu seseorang dan akhirnya terpesong langkah kaki ke bilik Ustazah Hafizah. Agak lama juga tidak bertamu ke sana. Bukan tak sudi, tapi aku tidak biasa ke suatu tempat tanpa apa-apa tujuan. Terlanjur ke sini, sempat jugalah aku bertanya pendapat dan pandangan beliau mengenai beberapa perkara yang salah satunya adalah perihal praktikal yang bakal aku lalui tidak lama lagi. Soalan yang sering meniti di bibir teman-teman sekuliah aku tanyakan. Sekolah menengah ke sekolah rendah? Kalau sekolah menengah, muridnya lebih mudah dikawal lantaran perbezaan umur yang tidak terlalu jauh dan pemikiran yang sudah agak matang. Lebih seronok kalau ditempatkan di sekolah-sekolah terpilih seperti SMKA atau sekolah yang bergred A. Kalau sekolah rendah, tahap kesabaran perlu tinggi kerana mereka masih lagi di alam kanak-kanak walaupun anak-anak zaman sekarang lebih bijak dan banyak kerenah. Mungkin cuma penat mahu melayan kerenah kerana anak-anak kecil lebih mudah mendengar kata. Sempat pula beliau memberi contoh tentang anaknya yang berusia 6 tahun dimana beliau dengan sabar melayan permainan Nyamuk-nyamuk. Kerenahnya yang perlu diladeni dengan sabar kerana anak kecil mudah terasa dan merajuk. Bayangkan jika dalam sebuah kelas ada 10 orang murid yang berperangai sedemikian, banyak manakah kesabaran dan tenaga yang perlu aku ada untuk berhadapan dengan situasi tersebut? Beliau turut bercerita pengalaman beliau sebagai guru ganti yang juga penuh dengan cabaran dan dugaan. Bila memikirkan perihal praktikal, naik gerun juga dibuatnya ditambah lagi dengan cerita-cerita yang keluar dari mulut pensyarah-pensyarah dan juga senior-seniorku.

Usai solat asar, aku terus menghalakan kereta ke Kuala Selangor untuk melayan rawan di hati. Inilah aktiviti yang kunamakan 'buang tebiat'. Puas meronda di dalam Tesco, aku dan Faien ke KFC. Tergoda dengan iklan fiery crunch yang sering muncul di kaca televisyen kebelakangan ini. Untuk pencuci mulut, kami menikmati aiskrim Mingomingo yang terdapat di kiosk sebelah luar Tesco tersebut.

Sampai saja di residen komuniti siswa, aku tidak terus naik ke rumah sebaliknya menuju ke surau siswi untuk memenuhi agenda yang dirancang. Sementara menunggu azan isyak, kami duduk di dalam holaqoh(bulatan) sambil mendengar cerita dari Aishah. Walaupun hanya cerita biasa tentang pengalamannya menjaga anak-anak saudaranya dan kehidupan keluarga makciknya, namun banyak ilmu yang yang terselit bersama cerita tersebut. Ada masanya aku sebak mendengar bait-bait perkataan yang menampan pendengaran. Sentiasa buat sesuatu kerana Allah dan hasilnya pekerjaan tersebut akan lebih diberkati. Dalam masa beberapa minit, banyak ilmu baru yang aku peroleh dengan cara yang cukup santai. Alhamdulillah... Sempat juga aku bertaaruf dengan lebih mendalam dengan salah seorang sahabat yang sebelum ini hanya ku tahu namanya, asal, dan bidang pengajian di sini. Semuanya berlaku tanpa dirancang seperti yang ditulis oleh Abbas As Sissi dalam bukunya yang bertajuk Bagaimana Menyentuh Hati bahawa untuk mengenali seseorang tidak perlu masa dan kondisi yang spesifik dan terrancang. Bila-bila dan di mana-mana pun boleh asalkan kita menggunakan cara yang betul. Tidak semestinya perkenalan dimulai dengan bertanyakan nama terlebih dahulu. Mungkin kita boleh bertanya tentang sesuatu yang ada pada dirinya yang terlihat oleh pandangan mata dan juga menyelitkan sedikit mengenai topik keagamaan. Perkara penting yang perlu dibuat ketika berkenalan adalah mengingat nama dan wajahnya kerana tiada orang yang sedih andai kita ingat namanya dengan tepat selain memaniskan wajah seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim; Dari Abu Dzar ra., la berkata bahwa Rasulullah saw. bersabda, "Janganlah sekah-kali kamu meremehkan kebaikan, meskipun hanya berupa keceriaan wajah tatkala bertemu dengan saudaramu."

Usai solat isyak, kami memulakan majlis sambutan hari lahir sahabat-sahabat muslimat yang telah atau baru saja berlalu seperti yang dirancang beberapa hari lepas. Sambutan sebegini akan dijadikan sebahagian dari aktiviti surau siswi kerana ini juga merupakan cara untuk menarik penghuni RKS mengimarahkan surau selain mengukuhkan tautan silaturrahim antara kami.

Friday, 12 June 2009

Words of Wisdom

"If you are in doubt, think it out by yourself.

Do not depend on other for explanations.

Suppose there is no one you could ask, should you stop learning?

If you could get rid of the habit of being independent on other,

you could make your advancement on your study"

Chu Hsi

Coretan Perjalanan

Alhamdulillah, mesyuarat pertama bagi MT dan Barisan Pimpinan untuk sesi pengajian ini telah pun selamat diadakan. Semalam, perjumpaan bersama ahli-ahli baru atau boleh juga dikatakan sebagai penyambung generasi perjuangan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Ku lihat satu-persatu wajah mereka. Gembira kerana dalam beribu yang ada, terbuka hati mereka untuk menyertai kami. Harapanku agar semuanya istiqomah kerana berdasarkan pengalaman lalu, hanya segelintir yang bertahan. Memang tiada tanggungjawab dan amanah yang ringan dan mudah. Semuanya bergantung pada diri individu bagaimana untuk mempertahankan amanah yang diberi dan melaksanakan tanggungjawab yang tergalas. Kalau dulu, di setiap perjumpaan bersama wajah-wajah baru dan pemilik hati-hati yang sedang berkobar semangat juangnya, Andak sering mengatakan bahawa setiap perjuangan tidak kan sunyi dari dugaan. Persiapkan diri untuk menghadapi segalanya supaya tika diri diuji, kita tahu bagaimana untuk menghadapi. Wasiat tersebut terus dicanang dari generasi ke generasi. Allah telah berfirman:

"Bersabarlah kalian bersama-sama dengan orang yang menyeru Rabb-nya dipagi dan
senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya, janganlah kedua mata kalian berpaling dari
mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini dan janganlah kalian
mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti
hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas." (Al-Kahfi: 28)

Nikmat terbesar yang sering lupa untuk disyukuri adalah iman dan islam. Justeru, pupuklah diri dan bimbinglah hati untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti iman. Selitkan masa 24 jam yang dikurniakan dengan pengisian rohani kerana ia adalah sumber utama dalam membimbing diri menuju redha Allah. Sepanjang hampir 3 tahun bersama i Rakan, pelbagai peristiwa, pengalaman, dugaan, kegembiraan dan tak kurang juga kedukaan telah aku lalui. Walau banyak mana pun perkara yang terjadi pada diriku, aku masih aku yang dulu. Ada sebahagian dari diriku yang masih kekal tanpa tercemar sedikit pun dengan apa yang telah ku lalui. Semangatku juga sering turun naik mengikut masa dan keadaan. Ada masanya, seperti terbang melayang semua semangat yang terpahat kemas dalam diri ini dek kerana nafsu yang selalu ada. Namun, sahabat-sahabat yang sering ada di sekelilingku membuat aku sedar diri. Kembali menginsafi dan menyeru semula semangat yang hilang. Merekalah momentum untukku mencapai apa yang perlu aku capai dan laksanakan apa telah diamanahkan. Sokongan dari sahabat-sahabat yang kini jauh di mata lebih kuharapkan dan hargai kerana merekalah, lahirnya diriku kini. Semoga Allah memudahkan jalan yang sedang ku lalui dan bakal dilalui...

Tuesday, 9 June 2009

Untuk Wanita..

Daripada Saydatina Aisyah r.a.:
Tidak ada seorang perempuan yang kedatangan haid melainkan haidnya itu menghapuskan dosa-dosa yang telah lalu daripada segala dosa-dosanya dan sekiranya ia membaca doa pada hari pertama yakni:

Maksudnya:
Segala puji bagi Allah di atas segala perkara dan aku memohon keampunan kepada Allah daripada segala dosa.

Maka menulis oleh Allah baginya terlepas daripada api neraka dan dapat melalui titian sirat dengan selamat dan aman daripada azab dan Allah Taala meninggikan baginya dengan tiap satu hari dan satu malam akan pangkatnya empat puluh orang mati syahid manakala adalah perempuan itu dikira berzikir kepada Allah Taala di dalam masa haidnya.

Friday, 5 June 2009

Hilang

Aku kembali semula ke rumah hari ini setelah seminggu kuliah bagi sesi 3/2008/2009 bermula. Sebab pertama: menghantar kereta dan sebab kedua: mengambil laptop yang terpaksa di format dek kerana virus-virus sengal membuat laptopku gagal berfungsi. Sebelum menghantar untuk diformat tempoh hari, berulang kali aku tanyakan kepada abangku; "Betul ke dia boleh backup semua file yang ada?". Aku jadi risau kerana segala khazanah sejak tahun asas pengajian tersimpan kemas di dalam 'My Documents' Permataku ini. Tidak termasuk gambar-gambar kenangan yang mencecah hingga 6 gigabait. Alangkah sayangnya kalau semua fail tersebut lenyap. Di mana mahu ku cari kembali? Mulanya aku bercadang mahu memindahkan fail-fail tersebut ke dalam pendrive. Malangnya, pendrive pun Permataku tak dapat nak detect. Akhirnya aku tawakal. Sampai di Sinaro Origgrace, technician yang menguruskan perihal kerosakan laptop memberi jaminan untuk menyelamatkan semua fail dan dokumen yang berkali-kali aku pesan untuk backup. Lega sedikit hatiku.

Malam ini, baru aku berpeluang 'bertegur sapa' dengan Permataku. Bila di selongkar, terdapat sebahagian fail yang tetap hilang. Allah..! Terus merudum moodku. Hati kembali terubat bila abang Faiz menyuruh aku melihat di external harddisk yang terpaksa dibeli kerana kapasiti harddisk Permataku tidak cukup untuk menampung semua fail. Okey, sabar..tenang... Agak lama juga aku menjelajah ke seluruh pelusuk ruang yang ada. Hampa.. sebahagian besar gambar yang sebelum ini tersimpan kemas di fail Various Pictures lenyap! Sedihnya tidak terkata. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Kak chik kata, ada hikmah di sebaliknya. Entah la. Apa yang pasti, aku benar-benar sedih kala ini.