Engagement Fund ;)

Thursday, 27 August 2009

Sendiri...

Rintik-rintik hujan yang tadinya hanya sekadar gerimis bertukar menjadi deras.
Penat yang dihimpun selama hampir seminggu menjadikan aku lesu.
Sendirian di rumah kala ini mengingatkan aku dengan hari-hari dalam Ramadhan tahun-tahun sudah.
Percikan hujan mengenai tingkap yang sengaja aku buka.
Hari dan keadaan yang sama. Sendirian...Sejuk...Kosong...
Moga hujan yang turun petang ini membawa rahmat kepada seluruh alam.
Teringat satu kata pujangga Arab yang Kak Wahid beritahu padaku 6 tahun lalu.
"Kebahagiaan yang keluar dan terpancar dari hati tidak sama dengan hujan yang turun dari langit"
Hingga ke hari ini pun aku masih belum dapat menafsirkan dengan tepat maksudnya.
Adakah yang mahu tafsirkan untukku?

Perihal Pengilat Kuku

2 minggu sudah, aku singgah melihat susunan brooch yang dipamerkan di gerai di Pusat Komuniti Pelajar. Dari sekadar melihat, jadi tekun memilih pula. Dalam sibuk memilih, sempat bertanya kepada makcik yang menjual apa nak buat kalau batu brooch ni tertanggal memandangkan banyak brooch milikku yang tertanggal barang sebiji dua batunya. Sangkaku dia akan menjawab begini; "Ooo,ada gam khas dia. Boleh beli di....." Rupanya dia menjawab begini; "Ooo, guna pengilat kuku je. Makcik tanya pada pembekal pun diorang pakai pengilat kuku je. Boleh lekat dan mengilatkan lagi kilauan batu-batu brooch tu." La, guna pengilat kuku je ke? Punyalah selama ni aku tercari-cari macam mana nak lekat balik batu brooch yang tercabut sampai cakap kat mak nak hantar kat kedai untuk suruh di lekatkan semula. Mudah dan murah bukan? Masa nak beli pengilat kuku tu, lama juga merenung susunan pengilat kuku kat atas rak kedai. Tak tahu nak pilih sebab tak pernah pakai. Hehehe... Akhirnya aku bertanya pada jurujual kedai. Aku memilih pengilat kuku yang jernih. Jangan risau, dah terbukti berkesan. Batu yang tertanggal tu memang melekat dengan kukuh.

Pengilat Kuku tidak berwarna

Wednesday, 26 August 2009

Duka Yang Tersimpan

Jumaat lepas, aku sepatutnya menghadiri seminar protokol yang berlangsung di Dewan Utama UNISEL. Entah mengapa, terasa benar-benar tak mampu untuk bangun. Kepenatan yang teramat menyelubungi diri. Akhirnya aku terpaksa redha dengan ilmu yang telah aku ketinggalan. Inilah aku. Sampai satu tahap aku rasakan tidak bermaya dan penat dengan apa yang terjadi, aku abaikan saja perkara tersebut biarpun ia adalah penting dan berkeutamaan.

Tika menghampiri tengahari, satu sms singgah di peti mesej 2610. Umie mahu mengambil semula barang yang 'dipinjamkan' sebentar. Pertemuan yang ku sangka hanya sekadar memulangkan barang berlanjutan dengan sebuah cerita duka. Betapa selama ini dia merahsiakan kesedihannya seorang diri tanpa pengetahuan aku pun. Terasa kejam pada sahabat kerana tidak mengambil berat padanya. Sejak kami tidak lagi tinggal setempat, memang payah benar mahu bersua muka. Dek kerana kesibukanku juga dirinya. Padaku, walau sesibuk mana pun kerja-kerja persatuan atau assignment sekalipun, aku tetap akan mencari masa untuk sahabat-sahabat kerana di sini, aku tiada mak, abah, atau abang-abang untuk menjaga diriku. Cuma sahabat-sahabatlah yang mendampingi.

Titisan kedukaan

Sedih mendengar satu-persatu cerita yang terluah. 3 tahun yang berlalu seakan tiada harga. Bukankah harapan itu kekuatan dalam hidup? Tapi kini, harapan hanya meninggalkan cerita duka. Kini aku akur, kita hanya boleh merancang dan perlu redha dengan perancangan Allah yang lebih hebat untuk kita. Semoga terapi solat dan cinta keluarga mengatasi kedukaan Umie. Sebelum berpisah, sempat juga Umie berseloroh "Takpe la, benda nak jadi. Pengalaman beb. Orang lain mana dapat pengalaman mahal aku ni". Tergelak juga aku mendengar butir bicaranya itu. Namun ku tahu luka dihatinya masih parah.

Ramadhan Yang Menjelma...

Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.
- Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

Semoga puasa kita kali ini diterima Allah. Ameen...

Wednesday, 19 August 2009

Waktu Yang Berlalu...


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...
Baru kini aku berpeluang menaip sesuatu di Atas Nama Cinta. Waktu yang ada padat dengan pelbagai aktiviti. Minggu Tekad Siswa(MTS) sudah pun melabuhkan tirainya pada 13 Ogos lepas. Sesungguhnya 2 minggu lepas adalah minggu yang paling memenatkan juga minggu kedukaan bagi sesetengah orang. Bonda kepada seorang sahabat telah kembali ke rahmatullah pada 12 Ogos 2009 lalu. 13 Ogos 2009, Ustaz Asri Rabbani pula dijemput menghadap Ilahi(berita dari Jamal ketika kami sedang sibuk menguruskan aktiviti sempena MTS). 14 Ogos 2009, satu SMS masuk ke peti simpanan mesej 2610 milikku mengkhabarkan mengenai kehilangan ayahanda seorang kenalan. Allahuakbar...! 3 hari berturut-turut aku menerima khabar duka. Semoga roh mereka ditempatkan bersama orang-orang beriman.

Tamat saja MTS, terus disambung dengan mesyuarat pertama i Rakan pada hari Jumaat, 14 Ogos. 15 dan 16 Ogos pula ada 3 tawaran program dari pelbagai pihak. Serba salah untuk memilih kerana kesemuanya bermanfaat. Program Anak Angkat, Kem Ibadah di SAMTAJ, Perkongsian Bijak Cemerlang. Setelah disenaraikan mengikut keutamaan, aku masih perlu memilih antara 2 program lagi. Disebabkan kami kekurangan orang untuk mengisi tawaran-tawaran tersebut, aku akhirnya memilih untuk ke Perkongsian Bijak Cemerlang. Alhamdulillah, tidak rugi aku ke sana. Terlalu banyak ilmu dan pengalaman yang aku peroleh dan insyaAllah akan aku kongsikan disini. Perancangan awal untuk pulang ke rumah sebaik MTS tamat alhamdulillah terlaksana walau kurang sempurna. Pulang sekadar untuk mengembalikan Kancil mak dan tidur sebelum berangkat ke tempat yang sepatutnya. Agaknya dah kerja nanti penatnya macam ni ke? Tunggu dan lihatlah gamaknya.

Hari pertama kuliah, sudah mendapat assignment. Fenomena biasa untuk pelajar-pelajar Fakulti Pendidikan dan Pengajian Bahasa. Azam semester baru....RAHSIA.... Kemudian, aku perlu menyiapkan kerja-kerja persatuan yang diamanahkan juga yang tertangguh. Sampai bila pun tanggungjawab takkan pernah habis. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan segala urusan dan memberkati apa jua pekerjaan yang aku dan kita lakukan...

Saturday, 8 August 2009

Tragedi Mahkamah Berdarah

Kebelakangan ini aku agak sibuk dengan tugas yang telah diamanahkan. Lebih-lebih lagi bila diletakkan pada posisi yang memerlukan banyak komitmen. Pagi tadi(4.00 pagi) selepas pulang dari menyiapkan kerja-kerja yang sepatutnya, aku sempat juga menjelajah beberapa laman dan blog kegemaran sambil menyiapkan tugasan yang diberi. Tertarik dengan satu cerita. Boleh juga kukira isu semasa yang langsung tidak aku ketahui. Memang semenjak dua menjak ini aku jarang sekali menyelak akhbar. Tonton berita juga kurang. Cuma tetap meneruskan aktiviti jelajah internet untuk mencari maklumat.

Kisah ini berkenaan dengan saudara seislam ku, kita dan anda semua. Kisah penuh tragis yang kejam dan amat tidak patut berlaku. Berdasarkan sumber-sumber yang aku baca dan peroleh, tragedi ini berlaku pada 1 Julai 2009 yang lalu. Kira-kira sebulan yang lepas. Seorang wanita Mesir yang bermastautin di Jerman telah ditikam sebanyak 18 kali hanya kerana mempertahankan haknya sebagai seorang muslimah bertudung. Kes bermula apabila seorang jirannya yang dinamakan sebagai Axel W. menuduhnya seorang pengganas hanya kerana beliau bertudung pada Ogos 2008. Dr. Marwa telah memfailkan saman keatas jirannya dan beliau telah memenangi kes tersebut apabila hakim mengarahkan jirannya itu membayar denda sebanyak 2800 Euro atas tuduhan palsu yang dibuat.

Apa yang lebih menyedihkan, Dr. Marwa sedang hamil 3 bulan ketika kejadian dan telah ditikam dihadapan suami dan anaknya yang berusia 3 tahun. Allahuakbar..! Suaminya yang cuba menyelamatkan beliau turut ditikam sebanyak 3 kali dan ditembak oleh pengawal keselamatan. Akibatnya, suami Dr. Marwa mengalami kecederaan serius(antara hidup dan mati).

Dr. Marwa Al-Sherbini

Pertama kali membaca cerita tentang Dr. Marwa Al-Sherbini, sebak bertandang ke hati. Beliau dibunuh hanya kerana mempertahankan tudung yang dipakai sedangkan kita di sini? Melenting dan marah-marah bila ditegur untuk bertudung. Satu perkara yang bagiku tidak masuk akal, adakah manusia-manusia yang ada pada ketika itu sudah hilang peri kemanusiaannya? Walaupun yang ditikam bukanlah saudara seagama, tapi beliau juga adalah manusia seperti yang melihat kejadian tersebut. Tidakkah mereka rasakan ikatan sesama manusia itu? Adakah mereka tidak sedar mangsa sedang ditikam sehingga pemangsa dapat menikamnya hingga 18 kali? Jika mengikut logik akal, sekali gerakan untuk menikam pasti mengambil masa beberapa saat sebelum tikaman seterusnya dibuat. Mustahil orang lain tidak sedar kejadian tersebut. Fikirkan tentang cerita ini. Peka dengan nasib saudara seagama kita yang teraniaya. Bukan hanya perlu mengambil berat pada Palestin, Iraq atau Afghanistan tetapi juga pada mereka di seluruh dunia, lebih-lebih lagi pada saudara seislam di Malaysia. Walaupun tidak mampu untuk ke sana memberi sokongan atau sama-sama memperjuangkan hak beliau, kita masih ada senjata paling kuat iaitu doa. Doakan beliau ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman. Doakan suaminya kembali sihat seperti sedia kala supaya anaknya dapat membesar dengan normal. Doakan nasib anaknya terbela kerana kerajaan Jerman tidak membenarkan anaknya diserahkan kepada kedutaan Mesir untuk dijaga melainkan saudara terdekat dari keluarga beliau atau suaminya sendiri datang mengambil hak jagaan tersebut.

Monday, 3 August 2009

Pra Minggu Tekad Siswa

Assalamualaikum w.b.t...
Alhamdulillah, sempat juga mengemaskini Atas Nama Cinta. Lokasi aku kala ini bukan lagi di ruang tamu rumah di Banting. Tapi, sudah selamat tiba di UNISEL petang tadi. Beberapa jam saja lagi, aku akan mengikuti induksi bagi bakal Fasilitator Minggu Tekad Siswa(FMTS) yang bertempat di Hulu Langat(lupa nama tempatnya). Singkatnya cuti kali ini. Aku harus juga bersyukur kerana masih ada cuti yang diperuntukkan. Dua semester berturut-turut aku menabur bakti. Teringat ketitka temu duga untuk FMTS tempoh hari. Aku dan beberapa sahabat serta kenalan baru menunggu giliran di luar bilik mesyuarat untuk di temu duga. Aku memilih hari Selasa, jam 11.00 - 12.30 tengahari(kalau tak silap) memandangkan aku ada kuliah hingga jam 11.30(tarikh dipilih selepas selesai ujian bertulis). Ada 6 orang yang sedang menunggu ketika aku sampai. Daripada duduk, kami berdiri. Daripada berdiri, kami mundar-mandir di kaki lima hingga beberapa staf yang melalui tempat tersebut bertanya. Akhirnya, kira-kira 12.30 tengahari kami dipanggil masuk. Fuh,lega! Pada awalnya seorang staf membahagikan kami bertujuh kepada 2 kumpulan. Sebaik saja masuk, barisan staf sedang menunggu. Ada kakitangan HEP dan juga Pusat Islam. Wakil dari MPP cuma seorang. Tidak seperti yang dulu, penemu duga hanyalah dari kalangan MPP saja. Pelbagai soalan ditanyakan. Akhirnya, setelah kira-kira 1 jam menjawab soalan-soalan yang ditanyakan, temu duga pun berakhir. Ketika melangkah keluar dari bilik tersebut, masing-masing becok bersuara yang inti patinya sama; lama kerana soalan yang ditanyakan pelbagai dan memerlukan jawapan yang juga pelbagai.

Ketika berjumpa dengan sahabat-sahabat lain petang tadi, masing-masing bercerita tentang cuti yang singkat. Komen Aten semasa aku bercerita kepadanya; "Memang sah ko sayang kat UNISEL sebab sanggup korbankan cuti". Aku cuma tergelak-gelak mendengarnya. Mak juga agak bising kerana sudah dua kali cutiku pendek. Tak mengapa, seronok sebenarnya menyertai Minggu Tekad Siswa(bukan sebagai peserta). Setakat ini dulu coretan kali ini dan akan disambung lagi selepas pulang dari induksi.

Saturday, 1 August 2009

Daging Masak Lada Hitam


Bahan-bahan:

1kg daging lembu (dipotong mengikut citarasa)
4 sudu lada hitam(ditumbuk)
3 sudu tepung jagung
4 sudu kicap pekat
1 cawan air

7 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
2 inci halia
Garam dan gula secukup rasa

Cili merah
Daun bawang

Cara memasak:
Tumiskan segala jenis bawang yang telah dihiriskan bersama dengan halia. Setelah agak layu, masukkan daging yang telah dipotong. Kacau dan masak hingga daging empuk. Bancuh lada hitam yang telah ditumbuk bersama dengan tepung jagung, kicap pekat dan satu cawan air. Setelah daging empuk, masukkan bancuhan lada hitam dan gaul rata. Pastikan anda meletak garam dan gula secukup rasa. Masukkan hirisan cili merah dan daun bawang. Kacau dan bolehlah dihidangkan.

Kosong

Ahad ni dah kena balik semula ke Unisel.
Tiba-tiba rasa semuanya serba tak kena.
Entah la. Tak tau apa yang tak kena.
Macam-macam perkara terbayang di minda.
Pelbagai persoalan timbul.
Macam ada benda yang tak selesai.

'Ya Allah, permudahkan segala urusanku...Ameeen..'