Engagement Fund ;)

Thursday, 31 December 2009

Makcik Muda

Sementara menunggu Abang balik kerja dan 'merampas' sambungan internet, baik la buat entri baru. Walaupun 3 orang je, tapi bab nak guna internet pun boleh gaduh. Hehehe.. 19 Disember 2009 lepas, seorang lagi anak saudaraku selamat mendirikan rumahtangga. Tahniah buat Dani atau nama sebenarnya Nurli Darni (baru tau nama betul bila tengok dalam kad jemputan dia..teruk betul makcik dia yang sorang ni). Aku cuma dapat pergi hari Sabtu je sebab hari Ahad kena ke Melaka pulak, abang/adik angkat abah pun buat kenduri kahwin untuk 2 orang anak lelaki dia.

Waktu sampai, pengantin tengah bergambar. Sempat jumpa sepupu-sepupu lain. Seronok betul berkumpul macam ni. Lagi seronok kalau dapat sinoman dengan diorang. Tapi tulah kan, masa tak mengizinkan. Sekurang-kurangnya ada la masa jumpa dengan sepupu-sepupu yang lain memandangkan kat kenduri macam ni la baru semua ada selain waktu raya. Sementara pengantin tengah bergambar, kami pun dok la menyelit nak bergambar sekali. Hehehe... "Ha, ni makcik-makcik saya. Makcik muda" kata Dani. Kami sengih je la.

Pasangan mempelai


Aku, Rini dan Yun

Along, Rini, Dani Aku, Ani dan Meen

Setelah Dihukum

Wahha....rindunya mahu menatap Atas Nama Cinta. Hehehe... Hampir 3 minggu talian internet tergendala gara-gara modem yang terjejas akibat guruh + kilat sewaktu hujan lebat tempoh hari. Salah aku ke? Ye la kot. Tak cabut plug lepas guna. Hambik kau termangu-mangu tanpa internet. Ini pun sekadar nak jengah je dan menaip barang seperenggan dua kata-kata terakhir sebelum tahun berganti. Entri yang berderet-deret nak ditulis terpaksa tangguh dulu. Banyak wooo.. Hehehe.. Sape ntah yang nak baca kan. Tak kesah la. Untuk tatapan anak cucu nanti. Ahaks...

Memandangkan detik 1431 H haritu tak sempat nak cakap apape, jadi aku jamak dengan yang ni la ye. Ucapan selamat tahun baru masihi, 2010 buat sahabat-sahabat, keluarga, dan pembaca Atas Nama Cinta. Semoga tahun baru ini akan menjadi lebih bermakna dan bermanfaat buat kita semua. Azam tahun baru? Langsaikan azam tahun lepas dan menambahbaik apa-apa yang perlu dibaiki. Selamat Tahun Baru 2010 semua ^_^

Sunday, 13 December 2009

Kita Merancang, Kita Juga Yang Menentukan

Kepada sahabat-sahabat B. Ed TESL Semester 7 dan sahabat-sahabat UNISEL(yang dah habis periksa je..Kak Chik belum lagi..Ifdal pun belum..hehehe), Selamat Bercuti diucapkan. Kepada Cik M**, selamat terbang ke Australia.


Ini adalah entri perancangan masa depan untuk mengisi masa cuti. Kot-kot ada yang nak tahu apa aku buat sebab sem ni tak join MTS. Harapnya terbuat la kan apa yang dirancang ni.

Uruskan blog-blog di bawah jagaan

Mula-mula, aku nak tukar layout blog ni. Sepanjang perjalanan aku meredah dunia blog ni, dah dekat 10 blog kot yang aku jumpa guna layout sama. Banyak sangat la kan angka 10 tu. Kalau 1 atau 2 okey lagi. Blog Chik pun guna layout macam aku jugak. Apa kes ni Chik? Dah minat warna hijau macam Dila jugak ke? Lagi satu blog yang perlu diselenggara, hak milik awam. Kena jaga jugak tu. Patutnya jaga lebih dari yang ini. Tapi, tu la kan. Ampun ye Tuan Blog(kamu la Sha) dan Tuan Presiden. hehehe...

Kosongkan to-cook list
Sejak rajin menjelajah blog orang yang rajin masak, bertambah-tambah pulak senarai menu dalam to-cook list tu. InsyaAllah cuti ni nak cuba la kosongkan senarai tu. Abah pun cakap, daging lembu korban haritu penuh lagi dalam peti. Adoi, nak masak apa ye daging-daging tu?

Jalan-jalan kat Pantai
Macam biasa, aktiviti buang tebiat. Memandu menyusur pantai. Itu pun kalau jalan susur tu dah siap baiki sebab kali terakhir aku pergi, dia tutup. Terhakis dek ombak. Alang-alang dah sampai pantai, pergi la main celup-celup kaki kat air. Ye tak? Itu pun kalau ada yang meneman la. Kalau takde, lalu je sebab selalu ada geng-geng motor lepak kat tepi tu. Takut pulak kalau jadi apape kan. Ye la, rambut sama hitam tapi hati lain-lain.

Kemas rumah
Mengemas la sikit-sikit rumah tu walaupun aku ni tak berapa rajin nak mengemas. Stor yang aku punggah hari tu pun tak kemas lagi. Dapur pun hari tu masih penuh dengan barang-barang yang patutnya dok dalam kabinet. Tak tau la kalau Abang An dah kemas ke.

Contoh 'penyepahan' yang pernah berlaku di rumah

Kemas rumah Klang
Kalau sempat, nak ajak Abah jenguk rumah Klang. Kemas mana-mana yang patut. Kot-kot dapat praktikal kat Klang nanti, senang. Tak payah penat-penat nak kemas lagi. Rumah tu pun jenguk beberapa kali setahun. Habuknya memang jangan cakap. Tebal berinci-inci.

Lepak-lepak rumah Nenek
Yang ni selalu tak sempat buat. Kali ni kena jugak cari masa. Tapi payah sikit kot kalau nak bermalam sebab sejak rumah Nenek kena masuk pencuri dulu, Nenek memang dah tak tidur kat rumah. Waktu siang je ada kat rumah.

Khatamkan buku-buku
Sehari sebuah buku. Boleh ke? Tak sebuah sehari pun, sebuah dua hari ke, sebuah tiga hari ke.. Tengok pada kelajuan aku mengeja. Hehehe... Banyak jugak buku nak kena khatam ni. Masa membeli, main capai je. Bacanya, tak buat jadual lagi.

Ni rak buku aku waktu baru-baru beli (abaikan bahagian yang semak dengan benda selain buku)

Buat persediaan mental dan rohani untuk praktikal
Seram je dengar praktikal ni. Mudah-mudahan tak ada aral untuk subjek-subjek semester ni sebab boleh tahan lama jugak aku termenung waktu jawab exam ni. Susah la tu maknanya. Tambah lagi dengan masalah kumpulan untuk praktikal. Harapnya dapat la tempat yang aku mintak. Batch Umie terus praktikal bukak sem baru nanti. Kejap je rasanya, dah nak habis belajar. Masih ingat lagi pertama kali Umie hulur borang keahlian i Rakan. Dia adalah seorang daripada orang kuatnya dulu. Dari Umie, kenal Kak Ida, Kak Faizah, Kak Wani, Hawa, dan ramai la lagi akak-akak. Kenangan semua tu... Tak kan reput ditelan zaman.

Pergi Walimah
Tadi Atin bagi tau salah seorang senior kami di Hamidiah bakal bergelar isteri tidak berapa lama lagi. Tidak la rapat, tapi kenal baik sebab dia Ketua Asrama dulu. Orang dah jemput, insyaAllah aku pergi. Dulu arwah mak ada jugak cakap Dani(anak sedara aku) nak naik pelamin cuti sekolah ni. Tapi belum ada kadnya lagi. Kalau sampai jemputan nanti, InsyaAllah aku pergi jugak.

Kopak Abang
Ni paling penting tapi aku letak paling akhir sebab aku tau dia baca blog ni. Letak awal-awal karang, rosak mood dia nak baca. Hahaha... Sedapnya dapat roti nan + ayam tandori Fadhiya Maju. Sate Wak Jalal pun menyelerakan. Ahaks~

Sekian saja pembentangan rancangan untuk tahun 2009. Sampai ketemu di lain entri. Sebelum menutup entri, sedikit berita untuk sahabat-sahabat Hamidiah----->

Diterima dari Zimah, forwarded by Dila di YM petang tadi, Ustaz Arman Rusof telah kembali ke rahmatullah 11.12.2009 (Jumaat) lalu akibat strok. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman. Al-fatihah....

Nota: Punya la lama aku mengarang(sebab sibuk bertandang blog kesukaan). Sekarang dah 1.50 a.m. Ok, nak tidur sebab esok nak memandu jauh.

Nasi Goreng Penghabisan Stok? (Edisi Semakan)

Alhamdulillah, dah habis menjawab exam untuk semester ni. Jadi secara rasminya aku akan mula bercuti pada esok hari. Habis je periksa tadi, perut pun berdendang menyanyi lagu zapin. Tahan dulu. Nak salam-salam dan lambai-lambai selamat tinggal dengan Ain, Min, dan kawan-kawan lain(macam la sem depan tak jumpe ye). Habis 'acara', terus la jenguk kafe apa ada. Lama jugak termenung depan gerai tom yam sebelum ajak Ella ke kampung sebelah. Macam tak syok pulak nak beli kat situ. Akhirnya, aku menghalakan Mrs. Kanc ke Kampung Bestari Jaya a.k.a kampung sebelah. Aiseh, kedai yang best tu tutup pulak. Pusing punye pusing, terberhenti kat kedai kerusi kuning (apa ntah nama dia). Sementara menunggu, duduk la melangut tengok TV. Alangkah seronoknya kalau dapat tengok TV malam ni. Tak lama lepas tu, siap la pesanan kami. Masa nak bayar, tanya harga. "3 ringgit." Kata penjaga kaunter. "Ha?" aku ulang bertanya. "3 ringgit." Ulang si penjaga kaunter. Terus la aku hulur duit RM1 tiga keping. Bukan apa, terkejut gak bila daging merah cuma 3 ringgit. Harga standard RM 3.50. Boleh tahan jugak la banyak dia; macam yang harga RM 3.50. Pernah gak beberapa kali makan kat situ. Makanan dia memang banyak dan murah. Sebab pertama aku cuba makan kat kedai kerusi kuning ni adalah kerana bila lalu malam-malam, mesti penuh dengan orang lelaki. Pelik jugak kan. Apa la istimewanya kedai ni. Rupanya, seperti yang aku sebutkan tadi.

Lauk dah beli. Balik rumah terus solat asar. Lepas tu, mula la projek memasak Nasi Goreng Penghabisan Stok aku. Kenapa la pelik sangat namanya ye? Ini adalah kerana aku menghabiskan bahan mentah yang 'hidup segan mati tak mahu' kat dapur tu. Bawang tinggal 3 ke 4 ulas. Cili giling sesudu kecil. Cili padi segenggam. Ikan masin sepotong. Belacan secubit. Sos cili beberapa sudu(dalam botol besar yang amat). Jadinya, macam tak berbaloi pulak nak angkut benda alah yang 'hidup segan mati tak mahu' tu. Hahaha.. Maka termasaklah Nasi Goreng Penghabisan Stok ni. Nasib baik la ada rasa. Kalau tak ada rasa pun kena makan gak kan. Membazir pulak nanti.

Sekarang ni tak tahu nak kemas barang macam mana. Masa telefon ababh semalam, abah siap tanya muat ke kereta? Hah, sudah. Cuak jugak kalau tak muat ni. Selalunya kereta abah tu pun tak muat-muat nak isi. Ye, barang aku memang banyak. Tambah lagi dengan barang peninggalan teman-teman serumah yang awal-awal lagi dah seronok bercuti. Bahan masak la terutamanya. Haish, macam mana nak kemas ni? Dok-dok memikir, akhirnya Permataku jugak yang aku tatap. Hahaha.. Jadi, esok je la kot kemasnya. Sekian dulu entri merapu orang yang baru habis jawab 2 paper dalam sehari. Sampai berjumpa di lain siaran.

*Edisi Terkini*
Ni nak membebel sikit...Manusia-manusia yang berkaitan, sila ambil perhatian...
#Ni kurma dari pakwe sape ni? Kenapa tak angkut?
#Atas meja ni, Milo sape? Nak bagi akak minum free?
#Ada sape-sape beli stok memasak tapi tak sempat guna tapi tak angkut balik?
#Ni, air Sarsi sape? Tak baik tinggal rezeki camtu je..
Maaf la, saje nak bagi tau korang apa yang patut korang kemas dan apa yang tak. Bukan tak nak angkut, tapi barang akak pun dah layak sewa lori kontena.

10.15 p.m.
13/12/2009

Nota: Gambar takde sebab bateri kamera 'kong'.

Thursday, 10 December 2009

"Kalau tak suka, pulangkan balik"

Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta di halakan ke dalam garaj.
"Horey! Papa balik!" Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya.
"Tepi! Bahaya tau tak?" Jeritnya.
Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar.
"Aimin bawa adik ke belakang." Arahnya pada anak yang sulong.
Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.
"Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang. Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita," pujuk Laila.
Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.
"Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!" Sergahnya. Suara yang bergema mematikan tawa anak-anaknya. "Asal saya balik rumah mesti bersepak. Kain baju berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?" sambungnya kembali bila isterinya terpacul di belakang pintu.
"Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman." Balas isterinya lembut.
"Fail saya kat depan tu mana?"
"Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan."
"Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi." Rungutnya sekalipun di hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu. Suasana sepi kembali. Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya.
"Laila..." Keluhnya Akhirnya dia terlena di sofa.
"Saya nak ke out station minggu depan."
"Lama?" Soal Laila.
"Dalam seminggu."
"Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?"
"Budak-budak?"
"Ikut jugalah."
"Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana. Tengok masa kat Legacy dulu tu..."
"Masa tu Amirul kecik lagi." Balas Laila. Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu malahan pihak hotel pun tak minta ganti rugi. "Bolehlah Pa! Lama sangat kita tak ke mana-mana." "Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung," Muktamad! Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil hati. Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama.
"Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar abah ambik bagi kamu!"
"Manalah saya ada masa.." "Takpe..pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!" Dia tersentak dari khayalannya. "Kalau tak suka pulangkan balik!" Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir. Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu? Bukan..bukan tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya. Cuma.. "Mizi, makan!" Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. "Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah." "Papa! Makan!" Jerit Aiman ,anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya. "Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?"
Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.
"Awak masak apa?"
"Mama masak sup tulang dengan sambal udang!" jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.
"Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!"
"Papa nak ke mana?" Soal isterinya perlahan.
"Keluar!"
"Mama dah masak Pa!"
"Awak saja makan!"
"Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!"
Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah papanya keluar dari ruang makan. "Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?" Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi. "Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan." "Abang tak suka tengok papa marah-marah. ." "Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan?"
Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila menjeling. Di hati kecilnya turut terguris Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?
Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.
"Laila.." serunya
"Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau nanti." Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.
"Sunyi pulak rumah ni mak,"
"Lama-lama kau biasalah."
Airmatanya menitis laju. "Kalau tak suka pulangkan!" Dia rasa terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat.
"Papa beli apa untuk Aiman?" Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya.
"Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu."
"Tak ada lah?"
"Ingat papa ni cop duit?"
Aiman termanggu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang.
Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya. "Awak tak sihat ke?"
Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.
"Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi." Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.
Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat.
"Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!" Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap.
Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman di pukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya.
"Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!"
Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukkannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak.
"Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan." Ujar Laila perlahan
"Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat sana, kecah barang. Gila apa?" Omelnya kembali.
Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka.
"Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni." Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang. Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah. "Celaka betul!" Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja. "Abang!"
"Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!" Getusnya kasar.
Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.
Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.

"Pak Ngah, Eddie nak balik!" Shamizi terpana. Dia mengangguk. "Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti." Alangkah mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila. Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih baik dari A. "Laila..." "Papa nak ke mana hensem-hensem gini?" Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat. "Wangi-wangi lagi. Dating ye?"
"Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff." Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.
"Ikut boleh?"
"Dia tak ajak family. Staff only!" Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain. Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi akan turut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan bujang. "Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak kami."
"Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini. "
"Papa pesanlah.."
"Nantilah besar sikit." Dalihnya.
"Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun."
"Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,"
Laila terdiam. "Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki."
"Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik." "Mama tanya sikit boleh?" Dia mengangguk "Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?"
Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya.
"Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik," ujar Mr. Kwai, tuan rumah.
Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan tentang anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anaknya pada rakan-rakan.
"Kalau tak suka pulangkan!" Kata-kata itu semakin keras di fikirannya. Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri. Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian.
"Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan!" Laila merenungnya dalam.. Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya. Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak diambil. Pelik! Selama ini Laila tak pernah lupa..
"Kalau tak suka pulangkan,"

Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit di rumpun bunga.Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila...Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya. Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah. Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi..

Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah. Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk, bagaimana pun dipandangan harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya, Laila dipulangkan.

Dipetik dari: Blog Mawar Merah

Tuesday, 8 December 2009

Tentang Bulan

Penat menatap skrin Permataku, aku berkalih ke jendela. Angin malam bertiup lembut, membawa ketenangan dalam diri. Bila mendongak ke langit, terlihat bulan yang hanya tinggal separuh. Bentuk bulan ini mengingatkan aku pada Cikgu Tun Azlina, Cikgu sainsku dari Darjah 4 sampai Darjah 6. Beliau telah mencipta formula-formula dan lagu-lagu bagi hampir setiap topik pembelajaran kami. Terima kasih kepada semua formula dan lagu yang dicipta. Kami berjaya mengingat apa yang dipelajari dengan mudah! Masa tu masih menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar subjek ni. Untuk fasa bulan pun ada formula... Ingat sampai sekarang. Mula-mula Cikgu Tun sebut formula fasa bulan ni, gelak-gelak jugak kitorang. Tapi, yang itulah yang buat aku ingat sampai sekarang. Senang je formula dia. Mari baca secara berima ye..

Anak bulan...C terbalik..D betul...D betul kembung...Bulan purnama..D terbalik kembung..D terbalik..C betul..Anak bulan..

(mana lagi senang ingat?formula ke, nama saintifik?)

Amacam? Boleh ingat? Ni lagu untuk topik Sistem Suria pulak..

Aku matahari
Dikeliling 9 planet

Aku matahari

Aku adalah bintang

Sistem suria ada 9 buah planet

Semua ikut turutan

Utarid, Zuhrah,

Bumi,Marikh, Musytari,

Zuhal,Uranus
, Neptun dan Pluto.

Okey, ni yang akhir.. Lagu untuk topik Pengaratan

Bahan yang berkarat
Besi dan keluli
Kalau ada air dan udara berkarat

Cegah pengaratan
Cat, sadur timah,
Sapu minyak, sadur emas
Dan proses galvani

Kesan pengaratan
Beracun, kancing gigi
Tidak tahan lama
dan tidak cantik
dan kotor



Sebelum Terlambat

Ye, sebelum internet tanpa wayar ni meragam lagi, baik ku cepat-cepat taip apa yang nak ditaip. Banyak sebenarnya benda nak cerita. Mula-mula nak ulas tentang entri semalam. Wah, selepat kena tazkirah dengan 2 orang pembaca blog ni! Seorang sahabat pulak bertanya tentang ini. Tapi Kak Chik tak tanya apa-apa pulak tadi. Tak baca lagi kot. Biarlah dulu. Sekali-sekala muntahkan benda yang tak habis hadam. Memang emosi bercelaru masa buat entri tu. Banyak faktor lain lagi yang menyumbang kepada emosi tak stabil. Jangan nanti ada yang kena angkut dengan aku pergi mana-mana buang tebiat udah la. Al maklumlah masa senggang lama ni. Terima kasih kepada yang memberi nasihat.

Petang tadi, Kak Chik ajak ke pasar. Memandangkan Mrs. Kanc ada dengan aku sekarang, jadi malas la pulak nak menapak ke pasar tu. Aku cuma beli bahan mentah untuk masak makaroni-campak-campak yang dah selamat ditelan oleh teman-teman serumah. Kalau letak resepi, memang ada yang gelak guling-guling macam tenggiling(bak kata Kak Chik) pulak nanti. Sebenarnya nak habiskan stok makanan kat dapur tu je memandangkan semua dah kemas beg nak balik rumah masing-masing. Terpaksa guna apa yang ada je kan. Selalunya, orang paling akhirlah yang akan membuat clearance mengangkut semua barang yang tertinggal. Aku la tu sebab orang lain habis periksa 10 haribulan ni. Kak Chik dah beli stok makanan dah siap-siap tadi(selepas dihasut oleh tukang taip)sebab dia kata Bad Luck macam tak ikhlas nak bukak kedai dah. Hahaha... Apa pun, selamat berjaya kepada Kak Chik untuk peperiksaan pagi nanti dan terima kasih banyak-banyak untuk coklat tadi(terima kasih daun keladi lagi sesuai kot...).Hehehe. Yang tengah menaip ni pun belum habis berjuang lagi. Rehat kejap untuk sampai ke 2 subjek terakhir Ahad ni.

Ulasan subjek tadi, alhamdulilah boleh la ingat formula nak mengira. Tapi tak sangka la pulak ada soalan essay yang macam tu. Arghhh.. Sabar je la. Harapnya Miss Hayati dapat la terima apa yang aku tulis untuk jawapan. Hehehe... Kira-kira selepas solat maghrib, aku menerima satu panggilan telefon. Cuak jugak bila tengok nama kat skrin. Bila dah bertukar salam dan berbual barang beberapa perkara, perasaan cuak dah hilang. Masih ada yang ingat dan ambil berat padaku. Kak Yah menelefon bertanya khabar. Dialah antara orang yang paling hampir dengan keluargaku. Kak Idah pun selalu juga mengirim SMS bertanya keadaanku. Terima kasih, kerana ingat padaku.



Kerja sambilanku telah membuat aku sedar diri dan belajar banyak benda. Tentang kehidupan yang pastinya. Bukan senang nak berurusan dengan orang kan? Macam-macam aspek kena ambil kira. Hari ni je, beberapa benda yang tak sepatutnya dibuat, aku buat. Sebab emosi la ni. Konsep SPIES masih belum berjaya diaplikasi sepenuhnya ni. Berbalik pada kerja sambilan... Kebanyakan blog yang aku baca adalah milik insan yang bergelar ibu. Betapa besarnya pengorbanan mereka dan betapa payahnya jadi mereka ni. Kadang-kadang kita tahu mak kita bersusah payah tapi kita tak sedar. Bila aku baca coretan mereka, baru teringat balik semua benda yang berlaku dulu. Bila kita sakit, orang pertama yang akan risau mestilah mak. Betul tak? Bagi yang tak tak duduk asrama macam yang menaip ni, selalu la rasa layanan VIP kalau sakit dari mak. Tukang taip dulu kalau boleh tak nak sakit kat asrama sebab leceh dan menyusahkan orang lain. Kena duduk bilik sakit + AJK Bilik Sakit kena ambilkan makanan dari dewan makan + mintak surat sakit dari pejabat dan hantar ke asrama balik. Leceh kan? Kalau kat rumah lain. Hargailah apa yang dinikmati walaupun benda tu tampak remeh dipandangan mata sebeum terlambat.

Bagi insan yang bergelar perempuan dan nak lengkapkan diri dengan kemahiran memasak, boleh mula masuk dapur sama-sama dengan mak. Tengok apa mak buat. Nak belajar tak semestinya kena bertanya. Memerhati pun dah boleh dapat banyak benda. Buat semuanya sebelum terlambat. Alhamdulillah aku sempat jugak belajar banyak perkara dari arwah mak. Teringat pertama kali nak kupas bawang dulu. Arwah mak tak bagi pisau langsung. Kopek la guna kuku. Tak puas hati jugak kan sebab tengok macam seronok je kalau guna pisau. Ada sebabnya. Risau kalau-kalau terluka. Prihatin betul mak-mak pada kita. Benda-benda kecil tu kita selalu tak perasan dan sampai satu masa, semuanya dah berlalu dan takkan boleh kembali lagi.

Banyak benda sebenarnya kita boleh belajar dengan hanya memerhati. Tapi jangan asyik memerhati je. Ada masanya, kena bertanya dan ada masa kena bertindak. Lain orang, lain ragamnya. Jangan selamanya anggap benda remeh tu tak ada nilai dan makna. Percayalah, bila kita tidak mampu memberi apa-apa pada orang lain, cukup dengan hanya menggunakan kata-kata untuk menghargai seseorang mahu pun membuat seseorang berasa lega. Paling penting, belajar untuk membuat sesuatu sendiri sebab kita tak akan sentiasa ditemani.

Nota: Apa la tukang taip ni mengarut ye. Peringatan, ini BUKAN ENTRI EMOSI ye. Sekadar ulasan atas apa yang telah tukang taip baca, dan juga keadaan tukang taip yang ditinggal sendiri (sebab roommate dia dah balik rumah petang tadi...huhuhu) serta muhasabah diri sendiri bahawa tukang taip bukan pemilik kemaafan tapi hanya layak memaafkan atas kesalahan yang kadang-kadang tukang taip buat.

Sunday, 6 December 2009

Sakit Jiwa Aku Dibuat Dia


Entri emosi.
Serius, benda ni buat aku jadi emosi.
Polisi blog bukanlah diari, aku cemar.
Benar kata sahabat itu, blog bukan tempat luahan peribadi.
Maaf, aku mencemar duli.
Dah lama dah tahan.
Bukan kali pertama ia terjadi, malah berkali-kali.
Aku ke yang salah?
Nak buat apa kalau tiba-tiba dia membisu?
Aku cuba mulakan perbualan.
Nak buat apa kalau dia jawab acuh tak acuh?
Rupanya dah 2 minggu kami begini.
Kenapa? Kenapa? Kenapa?
Ayah Aji cakap, sentiasa maafkan orang.
Nak buat apa kalau dia tak menerima?
Kami dekat, sangat dekat.
Tapi hakikatnya kami jauh.
Aku dah lama memberi maaf pada dia.
Cuma kekuatan masih rapuh..
Emosi masih pincang..
Biarlah kali ini dia pula yang memulakan langkah pertama.


Saturday, 5 December 2009

Raja dalam Kehidupan

Sebelum ilmu yang aku peroleh menjadi kabur dan simptom ingat-ingat lupa muncul, aku berhasrat mahu mengolah apa yang aku dengar dan catat. Ini adalah ulasan daripada rancangan Suara Mimbar di Radio Malaysia Selangor. Ceramah kali ini bertajuk Raja dalam Kehidupan oleh Ustaz Amran (kalau tak silap sebab terlepas dengar namanya diawal siaran).

Rentetan dari entri Cari Mood, ini boleh dibandingkan dan adaptasi supaya seimbang kedua-duanya. Mood akan berkait rapat dengan jiwa dan emosi seseorang. Abu Hurairah berkata barangsiapa yang keluh-kesah hatinya, maka lakukanlah 4 perkara ini iaitu:
  1. Datang ke rumah Allah dan isilah dengan membaca Al-Quran. InsyaAllah hati yang gelisah akan tenang semula.
  2. Jika tak mampu, maka dengar orang yang baca Al-Quran. Guna pakai teknologi yang ada. Setiap kali selepas azan, bacaan Al-Quran akan dialunkan di IKIM.fm.
  3. Datang ke rumah Allah untuk majlis ilmu. Bukankah majlis ilmu itu diberkati dan dinaungi dengan rahmat Allah dan penuh dengan malaikat?
  4. Akhirnya, bangun di sepertiga malam. Lakukan qiamullail.
Semua yang disarankan adalah kunci kepada pembinaan kekuatan rohani dan pembersihan hati. Bila baik hatinya, maka baiklah akhlaknya, sebutannya dan amalannya. Firman Allah dalam Surah Al-Anfaal ayat 2 yang bermaksud; " Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal"

Imam Ghazali pula membahagikan hati kepada 2 iaitu; organ dan ruh. Hati sebagai organ hanyalah sekadar salah satu benda yang perlu ada dalam tubuh manusia ini manakala hati sebagai ruh boleh disifatkan sebagai pendekatan kepada Rabb. Sepotong hadis riwayat Bukahri dan Muslim tentang hati; "Ketahuilah, bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.”Justeru, didiklah jiwa untuk memahami setiap perkara yang ada di sekeliling kita dan setiap yang kita lakukan. Dengan cara ini, barulah perbuatan itu akan meresap ke dalam hati dan memberi impak dalam kehidupan. Contoh paling mudah, fahami setiap butir bacaan dalam solat. Bila faham, kita tahu apa yang kita buat dan akan buat bersungguh-sungguh. Begitu juga dengan doa yang dipinta. Fahami maksudnya barulah doa mustajab.

Hati dalam erti kata ruh ibarat juga tubuh manusia; senang dijangkiti penyakit dan perlu rawatan serta penjagaan. Penyakit yang mesti menyerang hati adalah dosa dan jika dibiarkan tanpa rawatan, gagallah segala fungsi dan akhirnya mati. Peringkat kerosakan hati boleh dibahagikan kepada 3 iaitu:
Hati yang dijangkiti kuman
Pada peringkat ini adalah permulaan penyakit. Bila melakukan kesalahan, kita berasa sangat berdosa.
Hati yang diserang virus
Penyakit kian merebak pada peringkat ini. Bila membuat sesuatu kesalahan, masih lagi rasa berdosa tapi sudah terbiasa. Bila sudah terbiasa, perasaan bersalah beransur hilang.
Hati yang kronik dengan serangan virus
Ini adalah peringkat parah. Perasaan sangat berdosa dan bersalah sudah hilang sepenuhnya. Perasaan itu diganti dengan keseronokan kerana Allah tetap kurniakan nikmat dan kesenangan walaupun berbuat dosa. Kerana inilah dunia menjadi penjara bagi orang yang beriman kerana tidak dapat melakukan sewenang-wenangnya lantaran terikat dengan peraturan dan hukum Allah.

Sentiasalah berdoa memohon pada Allah dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadis oleh Anas Bin Malik RA;

يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك

“Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati tetapkanlah hati kami dalam agama-Mu” maka para sahabat pun bertanya apakah hati itu boleh dibolak-balik ?
Maka baginda pun menjawab : “ Ya, Sesungguhnya hati-hati itu berada di antara jari-jari Allah dan Dia (Allah) membolak-balikkannya sebagaimana yang dikehendaki-Nya” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2140 dan Ibn Majah no.3834).


Inilah sedikit ilmu yang dapat aku kongsikan. Mudah-mudahan bermanfaat.

Friday, 4 December 2009

Azab Penantian

Tajuk macam gempak je kan. Hehehe.. Al-kisah bermula dari petang semalam. Usai menjawab Educational Research Methodology, kami mengadakan perbincangan terakhir untuk analisis soalan yang kami dok mengadap dari awal semester lagi (daripada membuat soalan yang macam nak buat soalan periksa, hantar soalan ke sekolah untuk dijawab, menanda jawapan, dan akhirnya analisis soalan). Phew..! Akhirnya siap jugak kira-kira jam 6.30 petang (sampai terpaksa batalkan temujanji dengan Ifdal..mintak maaf banyak-banyak). Malamnya cuma perlu letak analisis soalan berkaitan Bloom Taxonomy dan mencetak segalanya.
Bloom Taxonomy [Cognitive Domain]

Permataku pulak buat hal. Tak dapat nak bukak MS Word. Dah cuak ni sebab kalau nak taip balik semua soalan (4 Set soalan) memang mau nangis la kan. Kesimpulan yang dapat aku buat adalah Permataku kini sudah diserang virus entah apa dan entah dari mana virus ni muncul. Kepada juruteknik tak bertauliah Permataku, sila bersiap sedia untuk membaiki Permataku tak berapa lama lagi jika anda membaca entri ini. Hehehe.. Setelah beberapa jam menunggu dan pelbagai cara dibuat, akhirnya dapat jugak la bukak MS Word tu. Alhamdulillah. Sudah siap semuanya, edit jadual pemarkahan (highest marks, lowest marks, item diificulties, item discrimination, etc. ). Printing job pun menguji kesabaran jugak. Dengan kelambatan printer memproses data + dakwat yang kabur dan terputus macam dah nak habis (padahal baru je isi dakwat). Adoyai, sabar je la. Akhirnya kira-kira 5.00 pagi baru siap semuanya. Nak syahid, nak dekat subuh dan yakin kalau syahid terlajak subuh. Jadi, tunggu masuk waktu baru la mensyahidkan diri. Kira-kira 12.20 tengahari tadi, baru la keluar rumah hantar analisis yang tebal macam manual Mr. Mus. Hehehe.. Sampai-sampai, Miss Hayati pulak dah keluar rehat. Jadi, Min pun ajak la makan dekat 'air suammm'.

Sepanjang perjalanan, banyak yang aku dan dia bualkan. Tentang kehidupan, kenangan lalu dan macam-macam lagi. Memang agak lama aku tak luangkan masa berborak tentang pelbagai perkara dengan Min. Dengan Min, aku tak berapa pandai menyampuk dan menokok tambah cerita(jangan tanya kenapa). Lebih suka mendengar dan kadang-kadang bertanya. Tak macam dulu-dulu, waktu Foundation. Kami berjiran dan banyak perkara lucu berlaku sepanjang setahun hidup berjiran. Teringat kadang-kadang kami(aku, Min, dan Izie) yang geram dengan manusia-manusia yang lebih suka menjerit dari blok ke blok untuk berinteraksi, menyahut dan menyampuk panggilan mereka dan insiden culik-menculik hippo. Rasa macam baru semalam je semua tu berlalu. Kenangan, indah untuk dikenang. Kira-kira 1.30 petang kami kembali semula ke depan bilik Miss Hayati. Beliau masih belum ada. Jadi, semua pakat bersila kat depan koridor. Macam-macam la topik yang keluar bila makin lama makin ramai yang duduk bersila sekali dengan kami. Semuanya nak hantar benda-alah-analisis tu la. Bila dah jumpa, semua nak tengok hasil kerja masing-masing. Kami punya dah tebal, ada lagi yang tebalnya berkali ganda. Memang cemerlang...

Akhirnya, hampir jam 4.00 petang baru Miss Hayati muncul. Jadi, korang kira la sendiri berapa lama kami bertapa kat koridor tu. Sungguh penat rupanya menunggu ni. Azam baru, cuba tak nak buat orang menunggu. Itulah ceritanya. Marilah sambung semula ulangkaji untuk subjek hari Ahad dan Isnin ni.

Cari Mood

TIADA ‘mood’ adalah perkara biasa yang dihadapi hampir setiap orang, apatah lagi jika kita perlu berdepan individu atau persekitaran yang kurang disenangi di tempat kerja.

Jangan biarkan perasaan negatif itu mempengaruhi prestasi kerja dan menjejaskan kualiti hidup anda. Tidak kira apa pun bentuk tekanan, ia hanya bersifat sementara dan anda perlu bijak menanganinya.

Tanpa disedari, pemikiran dan emosi negatif terpamer di riak wajah kita. Ia juga melemahkan sistem pertahanan badan yang membuatkan kita lebih terdedah kepada penyakit seperti jangkitan dan tekanan.

Malah, tekanan yang tidak diurus dengan baik boleh membawa kita lebih dekat dengan kemurungan, tekanan darah tinggi dan pelbagai masalah kesihatan lain.

Menurut Pakar Perubatan Alternatif merangkap Canselor Universiti Yo San (Perubatan Tradisional China) di Los Angeles, Dr Maoshing Ni, banyak langkah mudah dan murah boleh dilakukan untuk menceriakan diri sendiri, sekali gus meningkatkan tahap kesihatan seperti:

# Ketawa — Kajian menunjukkan ketawa boleh menjadi terapi mujarab kepada emosi seseorang. Apabila kita ketawa, otak menghasilkan hormon endorfin — yang membuatkan kita berasa tenang dan selesa. Pada masa sama sistem ketahanan diri juga dirangsang menjadi lebih kuat.

Orang yang ceria dan selesa dengan dirinya sendiri biasanya lebih yakin dan tenang. Banyak bukti menunjukkan individu yang ceria hidup lebih lama dan gembira. Luangkan masa menonton rancangan komedi, membaca komik kegemaran dan usah segan untuk ketawa jika melihat sesuatu yang lucu walaupun ketika itu anda bersendirian.

# Sentuhan — Sentuhan boleh merangsang penghasilan hormon endorfin, hormon pertumbuhan dan dehidroepiandrosteron (DHEA) yang memanjangkan jangka hayat dan mengurangkan kesan negatif tekanan.

Kajian menunjukkan pesakit yang sering mendapat sentuhan keluarga atau orang tersayang sembuh lebih cepat. Malah bagi lelaki, berkahwin atau mempunyai pasangan hidup didapati lebih bahagia, kurang mengalami tekanan dan mempunyai jangka hayat lebih panjang.

Justeru, jangan kedekut memeluk pasangan dan anak sebagai tanda kasih sayang kerana anda juga terkesan. Jika anda mendengar masalah orang lain, pegang tangannya supaya dia tidak berasa keseorangan.

# Rangsang ‘hormon remaja’ anda — Tiada pil hormon untuk awet muda, sebaliknya ia boleh dilakukan dengan mudah iaitu melalui senaman. Senaman semudah dan seringkas berjalan kaki selama 30 minit sehari boleh melancarkan aliran darah yang membuatkan anda lebih bertenaga, cergas dan sihat.

Banyak kajian membuktikan senaman adalah ubat paling berkesan untuk menjauhkan kita daripada penyakit. Ingat, penyakit adalah penggerak paling berkuasa untuk mempercepatkan proses penuaan.

Jika tidak mampu melakukan senaman selama 30 minit untuk satu sesi, bahagikan senaman anda kepada dua atau tiga sesi. Jangan sayang menggunakan lemak yang bertahun-tahun terkumpul dalam badan anda kerana semakin lama ia semakin sukar dipecahkan dan hanya menyukarkan pergerakan anda!

# Amalkan pernafasan yang dalam dan perlahan — Ia sama seperti teknik pernafasan ketika melakukan yoga, tai chi, qi gong dan meditasi. Caranya, tarik nafas hingga masuk ke perut (perut anda akan terasa kembung dan seolah-olah berisi udara), tahan seketika dan lepaskan perlahan-lahan.

Lakukan pernafasan ini setiap kali anda berasa tiada semangat, gelisah, cemas atau dalam keadaan tidak selesa. Ada pendapat mengatakan, pernafasan yang baik boleh membantu menyingkir bahan buangan daripada badan kerana dianggarkan kita hanya menyingkir 30 peratus bahan toksik daripada badan melalui air kencing dan najis.

# Aromaterapi — Adakah anda ingat bagaimana perasaan anda ketika di spa dengan aroma yang menenangkan perasaan? Sejak dulu lagi aromaterapi digunakan secara tradisional untuk meredakan tekanan.

Kajian mendapati apabila kita merangsang saraf olfaktori dalam hidung, kita mengaktifkan sistem limbik pada otak yang dikaitkan dengan emosi dan ingatan. Beli minyak aromaterapi yang boleh membuatkan anda rasa tenang seperti jasmin atau minyak kayu putih.

# Beli bunga untuk hiasan meja — Tahukah anda kenapa orang menghadiahkan bunga kepada pesakit? Warna bunga yang menarik memberi kesan kepada emosi; ia boleh memperbaiki emosi pesakit dan mengelak mereka berasa tertekan.

Satu kajian mendapati dalam tempoh lima minit menaip tugasan, individu yang duduk di sebelah jambangan bunga berasa lebih tenang berbanding individu yang ditempatkan di sebelah jambangan berdaun saja.

Jadi apabila anda rasa kurang bersemangat, hadiahkan diri sendiri setangkai atau sejambak bunga yang ceria warnanya. Lebih baik jika bunga berkenaan juga harum untuk memulihkan semula emosi dan semangat anda.

# Senyum — Sedekahkan senyuman kepada semua orang yang anda temui. Senyuman yang tidak memerlukan sebarang modal ini bukan saja membuatkan orang lain berasa gembira, malah anda juga mendapat kesan positif sama.

Sumber: http://www.hmetro.com.my

Cuak

Setelah gagal beberapa kali, akhirnya aku berjaya juga mendaftar masuk ke Blogger. Dapat la mencoret kisah yang berlaku hari ni. Alhamdulillah, selesai menjawab 2 subjek. Walaupun soalan memang susah tak ingat dunia, tapi sekurang-kurangnya dah boleh fokus untuk subjek seterusnya.

Petang tadi, sewaktu sedang mengadakan perbincangan mengenai assignment yang perlu dihantar beberapa jam lagi, aku menerima satu pesanan ringkas dari nombor yang tidak dikenali. Mesejnya berbunyi begini:

'Salam..minta sahabat doakan buat us arman rusof, bekas us Maahad sekarang msd kat jordan kesejahteraan dan pulih dari strok kat icu jordan
.'

Terkejut membaca pesanan ringkas tersebut. Nab Nadz rupanya yang menghantar mesej tersebut. Katanya pesanan dari Ustaz Zainaphi, juga seorang ustaz di Maahad Hamidiah. Kepada sahabat-sahabat yang membaca mesej di atas, sama-samalah kita doakan supaya beliau sembuh seperti sedia kala.

Kemudian, kira-kira jam 12.20 malam, aku menerima panggilan dari K** C**k. Salam yang diberi dengan nada cuak membuat aku jadi cuak juga. Biasanya kalau telefon malam-malam, nak-nak musim peperiksaan ni, ada kes histeria. Hah, sudah... Bila K** C**k meneruskan bicara, mau tergelak juga.

K** C**k : Sedari, nak tanya ada nasi tak kat rumah awak?

Aku:(menjawab dengan jujur) Nasi tak ada, beras ada la.

K** C**k: (serba salah) Erm.. nak mintak tolong ni. J** sehari tak makan nasik. Pedih perut dia tu. (lebih kurang la dialognya)

Aku:Owh, boleh je. Tapi tak ada lauk la. Ada telur je. Setakat telur goreng boleh la.

K** C**k: Takpe, asal dapat nasi cukup la.

Aku: Boleh.

Berasap la dapur rumah aku malam-malam ni. Bila J** muncul depan pintu, memang muka penat + lapar. Baru pulang dari KL kerana beberapa urusan. Namanya orang Melayu, memang nak kena makan nasi juga dalam sehari. Hehehe..

Tuesday, 1 December 2009

Di Medan Ini

Entri ini adalah edisi semakan dan telah diubah beberapa isi pentingnya. Sudah 3 hari menghuni draf dek kerana sambungan internet tanpa wayar (wireless) yang meragam saja. Bermula semalam hingga 13 disember adalah waktu peperiksaan akhir bagi semester ini. Jadi, Selamat menghadapi peperiksaan kepada semua sahabat seperjuangan dan rakan-rakan di UNISEL. Cuba yang terbaik dengan usaha yang berganda. InsyaAllah Dia akan menguruskan yang selebihnya. Ini tarikh penting untukku:-

2 Disember 2009 - Teaching of Writing (2.30 p.m.)
3 Disember 2009 - Educational Research Methodology (9.00 a.m.)
6 Disember 2009 - Teaching of ESP (9.00 a.m.)
7 Disember 2009 - ESL Testing & Evaluation (9.00 a.m.)
13 Disember 2009 - Teaching of Reading (9.00 a.m.)
- Teaching of Literature (2.30 p.m.)