Engagement Fund ;)

Sunday, 31 January 2010

Perjalanan ke Perak

Alhamdulillah, selamat kembali semula ke UNISEL setelah hampir 3 hari berkampung di Parit Buntar, Perak bermula 29 Januari hingga ke hari ini. Rasanya, ini kali ketiga aku menyertai perjalanan jauh bersama i Rakan. Awalnya, memang tidak menyangka program kali ini akan diadakan sejauh ini. Namun, semuanya berada dalam perancangan Allah yang sudah pasti mempunyai hikmah tersendiri. Teringat perjalan kami ke Kuantan 2 tahun sudah yang lebih dikenali dengan Journey to Kuantan. Walaupun banyak dugaan, tapi sarat dengan hikmah.

Perjalanan dimulakan pada petang Jumaat, kira-kira jam 6.30 petang, dengan penyertaan 28 orang AJK dan fasilitator dan seorang pegawai pengiring dari HEP, Encik Azrol. Mulanya aku menjangkakan perjalanan tidaklah memakan masa yang lama. Setelah dikhabarkan oleh pengarah program, baru ku tahu lokasi program kali ini terletak bersempadan dengan Pulau Pinang. Hampir 4 jam juga perjalanan. Benar bagai dikata kerana selepas melangkah dari pagar belakang sekolah, anda sudah berada di Pulau Pinang! Kami tiba di SMK Methodist Parit Buntar hampir tengah malam. Masih belum ketara rupa sebenar sekolah; tapi sudah dikhabarkan oleh pengarah yang juga bekas pelajar di situ bahawa bangunan sekolah sudah pun berusia 104 tahun. Agak-agak seram juga memikirkan tentang angka tersebut. Struktur bangunan memang bangunan lama. Jadi, muslimin ditempatkan di kelas bersebelahan dewan manakala muslimat pula ditemptkan di surau. Puas hati dengan kemudahan yang ada walaupun sederhana. Usai melawat tapak program(kawasan sekolah), kami berkumpul untuk persediaan bagi program yang akan bermula keesokan paginya. Ada yang menjadi kemusykilan padaku bila mana pada perancangan awal, aku diamanahkan untuk menjadi salah seorang fasilitator tetapi pada perjumpaan terakhir tempoh hari, bertukar pula menjadi urusetia. Tak menjadi masalah kerana kami pun saling membantu. Para fasilitator dan urusetia yang terlibat mendengar taklimat untuk LDK menjadi teruja dengan penerangan dari Ketua Biro Aktiviti. Yelah, sebelum memberi tahu, kami perlu tahu dulu. Riuh rendah jugalah kelas tersebut. Memandangkan program ini adalah Program Memperingati Rasulullah, maka setiap LDK yang dijalankan ada berkaitan dengan kisah-kisah yang berlaku dalam kehidupan Baginda.

Sabtu, 30 Januari 2010
Seawal 4.45 pagi kami terjaga(buka mata--->tutup jam loceng--->golek-golek--->baru mandi dan bersiap). Kaum Muslimin tiba di surau untuk solat subuh berjemaah kira-kira jam 6.00 pagi. Agak lama menunggu azan sebelum Encik Presiden bertanya waktu subuh. Ada yang menjawab dengan yakin,"6.07 minit" sebelum ada yang mengingatkan "Eh, tu bukan waktu kat UNISEL ke? Kita kan kat Perak sekarang ni.." Menepuk dahi bila tersedar lokasi kami sudah berubah. Tidak lama selepas kami bersoal jawab, kedengaran azan bergema dari masjid berdekatan.

Penyertaan murid-murid amat menggalakkan walaupun lokasi program ini bertukar pada saat akhir(kerana masalah-masalah yang mendatang). 115 orang daripada 120 orang murid muslim dari tingkatan 1 hingga 5 memenuhi dataran sekolah sewaktu sesi permulaan. Alhamdulillah... Slot pertama pada pagi itu adalah slot "Pengenalan Usrah" yang disampaikan oleh Saudara Mustapha. Slot ini padaku memang perlu sebagai pendedahan awal kepada mereka tentang selok-belok usrah. Kemudian mereka dibahagikan mengikut tingkatan untuk sesi 'hati ke hati' tentang usrah yang dikendalikan oleh para fasilitator dan urusetia supaya murid-murid ini lebih jelas dan faham tentang usrah. Slot ini berlangsung hingga tengahari sebelum murid-murid dibahagikan kepada kumpulan LDK masing-masing. Program ini juga mempunyai lagu tema dimana sebuah nasyid dendangan kumpulan Hijjaz, Dia Kekasih Allah menjadi pilihan. LDK 1 adalah "Malu bertanya sesat jalan". Aktiviti ini dikendalikan oleh Ketua Biro Aktiviti, Saudara Ghazawi. Aktiviti dikendalikan dengan baik dimana konsepnya amat mudah iaitu berasaskan origami. Petangnya, LDK 2 yang dinamakan "Belum cuba belum tahu". Aktiviti ini menguji kebijaksanaan para peserta bila mereka dikehendaki membuat terompah daripada kotak dan sebutir telur diletakkan di tapaknya. Terompah mestilah kukuh dan kuat untuk melindungi telur daripada pecah dan retak. Saat-saat melucukan adalah ketika ujian ketahanan untuk terompah-terompah dilakukan. Tak kering gusi kami ketawa dengan gelagat para peserta. Hanya satu kumpulan saja yang berjaya menghasilkan terompah paling kukuh tanpa terjejas sedikit pun telur yang diletakkan ditapak terompah setelah diuji berkali-kali. Sesi riadhah pula merupakan acara bebas dimana fasilitator yang menentukan aktiviti yang mahu dijalankan. Ada yang bermain sepak takraw, bola jaring, berlari keliling padang, dan juga berpoco-poco. Program pada hari Sabtu berakhir kira-kira jam 7.00 malam dan akan disambung semula pada keesokan hari. Malamnya, para fasilitator berkumpul untuk pengisian oleh Saudara Merico bagi mengisi masa lapang. Dalam pada menanti slot berlangsung, salah seorang daripada kami tiba-tiba mengalami sesak nafas. Keadaan beliau amat membimbangkan dan kelihatan sangat teruk. Kami cuba meredakan keadaan yang tiba-tiba menyerang. Selepas menanti beberapa ketika, beliau dikejarkan ke hospital dengan ambulan kerana tiada tanda-tanda beliau akan pulih dengan bantuan minyak panas dan urutan. Slot pada malam itu dihentikan dan diganti dengan bacaan yasin kerana ada unsur-unsur gangguan pada keadaan yang menimpa beliau. Demi keselamatan, muslimat dikehendaki bermalam di dewan.

Ahad, 31 Januari 2010
Keesokan paginya, masing-masing terjaga agak lewat.Usai solat subuh berjemaah dan bacaan ma'thurat, semua bersiap untuk kemuncak Program Memperingati Rasulullah ini. Sementara para peserta mengikuti riadhah pagi, beberapa urusetia yang terlibat membuat persembahan mengambil kesempatan untuk berlatih, termasuklah aku. Aku diberi kepercayaan untuk menceritakan sebuah kisah bertajuk Hijrah. Satu tips berguna dan amat berkesan yang diberi Najib sedikit sebanyak membantu menghilangkan kerisauan. Apa tipsnya? Rakam suara dengan apa-apa perakam dan bercerita semula dengan berpandukan rakaman tadi. Sangat berkesan sebenarnya. Tak perlu lagi membawa teks. Tapi, tips hanya tinggal tips bila mana ear-phone yang disumbat ketelinga tercabut sambungannya ke telefon bimbit saat aku kalut memasukkan telefon bimbit ke dalam poket jaket sebelum naik ke pentas. Adoyai, sia-sia saja berlatih bagai tanpa teks...! Bila dah kalut, terpaksa juga baca dari teks.

Slot kemuncak ini disusun dengan pelbagai siri persembahan termasuk sajak, cerita-cerita tentang kehidupan Rasulullah, nasyid, dan bacaan khutbah widak. Suasana paling sayu saat khutbah widak dibacakan oleh Saudara Hisham dan penceritaan kewafatan Baginda yang penuh emosi oleh Saudara Azli hingga membuatkan para hadirin menitiskan air mata. Sungguh, benar-benar menyentuh hati. Acara ditamatkan dengan persembahan tidak terancang oleh kami para fasilitator dan urusetia sebagai tanda terima kasih kepada pihak sekolah dan adik-adik peserta kerana kerjasama yang telah diberikan. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah untuk kumpulan yang menang dan peserta terbaik serta penyampaian cenderahati kepada pihak sekolah. Sebelum berpisah, sesi bersalam-salaman berjalan.

Perjalanan pulang bermula kira-kira jam 3.00 petang. Tapi, sebelum bergerak meninggalkan perkarangan sekolah, sesi bergambar antara komiti program dan guru-guru yang terlibat berlangsung. Kami memang pantang dengan kamera DSLR Saudara Shardiansha. Pantang nampak Sha lalu dengan kameranya..!Hehehe.. Suasana sepanjang perjalanan pulang dalam bas sunyi daripada suara-suara penumpang kerana majoritinya terlelap kepenatan. Cuma bising dengan bunyi dari televisyen. Mana-mana yang masih bersisa tenaganya, melayan filem Avatar yang ditayangkan di televisyen. Kami tiba di hadapan PKP tatkala jarum jam berada di angka 7, dengan satu 'penumpang gelap' yang senyap-senyap menyelinap masuk ke dalam tempat penyimpanan barang. Siapakah dia? Oh, bukan orang mahupun 'beruang'. Tapi hanyalah seekor katak. Sekian saja catatan untuk journey kali ini.

Nota: Gambar-gambar sepanjang program akan diupload kemudian.

Friday, 29 January 2010

Buat Ulat Buku..

Terlupa mahu memberitahu. Semasa dalam perjalanan ke Shah Alam Selasa lepas, ternampak bunting iklan festival buku MPH di tiang lampu. Terus aku khabarkan pada Kak Chik yang duduk di sebelah. Tapi aku tidak pasti tarikhnya kerana melihat sekali imbas memandangkan aku perlu memberi tumpuan pada pemanduan. Apa yang sedihnya, hanya 1 itu saja bunting yang tergantung dalam sebuah bandaraya! Akhirnya dalam perjalanan pulang, kami menemui 1 lagi bunting tergantung berhampiran tempat kejadian. Kenapa aktiviti yang bermanfaat seperti itu kurang publisitinya? Tidak seperti konsert-konsert hiburan yang meluas liputan promosinya? Jadi, sebelum aku membebel dengan lebih teruk, layan poster di bawah ye. Sesiapa yang berkelapangan dan berkemampuan, dapatlah kiranya hadirkan diri ke Stadium Melawati untuk menjadi ulat buku, dan juga kompleks Karangkraf untuk menambah koleksi buku dan majalah...:) Kedua-dua peristiwa berlangsung pada waktu yang sama.




Al-Fatihah

Buntu memikirkan tajuk entri kali ini. Siang tadi, pelbagai perkara berlaku dalam hidupku. Bermula dengan kejutan berita dari Abang yang membawa perkhabaran sedih. Kira-kira jam 7.55 pagi tadi, satu pesanan ringkas masuk ke dalam peti simpanan N6850. Satu-satunya pakcikku yang tinggal kembali ke rahmatullah pada jam 4.10 pagi. Innalillahi wa innailaihirajiun.... Sangat terkejut kerana tidak mendengar berita beliau sakit. Kali terakhir berjumpa dengan arwah adalah di rumah Abang Leh sewaktu majlis perkahwinan Dani. Arwah yang ku panggil Cik Mat adalah adik kepada arwah Mak. Mulanya, aku berhajat mahu ke rumahnya sementelah jarak antara UNISEL dan Gombak tidaklah sejauh perjalanan ke Banting. Tetapi kerana tiada yang berkelapangan untuk menemani, aku tangguhkan dulu hasrat mahu melawat. Tertanya-tanya juga sebab pemergiannya. Tapi tidak sampai hati pula mahu SMS bertanya pada Yun kerana sewaktu hari pemergian mak dulu, aku paling tak suka bila orang tanyakan sebab kematian mak kerana bila sudah diberitahu sebabnya, orang akan tetap terus bertanya. Hanya menambah kesedihan dan sebak di hati. Sepanjang hari aku berasa tak kena. Jika ada kemampuan dan kelapangan, mahu juga ku tunaikan hasrat yang tertangguh pagi nanti. Al-fatihah buat Cik Mat (Selamat Bin Kasmuri); semoga rohnya dicucuri rahmat.

Wednesday, 27 January 2010

10 Jenis Orang Islam Yang Kejam

Sufyan Atsauri berkata; sepuluh jenis daripada kekejaman ialah:

  1. Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri, tetapi tidak mendoakan untuk anaknya dan kaum mukmin lain.
  2. Seorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca 100 ayat.
  3. Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak solat dua rakaat.
  4. Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur.
  5. Seorang yang sampai di suatu kota pada hari Jumaat kemudian tidak solat jemaah.
  6. Seorang yang daerahnya didatangi orang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya.
  7. Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu.
  8. Seorang yang diundang pada jamuan tetapi tiba-tiba tidak hadir.
  9. Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan.
  10. Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi makanannya itu.

Jauh Perjalanan...

Sebenarnya nak update blog lain. Tapi bila klik blogger, terus keluar dashboard blog yang ini. Jadi, conteng la sikit sebelum conteng blog yang lagi satu. Malam semalam aku telah diberi 'tiket wayang' percuma untuk menonton filem seram yang tak berapa nak seram bertajuk "The Shutter". Aku ni tak la berani mana pun nak tengok cerita seram ni. Tengok pun lari-lari dari bilik sendiri ke 'pawagam' yang terletak depan bilik. Sambil tengok, sambil buat kerja lain. Sesiapa yang dah tengok cerita ni, mesti tau jalan ceritanya kan? Tentang seorang wanita yang obses dengan seorang lelaki hinggakan setelah beliau mati pun, beliau tetap ada bersama si lelaki dimana-mana. Malas nak buat sinopsis, kome tengok la sendiri nanti. Diakhir cerita, barulah ditunjukkan rupanya selama ni 'wanita' tersebut berada di belakang si lelaki yang menyebabkan si lelaki menderita sakit belakang yang dahsyat.

Al-kisah aku pulak, pagi esoknya (pagi semalam) aku pulak yang bangun pagi dengan kesakitan yang dahsyat di bahagian belakang(err, tak ada kaitan la kan dengan The Shutter?). Waktu nak ruku' solat paling seksa. Sangat sakit..! Tidak tahu puncanya. Pernafasan juga sedikit terganggu kerana tiap kali mahu menarik dan menghembus nafas, terasa seperti dicucuk dan berdenyut-denyut. Ku gagahkan diri juga ke kelas. Mujurlah, kelas hanya 1 jam kerana Dr. Asmah perlu menghadiri mesyuarat staf. Balik dari kelas, aku serasa ingin ke klinik. Ain pula mengesyorkan supaya tampal saja Panadol Panaflex. Apa salahnya mencuba kan.



Dalam kesakitan, sampai juga aku di Shah Alam menguruskan beberapa urusan yang telah dirancang dari awal. Puas jugalah pusing satu 1 Shah Alam, termasuk tersalah jalan dan tersalah perancangan. Tapi kalau dah salah jalan kat Shah Alam, tak perlu risau. Cari saja bulatan untuk kembali ke pangkal jalan. Teringat kata-kata Dr. Mahmudah dulu, "going around the roundabout instead of bitting around the bush..". Dalam sakit-sakit pun, sempat juga melawat orang sakit di KPJ Selangor yang berlokasi di Seksyen 20. Pertama kali menjejak kaki di sini. Memang seronok kalau sakit dan ditempatkan di sini kerana pelbagai kemudahan dan lebih selesa. Cumanya, sediakan saja RM 1000 untuk sehari dan tambahkan lagi jumlahnya untuk hari-hari anda berada di situ. Mampu? Aku hanya mampu datang melawat orang sakit saja...

Tiba di UNISEL sudah pun hampir jam 7.oo malam. Lepas maghrib, terus pengsan. Kesakitan masih lagi terasa. Kepada yang menelefon dan menghantar mesej, kemaafan jua dipinta kerana mesej anda tidak berbalas dan panggilan anda tidak berjawab. Alhamdulillah, pagi ini kesakitan itu sudah hilang. Mungkin Panadol Panaflex adalah salah satu medium penyembuhannya.

Sunday, 24 January 2010

Terkenang Kembali

Bila sesuatu perkara itu sudah dilalui, pasti kenangannya tetap melekat dalam hati sama ada kenangan manis atau buruk. Hingga kini, aku masih lagi ingat pertama kali menjejak kaki ke Hamidiah sebagai seorang pelajarnya. Pelbagai perasaan bercampur menjadi satu. 5 tahun di situ, meninggalkan terlalu banyak kenangan pahit dan manis. Antara perkara yang membuat aku tergelak adalah satu peristiwa sewaktu perhimpunan pagi. Waktu tu, aku masih lagi di dalam minggu orentasi. Seorang ustaz berucap sepenuhnya menggunakan bahasa Arab. Kami pelajar baru ni terpinga-pinga saja mendengar. Satu pun tak faham. Bila menoleh ke arah pelajar senior, semuanya khusyuk mendengar. Kemudian, bila balik ke asrama, aku bertanya kepada salah seorang kakak dorm apa yang ustaz tersebut katakan. Dia tergelak-gelak sambil berkata; "Kitorang pun faham sikit-sikit je". La, punyalah aku ingat semuanya fasih berbahasa Arab dan memahami patah-patah perkataan yang keluar dari mulut ustaz tersebut.



Kemudian, pelbagai lagi cerita menarik sepanjang menjadi penghuni Asrama KL. Kadang-kadang, aku pun jahat juga. Tapi selalu kejahatan aku tak kesampaian. Contohnya ada sekali tu berhajat nak ponteng prep. Waktu tu dengan kawan-kawan dorm Karbala' kalau tak silap. Tiba-tiba warden jenguk dorm kami; "Bila nak turun prep ni?". Tu dia, ustazah Ainon meronda pulak. Ada lagi peristiwa-peristiwa lucu yang terjadi. Lepas tu bila naik tingkatan 5, setiap kali prep kena nyanyi lagu Maahad Cemerlang. Apa lagi, masing-masing pun menyanyi dengan semangatnya.

Bila awal tahun je, muka semua orang terbakar sebab banyak berjemur kerana merentas desa, sukan tahunan, dan yang paling seronok, kawat kaki. Mula-mula aku tak suka kawat kaki ni. Bila dah masuk tingkatan 4 tak silap baru la sibuk-sibuk nak masuk kawat sama-sama. Ketua Komander bagi kumpulan aku adalah Ain Nadia. Musim kawat kaki, semua berebut nak guna dataran. Kadang-kadang sampai gaduh-gaduh lagi. Maklumlah, dataran tu je satu-satunya tempat yang paling syok untuk kawat formasi. Memang kena berebut dengan pasukan lain. Ada masanya, terpaksa juga kawat atas padang yang berumput. Bunyi memang tak sedap sebab hentak tanah berumput. Bila dah dekat sangat dengan hari pertandingan, waktu malam pun kami berlatih. Selain dilatih sendiri oleh Ketua Komander, tenaga pengajar dari Balai Bomba Bangi turut sama melatih kami. Antara dialog-dialog popular yang kedengaran; "Macam labu air!", "Pacak...pacak...!", "Tangan tu 90 darjah!". Cikgu-cikgu Bomba ni ada yang garang, ada yang baik. Paling ingat, Cikgu Mazlan. Memang garang. Jarang nak senyum. Kenangan paling seronok bila kumpulan kami menjadi johan pada tahun 2005 dan mewakili sekolah ke peringkat daerah. Pertama kali pihak sekolah menghantar pelajar puteri sebagai wakil. Walaupun tak menang, dapat la pengalaman 'masuk' penjara kejap.

Bersekolah di tepi lebuhraya menyebabkan susah untuk melaksanakan aktiviti Merentas Desa. Jadi, pada tahun 2004, kami bukan merentas desa. Tapi merentas taman kerana aktiviti tersebut diadakan di Taman Wetland Putrajaya. Tak pernah dibuat orang. Seronok juga sebab lepas habis merentas desa, kami dapat menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan pihak Wetland. Dapat la berkayak dan mengayuh paddle boat. Waktu buat semua tu memang tak ingat dunia. Kayuh dengan sesungguh hati. Bila balik asrama, masing-masing jalan menyenget sebab sakit kaki dan sakit belakang. Tidur pun atas lantai je sebab tak larat nak panjat katil kat tingkat atas.

Cerita lagi. Setiap beberapa bulan sekali, mesti ada Makan Malam Asrama. Menunya agak istimewa berbanding menu hari biasa. Tempatnya juga bukan di dewan makan, tapi di Dewan As-Syafie. Waktu cuti sekolah pula, akan ada Perkampungan Ilmu untuk pelajar-pelajar tahun peperiksaan. Waktu tu, memang la tak seronok sebab tak boleh cuti. Bila difikir balik, seronok sebenarnya Perkampungan Ilmu tu.



Banyak lagi cerita yang boleh aku ceritakan di sini. Tapi rasanya biarlah ia menjadi topik perbualan kami bila bertemua nanti. Sangat rindukan saat-saat itu. Rindu nak nyanyi 'Ya Maahadi', rindu nak berkawat lagi, rindu nak riadhah setiap pagi Sabtu, rindu nak makan 'sayur Pink' dengan kari ikan (lauk paling tidak diminati, sebab tu paling diingati), rindu nak lari 12 minit, rindu saat-saat gotong-royong hias dorm setiap awal tahun, rindu dengan semuanya.

Sebelum menutup lembaran cerita, sama-samalah kita menyanyikan lagu ini.
Wahid.. Ithnain... Ibda'...

يا معهدي

يا معهدي علمتني

وبالهدى جملتني

حليتني من صغري

بكل خلق حاساني


كم فيك من معلم

بر كثير الميناني

بعلمه زودني

بنصحح أرشدني


تحية يا معهدي

يا أصل عيشي الحاني

أن شاءتني مبركا

لأمتي ووطن



Maahad Cemerlang Budaya Kita

Maahad cemerlang budaya kita
Mari bersama kita buktikannya

Tiap detik adalah ibadah

Menabur bakti dan berjasa


Maahad cemerlang budaya kita

Kau mutiara kaulah pelita

Menyuluh derita anak bangsa

Melahirkan makrifat di mana berada


Maahad cemerlang budaya kita

Mula diri, keluarga, negara tercinta

Maahad mahkota cermin agama

Iman dan taqwa matlamat utama


Maahad cemerlang budaya kita

Guru tercinta ikutan mulia

Putra putri layar perjuangan

Maahad cemerlang budaya kita

Nota: Lirik diambil dari http://berdiridisini.blogspot.com/

Rasa Macam......

Macam-macam rasa ada sekarang ni. Rasa macam nak batalkan aje rancangan Cuti-cuti Malaysia untuk cuti pertengahan semester nanti. Kalau lambat bagi keputusan, tiket habis pulak. Tapi, bilanya nak pergi kalau bukan waktu tu? Dah lama rancangnya. Bertahun-tahun sudah. Tengok la dulu macam mana.

Rasa macam nak makan cupcakes dengan corak Elmo di atasnya. Bila jelajah blog perniagaan cupcakes orang lain, nampak sangat menarik dan menyelerakan.

Rasa macam nak makan kek lapis Sarawak. Ada sesiapa nak bagi percuma? Nak beli, duit tengah terhad. Tu la, siapa suruh beli baju semalam? Kan dah kena bajet.

Rasa macam nak jumpa kawan-kawan sekolah dulu. Dah ada yang mengajak pun. Tapi masa pula tiada. Kena la tangguh dulu. Rindu juga nak jejak semula bumi Hamidiah.

Rasa macam kena langsai hutang poco-poco dengan kawan-kawan sekelas sebab hari Rabu lepas tak dapat datang. Memang rasanya inilah yang dapat aku buat malam ni. Hehehe..

Nota: Tahniah buat sahabat saya, Siti Hawa Md Dolkafle yang selamat bertunang 26 Disember tahun sudah. Aiseh, tertinggal kereta api la pulak. Baru je tau dari Dyaz. Hehehe..

Saturday, 23 January 2010

Pau


(menghasilkan 12 biji pau)

250 gm tepung pau
2 1/2 sudu teh yis kering
2 sudu teh gula
1 sudu besar minyak masak
secubit garam
1/2 cawan air suam
1/4 cawan air biasa

Cara membuatnya:

1. Masukkan 1 sudu teh gula dan yis kering ke dalam air suam. Biar larut dan yis berbuih (lebih kurang 5 minit). Sementara tu, masukkan tepung ke dalam mangkuk.Campurkan minyak, 1
sudu teh gula, secubit garam di dalam mangkuk.

2. Tuangkan air campuran yis dan gaul sebati. Tambahkan air sedikit demi sedikit sambil diuli hingga menjadi doh licin dan kenyal.

3. Sediakan loyang dan gliskan dengan sedikit minyak masak. Bahagikan doh kepada 12 bahagian. Bulat-bulatkan.

4.Leperkan di atas tapak tangan dan isikan inti daging atau sebarang inti lain. Jemputkan setiap penjuru doh dan cantumkan baik-baik agar inti tidak terkeluar. Letakkan di bahagian bawah ketika menyusun pau di atas loyang. Buat hingga habis dan tutup loyang dan biarkan 15 minit.

5. Panaskan pengukus dan kukus pau selama 15 minit.



Cerita sikit...
Resepi ni aku dapat dari Dapur Kak Raihan. Intinya guna inti lebih konon-konon nak buat samosa. Sebab samosa aku berminyak dan tak berapa nak sedap, buat la pau ni. Nak buat karipap, tak ingat cara uli doh sebab selalu kalau tolong arwah mak buat karipap, memang aku tukang masak inti je. Abah dengan An tenang je makan. Bila Abang yang makan, dia komen masam. Memang agak masam pun doh dia. Sebab yis dia kot. Selalu guna cap Mauripan sedap je. Selalu? Dah lama dulu. Hehehe.. Tapi kali ni guna cap Moi pulak. Tepungnya, aku guna tepung pau cap Blue Key. Apa yang sengalnya, rupanya dalam kotak tu dia ada bagi 2 paket yis percuma. Lain kali, baca kotak tu betul-betul ye supaya tak perlu la buat pau lagi lepas ni sebab kena habiskan yis yang 2 paket tu. ^_^

Kek Mad Pisang


1 cawan mentega
2 cawan tepung gandum
2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1/2 sudu teh garam
1 cawan gula halus
1 cawan pisang lecek
3 biji telur


Asingkan kuning dan putih telur, pukul putih telur hingga kembang. Ayak tepung bersama baking powder, soda bikarbonat, dan garam. Pukul mentega bersama gula hingga kembang dan masukkan kuning telur. Masukkan tepung. Gaul sebati dan masukkan putih telur tadi. Gaul lagi dan masukkan pisang lecek. Gaul sebati dan bakar hingga masak.

Cerita Sikit...
Kek pisang lagi. Tak reti-reti nak buat kek perasa lain ke? Bukan tak reti. Tapi sayang kat pisang yang banyak kat dapur tu. Susah hati kalau tengok pisang bertandan-tandan kat dapur tu. Ada sekali tu, dari pagi sampai malam menunya semua ada pisang. Cekodok pisang, pisang muda masak lemak cili padi, pisang goreng. Dah, sampai 3 jenis pisang masak sekaligus; Pisang Kapas, Pisang Abu, dan Pisang Tanduk. Kan, pisang semata-mata. Nak buat kerepek, malas. Nak buat pengat, nanti aku sorang je yang menelan. Jadi, buat je la apa yang boleh ditelan semua orang dan megikut tahap kerajinan. Ini buat masa cuti sem tempoh hari. Waktu rajin, banyak la menunya. Waktu malas, memang tak berasap dapur. Hehehe..Ha, inilah resepi asal Kek Pisang Coklat yang aku letak kat sini tak berapa lama dulu. Arwah mak kata, Abang Mad yang cipta waktu bujang-bujang dulu. Farah dengan Fairuz, nanti boleh cuba ye.


Nota: Pertama kali edit gambar guna photoscape. Okey la tu kan. Walaupun rupa dia tak lawa, tapi rasa dia sedap.

T-Shirt Labuh Muslimah

Sebenarnya sedang kepenatan. Otak gagal berfungsi dengan baik untuk aku melakukan kerja-kerja mengedit term paper dan mengemaskini kertas kerja program terbaru. Seharian berkampung di Dewan Utama. Kenapa? Mencuba bakat untuk berniaga. Rasanya bakat dah tertanam berkaki-kaki dalamnya di perut bumi. Akhirnya, terbeli sehelai baju pulak. Apa kess? Hehehe.. Pun begitu, Alhamdulillah rezeki ada dimana-mana. Cerita bermula dengan sapaan dari pemilik gerai selang satu tapak. Aku yang sedang duduk melangut terpinga-pinga sambil membuat muka pelik bila ditegur mesra begitu. Satu reaksi yang pasti aku pamerkan bila dalam keadaan separa sedar. Tak berniat pun nak buat muka sengal tu. Hahaha... Hasil dari sapaan itu, insyaAllah (perniagaan bersama) aku dan Kak Chik bakal melangkah setapak lagi. Semoga dipermudahkan urusan. Amin... Jadi, kepada sesiapa yang berhajat mahu memiliki koleksi t-shirt labuh muslimah Faeizeen, boleh la menghubungi saya melalui blog ini atau melalui telefon. Boleh tempah cepat sebab kami akan mengambil stok baru dalam waktu terdekat ini. Harga boleh runding ye.



Promosi lagi...
Susah kan nak cari salon yang khusus untuk wanita muslimah? Maksud saya salon yang menawarkan khidmat memotong rambut dan lain-lain perkara berkaitan rambut. Salon-salon yang ada pun kebanyakannya tidak begitu mengambil berat tentang penyediaan tempat untuk wanita-wanita bertudung. Mungkin di kawasan yang mempunyai ramai komuniti muslim, agak mudah mencari salon khusus untuk wanita seperti di Bangi atau Shah Alam. Kepada penduduk Banting, juga ada satu salon khusus untuk wanita muslimah. Tertarik dengan moto "Rambut adalah aurat walaupun kepada wanita bukan muslim" (lebih kurang macam tu la), beberapa kali juga aku berkunjung ke situ. Nak rambut fesyen apa? Tunjuk je gambar yang mana. InsyaAllah pemiliknya boleh merealisasikannya untuk anda. Harga untuk perkhidmatan yang disediakan juga amatlah berbaloi. Silalah berkunjung ke De' Fiffy. Tempatnya sederet dengan bangunan Tabung Haji, bersebelahan kedai gambar K.E . Dongak-dongak la sikit ke atas untuk tengok papan tandanya ye.

Thursday, 21 January 2010

Jemputan..


Kepada sesiapa yang berkelapangan pada 22 dan 23 Januari 2010, silalah datang ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor. Silalah teliti poster di atas untuk maklumat lanjut ye. Kalau tak tahu di mana lokasi UNISEL Bestari Jaya, silalah menggunakan khidmat Encik Google untuk melihat peta lokasi. Sekian, terima kasih.

Siapa Lagi Kalau Bukan Kita?

Aku meluangkan juga sedikit masa untuk membuat tag dari Kak Chik. Bak kata Kak Chik; "Bila nak buat tag saya? Dah keluar poster baru dah.." Takutnya Kak Chik marah. Hahaha.. Sebenarnya, kekeringan idea untuk menulis tentang topik ini. Idea semuanya lari bila menghadap skrin laptop untuk menaip tentang ini. Tapi bila sedang berjalan ke kelas, atau duduk berbual dengan teman-teman, berebut-rebut cerita datang ke dalam kotak fikiran ini. Jadi, aku cubalah yang terbaik untuk sampaikan apa yang dalam pengetahuanku kerana untuk memberi faham, kita perlu memahami dulu.

Aku mulakan dengan apa yang aku lalui. Sejak mendapat lesen kenderaan pada tahun 2006, sudah jauh perjalanan yang aku tempuhi. Pelbagai ragam juga aku saksikan. Ada yang menyenangkan, ada menjelekkan. Skop kali ini tentang kebersihan. Melalui pemerhatian, kesedaran tentang kebersihan dalam masyarakat Malaysia masih lagi berada ditahap yang mengecewakan. Pernah satu ketika, aku terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Memang kenderaan tidak bergerak langsung. Rasanya ketika itu aku bersama beberapa sahabat lagi sedang menuju ke Shah Alam untuk menghadiri rumah terbuka. Sedang mataku melilau melihat sekeliling, tiba-tiba satu tin minuman kosong dilontar keluar dari kenderaan di hadapanku yang seingatku adalah sebuah lori. Aku memang pantang dengan fenomena membuang sampah merata-rata ni! Siapa lagi yang boleh memelihara alam sekitar dari dicemari selain kita sendiri? Aku pasti usia si pembuang sampah itu sudah pun lebih 20 tahun dan mustahil dia tidak boleh berfikir tentang baik buruk perbuatannya itu. Apalah salahnya kalau diletak dulu sampah tersebut dalam kenderaan dan bila sampai di destinasi yang dituju, buang sampah tersebut ke dalam tong sampah. Memang tak susah. Tapi malas mahu berfikir panjang. Aku suka dengan cara Abah yang meletakkan besen kecil dalam kereta. Kegunaannya? Tentulah untuk membuang sampah-sampah kecil yang dihasilkan penumpang kereta. Jadi, tidaklah sampah dibuang sewenang-wenangnya ke luar tingkap. Mungkin pemilik kenderaan lain juga boleh menggunakan cara yang sama. Letakkan satu besen kecil dalam kereta anda untuk mengisi sampah.

Sama-samalah kita menjaga kebersihan alam sekitar yang sudah sedia tercemar ini. Arahan selepas membuat tugasan ini adalah aku perlu tag 3 orang lain untuk berkongsi sebarang kisah/pengalaman/tazkirah/pendapat. Orang-orang bertuah itu adalah;

Tuesday, 19 January 2010

Selasa Pertama

Alhamdulillah, Selasa pertama untuk semester ini berlalu dengan gembira. Terasa macam dulu-dulu, waktu pertama kali bergelar mahasiswi UNISEL. Pergi kelas, balik kelas tanpa sebarang 'kerisauan melampau' (walaupun sebenarnya risau juga sebab ada lagi beberapa hal perlu diselesaikan). Kelas bermula seawal 8.30 pagi dengan subjek baru dan juga pensyarah baru. Pentadbiran Pendidikan (Educational Administration) yang diajar oleh Datin Dr. Asmah. Pensyarah saya semester ini Datin..! Jangan main-main. Seronok belajar dengan beliau kerana selain mengajar, beliau turut mendidik kami. Aku anggap sesetengah perkara yang beliau kongsikan dengan kami adalah hanya untuk memberi dorongan dan semangat pada kami (walaupun mungkin ramai yang beranggapan sebaliknya). Agak susah kadang-kadang untuk bersangka baik; tapi cubalah yang terbaik. Fikirkan sesuatu yang kita peroleh dengan fikiran positif supaya tenaga yang tersalur pada diri juga menjadi positif. Sepanjang aku berada di sini, tidak sampai 10 orang pensyarah yang memainkan peranan sebagai pengajar dan pendidik sekaligus. Mendidik lebih payah jika dibandingkan dengan mengajar kerana mendidik termasuk aspek lain selain subjek yang diajar. Mungkin kerana beliau adalah bekas guru, maka karakternya begitu.

Hari ini juga merupakan hari kedua menjalani praktikal bagi sahabat-sahabat yang lain. Umie, Apak Hasifi, Mammu Aziz, Hasif, Asrul, dan lain-lain. Kenapa banyak nama lelaki pulak? Dengan mereka ini saja yang boleh la dikatakan kenal rapat. Pelbagai cerita singgah dipendengaran. Ada yang mengujakan, ada juga yang menakutkan, dan ada juga yang melucukan. Kami nanti bagaimana pula? Tiada jawapan pasti.

Hari ini juga aku sempat meluangkan masa untuk makan bersama sahabat-sahabat sekelas, sementara belum sibuk. Satu perkara yang agak payah untuk aku laksanakan sebelum ini. Terima kasih kepada Cik Hawa dan Cik Ain kerana membawa saya. Harapnya berpeluang lagi menghabiskan masa bersama mereka selepas ini sebelum masing-masing membawa haluan sendiri. Ada juga sahabat-sahabat yang mengajak berjumpa di hujung minggu. Entah boleh, entahkan tidak kerana rasanya sudah terisi dengan pelbagai aktiviti. Bila jumpa Kak Chik, aku selalu tanya; "Bila la nak dating sama-sama lagi ye? Macam zaman 'muda-muda' dulu." Bila aku lapang, Kak Chik sibuk dan bila aku ada program, Kak Chik pula berkelapangan. Memang sudah terlalu lama kami tidak 'jalan-jalan cari pasal' di lokasi-lokasi pilihan hati. Rindu dengan keadaan itu. (Sedari, kena juga cari masa untuk saya tunaikan janji saya 2 tahun sudah.)

Akhirnya, mahu juga berkongsi kegembiraan dan menguar-uarkan sesuatu. Kepada pembaca setia majalah Solusi, anda boleh mendapatkan naskah Solusi di Kedai Runcit Good Luck, Kg. Bestari Jaya. Memang maju la Good Luck, majalah yang paling susah nak jumpa di kedai biasa boleh didapati di situ. Bak kata Jun; "Hebbat ah..!(clap..clap..clap)" Aku yang cuma berniat membeli air, terus mencapai sebuah dan membawa ke kaunter. Tak rugi kalau melabur untuk bahan bacaan. Kak Chik dan Faien, boleh la dapatkan cepat-cepat sebelum habis stok. Hehehe..

Beauty of Mathematics

1 x 8 + 1 = 9
12 x 8 + 2 = 98
123 x 8 + 3 = 987
1234 x 8 + 4 = 9876
12345 x 8 + 5 = 98765
123456 x 8 + 6 = 987654
1234567 x 8 + 7 = 9876543
12345678 x 8 + 8 = 98765432
123456789 x 8 + 9 = 987654321

1 x 9 + 2 = 11
12 x 9 + 3 = 111
123 x 9 + 4 = 1111
1234 x 9 + 5 = 11111
12345 x 9 + 6 = 111111
123456 x 9 + 7 = 1111111
1234567 x 9 + 8 = 11111111
12345678 x 9 + 9 = 111111111
123456789 x 9 +10= 1111111111

9 x 9 + 7 = 88
98 x 9 + 6 = 888
987 x 9 + 5 = 8888
9876 x 9 + 4 = 88888
98765 x 9 + 3 = 888888
987654 x 9 + 2 = 8888888
9876543 x 9 + 1 = 88888888
98765432 x 9 + 0 = 888888888

Brilliant, isn't it?

And look at this symmetry:

1 x 1 = 1
11 x 11 = 121
111 x 111 = 12321
1111 x 1111 = 1234321
11111 x 11111 = 123454321
111111 x 111111 = 12345654321
1111111 x 1111111 = 1234567654321
11111111 x 11111111 = 123456787654321
111111111 x 111111111 = 12345678987654321


Now, take a look at this...

101%


From a strictly mathematical viewpoint:

What Equals 100%?
What does it mean to give MORE than 100%?

Ever wonder about those people who say they are giving more than 100%?

We have all been in situations where someone wants you to
GIVE OVER 100%.

How about ACHIEVING 101%?


What equals 100% in life?


Here's a little mathematical formula that might help
answer these questions:

If:

A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Is represented as:

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26.

If:

H-A-R-D-W-O- R- K

8+1+18+4+23+ 15+18+11 = 98%

And:

K-N-O-W-L-E- D-G-E

11+14+15+23+ 12+5+4+7+ 5 = 96%


But:

A-T-T-I-T-U- D-E

1+20+20+9+20+ 21+4+5 = 100%



THEN, look how far the love of God will take you:

L-O-V-E-O-F- G-O-D

12+15+22+5+15+ 6+7+15+4 = 101%

Therefore, one can conclude with mathematical certainty that:

While Hard Work and Knowledge will get you close, and Attitude will
get you there, It's the Love of God that will put you over the top!

It's up to you if you share this with your friends & loved ones just
the way I did..

Have a nice day & God bless!!

ALLAHUAKBAR!



Source - http://www.dariwanitauntukwanita.com/

Monday, 18 January 2010

Mencari Kekuatan Baru

Permulaan semester kali ini agak kelam-kabut bagiku. Sesuatu berlaku pada hari pendaftaran Jumaat lepas. Pengajaran dari kejadian tersebut, buat ajelah apa yang dah biasa buat. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Berita sedih yang diterima disusuli dengan situasi-situasi gembira yang terjadi tanpa diduga. Manusia... Selalu saja goyah dengan dugaan kecil dan hasutan-hasutan jahat. Kadang-kadang serasa tak yakin dengan kemampuan sendiri padahal sebenarnya boleh buat dengan lebih baik lagi. Mungkin sekali-sekala kata-kata perangsang dan semangat diperlukan sebagai momentum untuk terus bergerak dan berjalan menempuh kehidupan. Perkara penting untuk menggapai kejayaan, banyakkan SABAR dan KAWAL EMOSI. Mudah-mudahan bantuan Allah sentiasa bersama.

Beberapa kerja perlu segera diselesaikan(kerja baru + kerja tertunggak). Sementara masa masih belum cemburu, aku perlu bijak mengatur jadual hidup dengan keadaan baru. Tag dari Kak Chik masih belum bertaip. InsyaAllah akan cuba ditaip segera.

Sedikit perkongsian ilmu yang dikutip semalam untuk manfaat bersama. Walaupun ringkas, namun maksud disebaliknya amat luas. Fikir-fikirkan dan selamat beramal..!

5S
  • Senyum
  • Salam Semut
  • Sapa
  • Sopan
  • Santun

"Dari Abu Dzar r.a., 'Janganlah sekali-kali kamu meremehkan kebaikan, meskipun hanya berupa keceriaan wajah tatkala bertemu dengan saudaramu.' " (Hadis Riwayat Muslim)

5M
  • Membaca
  • Mengira
  • Menulis
  • Memikir
  • Mengamal
"Dan Tuhan melahirkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui apa-apa pun. Dan (kemudian) diberinya kamu pendengaran, penglihatan dan hati supaya kamu bersyukur - berterima kasih." (Surah An-Nahl; ayat 78)

Saturday, 16 January 2010

Kepada-Nya Kita Kembali

Satu lagi bencana menimpa. Kali ini di Haiti. Semua yang terjadi dalam perancangan Yang Maha Esa. Begitu juga dengan kematian. Entah bila kita dijemput menghadapNya, kita tidak boleh menjangka; apatah lagi mengatur waktu. Kebelakangan ini, banyak khabar kematian yang aku terima. Pemergian paling terkesan tentulah Bonda tersayang pada 17 Oktober tahun lalu. Semuanya tidak disangka-sangka. Itulah kuasa Allah. Dia berhak mengambil sesiapa pun yang dipinjamkan ke dunia ini tanpa perlu sebarang amaran seperti firmanNya dalam Surah Al-Ankabut ayat 57 yang bermaksud; "Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kemudian hanya kepada Kami kamu dikembalikan."

Ajal telah termaktub dalam kamus kehidupan seorang manusia seawal sebelum roh ditiupkan ketika di dalam kandungan ibu lagi. Tidak kira muda atau tua, sakit atau sihat, malah bagaimana keadaan ketika ajal menjemput juga sudah tertulis. Kadang-kadang, seseorang itu kita lihat sihat dan tiada langsung penyakit namun tiba-tiba sampai berita tentang kematiannya. Ada pula orang yang bertahun-tahun terlantar sakit dan tidak berupaya berbuat apa-apa tapi masih lagi menghirup oksigen yang Allah ciptakan. Ada juga ibu yang kehilangan bayi yang baru saja dilahirkan tanpa sempat membelai zuriat yang sekian lama dinantikan. Sungguh besar ujian yang ditimpakan. Sepanjang penglibatanku dalam dunia blog, ada juga terbaca beberapa blog yang menceritakan tentang pemergian anakanda tersayang dalam usia yang sangat muda. Baru beberapa bulan melalui perjalanan di dunia; masih bayi. Sebabnya, tersedak susu. Di dada akhbar juga sering terpapar kes kematian kerana kemalangan. Ada juga kerana lemas dan baru-baru ini, kerana dibunuh. Sungguh, kematian boleh datang dalam pelbagai keadaan. Selepas aku melalui sendiri pengalaman kehilangan orang-orang tersayang, juga pembacaan beberapa sumber, dan ilmu yang dikumpul di pelbagai tempat, seorang manusia itu meninggal dunia kerana ajalnya adalah pada saat itu bukan kerana dia sakit atau dibunuh kerana orang yang sihat juga boleh menghembuskan nafas terakhir tiba-tiba. Apa saja situasi si mati hanyalah sebab kepada ajal yang sudah ditakdirkan datang menjemput ketika itu. Sudah tercatat di Al-Quran dalam Surah Al-Ahzab ayat 16 yang bermaksud; "Katakanlah(Muhammad), "Lari tidaklah berguna bagimu, jika kamu melarikan diri dari kematian atau pembunuhan, dan jika demikian, (kamu terhindar dari kematian) kamu hanya akan mengecap kesenangan sebentar saja". " Bagaimana kita mengelak pun, ajal tidak mungkin dapat dielak. Tibanya tanpa pemberitahuan dan tidak juga bertangguh walau sesaat.

Justeru, sebagai manusia yang masih hidup, harus beringat sentiasa tentang kematian kerana manusia sering merasakan masih ada esok untuk mempersiapkan diri. Persiapkan diri dengan amalan-amalan yang menjadi peneman di 'alam sana' nanti. Walau mudah terleka, Allah tetap sayangkan hambaNya. Masih juga diberi peluang untuk bertaubat walau sehebat mana pun dosa yang tercalit dalam hidupnya selagi ajal belum menjemput. Sentiasa berdoa dengan;
ALLAHUMMAKHTIM LANA BI KHUSNIL KHOTIMAH,
WA LA TAKHTIM 'ALAINA BI SUU'IL KHOTIMAH.
(Ya Allah, matikanlah kami dengan pengakhiran yang baik, janganlah Engkau matikan kami dengan pengakhiran yang buruk.)
AMEEN..

Friday, 15 January 2010

Dah Habis...

Hari ini aku kembali semula ke UNISEL dengan hati yang diselubungi pelbagai perasaan. Kebiasaannya, aku akan kembali semula ke rumah selepas selesai urusan pendaftaran. Tapi memandangkan aku perlu mengusir pergi pelbagai perasaan yang menyelubungi diri selepas percutian yang amat panjang, maka aku tetap di kluster RKS ini. Sebulan bercuti tanpa apa-apa program formal seperti selalu memerlukan masa untuk kembali ke normal.

Selamat tinggal semua kebiasaan semasa cuti yang lepas....! Kebiasaan yang amat tidak sihat. Hanya kerana sebuah peti berwarna dan mengeluarkan suara; televisyen. Memang bahaya sebenarnya peti yang satu ini. Kalau diikut perasaan, memang tak berganjak dari celik mata hinggalah pejam kembali. Mujurlah rumahku tiada Astro yang bersiaran 24 jam sehari dan mempunyai lebih daripada 10 saluran. Dengan saluran biasa pun sudah cukup lalai, sudah dapat kubayangkan bila Astro tersalur di peti biasa rumahku. Cukuplah cerita tentang 'peti lalai' ini.

Sebelum bertambah terlambat, Selamat Ulang Tahun Kelahiran yang ke-2* buat Abang Garang. Maaf la terlewat. Terlupa sebenarnya. Hanya terperasan bila membaca email dari Friendster. Semoga umur yang bertambah memberi manfaat kepada empunya badan dan banyakkan mengingat mati kerana bila bertambah usia, maka semakin hampirlah kita kepada kematian yang tidak dapat diduga bila menjelma. Nak kek? Sila datang ke UNISEL jika anda berhasrat demikian.

Friday, 8 January 2010

Sindrom M

Beberapa hari tanpa entri baru. Banyak benda tertunda dek kerana sindrom 'M' ni. M untuk Malas. Ater, udah lama tak duduk rumah lama-lama. Buat adik-adik dan sahabat-sahabat yang sudah memulakan tugas FMTS, selamat bekerja dan selamat menangani masalah yang selalu muncul tiba-tiba. Banyakkan sabar ye. Duduk rumah saja-saja ni, tak banyak pun benda yang aku buat. Apa yang penting, kebiasaan waktu tak cuti dah ditolak tepi. Nokia 2610 dengan Nokia 6850 memang dah tercampak entah kat mana-mana. Kadang-kadang biar je dia mati sampai berhari-hari, baru caj. Punyalah teruk perangai. Nak balas SMS pun macam tak ada hati je. Mintak maaf banyak-banyak ye kepada sesiapa yang SMSnya tidak berbalas atau panggilannya tak berjawab.

Dah duduk dalam rumah, lagi satu M adalah malas nak keluar. Abah pun bising suruh keluar jalan-jalan ambik cahaya matahari. Hahaha.. Punyalah teruk sindrom M aku ni. Hari Selasa lepas baru angin rajin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Keluar la kejap ke Banting. Itu pun sebab mengidam nak makan M* *******. Sebab dah lama tak terdedah kepada sinaran cahaya matahari secara eksklusif, maka mata aku pun terasa berdenyut-denyut je. Dah ada cermin mata bukan nak pakai. Jadi, redhalah dengan akibat yang menimpa. Memandangkan dah lama tak memandu, rasa cuak je. Banyak betul perubahan dah berlaku kat Pekan Banting ni. Jalan makin besar. Lampu isyarat makin banyak. Jalan makin sesak. Buat pening kepala + sakit hati je kalau memandu kat Banting sekarang.

Pengajaran daripada kemunculan sindrom M ni, kena la jugak jengah-jengah inbox handset sebab mungkin ada mesej penting yang perlu diambil tindakan. Macam, kena buat proposal untuk term paper. Nasib baik aku tengok balik inbox tu minggu lepas. Kalau la tengok masa bukak sem nanti, tak ke haru? Haish, pening betul memikirkan proposal ni. Blog ni pun tengah malas nak usik. Entah bila nak lengkap macam dulu pun tak tau. Apa-apa pun, selamat menghabiskan cuti yang berbaki seminggu la ye kepada sahabat-sahabat UNISEL.

Monday, 4 January 2010

Kek Pisang Coklat


1 cawan mentega
2 cawan tepung gandum
2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1/2 sudu teh garam
1 cawan gula halus
1 cawan pisang lecek
3 biji telur
1 sudu teh esen pisang
1/3 cawan susu cair
2 sudu besar madu

1/2 cawan serbuk koko
1/2 cawan air
*Bancuh koko dengan air dan biarkan dalam peti sejuk semalaman.

asingkan kuning dan putih telur, pukul putih telur hingga kembang. ayak tepung bersama baking powder, soda bikarbonat, dan garam. pukul mentega bersama gula hingga kembang dan masukkan kuning telur, diikuti esen pisang. masukkan tepung. gaul sebati dan masukkan putih telur tadi. gaul lagi dan masukkan pisang lecek, koko, dan susu cair. gaul sebati dan bakar hingga masak.

** Pertama kali buat kek cawan sebab teruja nak guna acuan kek cawan yang baru beli. Alhamdulillah menjadi kali ni. Masa membakar lebih kurang 20 ke 25 minit. Kalau malas nak buat kecik-kecik macam ni, buat guna acuan besar pun boleh. Tapi masa membakarnya lama sikit la. Dalam 1 jam ke 1 jam 30 minit. Bergantung pada ketuhar.

**Ini resepi olahan dari resepi asal. Resepi asal dicipta oleh Encik Ahmad Bin Basir a.k.a Abang Mad dan diambil dari buku resepi koleksi arwah Mak.

Friday, 1 January 2010

Kerutup Daging


Resepi ni lebih kurang rendang je. Cuma dia gedik sikit sebab cara penyediaan rempah dia banyak cekadak. Kalau nak menyenangkan hidup, beli la rempah kerutup siap-siap kat kedai. Ada jual rasanya. Sebab aku malas nak pergi kedai, ikut la jugak cara penyediaannya.

Bahan-bahannya:
1 kg daging
Sebiji kelapa (aku guna sekotak kecil santan cap M&S)

Untuk disangan (goreng tanpa minyak)
1 sudu besar ketumbar
1/2 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis
Sedikit lada hitam
8 kuntum bunga cengkih
3 kelopak bunga lawang
1/2 inci kulit kayu manis

Untuk dikisar
12 biji lada kering
1 inci kunyit
1 inci halia merah
1 inci lengkuas
1 batang serai
15 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
Sedikit belacan

3 keping asam gelugor
Garam secukup rasa
Gula merah secukup rasa

Bahan tumisan
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/3 inci halia
Minyak secukupnya

Cara memasak:
Sangan rempah ratus hingga masak. Giling lumat. Kisar bahan-bahan kisaran. Tumis bahan-bahan tumisan hingga naik bau. Masukkan rempah ratus yang telah digiling halus. Kemudian, masukkan pula bahan kisaran. Setelah naik bau, masukkan daging dan masak dengan air hingga empuk. Bila sudah hampir kering, masukkan santan, garam, gula dan asam gelugor. Biarkan atas api hingga kuah pekat dan, siapp!

Demam Korea

Apa yang hebat sangat cerita Korea ni ye? Tang mana yang buat orang terpikat? Ada yang kata, latar tempatnya yang menarik. Ada pulak kata, kerana baju-bajunya yang cantik (untuk sesetengah cerita, memang baju-bajunya elegan dan lawa). Bagi aku? Entah. Tak ada jawapan pasti. Yang pasti, kalau dah sekali 'tertengok', kena bagi tengok sampai habis. Agak dahsyat jugak sebenarnya. 3 hari 3 malam mengadap menatang drama Korea ni saja kalau dah datang angin Korea. Tak tido malam pun sanggup. Ni aku la. Orang lain tak tau pulak.


Drama Korea pertama yang aku tengok, "Jewel in The Palace". Sangat suka dengan hanbok. Sopan dan cantik. Kalau la dapat sepasang kan best. Ahaks.. Sebelum cuti haritu, kami satu rumah bertukar-tukar koleksi drama dan filem yang ada. Zue mengesyorkan drama bertajuk "Boys Over Flowers" dan aku dengan senang hatinya menerima saranan tersebut. Bila dengar tajuk, macam tak best je. Takpe, cuba tengok dulu. Dah tengok, tak boleh berhenti pulak. Rupanya cerita ni lebih kurang Meteor Garden tapi versi Korea. Versi Jepun pun ada. Kiranya jalan cerita dia lebih kurang je. Tak ingat pulak apa tajuknya. Boleh la carik kat internet. Sebut Meteor Garden, teringat kat Hawa yang nun jauh di India. Dia suka sangat dengan Meteor Garden tu. Satu penyakit dalam mana-mana drama Korea, jalan cerita dia. Mesti ada part si lelaki suka kat si perempuan, tapi si perempuan dah tersuka kat orang lain. Tapi akhirnya si perempuan ni terjatuh cinta pulak kat si lelaki ni. Pastu, mesti ada banyak salah faham antara si lelaki dengan si perempuan. Haish, geram je kadang-kadang. Kalau tak buat macam tu, tak jadi drama la pulak ye. Hehehe... Lepas tu, dalam masa nak capai bahagia, mesti ada la watak-watak jahat yang muncul. Bukan 1, kadang-kadang sampai 3. Sama macam dalam "Boys Over Flowers" ni la. Ada je. Dah tu kalau watak tu jahat, jahat sangat pulak. Macam watak mak Gu Jun Pyo. Macam ni punya orang pun ada ke? Komen keseluruhan, seronok dan boleh bagi 5 bintang. Mencintai tak bermakna memiliki. Kekayaan takkan boleh membeli kegembiraan. Bila hanya pentingkan wang dan status, nilai kekeluargaan boleh lenyap dalam sekelip mata. Kalau dah jodoh, datang la dugaan sedahsyat mana pun. Akhirnya tetap akan bersama. Sedikit ulasan untuk "Boys Over Flower".




Berbanding TV dengan CD, aku lebih cenderung memilih CD sebab kat TV tak guna bahasa Korea. Tak sedap dengar. Ada sesetengah drama Korea kat TV 2 yang tak dialih bahasa. Kalau yang itu syok. Sepanjang aku tengok drama Korea, "Stairway to Heaven" adalah cerita yang paling menyakitkan hati. Ini pendapat aku la. Sebab mak tiri dan adik tiri heroin yang jahat itu dan ending dia sengal. Heroin dia mati. Oh, rasanya aku dah tau kenapa aku suka tengok drama Korea ni. Sebab instrumental dia yang best! Boleh kata setiap drama Korea mesti ada instrumental piano.

Jadi, sesiapa yang rasa tak sabar nak tengok "Boys Over Flower" sampai habis(tanpa menunggu lama dan tersekat-sekat), boleh la mai ambik episod penuh kat aku. Kalau nak tengok online boleh jugak. Pergi kat mysoju.com. Tempat lain aku tak tau pulak sebab selalu cuma layan dari CD je drama-drama Korea ni. Sekian saja celoteh untuk kali ini.

Nasi Jagung


Bila angin rajin bertiup kencang, tak berhenti berasap dapur tu. Sebab semalam terlebih rajin, aku pun belek la majalah Rasa dan fail resepi untuk tengok resepi yang best. Cadangnya nak habiskan stok sayur dan daging korban yang tak habis-habis tu. Jadi, termasaklah nasi jagung + daging kerutup + acar rampai. Ni resepinya. Kalau nak cuba, silakan.

Nasi jagung

2 gelas beras
2 1/2 gelas air
1/2 gelas susu cair
1 tongkol jagung (lurutkan dari batangnya)
2 biji buah pelaga
3 biji bunga lawang
1 cm kayu manis
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
50 gm mentega
minyak masak (untuk menumis)
2 helai daun pandan
garam secukup rasa

kisarkan bawang. panaskan minyak bersama dengan mentega. tumiskan bawang kisar hingga naik bau. masukkan rempah ratus dan tumis seketika sebelum masukkan susu cair dan daun pandan. kacaukan dan masukkan air. biarkan mendidih. setelah mendidih, masukkan beras. bila nasi hampir masak, buat lubang ditengah nasi dan masukkan jagung. biar hingga 10 minit dan gaul rata.