Engagement Fund ;)

Monday, 4 April 2011

Bila di uji

Rentetan daripada peristiwa pendarahan otak yang terjadi pada Abang Mad, aku menjadi tahu dengan lebih jelas apa yang dikatakan dengan angin ahmar atau strok. Kalau ditengokkan simptom yang berlaku, memang Abang Mad diserang strok. Ceritanya bermula pada pagi Selasa kira-kira jam 9.00 pagi. Abang Mad mahu bermesyuarat dan sedang bersedia untuk membuat pembentangan. Tiba-tiba beliau mengadu letih dan kebas di sebelah bahagian badan. Lalu beliau keluar dari bilik mesyuarat untuk mengambil angin. Kemudian, beliau rasa nak pitam lalu teruslah dibawa ke Hospital Putrajaya. Di sana, beliau muntah dan bila dibuat pemeriksaan, tekanan darahnya terlalu tinggi. 200 lebih tak silap. Waktu tu, Abang Mad masih lagi sedar dan boleh bercakap. Kemudian atas nasihat doktor, beliau dipengsankan. Oleh sebab di Putrajaya tiada pakar dalam bahagian itu, maka beliau dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira jam 6.00 petang. Lebih kurang jam 10.00 malam baru pembedahan bermula. Alhamdulillah selepas kira-kira 4 jam, beliau selamat dibedah. Darah beku dibahagian kiri otaknya berjaya dikeluarkan.

Kemudian beliau di letakkan dalam unit rawatan rapi Wad Neurologi HKL. Hari Jumaat lepas, beliau telah dipindahkan ke Wad 4A tapi masih lagi diletakkan bawah pengawasan rapi. Sabtu lepas, kami ke HKL lagi. Beliau masih belum sedar tapi memberi reaksi bila dengar orang bercakap dan boleh menggerakkan tangan dan kaki kiri. Dikhabarkan, pembedahan terkena sedikit jangkitan dan akibat daripada itu Abang Mad demam. Sebelum ini, Kak Yah memutuskan untuk tidak memberitahu keadaan Abang Mad pada Farah kerana dia berada nun jauh di Mesir dan bakal menghadapi peperiksaan. Maka aku juga tak berani menulis apa-apa di Facebook. Bimbang dia terbaca. Padaku, kalau dia nak tahu, biarlah maknya yang beritahu, bukan daripada Facebook. Tetapi akhirnya apa yang ditakutkan berlaku, terjadi juga. Seseorang menulis sesuatu di dinding Facebook beliau. Ya, setabah mana pun seseorang itu, emosinya tetap akan terganggu bila terjadi sesuatu yang tidak disangka. Perasaannya tetap akan bergoncang. Fikirannya juga terusik dek kerana memikirkan keadaan ayahnya di sini. Semoga Farah sabar dan tabah menghadapi ujian yang datang.

Semalam petang, Fairuz kembali semula ke Langkawi untuk menamatkan latihan penerbangannya yang berbaki beberapa jam dan kemudian akan menduduki peperiksaan akhir. Dia meminta bantuan untuk menghantarkan GPS dan Smart Tag ke KLIA kerana selepas ini dia akan terus pulang dengan keretanya. Dia kata masuk ke dalam jam 8.15 malam. Maka sebelum waktu itu sempat lagi jumpa. Aku bertolak dari rumah kira-kira 6.45 petang. Sempatlah sampai sebelum dia masuk. Rupanya, dia tersalah waktu. 7.45 dah kena masuk. Sayang betul. Waktu dia telefon kata tak sempat tu, aku dah sampai kat tangga di aras 5. Hanya lewat beberapa minit. Sayang betul. Kalaulah tak cari tempat letak kereta dulu, sempat agaknya. Mungkin ada hikmah disebaliknya. Sudahnya, aku hanya berlegar di terminal. 

Bagi menambah pengetahuan dan kesedaran tentang penyakit ini, boleh tekan di sini ya.

No comments: