Engagement Fund ;)

Wednesday, 20 April 2011

Hujung Minggu

Assalam... Hari ini sudah pun masuk ke pertengahan minggu, baru sibuk nak catat cerita hujung minggu sudah. Macam biasa, rutin hujung minggu adalah ke HKL. Minggu lepas Abang ikut sekali sebab dia tak kerja dan teruja nak jumpa Abang Mad yang dah buka mata. Abang Mad mula buka mata 8 April 2011 iaitu Jumaat dua minggu sudah. Sabtu lepas pulak, aku pergi dengan Abah, Bik Tar dan Mbah As. Kereta kosong, bolehlah ajak sekali. Pagi Sabtu tu hujan pulaknya. Redup ajelah sepanjang perjalanan. Jalan pun boleh tahan sesak. Selalu dalam sejam setengah atau 2 jam dah boleh sampai. Tapi hari tu perjalanan memakan masa lebih daripada 2 jam. Seronok juga ada Bik Tar dengan Mbah As. Macam-macam ada. Mbah As bawa lempeng kelapa yang sedap. Teringat jemput kelapa yang arwah Mak buat dulu. Bik Tar pulak bawa kerepek pisang buatan sendiri. Arwah Mak pun rajin buat kerepek pisang kalau tiba-tiba pisang tua bertandan-tandan. Apa-apa makanan buatan rumah sebenarnya adalah yang paling sedap kan walaupun makanan tu tak adalah mahal mana pun. Aku nak buat sendiri pun boleh. Kelapa parut memang dah ada dalam peti tapi biasalah, mim. alif. lam. sim. kuasa 8. Nak buat kerepek pisang? Memang sedang elok la pisang nangka ada 3 tandan kat dapur tu. Lagi sekali, mim. alif. lam. sim. kuasa 8. Hahahaha...

Sampai di HKL kurang lebih jam 1.30 petang. Cuma ada Cik Iti. Kali ni, aku tengok Abang Mad lebih cergas berbanding sebelum ni. Cecair dari otak pun dah 2 hari berhenti dan dalam pemantauan doktor untuk dicabut tiub yang dipasang. Macam dah kenal orang sebab kalau orang datang, dia akan tengok. Cuma masih belum boleh bercakap sebab ditebuk pada salur pernafasan. Bila tengok jururawat tukar tiub tempat ditebuk tu, memang aku tak gamak nak jadi jururawat ni. Kesian tengok pesakit yang terbatuk-batuk waktu tiub tu dimasukkan. *Tepuk tangan untuk jururawat sekalian.* Kami berkampung sampai tamat waktu melawat. Walaupun Abang Mad dah dipindahkan ke wad biasa, tapi beliau masih diasingkan daripada kawasan wad biasa. Beliau ditempatkan dalam bilik berasingan yang menempatkan 6 pesakit dalam satu-satu masa. Tempoh hari, beliau ditempatkan di Cubicle 3. Sekarang dah dipindahkan ke Cubicle 4. Nak masuk melawat pun cuma boleh dua orang dalam satu-satu masa. Mudah-mudahan Abang Mad dapat kembali seperti sediakala. Bila dengar Kak Yah cerita, agak ngeri juga dengar tentang kes-kes lain. Wad Neuro, memanglah kes-kes dahsyat bila melibatkan penghuni-penghuni dalam Cubicle.

Kemudian, hari Ahad malam teman Fairuz hantar Pak Langnya ke Kajang. Alhamdulillah beliau sudah pun menamatkan latihan penerbangannya di Langkawi selama setahun 3 bulan itu. Rutin mingguan sejak sebulan lalu. Kelebihannya adalah, aku dah tahu jalan nak ke PWTC dan Mid Valley. Heeeppppppp! Hehehe... Tapi masih tak suka memandu di KL sebab semua orang tak sabar. Asyik dok hon-hon. Haish, tertekan dibuatnya!

1 comment:

MAN ANA? said...

tepuk berkali2 sebab dah tau jalan. nanti ukur jalan ke Sogo plak ya? haha
(teringat tepuk Jun)