Engagement Fund ;)

Monday, 2 May 2011

Wasiat Ayah

Hari Khamis lalu diadakan majlis perpisahan untuk adik-adik yang menjalani praktikum di ILP ni. Majlis pendek yang diadakan pada sebelah pagi ini turut dihadiri oleh para pembimbing mereka serta Timbalan Pengarah 1, Encik Ammar sebagai pengganti Tuan Pengarah yang menghadiri mesyuarat di Putrajaya. Eh, ni apa pasal pulak aku buat ayat macam nak hantar laporan ke HEP ni? Hehehe... Ok, sambung cerita. Majlis perpisahan, biasalah... Mesti ada ucapan terima kasih dan minta maaf bagai. Ada juga nasihat daripada staf-staf terlibat. Wasiat paling panjang adalah daripada Encik Ammar yang aku nak kongsikan di sini.

Gambar ehsan Pakcik Google

Pada suatu masa, terdapat seorang ayah yang sudah uzur. Si Ayah mempunyai dua orang anak. Sebelum meninggal dunia, si ayah berpesan kepada kedua-dua anaknya; "Wahai anakku, sesudah ayah meninggal laksanakanlah apa yang ayah akan katakan ini. Pertama, jika engkau memberi hutang kepada orang, janganlah engkau tuntut. Kedua, sekiranya engkau bekerja, janganlah sampai terkena cahaya matahari." Tidak lama kemudian, si ayah pun meninggal dunia. Maka pada suatu hari, Ibu mereka yang masih hidup datang menziarah anaknya yang bongsu. Dia melihat perniagaan anak bongsunya semakin merosot. Lalu ibunya bertanya; "Mengapa engkau jadi begini?" Si anak tadi pun menjawab; "Ibu, saya cuma melaksanakan apa yang ayah pesan dulu. Ayah kata, jangan tuntut hutang daripada orang. Saya ni berniaga dan kadang-kadang akan memberi hutang kepada pelanggan saya. Tapi, ayah kata jangan tuntut hutang-hutang tersebut. Maka saya tidaklah tuntut dan akibatnya saya tidak mempunyai modal pusingan. Kemudian, ayah berkata supaya jangan sampai terkena cahaya matahari. Maka untuk ke pejabat saya akan menaiki kereta walaupun jarak dari rumah ke sana tidaklah jauh. Disebabkan itu, kos perbelanjaan saya juga telah meningkat". Si ibu pun berfikir. Betul juga kata-kata anaknya.

Selepas itu, si ibu pun menziarahi anak sulungnya. Berbeza dengan anak bongsunya, si sulung menjadi semakin berjaya dan bertambah kekayaannya. Si ibu turut berasa hairan. Maka si ibu pun bertanya; "Bagaimana engkau boleh menjadi sebegini kaya?" Si sulung pun menjawab; "Betullah apa yang diwasiatkan ayah dulu. Ayah kata, jangan menuntut hutang yang diberi kepada orang. Jadi, dalam menjalankan perniagaan, saya langsung tidak membenarkan pelanggan berhutang. Semuanya perlu dibayar tunai. Dengan cara ini, orang tidak dapat berhutang dan saya tidak perlu menuntut hutang. Saya juga mempunyai modal pusingan yang mencukupi malah mendapat lebih keuntungan. Kemudian, ayah berpesan supaya tidak terkena cahaya matahari ketika bekerja. Maka saya keluar rumah sebelum matahari terbit dan pulang setelah matahari terbenam. Dengan demikian, waktu saya berada di kedai lebih lama dan saya mampu memanjangkan waktu perniagaan sekaligus meraih untung yang berlipat ganda." Si ibu pun bersetuju dengan kata-kata anaknya itu.

Demikianlah cerita si bongsu dan si sulung. Kedua-duanya menerima wasiat yang sama, tetapi mempunyai kefahaman yang berbeza. Sebenarnya, situasi ini sering berlaku dalam kehidupan kita bukan? Kadang-kadang kita tersalah tafsir dan salah menafsir. Sebelum membuat sesuatu, seeloknya kita berfikir dengan betul supaya tiada apa-apa yang salah berlaku.

No comments: