Engagement Fund ;)

Thursday, 7 July 2011

Kena Paksa

Mula-mula, nak ucap banyak-banyak terima kasih kepada yang sudi mendoakan aku dan mengucapkan selamat sempena ulangtahun kelahiran ke____ hari Selasa lepas. Terima kasih Na, Kak Suma, dan Kak Chik atas kiriman SMS kalian. Biarpun ringkas, tanda ingatan itu yang membuat saya terharu. Kepada Aienn, minta maaf sebab akak tidur awal malam tu. Sesungguh hati dia telefon aku sampai N2610 kong. Di N6085 pun ada 2 panggilan terlepas. Kepada kawan-kawan di Facebook, terima kasih juga kerana rajin menulis di dinding saya walaupun saya sebetulnya adalah seorang yang pemalas yang menulis di dinding orang. Hehehe...

Sempena usia dah bertambah setahun lagi ini, aku memutuskan untuk memaksa diri melakukan sesuatu yang pernah dilakukan dulu. Bila aku tengok balik gambar-gambar waktu di universiti dulu, rasa nak menangis je. Dulu pipi aku tak kembung macam sekarang. Dulu nampak molek je dalam gambar. Sekarang??? Ingatkan dulu aku gemuk, rupanya sekarang lagi gemuk. Aku perasan berat badan naik dengan bahagianya semenjak keluar praktikal dan bertambah suka hati berat tu bertambah bila masuk kerja ni. Bila dah kerja, dah ada duit sendiri. Nak makan apa, semua boleh beli dan boleh pergi bila-bila masa. Kat UNISEL dulu mana ada McDonalds ke Pizza Hut ke Secret Recipe. Kalau makan benda-benda tu pun, once in a blue moon orang Banting kata. Sekarang, ko fikir je nak makan apa. Balik kerja, boleh singgah siap-siap. Lepas tu, sekarang mana ada banyak bergerak. Kelas pun sekangkang kera aje. Duduk pulak dalam air-cond. Terbaiklah! Hahaha...

Dulu, aku makan nasi lemak tengah malam ke makan nasi 3 kali sehari ke, boleh pakai baju saiz M. Sekarang, kirim salam. Waktu sekolah dulu, memang aku gemuk. Mau tak gemuk? Makan 4 kali sehari tanpa gagal. Maksudnya, tiap kali waktu makan aje, memang makanan akan tersedia. Dah kata duduk asrama kan? Aku ingat lagi, lepas habis SPM, berat aku adalah 75kg. Jadi, sepanjang bercuti, aku cuba menurunkan berat badan. Dulu, aku makan setiap 3 jam dalam kuantiti yang sedikit. Sarapan pagi selalu arwah mak akan buat teh susu guna susu pekat. Tapi aku buat teh susu letak susu tepung dan makan roti sekeping. Kadang-kadang kalau mak ada goreng pisang ke buat jompot ke, aku makan la jugak sikit. Lepas 3 jam, aku makan biskut. Kadang-kadang 2 keping, kadang-kadang sebungkus Luxury yang ada 6 keping tu. Tengahari, makan nasi sikit dan lauk yang ada. 3 jam lepas tu, aku makan buah apa yang ada. Selalunya epal dengan lai. Kemudian petang-petang senam sampai basah baju sebab peluh. Rajin dulu, aku siap potong keratan langkah-demi-langkah senaman dalam majalah. Siap letak dalam fail lagi. Sekarang aku tak tau fail tu hilang ke mana. Kahkahkah... Tak cukup tu, aku kayuh fit-n-fold strider lagi. Malam aku tak makan berat. Cuma minum susu segelas dengan biskut kering. Kadang-kadang tergoda juga dengan bau gereh yang Abah goreng. Tapi aku tetap paksa diri duduk diam-diam dalam bilik. Kalau aku jengah dapur, memang hancus. Berkat mengawal makan, berat aku turun jadi 59kg waktu nak masuk degree. Itu adalah yang paling ringan setakat ini.

Jadinya, sekarang aku nekad la nak turunkan balik berat badan. Tengok di blog-blog lain pun, ramai yang mempunyai niat yang sama. Siap buat program diet 50 hari lagi. Aku tak gamak nak ikut serta sebab aku tau aku masih tak kuat semangat nak diet drastik. Langkah pertama adalah aku keluarkan jubah putih yang aku pakai waktu TESL Night dulu. Sempit dah weh. Kira buat motivasilah.
Aienn kata ni jubah nikah aku. Tahun bila nak nikah, aku pun tak boleh bagi jawapan pasti. Hahaha...

Langkah kedua, aku kayuh fit-n-fold strider secara berkala. Setiap sesi, mesti tak kurang daripada 20 minit. Bosan jugak kayuh benda alah tu. Atas saranan Aten, dia kata dengarlah lagu, baru tak terasa lama. Lepas aje N6085 aku berbunyi, memang aku set beberapa buah lagu untuk didengari sepanjang mengayuh. Kurang bosan sikitlah. Mula-mula nak pasang Korea. Kalau taruk Korea depan mata, confirm tak sedar dah kayuh 1 jam. Hahahaha...tapi sebab malas nak setting tempat, aku pasrah aje dengan apa yang ada.
Benda alah ni aku letak dalam bilik solat sebab kawasan tu je yang masih ada sikit ruang. Yang petak-petak tu faham-fahamlah ye. Sebab dia lapang, maka semua benda pun letak situ. Itu tak tengok bahagian lain yang termasuk dalam gambar lagi tu. Hehehe...

Langkah ketiga, aku gunakan mesin urut Cann Twin Effect ni. Mesin ni pun boleh membakar kalori. Cara paling mudahlah nak nyahkan kalori berlebihan. Sambil duduk baca buku ke, tengok drama Korea ke, aku pasang mesin ni. Nak guna mesin ni, kena minum segelas air sebelum dan selepas menggunakannya. Paling elok buatlah dua kali sehari. Malam dan pagi. Aku selalu buat malam sebelum tidur. Itu pun kadang-kadang ngelat sebab dah ngantuk sangat. Pagi, kalau aku terbangun awal, buat la satu pusingan sambil bersiap.
Mesin boleh set nak buat berapa lama. Ada 10 minit, 15 minit dan 30 minit. Kalau nak sedap sikit, pakai mode therapy. Urutan dalam mode therapy ni tak terhad kepada satu corak je. Arwah mak dulu rajin pakai.

Langkah keempat, aku lari ke The Store pergi beli timbang semalam. Timbang lama dah rosak. Dah lama cari penimbang yang digital. Tapi asyik tak ada je. Jadi semalam aku pasrah aje bayar RM69.90 untuk satu penimbang digital. Memang mahal. Tapi aku dah malas nak bertangguh. Pejam mata ajelah aku bayar. Jadi balik kerja petang semalam terus timbang. Kahkahkah... tak menyempat. Peliknya, timbangan itu jauh beza daripada apa yang aku timbang 2 bulan lepas. Macam tak percaya pun ada. Turun banyak sangat padahal aku tak ada jaga makan sangat pun. Burger McD aku tibai. Kek Secret Recipe aku belasah. Pizza Hut pun aku telan. Seingat aku waktu timbang dulu adalah 85kg. Semalam sudah turun ke 73.5kg. Serius tak percaya. Aku rasa penimbang lama tu kot yang salah. Tapi kalau betul-betul susut, alhamdulillah... Sekian saja paksaan yang telah dimulakan oleh diri sendiri.

No comments: