Engagement Fund ;)

Sunday, 21 August 2011

Dugaan

Ini cerita hari Jumaat lepas. Balik kerja, Abah suruh pergi rumah Abang Mad dengan Abang Faiz sebab ada orang nak datang mengubat. Abah ada majlis berbuka di STAR dan terawih sekali. Maka, dalam pukul 11 malam kami bertolak dari rumah. Ustaz yang nak mengubat tu datang lepas terawih, itu pasallah sampai pukul 11 lebih baru dia sampai. Sampai-sampai aje, ustaz tu tengok keliling rumah dan macam biasa tanya-tanya sikit. Mula-mula dia tanya nama penuh, umur dan jawatan Abang Mad. Kemudian diikuti beberapa soalan antaranya ada rasa panas ke dalam rumah, ada rasa orang berjalan kat atas ke dan ada rasa kelibat melintas tak? Masing-masing kata tak ada. Tapi aku terus teringat peristiwa Kak Yah diganggu dengan bunyi orang berjalan di atas rumah dan bau asap rokok beberapa tahun sudah. Waktu tu Abang Mad baru ditukarkan ke Sabah dan tinggallah Kak Yah seorang di rumah. Bila Kak Yah sorang-sorang, gangguan tu ada. Tapi bila Abang Mad balik, tak ada apa-apa berlaku. Jadi bila Abang Mad tak ada kat rumah, Kak Yah akan tidur di rumah kami. Waktu tu mak masih ada. Bila mak meninggal dan aku pun dah habis belajar, maka akulah yang akan menemankan Kak Yah di rumahnya. Tak pastilah kejadian tu ada kaitan atau tak dengan sihir yang mengganggu sekarang ni. Ustaz tu kata, ini sihir yang dihantar oleh orang yang tak suka dengan Abang Mad.

Kemudian minta disediakan air untuk diminum dan digunakan sebagai mandian. Lepas tu, dia minta minyak wangi yang kosong. Maknanya, masih belum diruqyah. Sebelum mula mengubat, kedudukan Abang Mad diubah tidak menghadap kiblat. Kemudian, minyak wangi tadi diletakkan dihujung kelima-lima jari tangan kanan dan tangan berminyak wangi tu diletakkan di atas ubun-ubun. Dimulai dengan bismillah dan diikuti ayat-ayat Al-quran, proses mengubat pun bermula. Aku tak berapa ingat dah ayat-ayat yang dibacakan. Tapi ada antara ayat yang dibacakan adalah ayat-ayat yang terkandung dalam ma'thurat. Agak lama juga proses tu berjalan. Waktu tengah mengubat, aku perasan ustaz tu berpeluh-peluh. Basah mukanya dengan peluh. Panas ke? Aku pandang Abang Mad, tak nampak peluh. Aku toleh ke Kak Yah, pun tak nampak peluh. Farah dan Fairuz pun okey je. Abang Faiz pun takde berpeluh. Kemudian, tak lama tu proses mengubat pun selesai. Habis je, ustaz tu tanya; "Tak panas ke?" Semua pakat jawab tak. Ustaz tu kata; "Uih, saya berpeluh-peluh ni. Kuat juga 'dia' ni. Ada tisu tak?" Kemudian ustaz tu kata gangguan tu kuat dan berada dalam badan Abang Mad. Lepas tu macam-macam ustaz tu tanya tentang cara berubat sebelum ini. Memang dah ada beberapa ustaz yang datang mengubatkan, tapi masih belum diizinkan untuk sembuh. Kemudian, ustaz tu pun terangkan cara-cara nak merawat sendiri menggunakan air yang telah dibacakan ayat quran dan ayat-ayat yang perlu dibacakan semasa merawat. Rawatan perlu dibuat selama 5 hari. Dalam masa 5 hari, kalau tak ada perubahan, ustaz tu akan datang semula.

Sebelum balik, dia tanya ada garam kasar ke tak untuk ditabur di penjuru rumah bagi 'menghalau' sihir tu. Kak Yah bagi tahu, sebelum ni dah pernah buat, tapi buat sendiri. Memang dalam rumah tu, bertaburan lagi garam kasar di sesetengah tempat. Ustaz tu tanya; "Lepas buat tu, ada bau hangit tak?" Bila Kak Yah kata tak ada, ustaz tu kata; "Dia tak keluar lagi tu. Masih ada dalam rumah." Jadi lepas 5 hari, kalau tak ada juga bau hangit, ustaz tu sendiri akan tabur garam kasar ke penjuru rumah. Sambil minum, ustaz tu ada cakap dia ada juga mengubat orang dari KPT baru-baru ni. Orang tu kiranya dalam kementerian yang sama dan pangkat besar juga tapi bahagian lain. Haih, ada juga yang mendengki sampai tergamak gunakan sihir untuk mengganggu. Rezeki kan masing-masing? Kenalah usaha untuk meraih apa yang dihajatkan. Wallahua'lam.

No comments: