Engagement Fund ;)

Tuesday, 11 October 2011

Tak Cukup Rajin

Selepas menanti hampir seminggu, sedang elok je dapat SMS cinta dari BIMB memaklumkan gaji dah masuk waktu nak balik kerja semalam. Yeay! Walaupun gaji dah masuk, bajet tetap ketat untuk bulan ni. Macam-macam nak guna. Itu pun dah terbeli sesuatu daripada kedai maya. TERBELI hokey! Selalunya kalau malas masak boleh beli makanan siap masak di pasar malam. Tapi disebabkan bajet ketat, malas-malas pun kena masak jugak. Semalam pergi pasar untuk beli sayur je. Itu pun beli 'sayur malas' sebab minggu ni macam malas-malas je nak duduk dapur lama-lama. Sayur malas di sini adalah sayur yang tak perlu disiang dengan teliti macam kobis, petola, peria, dan terung. 'Sayur rajin' pula adalah sayur yang perlu disiang dengan teliti macam sawi, kailan, kangkung dan bayam. Sayur rajin ni pun tak boleh simpan lama-lama sebab nanti dia layu. Maka, kenalah rajin masak sayur ni. Kerana itulah aku bahagikan sayur mengikut kategori rajin dan malas. Suka hati je kan? Hahaha...

Semalam jugak baru nampak bayang nappa cabbage. Adoi, waktu malas nilah kau nak muncul kan? Dari minggu lepas cari nappa cabbage ni sebab ingat nak buat kimchi tapi tak ada. Sudahnya tak beli pun sebab dah tahu minggu ni tak cukup rajin nak duduk dapur lama-lama. Minggu depanlah nampaknya. Hari Ahad lepas berjaya memasak rendang daging dan pulut kuning. Siap rebus nasi impit lagi. Alang-alang ada rendang kan? Lagipun nak habiskan kuah kacang punjungan raya tempoh hari yang diawet dalam tempat sejuk-beku. Bagi lapang sikit peti sejuk tu.

Minggu sebelumnya merajinkan diri masak lasagna sebab bahan-bahan masak untuk jamuan raya minggu sebelumnya ada lagi sikit. Teringin nak masak lasagna jugak? Meh ikut resepi ni..

Lasagna Daging

Bahan-bahan:

1 kotak lasagna (Ikut cara masak yang ditulis di bungkusan.Kalau jenama San Remo, tak perlu dimasak dulu)
Keju (cheddar, mozarella, parmesan)

Sos daging
400gm daging kisar
1 batang lobak merah (saiz sederhana)
1 biji lada benggala hijau (kecil..kalau besar, guna separuh je)
1 labu bawang besar
2 biji tomato
3 ulas bawang putih
4 sudu besar pati tomato
1 camca serbu lada hitam
Sedikit Italian Herbs (kalau tak ada, boleh guna oregano atau mixed herbs)
Garam secukup rasa


Cara membuatnya:
1. Potong dadu semua sayur dan bawang.
2. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga layu.
3. Masukkan lada benggala dan lobak dan gaul kejap.
4. Masukkan daging dan kacau rata. Masak hingga air daging kering.
5. Kemudian masukkan tomato diikuti pati tomato dan kacau hingga sebati.
6. Akhir sekali masukkan bahan-bahan perasa. Kacau dan biarkan seketika sebelum diangkat.


Sos Putih (Bechamel Sauce)
2 cawan susu segar
1 sudu besar mentega
4 sudu besar tepung gandum
*1 kiub pati ayam
*sedikit serbuk oregano
*sedikit serbuk lada hitam


Cara membuatnya:
1. Cairkan mentega dengan api sederhana.
2. Masukkan tepung gandum dan kacau sampai dia tak berketul. Kacau guna whisker adalah senang ye!
3. Dah sebati, masukkan susu dan kacau tanpa henti sambil masukkan kiub pati ayam, oregano dan lada hitam. Yang bertanda * tu sebenarnya saja ditambah. Kalau bahan asas untuk sos bechamel, hanya 3 bahan di atas tu ye.
4. Kacau lagi dan lagi sampai sengal pekat. Kalau tak pekat-pekat jugak, tambah lagi tepung sampai dia pekat macam sup cendawan Campbell dalam tin tu. Tapi jangan la letak tepung tu sekali banyak, letak sikit-sikit.
5. Bila dah pekat, matikan api.

Cara melapis:
Aku tak berapa ingat sangat nak mula lapisan dengan yang mana satu. Dekat kotak lasagna tu dia ada tulis resepi jugak, boleh rujuk kat situ. Tapi aku mulakan dengan sos putih. Letak satu lapisan nipis sos putih diikuti dengan kepingan lasagna; diikuti dengan sos daging; diikuti dengan sos putih dan begitulah seterusnya. Sepatutnya, sekotak lasagna tu habis digunakan untuk satu resepi ni. Tapi kalau tak berapa nak rajin untuk buat lapisan nipis-nipis, mungkin hanya guna separuh je daripada kuantiti dalam kotak tu. Lapisan teratas adalah sos daging dan ditutupi dengan taburan keju cheddar, mozarella atau parmesan. Untuk rasa yang sedap, taruk tiga-tiga jenis keju tu sekali. Barulah tambah berat badan! Kehkehkeh.. Dah siap, bakar selama 20 minit pada suhu 200 darjah celcius atau hingga masak.

*Gambar kemudian ye.. Tuan Tanah tak cukup rajin lagi nak pindahkan gambar ke dalam laptop.

No comments: