Engagement Fund ;)

Thursday, 27 January 2011

Belumlah!

Hari ni ada kelas dengan budak-budak semester 2. Gementar juga nak jumpa budak-budak ni sebab dah lama tak jumpa. Masuk-masuk je, budak-budak lelaki yang duduk depan ni bising-bising; "Oooww... Miss, sampai hati." "Cik, tak jemput pun." Apakah? Blurr kejap. Pastu aku tanya la kenapa? Diorang cakap; "Dah jadi Puan tapi tak bagi tau ye." Hahahahaha...gelak besar kejap. Mau tak gelak? Angin tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba kata aku dah kahwin. Apakah??? Terus la aku tanya "Mana kamu dengar ni? Belum lagilah" Beberapa orang bersuara; "Tu, kat jadual kat belakang Buku Daftar Kehadiran tu. Dia tulis kat situ Puan." Kelam kabut aku selak sampai belakang. Hahahaha... Memang kat situ tulis Puan. Boleh? Takpelah... Tapi lucu pulak sebab masuk-masuk kelas je kecoh pasal benda ni. Hadoi la... Aku pun cakap; "Jangan risau, nanti kalau saya kahwin, saya jemput la. Awak tak datang bawak hadiah besar, siap." Muehehehe...

Alhamdulillah, petang tadi dah selamat derma darah. Waktu makan tengah hari tadi, tak berani makan berat sebab dia kata tak boleh makan berat. Jadi makan sandwich je. Hehehe... Balik dari makan rehat tengah hari, terus pergi Dewan Besar tu nak derma darah. Tak berapa nak ramai orang. Ada budak-budak CADD Mekanikal je. Ada la yang aku kenal sebab aku pernah ngajar. Ingatkan ramai-ramai kat meja pendaftaran tu semua nak isi borang derma. Rupanya datang saja-saja je. Sabar jelah. Tak lama pun, tak sampai setengah jam. Alhamdulillah tak ada masalah. 3 bulan lepas ni nak derma lagi. Daebak!!

Wednesday, 26 January 2011

Malas La Pulak...

Baru je berlagak boleh sambung printer dengan laptop pagi tadi. Alih-alih petang ni tak boleh nak print pulak. Dah cuba berkali-kali nih, siap restart laptop lagi. Tapi tak nak jugak. Ni yang nak kecewa. Hurmmm... Tunggu la kejap lagi, lepas ni cuba untuk terakhir kali. Kalau tak boleh jugak, callo balik rumah la gamaknya. Balik ni fikir-fikir nak masak apa. Ikan ada dalam peti tu, tapi belum siang. Nak siang malas pulak sebab ikan kecik-kecik. Semalam pun dah masak ikan. Menu semalam ikan cencaru bakar + sup sayur. "Ikan bakar lagi..." kata Abang Paiz semalam bila tengok atas dapur. Nasib ko la Bang, adik ko ni tengah malas. Minggu lepas dah masak bagai nak rak. Buat nasi serai dengan kawan-kawannya serta kek keju labu. Waktu buat nasi serai tu, kebetulan Abang Mad dengan Kak Yah datang rumah. Kira dapat la merasa. Nak resepi, pergi ke Dapur Cinta ye. Esoknya buat Kek Keju Labu pulak. Semangat aku beli cream cheese tu sekilo. Sekarang baru la tergolek nak menghabiskan. Nasib baik la ada jugak yang sudi makan kek keju tu sebab orang-orang kat rumah ni kureng sikit benda-benda yang pelik ni. Lepas ni kena pulun buat kek banyak-banyak sebab tangan gatal ni sesedap rasa mencapai benda-benda yang terletak atas rak di Pasaraya 2Ply tu. Padan la muka hang!Hahaha... Nak resepi Kek Keju Labu pun pergilah ke Dapur Cinta ye. Okey, nak balik dah. Merajuk dengan printer ni. Esok kena datang awal la gamaknya nak print benda alah nota untuk budak-budak sem 2. Adios!!

Kelas Dah Mula

Hari ni terawal pulak datang kerja. Beberapa minit je pun. Kecoh ah! Hahaha... Kak Rin pun kata aku awal hari ni. Nak ada kelas pertama kot, tu yang awal. Kehkehkeh... Tadi dah masuk kelas budak-budak sem 1. Kelas pertama untuk semester ni. Kali ni semester 1 sikit je, tak sampai 20 orang pun. Mudah-mudahan tak ada masalah dengan mereka ni. Oh, kelas kali ni dua-dua sekangkang kera je. Tiada lagi zirafah terkangkang di sini sebabnya semua kelas di bilik seminar 1. Hahaha..

Esok kelas dengan budak-budak semester 2. Semoga mudah semuanya. Pagi tadi jugak, aku berjaya menghubungkan pencetak di pejabat ni dengan Permataku. Suka dan gembira yang teramat sebab setelah sekian lama mencuba, akhirnya dapat jugak. Cuma guna jalur lebar tanpa wayar yang ada kata laluan tu. Tapi dah namanya kakitangan sini, maka boleh aku guna. Kerja akan menjadi lebih mudah tanpa perlu ke komputer orang lain untuk mencetak segala tugasan dan nota untuk pelajar. Hehehe...



Sebenarnya kan, rindu sangat-sangat nak jumpa kawan-kawan dan teman serumah dulu. Serius, rasa macam dah lama sungguh tak jumpa. Dengan Kak Chik pun. -_- Dan bulan ni aku berjaya tidak menjejakkan kaki ke mana-mana pusat membeli belah dan dengan itu, penjimatan yang banyak telah berlaku. Daebak!! Kalau keluar, dah tentu banyak benda aku beli. Yang tak ada dalam senarai pun sekali. Ish, payah betul... Salah satu azam baru; tak nak beli baju baru kecuali untuk raya sahaja. Setakat ni masih berjaya, tapi hari tu hampir gagal jugak. Pergi kedai kain sebab nak beli bahan buat benda lain, tapi gatal-gatal tanya jurujual tu baju mana corak baru, ada jual kain kapas tak? dan gedik-gedik pergi pusing satu kedai tu. Ada satu kedai tu, kain kapasnya adalah cantik dan comel-comel coraknya. Buat sarung bantal memang sesuai. Tapi, sebab dah beli yang untuk sarung bantal, maka terpaksa menahan diri. Fuh,selamat..! Kalau tak, azam hanya tinggal azam. Hahaha... Sekarang ni kena rajinkan diri menjahit sarung bantal tersebut. Nampaknya macam kena tunggu siri cerita Korea tu habis. Ermmm...*fikir bila nak habis tengok cerita-cerita Korea tu*

Satu lagi azam tahun baru; menderma darah setiap 3 bulan. Jadi, ada pengumuman nak buat.
KEMPEN MENDERMA DARAH AKAN DIADAKAN DI
TEMPAT:DEWAN BESAR ILP KUALA LANGAT
MASA: KHAMIS (10.00 PAGI - 3.00 PETANG)
JUMAAT (10.00 PAGI - 1.00 PETANG)
TARIKH: 27 - 28 JANUARI 2011


Marilah ramai-ramai datang ye. Kelayakan untuk derma ni tak susah. Apakah kelayakan untuk menderma darah?
  • Sihat tubuh badan (alhamdulillah tidak diserang apa-apa penyakit kebelakangan ni)
  • Berat badan 45kg ke atas (memang dah terlebih-lebih pun..hahaha)
  • Berumur 18 hingga 60 tahun (walaupun umur dah lebih 18 tahun, tapi ku masih muda belia lagi)
  • Tidak mengambil antibiotik (dah lama tak makan)
  • Tidak hamil, tidak haid (tak kahwin lagi, dan kalau haid tapi dah di penghujung, boleh cuba buat pemeriksaan. Anda mungkin boleh menderma darah)
  • Tidur melebihi 5 jam (ini insyaAllah boleh)
  • Tidak mengambil minuman beralkohol dalam tempoh 24 jam. (ini memang aku tak ada kaitan pun..haram...)

Tuesday, 25 January 2011

Sehari Di Melaka

Ingin menyudahkan entri terbengkalai 2 minggu lalu. Hehehe... Sabtu 15 Januari lalu, kami sekeluarga ke Melaka untuk majlis sambut menantu Kak Had. Kami tak ikut rombongan pengantin yang menyewa 2 bas. Pandu kereta sendiri dan selepas itu bolehlah merayap ke mana-mana. Bertolak pagi dan waktu sampai dan-dan pengantin berarak. Okeylah tu kan, tak berapa nak lewat. Sementara menunggu pengantin menepung tawar, kami duduk di luar saja. Sepanjang-panjang berdiri menunggu tu, otak ni terus-terusan memikirkan tentang apa yang ditulis oleh Puan Xora di blognya tentang sistem bunyi. Sungguh benarlah apa yang dikatakan beliau. Majlis perkahwinan adalah tempat untuk pertemuan saudara-mara dan kawan-kawan. Dah jumpa, mesti nak borak kan? Kalau sistem bunyi sangat kuat macam di konsert, macam mana nak bercakap? Jadi, perlu ada yang memantau keadaan ini supaya sistem bunyi sedang elok. Tak kuat sangat, tak perlahan sangat. Sambung..... Dah sudah habis tepung tawar, kami makan. Aku duduk sekali dekat kawasan meja pengantin. Yang lain terus ke khemah rombongan. Itu pun tak muat. Dua bas kan? Hehehe... Lauknya adalah sangat banyak. Ikan masam manis, ayam tak-tau-masak-apa, puyuh goreng, sayur tumis udang, acar jelatah, daging palembang, dan banyak lagi. Tak ingat dah... Lepas tu terus solat kat masjid berdekatan. Dekat sangat dengan rumahnya.

Lepas solat, cakap kat Abah nak bawak kereta pulak. Ingatkan terus balik, rupanya Abah nak pergi rumah Cikgu Rasid, kawan baik waktu mengajar kat Melaka dulu. Pasrah je aku memandu pertama kali kat situ. Bila dah sampai dekat kawasan perumahan tu, cari-cari rumahnya tak jumpa la pulak. Banyak kali tawaf jugak sampailah jumpa. Dah jumpa, tak ada orang pulak. Balik jelah jawabnya. Hahaha... Paling sengal sekali, objektif utama tak tercapai; beli cencaluk dengan belacan. Padahal dalam perjalanan pergi tu banyak je gerai jual menda alah tu. Tapi tak berhenti pulak. Kecewa betul... Huish, makan nasi panas dengan cencaluk adalah sedap okey! Cencaluk tu pulak kita campurkan dengan bawang, cili padi potong dan air perahan limau kasturi. Bertambah nasi bersenduk-senduk. :)

Dalam perjalanan pulang, dah petang. Maka perut dah lapar balik. Singgah makan di Kuala Linggi. Restoran baru. Dibina atas air. Masyuk oh makan kat sini. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa + pemandangan yang cantik. Nak sampai ke restoran tu, ada la kena jalan jauh jugak. Dia sediakan 2 tempat makan, ruang terbuka dan ruang berbumbung. Kami duduk kat dalam sebab langit macam nak runtuh je. Kalau tengah-tengah makan tu hujan, haru pulak kang. Hehehe... Makanannya adalah SEDAP dan MURAH... Servis bagus. Ada kemudahan surau dan tandas. Tandasnya tak bagus sangat. Suraunya tak tahu macam mana sebab tak masuk.

Mari tengok apa yang kamera N6085 dapat rakam...
 Sotong goreng tepung

 Siakap 3 Rasa
 Telur Bungkus
 Kupang Goreng Cili (cadangan dari Tuan Kedai)

 Kangkung Belacan

 Ini rupa meja sebelum mula makan... Oh, tertinggal lagi satu, Tomyam Campur..

Ini rupa meja selepas makan..tinggal kulit je kupang tu...hahaha..

Keseluruhannya, puas hati la dan harganya kira murah. Nasi putih 4 + ikan siakap besar + lauk-pauk yang banyak + jus oren + teh o ais + teh panas + teh tarik (2) + air suam = RM 90.00. Sesiapa yang terasa nak makan kat sini, boleh la pergi cari kat Melaka nun. Namanya Restoran Ikan Bakar Fort Supai, Kuala Linggi.

Wednesday, 19 January 2011

Kenapa Tiada yang Labuh?

Semalam dah cakap pasal mengaji, hari ni kita cakap pasal tudung pulak. Kalau diperhatikan, semakin hari, semakin rancak pula keluaran corak dan rekaan tudung. Baru-baru ini, terhasil satu lagi gaya selendang yang berjuntai-juntai tu. Tak ingat pulak apa nama dia tapi agak menarik sebab juntaiannya tu ada pelbagai corak. Malangnya semua selendang itu adalah singkat! Kalau dililit, hanya cukup untuk tutup kepala tanpa dapat menutup dada. Waktu borak-borak dengan Kak Chik, aku tanya kat dia; "Kenapalah selendang yang juntai-juntai tu semuanya tak lebar. Tak ada yang labuh." Maka Kak Chik pun menjawab; "Inilah salah satu cara 'mereka' merosakkan anak muda kita. Cuba awak tengok, kriteria selendang ni pun sesuai dengan remaja yang malas nak gosok tudung. Semua nak cepat je." (aku pun tergolong juga dalam golongan nak cepat ni..maknanya muda lagi la ye...hehe) Bila Kak Chik cakap macam tu, baru la aku perasan dan terfikir. Remaja adalah golongan yang paling mudah terpengaruh. Itu sebabnya mereka menyuntik perkara-perkara yang tidak sihat pada golongan ini.

Bercakap tentang ini, terus teringat Formula 5F yang diguna pakai oleh Yahudi untuk merosakkan islam. (Untuk mengetahui kenapa Yahudi bijak, boleh baca di sini.)

1. Film (Filem)
Filem adalah salah satu industri yang membawa pengaruh besar. Kalau diperhatikan dalam filem-filem barat, pasti akan ada mesej tersembunyi yang disampaikan melalui filem tersebut. Bukan setakat filem, malah rancangan televisyen yang ditayangkan juga kebanyakannya mempunyai unsur-unsur tidak sihat. Contohnya, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Berleluasa dalam rancangan rekaan mereka. Hai, cakap-cakap ni macam tengok je cerita-cerita tu? Ye, memang aku tengok rancangan-rancangan tu. Tengok, fikir dan kaji. Bukan sekadar tengok. Contoh lain dalam NCIS; kalau dilihat, hampir semua penjenayah yang muncul dalam tu dikaitkan dengan pengganas islam. Benarkah bagai dikata? Fikir dan kaji.

2. Family (Keluarga)
Menerapkan amalan pergaulan bebas dalam keluarga itu sendiri. Pembentukan aqidah dan akhlak anak-anak disemai dan dibaja dalam keluarga. Kalau tonggak keluarga tak kukuh, bagaimana pula anak-anaknya? Kesalahan anak-anak tidak ditegur dan dibiarkan hingga akhirnya sukar untuk diselamatkan.

3. Fashion (Fesyen)
Nah, ini adalah satu taktik halus yang kita tak perasan. Seperti isu tudung tadi. Hanya sekadar menutup kepala walhal Allah memerintahkan supaya dilabuhkan tudung hingga menutupi dada. Boleh rujuk ayat 31 surah An-nur. Satu ayat yang lengkap. Bagi yang gemar membaca, boleh cuba baca Manikam Kalbu karya Dr. Faisal Tehrani. Novel yang membincangkan tentang fesyen yang sepatutnya.

4. Fun (Hiburan)
Budaya hedonisme yang semakin menular dalam kalangan kita. Lihat saja rancangan hiburan atau realiti tv yang tersiar, siapa yang terlibat kalau bukan golongan muda? Rancangan berbentuk ilmiah cukup dikira dengan jari tangan. Itu pun tak habis guna. Tapi kalau rancangan hiburan? Campur dengan jari kaki pun tak cukup. Nak dinamakan di sini? Boleh saja. Antara yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas; Akademi Fantasia, Showdown, Malaysian Idol dan anda senaraikanlah sendiri.

5. Food (Makanan)
Ini mungkin kita tak berapa nak sedar. Bagi kita, asalkan ianya bertanda halal, okey, belasah. Alhamdulillah, sekarang dah ramai yang sedar bahawa makanan yang mahu dimakan bukan sekadar ada tanda halal. Tapi kena lihat kandungan dalam makanan, sumber bahan-bahan dan bagaimana makanan itu disediakan. Kalau makanan itu memudaratkan, pun tak boleh dimakan. Teringat kata-kata Abang Su tentang roh makanan yang disediakan. Kalau makanan itu dimasak oleh seorang Muslim, insyaAllah baik rohnya kerana orang itu bersolat dan proses memasak dimulakan dengan bismillah.

Inilah serba sedikit peringatan untuk diriku dan ku kongsikan dengan pembaca sekalian. Formula 5F ini sering disebut oleh pemberi tazkirah waktu di sekolah dulu dan aku rujuk ketepatan formula ini di sini. Semoga bermanfaat. Oh, sebenarnya entri ini adalah kempen untuk;


Mula-mula baca tentang kempen ni di blog Kak Ayu. Menarik..! Kemudian aku cuba cari apakah ada individu yang memulakannya? Ye, ia dimulakan oleh saudari di blog ini. Semoga usaha yang baik ini diteruskan dan sama-sama kita sebarkan.

Tuesday, 18 January 2011

Mari Mengaji

Semalam petang, waktu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis bekerja, aku mendengar siaran Radio Malaysia Selangor. Tertarik mendengar segmen tersebut; Mengaji menggunakan kaedah Al-Baghdadi. Tak tipu, tertarik nak dengar rancangan tu sampai habis. Kaedah baru untuk mengaji. Seronok dan sempurna. Seronok sebab ada alat bantuan dan sempurna kerana bacaan tersebut menitik beratkan hukum tajwid dari segi panjang harkat bacaan.

Dalam pemerhatian aku sepanjang menyemak bacaan adik-adik usrah mengaji dulu, benda pertama yang dilanggar adalah harkat mad asli. Panjang bacaan mad asli adalah 2 harkat, tapi ramai yang baca tanpa harkat. Begitu juga dengan dengung. Perlu dibaca dengan 2 harkat, tapi ramai langgar. Aku dulu suka jugak langgar dua benda ni. Tapi kalau ngaji dengan arwah mak, memang akan kena marah dan-dan tu jugak. Kalau ngaji dengan abah, abah cuma cakap; "haaa..".Kalau dah keluar bunyi tu, maknanya adalah tajwid yang kena langgar tu. Pandai mengaji bukan setakat pandai baca apa yang tertulis pada naskhah Al-Quran tu, tapi betul tajwidnya.

Jadi kepada mereka yang mahu membaiki bacaan al-quran mereka, bolehlah cuba guna kaedah ini dengan bimbingan. Boleh rujuk di sini. Kalau nak pesan Set Al-Baghdadi ni, bolek tekan di sini. Rasanya teknik ini masih diperingkat awal. Anda boleh cuba guna kaedah ini untuk membaiki bacaan anda mahupun mengajarkannya kepada adik-adik atau anak-anak. Serius, seronok nak belajar bila guna teknik ni. Aku yang cuma dengar dalam radio sambil memandu pun boleh siap ikut ketuk-ketuk lagi. Hehehe..


Ini alat pengetuk yang digunakan..

Beku

Assalamualaikum w.b.t....Mula-mula, nak ucapkan selamat datang kepada pengikut ATN yang ke-40, Cik Fazzo. Hai Fazz! Terima kasih kerana sudi membaca ATN. Tiada apa yang luar biasa melainkan hanya kisah kehidupan dan sedikit perkongsian ilmu. Baiklah, sebenarnya baru balik dari Pusat Sumber; melarikan diri daripada kesejukan melampau. Nak-nak tempat duduk aku betul-betul depan pintu bilik mesyuarat. Bila pintu tu dibuka, kesejukan dari dalam bilik tu mengenai aku. Jadilah sejuk kuasa lapan. *Hai Asma..!!!* Tiba-tiba pulak keluar nama Asma kat sini. Hehehe.. Akak tau awak baca blog akak. Tak adil tau sebab awak dah tukar blog awak jadi private.

**Cubaan kedua untuk menyudahkan entri ini**
 *1.55 petang*

Okey, kerja-kerja penterjemahan sudah siap. Maka bolehlah aku menyambung tugas membuat rancangan mengajar dan menyediakan ABM serta nota-nota yang sepatutnya. Oh, berita terkini; kemungkinan aku tidak akan mengajar matematik untuk semester ini kerana tiada yang masuk mendaftar semalam. Yipppiee...! *Lompat tinggi-tinggi* Jadi hanya perlu tumpukan pada subjek yang satu itu. Kelas kali ni semuanya waktu perdana; 11.30 - 1.00. Waktu budak-budak dah lapar. Kelas semester 2 juga tidak dapat dipisahkan. Maka terpaksalah budak-budak Multimedia bersabar dengan budak-budak Rangkaian ye. Hehehehe..

Tak sabar nak tunggu jam 5.00. Nak tengok barang yang aku pesan Jumaat lepas. Dah selamat sampai tengah hari tadi. Barang yang ku pos ke Labuan juga sudah diterima oleh Puan Aini. Harap-harap warna yang dipilih menepati citarasa. Susah sebenarnya nak belikan tudung untuk orang lain. Takut warna yang dipilih tak kena. Sedari, saya dah faham perasaan awak.... Hehehe.. Aku selalu juga kirim tudung dengan Kak Chik bila dia balik kampung. Sebab kat sini payah nak cari tudung berbidang besar yang cantik dan murah. Kadang-kadang aku sendiri takut tudung yang dibeli tu tak sama dengan warna baju yang nak dipadankan. TAPI, aku akan cakap pada diri sendiri; "Alah, kalau tak ada baju yang padan dengan warna tudung tu, belilah baju baru." Boleh??? Itu yang sampai almari tak muat tu. Asyik bertambah je bajunya. Hahaha...

Okey, nak sambung kerja. Ada masa karang, nak letak satu lagi entri dalam ni. Nak habiskan 10 entri yang terbengkalai tu. Berusaha..!!!

Nota: Entri terlama yang aku pernah tulis...

Thursday, 13 January 2011

Residen Masuk...Residen..

**Entri ini telah ditulis pada 11 Januari 2011 tetapi disebabkan Tuan Tanah tak sempat nak letak pada hari penulisan, maka baru hari ini entri ini tersiar**

Hari ini telah diadakan majlis penutup untuk Minggu Silaturrahim (MSR) atau minggu suai kenal pelajar baru I**KLS. Pengambilan Januari tak berapa nak ramai. Mungkin pengambilan akan datang ramai kot. Macam kat UNI*EL jugak; pengambilan paling ramai adalah pada pertengahan tahun. Ini merupakan entri tertunggak yang sudah boleh dimakan kerana cukup tempoh pemeraman selama seminggu. Kehkehkeh... Jadi gaya bahasa kena ubah sikit. Waktu pendaftaran tempoh hari, bila tengok Pakcik Jaga berdiri untuk mengawal lalu lintas, teringat zaman aku jadi FMTS dulu. Serius, satu-satu kenangan kembali ke kotak minda. Tapi cabaran besar nak jadi FMTS ni. Orang lain cuti 3 minggu, ko cuti 1 minggu saja. Sanggup?Belasah...

Sepanjang berada di UNI*EL, sempat jadi FMTS sebanyak 3 kali. Mula-mula diserap dalam Biro Sahsiah, kali kedua diletakkan dalam Biro Residen dan yang terakhir tercampak dalam Biro Aktiviti. Biro Aktiviti paling tak seronok tapi dapat tau banyak benda. Hehehehe... Dan Biro Aktiviti rasanya yang paling sibuk (kot). Hampir semua LDK dia kena uruskan termasuk riadhah. Pecah kepala ok nak fikir aktiviti untuk budak-budak tu. Sampai tak tidur malam pun ada. Sejak mula terlibat dengan MTS, memang sebolehnya tak nak masuk Biro Aktiviti ni sebab bila orang lain dapat balik bilik untuk tidur, mereka akan tinggal di bilik gerakan atau kafe untuk menyiapkan bahan-bahan LDK. Tapi takkan la nak duduk dalam biro yang sama je kan? Tak berkembang pulak. Biar rasa semua bak kata Abang Garang. Waktu duduk dalam Biro Sahsiah dulu, macam bengong-bengong lagi sebab pertama kali kan. Bila masuk dalam Biro Residen, paling seronok walaupun paling banyak masalah. Kerja pun santai je. Santai? Kaki nak tercabut lagi ada. Hahaha... Tapi tertekan bila berhadapan dengan manusia yang tidak bersopan-santun. Serta, mengeluarkan peluh dengan banyakknya. Sebab? Memakai baju formal + jaket biru + berjemur di tengah panas dari pagi hingga ke lewat petang. Habis je bertugas, cilok motor orang lain dan jalan-jalan keliling kampus. Hahaha... buruk perangai... Tapi orang tu redha, tak apa. Tu yang paling penting. Tapi tugasnya teruk waktu hari pendaftaran je. Lepas daripada tu, biasa je. Tak ada kerja maka tolong biro-biro lain.

Itu kisah bertugas pada hari kejadian. Tak termasuk lagi kisah waktu kami 'disekolahkan'. Kadang-kadang sekolah di kem-kem luar. Kadang-kadang sekolah di Dewan Senat saja. Hehehe..Waktu 'disekolahkan' di kem-kem itulah pelbagai macam aktiviti kena buat. Sungguh penat tapi sangat seronok. Dari A - Z dilakukan oleh AJK MTS. Pembentangan perancangan saja mengambil masa berhari-hari. Waktu ni la nak gaduh-gaduh manja dalam LT FSP tu. Tapi kejap je, bila dah keluar dari LT ni, semua ok balik. Kan? Nak cerita banyak-banyak pun, macam tak ada idea nak mengarut apa. Jadi, marilah mengulas gambar-gambar kejadian. Kalau ada gambar yang ulang tayang, tengok je jangan banyak bunyi.


LDK 1... Encik Fasi yang dalam kenangan

Semangat sungguh nak buat wau..! Sampai terbongkok-bongkok

Gambar kesukaan.. "Kembong...katak kembong...katak kembong...katak kempis..."

Urut, jangan tak urut

Riadhah ringkas sebelum bersarapan.."Kiri, kanan, kiri depan belakang.... Kiri depan, kiri belakang, kiri depan belakang..."



Riadhah sebelum mula tawaf UN*S*L

Ini ahli Biro Aktiviti MTS Mei 08/09

Treasure Hunt..

Ha, cari klu tu elok-elok..

"Erm, seddapnya sardin tak masak campur telur mentah ni. Berkhasiat sungguh..!" Kata Abang Fasi kami waktu membancuh makanan istimewa ini.

Sedap hingga tak sempat nak rasa kat lidah. Semua pakat telan cepat-cepat. Denda sebab tak dapat cari semua klu yang ada. Haru sungguh..!

Housemates...!

Bersama moderator

Sebelum mula bertugas

Kami

Macam nak buat kulit depan album je?

Ahli Biro Residen yang asal sebelum pertambahan dibuat. Aku sorang je perempuan..

Faculty Day..

Pemandangan waktu makan

Sementara menanti kumpulan dibahagikan

Nama-nama kumpulan

Ini main tepuk-tepuk. Tak ingat dah apa tepuk-tepuk ni. Kami diajar tepuk-tepuk ni waktu orentasi fasilitator di Kem Nur Lembah Pangsun

Pertandingan debat antara kumpulan

Inilah kerja fasilitator semua bila budak-budak dah habis aktiviti..Mengeluarkan peluh di tempat berhawa dingin sementara menunggu post-mortem

Persembahan daripada kumpulan yang tak menang..

Yang terakhir, pengenalan Biro-biro yang ada..Aku menyorok kat belakang erk..., sape ye nama mamat tu?Lupe dah...hehehe

Pernah jugak catat pengalaman menjadi warga FMTS tu di sini, sini, dan di sini. Semuanya catatan MTS sesi Mei 08/09. Sesi lain tak tulis sebab tak sempat kot. Hahahaha.. Alasan la tu. Gambar-gambar ni pulak bercampur aduk dari sesi yang berlainan. Kebanyakannya gambar-gambar dari sesi Mei 08/09. Nampak sangat sesi lain punya MTS tak berapa nak seronok. Hehehehe.. Taklah, bukan tak seronok. Cuma SAMPAI SUDAH tak dapat gambar-gambar sepanjang kejadian dari biro yang kata nak jual cd gambar tu. Geram je.. Haish...

Wednesday, 12 January 2011

Comel

Sebelum mula menulis, mari berazam; semoga entri ini berjaya ditulis dan ditempekkan di Atas Nama Cinta. Boleh? Berazam bagai... Hahaha... Wajib buat azam ni sebab dah 10 entri berstatus draf terbengkalai. Sebenarnya aku dah hilang fokus nak habiskan kerja padahal tinggal satu je lagi untuk menjayakan kerja tersebut. Tapi bila tak boleh fikir, tak boleh jugak nak buat kerja tu.

Okey, mari sambung cerita. Tengah hari tadi aku telah berjaya mengepos barang kiriman seorang sahabat di Sabah. Alhamdulillah, selesai juga urusan tersebut walaupun pada mulanya merancang untuk membuat urusan pos tersebut hari Jumaat ini. Minggu ni masa senggang tidak berapa banyak. Habis kerja, terus balik nak masak semua. Lepas tu bersiap sedia nak ke rumah Kak Yah, menemankan beliau kerana Abang Mad ke luar negara atas urusan kerja. Masa untuk golek-golek di 'sarang' sendiri terhad. Kalau tak rasanya sempat nak berkejar ke Pejabat Poslaju yang terletak nun jauh di sebelah Tesco dengan syarat kena keluar dari pejabat awal kerana Poslaju tutup pada jam 6.00 petang. Nak keluar waktu rehat tengah hari, memang tak sempat.

Kemudian semalam balik rumah je tengok atas meja ada notis dari Poslaju yang tertulis dengan namaku. Eh, barang apa? Tiba-tiba teringat hari tu terpilih untuk mendapat cenderamata comel dari seorang blogger. Dah sampai kot. Pagi tadi jenguk di ruang sembang, Cik Fairy tinggal komen memberitahu barang sudah dipos. Oh, betullah tu sebab kalau beli barang, selalu aku bagi nombor telefon sekali. Jadi kalau Pakcik Poslaju bagi salam tak ada orang jawab, dia akan telefon tanya. Dekat notis tu kata, "Sila ambil bungkusan anda esok bla..bla..bla..". Alang-alang tu, pos la sekali barang Cik Aini. Eh, Puan Aini. Dan tidak dilupakan, menuntut barang-barang yang dikirim oleh Cik Fairy ni. Mari zass barang apakah yang diberikan oleh beliau....


Bila tengok orang lain buat pertandingan dalam blog, terasa jugak nak buat satu. Tapi musykil dan ragu-ragu menebal dalam fikiran ni. Persoalannya; Apakah ada yang akan menyertai pertandingan itu nanti? Kalau ada, akan ku buat satu. Kalau tak ada, tak payah la. Blog ni tak terkenal pun. Tak ada yang menjengah hari-hari. Hehehe...

Lagi satu, terasa macam nak tukar rekaan (design) susunan (layout) Atas Nama Cinta. Tapi proses menukar ini adalah LECEH dan MENGUJI KESABARAN. Maka niat itu ditangguhkan. Tapi insyaAllah nak tukar juga sebelum ulangtahun kelahiran blog ini menjelma. Mintaklah berkesempatan nak buat sebab nak letak entri pun bercinta, apatah lagi nak tukar design.

Tuesday, 4 January 2011

Cerita Baru

Tahun baru...Azam baru...Semangat baru...Umur baru...Handphone baru

Antara azam baru yang perlu dilaksanakan;
1. Hargai kawan-kawan FB. Caranya? Mengucapkan selamat kepada mereka pada hari lahir mereka. Sebab? Tahun lepas tak berapa nak rajin conteng dinding FB mereka. Berusaha...!!!
2. Hargai pengunjung dan pengikut Atas Nama Cinta. Caranya? Mengalu-alukan mereka dan mengucapkan terima kasih kerana sudi mencemar duli ke sini. Sebab? Tak pernah lagi rasanya ucapkan terima kasih pada pengikut sejak blog ini wujud. Jadi, terima kasih kepada anda yang sudi mengikut catatan ku di sini.

Entri ketiga untuk tahun baru ini. Cerita ceriti tentang hidup seorang Farae. Hehehe.. Budak-budak sekolah dah mula sekolah. Budak-budak I**KLS akan mula mendaftar esok. Maka minggu depan akan mula mengajar. Seronok sebab untuk budak-budak sem 2 boleh bahagi 2. Sebelum ni satu kelas 58 orang. Disebabkan Cik Dayana tanya aku nak kelas sekali ke atau banyak-banyak kali, maka aku pilih la pilihan kedua. Jadinya sekelas akan ada dalam 25++. Waktu nak buat keputusan pilih kelas ni, teringat dekat budak-budak Multimedia. Dioarang cakap; "Cik, hari ni gabung jugak ke dengan Rangkaian? Diorang bising la cik. Tak boleh nak concentrate." Hahaha... Eleh, kamu pun sama je. Ye la, bila dah ramai-ramai mula la duduk ikut geng. Pastu buat kedai kopi kat belakang. Bila suruh jawab soalan, tak puas hati sebab dia je yang kena. Habis, dah kamu punya suara paling kuat, terpaksalah saya uji sama ada kamu berbincang tentang topik yang diajar atau bergosip.

Dan petang ini, Puan Reza meminta aku untuk mengajar matematik sem 1. MATEMATIK??? Ragu-ragu di situ. Seperti yang diketahui, aku memang lemah bab-bab nombor ni. Tapi, belasah jelah. Silibus ada, budak pun tak ramai. Semester 1 je pun, senang (kot). Agaknya memang takdir aku kot nak kena ajar matematik ni sebab waktu praktikal dulu pun manjang ganti kelas matematik. Belum cuba, belum tahu. Nak tahu, kenalah cuba. Berusaha.!!
jangan buat ajaran sesat macam ni dah la..hahaha
Sumber gambar: Pakcik Google

Semalam sakit mata mengadap skrin komputer sebab terlibat dengan pengiraan akhir keputusan peperiksaan budak-budak ni. Sakit mata sebab banyak kotak + nombor. Mula-mula pening jugak sebab banyak langkah nak buat sebelum masukkan markah-markah yang ada ke dalam helaian pengiraan CGPA. Eleh, bukan kena kira satu-satu pun, masukkan je markah tu, kemudian Encik Excel yang kira. Tak susah pun, cuma pening-pening lalat saja. Dari pagi sampai petang berkampung dalam Pusat Sumber. Belajar benda baru.

Saturday, 1 January 2011

6 Bulan Kedua

Baiklah, entri kedua untuk tahun baru. Sebenarnya aku patut buat entri ni tahun lepas, tapi terlupa la pulak. Ini adalah entri susulan untuk 6 Bulan Pertama yang dibuat enam bulan lepas bagi memperingati hari lahir sahabat-sahabat dan orang-orang terdekat. Tanpa bebelan panjang, mari kita lihat siapa yang kena....

Julai
1 Julai - Fatimah, teman serumah dan teman membeli belah yang baik. Tapi bukan co-pilot yang bagus. Hehehe..
5 Julai - Diri sendiri, tuan blog ni yang hari lahir tahun ini suram tanpa ada sesiapa di sisi.
10 Julai - Eiza, adik usrah batch pertama.
12 Julai - Nadia, teman serumah waktu di Tahun Asas dulu.
13 Julai - Cik Nilam, sahabat di Hamidiah juga ahli dorm Badar 05'.
21 Julai - Cik Nab, sahabat di Hamidiah juga.
28 Julai - Mek Za, Bendahari i Rakan yang pemalu. Rindu pada kamu...

Ogos
26 Ogos - Aini, sahabat yang dikenali dalam i Rakan. Dah selamat jadi isteri orang pun.

September
2 September - Faz, adik usrah batch pertama
6 September - Hawa, sahabat di Hamidiah yang baru saja bertukar status bujangnya kepada isteri orang.
24 September - Ain_Sifi, teman rapat sejak Tahun Asas. Rindu pada kamu juga...

Oktober
1 Oktober - Jannah, adik usrah batch pertama
4 Oktober - Fairuz, sahabat di Hamidiah yang sudah tidak ditemui bertahun lamanya.
10 Oktober - Faien, mantan S/U i Rakan, teman serumah juga saudara kembar nama.
25 Oktober - Mynn, yang dikenali sejak hari pertama menjejak kaki di UNISEL. Rindu pada kamu..
26 Oktober - Encik Presiden, bos ketiga saya
28 Oktober - Ila, adik yang dikenali dalam i Rakan

November
15 November - Atin, sahabat Hamidiah yang sudah lama tidak ditemui walaupun kami tinggal berdekatan.
18 November - Shardiansha, salah seorang 'teman jenayah' yang merupakan Tuan Presiden sekarang.

Disember
25 Disember - Nisa Chik, sahabat Hamidiah yang dah macam mak orang bila berjalan dengan adik bongsunya. Hehehe..jangan marah chik..
29 Disember - Miza, adik usrah batch pertama.

Inilah antara orang yang tersenarai dalam kalendar N6085 milikku. Aku yakin dan percaya bahawa ramai lagi yang sepatutnya tersenarai di sini tapi senarai yang terdahulu sudah hilang kerana N2610 diformat. Mohon maaf buat anda yang tidak tersenarai. InsyaAllah akan cuba disenaraikan untuk ucapan tahun ini.
Selamat Hari Lahir buat kalian... Mudah-mudahan rahmat Allah sentiasa mengiringi..Tiada yang terindah selain nikmat Allah yang sentiasa diberikan pada kita setiap masa, termasuklah udara yang disedut dan kesihatan yang baik hingga dapat bertambah usia setahun lagi..Semoga umur yang dilalui dan dikurniakan dimanfaatkan sebaiknya..

Pernah Dapat Bunga Tak?

Hari baru sudah muncul. Semoga hari-hari mendatang menjadikan kita lebih baik dari semalam. Entri pertama untuk tahun 2011. Memandangkan Abang aku tak ada kat rumah, boleh la guna internet dengan senang hatinya. Kalau tak kena berebut dengan dia. Sekarang ni nak kena berebut laptop sekali sebab komputer dia rosak kot. Dah boleh campak parit dah tu. Hahaha...

Dah lama tak buat aktiviti jalan-jalan baca blog ni. Jadi malam ni jalan-jalan la kejap jengah blog yang selalu aku jengah. Banyak sebenarnya tempat lepak maya ni. Tak tersenarai dekat dalam ni dek kerana jumlahnya yang terlalu banyak. Sedang berkira-kira nak buat satu lagi blog yang menempatkan tempat lepak ku. InsyaAllah.. Sedang ku berjalan-jalan, terbaca satu entri di rumah Kak Ayu. Beliau bercerita tentang pengalaman bercuti di Cameron Highlands dan disertakan berkeping-keping gambar. Dalam banyak-banyak gambar, terselit satu gambar bunga-bungaan. Oh, cantiknya bunga-bunga tu.... Secara tiba-tiba teringat kisah satu waktu dulu. Seseorang telah memberiku sejambak bunga ros kuning. Pemberian tidak terduga sebenarnya. Ada sesiapa pernah dapat bunga dengan tidak terduga tak? Perasaannya hanya Allah saja yang tahu. Satu perasaan yang tak dapat digambarkan. Seronok, terharu dan pelbagai macam perasaanlah. Rasa berbunga-bunga gitu. Sejambak pulak tu, bukan sekuntum. Walaupun tidak dibalut dengan cantik, tapi perasaan mendapat sejambak bunga adalah satu perasaan yang luar biasa. Anda bagaimana? Lain orang, lain rasanya kan. Dan, sila ambil perhatian bahawa si pemberi bunga itu adalah seorang yang bertudung ye.