Engagement Fund ;)

Wednesday, 29 June 2011

Cuti

Entri terakhir untuk bulan Jun. Ada kurang lebih 4 entri yang sudah didraf dalam arkib. Akan cuba diterbitkan pada waktu terdekat. Esok, aku cuti sebab dah malas nak kerja. Kenyataan berani mati sungguh. Golongan aku ni, mana ada peruntukan cuti. Kalau cuti, gaji pun tak jalan. Tak apalah, asal dapat mood baru untuk bulan baru nanti. Sebelum cuti, siapkan kerja mana yang patut. Bahan untuk pembentangan 5S waktu perhimpunan bulanan esok pun alhamdulillah dah siapkan walaupun macam tebal muka pulak mintak gambar banyak kali tapi sampai sudah tak dapat. Jadi, aku cuma buat menggunakan semua sumber yang aku ada. Harap-harap pembentangan berjalan lancar dan kejayaan berpihak pada Bahagian Pentadbiran. Hehehe..

Cadangnya, nak ke Pesta Buku Selangor. Bukan nak ke situ sangat pun tapi nak jumpa mereka yang bertuah untuk ditemui. Dah risik-risik dari hari Isnin. Tapi masing-masing macam senyap aje. Kalauoran yang dirisik tu terbaca entri ni, paham-pahamlah nak hubungi Maxis atau Celcom saya ye. Kalau tak, aku merayap sendiri jelah. Macam tak biasa jalan sorang-sorang kan? Saja buat ayat sedih


Terima kasih encik, bagi pinjam gambar.

Friday, 24 June 2011

Teka-teki Nuh Ha Mim

Ketika ini, aku sedang membaca buku ini yang dibeli di Pesta Buku Antarabangsa lepas.
Gambar ehsan dari sini


Beli dah lama, tapi baca tak habis-habis. Mana nak habis, baca sikit, pergi ambik buku lain pulak. Baca buku ni sikit, buku tu sikit, tak habis la bacaan. Tambah pulak sekarang CD Korea baru dah sampai. Terus terhad masa membaca. Hehehe... Ini pun baru saja berjaya menghabiskan novel Bukan Yang Pertama karya Salina Ibrahim. Tebal sungguh novel tu sampai lenguh tangan memegang dan Pengarah tegur; "Tebalnya. Kalau baca Quran kan lagi baik". Selepat kena. Bos, Quran baca jugak, novel pun saya baca jugak.

Dalam 3 Kali Seminggu ni ada 15 cerita pendek yang menguji minda dan menambah pengetahuan. Kalau nak harapkan aku baca buku khusus tentang sesuatu bidang, memang lagi lambatlah nak mengeja membaca. Sedikit perkongsian daripada salah satu cerpen dalam buku ini; Cinta Medeni.

Teka-teki yang diberikan oleh Zanjabila sewaktu Medeni melamarnya. Teka-teki yang dilampirkan oleh Nuh Ha Mim dalam kitabnya.

1
Zanjabila: Apakah kubur yang berjalan bersama penghuninya?
Medeni: Kubur tersebut ialah ikan yang menelan Nabi Yunus sehingga baginda dibawa mengelilingi tujuh lautan

2
Zanjabila: Apakah makhluk yang dpat mengingatkan bangsanya, tetapi bukan dalam kalangan jin dan manusia?
Medeni: Semut dalam kisah Nabi Sulaiman. Semut tersebut bersuara: 'Wahai para semut! Masuklah ke dalam sarang anda semua agar tidak dipijak oleh tentera Nabi Sulaiman dalam keadaan mereka tidak sedar.'

3
Zanjabila: Apakah lima makhluk yang berjalan di muka bumi ini, tetapi tidak satu pun lahir dari kandungan ibunya.
Medeni: Lima makhluk tersebut ialah; Nabi Adam, isterinya Siti Hawa, unta Nabi Saleh, kambing Nabi Ibrahim yang digantikan oleh Allah tatkala keazamannya untuk mengorbankan Nabi Ismail dan ular yang menjelma dari tongkat Nabi Musa. Semuanya lahir bukan dari kandungan ibunya.

Mula-mula baca cerpen ni, aku tertanya-tanya; memang ada ke manusia bernama Nuh Ha Mim ini. Pelik kan namanya? Bila aku Google, muncullah nama 'Nuh Ha Mim Keller'. Beliau merupakan seorang rakyat Amerika yang asalnya seorang Kristian dan memeluk Islam pada tahun 1977. Nak tahu maklumat lanjut tentang Sheikh Nuh Ha Mim ni, bolehlah Google ye. Dan, untuk tahu kisah selanjutnya mengenai cerpen Cinta Medeni dan cerpen lain dalam 3 Kali Seminggu, boleh dapatkan buku ini dipasaran ye. Terbitan Ameen Serve Holdings.

Thursday, 23 June 2011

Tak Kenal Artis?

Pejabat sunyi sebab ramai yang cuti. Bos besar tak ada.  Pagi-pagi tadi, Abang Mokhtar kata; bila kucing tak ada, tikus semua hilang. Muahaha... Aku tak hilang, setia duduk di meja sendiri. Mula-mula siapkan SPC yang bermasalah semalam. Tak banyak pun, cuma CADD Meka Sem 2 dan 3 dan Rangkaian Sem 2 dan 3. Yang lain semua dah siap semalam. Baru buat dua bengkel, pun dah pening-pening. Bos aku buat bengkel lain, tentu lagi pening kan? Dah siap betulkan mana yang patut, ko jangan tanya aku buat apa (matiklah kalau bos baca ni). Hahahaha... Jadi tengah hari tadi, cuma tinggal aku dengan Kak Reen. Maka ke Bantinglah kami untuk makan tengah hari sebab kafe pun tutup seminggu ni. Choi, terlebih-lebih bajet belanja harian sebab kena makan kat luar. Disebabkan menu jimat Pizza Hut hari ini adalah piza, maka Kak Reen tak mau makan Pizza Hut. Terus ke KFC di sebelahnya. Tengah makan tu, Kak Reen kata; "Eh, itu bukan Jambu ke? Raja Lawak." Aku pun panggung kepala padahal tak kenal pun orangnya yang mana satu sambil cakap; "Ye ke Kak? Yang mana satu?" Maka Kak Reen pun kata; "Yang badan besar-besar sikit tu. Patut la tadi Amir(Encik Amir) dengan Awi(Encik Zawawi) kata jumpa diorang dekat Nawie pagi tadi. Ada shooting kot."

Sebenarnya, sampai sudah aku tak pasti mana satu orangnya. Lepas ni baru nak Google. Kahkahkahkah.... Acik tak layanlah Raja Lawak ke Maharaja Lawak ni. Walaupun tak ada Astro, tapi boleh je tengok kat Youtube kan? Masalahnya memang aku malas nak ambik tahu. Boleh? Artis-artis ni Acik kurang sikit. Tapi tak adalah sampai tak kenal sape-sape langsung. Acik kenal artis Korea bernama Kwon Sang Woo apa? Artis jugak kan? Aishwarya Rai dengan Anil Kapoor? Francesca Peter? Artis kan? Huh, semua artis klasik je? Eh, kenal jugak sikit-sikit artis yang budak-budak sekarang kenal macam Alif Satar. Sebenarnya kena ambik tahu jugak, cuma janganlah lebih-lebih. Kurang-kurang pun, boleh buat modal dalam kelas. Kang aku bagi contoh artis Barat kang, budak-budak tak kenal pulak. Kena bagi contoh artis Korea jugak, baru mereka kenal. Meh, kita kenal dengan artis Jepun kategori klasik ni.


Pertama kali dengar lagu ni dekat blog Kak Hana yang pernah bermastautin di Jepun dulu. Agak menusuk jugaklah dai punya muzik dan liriknya. Sebab ianya dalam bahasa Jepun, aku cari dulu maknanya. Kot-kot makna dia tak elok ke hape kan. Nasib baik normal. X Japan ni artis rock Jepun klasik. Kalau tengok maklumat dia dekat Wikipedia, genre dia semua metal. Takut pulok aku membacanya. Video dekat Youtube pun banyak yang kureng dari segi gambarnya. Ini adalah video paling sopan aku jumpa dan sesuailah nak letak di sini. Setakat dengar tapi tak sampai hanyut, boleh lagi.

Gaji Pertama

Dah banyak kali dapat gaji, tapi baru terasa nak tulis tentang gaji pertama. Tak apalah, buat kenang-kenangan sendiri. Jadi, anda yang sudah bekerja, apakah yang anda buat dengan gaji pertama anda? Dulu arwah mak pernah cerita bagaimana terujanya bila mahu mendapat gaji pertama sampaikan arwah atuk kayuh basikal ke Banting menemankan arwah mak ambik gaji. Sekarang, dah tahu perasaan mendapat gaji pertama. Memang seronok sebab duit tu hasil usaha kita sendiri. Sebelum ni, memang aku tak pernah langsung bekerja secara sambilan. Jadi, kerja inilah baru merasa. Mula-mula Bank Islam hantar SMS mengatakan duit dah masuk, terus tak sabar-sabar nak ke bank dan balik rumah. Perkara pertama yang aku buat dengan duit tersebut adalah beri sedikit pada Abah. Sedekah yang terbaik adalah kepada ahli keluarga dan lebih afdhal kalau berikan sedikit hasil titik peluh kepada ibu bapa. Kemudian, barulah aku fikir nak buat apa dengan duit selebihnya.

Orang kata, buatlah sesuatu dengan gaji pertama yang boleh memberikan kenangan selamanya. Waktu tu, memang tak terfikir langsung tentang kata-kata orang ni. Tapi alhamdulillah, aku ada sesuatu yang boleh dikenang dengan gaji pertama ni. Waktu tu, memang tengah meroyan nak membakor. Bakor kek la wei. Jadinya, teruslah cari tempat yang dekat untuk belajar selok-belok kek cawan yang popular tu. Cari punya cari, ketemu dengan satu blog ni. Lokasinya memang terletak di kawasan jajahan aku dan tak jauh dari rumah. Terus daftar diri dan bayar deposit. Selamatlah mempelajari ilmu baru. Itulah kenangan gaji pertama aku. Maksud aku, benda yang tak luput dek zaman. Ilmu, kalau dipelajari dan diamalkan, bertahanlah ia sampai bila-bila.
Ini hasilnya. Terketar-ketar tangan memicit piping bag. Ingatkan senang kacang, rupanya susah jugak. Tapi tak adalah susah tahap gaban. Selama ni kalau nak makan, sedap je pesan pada orang kan, sekarang dah tahulah kepayahan membuatnya. Nak baca cerita tentang ini, boleh tekan sini ye. Selesai satu hal. Hal lain yang sengal adalah, sebaik saja belajar cara menggigihkan diri menekan piping bag tu, terus aku tak amalkan sebab dari sehari ke sehari asyik bertangguh nak beli set nozzle. Bila dah berhajat nak beli dan sampai ke kedai yang menjual, set yang dikehendaki pulak tak ada. Takat tahap permulaan ni, aku tak adalah nak beli nozzle Wilton. Seketul nozzle je harganya mencecah belas ringgit. Nak beli mahal-mahal, takut hangat-hangat tahi ayam je. Akhirnya, aku jumpa satu kedai maya yang jual segala mak nenek peralatan membuat kek. Apa lagi, dengan hanya beberapa klik, selamat satu set nozzle jadi milik aku. Hehehe... Kalau ada yang terasa nak membeli-belah di kedai maya tu, boleh la tekan sini ye. Sekarang, silalah beli oven baru supaya boleh merasa kek segar dari ladang. Kalau cikgu tahu aku tak amal ilmu yang dipelajari ni, mau kena tazkirah ni. Ampun cikgu, lepas ni saya cuba buat ye. Resepi dan tips yang cikgu bagi semua masih tersimpan elok. Hehehe...

Tuesday, 21 June 2011

Melayu Tak Hilang, Tetapi Bagaimana Dengan Bahasanya?

Sudah agak lama sebenarnya mahu menulis sesuatu tentang ini. Sesuatu tentang warisan Melayu. Hang Tuah pernah berkata; takkan Melayu hilang di dunia. Melayu masih ada, tetapi apa sudah jadi dengan bahasanya? Kebelakangan ini, kalau menonton drama atau filem Inggeris di televisyen, aku perhatikan sari kata terjemahan sudah jadi caca marba. Walaupun aku lebih suka mendengar dialog yang diperkatakan, tetapi bila ada sari kata muncul di bawah, mata dengan sendirinya akan teralih juga membaca apa yang tertulis. Penggunaan perkataan untuk terjemahan dialog adalah agak menyedihkan. Terdapat perkataan bahasa Inggeris yang dieja dengan ejaan Melayu terselit didalam sari kata tersebut. Bukankah ini sedikit sebanyak menyumbang kepada kekeliruan para pelajar? Di sekolah, tentulah mereka diajar menggunakan bahasa Melayu baku untuk menulis karangan mahupun perkara berkaitan akademik. Tetapi, di rumah mungkin mereka menggunakan bahasa Melayu pasar yang sudah bercampur aduk perkataan yang digunakan antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Bila bahasa pasar ini pula digunakan bukan hanya sebagai bahasa pasar iaitu dalam percakapan malah dalam bentuk tulisan, satu masalah pula akan timbul.

Sebagai aliran yang paling berpengaruh dalam kalangan masyarakat, media massa sepatutnya mengambil berat tentang perkara ini kerana pendedahan yang dibuat di media massa akan mempengaruhi minda pelajar. Bagaimana mahu memartabatkan bahasa Melayu seandainya kita lebih senang menggunakan perkataan Inggeris yang diMelayukan supaya nampak lebih gah dan bernas sedangkan sebenarnya dalam bahasa Melayu, sudah ada perkataan khas untuk perkataan Inggeris yang diMelayukan tadi? Terlalu banyak contoh perkataan Inggeris yang diMelayukan antaranya;

Bisnes (business) yang sepatutnya adalah Perniagaan
Interviu (interview) yang sepatutnya adalah Temuramah atau Temuduga
Hurikan (hurricane) yang sepatutnya adalah Taufan
Sain (sign; abbreviaton for signature)yang sepatutnya adalah Tandatangan
Skil (skill) yang sepatutnya adalah Kemahiran
Kontagion (contagion) yang sepatutnya adalah Penularan
Ofis (office) yang sepatutnya adalah Pejabat
Fasiliti (facility) yang sepatut adalah Kemudahan

Jadi bagaimana? Penggunaan perkataan tersebut akan mula mengelirukan pelajar dan sekaligus memberi masalah kepada guru matapelajaran Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris. Masalah untuk guru Bahasa Melayu adalah penggunaan perkataan yang tidak sesuai manakala untuk guru Bahasa Inggeris pula, para pelajar menggunakan ejaan yang salah untuk mengeja perkataan-perkataan tersebut. Memang, banyak juga perkataan Melayu yang dipinjam daripada bahasa asing tetapi kalau sudah ada perkataan khusus untuk satu perkataan, mengapa tidak digunakan saja perkataan tersebut? Ada juga perkataan pinjaman daripada bahasa Inggeris yang digunakan secara meluas kerana perkataan atau istilah tersebut memang berasal daripada bahasa asing tersebut. Selalunya, istilah asing ini digunakan secara untuk bidang-bidang tertentu seperti istilah sains atau teknikal.

Penulisan ini bukanlah kerana saya tidak sukakan bahasa asing sementelah bidang pengajian saya adalah Bahasa Inggeris. Tiada sebab untuk tidak menyukai bahasa asing. Tetapi saya menulis kerana bimbang melihat percampuran bahasa yang menjadi-jadi hingga menyebabkan kesalahan tatabahasa dan kosa kata bagi bahasa-bahasa yang diubah tadi. Tak salah belajar dan menggunakan bahasa asing, tapi jangan abaikan bahasa kebangsaan sendiri. Dalam pada mencari bahan untuk menulis, saya terjumpa satu artikel mengenai bahasa Melayu yang pernah diterbitkan di dalam Utusan Melayu. Bolehlah terus ke pautan ini untuk membaca artikel tersebut.

Majlis Kasih Disemai, Bakti Dituai

Minggu sudah, salah seorang orang penting dalam batch memuat naik surat jemputan daripada pihak sekolah kepada alumni. Majlis Kasih Disemai, Bakti Dituai. Tujuan majlis diadakan adalah untuk mengumpulkan semua bekas pelajar dan mewujudkan jalinan kerjasama diantara pihak sekolah dan bekas pelajar. Yelah, masing-masing sudah berkerjaya, sudah tiba masa berkongsi kejayaan dan rezeki yang diperoleh. Aku pun memang dah lama sangat tak ke bumi Hamidiah. Khabarnya sudah banyak perubahan. Cikgu-cikgu pun ada yang dah berpindah. Pokok bunga Tanjung di hadapan Aspuri KL pun dengarnya sudah tiada. Tapi, kenangan sepanjang 5 tahun bernaung di bumi Hamidiah tetap melekat di kotak memori. Mungkin, aku yang sekarang tak wujud kalau tidak ditarbiah di sana. Maahad Cemerlang Budaya Kita, satu moto yang dipegang oleh warganya. Bukan dari segi akademik, malah merangkumi seluruh aspek kehidupan. Cemerlang akhlak mahupun cemerlang iman. Selepas bertahun-tahun meninggalkan bumi Hamidiah, masih cemerlangkah kita?

Jadi, sudikah kiranya anda, warga Hamidiah hadir ke majlis ini? Ini surat jemputannya:
Gigih pengerusi PERAMAH imbas surat ni unutk hebahan. Mula-mula dapat tahu, terus redha tak dapat pergi sebab sebenarnya Sabtu ni ada Program 1 Malaysia yang aku kendalikan bersama Puan Reza. Tapi tadi, bos cakap tangguhkan ke minggu depan. Maka, mentari muncul lagi. Hehehe... Kawan-kawan, nak pergi tak? Marilah.... Aku pasti korang rindu nak menapak ke dalam Dewan As-Syafie tu. Kalau-kalau butiran majlis dalam surat di atas tak jelas, ini aku tuliskan semula.

Tarikh: 25 Jun 2011
Masa: 8.30 pagi
Tempat: Dewan As-Syafie, SMKA Maahad Hamidiah
Pakaian: Batik

Pesta Buku Selangor 2011

Poster ehsan daripada sini

Hai orang kampung...!!! Marilah sama-sama kita memeriahkan Pesta Buku Selangor 2011 ini. Pesta ini adalah anjuran kerajaan negeri Selangor dan insyaAllah memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang di sekeliling kita. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, bolehlah terus ke laman web rasmi PBS di www.pestabukuselangor.my . Jumpa di sana.....

Tak Fokus

Alhamdlillah, selamat sudah seorang lagi kawan mendirikan rumahtangga. Tahniah kepada Kamilah dan pasangannya. Majlis yang sempurna. Pelamin cantik. Bunga segar lagi. Buah tangan bermakna. Makanan meriah dan pelbagai. Walaupun kami tiba lambat, tapi masih sempat jumpa pengantin dan majlisnya masih lagi meriah. Mau tak lambat? Gerak pun terlambat, lepas tu singgah Alamanda dulu cari hadiah. Hehehe... Aten sempat angkut kasut sepasang. Aku tahan diri je daripada mengangkut apa-apa barang sebab bajet untuk kasut dan bajet riang ria sudah digunakan bulan ni. Nak pergi kerja jalan kaki ke? Sendiri fikir.

Bila dah lambat, tak sempatlah jumpa kawan-kawan lain. Nasib baik ada juga geng dari Maahad. Sempatlah jumpa Na, Nadia, Nabilah dan Fiza. Lama juga kami di sana sebelum berangkat pulang.




Sebelum sampai rumah, ada orang sebut-sebut kek keju Resepi Rahsia. Terus aku cadang singgah Resepi Rahsia dulu sebelum tiba di rumah. Hehehe... Sebelum turun kereta, Aten dah cakap; "Fokus ye, kita datang nak makan kek. Fokus." Bila dah duduk dan tengok menu, hampeh. Aku pesan lain, Aten pesan lain. Aku order Vietnamese Beef Noodle Soup dengan Flat White Coffee sementara Aten order Seafood Pasta dengan Iced Water. Dah, tak fokus. Eh, nama menu ni aku belasah je, bukan nama yang tepat ye. Lupa sudah. Hahaha... Akhirnya, masing-masing tak habis pun makan sebab perut macam dah penuh sangat. Sebab banyak lagi, maka hantar bungkus. Sebelum balik, aku tapau juga kek untuk Abah dan abang-abang. Selalu makan sedap sendiri aje, tak ajak Abah pun. Kali ni belikan sesuatu untuk mereka. Biar rasa sama-sama.

Pertama kali rasanya, keluar dengan Aten dan balik ketika matahari masih memancar. Tahniah untuk kami. Hahaha... Malamnya, memang aku flat betul. Sakit kepala yang dahsyat sampai terpaksa basuh kepala sebelum tidur tu. Masin mulut ko Ten kata kopi tu boleh buat orang tumbang. Nasib baik semalam tak ada kerja sangat. Cuma khidmat diperlukan untuk mengeluarkan keputusan peperiksaan. Ini pun baru je habis pening melihat SPC. Dari folder ni, kena copy ke dalam folder tu, kemudian ubah nama ikut dalam Maklumat Modul. Mula-mula pening jugak. Tapi sebab I kan power, maka tak ada hal punyalah! Masuk bakul angkat sendiri gamaknya. Hahaha...

Friday, 17 June 2011

Pakai GPS pun boleh sesat...

Kawasan institut dah mula sunyi kerana budak-budak beransur pulang ke kampung halaman masing-masing. Mereka akan bercuti selama kurang lebih sebulan sebelum mula semester baru. Peperiksaan terakhir adalah pada Rabu lepas. Kertas BI semester 2 adalah pada Selasa petang dan kertas BI semester 1 adalah pada Rabu pagi. Macam biasa, pantang aku meronda, masing-masing pakat angkat tangan nak tanya. Tanya macam mana nak buat, tak apa jugak. Ini tanya jawapan. Apakah? Bila tengok soalan semester 2 buat pertama kali, aku lega sebab semua yang diajar adalah keluar. Memang syukur sangat. Tapi pada masa kejadian, aku terasa nak siku sorang-sorang bila mereka tak ingat apakah yang dimaksudkan dengan abbreviation. Ada sorang tu tanya; "Miss, abbreviation ni apa?" Aku dah pandang dia sampai tembus. "This is the first topic on your syllabus. I even gave you a quiz on this topic." Sekalik dia jawab; "Ye ke Miss? Ada buat kuiz ke tak pun, saya tak ingat dah." Waktu tu memang aku tak jadi nak bagi hint terus tentang apakah yang dimaksudkan dengan abbreviation. Ekau pikirlah sendiri. Susah payah haku tanda kuiz diorang dan pulang balik pada mereka dengan harapan membantulah bila nak periksa nanti. Harammm...

Lantak situ. Ramai jugak yang tanya dan aku tak adalah nak tolong sangat pun. Cuma bagi hint gitu-gitu je sebab Ketua Pengawas tu pandang baekkk punya kat aku. Dia takut aku tolong jawabkan untuk budak-budak kot. Hahaha... Tapi budak-budak Raj tak ramai yang bertanya. Adakah kerana Raj garang maka mereka tak berani nak angkat tangan dan tanya macam-macam? Hanya mereka yang tahu. Semester 1, tak berapa ramai nak tanya. Soalan semuanya tentang grammar. Senang kacang je. Grammar biasa-biasa, bukan grammar tahap gaban. Ini pun aku banyak la juga bagi hint sebab aku faham tahap diorang macam mana. 

Tarikh akhir hantar markah adalah 21 Jun. Tapi semalam aku pulun tanda semua kertas dan buat sasaran; 'kalau aku habis tanda semua soalan ni, aku nak reward diri dengan handphone baru balik kerja karang.' Over kau, beli telefon bimbit baru sebab dapat habis menanda kertas peperiksaan awal. Kahkahkah... Aku berjaya menanda sampai habis! Maka terus aku bergegas balik nak cari telefon baru. Gila kentang!!! Kedai Nokia yang aku pergi dulu, dah tak meriah. Maka aku singgah ke The Store sebab kat situ banyak gerai-gerai kecil jual telefon. Memang dah buat kajian tentang satu model ni. Memang dah tertarik habislah ni sebab dia ada warna hijau. Sekalik semalam, aku tanya pada Cik tu dia kata tak ada warna hijau. Alaaaaa... nak warna hijau. Macam fikir lama juga sebab dia pergi bawak keluar model lain Makcik Norkiah beserta model  Brother Eric, Uncle Sam, Kak LG dan juga Pakcik MatDolah. Terus haku tak tau nak beli yang mana satu. Pulak tu, model yang aku suka tu memang tak ada GPS bagai dan model-model yang dia promosi semua ada GPS belaka dan harga pun masih dalam bajet. Blank terus..... Lama juga aku bersoal jawab dengan dia sebelum minta diri. Haish... camano ni? Aku tak adalah heran sangat GPS tu sebab pernah guna GPS, tak jumpa jugak jalan yang dicari. Baik aku minta khidmat Pakcik Google Map je kan? Tapi, sekarang aku tak tau dah nak beli yang mana satu sebab agak tergugat jugalah dengan telefon berGPS yang harganya lebih kurang dengan yang tiada GPS tu. Payah-payah, aku laburkan duit tu kat Hajaba karang. Diskaun 70% untuk baju-baju dia yang rakyat marhaen macam aku tak mampu beli dengan harga biasa. Hehehe...

Dulu, haku berangan nak beli model Kak LG yang ni;
Gambar ehsan dari sini

Tapi lepas timbang, tambah, tolak, darab dan bahagi, aku lupakan saja hasrat murni tu sebab harga dia macam tak berbaloi. Memori dalaman pun tak banyak untuk aku yang suka simpan mesej orang buat pekasam ni.

Lepas tu aku nampak Makcik Norkiah tunjuk model ni.
Gambar ehsan dari sini

Keypad besar dan ada skrin sentuh. Tertarik jugak walaupun tak ada warna hijau. Warna ungu lembut tu pun cantik dah. Merah jambu? Tak berapa nak kenan. Tapi bila baca dalam forum, ada banyak masalah, terus tak minat dah.


Disamping model ramping atas ni, aku terkenan juga dekat model ini...
Gambar ehsan dari sini

...sebab dia ada warna hijau. Tapi dia cuma guna skrin sentuh, tak ada keypad. Sebab dia ada warna hijau, aku letak juga dalam senarai menunggu. Harganya pun masih boleh tahan.


Akhirnya, inilah dia rupa model Makcik Norkiah yang buat aku tak lena tidur. Tak lena la sangat kan. Hahaha...
Gambar ehsan dari sini

Ciri-ciri dia bagus juga. Kamera 5 megapixel, ada flash, memori dalaman yang besar dan ada QWERTY keypad. Ada 3G jugak tau walaupun tak ada GPS. Pilihan warnanya pun menarik dan paling penting, dia ada warna hijau. Malangnya di Banting tak ada yang hijau ke memang kat Malaysia tak ada warna hijau? Aku rasa ada, cuma susah nak cari kot. Harga, masih dalam lingkungan model Norkiah lain yang tersebut di atas.

Jadi, macam mana? Aku bukan jenis yang kejap-kejap tukar model baru. Kejap-kejap tak lena tidur tengok telefon teknologi baru di pasaran. Tak.... Aku jenis yang pakai telefon sampai jahanam, baru fikir nak beli baru. Itu pun payah betul nak buat keputusan sebab kalau boleh, biarlah beli yang harganya tak terlalu mahal dan boleh tahan lama. Guna untuk telefon dan SMS je pun. Kalau ada kamera, bolehlah aku klik-klik tanpa segan silu. Satu kelebihan di situ. Internet, tak layan sangat sebab lagi masyuk mengadap laptop. Beli ikut kemampuan, bukan kemahuan. Bila dah rasa susah payah cari duit, barulah kita lebih menghargai duit yang dibelanjakan. Jadi, masih belum buat keputusan. N6085 aku ni pulak, makin nazak nampaknya. Dah sebulan lebih jugaklah dia tak bunyi. Haritu aku ada hentak dia sekali. Tiba-tiba dia berbunyi balik. Memang syukur sangat sebab sebelum tu dah baling dan campak, tak bunyi jugak. Tapi, langit tak panas hingga ke petang. Sehari je dia bunyi, lepas tu senyap balik. Terbaru, getarannya macam kejap ada kejap tak ada. Selain tu, Bluetooth memang dah lama kiok. Semoga muncullah X5 warna hijau di Banting ni.

Monday, 13 June 2011

Pakcik Mata Sepet

Minggu terakhir sebelum periksa, aku masuk juga kelas untuk buat ulangkaji terakhir dan bagi tips sikit pada budak-budak. Tips la sangat. Hahaha... Soalan periksa adalah dari HQ maka tak dapek den nak nolong bagi klu. Cuma boleh bagi tips berdasarkan soalan-soalan peperiksaan yang lepas jelah. Kaji-kaji sikit, kasi teliti dan dapatlah kesimpulan. Dalam pada berbincang tu, ada satu petikan yang membincangkan tentang perkahwinan tetapi tidak diberitahu secara terus bahawa petikan itu mengenai perkahwinan. Mereka perlu membuat inferens berdasarkan klu yang disebut. Adalah satu perkataan ni; aisle. Aisle ni kan laluan untuk sampai ke tempat lafaz ikrar perkahwinan dibacakan. Dorang tak dapat nak bayang jugak rupa aisle ni macam mana walaupun aku dah terangkan. Akhirnya, aku bagi contoh satu filem Inggeris yang ada tunjuk aisle ni. Alah, filem-filem yang ada babak perkahwinan, mestilah ada benda alah aisle ni. Filem-filem yang aku sebut, semua diorang tak pernah dengar. Aku dah mati akal dah. Tetiba aku teringat satu cerita Korea. Terus aku tanya; "Did you watch Boys Over Flower? During wedding of the hero with one of the female character?" Barulah satu kelas; "Oooohhhhhh..." Cait, kena bagi contoh drama Korea jugak baru diorang tahu.

Agaknya kalau aku bagi contoh cerita Hindustan, semua pakat nganga kot sebab populariti Hindustan tak sehebat Korea. Aku pun minat jugak Korea ni, tapi tak adalah fanatik sangat. Cuma bila sekali dah tersampuk, memang payah nak baik. Bahaya juga tu. Bila tersampuk Korea ni, sampai dapur tak berasap dan sanggup tak tidur kau. Ada jugaklah pelakon yang aku suka tengok bila dia berlakon dan cuba untuk menonton semua drama lakonan dia. Masaalahnya, kebanyakan drama yang dia berlakon, mesti pengakhirannya anti klimaks. Stress betul. Tak dia mati, heroinnya pulak yang mati. Haish... Lagi satu, kebanyakan drama dia adalah menyedihkan tapi mempunyai lagu tema yang sedap dan mendayu-dayu. Siapakah gerangan Pakcik Mata Sepet yang dimaksudkan? Taddaaa....

Ini drama Stairway to Heaven. Jalan cerita dia memang menyakitkan hati dan pengakhirannya menimbulkan kemarahan. Dah susah payah nak jumpa balik heroin ni, siap kahwin bagai, tiba-tiba heroin mati pulak. Arggghh... Nak ulang tengok pun tak gamak sebab buat orang sakit hati.

Ini pulak Into The Sun. Payah ya amat nak cari CD drama ni. Nasib baiklah ada seorang hamba Allah tu berjaya carikan untuk aku. Cerita yang ini okey sebab dia kelakar dan nampak segak berpakaian seragam. Hehehe... Bahagian sedih dan menyakitkan hati tetaplah ada tapi pengakhirannya menggembirakan sebab beliau berjaya berkahwin dengan heroin.

Ini Sad Love Story yang pernah ditayangkan di TV2 dulu. Cerita memang hampeh dan sakit hati jugak macam Stairway to Heaven. Gila banyak rintangan dia tempuh daripada heroin tu buta sampailah terpisah sampailah jumpa balik heroin tu dalam keadaan celik. Bila dah jumpa, halangan tetaplah tak berkurang sebab heroin tu ingat dia dah mati dan tengah cuba bercinta dengan kawan baik dia sendiri. Apakah? Bonus tekanan adalah bila dia akhirnya mati. Argghhh.... Sebab dia yang berlakon dan lagu-lagu temanya sedap, aku tetaplah menerima dengan hati terbuka. Kahkahkah...

Seterusnya, Bad Love atau Cruel Love. Ini pun sengal jugak. Mula-mula kerek, lama-lama suka. Elok-elok berbaik, dapat tahu kekasih lama si heroin ni adalah abang ipar Pakcik Mata Sepet ni. Gaduh kejap. Lepas tu berbaik. Lepas tu tak puas hati. Berpisah pulak. Nasib baik tak ada yang mati di pengakhiran cerita.

Sebelum beralih ke drama terbaru beliau, ini adalah Cinderella Man. Kembar yang terpisah sejak lahir dan bertemu secara tak sengaja dalam satu pergaduhan. Macam biasa, bila ada aura-aura cinderella ni, mestilah sorang kaya, sorang biasa-biasa. Kelakar jugak jalan ceritanya. Cuma akhirnya, kembar yang kaya ni mati sebab jantungnya tak dapat nak diselamatkan. Nasib baik sorang je mati. Kalau dua-dua mati, mau geram jugak.

Ini drama terbaru pakcik mata sepet bernama Kwon Sang Woo ni yang bertajuk Daemul. Hak ni, aku tak tengok lagi jadi tak bolehlah nak ulas apa-apa ye. Tunggu DVD sampai dan habis tengok, barulah boleh bagi tau.

Walaupun pelakon-pelakon baru muncul dengan banyaknya dalam industri perfileman Korea, aku tetap jugak sokong pelakon lama ni. Hehehe.... Gambar-gambar di atas diperoleh dari sini, sini, sini dan sini. Maklumat lanjut, boleh jengah ke laman web yang tersebut ye. Akhir kata, Korea, Korea jugak. Solat jangan abai. Tak masak, tak tidur tak apa. Tapi tak solat, TAK BOLEH! Ini ulasan peribadi aku, kamu orang janganlah emosi ye. Hehehe...

Sunday, 12 June 2011

Jadi Doktor Gigi Boleh Kaya-raya?

Tiap bulan, sebaik saja gaji masuk, memang aku akan ketepikan sikit untuk masuk tabung. Karang Tabung Haji tinggal tabung je. Hahaha... Sebab budak-budak tengah periksa dan tak berapa ada kerja, maka minta kebenaran dengan bos nak keluar kejap petang Selasa lalu. Macam biasa, kalau aku pergi sorang, kalut dan kelam kabut tu memang lain macam. Semua orang aku jeling sebab aku rasa semua orang tu macam berniat jahat. Sekarang bukan boleh percaya, macam-macam benda jadi. Dengan simbah asidnya, dengan ragutnya, heh, macam-macamah. Kalau korang terserempak aku kat Banting sorang-sorang tunjuk muka cuak, janganlah tegur sebab insyaAllah aku tak perasan orang. Kalut punya pasal. Niat nak ke TH je. Tapi tengok jam, masih awal. Singgah Klinik Tiew dulu. Memang dah lama berhajat nak buat pemeriksaan gigi tapi asyiklah lari bajet dan malas melanda. Kalau ikut sebetulnya pun, memang kena jumpa doktor gigi 6 bulan sekali. Waktu naik tangga tu, aku cepat-cepat naik sebab dalam otak ni dok fikir; 'macam mana kalau tiba-tiba ada orang samun aku waktu tengah naik tangga ni? Orang bukannya nampak'. Separuh jalan, ada sorang lelaki naik tangga yang sama. Aku sempat jeling dan percepatkan langkah takut-takut orang tu berniat jahat. Rupanya orang tu pun nak dapatkan rawatan jugak. Kahkahkah....

Sampai-sampai, tak ada orang langsung. Alhamdulillah, tak perlu tunggu lama gamaknya. Setelah daftar dan ditemu ramah keadaan kesihatan hari ini, disuruh duduk sementara menunggu giliran. Lama juga tunggu dipanggil. Rupanya ada orang kat dalam dan cuma ada seorang doktor bertugas. Masuk-masuk, terus ke bilik rawatan. Seorang doktor berbangsa Cina sedang menanti. Satu perkara yang bagus di sini adalah doktor-doktornya ramah. Setelah diperiksa, tiada masalah gigi berlubang seperti disangka. Manalah aku tau, aku rasa tak selesa. Ingatkan lubang dah gigi ni. Cuma ada karang gigi dan perlu dibersihkan. Aku redha saja sebab lepas ni memang dah malas nak cari masa lagi. Lagipun sementara ada duit. Macam biasa, bila kerja pembersihan dilakukan, ngilu dan sakit akan terasa bersilih ganti. Aku rasa aku dah tau kenapa orang takut nak jumpa doktor gigi. Sebabnya, bila rawatan dijalankan, geselan antara peralatan yang digunakan dengan gigi menimbulkan satu rasa ngilu yang dahsyat sampai boleh teringat-ingat walaupun sudah 3 hari berlalu.

Tapi bagi aku, tak adalah sakit mana pun cuma normallah kalau dia cuci gigi tu kena korek-korek dan keluar darah sikit. Selama ni, aku tak berapa nak takut jumpa doktor gigi Cuma cuak aje sebab dengar ketakutan melampau orang lain apabila disuruh jumpa doktor gigi. Bila dah besar ni memanglah tak pernah pergi berteman. Bila sorang-sorang, cuak dia lain macam la sebab tak ada teman berborak dan bergelak ketawa sebelum masuk jumpa doktor. Kalau nak jumpa doktor gigi, memang pergi ke Klinik Tiew sebab dari kecik arwah mak bawak kitorang ke sini, sejak klinik dia kecik dan menyewa bangunan lain sampailah sekarang dia dah ada bangunan sendiri. Kecik-kecik dulu asal jumpa doktor je mesti dia bagi sesuatu macam buku mewarna atau ubat gigi percuma. Hehehe... Bila dah besar panjang ni, baru sedar diri bahawa bukan mudah nak dapatkan rawatan di klinik gigi swasta. Ongkos tinggi. Dulu masih ditanggung oleh mak atau abah, maka tak adalah rasa apa-apa. Sekarang bila dah merasa cari duit sendiri dan keluar duit sendiri, barulah rasa bersyukur sangat-sangat dengan nikmat yang telah dirasai. Alhamdulillah, terima kasih mak, terima kasih abah.

Gambar diambil daripada laman web Klinik Tiew

Kos rawatan untuk hari tersebut adalah RM80 tunai. Kalau pemeriksaan biasa, tak tahulah kena berapa. Mau tak kaya? Temujanji seterusnya adalah pada bulan Disember nanti. Ada sesiapa nak jadi teman berborak dan bergelak ketawa sebelum aku jumpa doktor bulan 12 nanti?

Berjaya Merajinkan Diri

Hari ni dah hari Ahad, tapi baru nak letak kejadian yang berlaku hari Khamis sudah. Biasalah, sibuk buat-buat sibuk memanjang. Jadi, hari Khamis lalu aku berjaya merajinkan diri memasak Spiral Pasta yang berbaki di dapur sana. Bahannya, memang aku campak-campak ikut apa yang ada dalam peti sejuk. Ingatkan nak masak pasta dan lauk sikit untuk Abah makan nasi. Pasta ni Abah tak berkenan sangat. Tengah-tengah duduk dapur, dengar bunyi motor dan tak lama tu; "Assalamualaikum.....". Kelam kabut aku lari cari tudung. Nasib baik pakai baju lengan panjang. Oh, rupanya Paman Apit. Menjemput ke majlis bacaan yasin di rumah Bik Tar dan memberi berkat. Dengan demikian, masuklah semula peria dan tempe yang baru keluar dari peti sejuk, ke dalam peti sejuk. Kalau aku masak jugak, siapa pulak nak makan kan? Dapat Jangan Gori atau dalam bahasa Melayunya, Gulai Lemak Nangka Muda dan Rendang Daging. Wallahh...! Tambahan selera, aku buat Gereh Tengeng Kukus. Sebab ada lauk sedap dan pasta yang banyak, maka banyaklah lebih pasta yang dimasak itu dan aku pun bawaklah satu Tupperware ke pejabat keesokan harinya. Mereka kata, sedap. Aku rasa pun, okeylah sebab kali ni cukup garam, tak macam spaghetti yang aku masak tempoh hari. Hehehe...

Nak resepi, tengoklah kat bawah ni. Ini main agak-agak je tau. Kalau tak jadi, jangan marah hah....

Pasta Goreng

Bahan-bahan;
400gm pasta (spiral/makaroni/penne/vegeroni/elbow)
Satu cawan sos pasta - aku buat guna 3 biji tomato + sebiji capsicum + selabu bawang besar + 3 ulas bawang putih + italian herbs + lada hitam + minyak zaitun. Belah semua benda, tabur herba dan lada hitam, renjis minyak zaitun dan panggang dalam 10 minit. Kemudian kisar.
2 labu bawang besar - potong dadu
3 sudu besar cili giling
1 paket daging kisar Ramly (ayam atau lembu)
Semangkuk bebola ayam (atau bebola daging)
2 batang seleri (boleh tukar kepada sayur campur atau hirisan lobak merah)
100gm keju mozarella
2 sudu sos tomato
1 camca serbuk oregano
1 camca lada hitam
garam secukup rasa
minyak zaitun untuk menumis

Cara memasak;
1. Rebus pasta hingga lembut kemudian ditoskan airnya.
2. Tumis bawang hingga layu. Masukkan cili giling dan tumis hingga cili masak. Boleh tambahkan sedikit air pada tumisan cili kalau terlalu kering.
3. Sebaik saja cili masak, masukkan daging kisar dan gaul rata hingga keluar air. Masak sehingga air dari ayam tadi kering.
4. Masukkan sos pasta dan sos tomato. Bila dah mendidih, masukkan bebola daging dan biar seketika. Sesudah itu, masukkanlah sayur tadi. Gaul dan gaul. Kemudian perasakan masukkan garam dan lada hitam.
5. Akhirnya, masukkan pasta dan gaul sebati barulah masukkan oregano dan keju mozarella. Bila semuanya dah mesra dan keju dah agak cair, bolehlah tutup api dan hidangkan.

Rasanya cukup semua bahannya. Kalau ada tertinggal apa-apa, kome tambah sendirilah ye. Hehehe... Kat bawah ni pulak, Gereh Tengeng Kukus. Orang Melayu panggil ikan masin apa ek? Lupa pulak. Orang Jawa kata ini gereh tengeng dan gereh ini je yang sedap untuk dikukus. Mungkin kerana ia tak terlalu hanyir kot.
Senang je nak buatnya. Buang kepala ikan masin dan basuh bersih. Letakkan dalam pinggan atau mangkuk yang sesuai untuk dikukus. Hiriskan bawang merah dan putih beserta cili mengikut kuantiti yang disukai. Taburkan atas ikan masin. Kukus dalam 5 minit. Kalau nak masak nasi, agak-agak nasik dah nak kering, masukkan je dalam periuk nasi dan tunggu nasi masak. Mudah dan menyihatkan sebab tak perlu menggoreng. Tapi kalau dah nama makan nasi berlaukkan ikan masin, aku jamin korang akan makan nasi bertambah. Jadi, fikirlah sendiri.

Thursday, 9 June 2011

Puasa

Ha, tengok tajuk tu. Dah habis ganti puasa? Hari ni aku mula puasa balik lepas lama sangat tinggal ibadah yang satu ni. Ganti puasa sebetulnya sebab aku dah lupa sama ada aku dah habis ganti atau belum. Kemana menghilang catatan sudah diganti tu, tak dapat nak dipastikan. Jalan selamat, ganti jelah. Bila dah lama tak puasa, dugaan dia besar betul. Perut pun rasa perit semacam je lepas tu tak boleh bau makanan sikit, mulalah saliva merembes dengan banyaknya. Macam budak kecik baru nak belajar puasa je gamaknya. Hahaha... Lepas tu teringin nak masak macam-macam untuk berbuka karang. Oh, bila oven nak baik ni? Nak membakar lasagna.  Nak buat kek coklat. Nak buat kuih bakar. Nak buat......... Errr, kalau rajin la. Hehehe...

Setiap kali puasa ni, mesti akan teringat kenangan berpuasa sunat Isnin dan Khamis waktu sekolah dulu. Nostalgia betul. Petang-petang sementara tunggu DM bukak, baca surat khabar dulu. Bila DM dah bukak, ambik makanan siap-siap dan tutup dengan pinggan sebab nanti lalat hinggap. Lepas tu barulah nak pergi mandi ke basuh baju ke. Kadang-kadang kalau ada duit lebih, pergi kantin Pak Wan beli air atau roti. Selalu memang panjang barisan nak beli air ni. Tapi sebab dah sampai, beratur jelah dengan sabar. Kalau hari Isnin, lepas buka cepat-cepat solat maghrib dan terus ke masjid. Kalau hari Khamis, cuma solat di musolla dan terus ikut baca yasin berjemaah. Kenangan....

Hajat hati, memang nak masak macam-macam. Kang tetiba angin malas aku datang waktu balik kang, aku singgah je mana-mana kedai makan tapau makanan. Kahkahkah... memang patut oven aku merajuk.

Tuesday, 7 June 2011

Ambil Berkat

Hujung minggu sudah, adalah hujung minggu yang agak terisi kerana berjaya memenuhi undangan maya perkahwinan salah seorang senior di Hamidiah dulu. Eh, kalau dapat undangan, kena penuhi kan? Kecuali ada keuzuran. Minggu lepas tak dapat datang kenduri Shaz sebab ada Kursus 1 Malaysia tu. Bila ada orang tanya, Aten pergi bantai kata aku ada gotong-royong. Hahaha... Terima kasih kepada Cik Aten kerana sudi kondangan bersama saya. Kami bertolak pun dah lewat sebab aku masak dulu sebelum pergi. Pung..pang...pung...pang...tak perasan dah pukul 11 lebih. Solat zuhur dijalanan dan tiba di MAEPS hampir 3 petang. Erk, ye ke Ten? Ke awal lagi ek? Ringkas tapi meriah majlisnya. Para penanggah dan penyambut tetamu adalah sangat ramah dan prihatin. Cuma sebab kami tiba lewat, maka makanan sudah tidak meriah. Sambil makan, sambil mengingat balik senior-senior yang sama Batch dengan Kak Shyda ni. Lama juga kami makan sebelum minta izin untuk pulang. Satu kelainan pada majlis ini adalah, pengantin setia duduk di singgahsana menanti sapaan tetamu. Selalunya lepas aje makan beradab pengantin akan berjalan-jalan jumpa dengan tetamu. Biasanyalah.... Macam ni pun bagus juga sebab kalau ada tetamu yang nak bergambar dengan pengantin, senang. Tak payah nak berkejar cari pengantin di lautan tetamu. Aku ni alang-alang dah sampai, maka haruslah nak ambik gambar dengan pengantin. Ambik berkat orang kata. Hehehe... Jenuhlah aku mengajak Aten naik pentas nak bergambar walaupun sebenarnya aku pun malu jugak. Tapi, tak boleh, kena jugak naik dan bergambar. Punya la aku tarik Aten ni. Hahahaha... Mintak maaf Ten. Terima kasih juga kerana sudi naik ke pentas.

Dah ambik gambar dan salam-salam, jumpa kejap akak-akak dorm dulu. Lepas tu terus balik. Waktu nak keluar dari dewan, ada penanggah yang menunggu di pintu keluar bersiap sedia mengagihkan buah tangan kepada tetamu yang datang. Ini yang aku kata ramah dan prihatin sebab mereka memastikan para tetamu tak balik dengan tangan kosong.

Lepas tu, kami merayap ke Alamanda. Perut rasa macam tak kenyang lagi ditambah dengan mulut dua manusia ni terasa-rasa nak makan kek Secret Recipe. Terus menghala ke Putrajaya dengan bantuan penjajah kawasan jajahan tersebut, tak lain tak bukan Aten le. Meks tak khatam lagi jalan di Putrajaya ni. Niat di hati, nak beli Corelle pinggan mangkuk baru. Aku kata kat Aten, dah bosan makan guna pinggan bulat. Sekali Aten balas balik; "Ko jangan nanti cakap kat aku ko dah bosan pulak makan guna pinggan 4 segi ni Sazoh." Kahkahkah... Lama juga pusing-pusing dekat situ. Tidak la tergamak nak angkut Corelle sebab harganya mak aih! RM 500++ satu set. Ada berani? Akhirnya tak jadi pun beli. Terus jalan dan jalan dan jalan sampai jumpa kawasan kasut. Habis la, aku dah nampak kasut. Tambah parah lagi bila ada diskaun hingga 50% untuk jenama yang boleh dikatakan mahal. Apa lagi, pilih la weh. Dapat sepasang warna hitam. Selama ni asyik beli kasut warna coklat je. Bila ada majlis rasmi, dah tak ada kasut hitam.

Lepas melabur di Parkson, terus cari Secret Recipe. Habislah, aku dah pandai makan Secret Recipe. Sebelum ni cuma pandai makan kek dia aje. Sekarang semua makanan dia aku dah pandai makan. Niat asal nak makan kek, sekali terpilih menu lain pulaknya. Chicken Cordon Bleu and Iced Chocolate with Whipped Cream for me and Chicken Steak Burger and Iced Lemon Tea for Aten. Keknya mana??? Hoi, ko dah la makan ayam tu macam kena paksa, ada hati nak makan kek lagi? Hahaha.... Tamak punya pasal, pesan ayam berinti keju tu. Lepas tu muak dan macam nak muntah.
Dekat Secret Recipe Banting, dia tak bagi keropok ni sebab dia tau keropok ni bersepah jual kat Banting. Pergi ke Kerepek House, boleh dapat RM 3 sepeket besar. Apa orang panggil ek? complimentary snack ke? Sebab semua meja dapat keropok kacang dal ni. Ye, nama dia adalah keropok kacang dal ye.
 Aten's plate
Mine

Sebab dia mahal, aku habiskan jugak. Bila aku tanya Aten sama ada nak kek atau tak berulang kali, dia cakap; "Dah la Zoh, kat Banting kan ada Secret Recipe." Baekk... Hehehe... Lepas tu terus singgah solat asar dan callo balik rumah. "Tiap kali keluar dengan Sazoh je, sembahyang fardhu aku semua atas jalan." Kehkehkeh... Terima kasih lagi sekali Ten. Projek seterusnya adalah walimatulurus Milah 19 Jun ni. Na, ko nak join kitorang tak?

Friday, 3 June 2011

MasyaAllah..!

Tiba-tiba teringat dalam peti sejuk ada kerang pemberian nenek beberapa minggu lalu. Terlupa langsung. Agak-agak elok lagi tak ye? Sebab dia duduk dalam laci sejuk beku, maka aku tak perasan ada makhluk bernama kerang dalam tu. Minggu ni, Abah ke kebun nenek. Maka tak masaklah aku sebab nenek akan membekalkan nasi dan lauk pauk sekali. Mujurlah aku tak memborong sayur minggu ni. Tidaklah terbuang. Cadangnya nak buat Meatball Pasta hari ni untuk habiskan stok tomato, capsicum, parmesan cheese dan spiral pasta yang masing-masing duduk berkampung dalam peti sejuk dan kabinet makanan. Semoga rancangan menjadi...

Waktu ketuhar aku rosak nilah, teringin nak membakar kek pulak. Sengal betul. Waktu dia elok haritu, malas tahap gaban. Haih... Agak-agak kalau aku buat kek red velvet versi kukus, dia menjadi tak? Masih berfikir-fikir sama ada patutkah diteruskan rancangan tersebut atau tidak. Alhamdulillah, semuanya dah selesai. Markah dah siap isi dan masukkan dalam Public Storage. Tinggal nak dapatkan pengesahan Ketua Bahagian dan Ketua Jabatan untuk Rekod Mengajar dan tunggu saat tibanya peperiksaan akhir jelah ni.

Kebelakangan ni aku mudah lupa la pulak. Dulu kalau ada orang tu terlupa, aku selalu pesan supaya banyakkan makan kismis dan kurma untuk menjana ingatan. Sekarang nampaknya akulah yang kena makan. Hehehe... Sebelum lupa lagi, nak bagi tahu sesuatu. Kepada Na, semoga anda selamat dalam perjalanan pergi dan pulang serta dipermudahkan segala urusan. Mudah-mudahan ibadah diterima. Maaf sebab lupa nak balas mesej tempoh hari. Kepada anda yang membaca ni, selamat menempuh bulan Rejab yang bermula hari ini. Manfaatkan bulan ini dengan perbanyakkan ibadah sunat dan menaik taraf kualiti ibadah wajib. Mudah-mudahan Rejab menjadi sekolah persiapan untuk menghadapai 2 bulan mendatang; Syaaban dan Ramadhan.