Engagement Fund ;)

Sunday, 31 July 2011

Ahlan Ya Ramadhan

Alhamdulillah, panjang umur untuk bertemu Ramadhan lagi tahun ini dan esok merupakan hari pertama berpuasa. Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan fikiran daripada memikirkan perkara yang tidak elok, menahan hati daripada berprasangka buruk, menahan lidah daripada berkata perkara sia-sia, menahan mata daripada melihat panorama yang tidak sepatutnya dan menahan telinga daripada mendengar perkara lagho. Mudah-mudahan kita semua dikurniakan kekuatan untuk menjalani ibadah ini. Selamat berpuasa semua...

Friday, 29 July 2011

Seminar Kesedaran Pencegahan Kebakaran

Sebelum ilmu dan maklumat yang aku dapat daripada seminar ni basi dan reput macam Seminar CUDBAS dulu, baiklah aku cepat-cepat kongsi kat sini. Hehehe... Seminar ini telah berlangsung pada hari Isnin, 25 Julai yang lalu, sekali dengan perhimpunan bulanan. Aku lupa pulak nama penceramah tu. Kandungan seminar ini adalah serius tapi penceramah sampaikan secara santai dan diselitkan dengan lawak dan video pendek. Encik Penceramah kata; "Jangan serius sangat, nanti kamu semua tak ingat apa yang saya sampaikan." Manalah muka tak serius? Gambar-gambar yang ditunjukkan semuanya menyayat hati. Ada mangsa kebakaran yang terselamat tapi mengalami kecacatan yang dahsyat. Sampai sekarang masih terbayang-bayang lagi gambar-gambar tu.

Mula-mula, penceramah tanya pernah ke pergi kelas atau program macam ni? Sebagai bekas Kadet Bomba, aku tahulah juga cara nak padam kebakaran guna pemadam api sebab dulu memang ada kelas tentang cara nak padam api. Dah ingat-ingat lupa pun. Hehehe... Rasanya ada juga diselitkan tentang pencegahan kebakaran. Tapi kalau di sekolah-sekolah, umumnya kita hanya diajar cara memadam api jika berlaku kebakaran dan bagaimana nak ke tempat berkumpul jika berlaku kebakaran.

Perkara pertama, kami diajukan soalan menguji minda; "Apa nak buat kalau orang terbakar?" Terdapat 4 pilihan jawapan iaitu; selimut, pasir, air dan bergolek di lantai. Mesti korang terus perah otak nak ingat balik filem mana yang ada adegan orang terbakar kan? Tau dah... Nasihat penceramah; "Jangan tiru sebarang aksi dalam filem bila berdepan dengan kebakaran sebab semuanya tak betul. Kurangkanlah tengok filem tu ye." Kahkahkah... Ada yang jawab balut dengan selimut, ada yang jawab bergolek atas lantai dan ada yang jawab simbah dengan air. Sekalik, dia tunjuk gambar mangsa-mangsa kebakaran yang diselamatkan menggunakan 4 pilihan jawapan diatas. Kecederaan paling teruk adalah mangsa yang dipadamkan api dibadan menggunakan selimut. Cubalah Google sendiri ye. Aku rasa ada gambar-gambarnya. Tak gamak dah nak tengok lagi gambar macam tu. Sedih...

Alat Pemadam Api
Cara paling selamat adalah guna alat pemadam api serbuk kering pelbagai guna macam ni.

Sumber gambar dari sini. Ini yang terbarulah kiranya. Kalau tengok pada tong dia, boleh nampak simbol ABC dan simbol macam elektrik tu dan tongnya berwarna merah. Boleh lihat pada gambar untuk keterangan lanjut ye. Kalau gunakan ini untuk padam api pada badan manusia, insyaAllah kecederaan yang dialami tidak begitu kritikal.

Gambar diperoleh dari sini

AWAS! Jangan gunakan alat pemadam api jenis karbon dioksida pada manusia kerana ia boleh menjadikan kecederaan bertambah serius. Macam mana nak bezakan? Mudah saja. Alat pemadam api CO2 ni tong dia warna hitam. Alat pemadam api haruslah berkeadaan baik dan terjaga supaya tahan lama. Pastikan mana-mana bahagian tong tidak berkarat sebelum menggunakannya. Kalau agak-agak dah karat, boleh telefon pembekal dan suruh dia hantar tong baru ye. Penceramah tu tunjuk satu alat pemadam api yang dah tak nampak label sebab berkarat. Dia kata; "Kalau kamu nampak tong dia macam ni, tak perlu susah payah nak jadi hero. Boleh terus larikan diri." Kahkahkah... Betullah tu. Serbuknya dah masuk angin. Tak padam jugak api kalau digunakan pun. Berat tong normal adalah dalam 5kg kalau tak silap. Tapi sekarang ada yang mudah alih punya iaitu seberat 1kg. Ini adalah yang paling ringan setakat ni dan jangka hayat sesebuah tong ini boleh mencapai hingga 15 tahun.

Tips untuk membeli alat pemadam api;
1. Pastikan label tulisan dicetak atas tong, bukannya menggunakan label jenis tampal.
2. Pilih kepala yang jenis stainless steel kerana ia tahan karat.
3. Pastikan anda mengetahui jaminan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut. Biasanya, kalau ada jaminan, pihak syarikat akan servis alat pemadam api secara percuma dalam tempoh jaminan.

Sebelum gunakan pemadam api, lihat meter dibahagian kepala tong. Kalau jarum meter berada di bahagian hijau, maknanya ia masih boleh digunakan. Kalau dah merah, pergi tukar yang baru. Cara nak padam api pulak, sembur pada punca kebakaran, bukan ikut ketinggian api. Karang serbuk habis, api tak padam-padam.

Asap
Sebenarnya, elemen yang paling berbahaya bila berlaku kebakaran adalah ASAP kerana asap kebakaran ini mengandungi racun dan butiran bunga api. Selalu kita ingat orang-orang yang terkorban dalam kebakaran tu adalah kerana api tapi fakta sebenar adalah 64% punca kematian dalam kebakaran adalah kerana menyedut asap, 21% mati kerana dipijak dan hanya 8% mati disebabkan api. Fakta yang baru diketahui dan aku kongsi dengan korang. Fakta lagi; asap tersebar setinggi 3 ke 5 meter dalam masa 1 hingga 3 saat dan bergerak dari tingkat ke tingkat dalam masa 3 hingga 5 saat.

Kerana itulah perlu dipasang Alat Pengesan Asap di setiap rumah kerana alat ini mungkin boleh menyelamatkan nyawa kita. Kalau nak beli alat pengesan asap ni, beli yang berfungsi menggunakan bateri. Kenapa? Bila berlaku kebakaran, bekalan elektrik akan terjejas dan menyebabkan sistem pengesan asap elektrik lumpuh dan tidak berguna. Perlu diingat alat pengesan asap ini amat sensitif dan akan berbunyi sebaik saja mengesan asap. Maka, kalau nak pasang, toksahlah pasang kat dapur ye. Kang goreng belacan sikit dah riuh satu rumah. Nyaring ok bunyi alat pengesan ni! Kiranya kalau berlaku kebakaran waktu malam, insyaAllah kita akan terbangun sebab bunyi nyaring alat ni. Bateri dia boleh tahan selama 2 tahun dan kalau bateri dia dah nak kong, dia akan bagi amaran.

Selamatkan Diri
Kami juga didedahkan dengan cara-cara nak selamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran di bangunan bertingkat. Kalau-kalaulah kebakaran berlaku di bangunan bertingkat macam hotel atau apartment, cuba cari punca dulu. Pertama, mesti korang turun bawah kan nak selamatkan diri? Jangan sekali-kali gunakan lif. Lari ikut tangga. Bila dah sampai di depan pintu rintangan api, jangan terus bukak. Rasa tombol dengan belakang tangan dulu. Kalau panas, jangan buka. Lari balik naik atas sebab punca kebakaran adalah disebalik pintu. Dah lari naik atas, masuk balik dalam bilik dan sumbat segala lubang di pintu yang ada dengan kain basah. Kemudian, buka tingkap supaya dapat lebih oksigen. Jangan pecahkan tingkap tu sebab kalau asap dah sampai pada tingkat kita, boleh tutup balik tingkap tu. Dalam masa yang sama, dapatkan bantuan. Telefon bomba ye, jangan telefon sedara mara pulak. Mereka tak boleh nak tolong dalam situasi tu. Nombor telefon kecemasan adalah 999. Kalau guna telefon bimbit, boleh dail 112.  Tiba-tiba penceramah tu buat lawak lagi; "Hanya dail 112. Jangan letak * dan # sebab itu untuk periksa baki." Kahkahkah...

Perkara yang tidak patut dilakukan untuk menyelamatkan diri daripada api adalah menutup hidung dengan sapu tangan basah dan redah asap. Sia-sia sebab suhu asap tu sendiri boleh mencapai 100 darjah celcius. Fakta lagi; kulit manusia mula mencair pada suhu 180 darjah celcius manakala organ dalaman pula akan terjejas pada suhu 200 darjah celcius. Asap kebakaran itu sendiri boleh mencecah 180 darjah celcius! Ada satu video mengerikan yang dia tunjuk iaitu mangsa kebakaran yang selamatkan diri dari bangunan tinggi. Tak tinggi sangat, tingkat 5 macam tu kot. Waktu tu asap berkepul-kepul keluar ikut tingkap rumah tu. Semua dah terjun kecuali ada sorang budak ni. Dia teragak-agak nak terjun dan bertenggek la dia di tingkap tu. Cuma nampak kaki je. Bahagian badan lain semua diselubungi asap tebal. Bila diperhati betul-betul, boleh nampak kulit tu mencair dan menitik-nitik jatuh macam air menitik. Nauzubillah... Itu cuma asap tu, belum api lagi.

Akhir sekali dah habis bercerita, pap! Encik Penceramah susun 3 barang yang dia bawa.
Keterangan tentang topeng ini boleh dibaca di sini


Sumber gambar dari sini

Sumber gambar dari sini

Bila dia tulis harga, pengsan! 
Harga promosi;
Pemadam api + topeng = RM 369 + jaminan 4 tahun
Topeng = RM 269 + jaminan 4 tahun
Alat pengesan asap = RM 129 + jaminan 4 tahun

Harga biasa
Pemadam api saja = RM 305 + jaminan 1 tahun
Topeng = 199$ Singapore + jaminan 1 tahun
Alat pengesan asap = RM 199 + jaminan 1 tahun

Ini harga yang dia bagilah. Rasanya ada lagi syarikat lain yang tawar harga lagi murah. Sila Google untuk cari maklumat lanjut ye. Semua benda ni kecuali alat pengesan asap hanya boleh digunakan sekali sahaja. Kalau masih dalam tempoh jaminan, pihak pembekal boleh bagi ganti baru secara percuma. Bergantung kepada syarikat jugak. Okey, penat dah taip entri ni. Semoga bermanfaat.

Nasi Arab

Salam Jumaat semua. Sebelum masuk bulan Ramadhan minggu depan, aku nak letak dulu entri yang berkurun lama duduk dalam draf ni. Kejadian ini berlaku 2 minggu sudah. Malas nak menulis tentang ini sebab gambar nak kena sunting. Malas nak menghadap blog bila kat rumah sebab aku pulun nak menghabiskan drama-drama Korea yang tiba-tiba berlambak pulaknya. Sampai macam nak muntah pun ada mengadap Korea ni. Tapi aku tetap nak hadap jugak kan. Hahaha... Ramadhan nanti kena berhentilah daripada menonton sebab puasa bukan setakat menahan lapar dan dahaga, tapi juga menahan daripada melihat benda yang tak berapa elok. Insaf sikit weh! Banyakkan ibadah. Aku kalau dah mula tonton, bukannya boleh sekerat-sekerat. Kena tengok sampai habis. Hehehe... Kalau bab melalut, memang tak pernah gagal kan. Mari berbalik kepada tajuk.

Tujuan asal keluar rumah pada hari kejadian adalah mahu melawat Wak Mis di Kuala Selangor. Tapi bila telefon Abang Zahar waktu dalam perjalanan, Abang Zahar kata Wak Mis ada di rumah Kak Ina di Shah Alam. Kebetulan, beliau ada temujanji di klinik pada hari tersebut dan hanya akan berada di rumah selepas pukul 5. Jadi sementara menanti jam 5, Abah ajak ke Floria dulu. Maka ke sanalah kami menghabiskan masa yang ada. Tak sempat terjah semua pun. Pusing dekat-dekat je. Gambar di Floria aku malas nak sunting. Jadi tak adalah gambarnya. Lepas solat asar, baru bertolak ke Shah Alam semula. Tak adalah lama pun di sana sebab dah petang waktu sampai tu. Waktu beransur dari rumah Kak Ina, dah hampir maghrib. Maka solat dulu di Madrasah Hidayah Seksyen 10 tak silap. Lepas tu perut pun dah lapar. Abah kata nak singgah rumah Bibik Mini lepas solat, baru pergi makan. Alang-alang dah sampai Shah Alam, nak cuba makan Nasi Arab D'Arab pulak. Aku tau ada cawangan dia kat Seksyen 13 dan Seksyen 7, satu deret dengan rumah Kak Chik. Kalau ikutkan, Seksyen 13 lagi dekat dengan Seksyen 10. Tapi sebab tak berapa pasti kat kawasan mana Seksyen 13 tu, maka teruslah ke Seksyen 7 dan tak jadi ke rumah Bibik Mini.
Ini rupa kedai dia. Guna kamera N6085 je sebab bateri kamera dah kong....

Ini minuman yang dipesan...milo ais, lemonade (masam gilerr), kopi-dah-lupa-nama, teh Arab (teko kecil). Teh dia boleh minum 2 orang. Ada rasa pudina dan cengkih. Menyegarkan jugaklah bila minum teh ni lepas makan kambing.

Ini nasi yang dipesan. Sebab masing-masing tamak, maka pesan yang untuk sorang makan. Walaupun sorang makan, kuantitinya boleh dimakan oleh 2 orang. Makanan Arab kan kuantitinya banyak. Sampai senak perut menghabiskan nasi tu. Dari kiri atas, nasi+ayam panggang, nasi+kabsah kambing, nasi+kabsah ayam, nasi+hanith kambing. 
Ini nama dia tembosah. Puas hati walaupun harga sepinggan ni adalah RM 8 sebab isinya hanya daging semata-mata dan padat.
Ha, ini suku sakat nasi di atas. Ada sambal, salad, dan sup. Semua nasi yang dipesan akan didatangkan sekali dengan suku sakat ni. Nasi yang kami pesanlah. Nasi lain aku tak pasti.

Masa datang, memang tak ada pelanggan langsung. Mungkin sebab masih awal, betul-betul lepas waktu maghrib. Jadi cepatlah nasi kami sampai. Bila dah malam sikit, barulah ramai orang. Dulu aku ingat kedai ni memang tak laku sebab tiap kali lalu, memang tak ada pelanggan. Hehehe... Silap rupanya. Yang tapau pun ramai. Keseluruhannya;
Suasana dan persekitaran kedai - Bagus! (angkat ibu jari)
Servis - Bagus! (angkat ibu jari lagi)
Makanan - Persembahan menarik dan sedap! (angkat ibu jari kiri dan kanan)
Harga - Ok, kira normallah untuk makanan Arab (tak murah dan tak mahal)

Harga untuk kesemua menu diatas kurang lebih RM93. Tak sampai seratus pun. Seronoklah kan sebab bukan aku yang bayar. Kahkahkah... terima kasih kepada Abang Faiz yang telah menaja makan malam kami pada hari tersebut. Nanti kalau berkesempatan, aku buat ulasan tentang satu lagi restoran nasi arab yang menjadi bualan ramai di Cyberjaya. Kena pergi makan kat sana lagi baru boleh buat ulasan. Tak ada gambar, tak menariklah kan nak bercerita. Hehehe... Oh, D'Arab Cafe ni ada lagi beberapa cawangan di Shah Alam dan sekitar Kuala Lumpur. Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh ke www.nasiarab.com Selain menu biasa, dia turut sediakan pakej jimat untuk yang mungkin nak belanja ahli keluarga berjumlah 10 orang makan nasi arab ni. Murah sikitlah harganya.

Tuesday, 26 July 2011

Angin...

Angin apakah? Angin lintang? Angin laut? Angin kus-kus?

Kebelakangan ni rasa macam tak betul aje. Tak berapa pasti kenapa. Asyik rasa serabut je. Blog ni pun aku tengok macam tak kenan dah. Bersepah ok! Tak cantik. Memang dah patut tukar layout sebenarnya sebab aku dah tetapkan untuk tukar layout setahun sekali. Entah apa yang disibukkan, aku pun tak tau. Inilah jadinya bila kesengalan melanda. Bila terlalu memikirkan sesuatu benda, otak pun tertekan. Bila tertekan, aku tak buat langsung benda yang difikirkan tu. Camano? Dulu-dulu kalau serabut aku ajak crime partner makan aiskrim tepi tasik. Kadang-kadang beli bekas besar, kadang-kadang beli yang biasa punya. Biasanya balik dari usrah atau perjumpaan persatuan la buat aktiviti ni. Makan sambil borak-borak dan menikmati angin malam. Walaupun nampak biasa, tapi cara itu adalah memberi kelegaan. Sekarang crime partner jauh. Camano? Sedari, jomlah dating Sabtu ni. Kita pergi makan aiskrim mahu???

Sedapnyalah Banana Split ni...terima kasih Encik kerana tayang aiskrim sedap ni..

Rancangan mengajar untuk minggu ni dah siap. Yahooo!!! Lega sikit otak. Maka dengan ini, bolehlah mulakan kerja-kerja menanda latihan yang dihantar lewat itu. Siaplah kamu orang esok, saya kata hantar Khamis lepas, kamu orang hantar semalam. Ada yang kena denda ni esok. Muahahaha (gelak jahat)...

Monday, 25 July 2011

Perasaan Seorang Guru

Minggu ni dah masuk minggu kedua sesi P&P dijalankan sepenuhnya. Patut nak letak entri ni minggu lepas sebagai pengalaman pertama kelas bagi semester ni. Tapi sebab sibuk mengalahkan PM, maka entri ni terperuk dalam stor draf. Jadual semester ini adalah mengejutkan sebab dua-dua sem kelas waktu pagi. Pagi buta ok! Bermakna aku kena bangun awal daripada biasa untuk bersiap. Pelajar kali ni adalah lebih ramai berbanding semester lepas. Maka kelas bagi semester 1 ada dua sesi. Sesi pagi, 8.00 hingga 9.30 adalah bersama pelajar Pengaturcaraan dan Multimedia. Dekat 60 orang juga budak-budak ni. Sesi petang, 3.30 hingga 5.00 adalah bersama CADD Senibina. Sebab itulah hari Rabu rasa penat lain macam. Nak dijadikan cerita, budak-budak sem ni aktif dia lain macam. Seronok jugalah mengajar mereka ni sebab pembelajaran jadi lebih hidup dengan soalan-soalan daripada mereka. Kalau tak aku cakap diorang dengar, aku tanya, aku yang jawab balik. Apa kes? Hahaha... Itu baru bab belajar, belum lagi loyar buruk diorang yang tiba-tiba menyampuk waktu aku buat penerangan. Sabar jelah...

Satu perkara yang patut dipuji tentang anak-anak murid aku ni adalah mereka mesra dan hormat pada guru mereka walaupun berada di luar kawasan institut. Macam Rabu lepas, aku nak keluarkan duit dari ATM BIMB di Banting Baru. Masuk-masuk je Pasar Ria tu, semua pakat bagi salam. Budak-budak baru semuanya dan aku masih ingat-ingat lupa muka mereka. Dekat pasar pun macam tu juga. Mereka bagi salam atau kalau yang segan-segan tu, senyum dari jauh. Muka, memang semua aku ingat. Tapi nama, mungkin agak payah sebab ramai. Walau macam manapun, aku cuba juga ingat nama-nama mereka sebab salah satu ciri-ciri guru yang baik adalah mengingati nama pelajar. Betul kan cikgu-cikgu sekalian?

Sumber dari sini

Bagi mengelakkan kekecewaan di kemudian hari, maka aku bentangkan peraturan kelas pada pertemuan pertama. Menyatakan peraturan ni adalah salah satu syarat untuk mengawal kelas, seperti yang diajar oleh Prof. Elina dalam subjek Classroom Management dulu. Senaraikan perkara yang perlu dilakukan dan tidak boleh dilakukan supaya mereka ingat dan waspada. Setakat ini, kaedah ini berhasil.

Minggu lepas juga, terbaca satu artikel di The Star tentang apa yang membuatkan guru-guru bertahan. Boleh tekan sini untuk baca artikel tu ye.

Wednesday, 20 July 2011

Bagan Lalang

Peristiwa pada 8 Julai yang lalu. Kadang-kadang, angin malas masak tu datang. Jadi petang tu cuma buat sandwich aje memandangkan roti yang sebuku atas meja masih belum terusik. Tiba-tiba Abah tanya; "Dik, masak tak?" Sengih dulu sebelum jawab; "Hehehe..buat sandwich aje." "Hah, malam ni kita keluar makanlah. Sambut hari jadi ko." "Ok.." Dalam hati ada taman. Siapa tak suka makan kat luar? Pergi main jauh-jauh.

Lepas Maghrib, terus siap-siap satu rumah. Sebelum sampai ke jalan besar, Abah tanya nak makan kat mana. Aku pun tak tau nak makan kat mana. Mula-mula cakap nasi arab, tapi Abang kata dekat Olak Lempit ada sekatan jalanraya pulak. Selepas berkira-kira, maka ke Bagan Lalanglah kami untuk menikmati makanan laut segar. Perjalanan kurang lebih selama 1 jam. Macam nak ke Cyberjaya jugaklah jaraknya. Cuma jalan ke Bagan Lalang adalah lengang.

Sampai sana, tak tahu pulak nak pilih restoran mana. Aku memang tak ingat dulu-dulu selalu makan kat tempat yang mana satu. Dah lama tak datang. Ada 2 restoran atas air. Satu kat hujung sekali, satu sebelum sampai hujung sekali. Boleh aku bagi penerangan cenggini? Kehkehkeh... Kami pilih restoran yang sebelum sampai hujung sekali. Nama restoran, aku tak berapa nak ingat. Macam Art Seafood je. Tapi kedainya memang betul-betul tepi laut dan dekat silingnya, dia letak jala sebagai hiasan. Datang-datang terus pilih ikan udang bagai baru pilih tempat nak duduk.

SEBELUM
Menu malam tu (ikut lawan jam); sup campur, pepahat masak cili (kot), sotong goreng tepung, udang bakar, ikan-tak-ingat-nama bakar, kailan ikan masin. Untuk cicah makanan bakar-bakar tu, dia bagi sambal kicap dan ada juga sos cili untuk cicah sotong goreng. Makan dengan 5 nasi putih + 1 nasi lemak. Semua sekali RM 95 termasuk minuman yang berupa teh o kosong, teh o ais, neslo ais, air kelapa,dan air suam. Aku rasa, macam murah.
Servis - cepat walaupun ramai orang
Makanan - sedap dan segar
Harga - ok

SELEPAS
Cemerlang...! Licin semuanya. Jangan membazir, amalan tak baik. Hehehe..

Pssstt! Somebody offered me something for my birthday treat. She (yes, it's a she) gave me few options to be chosen either a lunch treat, present or hi-tea. So I think I prefer hi-tea. Aten, yok ngeteh! 

Tuesday, 19 July 2011

Sungkyunkwan Scandal


Ini adalah entri pertama di bawah tanda Kembara Korea. Tak dapat pergi Korea, tengok drama dia pun jadilah kan. Maka, tanda ini akan digunakan untuk ulasan-ulasan drama yang aku dah tengok ye. Ini entri pertama di bawah tanda KK ni dan aku nak ulas sikit tentang Sungkyunkwan Scandal. Drama pemberian ehsan jiran meja sebelah. Waktu dengar tajuk, ingatkan cerita apa. Rupanya kisah kehidupan pelajar di Universiti Sungkyunkwan. Sebelum aku membebel lagi banyak, aku nak kata cerita ni lagi best daripada Boys Over Flower. Peminat BOF, jangan marah ha.... Hehehe... Bahaya juga bila jumpa peminat tegar drama Korea ni. Dok bertukar stok nanti ni.

Drama ni berlatar masa dahulukala, ala-ala Jewel In The Palace.Jadi tak perlu risau untuk tak lena tidur memikirkan telefon bimbit model terbaru yang digunakan oleh mereka untuk menghubungi satu sama lain.*motip???* Kisah bermula bila si heroin, Kim Yoon Hee terpaksa menyamar sebagai salah seorang calon peperiksaan kelayakan untuk ke Sungkyunkwan gara-gara nak dapatkan duit lebih bagi membiayai kos perubatan adik lelakinya dan membayar hutang kepada watak jahat dalam cerita ni, Byungpan atau dalam kerajaan Malaysia, jawatan Menteri Pertahanan kot.
Ini dia pakcik Menteri yang jahat tu. Sepanjang aku tengok drama-drama Korea yang dia berlakon, memang watak jahat sokmo. Anak dia dalam cerita ni pun jahat jugak. 
Ini hero jahat nombor 2. Nak dijadikan cerita, dia ni adalah Presiden Pelajar di Sungkyunkwan. Maka mudahlah bapak dengan anak ni berkomplot untuk mengenakan hero dan heroin.

Ok, mari sambung cerita. Malangnya, dia tertangkap waktu menyamar tu dan yang menangkap ni adalah hero cerita ni, Lee Sun Joon. Watak hero dalam ni adalah skema dan serius ok. Kadang menyampah jugak tengok dia serius cenggitu. Akhirnya, waktu peperiksaan kelayakan seterusnya, Si hero ni saja-saja nak kenakan heroin dengan mengupah heroin untuk gantikan dia dalam peperiksaan. Tiba-tiba si heroin ni dah jadi salah seorang calon peperiksaan tu. Waktu Maharaja nak umumkan siapa yang layak berdasarkan jawapan peperiksaan tu, jawapan hero dengan heroin ni yang paling luar biasa. Maka dengan ini, Maharaja pun memberi titah khas untuk mereka berdua menjadi pelajar di Sungkyunkwan. Titah Maharaja wei! Kalau derhaka nanti Maharaja murka.

Pilihan dia dua je; sama ada jadi isteri kedua Byungpan untuk langsaikan hutang atau terima titah Maharaja untuk masuk ke Sungkyunkwan. Pada zaman tu, kaum wanita adalah tidak dibenarkan untuk menerima pendidikan formal. Jadi kelayakan nak masuk ke Sungkyunkwan mestilah berjantina lelaki. Maka si heroin ni pun bertukar...... jadi lelaki. Waktu inilah cerita sebenar bermula. Macam-macam benda berlaku. Eh, rasanya kalau aku cerita mau muntah kot baca sinopsis yang tak serupa sinopsis. Kahkahkah... Serius, cerita ni best dan kurang sakit hati sebab memang dari mula hero dengan heroin suka sama suka. Cuma sebab hero ingat heroin ni lelaki, maka dia senyap je sampailah satu masa dia tak boleh nak tahan dan pindah ke universiti lain gara-gara nak kawal perasaan dia tu. Akhirnya bila dia dapat tau heroin ni perempuan, barulah dia lega. Tapi memang lambat gila dia nak tau heroin ni perempuan. Episod akhir-akhir jugak la.
Comel je budak dua orang ni. Dua-dua bijak, dua-dua ulat buku; maka mereka bercinta pun dekat perpustakaan.

Disamping mereka berdua ni, ada lagi dua orang watak sampingan merangkap kawan baik mereka.
Ini salah seorangnya; Moon Jae Shin. Dia ni ganas sikit dan bersikap sinis. Kalau jumpa perempuan, dia akan sedu-sedu atau orang Kanchong kata hiccup
Ini lagi sorang; Gu Yong Ha. Dia ni boleh dikira playboy tapi baik hati. Dari mula dia dah syak heroin ni perempuan dan cuba nak buktikan dia memang perempuan. Tapi ada je halangan sampailah dia tak hirau dah nak buktikan heroin ni perempuan ke tak.

Pengakhiran cerita? Jeng...jeng...jeng... Selepas segala masalah dan konflik, akhirnya mereka semua berjaya mencapai apa yang dihajatkan dan yang jahat sudah jadi insaf. Mana yang tak insaf-insaf tu, selamatlah kena masuk penjara. Ok, ini cuma sebahagian je ye. Kalau nak suruh aku cerita dari A sampai Z, memang boleh tapi tak masyuk la kan. 20 episod beb. Ulasan satu episod pun aku boleh buat 2 muka surat kertas kajang. Jadi, sesiapa yang nak cerita ni, boleh roger ok. Kita runding... Hehehe...


*Sumber gambar-gambar adalah dari sini

Thursday, 14 July 2011

Semester Baru

Hujan-hujan ni, dengar pulak alunan instrumental piano, sayu je rasa. Nak mengarut di sini pun tengah tak ada mood. Sekadar mencatat sedikit mengenai semester baru ni.
Semester baru mula minggu ni. Patutnya kelas dah mulalah kan? Sem 1 semalam cuma budak Pengaturcaraan je yang muncul. Budak Multimedia semua syahid sudah.

Sem 2 kelas pagi tadi. Memandangkan kelas mereka di bengkel, aku ke Multimedia. Itu pun lewat. Ada gotong-royong katanya. Maka tidaklah belajar hari ini. Kemudian ke bengkel CADD Senibina sebab mereka tak jumpa jalan ke bengkel Multimedia. Pun tak mula belajar lagi, cuma bagi penerangan sikit untuk silibus sem ni.

Nampaknya sem ni akan jalan banyak sebab semua kelas adalah di bengkel. Dua kelas di bengkel CADD Senibina dan satu kelas di bengkel Pengaturcaraan. Juga, semua kelas adalah slot pagi. Maka setiap rabu dan khamis, kena datang awal daripada biasa.

Mulai bulan depan, sistem biometrik cap jari akan berkuatkuasa. Maka bulan ni percubaan dah dimulakan. Seminggu pengimbas tu tak boleh kesan jari aku. Maka selepas berputus asa, aku memutuskan untuk memaklumkan masalah itu kepada pegawai yang mengendalikan sistem tersebut. Selepas memasukkan semula data baru, jari aku berjaya diimbas. Orang lain letak ibu jari, aku letak jari manis. Pengimbas tu tak suka dekat ibu jari aku gamaknya. Kahkahkah...

Sekian saja kemaskini pendek memandangkan mood untuk menulis sudah ke laut...

Thursday, 7 July 2011

Kena Paksa

Mula-mula, nak ucap banyak-banyak terima kasih kepada yang sudi mendoakan aku dan mengucapkan selamat sempena ulangtahun kelahiran ke____ hari Selasa lepas. Terima kasih Na, Kak Suma, dan Kak Chik atas kiriman SMS kalian. Biarpun ringkas, tanda ingatan itu yang membuat saya terharu. Kepada Aienn, minta maaf sebab akak tidur awal malam tu. Sesungguh hati dia telefon aku sampai N2610 kong. Di N6085 pun ada 2 panggilan terlepas. Kepada kawan-kawan di Facebook, terima kasih juga kerana rajin menulis di dinding saya walaupun saya sebetulnya adalah seorang yang pemalas yang menulis di dinding orang. Hehehe...

Sempena usia dah bertambah setahun lagi ini, aku memutuskan untuk memaksa diri melakukan sesuatu yang pernah dilakukan dulu. Bila aku tengok balik gambar-gambar waktu di universiti dulu, rasa nak menangis je. Dulu pipi aku tak kembung macam sekarang. Dulu nampak molek je dalam gambar. Sekarang??? Ingatkan dulu aku gemuk, rupanya sekarang lagi gemuk. Aku perasan berat badan naik dengan bahagianya semenjak keluar praktikal dan bertambah suka hati berat tu bertambah bila masuk kerja ni. Bila dah kerja, dah ada duit sendiri. Nak makan apa, semua boleh beli dan boleh pergi bila-bila masa. Kat UNISEL dulu mana ada McDonalds ke Pizza Hut ke Secret Recipe. Kalau makan benda-benda tu pun, once in a blue moon orang Banting kata. Sekarang, ko fikir je nak makan apa. Balik kerja, boleh singgah siap-siap. Lepas tu, sekarang mana ada banyak bergerak. Kelas pun sekangkang kera aje. Duduk pulak dalam air-cond. Terbaiklah! Hahaha...

Dulu, aku makan nasi lemak tengah malam ke makan nasi 3 kali sehari ke, boleh pakai baju saiz M. Sekarang, kirim salam. Waktu sekolah dulu, memang aku gemuk. Mau tak gemuk? Makan 4 kali sehari tanpa gagal. Maksudnya, tiap kali waktu makan aje, memang makanan akan tersedia. Dah kata duduk asrama kan? Aku ingat lagi, lepas habis SPM, berat aku adalah 75kg. Jadi, sepanjang bercuti, aku cuba menurunkan berat badan. Dulu, aku makan setiap 3 jam dalam kuantiti yang sedikit. Sarapan pagi selalu arwah mak akan buat teh susu guna susu pekat. Tapi aku buat teh susu letak susu tepung dan makan roti sekeping. Kadang-kadang kalau mak ada goreng pisang ke buat jompot ke, aku makan la jugak sikit. Lepas 3 jam, aku makan biskut. Kadang-kadang 2 keping, kadang-kadang sebungkus Luxury yang ada 6 keping tu. Tengahari, makan nasi sikit dan lauk yang ada. 3 jam lepas tu, aku makan buah apa yang ada. Selalunya epal dengan lai. Kemudian petang-petang senam sampai basah baju sebab peluh. Rajin dulu, aku siap potong keratan langkah-demi-langkah senaman dalam majalah. Siap letak dalam fail lagi. Sekarang aku tak tau fail tu hilang ke mana. Kahkahkah... Tak cukup tu, aku kayuh fit-n-fold strider lagi. Malam aku tak makan berat. Cuma minum susu segelas dengan biskut kering. Kadang-kadang tergoda juga dengan bau gereh yang Abah goreng. Tapi aku tetap paksa diri duduk diam-diam dalam bilik. Kalau aku jengah dapur, memang hancus. Berkat mengawal makan, berat aku turun jadi 59kg waktu nak masuk degree. Itu adalah yang paling ringan setakat ini.

Jadinya, sekarang aku nekad la nak turunkan balik berat badan. Tengok di blog-blog lain pun, ramai yang mempunyai niat yang sama. Siap buat program diet 50 hari lagi. Aku tak gamak nak ikut serta sebab aku tau aku masih tak kuat semangat nak diet drastik. Langkah pertama adalah aku keluarkan jubah putih yang aku pakai waktu TESL Night dulu. Sempit dah weh. Kira buat motivasilah.
Aienn kata ni jubah nikah aku. Tahun bila nak nikah, aku pun tak boleh bagi jawapan pasti. Hahaha...

Langkah kedua, aku kayuh fit-n-fold strider secara berkala. Setiap sesi, mesti tak kurang daripada 20 minit. Bosan jugak kayuh benda alah tu. Atas saranan Aten, dia kata dengarlah lagu, baru tak terasa lama. Lepas aje N6085 aku berbunyi, memang aku set beberapa buah lagu untuk didengari sepanjang mengayuh. Kurang bosan sikitlah. Mula-mula nak pasang Korea. Kalau taruk Korea depan mata, confirm tak sedar dah kayuh 1 jam. Hahahaha...tapi sebab malas nak setting tempat, aku pasrah aje dengan apa yang ada.
Benda alah ni aku letak dalam bilik solat sebab kawasan tu je yang masih ada sikit ruang. Yang petak-petak tu faham-fahamlah ye. Sebab dia lapang, maka semua benda pun letak situ. Itu tak tengok bahagian lain yang termasuk dalam gambar lagi tu. Hehehe...

Langkah ketiga, aku gunakan mesin urut Cann Twin Effect ni. Mesin ni pun boleh membakar kalori. Cara paling mudahlah nak nyahkan kalori berlebihan. Sambil duduk baca buku ke, tengok drama Korea ke, aku pasang mesin ni. Nak guna mesin ni, kena minum segelas air sebelum dan selepas menggunakannya. Paling elok buatlah dua kali sehari. Malam dan pagi. Aku selalu buat malam sebelum tidur. Itu pun kadang-kadang ngelat sebab dah ngantuk sangat. Pagi, kalau aku terbangun awal, buat la satu pusingan sambil bersiap.
Mesin boleh set nak buat berapa lama. Ada 10 minit, 15 minit dan 30 minit. Kalau nak sedap sikit, pakai mode therapy. Urutan dalam mode therapy ni tak terhad kepada satu corak je. Arwah mak dulu rajin pakai.

Langkah keempat, aku lari ke The Store pergi beli timbang semalam. Timbang lama dah rosak. Dah lama cari penimbang yang digital. Tapi asyik tak ada je. Jadi semalam aku pasrah aje bayar RM69.90 untuk satu penimbang digital. Memang mahal. Tapi aku dah malas nak bertangguh. Pejam mata ajelah aku bayar. Jadi balik kerja petang semalam terus timbang. Kahkahkah... tak menyempat. Peliknya, timbangan itu jauh beza daripada apa yang aku timbang 2 bulan lepas. Macam tak percaya pun ada. Turun banyak sangat padahal aku tak ada jaga makan sangat pun. Burger McD aku tibai. Kek Secret Recipe aku belasah. Pizza Hut pun aku telan. Seingat aku waktu timbang dulu adalah 85kg. Semalam sudah turun ke 73.5kg. Serius tak percaya. Aku rasa penimbang lama tu kot yang salah. Tapi kalau betul-betul susut, alhamdulillah... Sekian saja paksaan yang telah dimulakan oleh diri sendiri.

Menu Malas

Ahad dua minggu sudah, aku tulis di dinding Facebook 2 menu malas yang di masak iaitu ikan jenahak bakar dan terung tumis taucu. Beberapa orang kawan memberi respon; "Ini ke menu malas? Kalau telur goreng dengan kicap tu baru malas namanya." Hahaha.... Jadi, apakah sebenarnya maksud menu malas ini?

Bagi anda yang bujang dan tinggal sendirian atau bersama kawan-kawan, mungkin telur goreng + kicap atau sardin yang dimakan bersama nasi adalah menu malas. Tidak dinafikan, itu juga adalah kategori menu malas. Tapi edisi bujanglah. Kalau aku ni, tak gamaklah pulak nak goreng telur semata-mata untuk santapan. Cuma kalau dah malas tahap gaban, memang terus tak ada menu. Pandai-pandai nak makan apa. Hahaha...

Maksud menu malas pada aku adalah makanan yang mudah dan cepat disediakan atau boleh dimasak sambil menonton drama Korea. Senang cerita, tak perlu nak berdiri di depan sinki sambil menyiang sotong atau mengopek kulit udang. Tak perlu aku berdiri kerana nak siang kangkung atau sawi. Tak perlu semua tu. Kenapa ikan bakar dan terung tumis taucu termasuk dalam kategori malas?
1. Terung adalah jenis sayur yang tak payah nak kena siang. Cuma basuh dan potong mengikut citarasa. Goreng sampai keperangan. Kemudian goreng ikan bilis sampai garing dan angkat. Dalam kuali sama, tumis bawang dan cili padi sampai layu. Masukkan ikan bilis dan taucu. Letak sikit air supaya tak hangus. Kemudian masukkan terung. Kacau seketika dan sedia dihidangkan. Senang kan? Ikan bilis tu biasanya beli yang siap kopek. Bawang dengan cili, tetap kena hiris kalau nak menumis. Jadi, ini tak ada masalah.

2. Ikan bakar yang selalu aku buat adalah mengikut cara Abah. Sangat mudah. Mula-mula bersihkan ikan. Perap dengan rempah-ratus yang ada kat dapur. Biasanya aku letak serbuk kunyit, serbuk kari, paprika dan garam secukupnya. Sebelum balut, aku letak daun kunyit, bawang dan cili api. Letak cenggitu je. Daun kunyit memang sentiasa ada. Cuma kalau musim, habis togel kena makan dengan belalang. Kekadang elok tumbuh sehelai je daun, cepat-cepat aku ambik takut kena makan dengan belalang lagi. Dengan belalang pun nak berebut. Hahahahaha... Kalau ada stok, aku perahkan sikit limau nipis atau limau kasturi bagi hilang hanyir sikit. Kemudian, balut dalam aluminium foil. Kalau rajin, aku balut dulu dengan daun pisang baru balut dengan aluminium foil. Ok, lepas dah siap balut, tenggek je atas dapur dan bakar dengan api yang super kecil. Jangan lupa untuk buat lubang bagi membolehkan wap dia keluar. Kalau tak, berkecah dapur sebab air dari ikan tu meleleh. Sementara tunggu, mari layan drama Korea satu episod. Senang kan? Itulah antara menu malas aku.

Bagi memeriahkan entri ini, aku letaklah satu menu rajin ye untuk anda cuba. Tapi nak bagi tau awal-awal bahan-bahan yang digunakan adalah sekadar anggaran je sebab untuk lauk-pauk biasa macam ni, aku selalu campak je, tak tengok resepi pun. Hehehe...

Ayam Lemak Kuning


Bahan-bahan:
Ayam 1/2 ekor

Serai
Kentang ikut suka (dibelah 4)
Santan M&S 500ml
Sedikit air
Garam dan gula secukup rasa


Bahan kisar:
Bawang merah 5 ulas
Bawang putih 5 ulas
Cili api sesuka hati
Halia
Kunyit hidup (kalau tak ada, serbuk pun boleh)


Cara memasak:
1. Tumis bahan kisar hingga naik bau. Masukkan serai yang telah diketuk.
2. Masukkan kentang dan ayam. Gaul hingga sebati dan biarkan hingga ayam separuh masak.
3. Bila ayam nampak macam dah empuk, masukkan santan. Kacau dan kacau. Kalau pekat sangat, masukkan air mengikut kepekatan yang disukai. Perasakan dengan garam dan gula.
4. Biar hingga mendidih dan pastikan ayam dah masak. Tutup api dan hidangkan. Peringatan; jangan sampai dia pecah santan ye, nanti tak sedap.

Aku rasa itu je bahannya. Kalau ada yang tertinggal, kome tambahkan la ye. Ini cara aku masaklah. Campak macam tu. Cara orang lain masak, mungkin berbeza kot. Ayam ni dah lama dah buatnya. Buat pun sebab teringat-ingat pada ayam lemak kuning yang arwah mak pernah masak. Macam terasa-rasa je ayam yang arwah mak masak tu. Tu yang aku rajinkan diri juga masak ayam ni. Ini aku guna ayam HPA. Senang nak bersihkan dan paling penting tak berbau sangat macam ayam biasa.

Sekarang ni terasa macam nak makan nasi beriani pulak. Ni sebab Faien dengan Rahmahlah ni sebut-sebut dalam FB tempoh hari. Banyak lagi benda yang aku teringin nak masak macam roti john, cara berlauk, kek epal, karipap, biskut cornflakes, dan beberapa lagi. Senarai bukan main panjang, tapi kerajinan adalah sangat sedikit. Camane tu? Kahkahkah... Tunggu dan lihatlah ye.

Monday, 4 July 2011

Tak Nampak, Tak Semestinya Tak Wujud

Hari ini sudah pun 2 Syaaban, tapi aku baru nak menulis tentang peristiwa yang berlaku pada bulan Rejab. Baiklah lewat daripada tiada bukan? Kali ini, nak kongsikan apa yang aku dapat waktu di Hamidiah dulu. Tazkirah yang diberikan oleh Ustaz Jamaludin sempena sambutan Isra' Mi'raj bertarikh 10.9.2005.

Sepanjang berlakunya peristiwa Isra' Mi'raj ini, Rasulullah telah menemui pelbagai perkara. Untuk mengetahui apakah yang ditemui baginda, boleh baca di sini. Selepas baginda mengalami Isra' Mi'raj, Rasulullah menceritakan peristiwa yang berlaku kepada para sahabat tetapi hanya Abu Bakar As-Siddiq yang percaya dan yakin dengan apa yang telah berlaku sedangkan yang lain hanya mendiamkan diri. Kemdian, terdapat dua orang hamba Allah yang masih tidak mempercayai Isra' Mi'raj lalu berjumpa baginda dan minta ditunjukkan bukti.

Rasulullah terkedu lalu salah seorang daripanya berkata; "Hai Muhammad, cuba angkat kaki kananmu." Baginda pun angkat. Kemudian, dia berkata lagi; " Sekarang, cuba angkat kaki kirimu." Baginda pun letakkan kaki kanan dan angkat pula kaki kirinya. Kemudian si hamba Allah tadi berkata lagi; "Sekarang, angkatlah kedua-duanya." Baginda tidak dapat mengangkat kedua-duanya serentak lalu si hamba Allah tadi mempersoalkan; "Bagaimana kau boleh naik ke langit sedangkan kau sendiri pun tidak berupaya mengangkat kedua-dua kakimu serentak." Akhirnya, Rasulullah menjawab; "Kalau begitu, kamu berdua pergilah berjumpa Umar dan Abu Bakar."

Kemudian, mereka berdua berpecah. Seorang pergi menemui Abu Bakar dan seorang lagi menemui Umar. Mudah saya namakan mereka hamba Allah A dan hamba Allah B. Apabila hamba Allah A ini berjumpa dengan Abu Bakar, Abu Bakar terus membacakan ayat 1 surah Al-Israa yang bermaksud; “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” Sebaik saja mendengar ayat tersebut, si A pun percaya tetapi masih tidak puas hati. Lalu dia pun menguji Abu Bakar sebagaimana dia menguji Rasulullah sebelumnya. Cuma, apabila disuruh angkat kedua-dua kakinya, Abu Bakar melompat dan berpaut pada alang. Si A terkejut dengan reaksi Abu Bakar tadi. Abu Bakar pun menerangkan; "Mustahil bagiku untuk mengangkat kedua-dua kaki sekaligus tanpa bantuan. Begitu juga dengan bagaimana Rasulullah Isra' Mi'raj. Baginda pergi dengan bantuan Allah dan dengan menaiki buraq. Itulah bantuan yang mengiringi baginda."

Berlainan pula dengan hamba Allah B. Beliau pergi menemui Umar dan Umar turut membacakan ayat yang sama. Tetapi, si B masih ragu-ragu. Si B turut menguji Umar sepertimana mereka menguji Rasulullah tadi. Tetapi, saat Umar mahu mengangkat kedua-dua kaki, Umar menyuruh si B tutup mata dan tunduk. Lalu, Umar pun pancung kepala si B kerana orang yang tidak mempercayai ayat Quran adalah murtad dan wajib dibunuh. Begitulah bagaimana dua orang sahabat Rasulullah bertindak. Satu situasi yang sama dengan dua hasil yang berlainan. Sebagai manusia, akal dan fikiran kita memang terbatas dan jangan terlalu mempersoalkan apa yang berlaku. Cukuplah ayat Allah sebagai buktinya. Jelas bukan, tak mengalami sesuatu tidak bererti perkara tersebut tiada. Semoga bermanfaat.

Dah Sampai Seru

Dah sampai seru dah nak kahwin. Yelah, kalau dah jodoh, jangan tangguh-tangguh. Tak baik tu. Bukan seruan untuk akulah tapi. Bahaya juga kalau berkias lama-lama ni, karang tak pasal-pasal keluar gosip tumbang lembu dua ekor pulak. Hahaha... Ini seruan untuk beberapa orang ahli keluargaku. Rasanya, tahun ni paling meriah majlis tunang dan perkahwinan keluarga.

Bermula dengan perkahwinan anak saudaraku, Diah pada 28 Mei lalu. Kemudian pertunangan sepupuku, Ani pada 21 Mei lalu. Agak kecewa juga tak dapat datang sebab kena kerja waktu tu. Semalam, Abang Rashid yang dah selamat menghantar rombongan peminangan ke Teluk Intan. Selepas ini, Abang Shukor pada 9 Julai iaitu Sabtu ini. Mereka ini adalah adik-beradik ye. Lepas raya nanti, seorang lagi anak saudaraku, Hafiz bakal menamatkan zaman bujangnya dan sepupu sebelah Abah, Fakar yang akan menghantar rombongan meminang juga lepas raya nanti. Kira, berapa orang dah tu? Anak saudara dah ramai yang naik pelamin, makcik diorang jugak yang bujang trang tang tang lagi. Hahaha... Motip ko tulis bujang trang tang tang?

Semalam, sehari suntuk berada atas jalan raya. Keluar rumah pukul 7.30 pagi dan sampai rumah pukul 11.00 malam tadi. Walaupun tak memandu, penat juga duduk dalam kereta. Mula-mula ke rumah Cik Esah dulu berkumpul di sana sebelum bertolak ke Teluk Intan. Sampai-sampai je rumah sunyi sepi. Bagi salam, tak ada yang menjawab. Telefon tak diangkat. Ingatkan dah pergi, rupanya semua orang ada kat belakang. Tak dengar ada orang bagi salam. Kurang lebih pukul 10.00, kami bertolak ke Teluk Intan. Cuaca semalam nyaman aje sebab mendung dan hujan renyai-renyai tapi bila dah keluar dari lebuh raya dan menuju ke Teluk Intan, barulah cuaca bertukar menjadi panas. Sebelum merentas Sungai Perak, berhenti rehat kejap. Kemudian, baru teruskan perjalanan. Tak jauh dah dari jambatan tu rumahnya. Sampai-sampai aje disuruh makan dulu. Lauknya pelbagai dan sedap!!! Mungkin sebab dah agak lewat daripada waktu makan tengahari, maka kami disuruh makan dulu. Kalau mengikut pengalaman sepupu-sepupu lain dulu, majlis dimulakan dulu barulah makan. Kali ni, lepas makan, baru majlis merisik dan meminang bermula. Tak lama pun, terus cakap tujuannya datang. Tak ada pantun-pantun bagai. Lepas dah siap, ada minum lagi. Rezeki jangan ditolak. Hehehe... Lepas tu teruslah menuju pulang ke Selangor.

Dalam perjalanan pulang, berlakulah kesesakan yang agak dahsyat. Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan memang begitu. Tunggu sajalah. Sesak-sesak ni, mulalah aku sakit kepala. Kalau jadi pemandu, tak apa. Jadi penumpang ni gedik dia lebih sikit. Hahaha... Dah sakit kepala, tidurlah. Sampai di Kapar, sesak lagi. Bila dah keluar ke lebuhraya Shapadu tu, barulah jalan lengang. Ingatkan nak terus balik, rupanya Abah nak kondangan jugak tempat saudara tu. Kawan sekolah Abah merangkap saudara. Pusing-pusing, jumpa jugak kan. Sampai sana pun dah dekat maghrib dan yang tinggal pun cuma keluarga. Tetamu semua dah tak ada. Tak lama pun di situ tapi sempatlah tuan rumah hidang air dan sedikit kuih. Waktu nak balik, macam-macam dia bagi. Goody bag seorang satu dan berkat yang banyak. Alhamdulillah.... Bila aku tengok keadaan selepas majlis perkahwinan, fikir banyak kali juga nak buat majlis besar-besaran. Siapa nak mengemas??? Kalau adik-beradik ramai, tak apa. Ini bertiga aje. Keadaan rumah biasa pun, tak terkemas. Haish... melalut sudah. Hahaha... Lepas singgah solat maghrib, singgah makan kejap barulah bertolak pulang ke Banting. Dalam perjalanan pulang, ada kesesakan lagi. Bergerak dengan sangat perlahan sebaik saja melepasi Stesen Timbang JPJ berdekatan Sijangkang. Sebab kereta macam tak bergerak, Abah belok ke Jalan Sempadan untuk lalu jalan dalam. Keluar di Telok Panglima Garang. Kat situ jalan ok je. Kami syak ada kemalangan berlaku. Itulah sebabnya sampai rumah pukul 11 lebih. Kesimpulannya;


1. Majlis peminangan/majlis bertunang perlu diurus dengan teliti dan baik supaya tidak berlaku kesulitan di kemudian hari. Sebelum bergerak, berikan sedikit taklimat kepada ahli rombongan mengenai keluarga pihak perempuan, aturcara majlis dan maklumat berkaitan.


2. Tak perlulah bertunang bagai sebab orang tunang sekarang macam nak kahwin. Membazir. Ini bukan aku yang kata, orang lain yang kata. Hehehe... 

Dengan ini, entri ditamatkan tanpa sebarang gambar. Sekian, terima kasih...

Saturday, 2 July 2011

It's Just Around The Corner...

Setiap tahun, aku macam berazam nak buat-buat lupa. Tapi tak boleh sebab awal-awal lagi Celcom dah bagi mesej peringatan untuk dapatkan panggilan dan mesej percuma kepada 8pax selama seminggu. Percayalah bahawa sesungguhnya aku TAK PERNAH guna peruntukan percuma tu setiap tahun. Aku rasa sebab tulah dia sayang pelanggan dia yang seorang ni. Kahkahkah...

Manusia yang dilahirkan pada bulan 7 kalau mengikut kajian Dr. Fadhilah Kamsah, suka mengingat perkara silam. Jadi, janganlah pelik kalau entri dalam ni banyak juga tentang perkara silam aku. Waktu sekolah mahupun waktu di universiti. Dalam keluargaku, memang tidak diajar menyambut hari lahir dengan kek dan lilin. Cuma akulah yang selalu gedik mintak kek setiap kali hari lahir dan arwah mak memang tak pernah hampakan permintaan ni. Setiap hari lahir orang-orang tersayang pun, kalau berkemampuan dan ada rezeki lebih, aku cuba mengadakan kek untuk mereka. Memanglah kek dan lilin tidak diwajibkan pada setiap sambutan hari lahir. Dalam islam pun tak ada. Cuma, tak salah bukan menggembirakan orang lain? Waktu inilah mungkin kita dapat berkumpul ramai-ramai dan mengadakan majlis doa selamat untuk orang yang diraikan. Biarpun hanya sebiji kek dan sepotong doa tanpa hadiah yang mahal, itu sudah lebih mencukupi. Sesungguhnya doa adalah hadiah termahal untuk sesiapa pun. Bukan mudah untuk orang mendoakan kita dan tak susah pun nak menghadiakan doa untuk orang.

Hadiah hari lahir? Memang seronok kalau dapat satu. Kot-kot ada yang nak bagi kejutan hadiah, sila poskan hadiah tersebut ke alamat pejabat. Berangan la ko ada orang nak pos hadiah. Hahaha... Tak apa, berangan tak kena bayar. Hiks... Kalau tanya nak hadiah apa, memang aku boleh senaraikan kat sini. Tapi cukuplah kalau aku dapat lanjutkan tempoh kontrak kerja sekarang ini. Kontrak setahun bakal berakhir bulan Ogos nanti dan sekarang, sedang dalam proses untuk melanjutkan tempohnya. Waktu bos panggil masuk ke bilik beliau beberapa minggu sudah, memang terasa lain bila diberitakan tentang perkara ini secara formal walaupun sebelum tu aku dah dengar desas-desus kekangan kecil yang muncul. Bos kata; "SKT dah lengkap dan saya akan serah pada Pengarah dan permohonan akan dihantar ke HQ. Cuma untuk yang terbaru, kuota untuk kakitangan sambilan di setiap institut adalah 2 orang dan Pengarah nak kalau boleh ada seorang ustaz.. Jadi, jangan terlalu berharap dan berdoalah supaya dapat sambung. Kalau tak ada cikgu Bahasa Inggeris pun, susah juga. Berdoalah banyak-banyak." Ini intipati maklumat yang disampaikan dan aku susun semula ayatnya. Ayat asal memang tak ingatlah kan. Doakan aku dapat lanjutkan tempoh kontrak tu nanti ye. Terima kasih.... Sebagai memenuhi kriteria entri-yang-menarik-mestilah-ada-gambar, aku tayang gambar peristiwa hari jadi 2 tahun sudah. Terima kasih Umie. Terima kasih Kak Chik, Faien dan Ain. Saya takkan lupa hari kejadian tu. Korang memang pandai berlakon. Hehehe...


Jangan tanya kenapa nama atas kek itu adalah farah amamah. Karang panjang berjela pulak aku cerita. Hahaha...

Friday, 1 July 2011

Hasil Tangkapan

Seperti yang telah dirancangkan, aku ke Shah Alam semalam dan berjaya melaksanakan agenda yang telah dirancang. Macam biasa kalau hari cuti, bangun pagi mesti sengaja dilajakkan terlajak-lajak. Gitu gini, pukul 11 lebih jugak baru bertolak. Perjalanan lancar, kereta tak banyak tapi banyak lori. Bila memandu, aku tak suka duduk belakang lori. Pertama; penglihatan terbatas. Lori kan besar gabak, penuh dengan badan dia aje. Dahlah aku bawak Kancil je. Tak apa, bak kata Aten; "Kancil kan cerdik." Hehehe... Kedua; kebarangkalian untuk terkena lantunan batu adalah sangat tinggi. Keadaan ini boleh bertukar menjadi musibah kerana lantunan batu ini boleh menyebabkan cermin hadapan retak atau terus pecah berderai. Pernah kena sekali haritu. Ada batu melantun dari lori ni. Kuat la jugak walaupun batu tu kecik cinonet dan meninggalkan kesan pada cermin hadapan bahagian pemandu. Mujurlah tak retak teruk.

Kalau menghala ke Shah Alam, aku selalu berbelah bagi nak lalu jalan mana. Jalan dalam, atau luar. Kalau ikut dalam, aku akan belok ke Johan Setia. Tak ikut Jenjarum sebab Jalan Sukepi tu harami. Lubang sana sini dan tak rata. Sian Mrs. Kanc. Antara faktor yang perlu ditimbangkan adalah jumlah lampu isyarat yang ada dan kadar kesesakan trafik. Sebab ragu-ragu, aku ikut jalan luar je. Kiraan jarak bermula dari lampu isyarat di simpang Johan Setia tu. Kalau ikut meter dalam kereta, aku guna meter yang belah bawah. Tapi aku tak pasti kiraan meter tu dalam unit meter/jam atau kilometer/jam. Aku rasa kilometer kot. Kalau kilometer, kiraannya adalah 12.5km dari lampu isyarat tu sampai cabang masuk ke Seksyen 7 lepas tol tu. Lampu isyarat pulak ada 8; susur keluar lebuhraya KESAS, depan ESSO berdekatan AEON Bukit Tinggi, simpang ke Bandar Botanic, simpang ke Batu Unjur, depan hospital, depan masjid Ar-Rahimiah, simpang ke Taman Selatan, bulatan Simpang Lima. Cadangnya, waktu balik nak kira jarak untuk laluan jalan dalam. Tapi sebab aku singgah rumah Klang, maka tak dapatlah nak mengira. Lain kali gamaknya. Nanti aku catat dalam ni ye. Singgah rumah pun kejap je. Sekadar tengok peti surat dan angkut barang-barang peninggalan waktu duduk di sana dulu. Rupanya banyak barang peninggalan waktu praktikum dulu. Cuma ambik mana yang nak guna aje. Tak adalah nak menyapu ke lepak-lepak ke sebab habuk dia tebal yang amat.

Okey, selesai bab perjalanan. Mari masuk ke isi utama iaitu apakah yang berlaku di Shah Alam semalam dan berapa banyakkah hasil tangkapan. Mula-mula, ambik Faien di rumah kawan dia dulu sebab kalau terus jumpa di SACC adalah membazir. Kereta sorang satu, dah memenuhkan tempat letak kereta, bayaran parking lagi, kan ke membazir namanya? Sampai-sampai terus masuk ke parking SACC Mall. Jalan sikitlah nak ke SACC. Tak ramai orang pun. Tawaf dulu ruang pameran tu sambil singgah kejap-kejap ke booth-booth yang ada. Lepas tu, baru ke PTS. Cadangnya nak beli buku ini.

Nampak sekali aje masa di PBAKL haritu tapi tak tergerak hati nak beli. Bila cari di kedai buku, tak keluar lagi. Ingatkan ada jual kat sini. Punyalah aku tengok satu-satu buku yang ada. Tapi tak ada jugak. Bila tanya pada pembantu jualan yang bertugas, dia kata memang tak ada. Tak apalah, tak ada rezeki. Akhirnya, aku beli tiga buah buku aje di PTS ni. Aku punya sebuah aje, sebuah lagi aku hadiahkan pada Faien. Kemudian, pusing lagi. Kali ni cari novel pulak. Memang tujuan utamanya nak cari novel. Nak lengkapkan koleksi pengembaraan Laksamana Sunan. Singgah di booth Kaki Novel dulu. Faien kata novel Doktor Cinta tu best, jadi aku belilah. Memang dah lama gila tak beli novel santai ni. Dah sudah tu terus ke Karangkraf. Terus kaut Cinta Sufi dengan Sutera Bidadari. Belek-belek, jalan depan sikit, aku kaut lagi 2 buah karya Anis Ayuni dengan Aleeya Anesa. Faien yang berkalih sebelah aku terus tanya; "Eh, bila akak ambik lagi 2 ni?" Terkejut dia tengok aku kaut novel banyak-banyak. Hahaha... Terakhir, aku beli Kasih Yang Suci. Orang dok kata best, aku pun nak taulah best ke tak. Dramanya hari tu pun aku tak layan sebab TV kat rumah dah kena pajak dengan Abang-abang aku. Nak layan kat tonton.com, malas la pulak. Dah siap kaut, aku terus bayar. Berlama-lama karang, takut terkaut novel lain pulak. Hahaha... Sebab ada potongan 20%, beranilah aku kaut banyak-banyak. Kalau tak, tak ada maknanya.
Hasil tangkapan

Sebelum ke SACC Mall, solat dulu di tingkat 1. Suraunya agak besar dan selesa. Baguslah urusetia pesta buku ni. Masuk waktu je mereka siarkan azan dan kemudian buat pengumuman tentang lokasi surau. Bagus...bagus... Dah solat, kami ke SACC Mall untuk isi perut. Sementara menunggu tetamu kehormat yang kejap kata boleh jumpa, kejap kata tak jadi jumpa dan akhirnya datang jumpa jugak, kami pusing-pusing dulu dalam SACC Mall tu. Sempat juga aku rembat beberapa buah penanda buku di MPH. Perut masing-masing dah berkeroncong. Lama betul tetamu kehormat tu nak sampai. Dalam pukul 3 kot baru nampak muka. Dah sampai tu, Tuan Presiden kata dah kenyang la pulak. Haish, sape suruh makan? Kan dah janji nak belanja makan. Dalam kenyang-kenyang pun, bukan main tamak tu dengan ice blended dia. Tak baik tahu. Hehehe...

Ini yang kami pilih. Tak tahu nak makan apa, kami pilih set untuk 4 orang walaupun ada orang tu kata tak nak makan piza. Siapalah orang tu ek? Hahaha..

Pencuci mulut. Chocolate volcano yang sedap dan besar. Nasib baik kongsi 2 orang, kalau tak rasanya ada yang muntah kekenyangan.

Pemandangan selepas. Lebihan 2 keping piza aku suruh orang bujang 2 orang tu bawak balik. 

Lepak di Pizza Hut lama jugak. Hanya Tuan Presiden dan Dzul aje yang datang. Encik Presiden tak datang. Sibuk katanya. Ifdal pulak kerja. Tak ada rezeki nak makan piza ye Ifdal. Tak apa, lain kalilah. Lepas hantar Faien, aku terus gerak ke rumah Klang sebelum balik Banting. Sebab bertolak pun dah pukul 6, haruslah jalan sesak sikit. Waktu puncak orang balik kerja. Alhamdulillah selamat sampai di rumah kurang lebih pukul 7.

Nota: Sedari, maaf tak ajak awak untuk kali ni sebab saya dah lama janji nak jumpa dengan Tuan Presiden. Kira tujuan lain ke Shah Alam kali ni ialah nak berjumpa dengan beliau. InsyaAllah sesi lain nanti kita jumpa ye.