Engagement Fund ;)

Tuesday, 27 September 2011

Bila?

Tempoh hari, Cik Sepupu ada tanya aku; "Ko ni bila nak beli handphone baru? Dah banyak kali cakap nak beli, tak beli-beli jugak." Cenggitulah lebih kurang soalan dia. Kemudian aku berkata; "Tu la, bila ada bajet je tak ingat nak beli handphone dah. Beli periuk belanga lagi best. Beli kasut ke, baju ke" Ahahaha.... Yep, tak tipu. Kalau nak, boleh je aku peruntukkan untuk beli telefon. Tapi aku sibuk fikir nak beli periuk belanga je walaupun masaknya tak seberapa.  Sekurang-kurangnya kalau orang tayang periuk belanga canggih, aku pun boleh tayang aku punya jugak. Boleh? Kahkahkah... Sekarang ni aku cadang-cadang nak beli non-stick frying pan dengan non-stick grill pan yang promosi dekat Parkson nun. Kekdahnya, kalau ahli kad Bonuslink berbelanja kat Parkson sebanyak sekian sekian ringgit dalam satu resit, boleh dapat 10 mata terus. Kemudian, bawak kupon mata tu untuk beli periuk belanga yang berkenan di hati dengan potongan sebanyak 60%. Kelabu mata haku dibuatnya. Banyak kurangnya tu. Takpe, promosi tu sampai Februari tahun depan. Ada rezeki, dapatlah beli. Hehehe...

Okey, berbalik kepada tujuan utama entri ini; pembelian telefon baru. Sebaik saja syawal menjelma, aku mulakan balik aktiviti menonton drama Korea. Tambahan pulak ada pembekal drama baru percuma, lagilah masyuk nak melayan kan. Jadinya, bila hari-hari dok tengok Korea ni, hari-hari jugaklah aku tergoda dengan telefon bimbit yang mereka pakai. Macam hensem pulak pakai phone touch screen ni. Hiks... Maka mulalah aku berazam nak beli satu. Pengaruh kuat betul! Masaalahnya, rekaan Nokia tak berapa nak hensem pulak. Rekaan yang hensem setakat ini adalah Samsung, Sony Ericsson dan LG. Tapi, aku tak pernah pakai telefon selain jenama Nokia. Takut la juga tak tahan lasak. Aku ni bukannya jenis yang suka tukar-tukar telefon. Sekali beli, pakai la sampai lebam. Jadi, tengah keliru sekarang ni. Mana satu ye?




Sony Ericsson Xperia Mini x10 kah?





Samsung Galaxy Fit kah?

Samsung Galaxy Mini kah?








atau












Sony Ericsson Xperia Mini X10 Pro kah?


Aik, kenapa semuanya mini? Dah kata bajet mini, beli yang mini sudahlah. Tahukah anda bahawa terdapat rakyat Malaysia menjadi muflis kerana berbelanja mengikut kehendak hati, bukan mengikut kemampuan? Juga, ramai rakyat Malaysia terbeban dengan hutang yang melampau kerana sebab yang sama? Itulah yang hangat diperkatakan sekarang. Kalau anda membaca akhbar The Star, akan ada satu ruangan khas untuk isu ini. Jadi kalau mampu beli yang mini, belilah yang mini. Tak ada hutang, hati senang. Cukup-cukuplah hutang yang ada tu. Oh, kalau nak tahu spesifikasi telefon-telefon yang tertera di atas, boleh terus ke sini ye. Jenama LG tak tersenarai sebab tak ada yang mini. Kalau ada yang nak taja aku beli LG, boleh la bagi tau deh! Kikiki...

Monday, 26 September 2011

Biskut Koko Oat


Bahan-bahan: 
275gm mentega
1 ¾ cawan gula perang
2 cawan tepung gandum
½ cawan tepung jagung
½ cawan serbuk koko
1 sudu serbuk penaik
2 sudu esen vanila
1 biji telur
1 ½ cawan oat
½ cawan susu tepung

Cara membuat:
Pukul mentega bersama gula hingga kembang. Masukkan esen vanila dan telur. Tepung yang telah diayak disatukan dengan oat dan susu tepung. Masukkan sedikit demi sedikit tepung ke dalam adunan mentega. Gaul perlahan hingga menjadi doh. Canai dan terap dengan aduan yang disukai. Tabur oat sebagai hiasan. Bakar pada suhu 180 darjah selama 16 minit.

Nota: Biskut ni pun aku buat malam raya jugak. Antara biskut yang dapat sambutan ramai. Jadi kalau tak buat, macam tak raya jugak. Biskut ni adalah sangat senang nak buat dan menjadi antara biskut yang aku takkan beli sebab dia adalah sangat senang untuk dibuat. Jadi, janganlah malas nak buat biskut ni ye. Hehehe...Resepi ulang tayang sebenarnya. Dah pernah taruk kat sini, tapi malas nak korek. Jadi, taruk jelah balik ye.

Biskut Coklat Cip


Bahan-bahan
350 gm mentega
300 gm gula merah
3 butir telur
500 gm tepung kek
20 gm serbuk penaik
20 gm serbuk koko
400 gm coklat cip
100 gm walnut

Cara membuat
1.
Pukul mentega bersama gula hingga kembang. Masukkan telur satu persatu dan pukul perlahan.
2. Masukkan pula tepung kek, serbuk penaik, serbuk koko dan pukul hingga sebati.
Kemudian masukkan  coklat cip dan walnut.
3. Sudukan adunan dan bakar selama 15 minit - 20 minit.

Nota: Resepi ini memang boleh diguna pakai. Tak jauh beza rasa dengan Famous Amos punya biskut. Hehehe...Cuma satu adunan ni agak banyak. Kalau tengok sukatan dia pun boleh nampak dah. Biskut ni aku buat malam raya sebab kalau tak ada biskut ni, macam tak ada perasaan nak raya. Hiks...

Pandan Somalina


Bahan A
150gm mentega
50gm minyak sapi
100gm gula kastor
Pewarna hijau-pes pandan

Bahan B
250gm tepung gandum
50gm tepung kastad
40gm tepung ubi
20gm tepung suji
20gm kelapa kering
40gm serbuk walnut

Hiasan – bijan hitam

Cara membuat
Putar mentega, gula dan minyak sapi hingga lembut. Masukkan pewarna dan pes pandan. Campurkan semua tepung dan diadunkan bersama bahan A. Canai, terap dan sapukan putih telur serta taburkan bijan hitam. Bakar hingga masak.

Nota: Biskut aku tak berapa nak rasa pandan dan tak berapa nak hijau. Aku letak 1 camca pewarna hijau dan 1 camca esen pandan. Tepung suji aku tak jumpa, jadi aku lebihkan tepung ubi dengan tepung kastad. Akhirnya, adalah rasa biskut. Hahaha.... cuma tak rasa pandan je. Hiasan pulak aku ganti dengan gula hiasan bentuk hati tu sebab cari bijan hitam tak jumpa.

Biskut Weekender Coffee

Bahan-bahan:
100gm mentega
20 gram lelemak sayur
60gm gula perang
2 sudu besar susu pekat
1 sudu teh nescafe
2 sudu besar air panas
120gm tepung gandum
1/8 sudu teh soda bikarbonat
20gm tepung jagung
60gm cornflakes
50gm kelapa kering
1 biji kuning telur

Cara membuat:
Larutkan nescafe dengan air panas. Sejukkan. Pukul mentega, lelemak sayur, susu pekat, tepung jagung dan gula perang hingga kembang. Kemudian masukkan kuning telur, gaul sebati. Masukkan semua bahan kering dan gaul hingga menjadi doh lembut. Canai dan terapkan. Glaze dan hias dengan ceri merah. Bakar pada kepanasan 160 darjah selama 20 minit. 

Nota: Walaupun rupa dia tak berapa nak hensem, tapi tetap ada rasa biskut. Rasa kopi je takde sebab aku taruk mocha emulco dengan kuantiti untuk satu adunan padahal buat biskut ni dua adunan. Akhirnya, jadilah macam rasa biskut cornflakes saje.

Baru Nak Gebang...

Dalam ATN, masih belum ada cerita tentang rayaku. Rasa macam tak ada cerita sangat, tapi bila ingat-ingat balik, ada pulak ceritanya. Hehehe... Yang pasti sejak ketiadaan mak, raya kurang terasa. Sekarang baru aku tahu kenapa aku paling banyak kena marah waktu hari raya. Iye, waktu rayalah aku paling banyak kena marah dengan mak dulu-dulu. Habis, dah aku je yang tinggal kat rumah, haruslah aku yang kena kan? Waktu raya tenaga kerja dan kerajinan WAJIB ditingkatkan; lebih banyak daripada hari biasa sebab bukan kita aje yang ada kat rumah tu, tapi ada juga orang luar yang datang bertandang. Tahun ni rasanya paling meroyan sekali sebab semua benda aku nak kena fikir. Mana nak buat kuih raya, nak kemas rumah, nak pasang langsir, nak masak. Tahun lepas kurang terasa sebab aku baru-baru lagi duduk di rumah. Dah tu pulak, raya tahun lepas tak cuti lama sebab baru sangat mula kerja. Jadi angin royan tu tak rasa sangat.

Raya macam orang lain jugak cuma kurang berjalan dari rumah ke rumah. Tetamu yang datang pun tak seramai macam waktu mak ada. Sebabnya anak-anak buah belah mak paling ramai berbanding abah. Mungkin itu sebabnya kurang meriah kot. Kalau dulu, dari raya pertama sampai keempat memang aku duduk kat dapur je masak untuk tetamu. Lepas sarapan terus duduk dalam dapur tak keluar-keluar sampailah petang. Kenangan suatu masa dulu. Tahun ni, aku tak masak bersungguh pun. Menu pagi raya adalah rendang kerang dan mentaram. Pertama kali buat dua juadah ni. Nak kata menjadi dengan sedapnya, tidaklah. Tapi adalah rasa. Cuma aku dah tahu, mentaram aku ni tak boleh lawan mentaram arwah mak. Oh, untuk Cik Muda Dayya, resepi mentaram akan dikongsikan kemudian ye. 
Mentaram

Rendang kerang

Kesimpulannya, raya tahun ni banyak ke rumah orang kahwin yang mana adalah seronok! Hehehe... Aku kan suka pergi kenduri, memang la. Raya ke-5, hantar rombongan Abang Rashid ke Teluk Intan. Minggu berikutnya ke Rantau Panjang, anak saudara kahwin. Esoknya ke Jinjang, majlis sambut menantu Cik Runner Sue. Jemputan rumah terbuka pun boleh tahan banyak. Jemputan dari staf aje dah berapa. Tapi semuanya aku tak pergi dengan sebab yang pelbagai. Tapi sebab utama adalah kerana tiada yang meneman. Sob..sob..sob.. Maaf kerana tak dapat penuhi undangan kalian semua; Pn. Laily, Kak Nor, Bos besar, Encik Azli, dan Kak Ila. Nanti aku kongsikan resepi biskut-biskut yang berjaya dibuat tahun ni ye.

Sudah 2 Tahun

Dulu bila mendengar berita mengenai kawan-kawan yang kehilangan ibu, aku tertanya-tanya bagaimana perasaan mereka dan bagaimana mereka menangani kehilangan tiba-tiba tersebut. Beberapa teman rapat yang kehilangan ibu ku lihat biasa-biasa saja. Mampu tersenyum dan mampu menjawab bila ditanya. Tidak sedihkah mereka? Atau mereka sangat kuat dan tabah dengan apa yang terjadi? Bila ini terjadi padaku, barulah aku faham bagaimana rasanya. Aku? Sampai sekarang pun masih tak mampu bercerita tentang kehilangan mak. Masih belum cukup gagah untuk ke pusara mak. Pasti akan tumpah air mata tiap kali ke sana.

Hari ini, 28 Syawal 1432 genaplah 2 tahun mak meninggalkan kami semua. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-fatihah untuk arwah mak...

Friday, 23 September 2011

Seronok!

Malas nak menulis. Tapi mahu menggambarkan kemeriahan sambutan raya di sini. Tahun ini, masa agak sendat untuk mengadakan jamuan raya memandangkan minggu ini sibuk dengan ICE 11'. Maka bahagian bengkel semua berebut masa buat jamuan raya minggu lepas. Hari ini, Bahagian Pentadbiran, Kewangan dan Unit pulak. Mula-mula tak ada perasaan. Tapi bermula petang semalam, masing-masing sibuk nak hias Bahagian masing-masing. Semua kalut nak pinjam props jamuan raya budak-budak minggu lepas. Siap ada Unit yang import pelajar untuk pasang lampu kelip-kelip lagi. Bila dah nampak meriah macam ni, barulah yang lain pun jealous. Bos pulak tiba-tiba kata ada pertandingan antara Unit. Lagilah.... riuh-rendah satu pejabat dibuatnya. Nasib baik pondok buluh bengkel Multimedia dah selamat diceraikan. Kalau tak, pastinya pondok buluh tu dah ada dalam pejabat ni. Kahkahkah... Semangat raya sungguh!

Memandangkan setiap Unit perlu menjadi tuan rumah, maka kenalah bawa makanan dan aku sukarela nak masak lasagna. Kebetulan barang-barang yang susah nak cari di Banting macam keju mozarella dan parmesan dah beli haritu, jadi cuma tambah mana yang perlu. Cadangnya nak masak inti siap-siap malam tadi supaya pagi ni tak adalah kelam-kabut. Disebabkan kemalasan melanda, maka aku cadang bangun pagi buta nak buat dari A sampai Z pagi ni. Pukul 4, N6085 dah berbunyi. Mata berat lagi. Sambung kejap. Dekat pukul 5 jugak baru aku bangun betul-betul. Watak utama adalah Lasagna Tuna. Jadi mula masak intinya. Dah separuh jalan, aku jeling bekas garam. Alamak, garam habis! Belum gelabah lagi sebab selalu memang ada sepeket garam dalam simpanan. Selalunyalah.

Nak dijadikan cerita, simpanan garam tu pun tak ada. Ah, sudah! Macam mana ni? Aku toleh jam, baru pukul 5.30 pagi. Kedai mana yang buka pagi buta ni? Termenung kejap depan dapur tu. Habis satu dapur aku imbas cari pengganti garam. Aku nampak botol serbuk belacan bakar. Hoih, takkan ko nak letak belacan dalam lasagna kot? Buang tebiat ke? Tak jadi lasagna kang. Hahaha... Aih, payah ni. Fikir punya fikir, aku teringat 7Eleven. Mesti ada garam kan? Tapi... jadah apa aku nak keluar ke Banting waktu pagi macam ni? Akhirnya aku tawakal je taruk sos ikan. Sos ikan memang boleh memberi rasa masin pada makanan. Cuma tetaplah pelik kalau letak sos ikan dalam lasagna. Apa hal pulak makanan Itali ada unsur-unsur Thailand kan? Darurat ni, aku belasah je. Nasib baik rasanya seimbang. Fuh...selamat. Cuma tak jadi buat Roti Lapis Daging sebab tak ada garam. Tak syok nak masak.

Maka dengan menggunakan sos ikan sebagai pengganti garam, terhasillah 2 bekas Lasagna Tuna dan 1 bekas Lasagna Daging. Cuak jugak dengan kesedapannya sebab; pertama, dah lama sangat tak melapis lasagna dan dua, terpengaruhkah rasa lasagna dengan kehadiran sos ikan? Kemusykilan terjawab sebaik saja rombongan pengurusan tertinggi menjejakkan kaki ke rumah BKKL dan memberi komen positif. Nasib baik.... Pengajaran, belilah garam banyak-banyak buat simpanan dan sentiasalah periksa stok garam anda. Sekian...

 Beef lasagna in the making..

Ready to serve Tuna Lasagna...siap ada cake tester nak uji dia dah masak ke belum...hehehe

Thursday, 22 September 2011

Oh, Sabarlah!

Latar masa: Isnin - 19 September 2011
Latar tempat: Sekitar Banting

Disebabkan Acik sibuk macam semut 3 hari lepas, maka baru hari ni dapat luangkan masa sikit merapu menulis di sini. Perkara yang paling menggelisahkan bagi aku adalah apabila hutang bulanan tak dilangsaikan lagi. Haihhhh! Bil-bil pun tak bayar lagi, tiba-tiba datang pulak surat dari AVON kata aku ada hutang. APAKAH???? Aku memang PASTI aku dah bayar segala hutang piutang kredit yang ada sebelum menyepikan diri. Beli untuk kegunaan sendiri, banyak manalah sangat pun kan? Maka dengan gigihnya lepas pulang dari kantor, aku mula melaksanakan apa yang dirancang.

Mula-mula pergi cuci kereta dulu sebab dah lama gila tak Mrs. Kanc tak mandi. Azam nak basuh sendiri, cuma tinggal azam. Hahaha... Dah siap cuci kereta, aku terus ke AVON untuk tanya berkenaan hutang tu. Tunjuk surat hutang dan dia pun tengok dalam rekod. Lama jugak la dia cari maklumat tu. Lepas tu dia kata; "Oh, hari tu ibu pejabat kemaskini semua akaun wakil yang ada keistimewaan kredit ni. Maka mana-mana ahli yang lama tak aktif akan ditarik keistimewaannya kalau tak buat pembelian dalam kempen bla bla. Waktu tu pun memang kami kelam kabut nak uruskan benda ni dan tak sempat nak telefon akak. Jadi kami TOLONG BUATKAN PEMBELIAN untuk elakkan akaun akak daripada dihapuskan. Kami 'belikan' barang daripada kempen tersebut iaitu bla bla bla bla yang berjumlah RM 24.05. Jadi, nak ambik ke barang tu?" Aku dah la macam blur blur waktu tu. Aku cuma kata iye je. Sekali dia bawak keluar 6 botol deodorant iaitu barang berjumlah RM 24.05 yang mereka 'belikan' tu. 6 botol??? Agak-agak la weh. Siapa nak pakai banyak-banyak tu? Aku pun sekarang tak pakai deodorant AVON dah. Kalau minyak wangi ke, bedak ke, tahan la lagi. Maka ketidakpuasan hati aku bertukar ke tahap 3. Aku tanya; "Kalau tukar barang lain, tak boleh ke? Banyak sangat ni, siapa nak pakai?". Budak yang jaga kaunter tu macam teragak-agak. Budak baru kan, memang cenggitulah. Kemudian dia panggil satu staf yang memang dah lama dan tanya pada dia. Staf tu kata; "Erm, tak bolehlah sebab barang ni memang daripada kempen tu dan kempen tu pun dah lama sangat. Jadi macam mana?" Aku macam nak protes jugak sebab tak puas hati kena bayar benda yang aku tak beli. Cuma, aku jenis yang protes dalam hati je sebab aku bukanlah jenis yang nak menyusahkan orang ke apa. Aku tau, susah nak berunding dengan orang yang protes terang-terangan. Perkara terbaik adalah; SABAR. Akhirnya aku jawab dengan nada sinis; "Nak buat macam mana? Benda dah jadi. Kalau saya kata tak boleh pun, saya tetap kena bayar kan?" Berubah juga muka akak tu. Geram tahu! Patutnya telefonlah dulu bagi tau. Pelanggan ni kena jaga, bukan khianat. Sebab nak jaga hati, dia bagi pouch percuma.


Sebenarnya tak kisah pun kalau dia tarik keistimewaan kredit tu sebab akaun tu arwah mak punya. Waktu aku nak terminate akaun tu dulu, dia kata masih boleh guna walaupun orangnya dah tak ada. Aku guna jelah sebab bukan selalu pun aku beli. Malas nak panjangkan cerita, aku bayar jelah RM 24.05 tu. Sekali, adik tu tanya; "Kenapa dah lama tak beli barang?" Kenapa? Kan dah kata, aku beli untuk pakai sendiri je. Banyak manalah sangat pun. Itu pun pakai waktu rajin je. Kalau dah lewat nak pergi kerja, tak ada masalah aku nak pakai make-up base, foundation bagai. Tepek bedak Johnsonn sudeh! Bila dah sampai rumah, baru aku terfikir. Patutnya aku cakap macam ni kat adik tu tadi; "Akak sekarang tak guna sangat mekap cap AVON. Lagi best pakai produk CLINIQUE." Muahahaha.... Berangan la kau nak guna mekap CLINIQUE! Bedak padat dia pun dah dekat RM100. Lepas ni aku nak terminate jelah akaun tu. Karang jadi macam ni lagi, tak pasal-pasal nama arwah mak tercemar kerana hutang dan aku kena bayar benda yang aku tak nak. Haihhhhhhh!


Dah sudah tak puas hati, aku ke Celcom pulak nak bayar bil Broadband. Boleh pulak aku tak ingat yang aku tak bayar lagi bil tu. Masa tu dah pukul 6.30 rasanya dan orang pun agak ramai jugak yang nak bayar bil. Lama juga tunggu bila dia cakap; "Sistem dah tutup la kak. Boleh tak kalau akak tinggalkan bayaran dan kami proceed esok?" Aku pun, APAKAH??? Haihhhhh lagi sekali. Tak mau aku tinggalkan duit camtu, kang dia tak proceed aku jugak yang rugi. Maka keluarlah dengan hampa dari Celcom.


Teruslah ke pasar malam membeli santapan untuk makan malam. Dah dekat maghrib waktu tu, tak kuasalah aku nak masak dah. Tak masak kang, Abah tanya; "Ko tak masak ke Dik?" Dah aku sorang je perempuan kat rumah tu, haruslah aku yang masak kan? Tak ada maknanya Abang-abang aku nak masak. Waktu belok Jalan Masjid, azan berkumandang. Walaupun masih tak puas hati, tapi lega sikitlah sebab hutang tu dah langsai. Serabut otak aku nak fikir banyak benda ni. Haihhh...!


Nota: Entri ni tak ada gambar sebab malas nak letak. Sekian terima kasih.

Tuesday, 13 September 2011

Magnum Classic

Status: Tak berapa nak rajin
Objektif Entri: Saja nak penuhkan kuota entri setiap bulan...kahkahkah...
Masa Kejadian: 12 September 2011, selepas waktu kerja

 Lepas setengah bulan raya, barulah aku dapat beli sampul duit raya ni. Kepada anak-anak saudara yang belum datang beraya, insyaAllah acik kau orang ni akan bagi duit raya bersampullah ye.

 Pengaruh iklan + angin royan datang. Selamat RM 3.80 aku masuk dalam akaun Walls. Sedappp!!! Terasa betul 'kecoklatannya'. Didatangkan dengan 3 perasa: vanilla, almond & chocolate truffle


Selepas beberapa gigitan. Ermmm...nyaman rasanya. AMARAN: Makanan ini boleh menggemukkan.

Thursday, 8 September 2011

Naik Taraf

Gaji oh gaji... Menunggu mesej cinta dari Encik BIMB yang tak kunjung tiba. Hehehe... Cadangnya hari Ahad ni nak ke majlis sambut menantu Puan Suliza di Kepong. Maka, kenalah jimat cermat sebab nak guna duit banyak kan. Duit minyak, duit hadiah, duit melencong-membeli-belah, duit tol.....Kadang-kadang, bila fikir soal duit ni aku teringat seorang pensyarahku dulu. Waktu mengajar kami, dia sedang membuat Ph.D. Dalam kelas, dia selalu cakap; "Saya sambung belajar sebab saya nak beli TV LCD." Beliau cakap Inggeris la, aku terjemah jadi Melayu. Kitorang gelak-gelak aje dengar beliau cakap macam tu. "Betullah. Bila saya dah dapat doktor, mesti taraf saya jadi lebih tinggi. Bila taraf jadi tinggi, mesti gaji naik tinggi. Bila dah ada banyak duit, bolehlah saya beli TV LCD idaman saya tu." Kami gelak-gelak lagi dan dia pun tergelak sama. Beliau salah seorang pensyarah yang sempoi dan best! Zaman tu, TV LCD tak murah macam sekarang. Harga paling murah pun mencecah 5K. Tapi, betul jugalah apa yang beliau katakan. Bila taraf ilmu kita tinggi, nilai kita juga menjadi lebih tinggi. Aku pernah juga terfikir-fikir nak sambung Master. Sudah beberapa kali mencari program yang sesuai. Carian yang sekadar di pinggiran. Cuma bila dua sahabat karibku bertanya tentang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, aku seperti memikirkan perkara ini adalah perlu. Tapi masih belum membuat keputusan muktamad. Masih belum bersedia untuk bergelumang dengan buku lagi..

Selain daripada persoalan naik taraf ilmu, aku telah menemui jawapan kepada satu persoalan yang berlegar-legar di ruang minda ini iaitu; "Mengapakah marker pen cap Artline aku ni tak mengeluarkan dakwat padahal aku dah tuang sebotol dakwat isian semula ke dalamnya?" Gila lama baru nak terjawab persoalan ni. Semalam lepas habis kelas, aku duduk sambil belek-belek kotak berisi botol dakwat isian semula marker pen cap Artline sementara nak hilangkan lelah. Aku baca huruf demi huruf, pusing-pusingkan dia, belek-belek lagi. Kemudian, aku keluarkan marker yang aku ada dan aku tengok marker baru yang diberikan oleh Kak Reen. Entah macam mana, untuk bacaan rawak kali ke dua, aku perasan sebaris ayat; "Jangan gunakan pada EK 500." Terus aku angkat marker aku yang dah 'mati' lepas kena isi dengan dakwat baru tu dan marker yang baru aku dapat. Aku pusing-pusing, baca tulisan atas badan marker, aku tepuk dahi! Terdetik di hati; 'Patutlah dia tak hidup-hidup walaupun dah sebotol aku tuang dakwat! Sebabnya, dakwat tu HANYA untuk EK 500A. Marker aku ni 500 je.'
 Ini kotak untuk dakwat biru

Ini pulak kotak dakwat hitam

Hahaha... misteri terungkai. Marker pun dah naik taraf. Celah mana aku nak cari dakwat isian semula untuk marker zaman batu aku ni? Rasanya yang dijual di kedai-kedai alat tulis semuanya untuk maker 500 A. Nak buang, sayang. Nostalgia tu! Aku beli marker ni waktu belajar lagi. Bukan sebatang aje, ada lebih daripada 2 batang. Sayang pulak nak buang. Nampaknya macam kena redah kedai yang klasik-klasik sikit untuk menemui dakwat isian semula bagi marker 500 aku ni.

Satu lagi benda yang dah naik taraf adalah komputer riba. Bila aku bawak keluar Permataku, semua buat muka mesmerise dan amazed tengok Permataku yang besar gabak ni. Hahaha... Lepas tu adalah beberapa orang tanya soalan kagum; "Miss, laptop tahun bila ni? Besarnya?" Aku jawablah laptop ni dari zaman aku belajar lagi. Besar? Senang cikgu kau ni nak tengok drama Korea (jawab dalam hati jelah yang ini). Hakhakhakhak....


Alhamdulillah, setakat ni tak pernah rosak lagi. Cuma dah beberapa kali format disebabkan virus. Baru-baru ni, warganegara semut pulak suka masuk laptop aku ni. Tak faham betul. Pantang aku letak laptop dalam bilik, habis kena hurung. Nasib baik bila tukar beg laptop serangan semut beransur kurang dan akhirnya tiada sebab beg baru ni lebih rapat binaannya. Kalau tak, jenuh la aku nak cari tempat yang semut tak dapat kesan. External hard disc aku pun cenggitu jugak, berduyun-duyun semut masuk sampai terpaksa masukkan mereka ke dalam bekas kedap udara. Barulah selamat. Semut sekarang ni, dah maju nampaknya. Nak buat rumah dekat barang-barang jenama aje.

Monday, 5 September 2011

Wakaf

Sebenarnya, dah lama nak kongsi tentang wakaf ni. Tapi asyiklah malas nak menaip. Makanya maklumat yang diperoleh daripada taklimat ringkas oleh Perbadanan Wakaf Selangor tempoh hari, terperuk dalam Buku Rahsia Kerajaan versi 2010/2011. Kikiki...

Seperti yang dikatakan oleh seorang sahabat, 'Tak kenal, maka taaruf'. Jadi sebelum bercerita lebih lanjut, mari aku kenalkan siapa Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) ni. PWS adalah merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor yang pada asalnya adalah Unit Wakaf yang bernaung di bawah MAIS. PWS telah diisytihar penubuhannya pada 11 Januari 2011. Objektif penubuhan PWS adalah untuk:

  • Mengembali dan mengembangkan budaya berwakaf di kalangan umat Islam.
  • Menggalakkan amalan berwakaf harta alih dan tidak alih
  • Membangun dan memajukan hartanah wakaf sedia ada dan baru dengan projek yang berdaya maju dari segi ekonomi dan sosial.
  • Menggunakan hartanah wakaf dan manfaatnya secara optimim dan berkesan.
  • Memenuhi niat dan hasrat pewakaf serta memastikan hartanah wakaf tidak terbiar dan lupus.

Apakah yang dimaksudkan dengan wakaf?
Wakaf adalah satu ibadah menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan umum dan khusus dengan niat sebagai ibadah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Dalil-dalil Wakaf
Antara dalil yang disebutkan dalam Al-Quran mengenai wakaf adalah daripada surah Ali Imran ayat 92 yang bermaksud;
"Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kepada kebajikan yang sempurna, sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui".

Manakala bagi hadis, Rasulullah turut menyebut tentang wakaf ini dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud;
"Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali 3 perkara, Sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kepadanya."

Para ulama' berpendapat bahawa amalan wakaf adalah satu-satunya ibadah yang berbentuk sedekah jariah dan ianya mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya;
1. Menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir kepada pewakaf hingga ke hari akhirat selagi harta tersebut kekal dan dimanfaatkan.
2. Satu sistem yang berpotensi untuk menyumbang kepada kesejahteraan sosial masyarakat Islam melalui konsep pengumpulan harta bersama.
3. Pengecualian cukai hingga 7% .
4. Menjadi penyelamat ketika melalui titian sirat. Harta yang diinfak akan menjadi tunggangan yang sepantas kilat ketika melintasi titian sirat.

Selain itu, amalan wakaf juga boleh memberi manfaat kepada orang yang berwakaf dalam segala segi. Contohnya, seseoarang itu mahu mendidik anak-anaknya menjadi soleh. Maka, apabila dia mewakafkan hartanya, hendaklah dia berniat; "Ya Allah, seandainya ada manfaat daripada harta yang aku wakafkan ini, kau berikanlah manfaat daripada wakaf ini kepada anak-anakku supaya menjadi anak yang soleh." Begitulah caranya. Niatkan supaya manfaat ibadah wakaf tadi disalurkan kepada apa yang kita hajatkan. Allah juga turut berfirman dalam Surah Hud ayat 114 yang bermaksud;
"Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada ketika-ketika yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah- perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat."

Terdapat banyak lagi kelebihan berwakaf lain tapi inilah yang sempat disalin dan tertulis dalam pamplet yang diberikan. Sebuah lagi hadis mengenai anjuran bersedekah (berwakaf) ini adalah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud;
Daripada Abu Hurairah r. a berkata : " Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s. a. w lalu bertanya : Ya Rasulullah! Sedekah manakah yang lebih besar pahalanya? Nabi menjawab : Sedekah yang engkau berikan, sedangkan engkau pada masa itu masih sihat dan engkau bakhil (merasa sayang untuk mendermakan harta), engkau takut menjadi fakir dan engkau berangan-angan untuk menjadi lebih kaya. Maka janganlah engkau menangguhkan sedekah sehingga apabila ruh sampai di kerongkong, lalu ketika itu baru engkau berkata : Untuk si polan harta ini, untuk si polan harta ini, pada hal harta engkau itu memang akan dimiliki (diwarisi) oleh orang lain. 


Saham Wakaf Selangor
Jumhur ulama' juga mengharuskan wakaf harta boleh alih. Tidak semestinya tanah atau bangunan saja. Oleh sebab itulah diwujudkan Saham Wakaf Selangor (SWS) ni. SWS adalah satu cara berwakaf melalui wang tunai iaitu dengan cara membeli unit-unit saham yang ditawarkan oleh MAIS sebagai pemegang amanah dan mewakafkan unit-unit saham tersebut selama-lamanya kerana Allah SWT dengan tujuan demi kepentingan dan kebajikan ummah.

Bagaimana Menyertai SWS?
1. Penyertaan hendaklah menggunakan borang yang disediakan dan boleh dikemukakan dimana-mana kaunter yang disediakan.
2. Kadar penyertaan minimum adalah RM10 (seunit) dan tiada kadar maksimum.
3. Penyertaan terbuka kepada orang ramai dan juga organisasi.
4. Setiap peserta tidak menerima sebarang bentuk dividen atau keuntungan kerana ianya bersifat wakaf (sumbangan kekal)
5. Penyertaan juga dibolehkan bagi pihak wakil mana-mana individu yang telah meninggal dunia atau masih hidup.

Selepas membaca syarat-syarat di atas, tidak ada alasan untuk kita berbakti kepada kedua ibu bapa walaupun mereka sudah tiada di dunia ini. Macam aku, lepas dengar taklimat ni baru tersedar aku tak buat amalan pertama dalam hadis diatas iaitu sedekah jariah untuk arwah mak. Yelah, tiap bulan bagi duit pada Abah je, pada mak tak ada apa-apa. Dengan adanya SWS ni, insyaAllah aku akan istiqomah mewakafkan sedikit daripada gaji yang diterima atas nama arwah mak. Jangan risau, bukan dengan cara mengisi borang aje, masih ada beberapa cara lain untuk wakaf ni seperti;

  • Mengunjungi  Kaunter Bahagian Baitulmal & Mal MAIS
  • Pejabat Agama Islam Daerah
  • Kaunter Lembaga Zakat Selangor
  • Ejen Penerangan & Kutipan
  • Skim Potongan Gaji
  • Pos
  • E-Mals (www.mais.gov.my)
  • Bank Simpanan Nasional (BSN)
  • Bank In ke akaun Bank Islam:
    • Perbadanan Wakaf Selangor: 12 038 01 010810 6
Mudah bukan? Bagi yang sudah berjawatan tetap, mungkin lebih mudah kalau potong melalui gaji. Atau kalau dah banyak sangat potongan, boleh bank in saja. Cuma sebelum nak bank in, kena niatkan wakaf tu untuk siapa. Contohnya kalau untuk arwah mak atau ayah atau untuk anak-anak atau ahli keluarga lain, niatkan dengan "Aku mewakafkan  RM ____ untuk _________________ (nama orang/almarhum/almarhumah) kerana Allah Taala". Begitulah niatnya. Kalau untuk diri sendiri, niatkan dengan "Aku berwakaf RM _____ kerana Allah Taala."

Inilah serba sedikit maklumat yang dapat dikongsikan bersama. Sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan, boleh terus lihat di laman web MAIS. Sesungguhnya, melakukan kebaikan itu sangatlah mudah dan setiap yang dilakukan itu berdasarkan niat. Jika kita berniat mahu melakukan kebaikan, insyaAllah akan dipermudahkan jalannya.

Belum Terlambat


Salam bertemu kembali selepas seminggu bercuti. Kerja cuti, blog pun senyap je. Malas aku nak kemaskini blog ni waktu cuti sebab sibuk makan kuih raya. Hahaha... Tapi masih belum terlambat aku nak buat Salam Perantauan ucapan selamat hari raya ni kot. Dikesempatan ini, Tuan Tanah ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maafkan salah silap yang tidak disengajakan atau yang sengaja dibuat kepada semua yang mengenali dan juga kepada pembaca blog marhaen ni. Acik dah kerja hari ni walaupun pejabat masih lengang. Sahabat-sahabat yang mengenali dijemput singgah ke teratak hamba di Korea Selatan Banting ni ye. Berkenaan program Terjah Raya 2011, akan acik cuba susun semula jadualnya. Mintak maaf banyak-banyak. Okeh, acik nak tengok balik kerja-kerja yang perlu dibuat untuk minggu ini. Rancangan mengajar 2 minggu sebelum raya acik tak buat. Otak dah ingat rayalah katakan. Hahaha... Semoga selamat semuanyalah ye.