Engagement Fund ;)

Sunday, 29 January 2012

Duduk Diam-diam

Lepas saja memenuhi undangan majlis perkahwinan kawan sekolah rendah dulu, mintak tolong Abah hantarkan ke Econsave. Pergh, nikmat sungguh membeli-belah ni! Beli barang dapur je pun. Hahaha... Penuh satu troli. Duit baru cucuk pun terus lesap macam diterbangkan angin. Resit pun bukan main panjang lagi; sama panjang dengan hanger baju. Duit sudah terbang, kenalah duduk diam-diam kat rumah. Maka bolehlah masak menu yang jadi igauan tu. Hehehe....


-Home-made burger (mengidam nak makan prosperity burger tapi tak ada pengangkutan nak pergi..jadi marilah bersilat kat dapur)

-Pizza (jalan-jalan blog orang, nampak pizza yang sungguh sedap dan macam senang nak dibuat)

-Bihun goreng (dah lama gila tak makan bihun goreng....nak buat ikut resepi arwah mak..nyum..nyum)


Published with Blogger-droid v2.0.4

Saturday, 28 January 2012

Mee Jawa

Sejak masuk tahun baru ni, rasanya belum letak apa-apa resepi lagi. Jadi kali ni nak kongsi resepi mee jawa yang aku buat tempoh hari. Minggu lepas kot. Dulu dah pernah buat sekali mee jawa ni. Seingat aku, waktu tu mak pun masih ada. Tapi kuahnya tak berapa sedap dan tak ingat pakai resepi mana. Jadi kali ni teringin nak makan tapi malas nak pergi beli yang dah siap kat pasar. Makanya, merajinkanlah diri mencari resepi dan bersilat kat dapur. Rasanya memang macam yang kat kedai. Cuma kena sesuaikan kepekatan kuah dengan selera masing-masing. Mari tengok resepi mee jawa yang aku jumpa dari rumah Kak Nor Secubit Garam ni. Resepi asal oleh Chef Hanieliza dan aku dah ubah-ubah sikit ikut kesesuaian bahan yang ada.



Bahan-bahan: (untuk 4 orang makan)
500gm mee kuning
1/2 kg daging - direbus dan dihiris nipis
300gm tauge
Sepokok daun bawang - dihiris
1 tangkai cili merah - dihiris
3 keping tauhu goreng - dihiris
3 biji kentang - direbus hingga empuk dan goreng salut tepung
2 biji telur rebus - dibelah
Bawang goreng

Bahan untuk kuah:
1/2 kg keledek - direbus dan dikisar

3 ulas bawang putih- dikisar
5 ulas bawang merah - dikisar
3 batang serai - dikisar
Sedikit halia - dikisar
100 gm udang kering - dikisar
2 sudu besar cili kisar
3 sudu besar serbuk kari daging
air rebusan daging
garam dan gula secukup rasa


Cara memasak kuah :
Panaskan minyak masak dalam periuk. Tumiskan bahan-bahan yang dimesin, rempah kari & cili kisar hingga garing dan pecah minyak. Masukkan keledek yang dikisar halus tadi. Tambahkan air rebusan daging mengikut kepekatan yang diinginkan. Akhir sekali, masukkan garam dan gula secukup rasa. Biarkan hingga kuah mendidih.

Masukkan mee yang dicelur dalam pinggan dan letakkan bahan-bahan sampingan dan kemudian tuang kuah atas mee tadi.

*Aku tak letak lengkuas sebab malas nak pergi ambik kat kebun. Limau kasturi pun tak ada sebab malas nak ambik kat kebun jugak. Hehehehe....
*Kuah dia banyak lebih untuk 4 orang makan ni. Mungkin bolehlah kurangkan kuantiti bahan yang digunakan jadi separuh. Sebab aku malas nak fikir, belasah je guna sukatan yang ada. Kuah berlebih tu simpan dalam tempat sejuk beku. Nanti kalau rasa nak makan lagi, boleh panaskan aje.

Friday, 27 January 2012

Tahniah Sepupuku

Sehari lepas kemalangan berlaku, aku mengubat kesedihan dengan menghadiri majlis perkahwinan sepupuku di Rawang. Takkan la tak pergi kan sebab kemalangan tu padahal yang cedera adalah Mrs. Kanc, bukan aku. Mula-mula perjalanan lancar dan boleh kata tak ada kereta sangat pun kat lebuhraya. Bila dah sampai Sungai Buloh barulah perjalanan agak terganggu kerana trafik sesak. Tapi tidaklah sesak sampai tidak bergerak. Masih bergerak cuma perlahan. Jadi tak sempat tiba waktu akad nikah. Waktu kami sampai, pengantin dah selamat dinikahkan. Sampai-sampai je borak-borak kejap dengan saudara-mara yang ada dan makan. Kemudian barulah masuk dalam untuk tolong mana-mana yang patut. Memandangkan Cik Iti upahkan orang masak, maka saudara-mara tak adalah sibuk membantu proses memasak. Cuma tolong benda-benda yang ringkas.

Tugas pertama aku adalah membantu kakak-kakak sepupu menyediakan hidangan untuk makan beradap. Aku tak sangka la pulak kena buat hidangan ni. Bab-bab menghias makanan, memang GAGAL. Serius, aku memang tak ada bakat dalam menghias makanan. Tapi belasah jelah. Maka tugasa akulah untuk sediakan hidangan udang. Memang buruk gila rupa udang tu. Tak susah nak buatnya pun. Cuma cucuk-cucuk udang pada nanas bagi dia nampak menyelerakan. Orang kata nama dia Udang Panjat kot. Sebab bahan pun terhad, makanya gunakan saja apa yang ada. Dah siap sediakan hidangan tu, tolong bungkus berkat pulak. Adat orang Jawa, saudara-mara akan diberi berkat yang berupa nasi dan lauk-pauk. Lepas selesai semua barulah duduk-duduk berkumpul dengan saudara-mara lain. Sebab aku kan pendiam, maka tidaklah borak-borak sangat. Lebih kepada mendengar. Hehehe...

Aku, pengantin dan Cik Pengapit yang juga sepupuku...

Majlisnya ringkas saja tapi meriah. Bila dah petang, tetamu pun dah tak ramai dan pengantin pun dah keluar untuk penggambaran di luar. Maka tinggallah aku dan Cik Pengapit berborak panjang. Bila di majlis perkahwinan, tentulah kami akan diajukan dengan soalan cepucemas daripada sepupu-sepupu lain. Seingat akulah, sepanjang kami duduk di depan pelamin tu, lebih daripada tiga orang bertanyakan soalan yang sama; "Korang bila?" Erkkk... Aku jawab je lepas raya. Tapi tak tahulah raya apa dan raya bila. Wakakaka... Jangan marah ha... Gitulah, dah sampai diperingkat umur begini, memang orang suka tanya soalan cepucemas tu. Bila orang tanya, jawab ajelah. Tahniah ye Puan Noraini. Semoga bahagia hingga ke akhir hayat. Lepas ni pun dah berderet jemputan kahwin daripada kaum keluarga yang lain. Selagi mampu, aku akan hadir. Jemputan wajib dipenuhi bukan?

Kejutan Kali Ke-2

Peristiwa ini berlaku pada 15 Januari yang lalu. Dapat satu mesej daripada seorang kawan rapat di universiti. Mesejnya berbunyi begini...
'Salam faraeee..esok jemput la datang rumah saya...saya nak bertunang dah besok :)' 
Dalam otak ni dah ada tanda soal besar. Tunang? Teruja aku mendengarnya. Terkejut juga ada. Angin ribut tak ada, tiba-tiba kata nak tunang? Kejutan ni kurang lebih sama macam kejutan yang aku dapat dulu. Terus aku SMS Mimynn untuk menemuramah hal berkaitan tunang. Mimynn ni adalah salah seorang kawan yang paling mula-mula aku jumpa di UNISEL dulu. Rapat tak rapat, memang rapat. Tunang beliau ni pun kawan aku juga. Sekelas waktu di Tahun Asas dulu. Alhamdulillah, panjang jodoh kalian. Tahniah buat kalian berdua. Semoga ikatan yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat.

This is my very best buddy, Sarah Yasmin Azizan..congrats dear..:)

These are my former classmates (except Kak Chik)

Selepas tamat pengajian dua tahun sudah, memang aku tak pernah bersua muka dengan mereka. Sangat-sangat rindu dengan mereka ni. Pernah juga terfikir nak buat girls day out macam dolu-dolu. Tapi tak tercakap-cakap. Kalau ku tahu Mimynn dah pindah Shah Alam dan Ain dah setengah tahun duduk di Shah Alam, dah lama ku ajak mereka keluar. Bak kata Encik Tunang Mimynn; "Farah ni barulah betul legend, senyap-senyap tiba-tiba muncul." Legend la sangat. Hahahaha... Sungguh gembira dapat bertemu mereka kembali. Macam-macam cerita tentang kawan-kawan sekelas lain yang aku dapat. Gembira untuk kamu semua juga. Siapa tahu pertemuan semula dengan kawan-kawan ni membuka hati untuk aku menyambung pengajian peringkat Master pula? Macam seronok aje dengar cerita Ain.

Aku sampai paling lewat dan pulang juga paling lewat. Nanti nak langsung jangan bagi I terkejut lagi tau. sekurang-kurangnya bagi tahu seminggu awal. Untuk cerita yang lebih terperinci, silakan ke blog Mimynn ye.

Wednesday, 25 January 2012

To My Dearest Blog...

I always forget when is your birthday...
I only remember that it is somewhere in January..
I apologise for my carelessness..
And this year, I'm here to wish you,
Happy Birthday...
You were born today, four years ago...
Thank you for always being there whenever I need you...

I convey my thoughts here..
I express my sadness here..
I confess my mistakes here...
and,
I share my joy and happiness here...
You really meant a lot to me..

Source

Zillions of thanks to YOU, yes you...
The readers of Atas Nama Cinta...
Thank you for dropping by and read my ramblings...

Saturday, 21 January 2012

.....

Sepanjang 6 tahun aku memandu, tak pernah sekalipun aku harap nak berdepan dengan kemalangan. Tak pernah lagi aku kemalangan. Hari ni buat pertama kalinya aku melanggar kereta orang lain.


Macam ni rupanya bila panik.

Macam ni rupanya rasa takut.

Macam ni rupanya rasa bersalah.


Bukan aku tak pernah brek mengejut.

Bukannya aku tak pernah memandu atas jalanraya yang licin.


Tapi benda nak jadi. Berada di lorong kanan membuatkan aku memandu dengan laju. Mula-mula memang tak nak belok kat simpang situ sebab kalau ke Alamanda, memang akan terus sampai ke pintu masuk hujung. Tempat tak biasa dan malam pulak tu, bila orang kata belok di sini, aku ikut aje.Aku nampak lampu isyarat masih merah dan ada kereta berhenti. Sebab jarang lalu jalan tu, aku pun tak ingat lampu isyarat dia tak serentak. Dah nampak lampu masih merah, aku tekan brek. Bila tekan sekali kereta tetap laju, aku sangsi betul ke aku tekan brek.  Aku dengar Abang kata; "Dik, tekan brek. Brek." Aku rasa dengan kaki; betullah brek ni sebab kat tengah dan kaki belah kiri,  ada kat clutch. Betul, aku tekan brek. Tetap juga laju walau dah sampai habis aku tekan. Aku pijak lagi sampai habis brek tu. Tak berhenti jugak. Bila dah dekat sangat dengan kereta depan dan kelajuan kereta aku tak berkurang, aku tak tahu nak buat apa melainkan pasrah untuk berlanggar dengan kereta depan.


Allah! Agak kuat juga sampai aku terhentak di stereng. Panik. Cemas. Takut. Nak nangis semua ada. Bila kereta berhenti je, terus aku tarik handbrake sampai habis. Memang kuat pelanggaran tu sebab kereta depan pun sampai bergerak. Tak tahu nak buat apa. Bila Abang keluar kereta, aku pun ikut keluar. Mujurlah tak ada kereta lain di belakang. Terus pasang hazard lamp. Aku tak tau naku buat apa. Semua Abang yang uruskan. Runding punya runding, Abang bayar ganti rugi RM 400 kat orang tu. Kereta dia nampak tak berapa teruk. Kerosakan pada bumper mungkin. Kereta aku memang teruk. Kemek habis bahagian depan. Kecik langgar besar, mestilah yang kecik kalah.


Memang akulah yang salah. Patutnya ke Bukit Tinggi je, tapi tukar saat akhir ke Alamanda. Keluar rumah tak bagi tahu Abah dan tak telefon kemudian walaupun kata nak telefon. Memang dari dulu lagi aku tak pernah keluar rumah tanpa bagi tahu Abah. Kalau Abah ke kebun pun, aku akan cari sampai ke kebun. Tapi hari ni aku tak buat apa yang aku selalu buat tu. Aku tak berapa yakin nak memandu sebenarnya. Tapi aku tak cakap. Jadi memang akulah yang salah. Mintak maaf sangat-sangat. Sepanjang jalanu balik aku fikir macam-macam. Waktu cakap dengan Abah aku accident, barulah menitik air mata. Takut ada, bersalah lagilah ada. Jadi sekarang dah adil. Semua orang dah pernah buat Mrs. Kanc kemalangan.


Nampak gaya kena 'pecah' tabung la nak baiki kerosakan tu. Nak ganti duit Abang lagi. Nasib baik jugalah ada tabung. Allah nak bagi peringatan dan pengajaran. Terima kasih ya Allah kerana masih memberi hamba peluang untuk bernafas di bumi mu ini.


Published with Blogger-droid v2.0.3

Apa yang boleh dan tak boleh

Antara perkara yang tak berapa nak releven untuk di buat dalam dunia nyata seperri yang berlaku dalam drama-drama Korea adalah;

1. Ketika sedang memandu di jalanraya yang sibuk, tiba-tiba anda membuat pusingan U. (kalaulah aku buat macam tu kat Malaysia ni, siaplah kena hon bertalu-talu + jelingan maut dari pemandu lain)


2. Sesuka hati nak campak telefon sampai berkecai. LG Optimus lagi! (kaya nampak?Nokia 3310 boleh la. Aku nak beli yang satu ni pun bercinta. Drama tu sebab ada yang taja)


3. Bila marah, anda pun menyepahkan bilik dengan gembiranya. Siap tabur semua buku yang bersusun kat rak atas lantai tu. (Eh, kau buat sepah kau la yang kena kemas balik nanti. Banyak cantik nak harap keadaan kembali seperti sedia kala tanpa usaha? Dalam drama tu memang dia dah tugaskan orang bahagian props kemas. Kau ada khadam khas?)


*motif aku karang entri ni pagi-pagi buta? Mestilah sebab aku tengah demam Korea.  Nak beli CD baru kena fikir 8 kali. Maka aku pasrah saja tengok CD lama. Layannnn...


Published with Blogger-droid v2.0.3

Monday, 16 January 2012

Nak Korea Sangat...

Kisahnya...selepas menimbang, menolak, mendarab dan membahagi akhirnya aku angkat juga sebuah telefon baru. Satu perkataan untuk dia; AWESOME!!!!


I'll write the full review later. I still have much to explore at thw moment. Since I now own a smartphone, I have to be smarter than him so that I can fully utilise the function...till we meet again ;-)


Published with Blogger-droid v2.0.3

Thursday, 12 January 2012

Madrosati..

Mengenang kembali tempat aku menimba ilmu suatu ketika dulu. Ini saja yang sempat dirakam sebab memori kamera penuh. Kepada yang tiap-tiap minggu hantar adik dia balik asrama macam Dyaz, duduk diam-diam eh. Sebab aku dah bertahun-tahun tak jejak kaki di sini, maka aku adalah sangat jakun dengan pembangunan pesat sekolah ini. Hehehe...

 Tepi bangunan..lagu Ya Maahadi

Pemandangan dari Dataran Pengetua.. 

Dataran Pengetua 

Kantin Pak Wan - zaman aku dulu guna meja kayu je.

Aspuri KL.. Terlalu banyak perubahan di sini tapi nama-nama dorm masih lagi yang lama. 

 Bas sekolah yang menjadi rebutan kala hujung tahun..

Bangunan baru.. Semua makmal KH ditempatkan di sini tak silap..

Terlalu banyak perubahan yang berlaku di sekolah ku ini. Untunglah adik-adik yang bersekolah di sini sekarang. Kemudahan dah banyak dan moden. 

Pertemuan Semula Episod 2

Satu lagi cerita tertunggak tahun 2011. Entri ni panjang berjela ye, jangan muntah pulak. Hehehe... Ini kejadian selepas Irham Night di mana selepas aku melalui hari tersebut, berat ku naik sehingga 2 kilo dalam masa dua hari. Mana tidaknya, asyik makan saja. Dah kata duduk hotel, haruslah makanannya sedap. Kami bertolak hari Sabtu tengahari sebabnya Na habis kerja dalam pukul 1 cenggitu. Jadi rancangnya kami sampai rumah Na tak lama lepas Na habis kerja. Tapinya, ada orang tu tertinggal baju la pulok. Maka terlewat sikit dari jadual asal. Aku ni punyalah risau Aten tak sampai-sampai sebab jarak dari Kampung Endah ke rumah aku dalam 10 minit gitu. Takut la jadi apa-apa. Rupanya tertinggal baju. Caitt..

Lepas ambik Na, terus ke perhentian seterusnya. Ambik Mahada pulak dekat Salak Selatan kot nama tempat tu. Lupa dah. Lama juga menunggu sebelum zasss ke hotel. Sampai pun dah petang. Perut masing-masing berkeroncong. Dalam kereta cuma makan kek karot Na. Jadi lepas check-in, ingatnya nak ke kedai-kedai makan kat depan Masjid Uniten. Tapi lepas bincang-bincang dan bising-bising kebuluran, terus kata nak pesan makanan je. Tengok menu dia. Harganya boleh tahan. Kerana lapar dan kemalasan nak keluar, pasrah sajalah. Jadi kami pesan Tomyam, Telur Dadar, Salad dengan Nasi Putih empat. Sambil menanti, semua pakat bergolek atas katil dengan baju basahan. Aku je yang berpakaian lengkap sebab ada orang tu cakap; "Sazoh, ko jangan tukar baju dulu. Nanti ko kena ambik makanan." Aku jugak yang kena.... Maka bila saja makanan sampai, barulah korang kelam kabut menyorok bawah ceruk katil kan sebab tak berpakaian lengkap? Kahkahkah.... *pakaian lengkap di sini adalah pakaian seperti untuk ke dewan makan dulu ye.* Makanan sampai aje, terus susun-susun pinggan atas lantai. Makan berjemaah. Rasanya, berbaloilah  harga makanan tu dengan saiz dan rasanya. Siap dapat air sejuk lagi. Lepas makan baru tunggang terbalik bersiap ke Irham Night. Hehehe...


Hari kedua, aku bangun paling awal walaupun tidur lambat malam tu. Tak boleh tidur sebenarnya. Macam tulah aku kalau tidur di tempat baru. Malam pertama mesti tak boleh tidur. Jadi bangun pagi-pagi menikmati pemandangan dari jendela bilik kami. Dapat tingkat 6 + berhadapan tasik, rasa tenang je.
Pemandangan Masjid UNITEN dari bilik kami

Bila semua orang dah celik, barulah bersiap untuk turun sarapan. Gila kentang ah makanan dia. Banyak sungguh! Tak larat nak makan semua. Tapi makan hampir semua. Aku dengan Aten yang makan harga 20 hengget. Mada dengan Na makan harga 10 hengget. Pasal apa? Pasal makan sikit sangat. Hehehe...
Pusingan pertama..makan ala-ala omputih..

Pusingan terakhir..pun ala-ala omputih jugak..

Sempat ambik gambar makanan pusingan pertama dengan terakhir je. Pusingan lain tak dan. Hahaha... Sambil makan, sambil mengenang kembali saat-saat di Hamidiah. Lepas makan naik bilik sambung golek-golek sambil tengok filem sempena Krismas. Tak ingat dah apa tajuk dia. Lepak-lepak sampailah pukul 12 lebih, baru check-out. Keseluruhannya, Hotel Residence adalah terbaik! Mula-mula nak bermalam di Equatorial. Tapi sebab harga dia tak termasuk sarapan untuk semua orang, maka kami pilih Residence. Harga untuk satu malam adalah RM 235 termasuk cukai dan caj perkhidmatan dan sarapan untuk 3 orang. Ini harga promosi cuti sekolah. Berbaloi-baloi! Hiks.. Waktu booking, Mada belum confirm. Bila nak tukar booking untuk sebilik 4 orang, dah tak ada bilik kosong pulak. Maka kami bersesaklah 4 orang dalam bilik tu.

 Waktu movie hampir habis. *abaikan keadaan belakang yang bersepah.*
Kenangan terakhir sebelum berangkat pulang.

Mula-mula hantar Mada dulu. Waktu itulah kami sesat barat. Aku ni tak pernah sampai rumah Mada, tak dapat la gambaran lokasi rumah dia. Tapi yang tuan rumah pun tak ingat jalan balik, ini sudah kes parah. Hehehe... Hampir sepuluh kali jugalah kami berpusing-pusing di jalan yang sama. Akhirnya selepas mendapat talian hayat, baru jumpa jalan yang benar. Tumpang solat zuhur kemudian baru berangkat pulang. Waktu pulang, Aten dah hulur kunci Bainun dia. Aku takut-takut lagi nak pandu kereta auto + baru + besar ni. Tapi pasrah saja bila tuan kereta suruh bawak jugak. Bukan terus balik ye, pergi merayap ke Damansara dulu cari Big Brother. Na kata tempat makan dia best. Aku tak pernah tahu pun pasal restoran tu, jadi, saya yang menurut perintah.

Selepas berpusing-pusing mencari, alhamdulillah jumpa. Waktu tu dah pukul 4 tak silap. Sebab perut dah kosong balik lepas melantak pagi tadi, maka kami dengan tak ingat dunianya memesan makanan yang tertera di menu. Pesan sorang 1 ok. Tak perasan nama kedai tu BIG, maka bila makanan sampai, aku terkejut sebab banyak gila ok! Pinggan besar gabak. Terkulat-kulat nak habiskan makanan. Heee..
 Chicken Chop Aten - nampak kecik, tapi penuh sepinggan besar

 Mee Goreng Aku - memang banyak gila mee ni, aku rasa sebungkus kot mee dia..isi dalam dia pun banyak; ada sotong, udang, ayam, fishcake, crabstcik dan hape-hape entah lagi.

 Nasi Goreng Ayam Na - ini pun banyak jugak..
Selepas terkulat-kulat, licin jugak akhirnya.. Alhamdulillah..

Macam biasa, bila keluar berjalan dengan kawan-kawan tak ingat nak balik rumah awal. Ok, rasanya dah habis kot cerita tahun 2011. Lepas ni letak cerita terkini lagi sensasi je...Hehehe..

Tuesday, 10 January 2012

'Masjid' Baru

2011 mencatatkan tarikh penting bagi beberapa sahabat dan juga keluarga apabila mereka selamat mengakhiri zaman bujang. Cerita dah basi tapi nak letak jugak dalam ni. Hehehe..

Mula-mula adalah majlis pernikahan abang sepupu yang bernama Rashid di Teluk Intan Perak. Tak silap aku tarikhnya 3 September. Baru beberapa hari beraya. Ringkas saja majlisnya. Tak ada pelamin bagai. Akad nikah dan majlis kecil.

Diikuti dengan perkahwinan Apis, anak saudaraku. Tak silap aku, majlisnya seminggu selepas majlis Abang Rashid. Umurnya sebaya dengan aku, tapi dia kahwin dulu. Dapat orang jauh ni.


Kemudian, majlis Cik Sue pada 11 September. Teman rapat sewaktu di U dulu. Tak dapat hadir ke majlis di rumah beliau jadi cuba untuk hadir ke majlis belah lelaki yang diadakan di Jinjang. Bukan main cetak peta dari Google Maps bagai, tapi sesat barat jugak. Hahaha.. Jinjang Utara, Selatan, Tengah semua kami redah sebelum jumpa tempat kejadian. Rupanya tepi jalan besar je. Cait! Hehehe.. Tahniah Puan Suliza dan suami.


Lepas tu pertunangan, pernikahan dan persandingan sepupuku yang berlangsung di Gerik, Perak pada 19 dan 20 November. Buat semua sekali dalam masa 2 hari. Jauh kan nak datang berkali-kali. Buat sekali harung lagi senang dan jimat. Majlis sambut menantu pula diadakan seminggu kemudian di rumah beliau di Shah Alam.
Majlis Pertunangan pada Sabtu pagi.

Majlis Pernikahan pada Sabtu petang.

Majlis Persandingan pada hari Ahad.

Akhir sekali adalah Majlis Sambut Menantu di Shah Alam.

Bagi tahun 2012, aku sudah pun menerima 3 jemputan perkahwinan. Selaku seorang manusia yang SANGAT SUKA menghadiri majlis perkahwinan, haruslah aku sedaya upaya menggagahkan diri untuk penuhi undangan tersebut. Mari tengok siapa yang kena..


22 Januari 2012 - Pernikahan dan resepsi Cik Aini yang juga merupakan sepupuku.
22 Januari 2012 - Pernikahan dan resepsi Kak Ninie yang merupakan staf di ILP. Mungkin hanya berkirim hadiah pada yang pergi. Sedih sebab tak dapat nak hadir tapi apa boleh buat, utamakan yang utama.
11 Februari 2012 - Resepsi Ija yang merupakan teman di U dulu dan akan berlangsung di Kuala Lumpur. (Sedari, sila ambil perhatian)

Selamat menempuh kehidupan baru buat semua pengantin baru dan bakal pengantin baru. Kunci terpenting dalam menjaga Masjid Baru tadi adalah SABAR. Jadi Tok Siak pun kena sabar, apatah lagi nak kena jadi Imam. Sekian saja cerita tertunggak tahun lepas. Tahun ni kena jadi lebih rajin supaya tiada lagi cerita tertunggak dalam ATN ni. Hehehe...

Wednesday, 4 January 2012

Gulai Lemak Pisang Muda

*Tak keluar pulak gambar gulai aku petang tadi..


Published with Blogger-droid v2.0.2

Tuesday, 3 January 2012

Gulai Lemak Pisang Muda

Sudah agak lama tak tepek resepi kat sini. Kebetulan ada pisang muda berlambak-lambak kat dapur tu. Jadi bolehlah buat gulai ni. Ini versi belasah je tau. Kalau tak suka pedas boleh kurangkan cili. Mari zass resepi...

Bahan-bahannya:

1 Sisir pisang muda(dalam 7 biji)

5 biji bawang merah

3 ulas bawang putih

1 sudu ikan bilis

15 biji cili api

1 biji cili merah

Sebatang serai (diketuk)

1 potong ikan masin yu(dihiris)

1 camca serbuk ketumbar

1/2 camca serbuk jintan manis

1/2 camca serbuk jintan putih

Sedikit gula

Sedikit serbuk kunyit

Sehelai daun kunyit

Sekotak santan

Secawan air

1 keping asam gelugur


Cara masak

1.Kisar bawang merah,bawang putih,cili dan ikan bilis.

2.Masukkan 1/2 cawan air ke dalam periuk dan biar mendidih. Kemudian masukkan bahan kisar,serai,dan rempah ratus. Kacau dan biar hingga naik bau.

3. Masukkan ikan masin dan serbuk kunyit.

4. Seterusnya, masukkan pisang muda yang telah dipotong. Kacau dan biar hingga separa empuk.

5. Masukkan santan. Kacau secara berterusan untuk elak pecah minyak. Masukkan daun kunyit dan perasakan dengan gula dan garam(jika perlu) dan juga asam keping. Tambahkan sedikit air jika terlalu pekat.

6. Bila pisang dah empuk, bolehlah diangkat.


Published with Blogger-droid v2.0.2

Baru la sangat...

Memandangkan Jumaat terakhir bagi tahun 2011 juga merupakan hari terakhir aku di ILP, maka aku menggigihkan diri nak jamu staf-staf di pentadbiran. Dah lama rancang nak buat makan-makan, tapi malasnya aje yang dibesarkan. Hehehe... Jadi petang Khamis tu gigihlah aku mencari bahan untuk memasak. Perancangan asal nak buat lasagna. Tapi disebabkan tak jumpa kulit lasagna, maka terpaksa tukar menu. Sebenarnya fikir berkali-kali juga nak buat lasagna tu sebab proses memasak agak leceh dan aku keluar dari pejabat agak lewat pada hari tersebut. Bila kulit lasagna tak ada di rak yang menempatkan pasta, aku sedikit lega. Sekurang-kurangnya tak rasa bersalah sangat. Hiks...

Jadi balik rumah terus siapkan bahan nak masak. Mula-mula masak makan malam untuk Abah dulu. Ringkas aje menunya. Ikan goreng dan tumis kacang botor. Lepas maghrib baru aku siapkan bahan untuk spaghetti dan carrot walnut cake. Kebetulan ada lagi sebekas walnut dalam peti sejuk, bolehlah aku buat kek tu. Lepas siap potong bahan-bahan untuk kuah spaghetti, baru aku mula buat kek. Rasa macam nak putus asa je waktu parut lobak tu. Tapi aku cekalkan hati jugak. Hehehe... Nak buat kek ni tak adalah susah mana pun, cuma tang parut lobak tu yang buat kita rasa nak putus asa. Penat woo memarut! 3 batang lobak pulak tu.

Dah siap adun, tiba masa nak membakar.Rupa sebelum bakar adalah sangat menawan. Cebisan lobak yang diparut tu yang buat rupa dia menawan. Rasanya ini kali pertama nak bakar kek guna oven baru. Punya lama aku dah beli oven ni, baru malam tu nak guna untuk bakar kek? Baru la sangat kan oven kau tu?Hahaha... Buat bakar biskut memang cemerlang. Buat bakar lasagna pun terbaik. Tapi untuk kek aku cuak. Tak tahu nak kawal api. Sama ada nak guna api atas dan bawah ke, api bawah je ke atau api atas je. Akhirnya tawakal je aku guna api atas-bawah. TAPI.... ada tapinya. Kek tak masak sekata. Permukaan dah masak tapi dalamnya masih mentah. Jadi aku tukar kepada api bawah saja dan naikkan sikit suhu. Lama juga aku tunggu dia masak. Masak memang masak, tapi tak gebu. Aku syak dia tak naik sebab tiga perkara ni;
1. Tetapan api dan suhu yang salah.
2. Waktu membakar tu, ada orang tutup suis utama menyebabkan kek aku bertapa dalam oven sekejap tanpa mendapat masa pembakarn yang sempurna.
3. Aku kurangkan baking powder sebab guna tepung naik sendiri.
Sampai hari ni aku dok fikir mana satu yang buat kek aku tak gebu.

Mula-mula aku cadang nak buat kuah spaghetti pagi nanti. Tapi bila siap adun kek pun dah dekat pukul 12, terus aku masak je kuah tu sementara tunggu kek masak. Kali ni aku guna 4 paket daging kisar Ramly. Tak muat kuali dibuatnya. Jadi aku cuma bagi daging masak dalam kuali. Bila nak tambah puri tomato, tukar ke dalam periuk nasi. Waktu tengah fikir nak isi kuah spaghetti tu dalam bekas apa, teringat waktu jamuan raya haritu. Kak Dayan letak kuah spaghetti dalam periuk nasi. Cantekk! Tak payah aku letak dalam banyak bekas. Terus aku punggah periuk nasik gedabak untuk isi kuah tu.


Inilah rupanya lepas ditukar ke periuk gedabak ni. Sebelah tu adalah kuali yang digunakan untuk tumis daging. Maka bila dah masak kuah malam, pagi esoknya tinggal panaskan dan tambah keju saja. Sebab aku angkut periuk sekali ke pejabat, maka tak risau la kuah ni basi ke hape. Alhamdulillah tercapai hajat nak menjamu orang-orang di pejabat.

Nota: Kalau nak resepi kek tu, boleh cari di galeri. Tekan pada label Resepi:Kek. Ini adalah resepi paling mudah dan ringkas untuk kek lobak merah yang aku jumpa.

Monday, 2 January 2012

Pertemuan Semula

Peristiwa ini berlaku pada 24 Disember lalu. Disebabkan aku sibuk malas nak mengadap blog tempoh hari, maka baru hari ini sempat berkongsi cerita. Sudah agak lama sebenarnya tidak berjumpa dengan kawan-kawan sekolah dulu. Biasanya pada hari raya kami akan berkonvoi dari rumah ke rumah. Tapi sejak 2 tahun kebelakangan ini, aktiviti itu sudah tidak dapat dilaksanakan lagi. Maka bila mendapat berita bahawa alumni mahu mengadakan majlis makan malam tahunan, sibuklah aku mencanang berita kepada sahabat-sahabat yang berpotensi untuk datang. Nak tunggu pertemuan semula batch sendiri, tak tahu bila.

Orang pertama yang aku maklumkan adalah Fatheen sebabnya dialah satu-satunya 'teman jenayah' terdekat dan rapat diikuti Na yang menyandang status sama. Hehehe... Selepas mendapat persetujuan, maka gigihlah aku membuat promosi kepada sahabat-sahabat lain di ruangan gosip sosial kami iaitu Facebook. Bukan mudah nak mengumpul kembali mereka ni. Ada yang kata nak pergi tapi tak dapat nak bagi pengesahan. Ada juga yang kata nak pergi tapi saat akhir tak dapat datang pulak. Maklumlah, masing-masing ada kekangan masing-masing. Apa pun, terima kasih kepada anda semua yang memberi kerjasama dan melancarkan urusan. Maaf dipinta andai ada pesanan berupa 'ugutan' atau 'paksaan' untuk membayar yuran yang ditetapkan pihak penganjur (lupa nak bagi baki duit Man RM 10 pada waktu kejadian.. kawan-kawan, tolong ingatkan ye) . Kalau tengok peti simpanan mesej kami di Facebook, memang jenuh nak baca dari A sampai Z. Panjang gila!

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik. Sewaktu mendaftar, kami diberikan tanda nama berwarna oren yang tertulis nama dan batch. Bila ambik gambar, nampak sticker je 'menyala'. Hahaha... Daripada pemerhatian, tak ramai batch muda yang hadir pada malam tersebut. Kebanyakannya batch SPM 90-an kebawah. Terimbau kembali semua kenangan waktu di sekolah dulu. Saat ketawa, saat berduka, saat menjadi nakal dan pelbagai saat lain yang dilalui bersama teman-teman seperjuangan. Fizikal sekolah juga sudah banyak berubah. Tempat kami berebut untuk berlatih kawat sudah tiada. Tempat kami beriadah pada Sabtu pagi juga sudah lenyap. Namun segala kenangan yang tercipta tetap tidak pernah padam. Berharap agar dapat berkumpul bersama kalian lagi. Buat yang tertanya-tanya, insyaAllah satu percutian pendek akan dirancang dalam pertengahan tahun ini. Jadi, bolehlah mula kumpul duit ye. Butiran lanjut akan dibincangkan bersama nanti. Bagi melengkapkan kriteria entri menarik, aku tempekkan beberapa keping gambar sewaktu kejadian.

Tempat kejadian. Ada orang tu berangan dewan tu dah dipasang pendingin hawa. Hehehe...

Makanan kami. Ada kambing panggang yang sedap dan nasi beriani yang masin. Terkulat-kulat aku nak habiskan. Untung la orang yang ambik nasi putih tu...

Sesudah makan. Orang kat depan sibuk buat persembahan kami kat belakang sibuk bergambar. Kehkehkeh...

 Sebelum berangkat pulang. Tangga ini adalah tempat kegemaran kami untuk bergambar dari dulu hingga kini. Mungkin juga di masa akan datang.


Terima kasih dan tahniah kepada pihak penganjur atas usaha yang telah dilakukan. Bukan mudah nak menjayakan sesuatu majlis lebih-lebih lagi majlis pertemuan semula. Goodies Bag yang disediakan juga lumayan isinya. Ada majalah Asuh, Muslimah dan Anis, baucer daripada Menara Optometrist, sekotak biskut dan sebungkus popia simpul. Kami juga dapat pelekat kereta bertulis PERAMAH yang bermaksud PERsatuan Alumni MAahad Hamidiah walaupun tak daftar keahlian lagi. Hehehe... Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat yang sudi hadir pada hari tersebut; Pana Mie, Ain Nuar, Man, Chik, Mada, Aten dan Na. Semoga kita dapat meluangkan masa bersama lagi, insyaAllah...

Hello 24!

Salam pertemuan di tahun baru 2012. Cuti umum maka aku pun cuti daripada menulis. Hehehe..mana-mana blog pun sudah keluar entri selamat datang kepada tahun 2012. Eh, terasa macam zaman belajar pulak kemaskini blog waktu pagi buta. Hehehe...

2011 pergi dengan sejuta kenangan. Ada kesedihan, kegembiraan, kekeliruan, kekusutan, kepahitan serta pelbagai lagi rasa yang bercampur menjadikan tahun itu penuh bermakna. Sedikit sorotan penting yang berlaku tahun sudah;

Mac - Seorang sepupu rapat diserang strok. Keadaan keluarga waktu itu sedikit huru-hara. Maklumlah benda berlaku secara tiba-tiba. Alhamdulillah beliau beransur sembuh.

Oktober - Alhamdulillah aku berjaya menoktahkan status sebagai pelajar apabila namaku tersenarai dalam senarai graduan untuk majlis konvokesyen kali ke-6 Unisel.

Disember - Kontrak sebagai salah seorang tenaga pengajar di ILPKLS tamat. Terima kasih buat bos yang sangat-sangat banyak memberi peluang dan tunjuk ajar.

Gambar diambil dari sini

Sedikit saja sorotan daripada banyak-banyak perkara yang telah berlaku. Selebihnya insyaAllah sudah dicatatkan di sini dan boleh aku imbas kembali.

Harapan untuk tahun ini;
+ Menyandang status tetap untuk pekerjaan.
+ Memulakan perniagaan kecil-kecilan yang sudah lama dirancang.
+ Meningkatkan ilmu dan prestasi diri.
+ Meningkatkan ibadah.
+ Menghargai masa yang ada dan juga orang-orang tersayang.
+ Semoga dapat bertemu seseorang yang boleh menjadi imam dalam hidup ini.

Maka, selamat tinggal usia 23 tahun ku, selamat datang umur baru; 24!