Engagement Fund ;)

Monday, 30 April 2012

Selesai Juga Akhirnya...

Hari keempat merangkap hari terakhir, sudah tidak stres lagi sebab dah nak balik. Macam biasa, turun sarapan dulu baru sambung kerja. Mula-mula sekali, cetak soalan yang sudah diperbetulkan dan serah kepada Penyemak untuk disemak. Terasa berdosa pada pokok dan alam sekitar sebab asyik cetak soalan je. Dahlah tak boleh nak buat depan belakang. Sekali cetak je dah 26 helai. Darabkan dengan 4 kali cetak. Dah berapa tu? Aku rasa satu rim kertas tu subjek kami yang bolot. Hehehe... Semak punya semak, ada lagi sikit kesalahan format. Adehhh... Akhirnya Penyemak yang sukarela nak betulkan. Terima kasih banyak-banyak. Aku cuma tinggal buat skema jawapan. Untuk skema jawapan, tak perlu nak format sangat. Asal ada semua jawapan sudah. Bila dah puas hati semua, barulah cetak buat kali terakhir untuk diserahkan kepada Urusetia. Kami kena bagi hard copy dan juga soft copy kepada Urusetia.
 Penyemak sedang mengesahkan soalan yang kami buat dengan diperhatikan oleh Urusetia

Proses terakhir, soalan dibungkus dengan selamat oleh Urusetia

Lega sangat bila semua dah siap. Waktu ni awal lagi. Baru pukul 11 kot. Penggubal-penggubal untuk subjek teras mungkin sedikit tertekan melihat kami yang dah siap kerja ni. Kehkehkeh... Tempoh kami di sini memang hingga hari Jumaat manakala mereka perlu berada di sini hingga hari Ahad. Jadi, wajarlah kalau kami siap dulu. Lepas siap semuanya, kami meronda sekeliling hotel sambil mengadakan sesi bergambar. Kenang-kenangan katanya dan untuk 'membunuh waktu' juga.
 Kami berempat; Miss Yogamalar(Penyemak), Puan Hafizah, Tuan Tanah, Puan Shobaa

Kami bersama pihak Urusetia dan salah seorang penggubal subjek elektrik

Habis sesi bergambar, balik bilik hantar barang dan turun semula untuk makan tengahari buat kali terakhir. Macam biasa, orang tamak memang terlebih kenyang. Hahaha... Semua makanan yang dia hidang aku ambik. Itu sikit, ini sikit, sampai penuh satu pinggan. Sebelum datang berat aku 71kg. Lepas balik aku rasa boleh naik sampai lima kilo kot sebab tiap kali waktu makan, memang tak sah kalau aku tak cuba semua makanan yang ada. Tak ambik banyak pun sebab kata nak rasa je kan. Ambik sikit-sikit tapi jadi banyak juga.
 Pinggan aku yang sarat dengan makanan. Sedap woo masakan dia.

Ini pencuci mulut katanya. Tiap kali waktu makan, tak sah kalau dia tak hidang kek. Keknya pulak berubah-ubah spesies. 

Ini gambar kenangan dengan penghuni apartment B302. Yang pakai cermin mata tu Kak Rohaya dari ILP KL dan yang baju merah jambu tu Kak Siti dari ILP Labuan.

Perut kenyang, mata pun mulalah berat. Jadi balik bilik aku lelap kejap sebab takut ngantuk waktu memandu. Kemas barang semua, dekat pukul 3 jugak baru aku gerak. Tak perlu terkocoh-kocoh nak check-out sebab masih ada 2 orang Penggubal yang akan menghuni apartment tu sampai hari Ahad. Walaupun ini adalah kerja, tapi anggap ini merupakan satu peluang berharga dan pengalaman yang paling menarik untuk aku. Bukan semua orang terpilih nak rasa stres betulkan format soalan ni. Hahaha...

Seronok Katanya

Okey, ini sambungan daripada entri sebelum ni. Sebelum pergi, Kak Rin kata, "Selamat berseronok!" Kenapa? Berdasarkan pengalaman mereka, buat soalan ni tak terikat dengan jadual. Banyak masa lapang. Kata merekalah. Tapi kau tak adalah set otak nak berlapang-lapang sangat. Hari kedua di Ancasa, kami masih berdua. Penggubal dari dua institut lain tidak kelihatan walaupun dikhabarkan mereka telah mengesahkan kehadiran dengan pihak urusetia. Maka, fokuslah kami memerah otak membuat soalan peperiksaan semester 1. Ingatkan buat bodoh-bodoh je, sekali siap ada panduan khusus dan format khas lagi. Waktu taklimat malam sebelum tu memang mereka ada bagi buku panduan. Juling bijik mata memahamkan format kertas soalan tu. Mujurlah dah draf soalan sebelum pergi. Kalau tak, payah juga nak dapat ilham.

Penggubal dari ILP Pedas tiba pada waktu petang kerana beliau tak ada kenderaan. Jadi terpaksa tumpang penyemak yang memang daftar masuk hari kedua. Rupanya beliau adalah senior waktu di Unisel dulu. Rasa seronok kejap sebab ada orang yang berkait. Hehehe.. Beliau dah pernah buat soalan sebelum ni jadi dah tahu macam mana nak tetapkan format tu. Jadual sampai malam ok! Memang tak ada peluang nak balik awal. Nak tidur awal pun tak dapat sebab balik bilik, sambung lagi. Yelah, kadang-kadang idea dalam bilik seminar tu tak nak muncul. Nak tunggu golek-golek atas katil jugak baru dia muncul. Esoknya kami kena datang awal dari biasa sebab dikhabarkan bos dari ibu pejabat nak datang.

Meja kami yang bersepah dengan segala jenis buku rujukan

Hari ketiga, kami turun awal dari biasa. Tak adalah awal sangat tapi awal juga beberapa minit.Pergi sarapan dulu sebelum mula bekerja. Sarapan kat hotel, memang masyuk. Macam-macam ada! Tinggal larat dengan tak larat nak makan je. Disebabkan hari sebelumnya perut tak sedap, maka pagi tu aku cuma makan bubur dan lain-lain makanan yang ringan. Kat sini, hari-hari ada nasi lemak. Siap lauk rendang ayam lagi. Sajian timur? Sajian barat? Makanan kegemaran rakyat Malaysia? Semua ada. Lepas makan, terus ke bilik seminar. Sambung buat kerja. Sesi pagi, fokus untuk lengkapkan soalan. Tengah khusyuk buat soalan, bos UKT dari ibu pejabat singgah di meja kami. Aku orang baru, maka senyap sajalah mendengar yang lain-lain mengadu. Bukan mengadu apa pun, cuma tak puas hati pada sesetengah perkara. Ada jugalah mencelah sikit-sikit. Yang betul, kita iyakan. Yang salah, kita cuba betulkan.

Bagi sesi petang, tinggal nak fokus pada format dan betulkan mana-mana yang ditegur oleh penyemak. Penyemak soalan kali ini adalah sangat teliti dan jujur. Salah sikit pun kena. Tak ada dalam silibus, lagilah kena. Hehehe... Sampai ke sesi malam aku dok pening betulkan soalan yang ditegur dan format yang asyik lari. Stres bukan sebab susah nak buat soalan, tapi stres nak ikut format. Malam hari ketiga ni memang kami balik lewat. Dekat nak pukul 12 jugak baru beredar. Itu pun sebab urusetia dah ngantuk. Kalau tak aku rasa ada yang tidur kat bilik seminar tu. Balik bilik malam tu, betulkan balik apa yang penyemak tegur. Beliau kata, "Kalau soalan tu pun buat kita ragu-ragu, sila tukar soalan yang senang. Biarlah senang pun sebab tujuan kita nak bagi pelajar lulus." Baik, saya yang menurut perintah. Alhamdulillah, malam tu siap semuanya. Cuma tunggu untuk semakan terakhir pagi esoknya. Seronok ke? Seronok jugalah. Makan sedap, persekitaran kerja nyaman dan tidur dalam air-cond. Hehehe...

Sunday, 29 April 2012

2 Kesalahan Bodoh...

Satu-satunya gambar yang aku ambik pada hari kejadian

Alhamdulillah niat nak menjamu kawan-kawan di pejabat terlaksana juga. Dah lama niat nak masak lasagna tapi tak berkemampuan hinggalah bulan ni aku gagahkan juga diri untuk masak lasagna tu. Bukan apa, leceh sebab banyak kerja nak kena buat. Untuk makan-makan hari Jumaat tu, aku dah mula siapkan bahan dari hari Rabu malam lagi. Itu pun kelam kabut jugak. Salah satu sebab masak ni adalah kerana bos aku tak rasa waktu aku buat untuk jamuan raya dulu. Bila aku buat ni, semua orang tanya sempena apa. Memang saja buat sebab dah niat. Lagi satu, anggap la kesyukuran sebab dapat sambung kontrak sampai bulan Jun. Dalam kekalutan nak siapkan tiga bekas besar lasagna, aku telah buat 2 kesalahan bodoh.

  1. Aku humbankan semua kepingan lasagna dalam air panas dengan tujuan untuk rebus kejap dan hasilnya mereka melekat sesama sendiri. Huuwwaaaaa....
  2. Aku tinggal tag nama dalam kereta dan kereta tersebut telah digunakan oleh Abang Faiz untuk temuduga. Wargghhh! Stressssss.... Setakat imbas cap jari je, mesin pengimbas tu tak layan ok! 
Ramai juga yang dapat rasa termasuk beberapa pengajar dari bengkel yang kebetulan ke Pentadbiran untuk berurusan dan makcik cleaner yang bersihkan bahagian pejabat Pentadbiran. Sebab takut tak cukup, aku tambah potato wedges bersama pencicahnya, jalapeno cheese sauce. Terima kasih kepada yang tolong basuh loyang dan bekas-bekas yang digunakan.  Tak tahu siapa yang kemas sebab bila aku ke pantri tengahari tu bekas-bekas tu dah siap dibasuh. Ada rezeki nanti, boleh la buat lagi. Itupun kalau rajin. Hehehe...

Selesai Masalah!

Ehem..Sebelum terlupa, baiklah aku paksa diri menaip tentang pengalaman paling berharga sepanjang bekerja dibawah JTM ni. Mesyuarat Kerja Penggubalan Soalan tu adalah selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat. Sebab Selasa dan Rabu aku ada kelas, kalutlah aku cari pengganti untuk kelas yang bakal ditinggalkan. Kelas sem 2 tak ada masalah sebab pengganti dengan sukarela menggantikan. Satu kelas sem 1 juga tiada masalah sebab dah tukar dengan Kak Dayah. Yang masalahnya kelas pagi sem 1, tak dapat cari pengganti sebab orang-orang yang disyaki pun ada kursus pada hari kejadian. Kemudian bila bagi tahu Abah kena pergi PD dari hari Selasa sampai Jumaat, Abah tanya program mula pukul berapa. Bila aku cakap petang, terus Abah cakap; "Kalau mula petang, pagi kena masuk pejabat dulu." Aku manalah tau kan? Bila dah macam tu, selesailah masalah aku. Apa susahnya, kelas pertama untuk sem 1 adalah dari jam 8 hingga 9.30. Jadi, masuk jelah kelas macam biasa kan? Ha, tepuk dahi kejap.

Habis kelas, aku kembali semula ke pejabat. Masuk-masuk je, semua orang dok tanya; "Eh, Farah bukan kena pergi buat soalan ke?" Aku pun jawab la; "A'ah, memang la. Check-in pukul 2. Jadi pagi ni datang dulu sebab ada kelas."  Barulah semua orang menyebut huruf  'O' secara berjemaah. Jadi, kemas mana yang patut dan angkut buku-buku yang rasanya berguna, terus zaasss ke Banting. Isi minyak dulu, periksa tekanan angin pada tayar dan balik semula ke rumah untuk angkut bagasi. Aku memang tak reti nak bawak barang sikit. Walaupun pergi sorang, penuh juga bonet kereta. Hehehe... Dalam pukul 11 lebih jugak aku gerak dari rumah. Sebelum bertolak, macam-macam Abah pesan; dari cara memandu sampailah cara buat soalan. Abah kata, "Buat soalan baik-baik. Ikut apa yang ditetapkan dan jangan buat soalan susah sangat. Periksa ni sebab nak bagi budak lulus." Lebih kurang macam tu la Abah pesan. Sebab ini pertama kali, maka aku pun tak dapat nak bayang apa-apa.

Pemandangan dari balkoni

Pertama kali memandu sendiri ke Port Dickson. Cuak juga sebab dah agak lama tak ke sana. Jadi aku ikut jalan pantai. Lebih dekat dan nyaman berbanding ikut lebuhraya. Sampai sana dalam 12 lebih. Waktu tu perut lapar gila. Jadi aku berhenti makan tengahari di Lukut. Lepas makan, sambung memandu. Dengan bantuan Google Map, aku jumpa jugak hotel yang dimaksudkan walaupun terlajak sikit. Sepanjang perjalanan, aku tak nampak pun papan tanda hotel tu yang tertulis nama penuh besar-besar. Bila dah dekat gila, baru dia letak papan tanda. Itu pun tulisan kecik. Hangin je rasa sebab balik-balik papan tanda Avillion la, Selesa Beach Resort la. Haih... Ancasa Allsuites Resort & Spa tak nampak bayang pun. Tempatnya adalah betul-betul lepas Telok Kemang, sebelum balai cerap. Aku daftar masuk dalam pukul 1 lebih, dekat pukul 2 kot.

Dapat bilik di blok terakhir iaitu blok C dan aku orang pertama masuk bilik tu. Puaslah aku jelajah semua ceruk apartment tu dan boleh pilih bilik yang best. Hehehe... Apartment aku ada tiga bilik dan menghadap laut. Memang masyuk! Boleh dengar bunyi ombak. Tenang je rasa. Kemas-kemas barang, solat dan tiba-tiba lapar balik. Hehehe... Teringat dia kata ada disediakan minum petang. Gigih la aku pakai baju lengkap turun bawah balik nak makan. Bila sampai tempat makan, makanan tak berusik lagi dan tak ada orang langsung. Tiba-tiba jadi segan. Terus aku keluar merayap cari makan. Beli burger je pun kat Telok Kemang. Dah dapat beli burger, zasss balik bilik. Makan burger sambil layan TV yang bosan. Elok je aku habis makan, seorang peserta sampai. Oh, beliau dari ILP Jitra. Ku panggil beliau dengan panggilan Kak Fizah. Bila Kak Fizah dah siap kemas barang, kami duduk la berbual mengisi masa lapang.

Malamnya, kami turun untuk makan malam lepas maghrib. Bila makan kat hotel, haruslah aku tamak dengan mengisi semua makanan yang ada dalam pinggan. Hahaha.. Rupanya bukan kami je yang terlibat dengan program dari JTM, ada lagi satu program JTM juga berjalan pada masa sama. Maka tempat makan tu dipenuhi dengan orang-orang JTM sajalah. Tapi aku tak kenal sesiapa pun. Lepas makan, terus ke Kayangan Ballroom; tempat program berjalan. Aku dengan Kak Fizah orang pertama sampai. Urusetia pun tak sampai lagi. Tunggu punya tunggu, pukul 9 lebih baru taklimat mula. Pung pang pung pang, pukul 10.30 gak baru habis. Nak tambah dukacita, kami kena pindah bilik pulak sebab mereka nak penuhkan kuota bilik. Adeh! Kalau kena pindah bilik berlainan aras, takpe jugak. Ini kena pindah ke blok lain. Pasrah ajelah.

Itu baru cerita hari pertama, dah panjang berjela. Penat aku taip. Maka kenalah sambung cerita untuk hari kedua pulak nanti. Hehehe...

Monday, 23 April 2012

'Sila Jangan Jerit Yahoo...'


Hari pertama kembali ke pejabat selepas 4 hari bekerja di luar membuatkan aku tak dapat nak fikir apa yang sepatutnya dibuat. Mula-mula aku dah senaraikan apa yang patut dibuat hari ini. Kemudian Kak Dayah minta ganti kelas dia sebab dia kena ke ILP Pedas untuk lawatan 5S. Tapi tiba-tiba dia cakap; "Eh, nama Farah pun ada la dalam senarai tu. Ganti Kak Rin sebab dia ada kursus." Terus aku dengan dia cuak. Yelah, kalau dia tak ada aku ambik kelas dia dan minggu depan dia ambik kelas aku pulak. Aiyark...

Lepas tu dapat perkhabaran yang hari Rabu dan Khamis tak ada kelas langsung sebab ada sukan dalaman dan rehearsal untuk Sukan Zon Tengah.

Bila dapat tahu kelas minggu ni dibatalkan, terus otak jadi kosong. Panik sebenarnya sebab kelas asyik tak ada je. Nak habiskan silibus pun asyik tertunda. Ujian tak buat lagi. Tugasan masih belum cukup. Mula la masing-masing bertanya siapa yang dah habis ajar sebab nak ambik kelas.

Petang tadi beberapa minit sebelum balik, ada penguman berbunyi; 'Kepada semua pelajar semester 1, kelas subjek umum pada esok hari dibatalkan. Anda dikehendaki berada di bengkel masing-masing. Sila jangan jerit yahoo. Sekian, terima kasih' Habis satu pejabat pakat gelak. Kahkahkahkah... Ada sajalah Abang Mokhtar ni. Sebab semua pengajar subjek umum terlibat dengan lawatan esok, maka kelas pun terpaksa dibatalkan. Minggu depan ada audit 5S. Jadi kenalah kosongkan bawah meja aku yang dah serupa tempat kucing beranak tu. Sebelum aku ambik gambar kat atas nun, AJK 5S dah ambik gambar siap-siap untuk bukti penyepahan yang berlaku. Pasrah ajelah...

Published with Blogger-droid v2.0.4

Sunday, 22 April 2012

Lewat

Seminggu ku menyepi. Masa tidak mengizinkan untuk ku berceloteh di sini. Eceh, sibuk la konon. Minggu lepas 4 hari aku berkampung di Port Dickson untuk Mesyuarat Kerja Penggubalan Soalan ILJTM. Menjadi seorang aku, ada saja benda nak dicatat di sini. Namun, cerita tanpa gambar adalah sedikit membosankan. Jadi, tunggu gambar-gambar diedit dulu barulah aku tulis pengalaman yang sangat berharga itu. Dah kata gambar tak siap edit lagi, tulis entri ni nak cerita apa?

Ok, ini cerita hari Ahad lepas. Sejak pertama kali terlibat dalam aktiviti yang satu ini, memang aku dah tanam azam untuk istiqamah melakukannya. Aktiviti apa? Ini dia aktivitinya

Sasaranku adalah untuk menderma darah pada setiap 3 bulan. Tapi yang kali ini sudah lewat 2 bulan kerana tiada aktiviti sebegini dijalankan di tempat terdekat melainkan menyerah diri di hospital. Sebab segan nak ke hospital, aku pun tunggu jelah organisasi ni punya aktiviti. Sebab dulu aku pernah ke sini juga untuk menderma darah, maka awal-awal lagi mereka dah SMS memberitahu tarikh dan masa program akan diadakan. Mula-mula macam tak nak pergi sebab agak jauh juga. Tapi akhirnya aku terus memandu ke Klang sebaik saja habis bersarapan di McD selepas tamat mengajar tuisyen. Sebelum sampai, aku singgah 99Speedmart dulu beli air mineral dan jus untuk bekalan. Sampai sana, dah tengah hari. Terkejut bila tengok ramai orang beratur sebab yang dulu punya tak ramai sampai kena beratur panjang.
Ini diambil selepas aku habis menderma. Ramai lagi yang beratur. 

Prosedur macam biasalah. Mula-mula isi borang. Lepas tu periksa darah untuk uji kepekatan hemoglobin; layak atau tak layak untuk menderma. Lepas tu periksa tekanan darah diikuti dengan melengkapkan rekod pendermaan. Akhir sekali barulah beratur untuk proses mengeluarkan darah. Waktu ni aku cuak sebab aku ke sini bersendirian dan baru saja habis ABC. Takut pitam lepas menderma. Tapi sepanjang-panjang aku menderma, memang tak ada masalah pening atau pitam. Itu yang buat aku pasrah je. Hampir satu jam juga menunggu sebelum tiba giliran. Macam biasa, bila dia nak cucuk jarum tu aku pun mula la berdebar. Sakit tak sakit, sakit jugak la. Waktu dia masukkan jarum memang aku tak tengok. Gerun..Hehehe... Ada sikit rasa kebas selepas jarum dimasukkan. Waktu ni aku dok harap janganlah dia salah masukkan jarum macam kejadian yang lepas hingga buat tangan aku bengkak sampai seminggu. Jururawat kali ni memang bagus. Disebabkan aku pakai stokin tangan, maka hanya perlu lipatkan sedikit stokin tangan kebawah untuk membolehkan jarum dicucuk. Jadi bahagian tangan yang lain terlindung. Walaupun bahagian tangan lain selamat terlindung, jururawat ni tetap juga lindung bahagian tangan dengan tudung yang aku pakai. Sangat bagus! Menjaga aurat orang yang menderma darah. Ini kali pertama. Sebelum-sebelum ni nan hado!
Jururawat yang pakai baju biru tulah yang uruskan prosedur aku.

Sambil tunggu darah keluar, kena ramas-ramas silinder yang dia bagi pegang untuk melancarkan proses pengeluaran kot. Tak lama pun proses ni. Bila dah siap, aku duduk dulu berehat sebab takut pitam. Dah agak yakin, baru aku bangun. Minum milo dan makan roti sat baru aku cabut kapas dan lekat plaster. Tengok kesan cucuk jarum, ok. Tak bengkak. Lega. Masuk dalam kereta, pasang pendingin hawa dan minum air banyak-banyak. Dah rasa ok, baru aku mula memandu. Alhamdulillah selamat semuanya. Waktu menderma akan datang adalah pada sekitar penghujung Julai. Semoga diberi kekuatan untuk melakukannya lagi.

Sunday, 15 April 2012

Pasta Carbonara

Pagi tadi sarapan McD. Tengah hari cuma makan roti percuma dekat tempat derma darah. Dalam perjalanan pulang singgah beli KFC untuk orang-orang kat rumah. Disebabkan aku rasa macam kenyang lagi, maka tak beli untuk diri sendiri. Tapi bila nak maghrib tadi lapar la pulak. Maka rajinkan la diri buat pasta sebab dah borong pasta pelbagai jenis kat Tesco hari Rabu lepas. Ok, mari tengok resepi campak-campak carbonara aku ni.

Gambar ehsan dari laman Muka Buku tuan tanah.

Bahan-bahan:

250 gm pasta (aku guna bowties; rebus ikut arahan belakang bungkusan)

1 labu bawang besar

3 ulas bawang putih

1/2 biji capsicum

1/2 tin cendawan butang

Isi ayam (agak-agak la ek..dalam segenggam gitu la..lebih pun boleh)

Serbuk lada hitam secukup rasa

Italian herbs secukup rasa

Garam secukup rasa


Bahan sos putih(Bechamel sauce)

2 1/2 susu segar

1 sudu mentega

3 sudu tepung gandum

Segenggam keju parmesan (kalau tak ada,keju apape pun belasah je)

Sedikit oregano dan lada hitam

Cara memasak:
1. Panaskan sedikit minyak masak. Tumis bawang hingga layu. Masukkan capsicum yang dipotong dadu.
2. Kemudian masukkan daging ayam. Goreng hingga masak dan masukkan cendawan butang.
3. Gaul hingga cendawan masak. Perasakan dengan lada hitam, garam dan italian herbs. Bila dah masak, angkat campuran ayam dan ketepikan.
4. Dengan menggunakan kuali sama, cairkan mentega. Masukkan 3 sudu tepung gandum. Masak tepung dengan api perlahan supaya tak hangus. Nak senang kacau untuk elakkan berketul, gunakan whisker.
5. Agak-agak tepung dah masak, tuangkan susu. Kacau sampai tepung tak berketul-ketul.
6. Bila hampir mendidih, masukkan keju dan kacau sampai keju larut. Kemudian masukkan sedikit oregano dan lada hitam. Jangan banyak sangat tau, karang pedas aku tak jamin.
7. Bila sos putih ni dah pekat, masukkan campuran ayam tadi. Gaul rata. Bila dah mendidih, matikan api dan hidangkan dengan pasta kegemaran. Siapp!

*Faien, selamat mencuba. Ini memang resepi belasah je tau. Tapi sedap! Hehehe...Sendiri masak, sendiri puji. Biasa la tu. Sanggup berhenti tengok drama Korea kejap demi nak letak resepi carbonara ni untuk awak tau. Jangan tak cuba pulak. ^_^

Published with Blogger-droid v2.0.4

Friday, 13 April 2012

Tak Pedas Pun?

Hari Sabtu lepas, sesudah habis menonton Mirror Mirror, kami penuhkan perut yang separa kosong dengan nasi ayam penyet yang menjadi sebutan ramai. Di mana lagi kalau bukan di Wong Solo. Selama ni aku dengar je orang cakap tentang keenakan nasi ayam penyetnya. Atau baca saja komen-komen dan ulasan blogger lain tentang Wong Solo. Akhirnya Sabtu lepas dapat juga merasa. Tak nak cerita panjang-panjang, nak taruk gambar banyak-banyak. Aci tak? Hehehe..

 Ini teman berjimba pada hari tersebut.

Ini tuan tanah yang tak sabar nak makan.

Jus Avocado yang sedap! Rasa dia lemak berkrim disukai ramai.

Pinggan nasi aku yang tak semenggah susunan lauk. 

Pinggan nasi Na yang tersusun elok lauknya. Tak aci ni! 

Petai Tumis Tak-ingat-nama yang sedap dan banyak. Lauk tambahan ni. 

Gado-gado. Ada emping belinjau. 

Selepas...

Nasi ini didatangkan dalam set. Ada 5 set semuanya kalau tak silap; ayam penyet, ayam bakar, empal sapi, pecal lele dengan ayam goreng kot. Lupa sudah. Hehehe... Dalam set tu ada nasi + lauk utama(ayam penyet, goreng, bakar, ikan keli atau empal sapi) + sambal + ulam timun dan daun salad + tempe dan tauhu goreng + terung tumis balado dan didatangkan dengan air mineral. Jimat kan? Hanya RM 10.90 satu set. Banyak lagi menu lain yang boleh dipilih. Kalau larat nak makan la kan. Kami cuma pesan petai tu je. Mereka juga menyediakan pakej hidangan untuk keluarga. Ada pakej untuk 3 orang, 4 orang, dan berorang-orang. Sesiapa yang terasa nak makan ayam penyet yang lembut nasinya yang sedap, bolehlah k cawangan Wong Solo berdekatan. Yang kami pergi ni dekat Seksyen 7, belakang Jakel sederet dengan Restoran Upin Ipin. Keseluruhan kami makan tambah 5 kotak nasi tapau untuk keluarga di rumah(Na 2 kotak aku 3 kotak) adalah RM92++.

Komen aku;
+Servis cepat tapi pelayannya kurang senyum. Mungkin kerana hari sudah petang maka mereka pun sudah penat.

+Keadaan restoran menarik di mana anda boleh pilih nak duduk di kerusi atau mahu bersila.

+Harganya boleh tahanlah dengan kuantiti makanan. Daripada kau nak kelentung kelentang kat dapur penyekkan ayam, bayar sajalah RM10.90 untuk satu set nasi. Lengkap semua ada.

+Sambal ayam penyet tu tak sepedas yang aku bayangkan macam bila aku baca ulasan blogger lain. Bagi orang lain mungkin itu dah cukup pedas. Tapi bagi aku, selagi air mata tak mengalir dengan sendiri dan ubun-ubun tak terasa menyengat dan berpeluh dengan dahsyat, itu TAK PEDAS. Setakat keluar air hidung, kepedasan biasa je tu. Hehehe...

Kerana Sebatang Pen

Sumber gambar dari sini


Dalam entri sebelum ni, aku dah huraikan bagaimana hasil tangkapan diperoleh. Di antara tiga hasil tangkapan, aku mulakan dengan Sweet Spy. Tengok muka depan kotak DVD, ceria dan menarik. Tengok permulaan episod pertama, sedikit lembab. Tapi beransur menjadi menarik. Selepas habis menonton drama ni, aku dapat simpulkan bahawa tajuknya kena tukar jadi macam kat atas nun sebab dari mula sampai habis, ceritanya asyik berkisar tentang sebatang pen tu saja. Haiyyyooo... Nasib baik hero hensem dan heroin cun. Sabar jelah. Hahaha...

Kisah bermula apabila seorang polis trafik wanita (Lee Soon Ae) menahan seorang pesalah trafik (Han Yoo Il) yang melanggar lampu merah. Tak pasal-pasal kena saman. Waktu nak tulis surat saman tu, heroin ni tak ada pen pulak. Terus dia sambar pen dari poket kot hero tu dan lupa nak pulangkan pen tu kepada hero balik. Dari situlah kisah bermula. Pen yang dia ambik tu adalah pen yang mengandungi maklumat sulit dan dilengkapi alat pengesan. Bila buka je tutup pen tu, satelit boleh kesan. Itu yang terus huru hara sebab ramai sangat pihak yang nakkan pen tu.

Sumber gambar dari sini

Dek kerana pen tu jugak, heroin kena menyamar jadi makwe kepada hero yang sebenarnya dah ada hati pada heroin dan akhirnya dua-duanya terjatuh cinta. Kwang..kwang..kwang... Tanpa disengajakan, pen tu pun ada kaitan dengan kes kematian suami heroin yang dipercayai dibunuh kerana menyiasat satu kes kecurian fail sulit seorang ahli politik yang sebenarnya ada sangkut paut dengan pen tu jugak. Tengok, semua perkara mesti ada sangkut paut dengan pen tu. Kiranya pen tulah yang jadi watak utama drama ni.

Waktu menyiasat kes yang berkait-kait tu, adalah seorang polis perempuan yang poyo. Dia nilah sebenarnya gunting dalam lipatan. Kejahatan dia terbongkar pada penghujung cerita bila dia dan watak jahat seorang lagi datang ke rumah hero konon-konon nak bermegah dengan kejayaan mereka memfitnah hero yang 'telah ditembak mati'. Nak dijadikan cerita, heroin pun ada di tempat kejadian dalam bilik rahsia yang merupakan bilik kawalan CCTV rumah tu. Kan, dah kantoi dengan heroin! Di kemudian hari, ada lah adegan tarik-tarik rambut antara heroin dengan polis poyo tu. Agak lawak di situ.

Pengakhiran bagi drama ini adalah tidak manis seperti tajuknya dan WAJIB disambung untuk musim kedua. Kenapa?
1. Sebab walaupun hero ditembak bertubi-tubi, tak ditunjukkan mayat beliau ditemui mahu pun disahkan kematiannya. Maksudnya tak mati lagi la kan.

2. Identiti hero tidak didedahkan; adakah hero merupakan pengintip bagi organisasi baik ataupun jahat? Bukan heroin je tertanya-tanya, aku pun tertanya-tanya jugak. Hehehe...

3. Siapa sebenarnya dalang di sebalik pembunuhan suami heroin? Kes yang disiasat semula tu tak selesai dan siasatan dibuat semula. Mesti nak tahu hasil siasatan kan?

4. Apakah kaitan maklumat dalam pen dengan fail sulit yang hilang tu? Misteri kandungan fail tidak didedahkan dan mereka semua tak tahu bahawa maklumat fail tu sebenarnya ada pada heroin; hero masukkan dalam jam tangan heroin. 

5. Paling penting sekali, waktu heroin mengenang balik saat-saat pertemuan dengan hero, dia dapat panggilan telefon daripada Sam Ee Sik iaitu salah satu nama samaran hero. Kan aku dah kata, hero tak mati lagi. Silalah sambung musim kedua walaupun sudah 6 tahun berlalu.

Drama ini ditayangkan pada penghujung tahun 2005 hingga awal 2006. Kalau cari ulasan tentang drama ni, memang bersepah dan aku pun gatal jugak pergi baca ulasan-ulasan tu. Bila saja ulasan-ulasan itu mengatakan bahawa pengakhiran cerita ini sedih, terus aku skip-skip bahagian yang bosan. Oh, terus merudum semangat nak tengok. Pengajaran, sila elakkan menonton drama-drama terbitan MBC kerana sudah ada beberapa drama yang pengakhirannya sedih. Okey, dah habis dah ulasan aku.

Betul-betul Punya

Bila selalu menulis, kadang-kadang tak tahu nak letak tajuk apa pada entri. Disebabkan tak biasa tulis entri tak bertajuk, aku belasah jelah letak tajuk macam kat atas tu. Hehehe... Hari Selasa lepas cuma ada kelas pagi je sebab kelas untuk Rangkaian Kak Dahiyah ganti patutnya. Tapi disebabkan ada pemeriksaan dadah secara mengejut, maka kelas selepas rehat pagi dibatalkan. Nasib baik pemeriksaan tu mula pukul 10. Kalau tak hanguslah kelas pagi aku. Hehehe... Jadi habis je kelas aku terus menapak ke bangunan pentadbiran semula. Masuk-masuk je Kak Dayan tengah tercegat depan printer berdekatan pintu belakang dan berkata; "Farah kena pergi buat soalan." Erk? Rupanya Kak Dayan tengah cetak memo pasal buat soalan tu. Memang kali ni betul-betul punya sebab memo dah muncul. Perkhabaran nama naik untuk buat soalan ni diterima dah lama. Tapi tak tarikh sebenar masih tak tahu. Jadi minggu depan dari hari Selasa sampai Jumaat berkampunglah aku kat Port Dickson nun. Cuak ni! Pertama kali kan. Lepas je dapat memo tu, terus selak-selak buku yang selama ini menjadi rujukan untuk mengajar dan mengumpul soalan-soalan peperiksaan yang lepas.

Tapi tak sempat nak draf soalan hari Selasa tu sebab selesaikan menanda tugasan pelajar dan petangnya ada mesyuarat pelaksanaan amalan 5S. Jadi semalam baru aku fokus buat soalan. Itu yang tak sedar tiba-tiba je jam dah tunjuk ke angka 1. Khusyuk la konon. Hehehe... Memang khusyuk pun sebab kena fikir. Rupanya tak mudah nak buat soalan periksa ni. Kena ada tiga skala soalan iaitu mudah, pertengahan dan susah. Memanglah kena buat soalan tu kat sana tapi takkan aku nak datang tanpa buat persediaan kan? Bila dah draf sikit-sikit, nanti kat sana tinggal tokok tambah mana yang patut atau pun ubah mana-mana yang tak sesuai.

Sebelum pergi, kena cari pengganti untuk kelas. Kalau nak tinggalkan tugasan je pun boleh tapi rugi pulak sebab silibus pun tak habis-habis lagi ni. Mana taknya, asal hari Selasa je cuti. Asal cuti je, hari Rabu. Daaaahh kena biarkan kelas hangus. Nak tambah tahap kecuakan aku adalah aku sorang je yang kena pergi ke Port Dickson tu. Orang lain ada juga yang kena buat soalan jugak tapi kat Melaka. Tak apalah, kena belajar berdikari dan bergaul dengan dunia luar. Semoga dipermudahkan segala urusan hendaknya.

Tuesday, 10 April 2012

Pantang Keluar...

Selepas agak lama tidak keluar berjimba di hujung minggu, maka aku pun mengajak seseorang untuk berjimba pada hujung minggu sudah. Sebenarnya nak tengok Mirror Mirror sebab tak tahan tu hari-hari dengar promosi kat radio. Bagi mengukuhkan rancangan, aku beli tiket siap-siap melalui laman web dia. Maka lepas masak untuk orang-orang di rumah, aku zaasss ke Shah Alam untuk mengambil teman berjimba di rumahnya. Gila banyak lori sepanjang jalan. Seriau aku dibuatnya. Alhamdulillah selamat sampai. Lepas ambik Na, terus ke JJ Bukit Raja.

Mula-mula makan dulu sebab aku tak sempat nak makan sebelum keluar rumah. Cari nasilah sebab lapar gila. Bila dah pesan nasi ayam, baru Na kata nak ajak gi Wong Solo lepas tengok wayang. La, awat tak habaq awal-awal? Licin juga aku makan nasi ayam tu walaupun lepas ni nak makan ayam lagi. Hehehe... Habis makan terus ke TGV. Nasib baik dah beli tiket awal-awal. Kalau tak, bercintalah aku nak beratur panjang. Dah bertahun-tahun tak masuk panggung, rasa pelik pulak. Bukan apa, tak ada masa nak pergi atau pun bila ada masa, tak ada cerita yang sesuai pulak. Rasanya kali terakhir aku tengok wayang adalah pada tahun 2008. Waktu tu tempat bertendang adalah Mid Valley. Sekarang tukar ke Bukit Raja pulak.

Habis wayang dekat pukul 6. Zasss cari surau untuk solat asar. Sekali ramai sangat pulak. Terus aku ajak Na ke surau di luar dari bangunan Jusco. Tak dapatlah nak ronda-ronda dalam tu. Tak apa, utamakan yang utama. Lepas solat asar, terus zaasss ke Wong Solo. Selama ni asyik dengar orang cerita je, kali ni nak rasa sendiri. Habis makan, dah masuk waktu maghrib. Waktu nak cari tempat solat, agak mencabar juga hingga akhirnya kami ke SACC Mall terus. Alhamdulillah sempat sampai. Disebabkan aku berniat nak cari kasut kerja baru, maka aku ronda dalam SACC Mall sorang-sorang sementara tunggu Na beli sate kat PKNS. Banyak kali jugaklah aku keluar masuk kedai kasut cari yang sesuai dan murah. Sebab beli baru adalah kerana kasut hitam aku yang beli kat Parkson Putrajaya dulu dah rosak tapaknya. Sob..sob..sob.. Akhirnya aku rembat kasut ni kat Vincci.
Walaupun tak berapa suka kasut-kasut di Vincci sebab rekaan dia untuk orang kurus, tapi aku beli jugak yang ni sebab aku rasa ia sesuai dengan aku. Hitam, bertutup, ada reben kat depan, dan tumitnya tak halus sangat macam kasut-kasut Vincci yang lain. Paling penting, ada diskaun. Hehehe...

Lepas beli kasut, terus keluar tunggu Na. Agak lama juga tunggu tak muncul dan tak SMS. Maka aku pun gatallah pergi masuk Speedy. Belek punya belek, macam terberkenan nak beli. Waktu belek tu, habis semua kawasan DVD dan CD drama Korea aku punggah sebab nak cari satu drama ni yang dah tak pernah ditemui lagi setakat ni. Cari dalam internet pun tak ada. Drama tu muda sikit daripada Winter Sonata tapi kurang popular kot. Tu yang tak jumpa-jumpa tu. Bila adik pembantu kedai tu tengok aku punggah rak dia semacam sampai tiga kali pusing tapi tak ambik apa-apa, terus dia pergi dekat aku untuk jadi pemerhati. Hahahaha.. Dia risau aku buat sepah la tu. Bila dia datang dekat, terus aku tanya pasal drama tu dan tiba-tiba dia kata kalau nak boleh tinggal nama dulu. Kalau ada stok, dia akan telefon. Cayalah! Lepas tu aku tanya sama ada dia terima VISA atau tak disebabkan wang tunai dah habis. Bila dia kata 'YA', sakanlah aku pilih. Tapi tak dapat nak pilih lama-lama sebab takut Na dah tunggu. Inilah dia hasil tangkapan di Speedy.
Walaupun semuanya cerita lama, tapi semua ni aku tak tengok lagi sebab dulu-dulu mana aku layan cerita Korea ni. Hehehe...

Ikutkan nafsu, nak angkut lagi banyak. Sebab dia ada buat promosi; Beli satu set DVD Korea dan dapat satu set lagi secara PERCUMA. Mula-mula aku buat tak kisah je dengan tawaran tu sebab macam tak percaya. Waktu nak bayar tu dia cakap; "Akak boleh ambik lagi satu set ni sebab akak ada beli DVD promosi. Boleh pilih mana-mana dari bahagian ni. Tapi kalau akak ambik DVD yang lagi mahal daripada DVD akak nak beli, kita akan caj harga yang paling mahal." Mula-mula aku keliru. Tapi bila dia terangkan lagi, baru aku faham. Maksudnya, kalau korang pilih DVD harga RM 69.90 untuk dibeli, kena pilih DVD yang percuma harga yang sama atau lagi murah sebab kalau korang pilih yang harga RM89.90, dia akan caj harga yang mahal. Ah, tak kisah la dik! Yang penting dapat percuma. Akak ni pantang dengar perkataan PERCUMA. Hahahaha... Jadi lepas ni kena berjimat cermatlah ye nampaknya.

"Farah nak jumpa Menteri tak?"

Itulah dia soalan daripada Kak Azuar minggu lepas. Terkejut aku dibuatnya. Rupanya Kak Azuar minta tolong jadi pegawai pengiring untuk Majlis Penyerahan Baucar Buku di ADTEC Shah Alam. Semua orang sibuk sebab pada hari yang sama ada pelancaran Program 5S di institut. Jadi, aku setuju jelah. Bukan buat apa pun. Cuma iring budak-budak tu ambil baucar. Pelajar terlibat pun cuma 6 orang. Disebabkan Pengarah masih belum ada, maka Kak Azuar pun pergi sekali sebagai wakil Pengarah. Patutnya bertolak pukul 7.30 pagi tapi lewat sikit dari jadual asal. Laju gila Abang Man bawak van tu sampai kaki aku terikut-ikut macam tekan-tekan brek. Hahaha... Sejak kemalangan tu memang aku cepat cuak.

Dengan kelajuan 120km/j, tibalah kami di tempat kejadian pada jam 8.45 pagi. Sampai-sampai je pegawai yang bertugas tu kata; "Bolehlah kalau nak minum dulu. Majlis akan mula pukul 11 pagi sebab Menteri lewat." Cait! Maka pergilah sarapan dulu di kafe. Terima kasih Kak Azuar sebab belanja kami. Lepas makan, terus masuk dalam dewan untuk menunggu kedatangan Menteri. Sambil tunggu, buat rehearsal dulu. Mujurlah Menteri sampai tepat pada masa jangkaan.

 Bergambar bersama Menteri Sumber Manusia; Datuk Dr. S. Subramaniam, Ketua Pengarah JTM; Dato' Hj. Romli Bin Hj Hassan dan Pengaraha ADTEC Shah Alam; Encik Zuraka Bin Yusof.

Ini pelajar-pelajar yang pergi. Tapi yang naik pentas sorang je. Untung la dapat masuk akhbar yang sebelah pelajar pakai cermin mata tu.... Sebab waktu bergambar ramai-ramai dia duduk dekat dengan Menteri.

Gambar ni tangkap sendiri ye sebab kebetulan tempat duduk aku berada di baris kedua dari depan. Tu yang jelas dan nyata. Cuma mereka tak pandang kamera aku sebab aku bukan jurugambar The Star mahupun Berita Harian. Kehkehkeh... Lepas habis majlis, kami dijamu dengan jamuan makan tengah hari yang sangat sedap! Nasi beriani tahu. Perut dah kenyang, bergambar pun sudah, marilah pulang siapkan bahan mengajar untuk kelas esok iaitu hari ini.

Apakah yang Telah Terjadi?

Assalamualaikum...terasa macam lama sungguh tak menaip entri. Sibuk buat-buat sibuk katanya. Okeh, nak letak gambar je aci tak? Alah, bukan ada orang lain yang nak tengok pun, aku jugak kang yang keluar masuk baca karangan sendiri. Hehehe.. Disebabkan banyak perkara luar biasa yang berlaku dalam bulan lepas dan bulan ini, maka mahu jugalah ku catatkan di sini sebagai kenang-kenangan. Yelah, aku pun bukan selamanya berkhidmat di tempat kerja sekarang ni. Kot-kot rindu-rinduan di kemudian hari, bolehlah baca balik catatan sejarah tu. Okeh, mulakan dengan ICE 12'. Ura-ura aku nak bagi tugasan pada budak-budak kelas ku macam yang aku rancang di sini adalah tak menjadi. Sebabnya, hari Rabu tu pagi-pagi lagi tetamu jemputan dah sampai. Ini adalah gara-gara mahu menyelitkan mereka dalam artikel akhbar dan merupakan permintaan wartawan itu sendiri. Maka, tugasan ke mana, kelas pun ke mana.

 Ini projek yang dah banyak menang pingat. Namanya 'Selak Pintu Automatik'. Budak kelas aku jugak ni. Tinggi betul dia ni sampai kalau nak bercakap dengan dia waktu berdiri, aku kena dongak.

 Ini pulak antara tarikan utama iaitu 'Robot...' aiseh, lupa pulak nama projek ni. Ni pun dah banyak menang pingat. Proses pembuatan bermula dari melakar hinggalah mencantumkan robot dibuat oleh pelajar sendiri.

 Ini saja bergambar dengan budak-budak kelas Rangkaian Semester 2. Tiba-tiba pulak Michael Jackson tu baik hati masuk sekali. Kehkehkeh... Ini pun kira tarikan jugalah. Muka pelajar-pelajar aku ni kan, ada yang sama sebijik macam muka kenalan dan kawan-kawan di Unisel dulu. *Ifdal, bila masa awak daftar jadi pelajar ILP ni?hehehe...*

 Sesi penerangan mengenai projek masing-masing kepada pengunjung.

 Antara pelajar-pelajar sekolah yang hadir.

Inilah dia penjaga kaunter pendaftaran yang setia. Pelawat-pelawat akan diberikan fail ILP tu selepas mendaftar.

Ini adalah gambar-gambar hari kedua kejadian.Tapi tak adalah aku duduk tercongok kat dewan sepanjang masa. Lari-lari dari situ ke pejabat sebab pendingin hawa di dewan tak berapa nak rasa. Lagi pun ada pelajar-pelajar Multimedia tolong jaga kaunter. Hehehe.. Itulah dia yang terjadi pada 2 minggu lepas. Kalau letak tajuk ICE 12' kang, habislah kot-kot ada orang dari ILP Google dan jumpa blog picisan aku ni.

Thursday, 5 April 2012

Tak Boleh Merayap

Minggu ni semedang aku lesap bila jam dah pukul lima. Mentang-mentang budak-budak cuti pertengahan semester, bukan main goyang kaki. Hahaha... Tak goyang sangat pun. Tetap juga ada kerja-kerja lain seperti menanda tugasan yang telah dihantar, mengisi markah ke dalam SPC dan lain-lain lagi kerja sampingan. Eh, pasal kerja cerita kemudian la. Sekarang nak cerita kenapa aku tak boleh merayap lepas balik. Hehehe.. Sebabnya, tak tersampuk cerita Cina pukul 6 petang kat TV2. Sebelum ni cerita lain yang kadang tengok kadang tak. Tiba-tiba ada satu hari tu dah tukar cerita baru pulak. Episod 1 pulak tu dan ceritanya menarik. Teruslah kena sampuk. 

File:Word Twisters Adventure.jpg

Tajuk cerita ni adalah 'Word Twisters' Adventures'. Mengisahkan tentang 3 orang watak utama kat atas nun. Lelaki yang pegang kipas(Fong Tong Kan) tu adalah seorang peguam terkenal manakala lelaki bertopi tu(Chan Mung Kat) minat nak jadi peguam tapi mak dia tak bagi sungguh-sungguh sebab mendiang ayah dia dulu peguam jugak tapi peguam yang jahat dan sebelum meninggal, ayah dia pesan supaya anak dia nanti tak jadi peguam. Perempuan tu pulak(Laplan Ching Ching) adalah anak kepada majistret kat tempat diorang tinggal dan dia sentiasa tolong ayah dia kendalikan kes sebab ayah dia tak berapa hebat. Mula-mula, Chan Mung Kat ni asyik kacau Laplan Ching Ching sampaikan terjadi satu insiden hingga kesnya dibawa ke mahkamah. Waktu tu Fong Tong Kan jadi peguam bela Chan Mung Kat dan tujuan diorang bawa kes tu ke mahkamah sebab nak pecah tembelang ayah Ching Ching tu. Memang sampai sudah la Mung Kat dengan Ching Ching gaduh sampailah mereka dititahkan oleh Maharaja untuk berkahwin.

Episod diorang kena kahwin dan Ching Ching dilantik jadi peguam perempuan pertama tu aku tak tengok pulak. Kira macam terpaksa kahwin kot. Walaupun dah kahwin, diorang tetap jugak gaduh-gaduh. Bukan setakat diorang je gaduh, dengan mak Mung Kat dan ayah Ching Ching sekali masuk campur. Tapi akhirnya hubungan diorang bertambah baik. Alah, biasalah bila kena kahwin paksa. Lama-lama mesti ada adegan sudah jatuh ditimpa tangga kan? Hehehe... Jadi setakat episod yang aku tengok sekarang, diorang dah kurang gaduh. Nak tahu apa kesudahan, kenalah tengok sampai habis. Cerita ni best sebab banyak lawak. Tu yang tersampuk dan tak dapat la nak merayap.

Tuesday, 3 April 2012

Mahar Cinta Cinderella

Sebagai seorang penggemar novel, ada masanya aku berkeinginan mahu membaca novel santai. Maksud santai di sini adalah novel yang tidak memerlukan banyak masa untuk dihadam isinya. Senang kata, novel-novel cinta. Tapi tiap kali ke Popular dan mencari novel-novel keluaran Alaf 21 yang ditulis oleh penulis-penulis kegemaran, boleh ku katakan langsung tiada pilihan. Akhirnya aku membuat keputusan membeli secara dalam talian di Bookcafe. Salah satu buku yang telah selamat ku khatam bertajuk Mahar Cinta Cinderella. Ini rupa novel tu

Cerita ini mengisahkan tentang Nur Sayang dan kehidupannya. Pada hari pertama latihan praktikalnya di Hospital Sunway, berlaku kejadian yang tidak diingini apabila beliau diragut. Namun, beliau telah diselamatkan oleh seorang doktor di situ yang bernama Andrew dengan menggunakan sepasang kasut yang sedang dipakai. Bermula dari saat itu, mereka saling mengenali antara satu sama lain lebih-lebih lagi apabila Nur Sayang diletakkan dibawah tanggungjawab Dr. Andrew sebagai jururawat pelatihnya. Doktor berbangsa Cina sering kali memprovok Nur Sayang tentang agamanya dan cara hidupnya. Dr. Andrew sentiasa menguji sama ada Nur Sayang seorang Islam yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam atau sekadar mengikut apa yang diperintahkan tanpa mempunyai kefahaman mendalam. Hingga satu ketika, Dr. Andrew menggelar Nur Sayang sebagai 'Islam Celup'.

Kemelut rumahtangga di antara ibu dan bapa tirinya sedikit sebanyak mempengaruhi fikiran Nur Sayang dan membuatkan dia berfikir adakah dia dapat meneruskan hubungannya dengan Kamil yang sentiasa memberi alasan untuk mengikat hubungan mereka. Dr. Andrew pula seringkali memberikan contoh keretakan rumahtangga ibu bapanya sebagai salah satu sebab mengapa Kamil sentiasa menangguhkan pertunangan mereka. Kerana geram dengan Dr. Andrew yang sentiasa menggelarnya 'Islam Celup', Nur Sayang mula mengkaji ayat-ayat Al-Quran untuk membuktikan bahawa dia bukanlah 'Islam Celup' seperti yang dikatakan. Penerangan demi penerangan dan disusuli perbincangan tentang perkaitan ayat-ayat Al-Quran dengan kehidupan manusia serta alam semesta akhirnya membukakan hati Dr. Andrew.
"Saya pernah dengar kemajuan orang Islam zaman dahulu. Saya terfikir tentu ada sumber datangnya ilmu itu. Tetapi, zaman dahulu bukannya ada banyak buku seperti sekarang. Itu membuatkan saya terfikir, sekiranya ada sebuah buku yang membuatkan orang Islam maju, apakah buku itu? Kemudian saya teringat buku orang Islam adalah Al-Quran. Dan saya membuat andaian, kemunduran umat Islam sekarang adalah kerana mereka semakin jauh dari Al-Quran. Itu sebab saya cabar awak berkenaan Al-Quran." kata Dr. Andrew.

Dr. Ehsan muncul dalam hidup Nur Sayang selepas Dr. Andrew gagal mempengaruhi beliau untuk mempercayai Tuhan Kekayaan dan melamar beliau kerana tertarik dengan Nur Sayang sejak dari pertemuan pertama lagi. Nur Sayang yang keliru dengan perasaannya telah menolak lamaran Dr. Ehsan tanpa berfikir panjang. Lalu, Dr. Ehsan membawa rajuk ke Palestin dengan menyertai satu misi kemanusiaan. Selepas pemergian Dr. Ehsan, Nur Sayang berasa kehilangan dan tertekan hingga dia melarikan diri dari rumah gara-gara mahu mencari siapa dirinya. Sebaik saja Nur Sayang sedar, dia membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan untuk menjadi doktor di Mesir.
"Saya sudah tahu siapa diri saya sekarang. Saya seorang muslimah yang ada tanggungjawab mentaati perintah Allah dan Rasul. Saya ada tanggungjawab kepada ibu saya. Saya ada tanggungjawab kepada semua saudara seIslam saya. Dan saya ada tanggungjawab menyebarkan Islam dengan cara saya sendiri. Saya patut bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan kepada saya," kata Nur Sayang dengan sebuah senyuman lega.

Dr. Ehsan yang mencurah bakti di Palestin pula mengalami pelbagai peristiwa pelik yang membuatkan beliau bertambah yakin bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan yakin bahawa keputusannya dulu adalah tepat. Beliau juga turut berhadapan dengan dugaan memeritkan apabila dijadikan tebusan oleh rejim Zionis hinggalah akhirnya beliau ditembak dan ditinggalkan di tengah padang pasir. Dengan izin Allah, Dr. Ehsan terselamat dan dihantar ke Hospital Abbasiyah Kaherah. Ketika beliau berada di Mesir, berlaku Revolusi Mesir dimana rakyat Mesir cuba menggulingkan presiden hingga beliau terpaksa dihantar pulang dalam Ops Piramid. Tanpa pengetahuan Dr. Ehsan, Nur Sayang juga terlibat di dalam operasi itu namun mereka tidak ditakdirkan untuk bertemu walaupun terdetik di hati masing-masing bahawa mereka berada di tempat berhampiran.

Akhirnya, ketika Nur Sayang mahu meneruskan pengajian setelah kemelut di Mesir reda, secara tidak sengaja mereka bertemu kembali. Nur Sayang yang menyangkakan Dr. Ehsan telah meninggal dunia di Palestin terkejut apabila tiba-tiba bersua muka dengan Dr. Ehsan di lapangan terbang.

"Saya rasa itu tidak akan menjadi masalah kepada saya kerana awak memang tanggungjawab saya seumur hidup, bukan?" Dr. Ehsan menambah.

"Mengikut peribahasa orang Cina, orang yang diselamatkan adalah tanggungjawab seumur hidup orang yang menyelamatkan. Kita pernah bincang hal ini bukan?" Dr. Ehsan mengingatkan Nur Sayang kepada perbincangan yang pernah berlaku di awal pertemuan mereka.


*Buat peminat novel yang menginginkan kelainan bolehlah dapatkan novel ini. Masih ada unsur-unsur percintaan tetapi tidaklah terlalu membuai perasaan. Ada juga diterapkan unsur kekeluargaan juga persaudaraan sesama muslim. Dalam masa yang sama, kita dibawa merujuk ke rujukan teragung; Al-Quran. Terdapat kupasan ayat-ayat yang terkandung dalam kitab suci ini yang membuatkan kita berfikir dan mengaitkannya dengan sains dan kehidupan seharian. Ungkapan 'Islam Celup' itu sendiri sebenarnya menyentakkan fikiran pembaca; apa benar aku Islam atau Islam Celup seperti yang dikatakan Dr. Andrew. Tahniah buat penulis kerana berjaya menggarap kisah cinta Cinderella ini menjadi lebih islamik. 

Monday, 2 April 2012

3 Perkara

Kalau KRU nyanyi lagu 3 Kata, hari ni aku nak kongsi tentang 3 perkara. Perkongsian ini aku dapat daripada segmen motivasi pagi di Selangor FM. Memang wajib dengar segmen ni setiap pagi sebab segmen inilah penanda sama ada aku sudah lewat mahu ke tempat kerja atau masih ada masa mahu berdiri di depan cermin. Kehkehkeh... Jadi, pagi tadi topiknya adalah tentang Isnin yang Biru.

Kenapa kebanyakan orang tidak bersemangat untuk bekerja pada hari Isnin? Jawapannya sangat mudah walaupun kadang-kadang kita tak nak mengaku iaitu TIDAK BERSEDIA. Tak bersedia dari segi mental. Dah cuti dua hari, haruslah otak pun tenang tidak memikirkan hal-hal pejabat dan kadang-kadang otak kita tidak diset semula untuk kembali menghadap kerja. Itu yang jadi biru tu. Kemudian, tak bersedia dari segi fizikal. Ini mungkin boleh dilihat. Kadang-kadang pagi Isnin tu lah baru sibuk nak cari stokin yang hilang sebelah (selepat kena kat batang hidung...) kan? Hahaha.. Dah, haru biru almari kena punggah. Kesimpulannya, kitalah yang menjadikan Isnin tu biru atau berwarna-warni.

Sekiranya terjadi juga situasi 'Isnin yang Biru' itu, lakukanlah 3 perkara yang memang kita kena buat setiap hari ini.

Sumber gambar dari sini
1. Ketawa - ketawa dapat meredakan ketegangan, rasa bersalah dan pelbagai perasaan lagi. Tapi jangan la terlebih gelak pulak.



Sumber gambar dari sini
2. Berfikir - ini perkara paling penting kerana berfikir merangsang sel-sel otak untuk berfungsi. Tahukah anda bahawa orang yang malas berfikir akan menyebabkan sel-sel otaknya mati?



Sumber gambar dari sini
3. Meluahkan emosi - mungkin tak perasan kot kita ada buat benda ni hari-hari. Tapi ada juga orang yang memendam emosi. Gembira pun begitu, marah pun begitu, sedih pun macam tu jugak rupa dia. Bahaya... Boleh makan dalam tu.

Sekian saja motivasi untuk malam ini. Hehehe...

Sunday, 1 April 2012

Tak Ngantuk

Entri pertama bulan April dibuat seawal pagi pada 1 April. Sebab? Tak ngantuk lagi weh. Ini gara-gara aku minum semug kopi Radix la ni sambil layan movie kat TV9 tadi. Sekarang ni memang pantang tau kalau minum Radix lepas waktu tengah hari. Pastinya aku tak dapat nak lelap mata. Stok Radix adalah berada di tahap kritikal. Nak tak nak, esok kena beli. Radix Diet aku memang dah habis. Sekarang ni aku minum Radix biasa je walaupun kurang gemar sebab bagi aku dia lebih manis berbanding Radix Diet. Jadi untuk bagi mata ngantuk, sempatlah aku khatamkan novel PTS yang dibeli melalui dalam talian. InsyaAllah aku akan kupas di sini nanti sebab cerita menarik. Walaupun isinya berat, tapi santai.


Published with Blogger-droid v2.0.4