Engagement Fund ;)

Monday, 29 October 2012

Dari Itik, Bertukar Jadi Ikan

Ini rentetan dari kisah mengukur jalan sejauh 600 km tu. Dalam perjalanan pulang dari Bahau nak ke lebuhraya, semedang kami nampak gerai-gerai kecil yang menjual daging lembu dan itik salai. Aku dengan Raudhah macam terasa nak cuba itik salai sebab tak pernah makan daging itik sebelum ni. Kak Chik tak hairan sebab dia dah pernah rasa daging itik. Sebab tak tahu gerai mana yang best, akhirnya tawakal aje berhenti kat satu gerai ni. Gerai kecil saja di tepi jalan. Memang ada banyak stok daging lembu dan itik salai. Tapi, itik salai beliau telah disejukbekukan dan dijual mengikut kuantiti yang besar; seekor. Banyak weh kalau nak beli seekor. Itik kan besar? Harga pun besar la jugak. Dahlah pertama kali nak rasa, dibuatnya tekak tak mahu terima, mahu diapakan itik yang seekor itu? Kot la dia jual seketul-seketul macam orang jual ayam tu ke, okeylah juga. Akhirnya, aku cuma beli ikan keli salai saja sebab ikan keli memang kegemaran semua orang di rumah. Buat masak lomak cili api. Sodap tu!

Rupa sebelum digulai

Selepas digulai

Petang Isnin tu jugak aku gulaikan ikan keli salai ni sebab malas nak fikir masak apa ditambah lagi dengan badan yang masih penat dan kepala yang agak ting tong sebab tak cukup rehat. Aku tak tahu la masak lomak cili api aku ni ikut piawaian orang Nogori ke tidak. Yang penting, lemak dan cukup pedas.

Perjalanan Sejauh 600km... (Episod 2)


Pengembaraan Perjalanan diteruskan untuk ke perhentian sementara kami iaitu Seri Menanti Resort. Esoknya baru ke destinasi terakhir iaitu walimah Azli yang mengambil masa 45 minit dari resort. Saja la menggedik tidur tempat baru dengan pemandangan yang mendamaikan; sambil hilangkan stress katanya. Sekali-sekala kan. Dari KL lewat maka sampai pun lewat. Sampai jalan Kuala Pilah dah gelap. Berpandukan papan tanda, aku memandu dengan cuak sebab sepanjang jalan nak sampai resort tu sunyi dan lengang dan tak ada rumah. Ingatkan sesat ke apa kan tapi alhamdulillah jumpa juga tempatnya. Terletak betul-betul di sebelah Muzium Seri Menanti. Daftar masuk dan tengok keadaan sekeliling. Ambik gambar bilik setiap inci sebab nak buat laporan kat sini. Hehehe...

 Biliknya selesa dan luas, boleh solat dengan selesa

Bilik air pun luas dan bersinar

Pandangan pertama, biliknya OK la cuma servisnya kurang berbanding hotel-hotel lain. Ke atau bilik kami je yang bermasalah? Itu tak ada, ini tak cukup, sampai naik segan nak bertanya kat kaunter. Sebab sampai dah malam maka tak nampak keadaan sekeliling dengan jelas. Reka bentuk bangunan macam rumah agam zaman dahulukala. Makanan tak disediakan dan kafenya macam tak hidup. Jadi sesiapa yang nak menginap di sini baik tapau makanan siap-siap sebab nak keluar cari makan memang jauh. Jauh satu hal, jalan keluar untuk sampai ke jalan utama satu hal; menyeramkan sebab masih ada kawasan berhutan dan tak banyak penempatan. Sebab dah lapar, redah ajelah... Cuma sepanjang jalan tu macam-macam la muncul dalam kepala ni. Nak guna high beam pun tak berani sebab imaginasi aku adalah nanti tersuluh makhluk yang mengilai tu atau nampak makhluk tak sepatutnya bergayut di dahan-dahan pokok. Kelas tak kelas imaginasi aku? Hahaha... Serius, berdebar-debar je rasa sepanjang jalan pergi dan jalan balik. Kerana jauh, kami tapau jugak sebab Kak Chik nak buat kerja, takut tak sempat.

Malamnya, aku tidur tak lena sebab terbayang-bayang pelbagai perkara menyeramkan gara-gara tertengok iklan cerita hantu kat Astro dan juga imaginasi tadi. Dah la katil aku tepi tingkap. Tak pasal-pasal! Hahaha... Esok paginya bangun agak awal sebab nak kejar waktu sarapan. Oh ye, harga bilik termasuk sarapan tapi sarapannya tak ada pilihan. Menu pagi tu hanya bihun goreng dan roti dihidang bersama madu dan kaya beserta dua jenis air panas. Lepas sarapan, masuk bilik balik sambung golek-golek sementara tunggu waktu daftar keluar. Ada yang layan Adam&Hawa, ada yang layan filem dekat Astro dan ada yang gosok baju.
Tempat makan yang berkonsepkan terbuka

Sebelum daftar keluar, kami pun jelajah hampir seluruh resort untuk sesi bergambar. Rekabentuk unik dan landskapnya cantik. Ada banyak bunga mawar yang sedang berkembang mekar. Satu je tak sempat buat; terjun kolam renang dia yang nampak best tu. Udah la kolam dia depan bilik, tak ada orang pulak tu. Kira syok gak la kan kalau dapat berendam dalam tu walaupun tak tahu berenang. Hehehe..

Antara bunga ros yang ada...

Pemandangan sebaik saja keluar dari bilik

 Pergola (ek?)... teringat kolam ikan dalam cerita My Princess... kedudukan dia sama sebijik!


Pemandangan dari kolam renang 

Ok dah, jom balik! 

Wednesday, 24 October 2012

Perjalanan Sejauh 600 km... (Episod 1)


Ini adalah entri tertunggak yang patut didahulukan sebenarnya. Tapi, biar lambat asal ada kan? Hehehe... Malas nak edit gambar sebenarnya. Rasanya, macam gila kentang sungguh bila memikirkan balik betapa gigihnya aku, Kak Chik dan Raudhah menghadiri majlis perkahwinan sahabat-sahabat di universiti dulu. Dari hujung ke  hujung. Kalau sekali harung tulis mesti panjang, jadi aku bahagi mengikut episod.

Perjalanan bermula dari Banting kira-kira jam 8 pagi hari Sabtu, dengan memandu kereta pinjam. Nak bawak Mrs. Kanc tak yakin sebab lepas beliau terlibat dalam kemalangan macam dah tak 'kukuh'. Terima kasih Tuan Preve kerana pinjamkan kereta. Mula-mula pergi Shah Alam ambik Kak Chik. Sebab tak sarapan lagi, singgah makan dulu di KFC lepas tak dapat makan nasi lemak di satu restoran ni. Pertama kali ni sarapan kat KFC. Kira okeylah makanan dia dan banyak juga pilihan. Siap dapat biskut percuma lagi. Yang tak tahannya, air-cond dia terlampau sejuk; menggigil dibuatnya. Dah kenyang, baru bertolak. Itupun dah siang jugalah, dalam pukul 10 juga kot.
Sarapan kami..

Mula-mula nak ikut PLUS tapi sebab macam bengong-bengong sebab pertama kali memandu sendiri guna lebuhraya, maka kami terikut GUTHRIE. Kesimpulannya, kalau nak ikut PLUS kena masuk ikut Bukit Raja dan kalau nak ikut GUTHRIE, masuk ikut Giant Stadium tu. Ikut mana pun sampai cuma GUTHRIE ni banyak tol tapi tak banyak kereta; boleh memandu dengan aman. Bila dah masuk PLUS, baru kereta meriah.

Destinasi pertama adalah Kalumpang, rumah Dila. Aku terlupa pulak keluar ikut susur mana tapi kami ikut je peta yang dia bagi kat kad. Alhamdulillah, senang nak cari rumahnya. Kira awal juga kami sampai, dalam pukul 12 ++. Tetamu pun belum ramai sangat. Ibunya yang menyambut kami dan dipersilakan kami ke meja hidangan. Tapi kami masuk dalam dulu jumpa pengantin baru keluar untuk makan. Sedang elok la tengahari, perut pun lapar. Ada lauk kegemaran tapi makan masih ingat dunia, tak tamak ambik nasi banyak-banyak. Lauk je yang penuh. Lama juga kami makan konon-konon nak tunggu pengantin siap bersolek. Tapi tak sempat jugak dan kami tak boleh tunggu beliau siap kerana perjalanan masih jauh lagi. Tak ada gambar dengan pengantin, cuma ada gambar pelamin dan hantaran je.
Pinggan orang lapar

Pelamin ringkas yang ceria

Perjalanan pulang tak ikut lebuhraya sebab rasa macam ikut jalan dalam lagi dekat. Maka, ikut sajalah papan tanda untuk ke Kuala Lumpur bagi destinasi seterusnya. Rupanya lalu Rawang. Okeylah walaupun sibuk sikit. Dah sampai Rawang, datang idea sengal iaitu nak singgah bengkel kek lapis terkenal di situ. Dulu pernah pergi dah dan sebab dah tahu sedap itulah aku nak singgah lagi. Tengok jam, macam awal lagi padahal sebab nak singgah jugak kami buat-buat la masa banyak lagi. Hahaha... Malangnya, stok kek HABIS KENA BORONG. Uwaaaa.... kempunan nak makan kek lapis sarawak. Takpelah, tak ada rezeki. Maka perjalanan diteruskan.
Rupa bengkel kek lapis dari tepi..waktu kami datang dulu bengkel ini masih dalam proses pengubahsuaian

Destinasi kedua adalah Apartment Abdullah Hukum di Bangsar. Seriau betullah memandu kat KL ni. Dengan tak tau jalannya dan memandu dalam kalangan pemandu yang asyik nak cepat, gabra dibuatnya. Tambah pulak kereta besar, lagi la cuak. Yang lagi sengal, pengantin tak sudi bagi kad jemputan yang ada peta. Sob..sob..sob.. Sempat la makan langsat dulu sebelum sampai. Nasib baiklah ada bantuan daripada GPS dan Shah yang meyakinkan kami bahawa betullah tempat yang kami sampai tu. Itupun dok telefon beberapa kali juga dan guna semua GPS yang ada; GPS Preve dan juga Google Map. Selama ni bukan tak pernah lalu kawasan situ tapi tak ambik tahu apa nama tempat tu.

Sampai-sampai aje, tetamu masih ramai dan nampak pengantin di kawasan pelamin. Kami cari orang yang dikenali dulu dan radar berjaya mengesan Shah dan Shuad. Terus menuju ke arah mereka sebab tak tahu nak tuju mana. Hehehe... Dalam keadaan tertanya-tanya, Shah angkat tangan pada penanggah yang juga merupakan abang kepada pengantin dan berkata; "Bang, ni ada lagi yang baru datang." Terus si Abang tadi panggil penanggah lain; "Buat lagi satu hidang kat sini." 
Ini hidangan orang sebelah, snap masa nak balik...gegar sebab segan nak berdiri lama-lama kat situ...hahaha

Pengantin yang pantang nampak mikrofon

Terus terjawab persoalan kami seawal melangkah ke majlis tadi. Aku kagum terus! Hahaha.. Sebabnya zaman sekarang ni dah tak pernah jumpa kenduri kahwin yang makanannya dihidang; manjang buffet. Masih kagum lagi ni sebab ramai kata hidang ni agak leceh sebab perlu sentiasa ditukar, tu yang ramai pakai buffet je. Aku je yang kagum sendiri sebab kat kampung Kak Chik masih ada yang guna cara ni. Hiks... Bila dah dihidangkan lauk, kami pun santap la, apalagi. Macam-macam lauknya dan sedap. Makan sambil gosip. Kira lama juga kami duduk sebelum bergambar dengan pengantin dan minta diri.

Sementara menunggu Raudhah habis kerja yang tiba-tiba waktu kerjanya lajak hingga jam 5, kami cadang nak ke Mid Valley yang terletak sekangkang zirafah dari rumah Najib. Dekat sangat! Tapi sebab tak yakin nak parking tepi-tepi jalan macam tu, kami cadang nak masuk dalam parking Mid cuma kena pusing jauh. Akhirnya, tak pergi Mid pun sebab tak jumpa jalan. Hahaha... Daripada pusing-pusing makan langsat, baiklah kami terus ke masjid Saidina Abu Bakar yang kebetulan dijumpai sewaktu makan langsat untuk jamak asar dan zohor. Buang apa yang patut, solat dan lepak kejap dalam kereta sementara tunggu Raudhah sampai di stesen LRT terdekat. Lepas ambik beliau di LRT Bangsar, terus zasss cari lebuhraya nak ke Kuala Pilah. Ok, sambung nanti episod 2. Terima kasih kerana bersabar membaca hingga habis. Hehehe...

Monday, 22 October 2012

10 Awal Zulhijjah

Sedikit perkongsian yang diperoleh daripada blog ini, untuk tambah ilmu Tuan Tanah juga untuk anda yang datang berkunjung. Semoga bermanfaat.


Tujuh amalan dianjur sepanjang bulan penuh berkat
Oleh Hizbur Rahman

KINI kita berada di penghujung bulan Zulqaedah. Insya-Allah jika dipanjangkan umur, kita bakal bersua dengan bulan Zulhijjah. Bulan yang mulia lagi berkat ini merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan terutamanya pada sepuluh hari pertama dalam bulan ini.

Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr ayat 1-3 maksudnya: “Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah dan bilangan yang genap serta yang ganjil.”

Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan Zulhijjah, manakala yang ganjil ialah hari Arafah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah SWT akan hamba-Nya daripada neraka lebih daripada hari Arafah.” (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah SAW lagi ketika mentafsirkan ayat ketiga dari surah al-Buruj yang bermaksud: “Yang menyaksikan ialah hari Arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Banyak hadis yang menceritakan mengenai kelebihan bulan Zulhijjah ini antaranya, daripada Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar bahawa Baginda SAW bersabda: “Tiada satu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).”

Ibnu Hibban menyatakan di dalam kitab Sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seutama-utama hari adalah hari Arafah.”

Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini, umat Islam dianjur melakukan pelbagai amalan antaranya:

Pertama: Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan.

Kedua: berpuasa pada hari berkenaan atau sekadar kemampuan terutamanya pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Puasa pada hari Arafah ini aku mengira Allah SWT akan mengampunkan dosa setahun lalu dan setahun yang akan datang.” (Riwayat Muslim)

Ketiga: Memperbanyakkan takbir dan berzikir. Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai dengan lafaz ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa Lillahil Hamdu.”

Keempat: Bertaubat dengan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba daripada rahmat Allah, manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

Kelima: Memperbanyakkan amalan salih terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya digandakan pada hari berkenaan.

Keenam: Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadat haji, disunatkan bertakbir bermula dari waktu Subuh hari raya dan berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zulhijjah.

Ketujuh: Disyariatkan amalan korban iaitu menyembelih haiwan ternakan pada hari raya haji dan hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah amalan nabi Allah Ibrahim AS setelah Allah SWT mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

Amalan paling agung pada bulan mulia ini ialah menunaikan ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima. Perjalanan rohani ini merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan bagi mereka yang memenuhi syarat yang ditentukan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran, ayat 97 maksudnya:

“Di situ ada tanda keterangan nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; diantaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”

Orang yang menunaikan fardu haji merupakan tetamu Allah SWT. Mereka berkorban harta, tenaga dan masa demi menunaikan perintah Allah. Berdasarkan kesungguhan dan pengorbanan tinggi jemaah haji dalam membuat persiapan melaksanakan ibadah tersebut, maka diharapkan ibadat haji yang dilaksanakan itu mendapat ganjaran haji mabrur.

Haji mabrur adalah haji yang diterima dan dikurniakan ganjaran syurga oleh Allah SWT, ia merupakan kedudukan yang paling tinggi dan istimewa, malah ingin dikecapi oleh sesiapa sahaja yang menunaikan ibadah haji tersebut.

*Sumber asal adalah di pautan ini.

Sunday, 21 October 2012

Terlebih Belanja

Hari Ahad sudah selepas kondangan di rumah jiran selorong, aku menghalakan Mrs. Kanc ke AEON Bukit Tinggi. Mula-mula macam malas nak ke sana tapi memikirkan aku berhutang hadiah kahwin dengan seseorang plus pelembab muka dah nyawa-nyawa ikan, maka aku gigih juga memandu ke sana. Niat asal nak beli pelembab muka dan hadiah untuk seseorang tu tapi bila dah masuk dalam bangunan  besar tu, terus lupa daratan. Tapi masih kawal juga nafsu sebab kalau tak lagi banyak benda mengarut aku beli. Mula-mula ke kaunter Clinique dulu nak beli pelembab. Sebelum tu dah cuba tengok dalam laman web mereka apa yang menarik. Satu perubahan besar yang sangat bagus adalah mereka sekarang dah letak harga untuk semua produk mereka dalam tu. *angkat naik dua ibu jari sambil senyum lebar* Senang dah la nak bajet kalau nak beli produk mereka dan boleh tengok-tengok dulu buat persediaan sebelum terjah kaunter mereka.

Pada hari tersebut, staf kat situ macam sangat ramah dan layankan aje aku yang tanya macam-macam ni. Hal pelembab tu tak ada masalah sebab aku memang dah biasa guna. Kali ni nak cuba dia punya gincu pulak. Sebelum ni guna AVON je tapi masalahnya, macam tak serasi. Cuba guna yang kategori murah pun tak ngam, yang kategori mahal pun tak boleh. Kulit bibir asyik menggelupas je bila pakai gincu beliau. Maka dengan takut-takut dan buat-buat berani sebab baru pertama kali nak cuba, aku beli gincu Clinique pulak. Lama juga aku pilih warna yang sesuai dan selepas menyuai padan, dan pilih yang ada pelembab sekali, aku angkat sebatang. Sebelum ni pernah borak-borak dengan Kak Rin pasal gincu ni. Dia kata, tak apa kalau beli mahal sikit pun sebab bukan pakai banyak dan takkan kerap beli. Pejam mata ajelah bayar.
Stok boleh guna sampai hujung tahun depan...

Setakat seminggu ni, rasa macam selesa je pakai gincu beliau. Tak ada penggelupasan teruk berlaku. Moga-mogalah serasi sebab agak mahal juga harganya bagi aku. Kalau nak tengok harga produk Clinique, boleh terus ke laman web mereka ye. Kebelakangan ni tak rajin nak mekap lebih-lebih. Tepek bedak, calit gincu aje la pergi kerja. Kira penting juga gincu tu sebab kalau tak pakai bibir akan kering dan luka. Salah satu sebabnya, duduk dalam persekitaran berhawa dingin dan tambah kritikal bila hari yang ada kelas sebab banyak cakap. Bila banyak cakap bukan tekak je yang kering tapi bibir juga.

Penangan ILUS: Bukan Sekadar Novel Cinta

Selepas fenomena ASST melanda dan masih tidak mereda, kita dikejutkan pula dengan ILUS. Kita? Aku la tu. Dapat tahu mengenai ASST dari seorang blogger dan dari blog beliau juga aku menjengah ke blog penulis ASST dan ILUS; Kak Melur Jelita. Sebelum ni tak ambik kisah sangat pasal blog mahupun group dalam FB. Yang penting dah baca novelnya. Jadi pada satu hari tergerak nak tekan pautan ke  blog penulisnya dan... 'Eh, ada cerita baru!'. Kelihatan teruja di situ. Waktu tu dah ada beberapa episod jadi aku pun korek la dari episod pertama untuk tahu jalan ceritanya. Baca pun sangkut-sangkut sebab tak mahu terikat sebab novelnya lama lagi nak keluar. Ada sekali tu aku baca di pejabat waktu rehat. Pergh, tak dapat nak tahan gelak! Memang terkekeh ketawa sebab gaya penulisan beliau santai dan lawak. Sampai keluar air mata ok aku gelak! Nasib baik waktu tu pejabat lengang sebab semua orang dah cuti raya dan mood nak buat kerja pun dah beraya. Heee...

Minggu lepas terbeli juga novel ni walaupun patut masuk dalam bajet bulan depan. Sebab dah nampak depan mata, tak fikir banyak kali, terus beli. Mula-mula tak nak baca sikit-sikit, nak hadap sekali je tapi dah nampak depan mata, tak tahan nak sambung pembacaan yang terhenti dari blog. Koyak plastik dan mula baca dari mukasurat pertama walaupun dah baca bab yang awa-awal di blog. Pesanan penulis; 'Bacalah ILUS dengan mata hati dan mata akal..' Walaupun bila baca novel aku nak cepat habis, tapi takkan sampai bawa ke pejabat sebab pertama; terasa berdosa bila tayang novel atas meja walaupun aku tak ada kerja waktu tu. Pejabat = Kerja. Kedua; tak sempat nak menjiwai jalan cerita sebab kena kawal emosi dan reaksi. Baca di rumah saja lebih elok. Nak ketawa berdekah-dekah pun tak ada orang tegur. Nak menangis hiba pun tak payah nak tunduk-tunduk. Hehehe...
Sebelum dirasmikan...

Adik kembar nama kata; tak kenal, maka taaruf. Aku tambah; dah bertaaruf, baru boleh lahir rasa cinta. Ye, sesudah berkenalan dengan gaya penulisan Kak Melur Jelita, aku jatuh cinta. Penulisan yang santai tapi menikam hingga ke dasar hati. Penulis pandai main tarik tali dengan pembacanya. Dalam kelakar, ada seriusnya. Dalam marah, ada lembutnya. Dalam sedih, ada penghiburnya. Dalam romantik, ada sengalnya. Bagi aku, ILUS bukan sedakar novel cinta tapi sebuah novel yang sarat dengan pengajaran, kisah sejarah, tazkirah agama dan juga pahit manis kehidupan. Selain itu, ada juga ilmu mengenai sains dan isu semasa diselitkan. Penulis menulis dengan teliti dan terperinci hingga kita dapat merasai dan menggambarkan keadaan ketika itu; seolah-olah kita turut berada di situ.

Kita dibawa menyelami kehidupan sebuah masyarakat di Kemboja yang serba dhaif dan kekurangan. Saat membaca apa yang tertulis, aku seperti dapat menggambarkan keadaanya dan menyelami apa yang mereka rasa; tidak mengalami bukan bermakna ia tak wujud. Pembaca didedahkan dengan pelbagai kisah sejarah; sejarah Melayu, sejarah kekejaman Pol Pot dan juga sejarah pahlawan dan srikandi Islam. Selain itu, terdapat juga beberapa resepi makanan masyarakat Melayu Cham yang ditulis secara terperinci; bukan sekadar memperkenalkan dan menghuraikan makanan mereka. Siapa kata baca novel untuk layan fantasi semata-mata? Novel ini penuh dengan info dan ilmu baru yang kalau kita saja-saja nak baca tentang isu tu, mungkin tak tercapai atau dengan kata mudahnya; malas nak cari.

Debaran yang membuatkan aku setia menyelak helaian demi helaian adalah persoalan tentang siapa yang melahirkan bayi diawal cerita dan kedua, siapa Firman sebenarnya. Debaran pertama memang aku tak dapat nak agak siapa yang dimaksudkan tapi debaran kedua tu aku boleh agak cuma takut salah. Jadi bila dirungkaikan pada pertengahan cerita, baru lega. Hehehe... Yang paling istimewa, beliau siap perkenalkan bagaimana rupa watak-watak dalam ILUS ni. Hanya ilusi saja, bukan realiti. Tak percaya? Boleh terjah melurjelita.com. Sila cari episod awal I Love You, Stupid! Disertakan di bawah adalah antara dialog atau olahan kata-kata penulis yang disampaikan melalu watak-watak ILUS yang berjaya mencuit hati.


Kring! Kring! Kring! Zaman jahiliah mana punya nada dering ni?! Firman menyeluk poket seluarnya dan... Oh papa! Nokia berikat gelang getah! -Iris-


".....Sebenarnya nak buat baik ni senang, disayangi Allah, malaikat dan semua yang di atas langit... bila Allah dah sayang, insya-Allah, segala yang di bumi, yang baik-baik itu pasti turut menyayangi kita." -Firman-

Okey, ini sedikit pengupasan ILUS yang boleh aku buat. Kalau ikutkan hati, nak tulis panjang lagi tapi nanti tak surprise pulak. Kalau nak tahu apa yang menarik novel ni, sila dapatkan di kedai buku berhampiran. Nak pinjam aku punya? TAK BOLEH... Sebab? Dah bertanda sana-sini. Nanti tanda-tanda tu hilang. Apa yang ditandakan itulah ilmu yang diselitkan dalam penceritaan. Tapi kali ni aku cengkelat sebab dah baca pengakhiran dulu sebab kurang sabar. Hehehe...

Tengok, begitu banyak tanda yang aku letak pada ILUS; dari mula sampai akhir..

Friday, 19 October 2012

Bidan Terjun

Selepas sekian lama tak mengajar kelas ICT, semalam adalah kali pertama aku mengajar untuk tahun ini. Patutnya giliran aku bulan November nanti tapi orang yang patut mengajar semalam ada mesyuarat pulak. Jadi, kami pun bertukar kelas.

Memandangkan aku TAK PERNAH guna Ms Office 2007 secara serius, maka boleh kata aku tak mahir untuk menggunakan beliau. Kalau bagi 2003 punya, pejam mata sebelah pun boleh buat satu slide yang hebat. Muahahaha... Sempat berlagak lagi tu! Padahal, entah-entah orang lain dah gelak kekeh-kekeh + kutuk belakang sebab masih duduk di zaman batu. Ada aku kesah? Sehari sebelumnya aku dah gelabah dah sebab tak bajet la kena jadi bidan terjun. Sebab laptop aku guna perisian 2003 dan PC pejabat pun sama, maka aku kena la pinjam PC orang lain yang guna perisian 2007 kejap. Ingat nak cuba buat satu slide tapi tetiba kena sergah dari belakang; "Farah, ajar yang basic je. Budak sekolah rendah je pun. Ko ajar benda ni kang, pening budak-budak tu." Eh, ye ke? Ajar buat carta organisasi, bukan benda asas jugak ke? Mungkin dah masuk dalam kategori pertengahan kot kan? Hehehe...

Maka, padam balik apa aku buat dan terus otak terbejat tak boleh fikir. Akhirnya aku cuma godek-godek toolbar PP 2007 untuk bagi biasa. Ye la, kang kalau nampak gelabah depan kelas, tak profesional pulak. Semua orang kata senang tapi kalau dah tak biasa, nan hado la nak senang. Nasib baik juga ada nota bercetak. Aku hadap je nota tu akhirnya.

'Akar' yang banyak membantu

Pada hari kejadian iaitu semalam, aku melangkah ke Makmal Komputer dengan gugup. Eh, macam ayat novel pulak dah. Ok, sambung. Masuk-masuk je murid-murid dah sampai. Tiba-tiba sorang budak ni bangun dan cakap; "Assalamualaikum cikgu" diikuti dengan murid-murid yang lain. Oh, lupa! Cara budak-budak sekolah, hormat guru yang masuk mengajar. Jadi aku pun terus la buat sesi 'pecahkan ais'. Malangnya, aku terlupa nak tegur cikgu pengiring mereka sebab tak perasan beliau ada dalam kalangan murid-murid tu. Choi!!! My bad... Akhirnya cuma buat isyarat angguk-angguk, senyum-senyum aje menandakan kehadiran beliau amat dialu-alukan.

Dah terbiasa bila mengajar buat Rancangan Mengajar yang lengkap, maka untuk ICT ni pun aku buat satu yang ringkas. Sekadar untuk panduan dan supaya tak tersasar dari konsep asas yang ditekankan. Kelas mula pukul 9 pagi. Syoklah aku mengajar itu dan ini. Ada juga benda yang buat aku terkilan waktu kelas ni sebab ada beberapa buah komputer yang tak memberikan kerjasama dengan cemerlang. Itu masalah, ini tak boleh, hai laaa. Mujurlah murid-murid ok je. Sepanjang kelas berjalan, mereka tak adalah buat perangai atau bising. Cuma ada la kadang-kadang riuh sikit sebab tak berjaya buat apa yang diajar. Biasalah, budak-budak kan?

Tengah syok-syok mengajar, tiba-tiba Kak Dayan masuk bawak beg cenderahati dan fail berisi sijil. Aku jeling jam; nak dekat pukul 11.00. Sambil aku pantau hasil kerja murid-murid ni, aku tanya Kak Dayan kelas sampai pukul berapa? Sekali bila dia kata sampai pukul 11.00, aku terkejut sebab aku bajet kelas sampai pukul 12.00. Rupanya kelas untuk budak sekolah 2 jam je; tak sama dengan kelas untuk kakitangan kerajaan. Aiyark, tak sempat nak ajar banyak-banyak dan bagi peluang pada mereka untuk cuba buat sendiri slide menggunakan ilmu yang diajar. Tu la, siapa suruh tak tanya awal-awal? Pasrah lagi...

Masuk-masuk pejabat, orang yang aku gantikan kelasnya hari semalam berkata; "Farah, 1st November ok?" Aku blurr kejap sebelum teringat. "Ok, I'll mark my calendar as long as you pay me." Hahaha.. Keji ko mintak bayaran bagai! Gurau-gurau meh... Tetiba dia balas balik; "Oookayyy, I'll buy you Domino after the class." Ok dia memang panjang tau. Amboih, mentang-mentang Domino baru bukak kat sini? Aku gelak-gelak aje. Tak harap sangat pun. Kalau ada, adalah rezeki. Kalau tak, hulurkan saja bantuan sebab mungkin kemudian nanti kita pulak minta bantuan dia kan? Jadi, untuk bulan November nanti pun aku kena ajar lagi satu kelas, benda yang sama.

Penyelamat

Bila umur dah meningkat, kadang-kadang otak tak dapat nak fikir sesuatu yang menarik. Berjam-jam fikir nak buat macam mana nak bagi benda tu menarik. Tak dapat jugak! Akhirnya, talian hayat disambungkan. Ini talian hayat paling berguna sekali;

Buku pinjam kat perpustakaan yang dah macam harta sendiri..hahaha..

Bila buntu nak buat aktiviti apa dalam kelas, aku selak buku ni. Sahih akan dapat idea. Bukan cikai-cikai punya idea tau, idea yang siap keluar mentol menyala atas kepala tu. Walaupun kadang-kadang tak boleh guna bulat-bulat apa yang dia letak dalam ni, sekurang-kurangnya adalah inti nak masuk dalam kelonsong. Orang kata, adapt and adopt gitu. Terima kasih la kepada yang buat buku ni. Terbaikkkk...

Wednesday, 17 October 2012

Pasrah dan Redha


Assalamualaikum... Tak jawab, dosa. Tapi kalau jawab gatal. Dialog tak boleh belah waktu sekolah dulu. Memandangkan sekolah aku dulu ada padang bola paling besar di daerah itu, maka bila tiba musim lawan bola sepak, dialog ni la yang kami dengar hari-hari waktu nak balik asrama. Nasiblah sebab asrama kami kena rentas padang bola dan asrama putera. Budak putera pun sama jugak kekadang guna dialog ni. Sampailah satu masa, Badan Dakwah sekolah bangkitkan isu ni dalam risalah bulanan mereka. Hamek ko! Kena sekali... Hehehe... Isu tu nanti akan dibincangkan kemudian. Dah lama tak ada di rumah maya ni, bila nak masuk balik kenalah bagi salam.

Mula-mula nak ucap tahniah buat semua sahabat dan kawan-kawan di Unisel dulu yang telah berjaya menamatkan pengajian dan melalui saat-saat penganugerahan skrol oleh orang-orang penting universiti. Tak lupa juga untuk kawan-kawan dari universiti lain yang telah dan akan berkonvo tahun ini. Maklum la, sekarang kan musim konvo. Tahniah juga buat sahabat-sahabat yang berada di lain benua yang berjaya menamatkan pengajian selama enam tahun +/- tu dan bakal kembali ke tanah air tak lama lagi. Kalau tertekan sebab asyik mengadap darah, picagari, stetoskop atau apa-apa lagi yang berkaitan, roger roger la diri ini. Boleh kita minum dulu! Hehehe...

Dalam dua minggu ni memang tak ada mood langsung nak menaip. Sibuk katanya. Hari ni baru la 'terrajin' nak membebel sebab ada internet kat pejabat. Dalam pada untuk berjimat, aku tak aktifkan perkhidmatan internet Pokcik Arba. Sasaran setakat ini, kena bertahan hingga Isnin depan. Sebabnya dah terlebih belanja untuk bulan ni. Kena pasrah la kan sebab salah sendiri.

Ada orang tu kata, aku ni sibuk mengalahkan menteri. Sibuk la sangat. Hahahaha... Tak ada sibuk mana pun cuma ada beberapa perkara bertangguh yang menyebabkan kerja aku jadi bertimpa dan bertindan. Tak termasuk lagi kerja 'terkejut' yang diterima. Selepas dikenalpasti punca dan jenis masalah, aku kena pasrah dan redha dengan keadaan semasa. Tak perlu fikir sangat nak semua sempurna sebab nanti stress. Sebabnya?

1. Kerja aku bukan hanya melibatkan diri sendiri tapi juga pihak lain. Jadi dua-dua pihak kena seimbang baru kerja lancar.

2. Ada perkara-perkara yang tiba-tiba muncul dan tak boleh nak elak. Bila ini berlaku, kena cari dan rancang penyelesaian baru. Nak buek camano kan?

3. Tak boleh nak paksa orang lain ikut kepala kita je sebab belum tentu apa yang kita fikir tu betul dan belum tentu orang tu mampu nak bekerja ikut cara kita. 

4. Ilham dari diri sendiri kadang-kadang tak nak muncul. Jenuh aku mencari dan menanti tapi tetap juga tak timbul. Dah saat kritikal, baru la dia nak muncul. Agaknya kena nyanyi lagu Man Bai dulu kot baru ilham tu datang, ek?
Antara kerja-kerja yang sempat disenaraikan...abaikan tulisan 'cantik' tu...

Kesimpulannya, aku tetap la stress sebab ada beberapa kelas yang terpaksa dikorbankan dan tak tahu nak ganti bila. Buat kelas hujung minggu mahu tak murid-murid? Dah tentulah mereka kata TAK NAK. Baru cakap nak buat kelas tambahan pun dah keluar macam-macam bunyi. Caitt... Sabor ajelah. Pada akhirnya, aku perlu menerima semuanya dengan redha dan pasrah kerana seorang sahabat pernah berkata; "Farah, orang tu pilih ko untuk buat kerja ni sebab dia percaya dengan ko, percaya dengan kemampuan ko. Jadi, ko kena percaya dengan diri sendiri." Ok, tiba-tiba je teringat kata-kata beliau dan tiba-tiba aje termotivasi nak buat kerja bersungguh-sungguh. Hehehe... Terima kasih sahabat!

Thursday, 11 October 2012

Nasi Kari Campur

Macam ada banyak benda nak tulis kat sini. Tapi tak berapa nak rajin. Jadi, moh kita tengok nasi kari yang menjadi igauan.

Sesekali, memang akan terasa nak makan nasi kari macam ni. Tapi tak semua kedai mamak ada nasi kari yang mengikut citarasa pemakan yang macam saya. Nasi kari di atas adalah dari sebuah restoran mamak di Dengkil. Tak ingat nama pulak sebab ini singgah waktu dalam perjalanan beraya tempoh hari. Kedai makan lain mana bukak lagi, jadi dapat la belasah nasi kari campur ni. Hehehe... Setakat ini, nasi kari Restoran Pelita Bukit Tinggi Klang paling terbaik! Sebab mencapai piawaian nasi kari saya iaitu;

  • kuah kari disenduk dan dicampur sendiri oleh Encik Mamak
  • ayam goreng digoreng di depan mata; panas dan segar dan dipotong-potong 
  • sayur wajib iaitu kobis tumis kunyit + biji sawi sentiasa ada
  • begitu juga dengan peria goreng tepung
  • paling penting, bila kita nak tapau, nasi itu akan dibungkus dengan kertas-rasa nasi yang dibungkus dengan kertas dan polisterin adalah berlainan ye
Errrr, tapi ini cerita dua tahun lepas. Sekarang tak pasti sebab dah lama tak pergi situ. Hehehe... Harap-harap masih begitulah ye.

Thursday, 4 October 2012

Pengantin Yang Sangat Ramah

Ini cerita hari Ahad pula. Cerita tentang sahabat sewaktu di Hamidiah dulu yang selamat mendirikan rumahtangga bersama pasangannya selepas mengikat tali pertunangan dengan agak lama. Aku ingat lagi, mereka bertunang ni waktu raya dan waktu tu aku baru sangat masuk kerja dan tak dapat cuti raya. Dengan keadaan pejabat yang sunyi sepi tak ada orang ditambah dengan cerita-cerita dari sahabat yang menghadiri majlis tersebut, terasa nak lari dari pejabat je waktu tu. Hahaha... Perasaan itu memang serius, betul. Tapi tak adalah aku lari sebab aku kan jujur dan amanah. Biarpun tak ada kerja, aku tetap menjadi penghuni setia di mejaku itu.

Ok, sambung cerita. Lepas habis kelas, bergegas aku balik rumah sebab Teman Jenayah dari kampung seberang dah tunggu depan rumah. Siapa lagi kalau bukan Aten. Hehehe... Sebelum tu beliau ke Shah Alam dulu mengambil Teman Jenayah dari kawasan Sri Muda. Ingatkan beliau seorang, rupanya ada lagi seorang; Zimah. Lama gila tak jumpa Zimah ni. Sejak habis sekolah rasanya sampailah hari Ahad lepas baru jumpa balik. Beliau masih macam dulu cuma statusnya sudah berubah; Doktor Zimah. Bergegaslah kami ke Bukit Changgang. Walaupun sewaktu kami sampai itu jam sudah melepasi angka 2, tetamu masih berduyun-duyun lagi. Agak lama juga kami makan sambil bersembang dengan kawan-kawan lain.
Temanya adalah hijau terang

Pinggan orang lapar

Sesudah makan, kami singgah menulis buku tetamu sebelum masuk ke dalam untuk bergambar dengan pengantin. Rupanya Mek Nani bertemu dengan encik suaminya di sekolah memandu. Unik juga kisah pertemuan mereka ni. Disebabkan terlalu ramai yang nak bergambar dengan pengantin, makan kami pun lepak dalam bilik pengantin yang berhawa dingin itu sambil sambung bergosip dan menelek hantaran. Ehehehe... Telek untuk jadikan panduan akan datang tau Nani, bukan mengutuk. Heee..

 Hantaran dari pihak lelaki

Kami

Bila dah agak lama kami bertapa dalam bilik pengantin, kami pun turunlah ke bawah untuk bergambar. Ingatkan dah sudah, rupanya masih beratur lagi. Lama ok nak tunggu giliran sampai ada yang cakap; "Nak tunggu giliran kat kaunter JPJ pun tak lama macam ni." Hahaha.... Bila surut je orang, kami cepat-cepat terjah pelamin takut orang lain potong barisan. Itu pun, lama juga kami menanti pengantin perempuan duduk semula atas pelamin dek kerana Mek Nani yang sangat ramah dengan semua orang sampaikan hantar tetamunya ke pintu. Sementara menanti, kami pun bantai aje bergambar dengan Encik Suami beliau yang setia duduk di situ. Tak pernah dibuat orang kan? Kami buat. Hahahaha...

 Tak cukup seorang...

Ok, baru cukup

Mereka; Zam dan Nani

Lepas seketika, barulah cukup korum untuk bergambar. Lama juga sesi bergambar kami. Mula-mula bergambar ramai-ramai, lepas tu gambar pengantin aje, lepas tu seorang-seorang bergambar dengan Mek Nani. Hehehe... Nak kata tak rapat, rapat juga. Pernah satu dorm, satu kelas, satu bilik prep, dan satu asrama. Kira rapat jugalah dan Arwah Mak memang akan ingat dengan Nani ni sebab boleh kata selalu juga datang ke rumah waktu raya. Walaupun setahun sekali, Arwah Mak akan ingat pada dia sebab dia memang sangat ramah. Bukan dengan orang tertentu je, dengan semua orang.  Tahniah buat Nani dan suami. Selamat bercinta sampai ke syurga, semoga menjadi isteri yang solehah dan penyejuk mata buat encik suami ye. Kami gembira tapi kami sedih juga. Gembira kerana anda sudah menemui The Other Half; sedih kerana hilang seorang lagi geng untuk konvoi raya. Sob...sob...sob... Terima kasih kerana sudi menjemput kami.

Beliau Sudah

Sebenarnya, tak tahu nak letak tajuk apa. Jadi, belasah ajelah asalkan ada tajuk. Boleh gitu? Hehehe... Kisahnya, pada hari Sabtu yang lalu, seorang lagi sahabat sewaktu di U dulu selamat bernikah dengan pasangannya. Beliau juga merupakan salah seorang ahli majlis tertinggi pimpinan i Rakan. Asalnya, aku tidaklah dijemput untuk menghadiri majlis. Jemputan kepada Kak Chik dan macam biasa jemputan akan menjadi panjang kepadaku juga sebagai Teman Jenayah untuk menghadiri majlis tersebut. Kebetulan, isteri beliau satu tempat kerja dengan Kak Chik jadi kira kenal rapat jugalah.

Majlis dikhabarkan bermula pada jam 11.00 pagi. Aku pun mula-mula semangat nak gerak awal pagi tapi bila tiba hari kejadian, macam malas-malas pulak nak bersiap. Akhirnya, aku tiba di Shah Alam dalam pukul 10.30 juga. Dengan keadaan trafik yang tak berapa nak lancar, kami tiba di rumah pengantin di Kapar kira-kira jam 11.20 +/-. Pulak tu cari-cari rumah tak jumpa sampai Kak Chik kata khemah merah yang kelihatan dari jauh itu tempatnya. Sekali sampai, rupanya khemah majlis hari jadi kot sebab ada belon tergantung banyak-banyak. Wakakaka... Selepas berpusing dan berpusing, akhirnya sampai juga. Ingatkan dah selesai rupanya pengantin lelaki pula tak tiba lagi. Hampir jam 12.00 juga majlis bermula.

Dah lama aku tak pergi majlis pernikahan yang tok kadinya serius macam tok kadi yang nikahkan Najib. Tok kadi yang aku jumpa sebelum ni semuanya lawak belaka. Kalau aku yang kena salam tangan tok kadi tu pun, mau ketar juga sebab tak ada sesi lawak melawak langsung. Alhamdulillah, ijab dan qabul berjaya disempurnakan walaupun ada sedikit kesulitan pada awalnya.

 Sarung cincin
 Pakaikan rantai tangan
Serah mas kahwin (nilai mas kahwin untuk Selangor RM 300 ye..ehem..)

Selesai saja sesi penyerahan mas kahwin, kami terus keluar mengisi perut memandangkan Kak Chik ada lagi temujanji lain yang telah ditundakan waktunya. Kalau tunggu sesi bergambar, memang lagi lewat sebab keluarga kedua-dua belah pihak pun nak bergambar juga kan? Jadi kami yang bukan keluarga ni mengalah dulu. Lepas makan baru kami bergambar dan terus berpamitan. Gambar makanan tak ada sebab kami dah lapar tahap gaban. Hehehe... Tapi lauk-pauk memang terbaik; masakan jawa. Memang kena dengan tekak Jawa aku ni. Ada keluban, masak lemak umbut kelapa, dan kerang rebus.

Selepas 'berbincang' dengan anak-anak buah Najib, dapat juga kami bergambar di pelamin cantik ini. Susah kemain nak minta mereka ni beredar kejap. Itu yang akhirnya dengan mereka sekali masuk dalam gambar. Tahniah buat Najib dan isteri. Selamat bercinta hingga ke syurga. Pssttt, baju nikah Puan Isteri adalah sangat cantik dan anggun.

Monday, 1 October 2012

Cuti Tapi Kerja


Hari ini sudah masuk bulan ke sepuluh bagi tahun 2012. Secara rasminya juga hari ini hari akhir bekerja mengikut kontrak lama dan akan bercuti selama empat hari sebelum kontrak baru bermula Isnin depan. Tapi aku minta kebenaran bos untuk masuk kelas seperti biasa sebab kalau kelas minggu ni hangus, memang dah tak ada masa lain nak ganti. Siapa yang susah nanti kalau silibus tak habis? Aku la jugak...

Jadi esok boleh datang lambat, dan balik cepat. Yahoo! Hehehe... Datang waktu kelas je la. Kelas pertama dari jam 10 hingga 11.30 dan slot seterusnya adalah pada 2 petang hingga 3.30 petang. Mula-mula ingat nak tukar kelas dengan slot pukul 11.30 tapi macam leceh pulak. Takpelah, aku redha je. Hari Rabu pulak cuma datang satu kelas je sebab slot yang lagi satu tu akan diambil oleh Encik Wan. Minggu lepas dia ada hal dan aku ganti kelas dia; jadi minggu ni dia ambik kelas aku pulak.

Hijaunya adalah sangat cantikkkk

Elok-elok nak cuti ni, stok kertas sampai pulak. Dari hari tu aku nak mintak kertas hijau tu tapi sudah kehabisan. Kertas hijau dah sampai, baru la semangat nak buat aktiviti dalam kelas sebab apa-apa aktiviti yang aku buat waktu kelas akan guna kertas hijau. Tapi itu fikir kemudian nanti. Minggu depan baru aku ambik barang dari stor. Bila dah ambik alih semua kelas, sekali fotostat tugasan dah guna 3/4 daripada satu ream kertas. Jadi aku memang akan guna depan belakang kertas tu walaupun kertas-kertas tersebut adalah percuma. Percuma pun, kena sayang bumi juga kan? Selagi boleh muat, selagi tu aku sumbat. Kalau rasa macam banyak lagi ruang kosong, aku bahagi dua kertas tu. Penggunaan kertas secara maksimum ni aku belajar dari Puan CD (bukan nama sebenar) waktu praktikal dulu. Beliau kata, gunakan semua sumber yang ada semaksimum mungkin untuk tidak membazir.

Rancangan mengajar dah lengkap, alat bantuan mengajar pun dah buat, mari layan Korea dua episod. Hehehe...