Engagement Fund ;)

Monday, 31 December 2012

Tahun Baru, Umur Baru

Hanya tinggal beberapa minit saja lagi sebelum 2012 melabuhkan tirainya. Bila dah duduk di rumah ini, sangatlah 'rajinnya' nak menghadap laptop sampaikan entri tertunggak dalam draf pun tak dapat nak siapkan. Ini pun tiba-tiba ada kuasa sakti yang menggerakkan jari-jemari untuk menaip entri terakhir tahun 2012. Hehehe... Macam orang lain, aku juga mempunyai kisah suka-duka yang pelbagai untuk sepanjang tahun ini. Dari segi kerjaya, terlalu banyak pengalaman baru juga kisah-kisah 'senget' yang tak mungkin habis diceritakan. Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk berkhidmat di tempat aku mula bertapak walaupun status perkhidmatan samar-samar. Bila orang tanya, kenapa tak mencari? Susah sebenarnya nak beri jawapan tapi ada satu ayat dari seorang staf yang selalu terngiang-ngiang di telinga; "Biarlah orang nak kata apa yang penting aku kerja dekat dengan mak bapak. Selagi mak bapak ada, bolehlah aku berbakti pada diorang. Semua benda lain tu boleh diusahakan tapi mak bapak tak dapat kat mana-mana."

Tahun ini juga berlaku peristiwa 'hari ini dalam sejarah' yang paling dahsyat sepanjang aku hidup dimana aku terlibat dengan kemalangan kecil. Tidaklah sampai cedera tapi teruk jugalah rupa Mrs. Kanc selepas kejadian. Juga, aku kehilangan seorang lagi Makcik dari belah keluarga arwah emak. Kehilangan yang tidak disangka-sangka. Bila orang yang selalu sakit tiba-tiba kesihatannya beransur pulih, memanglah perlu untuk kita bersedia. Lagi-lagi bila beliau berperangai pelik. Apapun, ajal maut itu kuasa Allah.

Semoga segala yang berlaku menjadi pengajaran buat diri ini dan kenangan yang tercipta sepanjang 2012 dihargai baik suka mahupun duka. Selamat datang 2013, semoga tahun baru membawa semangat baru, merubah diri menjadi yang lebih baik dan bertemu jodoh. Amiiinnn...

Sunday, 30 December 2012

'Bot Panas' Pak Long

Aha, ini cerita kesinambungan dari Khemah Sahara tempoh hari. Ingatkan nak buat karangan tahap SPM tapi dah banyak lupa la pulak. Hehehe... Cerita mana yang ingat je la ye. Selepas terhalang oleh hujan lebat beserta ribut di luar, kami pun tersinggah satu restoran stimbot yang berada di tingkat bawah PSA tu. Restoran ni terbahagi kepada dua iaitu kopitiam dan stimbot. Disebabkan kami hanya nak makan stimbot, maka kami duduk di tempat yang memang khas untuk makan stimbot.


Sebelum masuk, kami tengok-tengok dulu menu yang diletakkan di depan kedai. Boleh pilih untuk makan set atau a la carte. Lepas dah selesa duduk bersila, kami pun mula pilih dengan lebih teliti berdasarkan menu yang diberikan. Kami pilih set tapi aku tak ingat set yang mana. Set sederhana kot sebab masing-masing nak lepas gian hirup sup panas je. Hahaha... Tak lama kemudian order pun sampai. Periuk pun dah panas maka kasi tuang semua benda dalam itu periuk.
Bubuh semua sekali!
Kami

Kalau korang tanya; "Sedap ke?" Aku pun tak tau nak jawab apa. Hahaha... Macam biasa, stimbot. Ada bebola, ada sayur, ada mee. Sama je dengan kedai stimbot lain. Cuma yang membezakan mungkin supnya dan sambal pencicah. Aku tak reti komen banyak-banyak tapi Aten kata sup dia ok, tak banyak 'Pak Aji'. Bukan apa, kadang-kadang sup kat kedai macam ni perasa je lebih tapi tak sedap pun, rasa macam air tawar yang je. Buat sakit kepala lagi ada. Pak Long ni kira ok la. Sambal pencicah dia ada dua jenis dan dua-dua sedap. Harganya pun okeylah dan bolehlah nak lepas gian. Tapi kalau nak lepas geram, baik pergi Flaming atau Q Thai sebab unlimited. Makan la selagi boleh dengan bayaran yang dah ditetapkan. Itu sajalah cerita untuk hari tersebut. Asal keluar dengan diorang ni, mesti makan terlebih dos. Takpe kot, bukan selalu pun kan? Lepas ni yang seorang dah sibuk kerja, yang seorang lagi dah nak jadi isteri orang. Oh, kurang lagi seorang geng merayap. Sob...sob...sob...

Friday, 28 December 2012

Rezeki Akhir Tahun


Alhamdulillah, berjaya menyelesaikan tugasan terakhir untuk tahun 2012 sebelum 'bercuti panjang'. Itu pun setelah pening-pening lalat waktu nak cetak hasilnya dek kerana sangat jarang menggunakan perisian yang diberi nama Publisher. Jenuhlah aku 'bega' dekat setting, dekat properties, tak jadi juga. Kemudian dengan bantuan geng sekumpulan dan juga beberapa talian hayat, berjaya juga menyiapkan tugas yang diberikan. Rupanya kena pilih setting booklet pada properties printer. Choi! Selama ni bantai buat semua benda guna Word, bila nak buat kelainan sikit guna Publihser terus pening.

Selebihnya, aku berjaya meminimumkan barang-barang yang perlu diangkut pulang. Yeay! Mana-mana yang tak perlu, kasi lupus je senang. Jenuh la kan kalau nak simpan kertas-kertas tugasan yang tak menepati piawaian tu. Akhirnya hanya bawa pulang buku-buku rujukan, buku rekod mengajar dan juga dua buah Fail Sulit. Hehehe... Untuk tahun depan, masih belum dapat jawapan samada kontrak disambung atau tidak. Mudah-mudahan dapatlah aku menyambung khidmat di sini. Aminnn...

Dalam minggu ini, alhamdulillah rezeki seperti melimpah ruah. Ada yang belanja makan, ada yang tuang minyak kereta, ada yang bagi baucer, dan inshaAllah ada $$$$ memenuhi akaun tak lama lagi. Alhamdulillah... Segala puji bagi Allah yang menurunkan rezeki dari langit dan bumi. Sesuatu yang tak terjangka dan tak pernah fikir pun. Mudah-mudahan rezeki yang Allah bagi dapat dikongsikan dengan orang-orang tersayang.
Baucer percuma dari orang yang berbeza

Baucer yang atas tu Abang aku yang bagi. Tak tahu la mana dia dapat banyak-banyak tu. Tarikh luputnya adalah 31 Disember jadi kenalah habiskan cepat kalau tak rugi. Baucer yang bawah tu Kak Ila yang bagi. Sebenarnya macam terkejut jugak dapat tu sebabnya tak jangka apa yang aku cakap tu benar-benar terjadi. Kisahnya, waktu tu aku baru nak solat Zuhur bila Kak Ila pun masuk dalam surau dan menyapa ku mesra. Aku pun tegur la beliau dan saja la cakap; "Kenapa kak? Akak nak bagi saya baucer KFC ke?" Tiba-tiba beliau balas; "Eh, ha! Ko cakap pasal baucer tu, memang akak ada 2 dua baucer KFC. Tapi nilainya RM 6.80. Nak tak?" Erk? Biar betul ni? Orang nak bagi, aku pun ambik je dengan ucapan berbanyak-banyak terima kasih. Hehehe...

Monday, 24 December 2012

Nak Muntah!

Kembali bersiaran dari ruang pejabat yang sejuk dan sunyi. Sungguh ramai yang cuti hari ni memandangkan esok merupakan cuti umum maka masing-masing sambung bercuti panjang. Aku macam biasa datang kerja dengan penuh rasa dedikasi. Hahaha... Dari pagi aku mengadap Publisher untuk siapkan tugas sebelum bercuti panjang. Sebenarnya tugas tu dah dimulakan dari Jumaat lepas tapi tak bersungguh-sungguh sebab mood tak mari. Hari ni memang semangat nak buat benda alah ni jadi duduk jelah sampai kematu hadap 'benda ni'. Tapi bila dari pagi sampai petang mengadap 'benda ni', serius lepas tu rasa nak muntah. Sebelum aku muntah, baik tutup cepat-cepat. Hari Rabu nanti edit mana yang patut dan tunjuk pada bos.

Orang kata, nak buat 'benda ni' susah dan leceh tapi kalau tak cuba, macam mana nak tahu sesusah atau seleceh mana 'benda ni' kan? Dengan menggunakan sumber dan kemudahan yang terhad, alhamdulillah berjaya juga siapkan. Mudah-mudahan tak ada komen yang dahsyat dari bos lagi besar. Sesetengah orang mungkin rasa buat 'benda ni' mudah tapi kena ingat, lain orang lain kemampuannya. Jadi kesimpulannya;

  1. Cabar diri untuk buat sesuatu yang kita tak biasa buat supaya ilmu dan kemahiran kita bertambah.
  2. Jangan merendahkan orang lain hanya kerana dia tak tahu buat apa yang kita buat. Mungkin ada benda yang dia tahu buat, kita pulak tak tahu kan?
Penyejuk mata, penawar stress di pejabat...

Thursday, 20 December 2012

Minum Petang Pulak

Ini pulak kisah hari Ahad, 9 Disember, sehari selepas 'teman jenayah' bertunang. Asalnya kondangan tempat Kak Yati, bekas CC di pejabat ni. Memandangkan aku sorang-sorang maka ajak Kak Chik temankan. Majlisnya dibuat di Kelab Shah Alam. Sampai-sampai depan dewan je, Kak Yati tarik kitorang untuk bergambar. Buat kenang-kenangan katanya. Dah bergambar dan bertegur sapa, kami dipersilakan untuk makan. Bila tiba di meja hidangan, terlihat nama katerer di baju pelayan-pelayan yang sedang melayan tetamu di bahagian buffet - Alya Jaya. Eh, ini katerer waktu buat satu program di universiti dulu ni. Aha, terus teringat kat Ifdal. Apakah? Sebabnya lepas post-mortem, Ifdal ada cakap kat aku sambil sengih-sengih; "Akak, dekat resit tu diorang tulis nama akak ada 'Puan'." Itu yang kau ingat Farah? Hahaha... Makanan sedap, layanan pun bagus. Untuk kali ini, aku malas nak ambik gambar. Satu gambar pun tak ada hatta gambar pinggan sendiri sekalipun. Majlisnya agak formal dan ada tema. Berdasarkan pelamin dan lagu-lagu yang dipasang, aku agak temanya adalah Melayu asli. Lama jugalah kami di sini. Dari pengantin belum datang sampailah pengantin dah nak makan.

Lepas dari majlis ni, terus ke SACC Mall sebab tak tahu nak kemana. Nak balik awal lagi. Hehehe... Mula-mula solat zuhur dulu kemudian baru jalan-jalan dalam tu. Ada orang tu kata dia tengah tertekan dan tanya macam mana nak kurangkan tekanan. Ehem... Kalau ikutkan aku, window shopping pun dah ok. Tapi kalau dapat beli sesuatu, lagilah ok. Kehkehkeh.... Singgah kat setiap tingkat yang ada sebab memang tak ada tujuan tetap. Masuk kedai kasut, belek kasut satu-satu, tengok harganya. Lepas tu pergi kedai kain, tengok-tengok corak kain yang cantik, jeling harga, keluar balik. Berhenti kejap dekat kiosk yang terpamer dompet didepannya. Dompet Kak Chik dah nazak katanya. Tapi tak tertarik nak membeli, maka perjalanan diteruskan. Lalu depan MPH, melencong masuk dalam tu. Tengok-tengok buku yang menarik. Ingat nak carik novel santai tapi tak tertarik nak beli. Eh, kejap... Siapa yang stress sebenarnya ni? Aku ke Kak Chik? Ahh, layankan ajelah; killing two birds with one stone. Hahahaha... Kak Chik cari buku dia - tak ingat pulak tajuknya -, aku tengok novel. Kebetulan waktu tu ada majlis bersama penulis untuk salah satu novel yang aku tak ingat syarikat penerbitannya. Hehehe... Tak baca lagi novelnya jadi aku tak tertarik nak mendekat. Tiba-tiba Kak Chik datang kat aku; "Eh, saya hutang hadiah besday awak. Pilih la mana-mana buku." Erkk? Tak dapek nak memikir buku mana nak dipilih dalam keadaan tiba-tiba tu. Hiks...

Keluar dari MPH, aku nak keluarkan duit jadi kena cari ATM. Aku tahu kat aras bawah ada Maybank seketul sebelah kedai jam tapi malas nak turun. Jadi cuba tanya pada salah seorang penjual kiosk ada tak mesin ATM lagi selain yang di tingkat bawah. Maka dia dengan baik hatinya suruh tengok di aras 2 ke 3 sebab kat situ ada juga mesin ATM tapi dia tak ingat milik bank mana. Bila ke situ, macam nak melompat keriangan sebab tak perlu tolak caj sehengget dari akaun. Yeaayy! Ada beberapa ATM di situ dan tak ramai orang pun keluar duit mungkin sebab lokasinya yang agak tersorok. Tak silap aku, dia sama aras dengan Hinode. Lepas ambik duit, ajak Kak Chik minum kat The Teapot Deli. Dah lama teringin nak masuk situ tapi macam biasa, bila tak ada geng tak berani masuk. Satu; sebab kedai dia nampak sangat eksklusif. Dua; takut harganya terlalu mahal.

Waktu kami masuk tu, tak ramai orang pun. Kira boleh pilih nak duduk mana dengan senang hati. Kami pilih tempat duduk yang agak tersorok sikit. Bila dah duduk dengan selesa, seorang pelayan datang dan bagi buku menu dan berlalu pergi. Bagi peluang kami menelaah menu gamaknya sebab mungkin dia ada gerak hati; 'Diorang ni baru pertama kali datang. Bagi peluanglah telek menu yang ada.' Hahaha... Memang pun, lama kami belek menu untuk pilih apa yang seperti menarik; semua pun 'kedengaran' sedap saja. Itu nak, ini nak, tamak betul. Panggil balik pelayan tadi dan kami pun memesan makanan yang kedengaran sedap itu.

Sementara menunggu, kami borak-borak. Tak ingat pasal apa tapi rasanya bercerita tentang kedai ini. Sebelum pergi sebenarnya aku dah terbaca beberapa blogger buat ulasan mengenai kedai ini dan ia adalah terkenal dalam kalangan rakyat Shah Alam. Bagi aku, tarikan kedai ini adalah;

  1. Hiasannya yang menggunakan konsep Inggeris dan tahukah anda, hiasan yang berkonsepkan Inggeris ni sebenarnya mendamaikan hati kerana menggunakan warna yang cerah dan lembut serta coraknya yang kelihatan klasik.
  2. Servisnya yang cepat dan cekap. Biarpun ada beberapa meja yang agak terlindung dari pandangan kaunter utama, namun pelanggan tak perlu nak susah payah panggil pelayan untuk ambil pesanan. Sentiasa ada pelayan yang 'meronda'.
  3. Walaupun kedainya jenis terbuka, tapi tidak mengganggu keselesaan kerana terletak di bahagian hujung dan tak ada tarikan lain untuk orang lalu-lalang kat situ. Kira tak ganggu la kalau nak borak sambil hirup teh yang menyegarkan serta menikmati pastri yang lembut.

Rupa dalam kedai dari tempat duduk

Sementara tunggu makanan, sempatlah tangkap gambar syok sendiri dan juga gambar kedai. Nasib baik kami pilih tempat yang sedikit terlindung, jadi tak adalah segan sangat nak ambik gambar. Siap boleh buat satu teori sengal yang berbunyi lebih kurang; "Kalau nak makan kat sini dengan 'seseorang' tak sesuai sebab tempatnya terbuka dan berdekatan eskalator. Orang naik boleh nampak, orang turun pun boleh nampak." Sempat lagi! Muahahahaha.... Akhirnya selepas menanti seketika, makanan pun tiba;
 Clockwise - sardine roll and mini chicken pie (Kak Chik's); mini quiche (mine)..yumss~

 A pot of Earl Grey... aaahhh~

 Scones with clotted cream and jam - drooling~

The aftermath...gone in a jiffy

Semua yang kami pesan adalah sedap dan tak kedekut! Maksudnya, memang rasanya betul-betul seperti yang sepatutnya dan saiznya tidaklah terlalu kecil. Perut dah kenyang, moh la gerak. Jadi aku pun ke kaunter untuk bayar. Sementara tunggu orang depan habis bayar, sempat la ambik gambar lagi.

 Pastries side
More pastries and cakes

Sebenarnya segan nak ambik gambar tapi sebab nak karang entri ni, ku gagahkan jua 'angkat' Pokcik Arba untuk dapatkan gambar yang cantik. Hahaha... Nampak tulisan 'cash only' tu? Ha, kalau tak ada duit tunai yang cukup, silalah 'cucuk' dulu sebelum masuk sini. Visa ke, kad debit ke, MasterCard ke, tak laku kat sini. Jumlah yang kami makan adalah RM 15.40 SAHAJA. Uiks? Murahnya? Aku bajet tadi adalah dalam 30 hengget ke kan tiba-tiba bawah 20 hengget? Ok, this cafe will be a must-come-again for me whenever I feel like eating pastries. Waktu tengok menu tadi tak sempat main kira-kira, cuma order je tu yang tak dapat agak harganya berapa. Boleh masukkan kedai ni dalam Senarai Tempat Lepak.

Selain yang kami order, ada banyak lagi jenis pastri yang dia sediakan termasuklah cream puff, eclairs, lasagna, variety of pasta and desserts. Waktu bayar tu, tergoda juga tengok cream puff dan eclairs dia yang gemuk gebu dalam bekas kaca tu. Tapi disebabkan dah banyak makan untuk hari tersebut, maka tahan sajalah nafsu tu. Aku cakap kedai ni murah berdasarkan makanan yang dihidangkan, lokasi kedai dan paling penting tak ada cukai mahupun caj perkhidmatan.

Lepas makan, terasa nak jengah KK Mart pulak. Ini sebab ternampak bunting promosi dia la ni. Haishhh... Ditambah pula bila aku adalah ahli kedai vintaj ni. Tapi aku tak beli apa-apa pun kat situ, cuma cuci mata je. Kak Chik beli sesuatu untuk projek mega dia. Berbaloi sangatlah beli sebab ada promosi 'beli 1, percuma 1'. Dalam perjalanan turun dari KK Mart, kami buat eksperimen berdasarkan teori yang dibuat waktu dalam kedai dan terbukti, teori itu sedikit terpesong. Tempat duduk kami itu sesuai untuk makan dengan 'seseorang' tanpa perlu ada orang yang dikenali perasan kehadiran kita. Hahaha... Teori je ye, realiti mungkin tak buat. Dah siap beli, dah siap buat eksperimen, zassss hantar Kak Chik balik rumah dan aku pun menuju pulang. Tapi tak terus pulang pun, melencong ke Jusco Bukit Tinggi sebab dah gian nak beli buku. Kau memang, selagi tak malam, selagi tu nak menyinggah; berkata aku kepada diri sendiri. Hahaha... Penat oi menaip panjang-panjang ni. Sampai berjumpa lagi di lain ketika. ^_~

Wednesday, 19 December 2012

Khemah Sahara

Aha, ini ulasan mengenai Restoran Sahara Tent yang terletak di Plaza Shah Alam. Sebelum ni pandang-pandang, jeling-jeling je restoran ni. Tak berani masuk sebab tak ada geng. Bila ada geng, laju je aku jalan. Kedatangan kami pada hari tersebut amatlah tepat kerana ada 'Doktor Arab' yang membantu kami memilih makanan di menu dengan penerangan-penerangan terperinci yang beliau berikan. Siap dengan sebutan yang betul! Bagus...bagus...bagus... Maka selepas kami menelaah menu, inilah dia yang kami pesan;
 Mandi Lamb - Na's

 Tabulah - Na's

 Arayess - Mine

Vegetable Samosa - Aten's

Mahalabia - Zimah's

Minuman pulak masing-masing pilih air kosong je sebab dah banyak minum benda manis dari pagi. Makan pun tak boleh yang berat-berat sebab dah makan macam-macam sebelum tu. Oh, sebenarnya aku tak berapa nak ingat dah nama-nama makanan yang kami makan jadi aku rujuk pada laman web Sahara Tent. Kalau nak tahu lebih lanjut tentang Sahara Tent ni, silalah klik pada pautan yang diberikan. Komen aku sebagai pengkritik tak bertauliah ye, orang lain tak tau la. Bagi aku, suasana kedai adalah sangat eksklusif dan selesa. Boleh pilih nak duduk tempat tersorok atau tempat terbuka. Tempat tersorok ni best sebab kusyen dia lembut manakala tempat terbuka ni kerusi macam set meja makan. Kami haruslah pilih tempat tersorok sebab nak yang selesa. Hehehe...
Tempat duduk kami dekat tempat yang ada langsir tu

Makanan memang tak dinafikan, sedap! Cuma kuantitinya tidak banyak seperti restoran makanan arab lain. Berdasarkan kuantiti makanan dan harga yang ditawarkan, aku kata restoran ni mahal. Sekali sekala boleh la nak merasa kalau selalu, gugur juga rambut kan. Hahaha... Disebabkan kami ada bawa sekali 'duta' makanan arab, maka panjang lebarlah fakta makanan arab yang kami dapat tahu. Siap terangkan cara nak buat lagi. Kelas kau Zimah! Bila kami tanya kenapa beliau hanya pesan Mahalabia, katanya rindu nak makan  Mahalabia yang selalu dimakan waktu di Jordan. Cuma beliau kata, rasanya sedikit berbeza dengan yang dimakan di Jordan. Aku pun rasa juga, tapi tak dapat nak terima sebab macam ada rasa wangi. Tengok pada menu, dia kata wangi tu datang daripada air ros tapi rasa dia macam bunga melur. Memang tak dapat nak terima. Tapi kalau setakat nak rasa sikit tu, tak ada masalah. Dari segi layanan, boleh kata cekap dan cepat. Itu pun sebab tak ada orang. Kalau ramai orang tak tahu macam mana. Harapnya tetap sama juga. Kot-kot ada yang teringin nak makan kat situ, jangan takut-takut nak masuk. Mahal tu kira mahal tapi tak adalah mahal sampai macam makan kat hotel. Boleh diterima lagi 'kemahalannya' tu.

Selangkah ke Hadapan

Waktu berjumpa minggu sebelumnya di majlis Zana, dapat perkhabaran salah seorang geng konvoi raya nak bertunang pulak. Jadi hari Sabtu 8 Disember, bergeraklah kami ke Kajang untuk menghadiri majlis beliau. Macam biasa, aku dengan Aten gerak berdua dari Banting dan singgah di KTM UKM ambik Na. Mula-mula Na kata datang sorang je tapi tiba-tiba dalam satu SMS yang dihantar, beliau menggunakan kata gantidiri 'kitorang'. Kitorang? Dengan siapakah? Puaslah berteka-teki sebelum Na muncul bersama Zimah. Cet, ye ye je kata tak dapat datang si Zimah ni sebab nak pergi induksi 11 haribulan! Tiba-tiba muncul pulak. Kira berani matilah si Zimah ni keluar jugak hari Sabtu tu sebab....sebab..errr.. (ada sebab yang tak enak untuk diceritakan) sampai kitorang pulak yang risau. Hahaha...
Hantaran

Kami sampai dah lewat dan majlis pun dah selesai. Jadi, datang-datang je terus disuruh makan. Tuan Rumah dah suruh makan, kita ikut je. Jumpa Dayas, Baz dan Nani si pengantin baru. Tak dapat borak lama dengan Dayas sebab dia ada kelas. Jadi kami pun borak sajalah dengan mereka yang tinggal. Lama juga kami di sini, siap tumpang solat zuhur lagi sementara nak tunggu Cnah sampai. Lepas solat je, Cnah pun sampai.Sebelum teman Cnah makan, kami bergambar dulu macam biasa. Macam-macam gaya keluar sementelah si Tuan Punya Majlis pun sporting, layankan aje aku yang 'senget' ni.... Hahaha... Dah dapat bayang dah macam mana sesi penggambaran kahwin ko nanti Dyaz. Mesti gempak punyalah! Pssttt, kalau nak mintak kitorang jadi props, bagi tahu ye. Kami sedia membantu sebab tak dapat jadi gadis dulang untuk majlis yang ini. Hiks...
Antara pose yang 'senget'...hahaha...

Lepas majlis di sini, macam biasa menuju ke Shah Alam nak hantar Na dan Zimah balik. Sebelum balik, haruslah ukur jalan. Dalam pada mengukur tu, tersinggah Space U8 sebab nak solat asar. Dari luar nampak gah tapi bila dah masuk dalam, terus rasa tak best sebab tak sejuk. Tak ada air-cond. Tapi suraunya adalah sangat selesa dan mendamaikan. Lepas tu kami ke Seksyen 13, singgah Celcom sebab Zimah nak tukar pelan internet telefon kemudian terus ke Plaza Shah Alam sebab ada orang puasa tu mengidam Subway dan ada orang tu kasutnya tercabut jadi kena cari kasut baru. Sementara tunggu waktu buka, merayau dulu cari kasut dan akhirnya masuk ke Sahara Tent untuk buka sebab ada pulak yang kata nak makan nasi. Cerita di Sahara Tent kena karang entri lain nanti. Bila dah makan, orang puasa yang mengidam Subway dah tak nak makan Subway lagi. Lepas makan, cepat-cepat solat maghrib dan teruslah nak balik. Tapi bila sampai pintu keluar, hujan selebatnya beserta angin kuat. Tak boleh nak ke kereta jadi masuk balik dan ke bahagian paling bawah. Sebab waktu di Sahara Tent tadi seorang saja yang makan makanan berat, maka ada pulak yang terasa nak minum sesuatu yang panas. Hujan-hujan kan, memang sedap kalau minum sesuatu yang panas.

Ada juga yang bungkus makanan untuk orang-orang di rumah dan sementara menanti makanan di bungkus, melilau mata tengok kedai makan yang ada. Dah, ada yang teringin nak makan steamboat pulak. Tiba-tiba ada yang tawarkan diri nak belanja pulak. Eh, korang ni memang best la! Hehehe... Maka masuklah kami ke dalam kedai steamboat di situ. Makan sambil tunggu hujan berhenti katanya. Siap makan je hujan pun dah berhenti jadi terus hantar Zimah balik dulu. Dah beberapa kali sebenarnya mak Zimah telefon tanya bila nak balik sebab tak pernah balik selewat ini. Ada cerita lucu jugak pasal si Zimah ni sampaikan kami gelak sampai sakit perut lepas hantar beliau balik. Lawak...lawak...lawak...lain kali jangan curi-curi keluar tau doktor nanti tak boleh masuk rumah sendiri lagi. Hahaha...

Seterusnya, hantar Na pulak barulah kami bergerak pulang ke rumah. Dalam perjalanan, Aten cakap; "Mak Na dah mark aku dengan ko kalau dia balik lewat. Ayah ko mark aku, atuk aku pulak mark ko." Errr, tak ada komen. Aku redha je. Hahaha...

Tuesday, 18 December 2012

Taman Dalam Dewan

Minggu berikutnya, aku hadiri satu lagi majlis kawan kahwin kawan di Hamidiah. Macam gila kentang betul kan semua jemputan pun kau pergi? Satu; orang dah jemput. Dua; aku memang suka pergi kenduri kahwin. Jadi, sapu ajelah. Hehehe... Konvoi kali ni lebih meriah sebab lebih ramai yang ada. Mula-mula ke rumah Na dulu makan nasi lemak. Eh, tak..tak... Sebenarnya nak ambik Na tapi Na dah siap pesan suruh makan nasi lemak kat rumah dia jadi, rezeki tak boleh tolak. Hehehe... Sedap nasi lemak mak Na tapi tak boleh makan banyak-banyak sebab lepas ni nak makan lagi. Kat rumah Na, jumpa Farahin Zamri, Zimah dan A'a. Sebab dah lama tak jumpa, A'a macam malu-malu je dengan kitorang; macam bukan A'a yang dulu. Hahaha...

Dalam pukul 11 lebih kot baru gerak dari rumah Na ke Melawati. Sebab kena lalu MRR 2, aku memang dah agak jalan akan sesak dan benarlah bagai dikata. Sesak sungguh sebaik saja masuk ke MRR 2! Makan lagi 'jem' dua balang. Disebabkan gerak hati masing-masing salah, dah kena 'makan langsat' pulak. Hahaha... Akhirnya, jumpa juga lokasi majlis. Itu pun sebab pilot ternampak bunting Zana dan pasangannya yang digantung di lampu isyarat. Alhamdulillah... Waktu kami sampai, tetamu belum ramai dan pengantin pun belum sampai. Jadi, duduk-duduk dulu borak sebelum mula makan. Memang lama kami duduk di sini; dari pengantin belum datang, sampailah pengantin masuk dan bersanding, makan, potong kek dan sesi bergambar. Hambik ko!
Jangan fokus pada Aku dengan Aten, fokus pada hiasan di dewan tu...serius macam dalam taman suasananya..


Majlis kali ni formal siap ada pengacara majlis lagi. Tapi bila balik tu baru perasan Zana tak ada pengapit bila Aten cakap. Sempoiii... Sebelum balik, sempatlah jumpa kawan-kawan lama di Hamidiah dulu dan bergambar kenangan bersama. Seronok sungguh! Dari nak balik jadi tertangguh kejap dek kerana borak dan bertanya khabar seorang demi seorang. Macam biasa, solat zuhur di masjid berdekatan sebelum teruskan dengan rancangan melepak. Kali ni lebih meriah sebab lebih ramai. Dalam perjalanan pulang, sekali lagi kami 'makan jem' yang tak terkira berapa balang. Nak buat macam mana, dah memang lumrah MRR 2 ni sesak di hujung minggu, pasrah ajelah. Mujurlah cuaca sejuk dan nyaman sebab hujan. Maka selesa saja sepanjang perjalanan. Lokasi seterusnya adalah SACC Mall. Konvoi kami - BLL dan BLW- sampai dulu di situ. Sementara tunggu BLU sampai, sempatlah solat asar dulu sebelum menuju ke tempat lepak; Uncle K. Nak makan apa, semua ada kat situ. Pesan saja.
Sebelum mula makan...kurang seorang sebab yang seorang tu ambik gambar...hehehe..

Ha, ada pun orang yang ambik gambar

Selepas habis makan...pinggan/mangkuk masing-masing licin...

Kali ni lepak-lepak geng cikgu pulak sebab kebanyakannya yang hadir adalah cikgu dan ada seorang bakal isteri cikgu. Doktor tak ada geng jadi kena bertukar jadi cikgu jugak. Hehehe... Sama juga dengan geng 'kerani'. Kerja apapun, kita tetap kawan selamanya kan? Macam-macam cerita keluar sampai nak terbalik meja dibuatnya. Waktu ni, A'a dah jadi A'a yang dulu; bukan lagi yang malu-malu macam waktu jumpa kat rumah Na tadi. Hehehe... Makan, sembang, makan, sembang barulah beransur dari situ. Penaja pada hari tersebut adalah Na. Terima kasih banyak-banyak Na sebab belanja kami semua. Semoga rezeki bertambah murah. Aminnn... Sebelum balik, kami maghrib dulu di surau atas dan pertemuan hari itu diakhiri dengan sesi bergambar di depan surau. Apa nak buat, semuanya photogenic photogedik; kat mana-mana pun nak ambik gambar. Hiks...

Selera Besar

Lepas balik dari kenduri Kak Eha, macam biasa kami pun merayap kejap. Kak Chik ajak ke Festival Hijab di Anggerik Mall. Memandangkan masih awal, okeylah. Waktu kami sampai, ada satu forum baru bermula dimana panel-panelnya terdiri daripada Farah Asyikin, Yatt Hamzah, Noryn Aziz dan seorang ustaz. Tak ingat pulak nama ustaz tu. Moderatornya pula adalah Heliza Helmi. Forum tu membincangkan tentang bagaimana mereka berhijrah menjadi yang lebih baik; dari tidak bertudung kepada bertudung. Seronok dengar Yatt Hamzah bercerita dan berkongsi pengalaman beliau. Teringat kata-kata beliau; "Setiap perkara yang kita buat mesti perlu ada ilmu termasuklah untuk menjadi yang lebih baik." Kurang lebih begitulah inti pati percakapan beliau.

Jalan punya jalan, perut macam lapar balik. Pergilah kami ke pusat komersil Seksyen 7 untuk mencuba kedai baharu. Terlalu banyak restoran di kawasan itu hinggakan kami pun tak tahu nak makan di mana. Akhirnya kami memilih Big Taste; sebuah restoran makanan barat kepunyaan seorang Muslim. Masuk aje kedai ni, jatuh cinta dengan suasananya yang klasik dan tidak terlalu sarat dengan hiasan. Restorannya pun bersih dan menenangkan. Yang paling menarik adalah, surau disediakan.
Suasana dalam restoran

Mula-mula kata nak makan yang ringan-ringan je. Khusyuklah kami menelaah menu yang ada banyak pilihan makanan tu. Pertama kali tengok harga makanan yang disenaraikan dalam buku menu, bagi aku okey. Tapi tetap tak tahu nak pilih yang mana satu. Tengok itu, macam sedap. Tengok ini, macam sedap. Satu je kekurangan buku menu ni adalah tak ada gambar untuk 99% makanan yang disenaraikan. Jadi bila nak memilih tu macam tak best sebab tak tengok gambar. Kat bawah ni ada aku ambik gambar dua mukasurat daripada banyak mukasurat yang ada.

Sementara menanti makanan sampai, borak-borak dulu dengan Kak Chik sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Dari segi pelanggan pulak, tak adalah terlalu ramai tapi sentiasa ada pelanggan masuk. Tunggu punya tunggu, waktu maghrib pun masuk. Aku perasan ada bilik solat disediakan waktu ke tandas. Jadi sementara tunggu makanan, aku pun solat maghrib dulu. Walaupun kecil, tapi cukup selesa untuk solat. Usai solat, makanan dah terhidang atas meja. Agak banyak juga kuantiti makanan yang dihidangkan dalam satu pinggan besar.
 Kak Chik's: Black pepper chicken with rice (kot...dah lupa nama dia..hehe)

Mine: Big Taste fried rice (kot jugak...nama saintifiknya dah lupa jugak..)

Selepas habis makan...pinggan siapa yang licin tu?kehkehkeh...

Makanan pulak sedap dan rasanya berpatutan dengan harga yang ditawarkan. Aku punya nasi memang sedap dan berperasa dan pedas. Pedas tu yang paling penting sebab aku ni kalau makan tak pedas, mulalah macam nak muntah je sebab rasa macam tawar je makanan tu. Hehehe... Cuma Kak Chik tak habis makan sebab tak kena dengan selera katanya. Nak guna konsep aku - habiskan yang mahal - pun beliau tak mampu. Aku nak tolong habiskan pun tak mampu sebab memang dah kenyang tahap gaban. Sepanjang kami makan, kami ditemani lagu-lagu malar segar. Kira suasana santai la dan sesuai kalau nak melepak sambil borak-borak. Cumanya, kalau muzik tu diperlahankan sikit, memang sedang elok untuk halwa telinga. Habis makan, hantar Kak Chik balik dan aku pun baliklah ke rumah.

'Langsat'

Satu lagi cerita nikah kahwin. Zassss.... Berdasarkan pengalaman, bila kawan-kawan yang dah lama menyepi tanpa berita tiba-tiba SMS kita, mesti ada sesuatu yang penting dia nak bagi tahu. Penting yang macam mana tu? Penting macam nak jemput kita datang kenduri atau penting macam nak bagi tahu dia dah jadi bini orang, macam tulah. Seminggu sebelum 24 November 2012, aku terima satu SMS dari kawan sekelas di U dulu. Agak lama juga kami tak berhubungan jadi bila tiba-tiba SMS masuk dengan mukaddimah biasa bertanya khabar dan macam mana kehidupan sekarang, aku dah boleh agak apa yang beliau cuba sampaikan. Hati-hati, gerak hati saya ni kuat dan selalu tepat! Selepas beberapa SMS berbasa-basi, SMS seterusnya adalah bermula dengan 'Farah, Fi ada hajat ni. Nak mintak alamat nak pos kad jemputan.....' Kan? Nasib baik tarikhnya seminggu sebelum. Kalau sehari sebelum, tak janji boleh datang.

Maka pada tengahari 24 November, lagi sekali aku gigih memandu sendirian ke Salak Tinggi untuk menghadiri undangan perkahwinan Fifi. Sebelum tu dah berjanji dengan Mynn dulu nak jumpa di sana sebab segan la jugak kan datang sorang-sorang je. Hiks... Sebab aku makan langsat banyak sangat maka Mynn pun baru je habis makan bila aku sampai tu. Majlisnya tidaklah besar-besaran dan tak ada pelamin pun. Ringkas dan sederhana. Sampai pun dah petang maka dah tak ramai orang. Si Apis pun baik hati la pulak nak teman aku makan dan terus bangun tambah nasik lepas aku ambik makanan. Teman makan ke, memang lapar Pis? Hahaha... Sambil makan, borak dengan Mynn dengan Apis macam-macam. Sempat juga aku tanya majlis mereka berdua. Nak masuk dalam kalendar katanya. Hehehe... Mula-mula Mynn tak cakap tarikh sebenar tapi bila aku cakap, "Jangan macam haritu dahlah.", baru Mynn cakap tarikh sebenar. Haa, tau takut! Kehkehkeh... Maksud aku tu, jangan la bagi tahu sehari sebelum majlis macam bertunang haritu. Terperanjat dibuatnya! Alhamdulillah, panjang jodoh korang. Semoga kekal hingga ke akhir hayat.

Bila dah siap makan, pengantin pun datang meja kami dan borak-borak dengan kami. Ini yang seronok bila datang lambat, boleh jumpa pengantin lama-lama. Hehehe... Lama jugalah kami di sini sebelum minta diri. Macam biasa, sebelum balik kena bergambar dulu.

Kami

Keesokan harinya, keluar lagi menghadiri majlis kakak senior di Hamidiah dulu. Beliau ni satu batch dengan Abang aku dan tak ingat macam mana boleh rapat pulak. Mula-mula macam nak skip sebab tiap minggu asyik keluar je kan tapi bila dia bersungguh jemput sampai siap pesan kat Abang aku, rasa macam tak best pulak kalau tak pergi. Kawan-kawan sekolah tak ada yang lapang tapi mujurlah Kak Chik sudi nak temankan. Terima kasih banyak-banyak sedari. Mula-mula aku mintak Kak Eha poskan kad jemputan untuk rujukan peta tapi beliau terlupa pulak dah... Malam sebelum tu, gigihlah aku godek-godek Pakcik Google tengok peta lokasi; siap save dalam Pokcik Arba lagi sebab takut sesat. Maklumlah kawasan tak biasa.

Esoknya, pasrah je memandu ke lokasi kejadian. Alhamdulillah, tak ada sesi 'makan langsat' langsung dan jalan yang sebenar tidaklah serumit jalan yang terpapar dalam peta Pakcik Google. Aku dengan Kak Chik pun kagum sebab tak sesat langsung macam selalu! Hahaha... Majlis kali ni ada dua pengantin; kakak dan adik lelaki. Jadi tak cukup dalam dewan, di luar pun ada khemah. Sebagai seorang yang penyegan, kami makan di khemah luar saja. Walaupun dah lewat, tetamu masih lagi ramai dan makanan masih lagi meriah. Penanggah pun mesra alam. Berselera kami makan semua makanan yang ada. Hehehe...

Atas: Hidangan utama yang sangat sedap dan pelbagai lauknya
Bawah: Hidangan sampingan berupa cendol, kole kacang dan seri muka. Ada teh tarik juga.

Ruangan buku tetamu yang ringkas tapi meriah

Kak Chik yang tulis sebab tulisan dia cantik...hiks

Selesai makan, baru masuk ke dalam untuk jumpa pengantin. Sebelum tu, singgah dulu conteng-conteng di buku tetamu. Cantik ruang untuk buku tetamu tu. Dah sudah tu, terus menuju ke pentas untuk jumpa pengantin yang berada di pelamin. Temanya ungu + putih dan pelaminnya adalah sangat cantik! Borak-borak kejap, ambik gambar dan pamitan. Bila dah sampai kereta, lupa nak salam kaut. Sibuk sangat berborak dan ambik gambar sampai terlupa salam kosong je dengan beliau. Hahaha... Maka patahlah balik masuk dewan salam kaut dengan pengantin.
Ambik berkat...hehehe

Garu Kepala, Tepuk Dahi...

Akhirnya. selepas berhempas pulas mengadap kertas jawapan OMR dan juga kertas jawapan subjektif berwarna biru, selamat sudah aku menanda untuk peperiksaan sesi 2/2012. Yeaaay! Alhamdulillah, semuanya diselesaikan di pejabat sahaja tanpa perlu angkut balik rumah. Semalam satu hari menanda untuk Sem 1 dan bila dah petang, otak pun 'senget'. Patutnya boleh siap masukkan markah dalam sistem semalam petang tapi bila seharian mengadap benda sama, tengok SPC dan e-Hadir pun tak nampak apa-apa. Hahaha... Maka hari inilah baru aku selesai masukkan markah dalam sistem. Bila dah jadi cikgu lama sikit, aku dah boleh fikir logik dan tak logik jadi cikgu ni. Konsepnya adalah; bukan susah nak bagi markah percuma dan tak mudah nak gagalkan orang. Sedaya upaya kita akan tolong pelajar tu selagi boleh kan? Taaapppiiiiii......sepanjang menanda tu adalah juga beberapa kali aku garu kepala yang tak gatal dan spontan tepuk dahi melihatkan jawapan budak-budak ni. Gggrrrrr..... Mengapakah? Mari kita lihat senarai semak dibawah

  1. susunan jawapan tidak mengikut urutan mukasurat - teleng-teleng kepala aku selak muka surat yang sepatutnya. Akhirnya, aku ceraikan, susun semula ikut mukasurat dan kelipkan. Buang masa dah kat situ.
  2. tidak menandakan nombor soalan yang dijawab di muka depan - awal-awal dah cakap, lepas jawab tandakan kat muka depan Bahagian B soalan nombor berapa yang dijawab. Pun tak buat juga. Waktu aku bagi penerangan tempoh hari, aku cakap kalau nak buat semua boleh tapi aku hanya akan pilih berdasarkan nombor yang mereka tanda di muka depan. Kalau tak tanda apa-apa, aku hanya akan pilih empat soalan yang terawal. Nasib la kan, siapa suruh tak tanda kat muka depan tu? Kalau aku tak bagi taklimat, mungkin la boleh kawtim. 
  3. tidak menjawab kesemua soalan yang diberikan pada bahagian yang dipilih - yang ini memang bikin panas mendidih. Dibiarkan sesetengah soalan kosong tanpa jawapan? Hello, jawapan dah disediakan kat atas tu, kamu tinggal pilih dan isikan saja di tempat kosong, pun susah? Kalau la dah tak tahu sangat, bantai je salin apa yang ada. Untung batu tenggelam, untung sabut timbul, ye dok?
  4. TIDAK MENGIKUT ARAHAN - ini yang rasa nak sekeh sorang-sorang. Semua tak sabar nak jawab soalan sampai tak baca arahan di muka depan soalan. Ggggrrrr....
Situasi bertentangan dengan yang nombor 4 - ingat senang nak taip ARAHAN ni? Kena ikut format tahu! Lepas tu anak-anak murid tak baca pulak. Gggrrrrrr....

Situasi bertentangan dengan yang nombor 2 - semua soalan pun ditandanya. Kalau dalam kes ini, aku pilih empat yang terawal. Nasib la kalau markah lagi sikit dengan soalan yang belakang.

Aku rasa kan, kalau ada peluang lagi untuk sambung tahun depan, aku kena peruntukkan satu slot khas untuk memberi taklimat tentang bagaimana mahu menjawab soalan peperiksaan akhir. Bukan aku tak bagi penerangan sebelum peperiksaan berlangsung, siap tunjuk soalan contoh, siap bagi klu lagi. Memandangkan subjek aku ni sedikit istimewa maka mereka tak perlu nak menggunakan buku jawapan untuk soalan subjektif tapi hanya perlu tulis pada kertas soalan dan ceraikan bahagian subjektif tu untuk dihantar bersama kertas jawapan OMR. Senang tahap gaban! Tetap juga tak buat ikut arahan.

Tak apa, semuanya dah lepas dah pun. Halalkan jelah lebih-lebih lagi untuk budak-budak Semester 2. Lepas ni tak jumpa diorang dah sebab Semester 3 tak belajar subjek aku dah. Seriously, I'm gonna miss them. Walaupun mereka ni kadang-kadang datang kelas lewat, hantar tugasan tak ikut masa dan sengal-sengal belaka, tetaplah ada baiknya. Kalau dalam kelas serius sangat pun, tak seronok juga. Biarlah ada perencah ceria dan riang waktu belajar tu. Kot-kot jumpa tengah jalan ke, kat pasar malam ke, tegurlah ye. Untung-untung dapat nasi lemak sotong percuma, mana tahu kan? Ahaks...

Sepetang Bersama Doktor

Hola! Nak sambung taip cerita merayap sepanjang bulan November dan Disember. Ada sedikit rajin tapi banyak malas mahu menaip. Hehehe... Disebabkan blog ini dibina untuk mencoret pengalaman indah mahupun kurang indah Tuan Tanah, maka akan ada sekurang-kurangnya lima entri tentang tunang-nikah-kahwin secara berterusan. Ater, dah tiap minggu si Tuan Tanah dok keluar pagi balik malam kerana menghadiri jemputan kenduri kawan-kawan, haruslah ku coretkan kenangan itu di sini. Kot-kot lupa cerita menarik yang berlaku semasa membelek gambar-gambar, boleh ku buka blog ini dan baca semula.

Entri kali ini adalah kejadian pada 17 November 2012 dimana aku mendapat undangan dari dua sahabat di Hamidiah dulu.  Memandangkan teman jenayah ada hal keluarga, maka memandulah aku sendirian dari rumah ke lokasi pertama di Dengkil. Dalam perjalanan, singgah kejap jumpa Za sebab beliau tak dapat pergi maka nak kirim kondangan saja. Mula-mula, si kembar nama - Farahin Zamri - menetapkan untuk berjumpa di rumah Ain pada jam 12 tengahari. Tapi akhirnya tak sempat pun jumpa dia sebab dia pulak lambat. Sampai-sampai je Chik, Mada, dan Cnah dah habis makan. Hani pulak tengah makan. Maka teruslah aku pergi kaut makanan di meja hidangan dan duduk semeja dengan mereka. Tak lama lepas tu, Zimah pulak sampai. Makan, borak, makan dan borak lagi, tak sempat nak bergambar secara solo dengan pengantin sebab pengantin lelaki dah sampai. Sempat lambai-lambai dan senyum-senyum je dari jauh. Hehehe...

Pengantin yang baru tiba

Usai makan, kami terus berkejar untuk jadi mamarazi; ambik gambar ketibaan pengantin. Bila pengantin dah masuk, kami pulak bergambar dengan bunting yang digantung di khemah. Kebetulan budak-budak putera baru sampai, haruslah mereka menjadi si tukang ambik gambar kami. Hehehe... Dah siap bergambar, masuk dalam untuk pamitan dengan pengantin. Orang tengah sibuk tepung tawar la pulak. Jadi tunggu semua orang habis tepung tawar, baru pergi salam Ain dekat pelamin. Macam tak percaya aje Ain yang kecik comel dah selamat jadi isteri orang. Berkurang lagi seorang geng konvoi raya. Sobsobsob... Semoga mejadi isteri solehah Ain. Lepas berpamitan dengan mak ayah Ain, kami terus ke destinasi seterusnya; Bandar Enstek.

Untuk ke lokasi kedua, aku ditemani oleh dua orang doktor; Hani dan Zimah. Riuh la sikit suasana dalam kereta. Tapi yang tak tahan tu bila doktor jumpa doktor, habis topik doktor-doktor juga yang mereka bincang sampailah aku mencelah, baru mereka terangkan dalam bahasa mudah. Manalah nak faham kan istilah saintifik perubatan ni. Hahaha... Singgah solat zuhur dulu di Masjid KLIA. Ku sangkakan, Masjid KLIA tu masjid yang ada dalam peta di kad jemputan. Beria janji dengan Chik dan geng konvoinya nak jumpa di masjid sekalinya kami pergi ke masjid berlainan. Jenuhlah aku dengan Zimah dok mengintai ruang solat muslimat cari kelibat mereka dan SMS bagai sekalinya salah daaa... Hahaha... Jadi, tukar tempat pertemuan di hadapan pasaraya besar yang ada dalam peta; itu baru betul.

Sementara tunggu giliran untuk bergambar - gambar ihsan Doktor Hani dari FB

Maka berkonvoilah kami ke rumah Zatie pulak. Kami sampai dah petang dan pengantin pun hampir habis makan. Macam biasa, sampai-sampai je salam dulu dengan mak pengantin dan ambik gambar pengantin tengah makan baru kami makan. Sambil makan, sambil borak. Tak habis-habis ceritanya. Maklumlah, lama tak jumpa. Dah siap makan dan pengantin pun dah masuk dalam balik untuk sesi bergambar, kami pun menyelit juga untuk bergambar sebagai kenangan. Zatie ni pun, senyap-senyap je ye. Tau-tau kata nak kahwin dah. Apa pun, tahniah buat Zatie dan suami. Semoga rumahtangga yang terbina diberkati Allah selalu. Usai majlis, kami bercadang nak melepak bersama-sama tapi Zimah pulak kena balik awal. Maka, kami ke KTM Nilai dulu hantar Zimah baru menuju ke Bangi untuk lepak.

Kami

Meja kami yang penuh dengan makanan walaupun dah makan 2 pinggan nasi kenduri

Lokasinya adalah di Ice Room Bangi. Masuk-masuk je, tak ramai orang. Ha, cantik sangatlah tu! Boleh berborak dengan tenang. Walaupun cuma nak berborak, makan tetap makan. Bila dah jumpa kawan ramai-ramai, perut pun pandai je buat ruang kosong untuk isi makanan. Hahaha... Sebab masih agak kenyang, kami pesan makanan yang ringan je dan berkongsi. Oh, indahnya berkongsi makanan dengan kawan-kawan! Teringat waktu di sekolah dulu, makanan yang ada dikongsi bersama. Makan, borak, makan, borak, makan, ambik gambar, borak, makan, ambik gambar; hari pun beransur petang. Moh le kita asar dulu. Lepas solat asar, kami pun berpisah mengikut haluan masing-masing. Sepanjang jalan pulang, borak-borak dengan Hani tentang pelbagai topik tapi kebanyakannnya berkisar tentang Hani dan kedoktoran. Banyak jugalah ilmu yang aku dapat.

Hari yang memenatkan tapi menyeronokkan sebab dapat jumpa balik kawan-kawan waktu sekolah dulu terutamanya Hani yang dah 6 tahun tak jumpa. Sebelum mereka sibuk dengan HO, ambil peluang berkumpul sama-sama.
Sebahagian daripada buah tangan - ain; zatie

Thursday, 13 December 2012

Nak Hijau Sangat!


Gara-gara nak sangat mug bercorak warna hijau, terkorban RM 12.99 aku! Huwwaaa.... Gedik kan, kat rumah mug bersepah, nak jugak beli yang baru. Waktu aku ambik dekat rak tu, aku macam nampak harga dia RM 6.99 je. Jadi, tak ada hal punya nak bayar sebab bawah 10 hengget. Sekali sampai kaunter, rupanya harga dia 13 hengget. Cet! Lain kali pasaraya Gergasi tu kena letak tanda harga yang besar supaya pembeli macam aku yang kelabu mata tengok corak warna hijau dan rekaan mug yang cantik tu tak keliru. Pasrah ajelah bayar dengan harga 12 hengget tu. Nasib baik cun, kalau tak menyesal tak sudah punyalah!

Nota: Mata mengantuk mengadap kertas periksa budak-budak ni jadi aku taip entri ni dengan harapan hilang sikitlah rasa ngantuk. Huwarrggghh...(menguap sambil menggeliat)

Wednesday, 12 December 2012

Terasa Nak Melompat-Lompat

Alhamdulillah berakhir sudah peperiksaan akhir bagi sesi 2/2012. Seperti biasa, subjek aku memang penutup peperiksaan untuk setiap semester. Redha sajalah... Semalam petang dah selamat untuk semester 2. Satu perkara pelik yang terjadi pada semester ini adalah aku tak rasa berdebar langsung sebelum peperiksaan bermula. Iye, pelik tapi benar; orang lain yang nak jawab periksa, orang lain yang berdebar. Apakah? Tapi tidak untuk semester ini. Tak ada perasaan pun. Hahahaha....

Walaupun semalam hari cuti umum tapi aku tetap kena datang kerja macam biasa dek kerana peperiksaan tetap berjalan mengikut jadual. Memandangkan hanya subjek aku saja semalam, maka dewan peperiksaan digunakan secara maksimum. Penat oooi! Mula-mula pusing satu dewan untuk agih kertas soalan. Mujur jugalah ada bantuan dari Unit Peperiksaan dan juga Ketua Pengawas yang bertugas. Bila peperiksaan dah mula, kena juga ronda satu dewan untuk pastikan tiada masalah berbangkit. Walaupun aku dah buat penerangan panjang lebar tentang bagaimana mahu menjawab soalan periksa dan apa yang perlu dilakukan sebelum kertas jawapan dihantar, pun ramai juga yang lupa. Apa yang melegakan, soalan bagi semester 2 adalah sangat sangat sangat senang! Kiranya kalau aku bagi diorang jawab soalan-soalan sebelum ni, memang sah-sah diorang boleh jawab balik sebab soalan yang keluar sebijik sama. Tak mencabar langsung rasanya. Ramai jugalah yang bisik kat aku waktu meronda tu; "Miss, soalannya senang gila. Kalau tak dapat jawab tak tahulah."
 Diawal waktu peperiksaan

40 minit sebelum peperiksaan berakhir

Kemudian hari ini, pada tarikh yang sangat cantik ini - 12.12.12 - peperiksaan subjek aku untuk semester 1 berlangsung. Bila tengok soalan, aku terasa nak melompat-lompat sebab sebahagian besar soalan yang keluar adalah soalan yang aku gubal semester lepas. Iye, sebahagian besar! Cuma adalah yang diubah-ubah sikit. Tak tahu nak rasa gembira ke geram. Yelah, ada sesetengah soalan tu memang aku fikir sendiri tanpa tiru mana-mana buku atau soalan-soalan lepas tapi bila keluar, sesedap rasa saja diubah ikut suka. Perasaan kecewa itu tetap ada. Apa pun, redha ajelah kan. Aku pun bukannya panel pemilih untuk soalan periksa. Untuk semester 1, aku agak risau sebab fokusnya adalah pada tatabahasa dan seperti yang dimaklumi, tatabahasa ini agak sukar untuk dikuasai. Semoga tak ada yang mengulang untuk subjek aku ni semester depan. Aminnn..

Sekarang tengah menanda kertas semester 2. Pening jugalah nak menanda kertas ni bila skema jawapan pun bagi jawapan yang salah. Pening...pening...pening... Kalau aku ikut juga jawapan yang salah, aku pun dua kali lima jugak salah. Jadi cara paling selamat adalah semak balik WIM dan nota-nota yang disediakan untuk pelajar. Mestilah kena ikut apa diajar dan apa yang mereka belajar; macam pensyarah aku cakap dulu, kita tak boleh uji pelajar dengan benda yang tak ada dalam silibus. Okey, penat berjalan satu dewan + penat mencari kertas jawapan yang tak cukup yang rupa-rupanya pelajar tu tak dapat masuk periksa pun. Cet! Penat aku punggah balik kertas soalan yang dah dilonggok untuk di shred sebab takut tercampur. Jenuhlah aku periksa satu-satu untuk setiap kelas sebab takut tercampur dengan kelas lain punya, sampai duduk bersila dekat depan tu, rupa-rupanya dia tak layak masuk periksa. Sabar jelah... Lepas ni penat menanda dan pening mengira markah pulak jawabnya. Kena pulun siapkan semuanya sebelum 19.12.12.

Rupa meja buat masa sekarang. Meja yang luas ni pun terasa sempit je.

Tuesday, 4 December 2012

Fiksyen 302


Sebuah lagi novel karya Ramlee Awang Murshid(RAM) yang aku beli waktu ke Pesta Buku Selangor tempoh hari. Memandangkan novel ini memerlukan fokus dan membuatkan pembaca sentiasa tertanya-tanya, maka aku ambil masa dalam seminggu juga untuk khatam. Menggunakan tagline "jangan percaya..!", menambah lagi perasaan ingin tahu aku, siapakah sebenarnya Zonan, watak yang wujud dalam ilusi pembunuh-pembunuh yang menyerah diri dengan rela hati selepas melakukan pembunuhan. Fiksyen 302 merupakan salah satu karya RAM yang menggunakan tema psikologi dan kuasa minda manusia. Watak-watak pembunuh yang diketengahkan pula merupakan bekas pesakit jiwa maka kena fikir logik dan tak logik cerita yang ditulis. Ada masa mereka berhalusinasi, ada masa mereka sedar. Bila membaca, aku fikir bahawa Zonan itu adalah betul-betul roh jahat tanpa wajah. Tapi bila seorang peguam muda yang mengendalikan kes pembunuhan itu berkata bahawa Zonan itu benar-benar wujud, kepercayaan aku menjadi 50-50.

Dengan melibatkan polis, pakar sakit jiwa dan individu-individu yang berkaitan dengan kes bunuh yang menyebabkan pembunuh-pembunuh itu membalas dendam, plot cerita menjadi menarik. Benarlah, manusia ini bijak dan panjang akalnya bila akhirnya orang yang kita sangka tak bersalah dan teraniaya, rupa-rupanya adalah dalang dan punca bagi segala yang berlaku. Apa pun, pengakhiran novel ini dapat difahami dan diterima akal, tak seperti Rahsia Perindu yang bagi aku sedikit sukar untuk mengaitkan apa yang berlaku dengan pengakhiran cerita.

Makaroni Bakar

Kali ni nak kongsi satu resepi makaroni bakar yang mudah. Sebab buat makaroni ni adalah tak lain dan tak bukan untuk menghabiskan stok elbow yang dah agak lama tu. Ada lagi dalam separuh paket. Nak buat makaroni goreng, macam dah biasa. Jadi cuba buat makaroni bakar guna resepi yang bagi aku mudah sebab hanya perlu masak satu jenis sos sahaja. Resepi diperoleh dari Koleksi 1001 Resepi

Sebelum dibakar

Langkah 1
Rebus makaroni dengan sedikit minyak dan garam sehingga empuk. Jangan lembut sangat sebab nanti hancur. Untuk yang ini aku guna separuh paket elbow; kira-kira 250 gm.

Langkah 2
Sediakan sos daging. Masak macam sos spaghetti. Ikut suka hati nak letak apa. Macam yang ini aku guna 400gm daging kisar Ramly, cendawan butang, lobak merah, seleri, dan bahan-bahan lain yang wajib untuk menjadikan sos spaghetti. Hehehe... Masak bagi kering sikit.

Langkah 3
Sediakan sos putih. Kalau ikut cara ini, memang senang yang amat! Pejam sebelah mata pun boleh buat sebab tak perlu masak atas dapur macam sos putih yang biasa. Untuk sos putih, aku ikut resepi Kkida bulat-bulat kecuali rempah ratusnya sebab hanya guna apa yang ada di dapur; alhamdulillah menjadi. 2 cawan susu penuh krim, 2 biji telur, 4 sudu besar tepung gandum, 1 1/2 sudu teh oregano, kiub ayam, lada hitam dan garam secukup rasa. Campurkan semua dan pukul hingga sebati. Kalau tak nak berketul, guna whisker.

Langkah 4 - Cara melapis
Sapukan acuan dengan minyak zaitun - guna minyak masak biasa pun tak ada hal punya
Letakkan makaroni dan ratakan.
Tuangkan sos putih.
Tuangkan sos daging.
Taburkan keju - aku guna kepingan keju Cheddar je sebab waktu buat ni bajet ketat..hehehe
Picitkan sos atas keju

Bakar dalam oven pada suhu 200 darjah celcius selama 15 hingga 20 minit atau hingga keju mula kekuningan.

Selepas dibakar

Aku buat ni untuk 4 orang makan tapi sebab tekak kat rumah ni tekak Melayu maka sampai dua hari jugalah baru makaroni ni habis dimakan. Bekas kaca ni aku guna saiz sederhana maka agak banyak kuantitinya. Mula-mula dah tuang dalam bekas kecil tapi melimpah la pulak. Lepas ni boleh buat lagi guna resepi ni. Senang dan sedap!