Engagement Fund ;)

Tuesday, 26 March 2013

Kerana Sate

Sambil menyelam sambil minum air kekdahnya maka lepas saja menziarahi makcik di Gombak, halakan kereta menuju ke Shah Alam sebab di situlah tempat terdekat untuk menikmati sate Kajang Hj. Samuri. Itupun sebab dah salah masuk susur ke lebuhraya dari Gombak. Kalau ikut KESAS, boleh singgah di R&R je sebab kat situ pun ada cawangan sate Kajang Hj. Samuri juga. Kebetulan baru dapat elaun tuisyen jadi nak juga belanja keluarga kan. Kalau tak kang, habis buat beli entah apa-apa. Hehehe.. Sebelum dapat makan sate, satu insiden yang boleh dikategorikan sebagai tak sepatutnya berlaku, telah berlaku akibat jiwa kacau si pemandu. Masa tu memang fikir macam-macam dalam otak sampaikan buat kesilapan bodoh yang merugikan iaitu salah scan kad TnG waktu nak keluar dari PLUS. Choi! Rugi hampir 50 hengget gara-gara scan kad yang salah. Mula-mula susah juga nak terima hakikat bahawa duit itu lesap begitu saja tapi akhirnya aku redha. Mungkin sebelum ni, aku berniat untuk beri duit dengan nilai yang sama pada pihak lain tapi tak terbuat, maka dengan cara ini duit itu dibelanjakan. Pasrah... Lepas ni sila letak satu saja kad TnG dalam kereta.

Usai solat asar, terus menuju ke PKNS untuk makan sate. Konsepnya tetap sama macam konsep di Kajang. Mula-mula, cari meja dan ingat nombor meja sendiri. Lepas tu, salah seorang pergilah beratur untuk pesan makanan dan minuman. Menunya tak begitu pelbagai disebabkan hanya fokus pada sate. Tapi ada beberapa menu sampingan lain macam nasi goreng dalam 4 ke 5 jenis juga dan hidangan mee dalam 2 ke 3 jenis. Sate pulak macam-macam ada; ayam, daging, ikan, perut, rusa, arnab dan beberapa lagi. Sebab tamak, maka aku pesan lebih daripada yang Abah suruh; untuk makan pun pesan lebih, untuk bungkus pun pesan lebih sebab kot-kot teringin nak makan lagi bila tengok Abang An makan. Nasib baik habis. Hehehe...

 Rupa hidangan sebelum dijamah

Sate ayam + sate ikan, set nasi impit besar, sambal merah, kuah kacang pucat

Waktu pesan makanan di kaunter dan bayar harganya, kita akan dapat sekali kuah kacang dan mangkuk untuk cicah. Nasi impit dan timun pulak pakej lain; kalau nak makan kena pesan. Macam sesetengah kedai sate biasa, timun dan nasi impit termasuk dalam pakej tapi yang ini tak ye. Minuman dan sate nanti dia yang hantarkan. Sama juga kalau pesan nasi atau mee, pelayan dia yang akan hantar. Kuah kacang dan sambal tu memang dia asing. Sebagai orang dewasa yang tahan pedas, silalah campurkan sambal ke dalam kuah kacang tu. Barulah sedap nak makan.

Selepas... licin semuanya!

No comments: