Engagement Fund ;)

Thursday, 31 January 2013

Kedai Roti Klasik

Tempoh hari, usai saja menghadiri majlis perkahwinan anak buah di Klang sajalah pusing-pusing Bandar Klang yang sudah berubah itu. Kiranya kalau kali terakhir datang Klang 10 tahun lepas, kebarangkalian untuk sesat pada kunjungan terbaru adalah 90% sebab aku pernah sesat dekat Klang tu. Hahaha... Dekat tanah tumpah kelahiran pun boleh sesat? Iye...sebabnya jalan-jalan di bandar telah banyak berubah. Dah banyak yang jadi sehala. Waktu sesat tu, ada la beberapa kali aku pusing dan pusing di tempat yang sama sebelum putus asa lalu kembali ke pangkal jalan. Sekarang dah boleh kerek sebab dah tahu jalan cuma tak tahan nak tersekat dalam kesesakan trafik.

Alang-alang dah meronda tu, singgahlah ke satu kedai roti sedap di Jalan Kota Raja. Kalau dari stesen KTM, kedainya belah kiri dekat bangunan lama. Kedai roti yang selalu dikunjungi waktu kecik-kecik dulu. Kalau Abah bawak ronda-ronda di petang hari, maka akan singgahlah di sini. Rotinya sedap dan harganya pun tak adalah mahal. Biasa-biasa. Roti kegemaran adalah roti yang dipanggil roti siput yang berbentuk empat segi dan atasnya dipintal membulat macam cengkerang siput. Ada taburan gula juga diatasnya. Kalau kebetulan ke Klang dan rajin nak melencong ke kawasan situ, memang akan singgah beli roti kat sini. Nostalgia katanya...

 Papan tanda kedai

Roti-roti yang dijual

Tuesday, 29 January 2013

Scones

Satu lagi resepi mudah yang aku jumpa waktu blog walking. Memikirkan ada lagi setengah tin susu cair yang berbaki tempoh hari, maka aku semangat nak cuba buat scones ni. Resepi dirujuk di blog Kak Ila dan Kak Zanariah. Tapi aku guna sepenuhnya resepi di blog Kak Ila dan rujuk cara nak membentuk beliau di blog Kak Zanariah sebab dekat resepi Kak Ila tu tak cakap cara nak bentuk dia. Kena kepal ke, kena pipe ke, atau kena terap? Memang blurr habis waktu tu sampai kena rujuk resepi lain jugak. Hehehe... Terima kasih atas resepinya ye. Meh tengok apa yang diperlukan untuk hasilkan scones yang sangatlah mudah.

Sebelum masuk oven

Lepas keluar oven - yang gelap belah kiri tu sebab aku teradjust suhu ke 180. Jadi untuk batch kedua aku adjust balik suhu ke 170


Scones
Sumber: Kak Ila


2 1/2 cawan tepung naik sendiri - aku guna tepung gandum biasa + serbuk penaik
200g mentega
4 sudu besar gula halus
1/2 cawan susu sejat
Sebiji telur
Slice of lemon - belakang rumah takde pokok lemon jadi aku guna slice of lime
1/4 sudu kecil soda bikarbonat

Cara mengadun;
1.Gaul tepung,gula, soda dengan mentega sejuk yang dipotong kecil-kecil dengan hujung jari hingga jadi macam serbuk roti .
2.Perahkan limau nipis ke dalam susu, masuk telur dan pukul dan terus masukkan ke dalam tepung dan uli . Kalau lembik, tambah tepung sampai tak melekat kat tangan.
3. Canaikan doh dengan ketebalan satu inci dan terap dengan acuan.
4. Bakar dengan suhu 170 darjah celcius selama 20 minit.

Patutnya waktu nak uli jadi doh tu kena masukkan campuran susu sedikit demi sedikit dan guna sekadar yang diperlukan barulah adunan tak lembik. Tapi aku bantai tuang semua sekali dalam adunan tu. Gelabah kejap sebab adunan terlembik. Hahaha... Jadi kena buat sampai dia tak lembik dan boleh diterap. Sebab aku tak ada acuan bulat saiz besar maka aku guna acuan tat nanas untuk terap. Adalah sikit rupa scones cuma saiz dia tak normal macam scones biasa. Scones ni nak sedap makan dengan clotted krim dan jem tapi sebab tak rajin nak buat krim maka makan jelah dengan jem. Pun sedappp!



Kek Mentega Pisang

Hai blog! Dah lama betul tak jenguk kamu kan? Nak buat macam mana, semangat nak menaip hilang ditiup angin. Hehehe... Sebagai permulaan, meh nak kongsi satu resepi ringkas tapi sedap. Macam biasa, resepi yang dicuba mestilah berdasarkan bahan mentah yang berlambak di rumah macam mentega yang berbuku-buku dalam peti ais atau pisang bertandan-tandan yang masak sekaligus. Resepi ini diambil dari Hong's Kitchen. Terima kasih resepinya...
Rupa sebelum masuk oven

Rupa lepas dibakar - sedikit 'geseng'

Rupa dalaman selepas dipotong

Kek Mentega Pisang
Sumber: Hong's Kitchen

Bahan-bahan
250g mentega
230g gula halus
5 biji telur
1 sb susu
1/4 camca esen vanila
200gm pisang dilenyek - dalam 3 ke 4 biji pisang bersaiz sederhana
1/4 camca garam
280g tepung - aku guna tepung kek BlueKey
1/4 camca serbuk penaik
2 biji pisang, dihiris

Cara membuat;
1. Gaulkan garam dengan pisang lenyek. Ayak tepung bersama serbuk penaik dan ketepikan.
2. Kemudian, pukul mentega dan gula halus hingga kembang. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan pukul hingga sebati.
3. Masukkan susu dan esen vanila diikuti dengan pisang yang telah dilenyek.
4. Campurkan tepung sedikit demi sedikit dan gaul menggunakan spatula hingga sebati.
5. Tuang ke dalam loyang dan susunkan pisang yang telah dihiris diatasnya. Bakar dengan suhu 180 darjah celcius selama 30 - 45 minit.

Walaupun permukaan atasnya hangus, aku nak jugak letak gambar tu dalam ni. Tak tahu nak buat macam mana lagi untuk mengelakkan dia tak hangus. Bila baca petua blogger lain, mereka tutup permukaan atas dengan baking paper atau aluminium foil selepas separuh masak untuk elakkan bahagian atas tu terlebih masak. Dah cuba buat pun tapi geseng jugak. Cuma tahap geseng dia tu masih boleh dimakan la.

Untuk resepi ni, aku guna pisang rotan sebab tandan beliau masak dulu. Tapi Abah suruh campur pisang awak sikit sebab pisang rotan ni masam sikit. Jadi, saya yang menurut perintah. Hasilnya kek ini tak terlalu manis dan sedang elok kegebuannya. Cuma gagal tang rupa tu dek kerana geseng. Kalau tak tahu rupa pisang rotan macam mana, meh tengok gambar ni

Pisang ni sensitif sikit sebab kalau dah terlebih masak, mulalah ulat-ulat halus buat rumah. Jadi aku rasa setandan ni selamat beberapa biji je aku buat kek haritu. Yang lain tak sempat nak diselamatkan. Rezeki ulat dan baja tanahlah jawabnya.

Thursday, 10 January 2013

Ayat Kontroversi

Siang tadi telah berjaya bangun pagi dengan erti kata yang sebenar. Kena paksa diri jugak kononnya nak betulkan balik jam biologi yang dah lari masuk parit. Pagi dimulakan dengan membasuh tudung-tudung 'atap' yang makin lama makin banyak helai. Tudung 'atap' tak boleh basuh mesin jadi kena cari masa sesuai untuk basuh secara tradisional dan terus sidai di bawah terik mentari. Dah siap misi pertama, koyak paket Radix, bancuh dengan air panas dan nikmatinya dengan jemput-jemput bawang Abah buat. Dah sudah tu, baru bersiap untuk selesaikan misi-misi lain yang berderet.

Misi 1
Penuhkan tangki Mrs. Kanc sebab dah hampir kosong tangkinya. Bila kereta tak bergerak sangat, tak dapat nak bajet berapa lama lagi boleh bertahan jadi jalan selamat pergi penuhkan sampai tak boleh masuk.

Misi 2
Isi duit dalam Tabung. Kalau tak disegerakan karang terguna buat beli benda yang bukan keperluan tapi kehendak semata-mata. Bahaya!

Misi 3
Dapatkan stok kopi Radix yang dah surut. Bila dah masuk dalam tu, barang yang sebelum tak ada stok dah ada. Makanya, ambik itu, kaut ini, dan tarik yang di sana dan akhirnya mencecah 150 ++. Yang tak puas hati, setiap kali datang sini mesti tak dapat resit sempurna sebab kononnya nilai mata tak cukup. Choi! Tadi beli banyak ingatkan dapat la resit sempurna, tapi tak jugak. Dia cuma ambik kertas reja, dan tulis apa barang yang aku beli. Boleh dikira resitkah itu?

Misi 4
Beli barang dapur dan bahan-bahan untuk mesti-masak-sepanjang-cuti. Ke Econjimat dengan semangat bawak shopping beg sampai 3 sebab kononnya barang yang nak dibeli tu banyak. Sekalinya, hampir separuh barang yang dicari tak ada. Apakah? Kalau pun ada, rupanya dah tak semenggah. Tak kuasa nak rembat. Nak beli sayur pun, sayur-sayur yang ada tak menarik dipandangan mata. Jadi kaut je mana yang ada, bayar dan keluar dari situ dengan rasa kecewa. Lepas ni tak nak pergi situ lagi dah. Mengecewakan! Macam mana nak bersaing dengan pasaraya Gergasi ni?

Misi 5
Hantar kasut untuk dibaiki. Terputus akibat banyak jalan jauh walaupun tak puas hati dengan prestasi beliau. Baru beli 3 bulan dengan harga yang boleh tahan mahal, tiba-tiba dah putus talinya? Cuba nasib hantar ke tukang kasut dan beliau kata boleh dibaiki. Eh, beliau kata petang tadi siap tapi lupa nak ambik. Esok kena keluar lagi la ye?

Misi 6
Hantarkan kad jemputan kahwin seorang teman yang praktikal di pejabat dulu. Jadi posmen katanya tapi waktu telefon salah seorang pemilik kad, aku buat ayat kontroversi. Hahahaha...
Tuan Tanah: Kak, ada kat ofis tak? Sibuk ke?
Beliau: Ada je. Macam biasalah..
Tuan Tanah: Semua orang ada ke? Kak ***? Kak *****? Kak *****?
Beliau: Ada. Semua ada ni ha cuma ada yang terlibat dengan slot ceramah.Kenapa?
Tuan Tanah: Saya nak datang ni. Nak hantar kad jemputan.
Beliau: Ha? Kad jemputan? Ko nak kahwin ke?
Tuan Tanah: Eh, tak..tak.. Kad jemputan M, dia mintak tolong saya bagi.
Beliau: Oooh, ingatkan ko nak kahwin. Mana la tau, cuti lama ni dapat ilham pulak.
Tuan Tanah: Ishh, ilham saya tu memang dah dapat. Cuma ilham 'dia' je tak muncul-muncul.
Kahkahkah... sempat lagi. Kalau pun aku nak kahwin, tidaklah dalam masa sesingkat ini. Kad pun tak sempat cetak kan? Dan koman-koman pun mesti dah timbul gosip sebelum cuti haritu. Tak gitu? Hiks...

Jadi, selepas selesai urusan menyimpan dan menghabiskan duit, teruslah menuju ke pejabat untuk selesaikan misi nombor 6. Lama juga lepak sampai makan tengah hari sama-sama. Ilham nak cari sayur ditunda ke petang tadi sebab kononnya tiap petang Rabu ada Pasar Tani tapi bila dah sampai rumah, maaaaalassssnya nak keluar balik. Maka, tak adalah stok sayur segar dalam peti tu. Esok jelah terjah kedai yang boleh dipercayai. Oh, ada lagi satu misi yang tak selesai-selesai dari haritu. Pssst! Hani, Aten, bilanya nak ngeteh ni? Asyik tak jadi je...

Tuesday, 8 January 2013

Kapal Terbang Kertasku...


Tolonglah angin 
Bawa kapal terbang kertasku 
Kepadanya 
Supaya ternyata jelas 
Isi hati ku 
Yang sebenar-benar ikhlas
.........


Eh, tiba-tiba keluar pulak lirik lagu Exist ni. Hehehe... Masalah bila bercuti ni, aku bertukar jadi burung hantu. Hidup jadi kurang normal bila waktu terbalik. Itu yang dok menaip pagi-pagi buta tu. Macam-macam benda berlegar di kepala otak tika ini. Sedikit lega bila berjaya menyelesaikan 'kerja bidan terjun' dari seseorang. Walaupun tak berapa nak bijak pandai, aku cuba sedaya yang mampu. Kelas tuisyen untuk sesi 2013 pun dah bermula hujung minggu sudah. Kali ini tanggungjawab lebih berat bila aku diamanahkan untuk mengajar kedua-dua kelas peperiksaan sekaligus. Cuak! Sebelum ni ada dua orang guru untuk subjek ini jadi aku diberi satu kelas sahaja. Rasa macam tak yakin je nak ajar lagi satu kelas tu. Tapi, selama mana aku mengelak pun akhirnya kena hadapi juga. Nak tak nak kenalah cuba dan yakinkan diri sendiri dengan slogan; "Aku boleh!"

Terdapat perubahan jadual untuk kelas tahun ini dimana kelas berubah waktu ke petang Sabtu tak seperti tahun lepas yang waktunya adalah pada pagi Ahad. Perkara pertama yang datang dalam otak waktu jadual disahkan haritu adalah Mynn's wedding! Macam cemas sebab tiba-tiba lupa tarikhnya sama ada hari Sabtu atau Ahad. Kalau Sabtu terkocoh-kocoh la hadir majlis beliau dan kena datang sebagai VIP. VIP mana boleh duduk lama-lama kat satu-satu majlis kan? Hahaha... Cepat-cepat WhatsApp Mynn untuk sahkan tarikh. Fuh, lega bila beliau cakap majlisnya hari Ahad. Maka bolehlah hadir sebagai rakyat marhain. Tapi hari Sabtu tu berkejar jugak ke Shah Alam untuk pernikahan Mynn. Kawan baik weh, mana boleh tak datang saksikan saat-saat akhir bergelar bujang kan? Nak juga ambik tempias banyak sikit. Muehehehe...

Mynn on her engagement day last year..

Sekarang tengah fikir-fikir apakah hadiah yang sesuai untuk diberikan kepada beliau dan membawa manfaat kepada kedua-duanya. Adakah perlu digandakan hadiahnya kerana Mynn dan juga Apis adalah kedua-duanya kawan ku? Tunggu dan lihat sajalah nampaknya.... Hehehe...

Wednesday, 2 January 2013

Bila Dah Lama Tak Rajin

Bila masuk tahun baru je, ramai yang tanya tentang azam. Waktu kecik-kecik dulu, memang poyo buat azam macam-macam. Siap buat senarai panjang-panjang. Macam bagus je kan? Hahaha... Tapi kadang-kadang azam tinggal azam je. Bila dah besar-besar ni, sendiri mau ingat la. Tahun-tahun sebelum ni rasanya aku ada taip azam dalam blog ni tapi kali ni macam malas nak gebang. Biarlah aku dan diriku saja yang tahu.

Tiap hari pun sebenarnya kita berazam untuk jadi seorang manusia yang lebih baik dari hari sebelumnya. Jadi azam terdekat 2013 yang perlu dilaksanakan adalah kembali rajin memasak dan membakar. Kalau dulu bukan main rajinlah buat kek itu, buat kek ini tapi tahun lepas boleh kira dengan jari tangan berapa kali aku buat kek. Poyo beli loyang pelbagai saiz dan acuan berdozen-dozen je. Hehehe... Misi paling dekat untuk dilaksanakan adalah buat karipap. Kali terakhir buat karipap adalah pada akhir tahun 2011. Dahsyat betul! Mentang-mentang jiran kau ada jual karipap sejuk beku, bukan main sedap lagi beli, beli, beli dan beli saja ye Farah? Ni nak uli doh dia pun silap-silap kena bukak buku resepi ni. Hiks!

Selain tu, nak belajar buat lemper. Makan pandai, buat tak tahu, tak syok la kan. Masalahnya memang kena cari orang yang betul-betul tahu nak buat dan belajar dari orang tu sebab kalau Google resepi memang tak jumpa. Setakat ni memang boleh beli dekat pasar malam tapi cuma dekat pasar hari Ahad je boleh jumpa lemper tu. Pernah letak status pasal lemper dekat FB tempoh hari. Daaahh, satu pejabat teringin nak makan juga. Masalahnya memang susah nak cari kuih ni. Kalau nak jumpa pun, dekat rumah orang kahwin. Itu pun kalau orang sinomannya rajin nak buat. Ada juga tanya pada akak-akak dekat pejabat tu macam mana cara nak buatnya tapi masing-masing pun tak tahu. Yelah, masing-masing pun Jawa, kot-kot la tahu cara nak buatnya. Bagi tahu cara buat inti je pun takpe sebab inti dia tu yang istimewa.

Ini rupa luaran dia


Ini rupa dalaman dia

Itulah kisahnya. Makcik yang jual ni siap kagum lagi dengan aku bila dengan lancarnya aku menyebut nama kuih kegemaran ni. Hehehe... Makcik, teruskan menjual lemper ye sebab saya nak jadi pelanggan tetap makcik dan makciklah satu-satunya orang yang jual kuih ni dekat pasar malam.

Tak Semua Orang Untung

Entri pertama untuk tahun 2013 ditulis selepas hari kedua menjengah. Entri terakhir 2012 pun sipi-sipi je dah nak masuk tahun baru. Secara rasminya hari ini, 2 Januari 2013 adalah hari pertama persekolahan bagi tahun 2013 untuk negeri Selangor dan negeri yang sewaktu dengannya. Selamat kembali ke sekolah buat rakan-rakan guru yang mengajar di sekolah. Tengokkan komen di FB tadi, ada macam-macam dugaan yang datang bila nak mula sekolah balik. Dugaan paling besar adalah diri sendiri; nak lawan perasaan 'malas' tu. Hehehe...

Bercakap pasal sekolah ni, membuatkan aku pun terbang kembali ke zaman dulukala. Sementelah ada beberapa kawan di pejabat yang anaknya akan mula masuk darjah 1 esok, pelbagai cerita mengenai persediaan persekolahan yang singgah di telinga ni dan berulangkali mengucapkan syukur atas nikmat dan rezeki yang telah diberikan waktu aku sebaya anak mereka dulu. Rupanya, bukan mudah nak sediakan kelengkapan persekolahan ni ye? Paling kurang pun kena sedia seribu hengget untuk seorang budak bagi membeli segala keperluan dari A-Z. Itu tak masuk yuran sekolah lagi tu. Kalau yang kena tinggal di rumah pengasuh? Lagilah bertambah belanjanya.

Bila bergaul dengan golongan ibu-ibu ini, barulah aku tahu bukan senang sebenarnya nak mengurus persekolahan anak-anak. Mungkin beginilah yang arwah Mak lalui dulu, payah menguruskan kami tiga beradik ke sekolah setiap hari tanpa bantuan suami. Diikutkan, lama juga arwah Mak menguruskan kami sendirian sebelum Abah dapat bertukar pada tahun 1999. Tabahkah aku seperti arwah Mak sekiranya perlu berhadapan dengan situasi tersebut?

Sebenarnya, aku tak ingat satu apa pun kenangan bersekolah di hari pertama. Rasa takut ke, gembira ke, sedih ke, memang tak lekat satu pun dalam otak ni. Tau-tau je dah masuk kelas. Hehehe... Nak kata takut tu, mungkin taklah kot sebab arwah Mak pun cikgu di sekolah yang sama. Pengalaman beli makanan sendiri? Pun tak ingat jugak sebab seingat aku kalau waktu rehat selalu makan dengan arwah Mak. Bila difikir-fikir balik, memang untung sangat bila kerjaya mak adalah cikgu lebih-lebih lagi bila mengajar di sekolah yang sama aku bersekolah. Sebabnya urusan pergi dan balik dikendalikan sepenuhnya oleh arwah Mak. Sekolah agama pun Mak hantar dan jemput. Tak macam sesetengah orang yang pergi dan balik dijemput oleh van khas dan terpaksa transit di rumah pengasuh pada waktu tengah hari sebelum ke sekolah agama. Waktu petang baru mak ayah jemput balik ke rumah.

Situasi dan keadaan setiap orang tak sama. Maka, bersyukurlah dengan nikmat diberikan. Cumanya, kadang-kadang kita tak perasan apa yang kita lalui tu sebenarnya kesenangan, bukan kesusahan macam kita fikirkan.