Engagement Fund ;)

Thursday, 14 February 2013

Rezeki Terpijak

Selepas entri tanpa kata-kata itu, izinkan Tuan Tanah menaip entri yang mempunyai banyak perkataan. Esok dah Jumaat dan minggu ini cuma bekerja untuk tiga hari saja. Cuti umum seterusnya adalah pada bulan Mei. Sekian terima kasih. Minggu ni jiwa ada sedikit kacau dek kerana satu situasi yang benar-benar menekan perasaan. Sampai terbang melayang bait-bait perkataan yang mahu diluahkan tatkala berada dalam situasi tersebut dimana keadaan itu jarang-jarang terjadi tapi bila terjadi rasa macam nak terjun dari gunung je. Justeru, jutaan terima kasih buat Aten kerana mengembalikan semangat yang hilang itu. Tapi itu antara kita berdua aje tau, jangan dihebohkan pada Geng Mesyuarat Tingkap yang lain atau sesiapa pun.

Esok, waktu rehat tengah hari adalah lama jadi dah buat rancangan siap-siap nak ke mana. Al-kisahnya (pinjam nama blog Cik Som), hujung tahun lepas aku ada hantar satu set bekas Tapawe kembali ke pengedarnya sebab polisi Tapawe kan jaminan sepanjang hayat? Jadi sebarang kerosakan yang tidak disengajakan akan dapat tukar percuma. Rosak sebab kena gigit tikus tak dapat percuma ye, kena beli. Jadi, set yang aku hantar ni memang dah lama dia rosak, dari waktu arwah Mak ada lagi. Daripada tersadai tak dapat digunakan, baik aku cuba hantar; untung-untung dapat ganti baru. Waktu hantar, Amoi tu pelik tengok rupa bekas tu yang dah tak rupa asal. Maka dia pun kata kena hantar kilang tengok macam mana; samada dapat tukar atau 'hangus terbakar'. Dah serah resit akuan semua, beliau cakap datang balik lepas 2 bulan.

Maka minggu lepas aku ajak Kak Rin teman sebab beliau ahli. Hajat hati nak tuntut set tu dan nak tukar tutup Tapawe yang koyak. Bila tunjuk resit nak tuntut, dia pun cakap kilang dah tak keluar produk tu jadi aku layak dapat ganti Tapawe baru daripada jenis lain dengan nilai yang sama. Mula-mula macam, ehhh? Aku bajet bila tak ada ganti, hangus terbakar je. Rupanya dia ganti dengan barang baru yang sama nilai dengan barang yang rosak tu. Yahhhuuu! Lepas Amoi tu kira-kira harga set yang rosak, dapatlah jumlah RM144++. Banyak tu beb! Dia siap suruh aku balik rumah dulu pilih-pilih mana barang yang berkenan. Hahaha... Macam nak pilih apa je kan? Disebabkan set yang rosak itu arwah Mak yang beli, maka aku kena ganti dengan barang yang boleh digunakan oleh semua orang. Malangnya, barang-barang yang ditawarkan tak berapa menarik di pandangan mata. Tapi sebab rezeki terpijak, aku redha je pilih mana yang ada. Hehehe..

Perihal set yang rosak tu, nama dia Counterpart bla bla bla....(tak ingat nama saintifik dia). Set ni ada 4 bekas dan dia rosak tak serentak. Mula-mula 1, lepas tu 1 dan akhirnya semua rosak. Kitorang panggil set ni sebagai balang kuih je sebab beliau hanya akan digunakan pada hari raya untuk isi kerepek. Sebelum tu, mari tengok rupa balang kuih yang dah syahid tu...
Sumber gambar dari sini

Aku punya warna merah hati jugak. Bahagian yang rosak adalah bahagian muncung balang tu; retak seribu dan akhirnya berderai. Reputkah? Nak kata jatuh, mungkin juga ada insiden terjatuh. Tapi takkanlah jarang guna dan bukan sengaja dijatuhkan boleh jadi sampai berderai? Aku tak ada teori lain melainkan itu takdir beliau untuk rosak sebegitu rupa. Hehehe... Mujurlah boleh tukar yang baru maka tidaklah tersadai mengumpul habuk di rumah. Itu baru satu set. Agak-agak kalau aku korek-korek balik kabinet kat dapur tu, mungkin ada Tapawe zaman dahulukala yang dah mereput dan layak untuk ditukar juga tak? Muehehehe... Tunggulah rajin kang, baru mengorek.

Perihal Tapawe ni dulu arwah Mak yang jaga jadi sekarang aku la ambil alih. Kalau dulu arwah Mak selalu cakap kat kitorang macam ni bila nak bukak Tapawe; "Buka empat penjuru, jangan buka kat hujung-hujung. Nanti koyak." Sekarang aku pun ulang juga benda yang sama pada penghuni rumah ni sebab terbuktilah kalau tak umpil semua penjuru tutupnya boleh koyak di penjuru yang diumpil saja. Sebab? 2 keping tutup Tapawe yang aku nak tukar sebab koyak tu kerana kes tak umpil semua penjuru la tu. Nak dijadikan cerita, tutup Tapawe yang koyak diimport dari negara lain dan tak sampai-sampai stoknya dari tahun lepas. Agaknya kena genap aku tanya 3 kali kot baru stok sampai. Aku pun bukan boleh tengok sangat katalog Tapawe ni, kang terbeli satu set. Beli bukan sebab ada kepentingan nak guna tapi sebab tak tahan tengok warna beliau yang menarik itu. Kehkehkeh...

Wednesday, 13 February 2013

Tuesday, 12 February 2013

Bila Nak Insaf?

Alhamdulillah, aku kembali bekerja pada 1 Februari lalu. Masih berstatus sambilan dan buat kesekian kalinya, aku di'puankan' oleh kakitangan HQ. Bila ada yang bertanya sampai bila nak pegang status sambilan tu, aku tak tahu nak jawab apa. Ada juga terfikir, 'bilalah aku nak insaf dengan kehidupan yang tak berapa nak stabil ni?' Bukan tak cari yang tetap, cari juga. Tapi belum ada rezeki, aku bersyukur dulu dengan apa yang Allah bagi. Doakan untuk aku supaya tahun 2013 ini membawa sinar baru.

1 haribulan adalah hari Jumaat tapi sebab surat tak kata hari Jumaat tak sesuai nak mula bekerja, maka aku pun dengan gigih masuk kerja dikala orang lain dah tak berapa ada mood nak kerja. Hehehe... Macam biasa, masuk kerja kena lapor diri dengan bos besar. Waktu lapor diri tu surat tawaran tak diserahkan lagi maka bila bos besar cakap "Ada apa-apa ke yang saya tak tahu?" sambil sengih-sengih, aku blurr kejap sebelum menangkap maksudnya. Maka aku pun jawab; "Oh, saya memang dah 'dipuankan' oleh mereka dari tahun lepas lagi." Baguslah, doakan ramai-ramai ye. Hehehe... Hari pertama kerja macam biasa kemaskini silibus, susun kalendar belajar dan semak jadual untuk semester ni. Hanya hari Isnin dan Jumaat saja aku tak ada kelas. Hari lain ada kelas dan kelasnya slot pukul 2 belaka. Memang tak keluar makan tengahari la gamaknya.

Pelajar sem 1 kali ni boleh tahan bagus dan 'cemerlang' sampai kacau jiwa aku dibuatnya. Cabaranlah untuk aku sepanjang mengajar di sini dengan personaliti mereka yang pelbagai ni. Jadi dalam masa seminggu dua ni masih perlu mengubah serba sedikit cara pengajaran yang aku guna untuk semester-semester terdahulu. Setiap sem pun aku guna kaedah trial and error sebab bukan hanya mengajar orang yang sama. Dalam minggu ni juga kena selesaikan rekod kedatangan dan rekod mengajar sebelum mula menggodek helain markah untuk semua kelas. Nampak macam sikit tapi banyak juga nak buat sebenarnya. Yang penting, azam aku tahun ni adalah nak datang pejabat tanpa perlu terkocoh-kocoh. Maknanya, kena keluar dari rumah lebih awal daripada sebelum-sebelum ni. Nak-nak jalan menghala ke pejabat sedang dinaiktaraf maka kalau tersekat belakang backhoe memang wassalam nak overtake beliau sebab jalan sempit. Kalau tak nak jumpa backhoe tengah jalan, kenalah keluar rumah sebelum 7.40 pagi. Hohoho..

Sekian saja laporan ringkas untuk permulaan Februari. Buat syarat tak nak labah-labah buat sarang macam blog adik kembar nama tu. Hehehe...