Engagement Fund ;)

Friday, 31 May 2013

Ingat Kau Sorang Je Nak Beli Pisang Goreng?

Hari Khamis lepas ada gotong royong perdana sempena persijilan semula 5S. Selama ni bukanlah tak amal 5S tu cuma sesekali tu kena ada sesi pembersihan besar-besaran punya. Pagi tu pelajar-pelajar dibahagikan mengikut zon. Ketua Zon aku cakap dapat budak Multimedia sekali bila disebut satu persatu, zon kami dapat budak Pengaturcaraan. Sebab pagi tu ahli zon cuma ada dua orang iaitu Ketua Zon dan yours truly, maka kenalah pergi pantau keadaan dulu dan bahagikan tugas. Orang ajak makan pun tak nak sebab macam serba salah pulak makan sambil dikelilingi tenaga kerja untuk zon sendiri. Hahaha... Oh, zon aku adalah tempat makan iaitu kafe.

Sehari sebelumnya aku dah siapkan sikit mana-mana label yang perlu ditukar. Pagi tu cuma minta tolong mereka gunting-gunting je. Sekalinya tak cukup la pulak. Maka baliklah semula ke pejabat untuk buat lagi. Rumit jugalah sebab satu, tak bawa beg laptop dimana data-data tentang 5S ada dalam laptop dan juga pendrive yang disimpan dalam beg laptop. Tepuk dahi! Terpaksa tebalkan muka minta salinan lain daripada bos. Banyak masa dihabiskan dalam pejabat je sebab nak print, lepas tu gunting, lepas tu laminate, lepas tu kena gunting lagi sekali. Bahagian gunting lagi sekali tu aku angkut je ke kafe minta tolong budak-budak tolong.
 Permulaan
 Dah hampir siap, tinggal cat celah-celah tulisan je...

Sementara tunggu yang lain siap mengecat, kasi sapu sampah sarap habuk-habuk yang bertaburan

Petangnya aku pantau budak-budak buat kerja. Seronok dapat budak besar ni sebab diorang dah tahu nak buat apa dan buat macam mana. Bagi arahan sekali je lepas tu pandailah diorang buat. Kiranya dari A-Z diorang yang buat semua. Anda semua terbaik! Kebetulan juga kot diorang ni memang rajin-rajin semua. Disebabkan prestasi yang memberangsangkan, maka aku pun berhajat nak belanja diorang makan pisang goreng. Sebelum keluar kena minta kebenaran bos dulu. Bos pun nak ikut sekali maka bos aku pun minta kebenaran pada bos besar. Bila orang tahu nak keluar beli pisang goreng, terus ramai-ramai kirim nak beli pisang goreng + air + ais sekali.

Cabut label lama yang dah rosak dan gantikan dengan yang baru

Rajin budak ni lap kesan cat yang sememeh atas meja

Bila dicongak-congak, jumlah pisang goreng yang dibeli pada hari tersebut adalah 50 hengget untuk dimakan oleh tenaga kerja tiga zon! Ambik ko, jadi tugu negara depan warung pisang goreng tu nak tunggu dia goreng pisang sampai 4 kali. Hahaha... Habis tu, aku sorang je ke yang nak beli pisang goreng? Tentulah tidak kan. Orang lain yang nak beli pisang goreng pun macam geram je kat kitorang sebab sebaik saja pisang goreng diangkat dari kuali, hampir semuanya masuk dalam plastik untuk kitorang. Macam dah boleh agak monolog diorang; 'Eh, lepas dia, dia lagi. Lepas dia, dia jugak.' Gituuu... Itupun nasib baik ada campur juga beli kuih lain, kalau tak lagi lamalah tercegat depan warung pisang goreng tu. Hampir satu jam juga kami tunggu nak beli pisang goreng 50 hengget tu. Gambar je tak ada sebab bateri telefon dah kong.
Sesi makan pisang goreng

Balik je terus agihkan pada zon-zon berkenaan. Aku rasa sekali hadap je terus habis sebab waktu aku datang kafe tinggal plastik je dah. Terima kasih banyak-banyak kerana komited dengan tugasan yang diberikan. Sebelum balik, kita ambik gambar kenangan dan juga bukti mereka hadir pada hari tersebut.
Pelajar Pengaturcaraan Sem 4

Dah siap kemas, budak-budak pun dah balik, pengajar-pengajar pulak lepak makan pisang goreng yang lebih.


Wednesday, 22 May 2013

Teman Jenayah Dah Kahwin


Kejadian pada dua bulan lepas yang baru nak diletakkan dalam ni. Bukan terlupa tapi mood nak menaip dan mengedit gambar tak ada. Okey, hari kejadian adalah pada pertengahan Mac. Asalnya nak buat pengakhiran Mac tapi pengantin takut hari mengundi jatuh pada tarikh yang dirancang maka dianjak ke depan.

Kali ni datang waktu puncak sampai tak ada tempat nak duduk dan tak dapat borak dengan pengantin sebab pengantin lelaki dah sampai. Sebab aku tumpang orang, maka ikut je. Tapi kalau aku, memang lebih suka datang lepas zuhur sebab lebih santai nak menikmati hidangan dan dapat jumpa pengantin lama sikit. Kali ni kami berkeputusan untuk beli hadiah besar dengan membuat kutipan melalui Geng Tingkap - geng mesyuarat di wasap. Kutip dan kutip dan beli hadiah. Sebab pengantin suka masak, kami beli sesuatu yang bermanfaat untuk beliau. Daripada kutipan yang dibuat, ada duit lebih; maka duit lebih tu kita salamkan aje untuk tokok tambah duit beli sofa untuk rumah baru nanti. Eh?? Hahaha...

Selebihnya, aku tepek gambar jelah ye. Baca caption kat bawah gambar untuk lebih info. Hehehe....

 Sampai-sampai je terus cari tempat nak tulis kad dan touch up hadiah sebelum serah pada pengantin (satu kad mewakili dua orang)

 Kek pengantin yang cantik!

Pengantin yang baru je duduk di meja makan (snap gambar sambil kelam kabut bagi laluan kat rombongan pengantin lelaki...hahaha)

Tahan pengantin perempuan kejap untuk bergambar padahal pengantin lelaki dah tunggu kat luar...muehehehe...

Teman jenayah yang sempat ditemui...tak sempat jumpa Zimah dengan A'a sebab Zimah kerja syif malam, datang cepat dan balik cepat sebab nak qada tidur...

Sunday, 19 May 2013

Siapa Yang Mati Sebenarnya?


Selepas hampir dua minggu mengadap novel rebutan ramai ni, akhirnya habis pun aku baca. Kali ni memang sabar betul mengadap novel ni, tak macam yang lepas-lepas dimana aku ingin mengetahui kesudahan cerita dengan pantas sampai sanggup tidur lambat untuk habiskan pembacaan dengan cepat. Sebab novel ni memang tebal, maka macam-macam gayalah aku baca; terlentang, terlungkup, tersandar, semua ada. Kalau baca sambil baring tak boleh lama-lama sebab tangan cepat lenguh. Hehehe...

Pesanan penulis, jangan cengkelat baca pengakhiran dulu maka sabarkan hati tak cengkelat walaupun dalam hati dok bermonolog; 'Apalah kesudahan Iris dengan Abang Pedas ni?' Lepas tu, sila baca perkataan demi perkataan untuk mengelakkan silap faham. Bila tengok dalam group di FB, ramai yang tak faham ending maka aku pun risau juga aku tak faham ending. Okey, masalah sekarang aku faham ending tapi ada ada juga bahagian yang aku keliru walau dah ikut nasihat yang diberi. Acane tu? Siapa punya kubur sebenarnya yang Iris pergi tu? Macam nak kena baca balik semula ni sebab bila sampai bahagian tu memang air mata tak berhenti mengalir sebab sadis sangat peristiwa yang berlaku. Sob...sob...sob... Tunggu reda sikit perasaan baru ulang baca. Hehehe...

Panas dari Pakcik Posmen

Macam novel-novel Kak Melur sebelum ini, novel ini juga mempunyai elemen-elemen sama cuma diolah dengan gaya yang berbeza iaitu terdapat tambahan babak cuak yang diceritakan dengan teliti hingga yang membaca pun ikut cuak sama. Untuk menghormati orang lain yang belum berkesempatan mendapatkan naskhah ini, maka aku tak akan letak petikan-petikan menarik yang ditemui di dalamnya. Di dalamnya, ada detik-detik gembira dan bahagia Iris bersama Firman selepas mereka bernikah dan bagaimana mereka memulakan hidup selepas berumahtangga, juga diselitkan imbas kembali kenangan mereka berdua sewaktu di Kemboja dan bagaimana rasa hati Firman terhadap Iris sebenarnya. Banyak perkara mencuit hati juga ada bahagian menyedihkan. Ada juga bahagian yang membuatkan aku ketawa terkekeh-kekeh sebab lawak lanun dari Firman dan reaksi lurus bendul Iris. Ada juga diselitkan krisis, saat-saat yang membuatkan hati ini geram dengan kerenah orang ketiga, detik-detik mencemaskan dan juga babak menghibakan sewaktu pergelutan berlaku. Dalam MyPi, tugas seorang Abang Pedas dikupas dengan lebih terperinci hinggakan kita lebih tahu kerja seorang polis itu tidak mudah, bukanlah seperti yang disangkakan. Paling penting, Kak Melur Jelita tidak lupa mendidik dan mentarbiyah pembacanya dengan kisah-kisah Nabi dan juga tuntutan seorang muslim kepada agama dan tuhannya dalam cara yang santai dan bersahaja. Apapun, pengakhirannya adalah menggembirakan walapun babak-babak cemas yang dibangkitkan boleh membuatkan pembaca berandaian yang sebaliknya.

Oh ye, novel ni aku tak beli di PBAKL sebab tak jadi pergi walaupun dah minta cuti pada hari tersebut. Kononnya berkobar-kobar nak rebut MyPi dan beratur panjang dengan divas lain dalam Bilik Melaka untuk jumpa Kak Melur Jelita. Tapi apakan daya, keadaan kesihatan tak mengizinkan ditambah pula keyakinan yang sedikit goyah untuk ke KL sendirian. KL is not my territory so I don't have enough courage to drive there by myself; lagi-lagi memikirkan suasana tempat parking yang tidak meyakinkan keselamatannya dan lepas tu kena melintas jalan untuk sampai ke bangunan PWTC. Salah satu benda yang aku takuti dan tak gemar adalah kena melintas jalan. Maka, harap maklumlah ye. Kebetulan ada akak dalam group offer diri untuk dapatkan novel ni sebab MyPi hanya boleh didapati di PBAKL sahaja waktu itu maka aku pun cepat-cepat tempah. Memang mahal sikitlah dari harga sebenar sebab campur kos pos dan pembungkusan. Kerana tak sabar, aku belasah je beli. Sekarang ni tak pasti MyPi dah keluar di pasaran umum atau belum. Tahniah buat Kak Melur Jelita kerana berjaya menggarap kisah hidup Iris dan Firman dengan cantik sekali. Didoakan juga semoga Kak Melur dikurniakan kekuatan untuk menghadapi ujian dari Allah yang berbentuk sakit. Semoga sembuh seperti sediakala.

Wednesday, 15 May 2013

HT#1: Buat Masa Ni


Idea bidan terjun yang buat aku 'melompat' kegembiraan sedang berjalan tapi tersekat-sekat. Buat masa ni, masih lagi sesi pujuk memujuk geng-geng jenayah lain untuk turut serta dalam rombongan Cik Mada tu. Okey, sebenarnya macam kecik hati sikit la dengan mereka yang dipujuk tempoh hari. Dulu bagi cadangan pergi sini, tak seorang pun serius. Lepas tu cadang pulak pergi sinun, pun hangat-hangat tahi ayam. Aku jugak yang poyo sorang-sorang. Sekarang cadang nak pergi situ, korang bagi pulak cadangan baru pergi tempat lain. Jangan sampai aku merajuk, siap la korang. Tapi, tak paksa pun. Kalau dah tertulis kami bertiga aje yang pergi, pasrahhhh... ayat ala-ala nak merajuk

Rancangan dah 10% berjalan. Pertama sekali, minta kebenaran dari Abah. Selesai! Walaupun banyak juga soal jawabnya, tapi Abah okey je akhirnya selepas diberi penerangan terperinci. Sekarang kena bahagikan perancangan kepada beberapa bahagian lagi untuk memudahkan urusan. Cakap pasal kebenaran, Hani bangkitkan pulak pasal mohon kebenaran untuk ke luar negara bagi penjawat awam. Selepas diperhalusi, memang itu salah satu benda yang perlu aku buat seterusnya. Tapi lambat lagi, jadi letak dalam senarai KIV.

Quotation untuk pakej pun dah dapat cuma tinggal nak sahkan je jadi atau tidak. InshaAllah semua benda berkaitan perjalanan ini akan dicatatkan di sini dan juga di jurnal hijau yang aku beli dalam talian sebab warna hijau dia cantik dan rupa dia eksklusif. Hahaha... Panjang penjelasan tentang jurnal hijau itu. Sementara menunggu untuk teruskan langkah seteusnya, moh le layan dulu drama-dramanya yang hanya mampu diulang tayang berulang kali sebab kena jimatkan duit daripada beli stok baru. Hehehe...

Jurnal Hijauku

Okey, tu je nak catat setakat ni walaupun banyak lagi benda lain yang patut dirisaukan pasal blog ni. Contohnya macam ada staf satu pejabat yang terjumpa blog ni secara tak sengaja. Aiseh, dah tak rahsia dah. Kalau anda terjumpa blog saya, baca dan simpan sendirilah ye. Buat anda yang dimaksudkan dalam entri ni, jangan sentap sebab aku dah sentap dulu. Hiks...

Wednesday, 8 May 2013

Dalam Pada Tak Rajin Nak Masak

Lepas dua minggu tak ke pasar Rabu, hari ni rutin tersebut bermula balik. Dalam peti memang tak ada sayur yang best kecuali sengkuang dengan lobak putih. Baru-baru ni je aku berani nak cuba makan lobak putih sebab terbaca dalam beberapa blog yang mengatakan lobak putih ni tak adalah horrible sangat rasa dia. Arwah mak memang tak berapa gemar lobak putih dan Abang-abang aku memang memilih sikit bab sayur, aku je yang tolak batu dengan kayu. Hahaha... Abah makan juga lobak putih tapi biasanya Abah masak sendiri sayur tu buat jangan bening kalau terasa nak makan. Sebab arwah mak kata tak sedap maka aku pun tak minat la nak makan. Baru-baru ni waktu tengah pilih sayur, tergerak hati nak cuba masak lobak putih. Rasanya tak adalah teruk mana pun, kelat-kelat sikit macam peria. Aku masak pun main belasah je, mula-mula hiris memanjang macam hiris sengkuang nak buat inti popia, tumis pedas-pedas dan lepas tu makan dengan ikan goreng dan nasi panas, pergggh! Terbaik!

Bila tiap minggu pergi tempat sama untuk beli benda yang kurang lebih sama, lama-lama jadi bosan. Pejam mata pun aku dah tahu kedudukan penjual kat pasar tu. Sekarang nak tak nak memang stok bahan mentah kena sentiasa ada sebab Nenek dah duduk sekali. Jadi memang kena masak lauk untuk Nenek, tak boleh dah asyik nak beli sebab Nenek pantang makan. Tapi tengok mood jugak, kalau malas tahap power rangers, memang aku singgah tapau lauk. Hehehe... Bila mood tengah rajin, berasaplah dapur. Macam hari ni, gara-gara kerang yang menawan, aku gigih juga masak lauk untuk makan malam. Yelah, kalau dah pergi pasar malam tu, tak payah fikir nak masak apa dah patutnya. Boleh tapau je makanan siap masak. Selalu kerang yang dijual saiznya terlebih baking powder jadi tak berani nak beli sebab Arwah Mak dulu tak galakkan beli kerang saiz besar jadi dah terikut. Bila saiznya sedang elok, terus kaut sekilo dengan harga 3 hengget 5 kupang.

Balik rumah terus siap-siap nak masak lauk paling sempoi menggunakan hasil tangkapan tadi. Kerang rebus ala-ala Nenek masak, ikan cencaru bakar cara Abah, terung bakar cara aku. Siap tiga lauk. Lepas tu, dengan aku sekali kantoi makan nasi malam-malam sebab kerang rebus tu. Pasrahhh...
 Sotong kunyit
Tumis bayam

Lauk ni bukan hari ni punya, ini bulan lepas punya. Mood rajin tahap gaban datang maka balik pejabat terus singgah beli ikan dengan sotong dengan bayam. Sotong ni masak kunyit belasah style dan bayam tu pulak tumis air. Sekali sekala aje rajinnya, tu yang kena masuk dalam blog tu. Hahaha...

Thursday, 2 May 2013

Bagus Ke Produk Clinique Ni?


Bulan lepas, peruntukan gaji adalah untuk Clinique. Asalnya nak gantikan mekap yang hilang tu je tapi bila tengok pencuci muka dengan toner dah nyawa-nyawa ikan, maka sekali harung aku kaut. Tapi tak dapat juga beli semua kemahuan memandangkan aku nak juga berjimba beli benda lain. Hehehe... Ada permintaan dari seorang sahabat untuk buat testimoni tentang produk ni. Sebenarnya dah pernah tulis satu dulu tentang penjagaan muka. Sebab aku ni jenis yang tak berapa nak rajin dan teliti, maka perubahan ketara tu tak berapa perasan. Cuma baru-baru ni bila terjumpa balik gambar ukuran pasport yang diambil sebelum guna Clinique, memang ketara perbezaan.
Cuma toner dan pencuci muka je, moisturiser banyak lagi

Produk yang aku guna secara konsisten hanyalah 3-step skincare. Pengakuan ikhlas, tak ikut saranan dia pun sebab kadang-kadang waktu malam dah malas nak tepek bendasing kat muka. Itu yang boleh tahan sampai setahun tu. Hehehe... Kalau nak bagi muka licin sehalus telur rebus, jangan harapkan 3-step skincare ni je. Kena guna sekali serum spot corecctor yang diorang dok promosi sekarang. Aku tak rajin maka tak ambik tahu pun kena guna serum bagai. Waktu pergi beli mekap haritu, pembantu jualan tu yang cakap. Beliau cadangkan aku guna juga serum tu tapi harga sebotol kecil tu saja adalah 245 hengget maka hanya mampu kirim salam sayang sebab serum tak termasuk dalam bajet.
Kata mereka...

Kalau nak pakai 3-step skincare ni, kena buat skin test dulu untuk tentukan kulit kita sesuai pakai yang mana. Sebabnya, ada empat jenis produk. Sekarang, boleh cuba ke website diorang untuk jawab soalan berkaitan kulit masing-masing. Nak lagi tepat, boleh terus ke kaunter berhampiran dan dapatkan bantuan di situ. Tentang bajet, pun boleh tengok di website. Website baru ni best sebab dia letak harga sekali untuk setiap produk. Jadi boleh siap-siap rancang bajet.

Chubby stick dan eye liner

Selain beli pencuci muka dan toner, aku beli juga chubby stick lip balm dan eye liner. Bagi aku, antara lipstick dan chubby stick, aku lebih selesa guna chubby stick sebab satu, ia melembabkan bibir dengan selesa ;tak terasa bibir berlapis ke hape dan bibir pun tak menggelupas. Kedua, ada lebih daripada 10 pilihan warna untuk dipilih. Daripada warna cerah sampailah gelap. Harga sebatang adalah RM 55. Lipstick dia pun okey juga sebab tak buat kulit bibir menggelupas macam lipstick jenama A yang aku pakai sebelum ni.

Eye liner pulak, tak boleh nak komen lagi sebab belum cuba. Tapi sebelum ni pernah pakai maskara dia, memang ok sangat-sangat sebab maskara dia tak macam sesetengah jenama lain yang boleh buat mata gatal. Walaupun masakara yang aku guna tu dapat percuma je sebab tukarkan maskara yang jenama A yang aku beli tapi tak pakai sebab mata jadi gatal waktu dia buat kempen tukar maskara, tapi puas hati. Dan, maskara tu pun hilang sekali dengan mekap yang lain. Sob..sob..sob..

Dek kerana syok ambik itu dan ini, bila scan harga jumlahnya hampir 300 hengget dan terpaksa kurangkan sesi berjimba bersama teman jenayah bulan lepas. Apa pun, berbaloi sebab dapat sampel percuma dalam bekas yang tak kedekut. Kalau tak, dia bagi peket-peket kecik macam paket gula kat KFC tu je. Hehehe... Cuma terlupa nak tanya ada tak pouch makeup sebab sekarang mekap bersepah tanpa bekas. Nak patah balik bertanya, segan maka lain kalilah.

Krim percuma yang tak tahu tahun bila baru habis..kihkihkih

Nota: Entri cengkelat sebab dah lama taip tapi baru nak tepek dalam ni..heee..

Wednesday, 1 May 2013

Faith

Akhirnya, habis juga aku tengok drama ni walaupun sampai tidur lambat. Bila tengah 'demam', seboleh mungkin nak habiskan cepat walaupun terpaksa tidur lambat. Dahlah banyak episod, jenuh aku tunggu. Walaupun aku tak berapa minat Lee Min Ho, tapi tengok dia dalam cerita ni macam hensemnyalah mamat ni. Hahaha... Cerita ni pasal pengembaraan masa. Lee Min Ho jadi jeneral dalam ni dan kena lindungi maharaja baru balik ke Goryeo dengan permaisuri dia. Dalam perjalanan, diorang kena serang dan permaisuri dia cedera kena libas dengan pedang. Jadi Maharaja arahkan LMH ni pergi cari doktor melalui Gerbang Syurga. Waktu dia sampai kat Seoul tu, dia nampak heroin iaitu Kim Hee Sun tengah buat pembentangan pasal kajian dia. Terus dia ingat KHS ni la doktor dari syurga yang disebut-sebut tu.

Mula-mula KHS buat tak layan je bila LMH ni mintak dia ikut ke Goryeo untuk selamatkan permaisuri sebab KHS ingat LMH main-main. Ye la, dengan pakaian dia yang zaman batu tu siap bawak pedang lagi, orang semua ingat dia tengah buat penggambaran. Sampailah dia kelar salah seorang pegawai keselamatan kat situ untuk tunjukkan yang dia serius. Secara paksa rela dia ikut LMH ke Goryeo untuk rawat permaisuri. Lepas rawat permaisuri dan permaisuri pun sembuh, semua orang percaya dialah doktor dari syurga yang disebut-sebut dalam lagenda. Sebab dia rasa tugas dia dah selesai, dia nak larikan diri dan balik semula ke Seoul tapi kena culik pulak. Sejak dari tulah macam-macam benda berlaku kat dia sebab gelaran doktor dari syurga tu.

Dari kiri adalah Dr. Jang ataupun doktor diraja. Yang jadi doktor diraja tu berlakon dekat Secret Garden sebagai pengarah action school. Sebelah tu Maharaja dan Permaisuri. Lepas tu Lee Min Ho ataupun Jeneral Choi Young. Nampak hensem sebab pakaian zaman batu kot? Ekekeke... Heroin yang tak suka pakai pakaian perempuan sebab baju zaman dulu kan meleret dan banyak lapis. Sebelah Kim Hee Sun tu ketua penjahat yang tamak nak kuasa dan pangkat. Dia ada kuasa luar biasa jugak, boleh bekukan orang. Sebelah dia tu orang suruhan dia, perempuan tu ada kuasa api dan lelaki rambut putih tu ada kebolehan mendengar macam Superman dan boleh bunuh orang dengan hanya menggunakan seruling.

Bagi aku, cerita ni boleh tahan dan bolehlah untuk ditonton sebab walaupun jalan cerita macam lembap tapi kerana penulis skrip letak babak mencemaskan diakhir setiap episod, maka sifat ingin tahu itu yang membuatkan tak sabar nak tengok pengakhiran. Yang tak bestnya, orang jahat dalam cerita ni adalah jahat tahap gaban sampai rasa nak tumbuk je sorang sorang. Lepas tu tak mati-mati pulak tu sebab orang-orang jahat tu semua ada kuasa luar biasa macam LMH. Tapi jangan risau, akhirnya yang jahat-jahat tu mati jugak. Ada juga bahagian yang menyedihkan dan tak puas hati macam apasal orang jahat ni kuat sangat sampai Woodalchi yang power tu selamba je dorang bunuh? Woodalchi ni kalau zaman sekarang macam komando kot, askar tugas khas gitulah. Lepas tu doktor diraja tu pun kena bunuh jugak. Pengakhiran dia macam tak berapa nak menusuk ke kalbu sebab macam, ek eleh, macam tu je? Hehehe... Macam tergantung je review aku ni ek? Kalau nak tahu apa terjadi sebenarnya, silalah tonton sendiri. Aku ni spesis malas nak download sendiri atau tengok online sebab tak sabar jadi beli je dekat pembekal tetap.