Engagement Fund ;)

Sunday, 9 March 2014

Bila Terganggu

Dalam masa seminggu, ada dua musibah berlaku. Bermula dengan kemalangan tragis yang berlaku di simpang masuk institut pada Selasa lalu. Walaupun semasa ia berlaku aku tidak berada di situ, namun jasad kaku salah seorang mangsa kemalangan yang tertiarap di bahu jalan mengganggu emosi juga sedikit sebanyak. Sampai ke petang terasa lemah dan lesu mengingatkan kejadian yang berlaku sehinggakan aku sedikit buntu dalam kelas pertama pagi itu. Petangnya, pertama kali suhu kemarahan naik bila mana pelajar-pelajar semester satu membuat aku seperti orang halimunan dalam kelas. Mujurlah akal masih mengatasi emosi yang sarat.

Kemudian pagi Sabtu, sebaik saja melihat suapan berita di FB, hati berdetak kencang dengan perkhabaran yang diberitakan. Allahuakbar! Pesawat milik MAS lenyap ketika dalam perjalanan ke China. Sehingga saat ini, semua yang aku buat serba tak kena dan sentiasa mencari perkembangan terkini insiden tersebut. Sepertinya, aku juga merupakan keluarga mangsa yang terlibat. Pelbagai spekulasi timbul, tak kurang juga gurauan kasar dari mereka yang tidak menggunakan akal untuk berfikir. Kuasa Allah, tiada manusia yang mampu menyangkal. Kita bukan sebahagian daripada anggota yang terlibat untuk operasi mencari dan menyelamat dan kita juga bukan pakar cuaca, jurutera kapal terbang, mahupun ahli geologi untuk mencerna data atau membuat kesimpulan. Ujian Allah datang bukan pada mereka yang melakukan maksiat dan dosa saja malah semua yang bernaung di tempat yang sama. Teringat kata-kata seorang naqib ketika di universiti dulu; "Walaupun maksiat berleluasa di Malaysia ni, Allah masih sayang pada kita dan tiada bencana dahsyat berlaku kerana masih ada alim ulama' yang bangun di tengah malam dan menangis memohon keampunan padaNya." 

Selagi bukti belum ditemui, teruskan berdoa dan jangan berhenti berharap kerana Allah itu maha pemurah lagi maha penyayang. DIA berkuasa menentukan segalanya. Mungkin DIA mahu menyedarkan kita yang alpa melalui peristiwa ini. Sama-sama muhasabah diri dan berhenti menunding jari. Ambil peluang untuk mendekatkan diri padaNya dengan memperbanyakkan amalan.

Nota Galaksi: Al-fatihah buat salah seorang mangsa kemalangan yang telah kembali ke rahmatullah hari ini selepas berada dalam keadaan koma selama lima hari. Semoga rohnya tenang di sana. Al-fatihah...

No comments: