Engagement Fund ;)

Saturday, 29 March 2014

Kenapa Korea?

Sedar tak sedar, tempoh setahun hampir tamat sejak salah seorang crime companion dan aku membangkitkan idea untuk melancong ke Korea. Sebelum perancangan yang kira-kiranya hampir jadi nyata ni, ada juga beberapa kali berkira-kira mahu ke sana tapi tiada teman yang sesuai dan tidak sepenuh hati. Dua hari lepas, salah seorang kawan pejabat tanya, "Kenapa Korea?" Terkedu kejap nak bagi jawapan. Sejujurnya, pengaruh untuk ke sana datang dari drama-drama Korea yang aku tonton tu. Bila tengok tempat-tempat penggambaran dijalankan terdetik, 'Subhanallah, cantiknya ciptaan Allah'. Negara empat musim, sudah tentu pemandangannya lain dari Malaysia. Bukanlah tak hargai tempat sendiri, senarai wajib pergi tempat di Malaysia panjang tapi itulah, tak ada teman. Keluarga aku pun bukan jenis yang suka berjalan.
Cheonggae Stream yang dipaparkan di laman FB agen kami

Hari ni, tinggal 20 hari lagi sebelum kami berangkat ke sana. Setahun merancang dengan pasang surut keinginan untuk ke sana, akhirnya pada awal Jun kami menempah tarikh dengan agen. Waktu tu tiket kapal terbang belum pun dibeli sebab nak tunggu harga murah. Sebaik saja bayaran pendahuluan pakej dibuat, aku jadi pengunjung tetap laman web Malaysia Airlines. Orang kata, naik jelah Air Asia, lebih murah. Tapi aku malas nak memikirkan prosedur menambah itu dan ini untuk dapatkan satu tiket maka gunakan khidmat Malaysia Airlines saja. Bayar harga itu, sudah lengkap pakejnya termasuk insurans, makan, dan sebagainya. Harapnya perkhidmatan yang diberikan nanti seperti yang dijanjikanlah ye sementelah aku pun kali pertama naik kapal terbang ni. Dulu-dulu pernah cakap dengan arwah mak; "Tak nak bawak kite naik kapal terbang ke?" Jawapan mak macam selalu; "Dah kerja, ada duit sendiri nanti naiklah kapal terbang." Sekarang dah faham macam mana susahnya nak kumpul duit untuk dapatkan sesuatu.

Alhamdulillah, sebaik saja memutuskan untuk ke Korea, dapat satu lagi tawaran mengajar tuisyen. Hampir kesemua duit bayaran yang diperoleh dari situ aku asingkan dalam satu akaun khas untuk tujuan ini. Maka awal bulan September tak silap, kami beli tiket kapal terbang dengan harga yang jauh lebih murah sewaktu Matta Fair. Alhamdulillah, rezeki keluar masuk laman web Malaysia Airlines hampir setiap hari. Bermula awal tahun ini, aku dah sikit-sikit membeli keperluan untuk ke sana. Banyak juga duit habis untuk tujuan ini tapi tak lengkap-lengkap lagi barangnya sampai termimpi-mimpilah dibuatnya. Hehehe... Persiapan untuk ke sana nanti inshaAllah aku kongsikan lagi dengan lebih terperinci di entri lain untuk panduan yang pertama kali ke sana. Cumanya sejak kejadian MH370 tempoh hari, hati ini tak berhenti cemas dan pelbagai bayangan muncul di minda. Semoga perjalanan kami dipermudahkan dan semoga perjalanan kami diberkati.

Nota Kaki: Dah seronok memikirkan cenderahati menarik yang akan dibeli untuk orang-orang kesayangan. Tak kurang juga yang mengirim brooch dan bantal. InshaAllah, semuanya sudah pun dimasukkan dalam senarai wajib beli.

No comments: