Engagement Fund ;)

Thursday, 27 March 2014

Nasi Labu

Lama betul rasanya tak tampal resepi dalam ni. Nak kata dah aktif dengan 'dapur' baru pun, tak juga sebab yang sana pun tak ada letak resepi apa-apa. Gambar ada duduk dalam Note tapi resepi dah lupa, cemana nak kongsi? Maklum masak ikut sesuka hati main campak je, terus lupa dah. Hehehe... Tapi yang kali ni masak berpandukan resepi cuma ubahsuai ikut keadaan saja. Dua minggu lepas, ada beli labu. Waktu beli tu macam best je kalau buat masak lemak. Sekalinya, angin tak rajin masak datang. Maka tersimpanlah labu tu dalam crisper untuk dua minggu. By the time nak guna, separuh daripada suku labu yang aku beli tu dah benyek. Jadi belasah je guna separuh daripada labu yang ada. Ala, beli yang dia dah siap belah tu je pun, takde la sampai sebiji. Kalau beli sebiji pun, sahih 3/4 lagi tu jadi rezeki tanah. Sebelum masak tu dah yakin tak semua labu boleh digunakan jadi kalau masak lemak dia jadi sikit. Kebetulan(lah sangat) ada beli beras basmathi awal tahun haritu dengan niat nak masak nasi daging. Tapi sebab bila pergi pasar je pakcik jual daging tu dah ada pulak, maka beras tu pun tak terusik. Daripada jadi rezeki kutu beras, mari cari resepi nasi yang ada labu. 

Aku rujuk resepi ni dari Saveur sebab tak jumpa pula kelibat nasi labu dari blogger Malaysia. Biasanya diorang masak nasi ni lepas menuai hasil tanaman dekat kawasan-kawasan Caribbean sana. Belah sana guna Calabaza ataupun labu gabak yang boleh ditukar jadi golden carriage macam dalam dongeng Cinderella. Tapi kat sini tak ada, maka gunalah labu biasa tu je. Jom tengok resepi yang aku dah ubahsuai ikut jumlah perut yang ada dan bahan yang ada. 

Nasi Labu 

Bahan-bahan
1 1/2 cawan beras basmati
1 1/2 sudu minyak sayur
3 ulas bawang putih (cincang)
1 biji bawang besar kuning (yang buat tomyam tu; kalau besar guna separuh je)
1/4 capsicum hijau (potong dadu)
2 cawan labu dipotong dadu (mak incik malas nak timbang, sukat agak-agak je pakai cawan..hehehe)
2 pokok daun ketumbar (potong sikit akarnya)
Garam secukup rasa
1/2 kiub ayam (mak incik tambah)
2 cawan air (guna cawan sama yang sukat beras)

Cara memasak
1. Basuh beras sampai air dia tak berapa nak keruh dan toskan.
2. Panaskan minyak dan tumis bawang putih hingga naik bau dan berwarna keemasan bersama dengan kiub ayam. Masukkan bawang dan tumis hingga layu. Masukkan pulak capsicum dan kacau lagi sampai layu jugak. 
3. Masukkan beras dan kacau hingga sebati dengan bahan tumisan.
4. Kemudian, masukkan labu, daun ketumbar dan air. Air ni boleh agak-agak jugak kot; kalau rasa macam kurang boleh tambah lagi, kalau rasa macam terlebih, boleh kurangkan. Kacau sekejap dan biarkan atas api sampai air kering.
5. Bila air dah kering, gaul sekejap dan bolehlah pindahkan periuk dari dapur ke tempat masak nasi dan biarkan dia masak sendiri.

Served with jerk chicken and coleslaw. Eh, tak Jawalah pulak makan nasi dengan coleslaw! Celah mana pulak nak cari jerk herbs tu kan? Maka aku hidangkan nasi ni dengan kari ayam dan acar rampai timun yang tak cukup bahan. Boleh kata nasi labu ni seangkatan dengan dengan nasi beriani, nasi minyak dan lain-lain nasi berperisa tu kot ek? Ikut kegemaran masing-masing la nak makan dengan lauk apa. Oh, pasal daun ketumbar tu, resepi asal kata 'sprig' tapi aku tak berapa nak pasti kuantiti sprig tu banyak mana. Maka, aku campakkan dua pokok terus. Pastikan basuh bersih ye sebab kita nak letak sekali dengan akar dia. Tapi bila dah hampir nak masak tu, bau daun ketumbar kuat sangat pulak. Cepat-cepat aku korek dan keluarkan dari nasi. Kang orang lain tak nak makan pulak sebab ada bau pelik. Jenuh aku nak habiskan seperiuk nasi pulak kang. Hahaha... Kalau dah bosan masak nasi berperisa lain, bolehlah cuba resepi ni ye.

2 comments:

Tetamu Istimewa said...

Assalam, tak pernah makan pun nasi ni. Mesti sedapkan.

P/S: Buku saya Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa terbitan ITBM telah pun terbit. Jika berminat boleh pesan terus daripada saya. Maklumat lanjut boleh baca di blog saya. Terima kasih.

farae al-farafisya said...

Tetamu Istimewa, terima kasih kerana singgah dan sudi tinggal komen. Boleh tahanlah rasanya; sesekali tukar selera.