Engagement Fund ;)

Monday, 14 July 2014

Kimchi Kobis

Sejak berkenalan dengan kimchi dan belajar cara nak buat melalui internet, ini kali keempat. Sebelum ni guna resepi super ringkas dan aku kukus dulu kobisnya. Kali ni guna resepi campur-campur dari tiga laman web dan ini percubaan kedua guna resepi campur-campur. Kiranya lepas balik dari Korea dah dua kali buat kimchi tapi yang ini guna serbuk cili(gochugaru) Korea. Tragis kan, dah sampai Korea tapi tak beli serbuk cili lepas tu akhirnya kirim kat orang untuk belikan. Ada juga mencari-cari waktu kat sana tapi tak nampak la pulak. Kisah mengirim gochugaru ni terjadi apabila seorang pembaca blog bertanya mengenai salah satu entri Korea yang aku tulis tempoh hari. Memandangkan bab-bab makan kami di sana diuruskan sepenuhnya oleh TG, maka terpaksalah aku roger TG untuk tanya benda yang ditanya tu. Lepas tu terkirim beli gochugaru ni. Segan benornya nak mintak tolong tu tapi it's now or never kan, maka gagah jugaklah aku buat permintaan.

Nasib baik beliau okey saja. Dah kirim tu, tak fikir pulak nak ambik tu karang macam mana. Waktu dia kata dah belikan tu, excited tahap Power Rangers dan terus mintak nombor akaun nak transfer bayaran. Eh, ko ingat ni online shopping kah? Hahaha... Terus ketuk kepala sendiri kejap. Bincang punya bincang, aku kata jumpa dekat airport jelah. Bukan jauh nau pun airport dari rumah. Maka, itulah kali pertama aku jejak kaki ke KLIA2. Nasib baik flight beliau delay maka touch down dalam 3.30 camtu kot. Gedebuk gedebak mesti 4 lebih jugak baru keluar. Itu pun pening macam mana nak balik awal sebab tak baik buat orang menunggu, dah la mintak tolong kat dia. Dengan alasan yang direka selepas berunding dengan teman jenayah, aku keluar awal sikit lepas dapat kebenaran bos. Heeee... Isi borang tau, bukan balik cenggitu je.

Sampai airport, flight dah touch down tapi WhatsApp tak on lagi. Lama jugak tunggu sampai aku dah naik cuak, baru beliau keluar. Terima kasih banyak-banyak TG kami yang tolong belikan serbuk cili ni. Lepas rindu saya dekat Korea. Hahaha...

10 000 won untuk sepaket kecik ni...tanjat ai!

Kali ni buat banyak sebab ada dua ke tiga orang dekat ofis ni mengidam nak makan kimchi jugak. Okeylah, layankan aje. Nah resepi hasil rujukan dari tiga sumber berbeza. Sumber mana, nanti aku update kemudian ye. Kena korek arkib dulu.

Baechu Kimchi


Hasilnya - warna merah yang lebih menawan


1.2kg - 1.5kg kobis cina (nappa cabbage)
1 cawan garam

Bahan untuk dihiris
1 biji lobak merah (dihiris seperti batang mancis)
1 biji lobak putih (dihiris seperti batang mancis juga)
2 pokok daun bawang (batangnya dihiris halus manakala daunnya dipotong sepanjang kira-kira 1 inci)

A
3/4 biji bawang Holland
3/4 biji Korean pear (kulit warna gelap)
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/4 cawan air masak

B
1 sudu besar gula
1 sudu besar minyak bijan
1 cawan serbuk cili - gochugaru

C
4 sudu besar tepung pulut
1/2 cawan air
1/4 cawan sos ikan

Cara membuat;

Kobis
1. Bersihkan kobis dan potong besar-besar sebab lepas diperap dengan garam dia akan kecut.
2. Dalam satu besen besar, buat satu lapisan nipis kobis dan ditabur garam di seluruh permukaannya. Buat sampai habis dan tutup bekas dan tindih dengan benda berat. Biarkan selama 1 jam.
3. Selepas satu jam, gaulkan kesemua kobis dan bilas dengan air bersih sebanyak 3 kali. Ambik secebis dan rasa; kalau masin sangat boleh bilas lagi sekali.
4. Kemudian, perahkan kobis yang telah dibilas dan ketepikan.

Sebatian cili
1. Kisar bahan A hingga halus.
2. Bancuh bahan C hingga larut dan masak atas api kecil hingga mendidih. Perlu sentiasa kacau supaya tidak hangus dan berketul. Kalau terlalu pekat, boleh tambahkan air. Dah mendidih, boleh matikan api.
3. Seterusnya, tuangkan bahan kisar dalam satu bekas besar. Masukkan serbuk cili dan gaul hingga sebati. Masukkan bancuhan tepung dan gaul lagi. Kemudian masukkan gula dan minyak bijan dan kacau sampai semuanya mesra.
4. Masukkan bahan-bahan yang dihiris tadi dan gaul sampai semuanya sekata menggunakan tangan. Sila pakai sarung tangan sebelum menggaul.
5. Akhir sekali, masukkan kobis dan gaul lagi sampai semua bahan mesra.
6. Masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti. Sila makan dalam masa dua minggu. Kalau nak cepat masam, biarkan kobis pada suhu bilik semalaman sebelum disimpan dalam peti sejuk. Sekian, terima kasih.

No comments: