Engagement Fund ;)

Thursday, 11 September 2014

Jangan Nak Derhaka Sangat

Mood nak menulis dah jadi suam-suam kuku. Bukan takde benda nak cerita tapi takde idea nak taip apa. Ada juga beberapa kali buka blog dan hadap tajuk-tajuk yang sudah didrafkan tapi taip satu ayat, padam balik. Taip lagi dua perkataan, padam balik. Akhirnya, terperuklah entri-entri tu dalam draf. Hari ni nak cerita kejadian yang berlaku waktu bulan puasa tempoh hari sebab aku kira kejadian ini membawa impak besar dalam dunia seorang pemandu lebih-lebih lagi wanita. Eceh..

Sepanjang lapan tahun bergelar pemandu bertauliah, dah macam-macam perkara aku lalui. Windscreen pecah, tayar bocor, hos minyak bocor, brek sangkut, brek tak makan sampai langgar kereta depan dan yang terbaru adalah minyak habis di tengah jalan. Kejadian paling baru ni yang paling 'cis!' sekali sebab lepas kejadian, dah beberapa kali mimpi benda sama sampai terasa dihantuilah.

Sebagai pemandu yang dah lama memandu Mrs. Kanc, memang dah boleh agak bila tangki minyak betul-betul kosong dan WAJIB kena isi walaupun selalu kena bebel dengan Abah sebab biarkan minyak dalam tangki nyawa-nyawa ikan. Biasanya kalau tangki penuh boleh tahan selama dua minggu; pergi dan balik kerja, merayap pusing-pusing satu Banting dan ulang-alik mengajar tuisyen. Kadang sampai dua minggu lebih sikit pun tahan lagi. Kalau nak tengok hanya berdasarkan meter, bahaya juga sebab kereta kancil lama ni dia tak ada penunjuk amaran macam kereta lain. Maksudnya kalau dah tahap kritikal, simbol pam minyak tu akan menyala.

Pada hari kejadian (15 Julai 2014), aku baru balik dari tuisyen yang dibatalkan kelasnya sebab sorang pun tak muncul. Kebetulan balik awal, menyinggahlah bazar ramadhan yang jauh dari rumah untuk beli juadah berbuka. Lepas dari tu, teringin nak pusing jalan jauh memandangkan terasa lama benar tak pusing-pusing dekat kawasan tu. Tengok meter minyak, boleh lagi nak pusing malah sempat untuk pergi pejabat esok. Sekali tu, lagi beberapa kilometer nak sampai rumah, enjin kereta macam bergegar. Bila tekan minyak, dia tak makan. Faham tak? Tekan minyak patut jadi lagi laju kan tapi yang ni tekan minyak tak jadi apape malah bertambah hebat gegaran di enjin. Kalau tak faham, korang boleh cuba sendiri tapi risikonya tanggung sendiri ye. ;)

Dah cuak dah ni; cuak sambil fikir nak biar je dia jalan sendiri atau berhenti tepi. Nasib baik aku buat keputusan bijak dengan berhenti di bahu jalan atau Mrs. Kanc akan tersadai di tengah jalan. Waktu tu bongok lagi ingatkan sebab bateri ke apa. Telefon rumah, Abang Paiz yang angkat. Teruslah mengadu domba kat dia dan paksa dia datang tolong. Hahaha... Siap pesan suruh bawak petrol kot-kot memang minyak yang habis.

Aku duduk je dalam kereta sampai berkepam sebab panas. Bila bantuan sampai, baru keluar dari kereta. Tengok punya tengok, buat mana yang patut, tak boleh nak hidup jugak enjin tu. Akhirnya Abang Paiz suruh tinggal je kereta kat tepi tu sebab dah nak maghrib. Kelam kabut bawak barang-barang pindah masuk kereta dia dan kunci kereta. Risau juga nak tinggal sebab kawasan tu agak sunyi. Malamnya, Abang Paiz pergi tengok lagi dengan kawan dia dimana akhirnya Mrs. Kanc telah ditunda oleh Avanza kawan dia sampai ke rumah. Tersadai dua hari dekat rumah sebelum Abah tengokkan apa masalahnya walaupun Abah dah cakap minyak yang habis tapi aku bangkang sebab meter minyak masih menunjukkan dia ada.

Memang betul pun minyak habis dan meter minyak tu jadi weng sampai dia tak berfungsi dengan baik. Tadah jelah telinga Abah bebel pasal minyak kereta. Pengajarannya, lain kali jangan nak derhaka sangat dengan pesan Abah; jangan tunggu sampai meter nak cecah E baru kelam kabut pergi isi. Tapi kan, tapi kan, aku syak kejadian ni salah syarikat minyak cap bintang sebab selama aku pakai minyak cap kerang, tak pernah pun jadi cenggini. Haritu konon-konon terpengaruh dengan iklan minyak cap bintang boleh bersihkan enjin la bagai, pergi la isi kat dia. Sekali, memang bersih terus tangki minyak Mrs. Kanc dibuatnya. Hahaha...

Takpe, pengalaman. Selagi tak kena, kita tak nak terima nasihat orang kan? Dah kena sekali, asal meter minyak dah lepas separuh je terus cuak tahap Power Rangers. Hahaha... Sekarang ni tak pernah isi minyak dapat RM50 cukup-cukup, mesti paling banyak pun RM40 untuk satu tangki penuh sebab dalam tangki masih ada baki kekdahnya.

No comments: