Engagement Fund ;)

Wednesday, 30 April 2014

Apa Pengalaman Yang Paling Menarik?

Semalam, sepanjang hari cuak sebab bos besar tiba-tiba meronda nak cerap sesiapa saja yang 'bernasib baik'. Memang cun la kan, aku ada dua kelas semalam. Dok berdoa beliau tak jumpa kelas mak incik. Hehehe... But sooner or later, my turn will come. Gituuu... Pagi ni lega sikit sebab beliau ada mesyuarat maka kebarangkalian untuk meronda adalah 0%. Kehkehkeh... Dah lama tak kena cerap, cuak tu mungkin tahap Power Rangers la kan. Apa pun, sentiasalah bersedia untuk tidak bersedia.

Cerita cuti-cuti Korea musim bunga akan disambung kemudian sebab mak incik tak sempat nak jeling laptop pun bila balik rumah dua hari ni. Maklum la sampai rumah pun dah malam. Kali ni nak kongsi cerita pengalaman yang tak boleh dilupakan sepanjang berada di Korea, itupun sebab Kak Dayan tanya waktu bagi ole-ole kat dia Isnin lepas. Ada beberapa pengalaman yang kalau diingat boleh buat aku gelak sorang-sorang, rasa tak percaya dan sengih sendiri. Macam lagi senang bila dinomborkan ek? Okey, mari letak nombor.

1. Kena kejar anjing
Ini paling buat aku gelak gila-gila bila teringat balik. Gelak okey, bukan senyum kambing. Kejadian ni berlaku di Nami Island. Waktu tu tengah sibuk nak ambik gambar dekat tengah padang. Aku tengah dok sibuk la cari sudut yang sesuai bila tiba-tiba Mada; "Sazoh...sazoh..." sambil pusingkan aku tengok belah kiri. Okey, ada anjing tengah berlari riang ke arah kami. Aku pulak otak macam blurr dan nak buat selamba je sebab tuan dia dok panggil-panggil, mesti dia patah balik pergi kat tuan dia nanti. Tapi bila tengok dia makin dekat, nak tak nak lari la jugak. Macam orang tak betul dah aku dengan Mada lari dengan cuaknya. Hahahaha.... Yang Za pulak dah sedap duduk nak diambil gambarnya, gelak je la tengok kitorang lari tu. Lama jugak insiden melarikan diri tu. Memang la beliau comel tapi sebab beliau anjing, maka terpaksa menjauhkan diri jugak. Hai la Hana.... Oh ye, nama anjing tu Hana sebab kitorang dengar tuan dia panggil; "Hana, illuwa...illuwa..." Kenangan di Nami Island.

2. Solat di Bilik Persalinan
Ini kejadian pada hari akhir, untuk solat zuhur. Tempat lawatan terakhir adalah Myeondong dimana di sinilah syurga membeli belah untuk barang berjenama dan kosmetik. Tiada bilik solat khas di kawasan ini kecuali menggunakan bilik persalinan di butik-butik pakaian untuk solat. Lepas berwudhuk di tandas awam, terus kami memilih butik mana yang kami nak masuk. Kitorang berbincang juga sesama sendiri mengenai kesesuaian butik tu. Kalau boleh, biarlah pilih tempat yang nampak bersesuaian dengan penampilan; maksudnya mampulah kalau nak membeli pun sebab harga bagi sesetengah butik boleh tahan tak boleh blah. Guard kat luar pun siap berkot bagai, takutlah nak masuk. Akhirnya nampak satu butik bernama SPAO dan kitorang cakap; "Ha, yang ni bolehlah kot." Lagipun dalam tu nampak ada ramai juga orang. Masuk-masuk je, kaut baju kononnya nak cubalah kan. Maksimum 3 helai jadi sebelum masuk tempat persalinan, ada staf dia tengok dan dia bawa kita ke bilik persalinan. Cantik aje dia bagi bilik yang paling hujung, macam tau-tau je aku nak solat. Tapi tak khusyuk juga nak solat sebab tirai bilik persalinan tu tak sampai bawah; boleh nampak orang kat luar punya kaki dan kalau orang menonggeng tengok boleh nampak la kita buat apa dalam tu. Tapi yang bagusnya kat situ, kena tanggalkan kasut sebelum masuk dalam cubicle, jadi tak was-was dengan kesucian tempat tu. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan.

3. Jatuh Dalam Bas
Ha, ini kejadian sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah penginapan. Sebelum ke Korea, eloklah korang buat latihan imbangan badan dan menguatkan kaki sebab inersia dalam bas dia memang tak boleh blah! Padahal kat Malaysia tak pernah naik bas awam pun kan. Hahaha.... Hari hari sebelumnya tenang je aku kawal kaki dan imbangkan badan bila kena berdiri dalam bas tapi sebelum naik bas terakhir tu, dah terdetik dalam hati; 'Ada yang jatuh dalam bas kejap lagi ni.' Malas sebenarnya nak terdetik sesuatu sebab setakat ni hampir 90% yang terdetik dalam hati tu jadi nyata. Memang selamatlah aku jatuh gedebuk waktu nak duduk kat bahagian belakang bas sebab tiba-tiba pakcik bas menekan brek secara mengejut. Choi sangat! Sakit lutut mak incik. Jatuh sebelah ahjussi berkot pulak tu, jeling je ahjussi tu kat aku. Malu ai tau. Hahaha... Balik shopping kekdahnya, tangan penuh barang kiri kanan. Tapi barang semua dah selamat letak, orang yang bawak barang tu pulak yang tak selamat.

Rasanya tiga inilah pengalaman paling menarik mak incik sepanjang berada di Korea. Lain-lain macam tak ada, tapi kalau teringat karang akan diselit dalam entri seterusnya. Sekian untuk catatan kali ini. 
Di tengah padang rumput di Pulau Nami. Kelihatan Hana sedang berlari riang di belakang Tuan Tanah. Hahaha....

Dalam SPAO sementara menanti Mada dan Za membayar hasil rembatan

Hasil tangkapan di dua tempat shopping, sementara menanti bas tiba.

Sunday, 27 April 2014

KKMB 2014 - Episod 3: Tak Reti Penat

Esok hari pertama bekerja selepas cuti panjang. Macam biasa, hari Isnin dan Selasa memang sibuk tahap gaban jadi sementara ada masa nak edit gambar, tulislah satu lagi episod Kembara Korea Musim Bunga ni. Kebetulan baru dapat gambar dari Za petang tadi, nangis nak pilih sebab ada 640 keping. Cerita kali ni masih berkisar tentang perjalanan kami di Seoul tapi tak fokus pada jadual lawatan.

Rumah tumpangan kami walaupun sederhana dan tak kalis bunyi (bunyi shower orang sebelah pun boleh dengar jelas), tapi pemiliknya sangat ramah dan ada kedai minuman kecil di sebelah pintu masuk utama. Maka, hampir setiap kali balik dari berjalan, kami akan singgah beli kopi atau blended juice. Lagi seronok membeli bila dapat separuh harga sebab kami menginap di situ. Kalau awal, minum separuh dekat bangku tepi kedai sambil tengok kereta lalu lalang. Sempat minum separuh je sebab diorang dah sejuk, tak tahan disapa angin musim bunga. Sambung minum dalam bilik yang selebihnya. Kalau balik dah malam, beli juga tapi terus naik minum depan tv. Waktu ni la bawa keluar makanan yang tak luak-luak tu. Tu pun tak habis sebab kenyang. Hahaha...

Hari pertama di Seoul

Hari ketiga di Seoul

Kedai kopi kecil

Orang dah penat jalan tu, balik rumah tidur awal simpan tenaga untuk esoknya. Tapi kitorang tak, siap tunggu depan TV tengok drama Korea lagi. Tak ada sari kata maka buat-buat fahamlah apa yang dia cakap. Mada adalah terjemah sikit-sikit. Setakat dialog mudah dan pendek-pendek tu, fahamlah juga. Pukul 11 jugalah baru naik bilik. Dah baring, tak boleh nak tidur jugak. Tempat asing kot. Waktu di Seoul adalah satu jam awal dari Malaysia dan Subuh masuk pada jam 4.15 pagi macam tu. Pukul 6 pagi dah terang bederang. Waktu solat lain lebih kurang Malaysia je. Jadinya, lepas solat subuh sambung tidur balik sebab kami keluar berjalan pada jam 10.00 pagi setiap hari.

Sebelum drama, ada berita; layankan aje berita nahas feri Pulau Jeju walaupun tak faham

Lagi satu aktiviti tetap sepanjang berada di sana adalah membeli susu pisang setiap hari. Bila tengok entri blogger yang melancong ke sana mengenai susu pisang, terus tertanya-tanya; 'Sedap sangat ke susu pisang ni?' Ternyata sedap wei! Alah, kalau tekak DBKL telan apa pun mesti sedap punya. Hiks... Seoul adalah antara bandar terselamat di dunia sebab tu kitorang tak kisah nak jalan malam-malam tanpa pengawasan orang lelaki untuk ke convenient store semata-mata nak beli susu pisang ni. Tapi sebelum keluar tu kami maklum pada Sajangnim sampaikan bila nak keluar malam je dia mesti cakap; "Ha, nak pergi beli susu pisang la tu." Macam tu la lebih kurang dialognya, tak adalah dia cakap melayu. Hehehe... Tapi Sajangnim ni kira bagus la sebab dia boleh cakap Inggeris. Jadi kalau ke Seoul dan nak cari tempat menginap, boleh pertimbangkan Huga Haus. Mari tengok bilik dalam Huga Haus ni...

 Ini betul-betul depan pintu tandas

 Ini hujung belah sana, ada bath tub lagi!

Pandangan separuh bilik; dekat hujung katil tu ada peti sejuk kecil

Dalam banyak-banyak pelanggan Muslim Tour in Korea, kami yang pertama menginap di sini. Bilik okey, bilik air pun besar, dalam bilik ada peti sejuk, setiap katil ada alas pemanas, dan masih ada ruang untuk solat. TV pun ada tapi dekat ruang menonton, kiranya TV umum la. Nak masak pun ada dapur, nak basuh baju pun boleh guna mesin basuh. Yang tak okey adalah dia tak ada lif; semput nak angkat beg. Bawah Huga Haus ada satu restoran makanan laut yang menurut pemandu pelancong kami adalah yang terbaik setakat ini. Aku dengan Mada pun rasa restoran ni best sebab kimchi dia adalah yang paling sedap jika dibandingkan dengan restoran lain. Za kureng sikit makan kimchi jadi dia no comment. Hehehe...

Tersampuk La Pulak

Disebabkan aku lebih gemar dengar lagu-lagu yang muziknya tak berapa nak meriah maka dah tersampuk pulak satu lagu genre country yang dinyanyikan oleh Lionel Richie. Kalau dah tersampuk, ulang lagu tu sampai banyak kali pun tak apa. Nah layan Stuck On You by Lionel Richie.


Friday, 25 April 2014

5.55 Petang

Berhenti kejap cerita di Korea, aku nak cerita benda tertunggak. Ni gara-gara Note aku buat hal lah ni tak boleh nak pindah gambar ke dalam laptop. Kejap tadi cuba cucuk kabel, tiba-tiba dia mahu pulak. Terus pindah semua sekali dalam ni. Ini cerita nikah salah seorang teman jenayah. Peristiwa beliau mengakhiri zaman bujang berlaku pada 6 Disember 2013 bersamaan hari Jumaat. Asalnya nak ambik cuti untuk ke majlis beliau tapi akhirnya ambik separuh hari je. Maka dalam jam 2.00 lebih aku gerak dari pejabat. Waktu ni dah tak rajin nak tepek apa-apa sebab lepas solat, sapu bedak je sikit. Kalau calit mekap kang takut aku pulak lebih menyerlah dari dia. Kehkehkeh...

Disebabkan aku tak biasa memandu di kawasan Kajang tu, sesat jugalah sikit. Nak lagi best, bateri telefon nazak gara-gara guna Waze. Cis, berpusing-pusing ikut jalan jauh. Alhamdulillah sampai juga akhirnya. Kaum keluarga beliau dah ramai, maklum la cucu sulung kan. Sampai-sampai je aku tak tahu nak tuju mana sebab ramai orang lelaki kat luar. Aku kan pemalu lagi-lagi datang seorang. Hehehe... Nasib baik ada pakcik tu suruh masuk dalam rumah. Dah masuk, tak ada orang yang dikenali maka aku pun tanyalah nak tuju ke mana. Panjat tangga sebab beliau tengah bersiap. Tengah jalan, terserempak dengan seorang nenek. Dan-dan nenek tu bertanya; "Wong Jowo yo?" Eh? Begitu terserlahkah rupa Jawa saya? Hehehe...Tak pasti siapakah beliau itu tapi aku berhenti la kejap layan borak dan bersalaman.

Dah sampai atas, baru terserempak dengan mak Nadya. Terharu bila beliau menyapa; "Eh, Sazoh! Bila sampai? Nadiah tengah mekap dalam bilik tu. Pergilah masuk." Besar ke tak besar jenayah aku dengan Nadya ni sampai mak dia pun panggil aku guna nama glamour? Hahaha... Sampai dalam, beliau tengah pakai tudung. Siap mekap je, teruslah ambik gambar dari pelbagai sudut.

 Perantin gojes
Perantin gojes dan teman jenayah gojes jugak

Tak lama tu, pengantin lelaki pun sampai. Moh le ke bawah untuk majlis seterusnya. Tak dapat nak duduk sekali dengan pengantin sebab pelamin dia hujung belah sana, aku duduk kat dapur, hujung belah sinun. Sepanjang khutbah sampailah saat pengantin lelaki dinikahkan, aku tengok je jam sebab Nadya cakap dia tak nak tanggal jam tangan sebab nak tengok pukul berapa status dia bertukar. Maka, tepat jam 5.55 petang, Nurul Nadiah Binti Zulkifli sah bergelar isteri orang. Sebak... Dah azam dalam hati tak nak menangis tapi terkeluar jugak air mata bila salam dengan beliau. Isk..isk..isk... Lepas salam, kami terus keluar makan, bagi peluang ahli keluarga bergambar dulu. Lepas makan baru bergambar dengan beliau.

Mr. and Mrs.


 Nadya dan ibunda...
 Saya dan dia
Dia dan Dayas

Asalnya aku nak bermalam di sana tapi sebab kat rumah ada Nenek, tak jadi. Esoknya baru datang semula untuk majlis persandingan di dewan SAAS. Macam biasa, datang waktu orang nak kemas meja. Hehehe... Itu entri lain pulak nanti. Buat Puan Nadya, sila jangan rock sangat dengan Encik Suami. Depan aku takpe. Selamat menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan semoga rumahtangga sentiasa dirahmati.

KKMB 2014 - Episod 2: Kembara Melihat Bumi Tuhan Bermula

Kali ni cerita untuk berlepas pulak. Aku bertolak dari rumah sebelum maghrib sebab Abah suruh. Hahaha... Takut kelam kabut katanya. Nasib baik jugaklah sebab diorang semua dah sampai, dah check in pun waktu aku sampai tu. Sampai-sampai je terus ke kaunter check in dan Mada tolong check in untuk aku. Check in kat mesin je tapi tiket dia tak cantik sebab macam kertas biasa je. Kami semua check in guna cara berbeza jadi ada tiga jenis tiket. Belasah, janji aku boleh terbang.

Tiga jenis tiket berbeza

 Ahli rombongan; 6 orang semuanya

Dah check in, dah jumpa ahli rombongan lain, baru pergi SR belanja Abang Faiz sebab dia tolong hantar aku ke airport. Aku makan kek dengan minum cappucino kot sebab macam masih kenyang makan nasi kat rumah sebelumnya. Tengah makan tu, boleh Abang aku cakap; "Sedap rupanya SR ni. Dik, ko tak pernah beli kek dia bawa balik kan?" Amboih, ni yang rasa nak smack down orang ni. Waktu aku beli bawa balik dulu, tak ada sorang pun pandang kek dalam kotak tu. Teruslah kecik hati tak beli dah lepas tu. Hahaha...

Harus ambik gambar selagi boleh walaupun tengah jalan..

Siap je makan dalam pukul 10.30 kot kami terus masuk dalam sebab tak nak kelam kabut. Bermula saringan pertama iaitu imigresen. Dekat KLIA berlagak la kan terus pergi ke tempat yang automatik (tak ingat nama dia) dan tak payah beratur panjang macam pelancong asing. Cara dia senang je; letak pasport atas alat pengimbas, letak ibu jari dan pandang ke kamera. Bila dah selesai, pagar dia akan terbuka. Kalau nak guna kaunter pun boleh tapi yang tu dah biasa kan, maka kami semua guna cara luar biasa ni.

Sedang disahkan identitinya

Perjalanan pergi semuanya lancar dan tepat pada waktunya. Pukul 11.45 malam 18 April 2014, kapal terbang pun meninggalkan landasan. Jauh benar jalan sebelum jumpa landasan berlepas tu. Za belum apa-apa lagi dah tertidur, aku jugak yang cuak sorang-sorang tepi tu. Pertama kali kan... Cuaca pun elok je sepanjang penerbangan dan langit cerah dengan sinaran bulan dan taburan bintang. Subhanallah, sangat-sangat cantik pemandangan di luar tingkap. Dalam sejam berlepas, kami dapat hidangan ringan. Alamak, perut penuh lagi dengan cappucino dan kek SR ni. Tapi belasah jelah, dah bayar kan?

Air kosong, jus oren dan croissant inti tuna...tuna dia adalah sangat banyak dan tuna semata; muak juga makan tapi croissant dia sedap!

Lepas makan, cuba tidur tapi tak boleh. Dah pejam mata pun tak nak tidur jugak walaupun mengantuk dan penat. Yelah, malam sebelumnya tidur pun tak lama sebab nak masak untuk makan-makan kat pejabat, tengahari pun tak sempat nak lelap, balik kerja petang terus periksa barang dan bersiap nak ke airport. Akhirnya, layan jelah lagu-lagu yang ada. Nasib baik ada Lionel Richie dengan BSB, sampai penat diorang nyanyi asyik ulang lagu sama. Hahaha... Nak tengok filem, tak ada mood pulak. Sepanjang enam jam lebih perjalanan, dalam setengah jam je kot aku lelap lepas tu mata tak nak tutup dah.

Dalam pukul 4.30 pagi, sarapan pun dihidangkan. Perut tak habis proses lagi croissant tadi, makan lagi. Belasahlah labu... Ambik omelette je sebab tak daya nak sumbat nasi lemak. Main course dia ada omelette inti bayam, sosej, wedges dan sebiji tomato. Lepas tu ada bun dan mentega, buah-buahan tropika, dan yoghurt. Air pulak boleh pilih nak air panas atau jus. Kembung perut sumbat semua makanan ni. Biarpun kena makan nanas pagi-pagi buta, aku telan jugak sebab tak baik membazir. Tapi mendarat je, terus perut pun memulas. Hahaha...
Alhamdulillah, sedap semuanya...

Bila dah dekat nak sampai, hari pun dah terang dan langit di luar adalah sangat cantik. Kali ni memang sayang la nak lelap mata. Jadi cuci mata tengok awan dan sayap kapal terbang. Sekali sekala mata terhala ke skrin melihat peta. Tepat jam 6.45 pagi, kapal terbang mendarat dengan selamat; smooth landing orang putih cakap. Memang tak rasa terhentak langsung, ni yang nak kagum ni. Hehehe... Terima kasih Kapten kerana membawa kami dengan selamat.






Berakhir catatan perjalanan dari Malaysia ke Seoul. Sambung bahagian tiga pulak untuk hari pertama.

Kembara Korea Musim Bunga 2014 (KKMB 2014) - Episod 1: Persiapan Sebelum Pergi

Sementara masih cuti, jom kita tulis episod satu pengembaraan ni. Eceh, mengembaralah sangat kan! Penceritaan dalam blog ni adalah dari sudut pandangan Tuan Tanah dan mungkin ada juga yang dikaitkan dengan teman-teman jenayah Tuan Tanah yang turut serta dalam perjalanan ini. Sebarang ketidakpuashatian, sila mesej dalam kumpulan ye teman-teman. Hehehe.. Nak menulis ni tak ada masalah sangat. Kot lupa, boleh rujuk balik pamplet yang aku borong sampai sekilo tu. Tapi tang nak edit gambar tu yang menangis. Kamera telefon, kamera Note, dan kamera kompak aku dah 300 gambar. Tambah kamera telefon Mada, adalah dalam 200 keping kot; dalam kamera Za katanya ada 500 ++. Pengsannn!

Sebenarnya ada sedikit konflik pada awal perjalanan tapi yang itu akan aku ceritakan nanti untuk pengajaran pihak yang terkena dan pihak yang 'mengenakan'. Buat yang pertama kali terbang macam Tuan Tanah, wajib ada rasa cuak dan was-was tentang tempoh penerbangan dan sebagainya. Selain daripada membaca maklumat di laman web syarikat penerbangan, boleh bertanya kepada kawan-kawan yang dah selalu terbang. Macam aku, malam sebelum terbang tu siap paksa Kak Chik jangan tidur awal sebab nak tanya itu dan ini. Apa benda yang boleh bawa, apa benda yang tak boleh bawa. Terima kasih Sedari tolong saya 'bungkus' barang haritu. Hehehe...

Ini cerita kalau naik MAS, kalau naik AA mak incik tak tahu. Berat beg yang dibenarkan masuk kabin adalah 7 kg sahaja. Biasanya dalam beg ni isikanlah benda yang mungkin kita nak guna sepanjang perjalanan tu. Ubat-ubatan yang perlu, berus gigi, ubat gigi, jurnal, telekung, dan sebagainya. Kalau nak bawa mekap, pun boleh juga tapi pastikan kuantiti untuk sebotol tu tak lebih 100ml. Macam pencuci muka ke, bawa jelah yang travel set. Tapi aku tak masukkan dalam beg jugak sebab takut kena buang. Susah beb nak dapat travel set Clinique tu; kalau tak beli stok baru nan hado nak dapat melainkan dia buat promosi macam haritu. Air minum baik tak payah bawak la sebab takut kena buang jugak. Makanan macam biskut-biskut atau jajan tu boleh bawak masuk rupanya. Terkesima bila Kak Chik kata boleh. Hahaha... Barang-barang elektronik boleh angkut sekali jugak.

Waktu nak ke tempat daftar masuk tu, ada pemeriksaan barang dan badan. Telefon, jaket, jam tangan, tali pinggang kepala besi, semua kena buka dan letak dalam bekas untuk dia imbas sekali dengan beg kita. Waktu ni memang muka cuak la sebab takut ada benda besi tertinggal kat badan. Alhamdulillah selamat. Dua kali pemeriksaan dijalankan; sekali sebaik saja melepasi imigresen dan sekali sejurus sebelum masuk ke dalam kapal terbang. Selebihnya, ikutlah saja arahan yang diberikan. Itu cerita tentang terbang. Ini cerita tentang keperluan. Memandangkan kami pergi pada musim bunga, maka persiapannya juga berbeza. Apa yang perlu dibawa?
Ini merasmikan baju baru namanya..hehehe...baju ni pakai waktu ke Nami tapi tak nampak pun sebab pakai jaket..

1. Pakaian
Baju-baju untuk berjalan, ikut keperluan sendiri. Aku bawa sehelai baju untuk sehari. Maknanya ada 6 helai bajulah kalau pergi selama 6 hari. Tudung pun ikutlah, kalau ada baju yang sama warna, kita kitar semula aje tudung yang sama, jimat ruang beg. Musim bunga ni tak terlalu sejuk. Sedang elok suhunya untuk kita berjalan dengan selesa di sana tapi masih juga perlu pakai jaket. Beli jaket yang tak terlalu tebal untuk musim bunga sebab suhu pun sekitar 11 - 20 darjah celcius pada waktu siang. Walaupun ada matahari, kita tak berpeluh sebab angin sentiasa bertiup. Angin sejuk lagi! Kebas pipi dibuatnya. Aku beli jaket bundle je kat Aziemart sebab rasa membazir pulak beli sampai harga beratus walaupun jauh di sudut hati terasa nak kelihatan vogue dengan jaket bercorak terkini dan berwarna ceria. Eceh... Buat yang bersaiz besar macam mak incik, kena rajin tengok website dia selalu sebab susah nak dapat saiz besar. Sarung tangan pun boleh nak bawa sebab bila keluar waktu malam, memang dengan tangan sekali kebas dek kerana suhu yang dah jatuh jadi 10 - 7 darjah celcius.

Ini pun percubaan jugak, pakai sebab nak tanya Aten besar sangat ke tak jaket ni atau soalan mudahnya; "Aku nampak lagi gemuk tak bila sarung jaket ni?" Gituuu..sebabnya dia bentuk A jadi memang nampak kembang kat bahagian bawah. Tapi jaket ni memang best sebab berjaya menahan kesejukan...

2. Kasut
Kasut ni ikut kesesuaian. Mengembara bermakna akan banyak berjalan seperti yang telah kami lalui. Kami memang menggunakan khidmat pemandu pelancong tapi pakej ekonomi dimana kenderaan awam menjadi nadi utama untuk bergerak. Paling sesuai adalah kasut sukan yang dikhaskan untuk 'Running'. Kasut aku label 'Lifestyle' je sebab patah hati dengan Nike sebab semua kedai yang aku pergi dah habis saiz untuk kasut idaman tu. Sobsobsob... Memang tak ngam la kot aku dengan kasut mahal ni, akhirnya Bata jugak.
Ini kasut yang tak ada saiz tu..sengaja je semua kedai nak habis saiz kan? Lepas ni nan hado la aku nak beli dah...


3. Ubat-ubatan
Ubat-ubatan ni bergantung pada kita jugak. Tapi lebih elok sediakan payung sebelum hujan sebab kita tak tahu apa nak jadi di kemudian hari. Bila aku WhatsApp gambar ubat-ubat aku pada Kak Chik, dia gelak dan cakap aku teliti sebab macam-macam ubat aku bungkus. Hahaha... Nasib baik jugak bungkus krim serbaguna tu sebab tiba-tiba naik ruam. Bergunalah jugak sapu pada tempat ruam.
Dipek berasingan antara yang boleh dimakan dan tak boleh dimakan

4.Botol Kosong
Ini kritikal. Siapa yang tak tahu, tandas kat sana tak ada paip. Memang menangis la wei masuk tandas tengok tak ada paip. Tandas yang ada paip cuma dekat Seoul National Mosque. Alangkan tandas PICC pun aku dah garu kepala sebelum masuk, apatah lagi tandas di Korea. Penyelesaiannya, bawalah botol air mineral kosong untuk bersuci. Pandai-pandailah korang nak guna macam mana. Hehehe... Satu lagi botol kosong adalah untuk isi air minum. Takkan asyik nak beli air mineral kan? Jimat lagi bila isi air masak dari rumah tumpangan.

5.Makanan
Bila cerita bahagian ni, memang terasa nak gelak. Nak gelak kejap. Hahaha... Nasihat berguna buat anda, anda, dan anda yang bertekak DBKL dan mempunyai perut tong, tak payah beria bawak makanan banyak-banyak sebab tak sempat nak makan pun dan makanan diorang takdelah jauh beza sangat rasa dengan makanan Malaysia, lagi-lagi kami yang ambik pakej termasuk makan ni. Nasi ada, rasa pedas pun ada. Kitorang siap angkut mee segera, bubur segera, kopi segera, biskut berjenis-jenis dan sambal goreng. Makanan je penuh satu beg sandang tapi akhirnya tak luak. Kalau dah ambik pakej, tak perlu beria bawa makanan sebab kita memang akan cukup makan dan mereka akan bawa kita makan ke tempat yang best. Ada makanan Korea, ada juga makanan negara lain dan yang pasti boleh dimakan. Mujurlah aku tak angkut sambal belacan segera sekali haritu; kalau angkut, sahih tak terusik. Dah sampai tempat orang, tak lengkaplah kalau tak merasa makanan diorang kan?

Ini rupa beg sebelum dikunci..banyak kan stok makanan mak incik? Dalam beg hijau tu ada Ephyra dan kopi segera Agromas...dalam balutan kertas suratkhabar tu ada sambal goreng dan kacang parang...

Ini dia benda alah dalam balutan surat khabar, siap pek kecik-kecik kononnya senang nak bawak...tak pasti siapa yang bagi idea untuk pek macam ni, Kak Rin kot...akhirnya yang luak cuma sepaket kacang dan sepaket sambal goreng; selebihnya menjadi rezeki pemandu pelancong kami...


6. Lain-lain
Tisu lembap - Ini pun sebenarnya penting juga untuk lap tangan atau lap apa-apa yang patut. Mudah, praktikal dan ringan.

Lip balm - Benda wajib sebab cuaca sana adalah sejuk dan kering. Maka kita mudah terhidrat dan bibir pun cepat je nak kering dan menggelupas. Selepas bereksperimen, lip balm yang (plain) putih tu juga yang elok dan tahan. Guna Chubby Stick pun tak jalan.

Cermin mata hitam - Dekat sana, udara sejuk tapi matahari tetap ada. Ada masa sinarnya terik, ada masa redup je. Nak selamat, bawaklah cermin mata hitam. Selain melindungi mata dari terik mentari, ia juga melindungi mata daripada debunga yang berterbangan. Aku perasan bila jalan di kawasan yang banyak tumbuhan dan angin bertiup kuat, memang ada banyak debunga berterbangan. Macam salji turun pun ada jugak aku tengok. Terkibas-kibas depan muka nak elak debunga tu masuk dalam mata.

Kompas - Walaupun menggunakan khidmat pemandu pelancong, dia tak sentiasa ada disisi kita. Bila nak solat, tetap perlu cari kompas untuk tentu arah kiblat. Telefon semua dah canggih kan? Download jelah siap-siap ye.

Kalkulator - Ada yang kata perlu, ada yang kata tak. Tapi sebab aku kan poyo, semangat beli kalkulator warna hijau untuk tujuan mengira. Sudahnya tak guna pun. Sekali lagi, apa guna telefon canggih kan? Tekan kalkulator telefon sudah! Hehehe...

Travel adaptor - Benda ni buat aku pening dan fobia nak cucuk plug. Pening waktu nak cari di Malaysia dan fobia sebab dua travel adaptor dari Malaysia rosak bila aku guna. Dah kenapa? Stress weh tak boleh nak caj telefon dengan tablet. Aaaaaaaaa.... Jenuh aku tanya pemandu pelancong kami mana nak beli benda alah ni; sampai tiga ke empat kedai jugaklah mencari baru jumpa. Adaptor dari Malaysia adalah longgar bila dicucuk pada plug Korea. Tak tahulah itu ke punca mereka rosak atau memang mereka sengaja nak rosak. Nasib baik adaptor yang beli di sana boleh digunakan. Hangus 8000 won beli adaptor. Ishhh, boleh dapat brooch dua set tu. Oh ye, kalau nak beli travel adaptor boleh cari di pasaraya-pasaraya besar macam Econsave, Giant atau Tesco; pergi ke bahagian plug dan extension dan cari yang universal punya. Terima kasih Chik sebab bagi tahu. Korea ikut standard Europe, plug dua mata.

Powerbank - Benda ni pun kira penting dalam zaman serba moden ni. Telefon makin canggih, makin guna banyak bateri. Tak cukup satu telefon, nak kena ada yang besar pulak. Cukup la aku terputus hubungan dengan orang lain waktu bawa budak ke Kelantan tahun lepas gara-gara telefon habis bateri. Tersadailah aku dekat surau sampai acara orang lain habis sebab tak boleh nak telefon siapa-siapa. Nasib baik juga aku dah beli benda alah ni, kalau tak lagi stress telefon dengan Note tak hidup bila adaptor rosak tu.

Belum sampai sana, entri dah panjang berjela. Terima kasihlah yang rajin baca sampai habis. Sambungannya akan ditaip secepat mungkin sebelum terlupa.

Thursday, 24 April 2014

Kerja ke Tak?

Alhamdulillah Tuan Tanah telah kembali ke tanah air petang tadi. Mendarat dengan selamat pada jam 4.40 petang waktu Malaysia, agak cepat juga perjalanan walaupun berlepas dari Incheon sedikit lewat dari jadual dan keadaan cuaca yang tak begitu elok. Kalau tengok drama Take Care of Us Captain, boleh faham dah situasi yang terjadi. Hehehe... Kak Rin tanya aku kerja ke tak esok? Macam nak kerja, macam tak nak kerja, macam nak kerja, macam tak nak kerja. Tapi masih lagi cuti, marilah kita tak payah kerja. Sambung rehat sebab dari hari Jumaat lepas tak cukup-cukup rehat rasanya.

Beg pun tak tahu nak kemas macam mana. Sebelum pergi, pening nak kemas beg. Dah balik, lagi pening nak kemas beg sebab isinya bertambah. Nasib baik beg tak beranak, kalau tak lagi pening. Hahaha... Banyak benda nak cerita dalam ni tapi tak tahu nak mula dari mana. Yang penting, nak cerita semua benda dari sebelum naik kapal terbang, sampai dah masuk dalam kapal terbang, sampai dah mendarat, sampailah dah pusing-pusing bandar Seoul, sampailah balik ke Malaysia balik. Kalau ikutkan gaya karangan STP, mahu ada sampai berbelas-belas episod ni. Maka, kalau kome rajin, kome baca. Tak rajin, tak payah.

InshaAllah akan dikongsikan perancangan kami untuk ke sana, bajet, dan juga tips-tips yang mungkin membantu untuk yang merancang mahu ke sana atau untuk yang pertama kali terbang. Sekarang, Tuan Tanah menyesal sebab tak beli betul-betul benda yang nak dibeli. Lepas tu tamak nak simpan semua yang dibeli untuk diri sendiri. Hahaha... Takpe, kita buat senarai dulu siapa yang nak dibagi, siapa yang tak payah. Sebenarnya bila tengok balik aku lagi banyak beli untuk orang daripada untuk diri sendiri. Tu yang macam menyesal tu. Maka, marilah kembali menabung untuk ke sana pada musim bunga 2015 pula.

Tuesday, 22 April 2014

Angan-angan Menjadi Kenyataan

Alhamdulillah, angan-angan untuk ke Korea menjadi nyata akhirnya selepas merancang dan menghadapi beberapa kesulitan. Ada pahit dan manisnya perjalanan untuk ke sini dan akan dikongsikan untuk catatan Tuan tanah juga sebagai panduan di masa akan datang. InshaAllah Atas Nama Cinta akan aku buka semula sebab leceh pulak nak kena daftar masuk tiap kali nak tengok blog. Maklum la, sendiri tulis sendiri baca kan. Hehehe....

Sekarang ni masih berada di Korea dan sedang bersantai di ruang menonton rumah penginapan sambil menonton drama Korea tanpa sari kata. Bajet faham, tapi tak faham pun. Hahaha... Mujurlah ada Mada yang tolong terangkan sikit-sikit.

Friday, 11 April 2014

Lagi 8 Hari

Bermula semalam, haku dah mula stress. Maklumlah orang tak pernah jalan ke luar dari Malaysia, macam-macam difikirnya. Sementara masih cuti, bolehlah mengemas secara serius sebab dah masuk kerja balik minggu depan sahih stress kuasa dua sebab dah tinggal kerja dengan agak lama kan. Persiapan ni dibuat dengan memikirkan rasional keperluan diri sendiri serta berdasarkan pengalaman blogger-blogger lain yang terlebih dahulu menjejakkan kaki ke sana. Terima kasih kerana berkongsi pengalaman blogger-blogger sekalian. Tapi kan, aku tak jumpa pulak blogger yang kongsi pengalaman waktu musim bunga. Hampir semua yang aku baca, pergi sana pada musim sejuk dan ada beberapa yang pergi pada musim luruh. Pening mak incik dibuatnya.

Takpe, nanti aku kongsikan pengalaman bercuti ke Korea pada musim bunga. Terbaca status FB seorang sahabat yang sedang berkelana di UK tentang suhu dan tips yang beliau kongsikan. Sebelum pergi, rajin-rajin periksa suhu dekat sana supaya boleh agak kadar kesejukan sebab dunia sekarang tak boleh juga nak jangka. Jadinya bermula hari Selasa, aku dah poyo periksa suhu di daerah rumah tumpangan kami menggunakan apps Accu Weather yang ada dalam Note. Waktu siang, dalam 17 ke 21 darjah celcius tapi bila malam turun jadi 6 ke 7 darjah celcius. Sejuk ek? Maka kenalah bawa baju yang sesuai untuk tidur.

Yang lain-lain sambung borak dalam entri lain sebab mata dah tak boleh nak tongkat gara-gara kepenatan mengukur bangunan dari Klang sampai ke Shah Alam nun semata-mata mencari kasut. Tak ada rezeki agaknya nak pakai kasut idaman tu, bila nak beli asyik habis saiz je. Stresss!

Monday, 7 April 2014

Cinderella Moden

Selama aku mengulang tayang koleksi drama Korea, drama yang ini aku tak tergerak nak tengok. Tengok sekali je waktu tayang kat tv kira-kira 10 tahun yang lalu. Walaupun hero dia hero pujaan hati, tapi sebab cerita dia melodrama sangat, tak gamak nak ulang tayang. Bukan apa, Kwon Sang Woo(hero) dengan Cho Ji Woo(heroin) menangis 10 saat je, aku nangis sampai 10 minit. Hahahaha....

Cerita dia sedih wei! Kejam pun ada gak. Hat ni aku tak beli tapi ambik dari orang. Tak ingat pulak siapa. Tajuk betul dia Stairway to Heaven. Rating drama ni pun boleh tahan tinggi jugak aku tengok kat dramawiki. Episod awal-awal memang aku tengok laju-laju je sebab kesian tengok heroin kena dera dengan mak tiri dan adik tiri dia.

Tragedi bermula bila ayah heroin kahwin lagi. Mak tiri dia pulak ada dua orang anak; seorang lelaki dan seorang perempuan. Tengok muka mak tiri dan adik tiri dia pun dah tahu memang jahat punya orang ni; tapi abang tiri dia boleh dikatakan baik sebab dia tak campur sangat. Hero dengan heroin memang membesar sama-sama dan berjanji nak belajar kat luar negara sama-sama jugak. Tapi sebab mak tiri dia, ayah dia suruh tangguh belajar. Masa hero nak berangkat, adik tiri dia yang dengki tak boleh blah ni kurung dia dalam stor untuk halang dari jumpa hero. Orang baik selalu kan dapat pertolongan, maka dapat jugak dia jumpa hero sebelum berlepas. Waktu ni masing-masing cakap 'I love you' dan hero bagi heroin couple necklace.

Beberapa tahun kemudian, diorang pun dah dewasa. Tibalah masa heroin berlepas ke luar negara jugak. Ini betul-betul tragis sebab sehari sebelum berlepas, adik tiri dia tak puas hati kaw-kaw sampai heroin kena pukul. Tengah kena dera tu, tiba-tiba hero balik mengejut dan nak jumpa heroin. Sempat sampai tempat perjumpaan, tapi tak sempat jumpa; sempat lambai-lambai je. Sebabnya adik tiri dia langgar dia dan palsukan kematian dia.

Kesan dari kemalangan tu, heroin hilang ingatan dan hidup sebagai orang lain dengan abang tiri dia. Lima tahun kemudian, hero pun balik for good. Menyampah okey tengok adik tiri dia menempel je dengan hero. Yang hero ni pulak baik sangat sampai tak nampak adik tiri dan mak tiri heroin tu jahat. Haishh... Satu hari, hero terserempak balik dengan heroin dan sejak tu dia mengekor si heroin ni. Dia yakin sangat orang yang namanya Kim Ji Su ni adalah Han Jeong Suh, orang yang dia tunggu-tunggu.

Heroin ni mula dapat ingatan dia balik waktu adik tiri dia hampir-hampir nak terlanggar dia, cuma dia tak ingat siapa yang langgar. Pendekkan cerita, heroin disahkan menghidap kanser mata, sama macam mendiang mak dia dulu. Tapi kanser tu memberi kesan dengan sangat cepat pada mata dia sebab kornea mata dia cedera akibat kemalangan tu. Akhirnya, abang tiri dia dedahkan segala kejahatan mak dan adik dia sebab diorang dah melampau sangat dan hero dan heroin pun berkahwin walaupun waktu tu heroin dah hilang penglihatan. 

Pengakhiran dia memang sangat anti klimaks. Pertama, abang tiri dia mati sebab nak dermakan mata pada heroin. Keduanya, walaupun sel kanser pada mata dah dibuang dan pemindahan mata berjaya, sel kanser tumbuh balik tapi dah pindah ke otak pulak. Kali ni heroin tak nak dibedah lagi maka dia pun pasrah dengan keadaan tu. Dan, inilah drama pertama yang aku tengok, kesudahan dia menyedihkan. Heroin mati dipangkuan suami tercinta. Sobsobsob.... Yang berhati kaca, sila sediakan tisu banyak-banyak sebelum mula menonton. Yang menengok nangis lagi banyak dari yang berlakon. Nasib baik hero hensem, tabah jelah. Hehehe....

Tuesday, 1 April 2014

Tak Tahu Nak Mula

Okey, aku dah mula panik. Tak tahu nak mula dari mana sebab rasa macam esok esok jelah aku fikir. Hahaha... Makin banyak cari maklumat, makin banyak baca perkongsian orang lain yang ke Korea jugak, makin panik aku dibuatnya. Nak pakai kasut macam mana? Nak jalan-jalan kat sana nak kena bawak apa? Apa yang boleh bawak masuk kabin? Baju nak bawak yang mana? Aaaaaaaa.... Nak melancong, tapi tak naklah pakai selekeh-selekeh. Tapi kalau nak beli baru semuanya, kopaklah mak incik. Ish...ish...ish... Lepas tu terjumpa satu blog yang mengatakan kalau nak beli cenderahati untuk kawan-kawan, 1k tak cukup. Aku ni dah la niat nak beli benda jugak. Bukan satu, berderet-deret dalam senarai tu. Cemana tu?

Pakkal gaji tak masuk je lagi ni, kalau tak memang esok jugak aku redah GM dengan Jusco tu. Sendiri pun sendiri la. Tujuan utama nak beli kasut. Setakat ni belum mimpi lagi pasal kasut ni sebab aku ni bukan boleh dok fikir sangat sesuatu benda, kang masuk dalam mimpi. Kalau yang baik-baik, tahan lagi. Ini mimpi situasi yang haru, tambahlah panik. Macam kat Banting tak ada jual kasut kan? Hahaha... orang gedik memang cenggini. Tak nak kasut bertali, nak yang sauk je tapi nak yang jenis kasut sukan. Macam-macam kan? Sendiri buat penanda aras, sendirilah kasi selesai.

Baju sejuk pun macam tak cukup je satu. Macam nak kena beli sweater je. Sarung tangan pun macam kena bawak je. Nanti nak beli la satu kat Daiso, yang khas untuk touchscreen tips tu. Tapi duit dah tukar sebab pegang lama-lama kang 'hilang' pulak duit tu. Patutnya nak tukar semua duit kutu tu, tapi dah 'hilang' suku. Macam kena korek tabung nombor dua je gayanya ni. Murni sungguh niat tu kan?

Cerita pasal tukar duit ni, aku tanya juga kawan-kawan yang pernah ke luar negara cara nak menukar disamping memerhatikan kadar tukaran semasa berdasarkan nasihat Kak Chik. Tak pergi cari banyak tempat dan tak tengok banyak kali jugak sebab takut terguna duit tu. Tengok dekat dua tempat, 3.25. Lepas tu aku pergi ke tempat yang disarankan oleh Kak Dayan yang katanya boleh bagi harga baik. Tanya punya tanya, tawar punya tawar, dapat 3.19 dalam pada tak berapa nak yakin sebab pertama kali dan pergi sendiri. Malas nak fikir panjang, aku terus tukar. Dapat la 190 ribu won.

Lepas ni...

... nak tutup blog dan tukar nama jadi 'Syok Sendiri', boleh? Sebabnya sendiri tulis, sendiri baca. Eh, kita buat dia, apa pulak tak boleh? Jadi secara rasminya esok aku dicutikan untuk peralihan monsun barat daya kontrak macam biasa. Patutnya ada kelas esok dan Rabu dan memang ingat nak datang untuk kelas je. Tapi tiba-tiba angin tak berapa nak rajin bertiup kencang; maka pulunlah aku menyiapkan soalan tugasan dan latihan untuk kelas-kelas yang bakal ditinggalkan. Seronok gila tak payah kelam kabut masuk kelas, tak payah susah payah tenangkan diri sebelum masuk kelas. Seronok! Yup, though I've been teaching for almost four years, the nervousness before start teaching and talking in front of the students is still there. The feeling is still the same. Yang tak seronok, ko tunggu la naik kerja balik nanti, bertimbun tugasan nak kena tanda. Pitammmm... Ahhh, itu belakang fikir. Sekarang fikir nak kemas beg. Hehehe... Sebelum menutup bicara, layan dulu lagu bertajuk 'Sentiasa di Ingatan' versi Willie Nelson. Paling suka versi yang ini berbanding Michael Buble sebab syahdu je dengar. Sampai jumpa lagi...