Engagement Fund ;)

Monday, 14 July 2014

Kimchi Kobis

Sejak berkenalan dengan kimchi dan belajar cara nak buat melalui internet, ini kali keempat. Sebelum ni guna resepi super ringkas dan aku kukus dulu kobisnya. Kali ni guna resepi campur-campur dari tiga laman web dan ini percubaan kedua guna resepi campur-campur. Kiranya lepas balik dari Korea dah dua kali buat kimchi tapi yang ini guna serbuk cili(gochugaru) Korea. Tragis kan, dah sampai Korea tapi tak beli serbuk cili lepas tu akhirnya kirim kat orang untuk belikan. Ada juga mencari-cari waktu kat sana tapi tak nampak la pulak. Kisah mengirim gochugaru ni terjadi apabila seorang pembaca blog bertanya mengenai salah satu entri Korea yang aku tulis tempoh hari. Memandangkan bab-bab makan kami di sana diuruskan sepenuhnya oleh TG, maka terpaksalah aku roger TG untuk tanya benda yang ditanya tu. Lepas tu terkirim beli gochugaru ni. Segan benornya nak mintak tolong tu tapi it's now or never kan, maka gagah jugaklah aku buat permintaan.

Nasib baik beliau okey saja. Dah kirim tu, tak fikir pulak nak ambik tu karang macam mana. Waktu dia kata dah belikan tu, excited tahap Power Rangers dan terus mintak nombor akaun nak transfer bayaran. Eh, ko ingat ni online shopping kah? Hahaha... Terus ketuk kepala sendiri kejap. Bincang punya bincang, aku kata jumpa dekat airport jelah. Bukan jauh nau pun airport dari rumah. Maka, itulah kali pertama aku jejak kaki ke KLIA2. Nasib baik flight beliau delay maka touch down dalam 3.30 camtu kot. Gedebuk gedebak mesti 4 lebih jugak baru keluar. Itu pun pening macam mana nak balik awal sebab tak baik buat orang menunggu, dah la mintak tolong kat dia. Dengan alasan yang direka selepas berunding dengan teman jenayah, aku keluar awal sikit lepas dapat kebenaran bos. Heeee... Isi borang tau, bukan balik cenggitu je.

Sampai airport, flight dah touch down tapi WhatsApp tak on lagi. Lama jugak tunggu sampai aku dah naik cuak, baru beliau keluar. Terima kasih banyak-banyak TG kami yang tolong belikan serbuk cili ni. Lepas rindu saya dekat Korea. Hahaha...

10 000 won untuk sepaket kecik ni...tanjat ai!

Kali ni buat banyak sebab ada dua ke tiga orang dekat ofis ni mengidam nak makan kimchi jugak. Okeylah, layankan aje. Nah resepi hasil rujukan dari tiga sumber berbeza. Sumber mana, nanti aku update kemudian ye. Kena korek arkib dulu.

Baechu Kimchi


Hasilnya - warna merah yang lebih menawan


1.2kg - 1.5kg kobis cina (nappa cabbage)
1 cawan garam

Bahan untuk dihiris
1 biji lobak merah (dihiris seperti batang mancis)
1 biji lobak putih (dihiris seperti batang mancis juga)
2 pokok daun bawang (batangnya dihiris halus manakala daunnya dipotong sepanjang kira-kira 1 inci)

A
3/4 biji bawang Holland
3/4 biji Korean pear (kulit warna gelap)
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/4 cawan air masak

B
1 sudu besar gula
1 sudu besar minyak bijan
1 cawan serbuk cili - gochugaru

C
4 sudu besar tepung pulut
1/2 cawan air
1/4 cawan sos ikan

Cara membuat;

Kobis
1. Bersihkan kobis dan potong besar-besar sebab lepas diperap dengan garam dia akan kecut.
2. Dalam satu besen besar, buat satu lapisan nipis kobis dan ditabur garam di seluruh permukaannya. Buat sampai habis dan tutup bekas dan tindih dengan benda berat. Biarkan selama 1 jam.
3. Selepas satu jam, gaulkan kesemua kobis dan bilas dengan air bersih sebanyak 3 kali. Ambik secebis dan rasa; kalau masin sangat boleh bilas lagi sekali.
4. Kemudian, perahkan kobis yang telah dibilas dan ketepikan.

Sebatian cili
1. Kisar bahan A hingga halus.
2. Bancuh bahan C hingga larut dan masak atas api kecil hingga mendidih. Perlu sentiasa kacau supaya tidak hangus dan berketul. Kalau terlalu pekat, boleh tambahkan air. Dah mendidih, boleh matikan api.
3. Seterusnya, tuangkan bahan kisar dalam satu bekas besar. Masukkan serbuk cili dan gaul hingga sebati. Masukkan bancuhan tepung dan gaul lagi. Kemudian masukkan gula dan minyak bijan dan kacau sampai semuanya mesra.
4. Masukkan bahan-bahan yang dihiris tadi dan gaul sampai semuanya sekata menggunakan tangan. Sila pakai sarung tangan sebelum menggaul.
5. Akhir sekali, masukkan kobis dan gaul lagi sampai semua bahan mesra.
6. Masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti. Sila makan dalam masa dua minggu. Kalau nak cepat masam, biarkan kobis pada suhu bilik semalaman sebelum disimpan dalam peti sejuk. Sekian, terima kasih.

Menu Buka

Pagi ni baru masuk kerja balik lepas bercuti agak lama, maka mood sendu pun muncul. Lagi-lagi bila ramai pulak yang cuti sebab esok cuti umum; cuti terkepit kekdahnya. Bertambah tak boleh blah bila ada yang pasang lagu raya kuat-kuat. Masih tak boleh nak terima lagi lagu raya buat masa ni. Minggu terakhir puasa karang, barulah syok. Hehehe...

Korang berbuka macam mana? Masak sendiri atau beli di param? Aku setakat ni bercampur-campur; ada hari masak sendiri, ada hari beli. Bosan jugak asyik masak je lepas tu kena masak dua benda; lauk dengan makanan ringan. Kalau dulu Abah makan nasi waktu buka tapi sekarang Abah nak makan kuih-kuih je makanya kenalah sediakan dua-dua. Kalau rajin banyak, masaklah lauk dua jenis lepas tu buatlah makanan yang mudah macam pisang goreng ke, cekodok ke, popia ke. Kalau rajin sikit, masak lauk je lepas tu kuih-kuih beli kat param. Kalau malas, semua sekali aku bungkus. Hahaha...

Semalam rajin, jadi terasa nak cuba masak rebung. Selama ni kalau nak makan beli je kali ni cuba masak. Ingatkan susah sangatlah nak masak, rupanya campak je semua sekali dalam satu periuk dan tunggu dia masak. Lepas tu kawankan dengan kerang rebus. Untuk makan ringan, buat kebab segera. Selesai.. Petang ni memang tak dan nak masak sebab ada tuisyen. Tapi macam teringin nak makan kimchi bokkeumbap (nasi goreng kimchi) mengenangkan ada suku lagi kimchi batch keempat yang buat sebelum puasa haritu. Kalau rajin, buat untuk diri sendiri je kot sebab aku sorang je 'Korean' kat rumah tu. Hahaha... Korealah sangat! Oh, resepi kimchi nanti aku tampal ye kot-kot ada yang teringin nak cuba buat sendiri. Sedap weh makan kimchi dengan mee segera, sambil tengok drama Korea. Nikmat sungguh!

Saturday, 12 July 2014

Cerita ceriti

Assalamualaikum w.b.t. Aigoo, lama tak jenguk blog. Rindu nak menaip tapi mood terbang melayang pulaknya. Pejam celik pejam celik, dah separuh daripada ramadhan berlalu. Masih sempat lagi nak banyakkan amal. Kalau tak mampu nak banyakkan amal, jangan tambah dosa. Makanya azam saya sepanjang ramadhan ni adalah untuk lebih bersabar dengan kerenah anak-anak murid ni. Haish, macam-macam ragamnya. Nasib baik waktu menanda kertas periksa haritu belum masuk ramadhan, kalau tak memang kurang pahala dok geramkan budak-budak ni. Boleh tak diorang sengaja tak jawab soalan? Kalau carry marks tinggi takpe la jugak ini carry marks sendu, pe cite? Makanya, see you AGAIN this semester though I don't want to see you actually.

Bila dah jadi tenaga pengajar di peringkat pengajian tinggi ni, barulah faham kenapa waktu kat U dulu boleh lulus dengan puas hati walaupun carry marks sendu dan sudi tak sudi je waktu jawab periksa. Sebab pertama, ko lulus sebab memang ko layak lulus atau dengan erti kata lain usaha yang dibuat sepanjang sem tu yang membuatkan ko lulus. Kedua, ko lulus sebab pensyarah ko tak kuasa nak hadap ko lagi sem depan walaupun hasil kerja ko memang tak layak langsung untuk lulus. Gitu... Betul, kadang-kadang kesian nak gagalkan budak-budak ni tapi kalau dah tugasan tak hantar, kelas tak datang, perangai pun macam hape, memang see you AGAIN next semester la jawabnya. Kalau tetap ulang perangai hampeh tu, see you AGAIN and AGAIN and AGAIN je jawabnya. Sabor jelah...

Harap-harap budak-budak baru ni tak adalah perangai yang macam hape tu. Budak-budak sem 2 pulak, baru sem ni nak kenal dengan lebih rapat sebab sem lepas semua course diletak dalam satu kelas, tak sempat nak ingat nama. Bila dah campur-campur, ramai-ramai macam tu, bukan nama je tak ingat, mana yang lemah dan mana yang boleh berdikari pun tak dapat nak cam. Ada sekali tu, sampai dah hujung sem ni baru aku tahu yang kelas tu tak ada pelajar perempuan pun sebenarnya. Itu pun sebab aku tanya waktu diorang dah masuk dewan periksa. Yakin gila ni tanya; "Where are the girls?" Yang kena tanya tu senyum dulu baru jawab; "Miss, kelas kitorang memang semua lelaki la." Hahahaha... Lepas dari tu memang aku ingat kelas mana yang semuanya lelaki kelas mana yang ada dua-dua.

Buka blog tadi nak buat benda lain tapi terbuat benda lain pulak. Okey la, benda lain tu entri akan datang gamaknya. Itupun kalau rajin nak update, kalau tak tunggu raya kang la ye. Hehehe...