Engagement Fund ;)

Sunday, 30 November 2014

Langkawi 2014 - Episod 5: Kereta Kabel dan Jelajah Pulau

Sebelum November melabuhkan tirai, mari sudahkan cerita hari kedua di Langkawi. Lepas habis makan tengahari, hantar Hani balik hotel dulu baru rancang nak kemana. Waktu ni dah tak ikut tentatif dah maka main redah je. Tengokkan pada cuaca yang cerah, aku cadangkan pergi naik kereta kabel. Walaupun mereka dah sampai Langkawi dan dah pernah naik kereta kabel, aku paksa jugak naik lagi sekali. Bahahaha... Maka, Cik Supir (aku la tu) pun memandu Serena menuju ke tempat kereta kabel.

Jalan nak ke tempat kereta kabel ni boleh tahan bengkang-bengkok dan sempit. Kalau tak silap, kereta kabel ni terletak ni Oriental Village. Kalau nak naik Duck Tour pun kat sini juga. Bila dah masuk dalam, ada jugak kereta labu Cinderella kuda yang dihias cantik. Naik pusing-pusing satu kawasan tu je. Tapi kena bayar la ye dan bayaran tak diketahui la pulak. Disebabkan tujuan utama adalah kereta kabel maka kami menonong cari tempat naik kereta kabel. Bayaran dengan MyKad kalau tak silap 35 hengget. Kalau tak silap ye, kalau silap kang aku betulkan kemudian. Ramai sangat orang menunggu giliran nak naik ni. Oh ye, cuma aku, Aten dengan Mada je yang naik. Chik tak dibenarkan naik oleh encik suami sebab usia kandungan awal lagi; takut kalau terjadi apa-apa. Okey Chik, sila shopping sementara kami 'mendaki' gunung ye.

Sebelum naik kereta kabel, kami dibawa menonton satu clip pendek mengenai kehidupan kelip-kelip dalam bentuk animasi di tempat berbentuk kubah. Lepas tu, kami dibawa menaiki 'roller coaster' dengan video juga. Disebabkan kedudukan kerusi yang agak condong dan skrin pula membulat, maka situasi itu seperti benar-benar berlaku. Bila tengok semua orang siap angkat-angkat tangan, kitorang pun layan jugak la. Siap jerit-jerit lagi dalam tu. Hahaha... Tapi memang seronok dan berbaloi bayar mahal sebab ada pengisian. Lama juga perjalanan roller coaster sampai pening kepala dibuatnya dek kerana litarnya yang boleh tahan curam dan banyak kali pusing 360 darjah.

Habis je tayangan, cepat-cepat keluar nak rebut giliran awal. Hehehe... Tips dia adalah bila masuk tempat tayangan, duduklah di barisan paling belakang dan paling tepi supaya dekat dengan pintu. Bila nak masuk dalam kereta kabel, kena beratur dekat garisan yang ditanda dan ada jugak orang ambik gambar kita. Kemudian kang boleh beli dengan harga bapak mahal. Orang kata bila dalam perjalanan tu nanti akan berasa gayat ketika hampir sampai ke puncak. Cuak jugak sebab aku ni boleh tahan gayat. Tapi bila dah sampai di ketinggian yang dikatakan akan gayat tu, tak adalah gayat sangat pun tapi kecut perut jugak bila tengok bawah. Tips dia adalah pakai cermin mata hitam waktu naik tu supaya pandangan mata terbatas.


Pemandangan memang subhanallah, sangat-sangat cantik! Kereta kabel ni ada dua stesen jadi boleh pilih nak berhenti dekat stesen pertama yang kurang tinggi atau nak terus ke puncak. Disebabkan kami pemberani orangnya, terus zaaassss ke puncak nun. Keluar je dari kapsul tu, ada lagi sesi ambik gambar. Kali ni ada maskot pulak. Mula-mula tu aku ingat patung maka selamba je terpa si maskot tu sebab dia memang kaku je kat situ. Sekali bila dah habis bergambar, dia cakap "Thank You." Apalagi, terkejut beruk la aku siap terjerit lagi. Hahaha... Apa da, lain kali tu jalan-jalan la sikit bagi nampak awok tu benornya orang.


Lepas tu terus daki tangga nak ke observatory deck. Dekat situ ada lagi satu sesi bergambar berlatarbelakangkan hutan. Layankan aje. Sampai atas, terus Aten keluarkan joran dia nak ambik gambar bertiga. Pemandangan memang sangat sangat sangat cantik. Nampak hutan, nampak laut dan nampak hampir separuh pulau. Waktu kat atas tu memang panas terik sampai skrin telefon pun kalah. Makanya, redha je dengan hasil gambar yang ditangkap. Dah puas bergambar, dah puas tengok pemandangan, moh le pulang. Sementara menunggu, staf situ tunjukkan la hasil gambar yang ditangkap waktu sampai. Cantik la jugak gambar dia tapi harga dia tu yang tak boleh blah. Mahal! Tapi beli jugak la buat kenangan tapi tak semua gambar, sekeping je rasanya kitorang beli. Sebenarnya kan, aku rasa cara dia nak menjual gambar tu tak sesuai sebab dia ambik gambar dan terus cetak tanpa mengetahui samada orang yang tersebut nak beli atau tidak. Macam waktu kitorang ke Namsan Tower dulu, ada juga sesi bergambar sebelum naik ke observatory deck tapi lepas tu dia bagi kupon. Bila sampai atas, kalau rasa nak beli gambar, tunjuk kupon dan tengok hasil gambar dalam PC. Kalau puas hati, boleh bayar dan tunggu untuk dicetak. Lebih teratur dan tidak membazir. Aku syak harga dia bapak mahal sebab nak cover balik kos-kos gambar yang telah dicetak tapi tidak dibeli oleh empunya badan. Jadi, terserahlah korang ye nak beli ke tak. Waktu dalam kapsul tu ada jugaklah bergambar. Macam-macam aksi ada tapi dalam ni kita letak yang sopan aje. Hehehe...


Takut kononnya

Turun dari kapsul, jalan-jalan kejap dalam Oriental Village tu dan terus keluar. Sampai kat luar dahagalah pulak maka jomlah kita minum coconut shake. Ingat nak naik Duck Tour tapi macam tak berbaloi je jadi teruslah menghala balik. Sebelum gerak, ambik gambar topi dulu.


Untuk pulang, kami bersetuju untuk mengikut jalan jauh supaya nampaklah keseluruhan pulau. Lalu banyak juga tempat menarik macam muzium yang pelbagai tu dan tempat ternakan haiwan yang dibuka untuk pelancong. Paling menarik adalah pantai yang betul-betul tepi jalan dan tak ada orang. Apalagi, terus berhenti nak bergambar sebab pantai ni memang cantik dan mendamaikan. Sayangnya masing-masing lupa nak tengok nama tempat tu. Dekat sini akulah paling terlebih gula sebab orang lain ambik gambar tiga kali je tapi aku sampai berkali-kali. Aten siap cakap lagi; "Sazoh aku tau dia nak ambik gambar banyak-banyak. Korang tepi, nak ambik gambar sazoh ni." Hahahaha... Lebih kurang macam tulah intipati dia. Terima kasihlah kerana memahami kawanmu yang sorang ni. Siap cecah kaki dalam air lagi. Barulah lengkap rasanya pergi pantai bila dapat menapak atas pasir dan berjalan di gigi air. Waktu berhenti tu dah mula gerimis dan sebelum bertambah lebat, kami pun teruskan perjalanan.

Kulit album lagi

Amboi, dah menurun ilmu Hani nampaknya Ten?

Solo

Percubaan membuat gaya model kembang-kembang skirt 

Sampai hotel tak ingat pukul berapa tapi lewat jugaklah. Rehat kejap dan lepas maghrib kami keluar untuk makan besar. Perancangan asal nak makan besar malam terakhir tapi tak ingat sebab apa kitorang tukar nak makan besar pada malam kedua. Macam biasa, masing-masing sibuk cari kedai sedap dan menarik dalam internet dan kami pun pergilah ke satu kedai di kawasan pekan. Kedai tu memang popular tapi aku lupa pulak nama dia. Eksklusif kedai dia tapi suasananya tidak memenuhi citarasa semua orang. Maka walaupun dah duduk dan tengok menu, kami keluar semula dan cari kedai lain. Akhirnya kami ke restoran nelayan yang terletak agak jauh dari pekan. Pusing-pusing jugaklah mencari. Tapi tak berapa nak best juga sebab makanan lautnya tak banyak pilihan. Udang ada sejenis je dan sotong pun comel-comel. Tapi sebab boleh memilih, maka kami pun pilih.


Sebelum

Menu malam tu adalah ikan bakar, pepahat masak cili, sotong goreng tepung, tomyam campur, dan kangkung belacan. Nasi putih untuk 5 orang makan dan dia ada bagi ulam-ulaman dan sambal pencicah. Disebabkan semua orang lapar, bila nasi sampai tu masing-masing saling memandang dan berkata; "Cukup ke nasi ni?" Hani yang selamba pun memanggil pelayan dan berkata; "Dik, nasi tak cukup ni. Tambah lagi." Tamak kan memasing? Tapi jangkaan meleset sebab nasi sikit tu sebenarnya cukup tapi sebab dah mintak, terpaksa juga perabis. Cuma sotong je yang terpaksa tapau sebab tak larat dah.

Selepas

Jumlah besar untuk makan malam tu adalah RM120++ rasanya. Kitorang rasa murah tapi takkan datang lagi sebab servis dia bapak lambat! Sekian, cerita hari kedua.

Thursday, 27 November 2014

Langkawi 2014 - Episod 4: Lawatan Tapak Kali Pertama

Bila stress, mood mengadap blog pun merasuk. Stress sebab PC ofis tak boleh connect internet lepas blackout kelmarin dan stress sebab 'awat teruk nau markah kuiz budak-budak ni?' Stresssssss.... Balik kerja pun lewat sebab ada kelas dengan sem 2 dan sampai rumah dah dekat maghrib. Lepas maghrib terus masak untuk Abah makan dan lepas tu terus mengadap laptop. Mandi pun tak lagi ni. Heeee... Maka, jom sudahkan cerita hari kedua episod pertama ni.

Memandangkan kami bercuti pada musim hujan, maka cuaca tidak boleh dijangka. Perancangan hari kedua berubah terus daripada jadual asal. Macam biasa, pagi-pagi tu bangun dan bersiap untuk sarapan. Malas je nak bangun masing-masing sebab pagi tu hujan dan sejuuukk. Tarik selimut pun sodap! Tapi bangun jugaklah sebab lapar. Sarapan dekat sini aku kira boleh tahan walau tak banyak pilihan macam dekat Residence Hotel. Kira masih boleh nak pilih makan makanan Malaysia atau nak jadi omputih atau nak jadi kambing. Kiranya perut tetap akan kembung sampai tak boleh jalan jugak kalau nak makan semua benda. Bukan apa, aku baca review dekat booking.com, ramai juga cakap makanan tak banyak dan banyak komen negatif pasal Dayang Bay ni. Bagi aku, servis dia kira okeylah dan mungkin juga kami tak terkena dengan apa yang dikomen oleh pengunjung lain tu.

Keadaan tempat makan

Infinity Pool; cantik sangat sebab nampak macam bertemu dengan laut tapi sayangnya tak boleh nak berendam dalam ni...

Menu hari Sabtu, dari kiri: omputih, Jawa(tau tak kalau makan nasi lemak gaul dengan bihun, dia jadi super sedap?), orang sakit, budak-budak...bahahaha...lama gila duduk perabiskan makanan...makanan budak-budak tu ambik sebab dia baru je keluarkan ban bulat yang bapak sedap dan lembut tu sampai terasa nak bungkus bawak naik bilik...

Lepas makan, naik bilik dan bersiap untuk agenda seterusnya. Patutnya nak berkelah dekat air terjun tapi disebabkan hujan, kita berkelah dekat Haji Ismail Group jelah. Hahaha... Buat yang belum tahu, HIG dah ada kompleks sendiri dan lebih seronok nak membeli belah. Waktu kitorang cari lokasi HIG ni, berlaku sedikit konflik sebab dalam Waze tunjuk tempat lain tapi co-pilots tunjuk arah lain. Sebab co-pilots kata belok kiri dan waktu tu memang dah ada dekat belah kiri, maka pemandu pun belok kiri. Tak jauh dari simpang tu, terus nampak kompleks HIG belah kanan. Wahhh, besar! Rupanya lokasi dalam Waze tu kedai lama yang terletak di deretan kedai. Kitorang jumpa pun waktu sesat nak cari jalan keluar. Maknanya, dua-dua pun boleh pergi. Waktu sampai, masih lagi hujan tapi dah renyai-renyai dan matahari pun dah mula tunjuk muka. Jadinya, pagi tu memang all out shopping coklat sahaja.

Bahagian Mall

Bahagian hotel

Mungkin sebab hari tu hari Ahad, maka ramai jugaklah orang kat situ sampai berlaga troli. Kalau cuti sekolah agaknya berlaga bahu kot. Selain coklat, ada juga pinggan mangkuk, periuk belanga, beg baju, sudip, kain batik dan gajus bakar. Aku, Aten dengan Mada kongsi satu troli sebab kitorang kan bujang, banyak manalah nak kaut coklat kan walaupun waktu nak bayar tu sampai melimpah keluar dari troli. Hahaha... Chik pakai troli sendiri sebab dia nak kaut untuk diri sendiri, mak ayah, adik-adik dan juga mertua. Hani pun troli sendiri sebab dia nak kaut coklat banyak-banyak as rewards for herself after all the hard work throughout the year. Bajet coklat aku 200 hengget je maka mula-mula tu kaut mana yang perlu je. Bila rasa macam dah cukup untuk diri sendiri, aku dengan Mada berhenti kejap dan kira berapa hengget dah belanja. Kira punya kira, semua ni baru 80 hengget? Terus tak ingat dunia sambung kaut coklat. Bahahaha... Takdelah untuk diri sendiri semua, beli juga untuk kawan-kawan pejabat dan murid-murid tuisyen. Memang niat nak bagi sesuatu untuk budak-budak tuisyen ni sebelum habis sesi. Beli jugak kiriman orang. Total damage for that day was almost RM 300. Aik? Oh, campur dengan kiriman orang, tu yang sampai 300 hengget tu. *ayat penyedap nama dia*

Sebelum pengiraan dilakukan

Sewaktu nak bayar...sampai melimpah ko!

Tunggu Hani dengan Chik

Okey, diorang dah keluar

Rupa bila dimuat naik dalam Serena

Aku update status FB, Mada kira bajet..hehehe

Habis membuat pelaburan, kami balik hotel hantar coklat sebab cuaca pun dah panas, karang cair coklat kitorang. Penuh satu MPV. Nasib baik sewa Serena, kalau sewa kereta kecik, memang tak muat ni. Dah hantar coklat, cari makan pulak. Kebetulan nampak satu kedai makan yang menarik lauk-pauknya dan banyak pilihan tak jauh dari tempat kami buat pusingan U. Maka ke situlah kita. Makanan laut dia segar-segar belaka. Udang pun besar-besar tapi masing-masing menahan diri nak makan mewah sebab rancang nak pulun makan udang segala tu waktu makan besar. Habis makan, hantar Hani balik hotel sebab dia nak rehat puas-puas. Okeylah, sebab dia kerja teruk dekat KL, kita bagi dia rehat banyak-banyak dekat sana. Kitorang teruskan agenda ad hoc petang tu tapi tak seronok sangatlah sebab tak cukup korum. Entri ini disudahi dengan wefie kami bertiga. ;)


Semester Baru, Kerenah Baru

Semester ni paling tak ada hati nak gebang. Dah nak habis semester baru nak tulis entri, boleh? Pun bolehlah. Setiap semester, kerenahnya lain sebab orangnya pun lain. Semester 1 kali ni tak ada masalah sangat melainkan masalah sama iaitu banyak mulut. Pantang menoleh sekejap nak menulis di papan putih, terus pok pek pok pek sampai aku pusing balik hadap diorang. Ishhh! Orang kata, what goes around comes around tapi aku dulu takde la bising pun dalam kelas sebab kalau bercakap sahih terus sesat jalan tak dapat apa yang lecturer sampaikan. Tapi kalau tersengguk-sengguk mengantuk, itu selalu. Hehehe...

Budak-budak sem dua pun memang tak ada masalah. Sem lepas memang gabung semua course dalam satu kelas, memang masaklah nak suruh diorang senyap. Bila pecah dua ikut bidang sem ni, eehh, senyap sunyi kelas dan masing-masing tumpu pada kelas. Kenapa sem lepas tak boleh? Redha jelah.

Dah hujung-hujung sem ni memang sibuk lain macam sebab semua benda pun nak kena selesai. Kehadiran kena kemaskini dalam sistem, tugasan sepanjang sem kena cukup kuota, markah nak kena isi dalam sistem dan silibus nak kena habiskan. Fuuuhhh! Sepanjang menceburkan diri dalam bidang ni, semeseter ni rasanya paling teruk nauzubillah. Bukan budak-budak, cikgunya. Tak tahulah kenapa tapi sungguh-sungguh tak rajin nak buat aktiviti dalam kelas dan macam main-main pulak bila masuk kelas. Itu yang sampai terkejar-kejar bila nak habis sem tu. Harap-harap sem depan tidaklah mood ke laut dalam macam sem ni; aku tak seronok, budak-budak lagilah bosan.

Makanya, minggu ni memang balik lambat sesaja sebab kena buat kelas tambahan dan juga nak siapkan menanda tugasan. Mujurlah audit 5S haritu terselamat sebab meja aku tak kena audit. Kalau tak, mana nak letak muka sebab meja aku paling sepah sekali dengan kertas tugasan 12 kelas budak. Itu tak campur lagi gunung soalan peperiksaan sem lepas bawah meja. Ish..ish..ish.. Tak sabar nak tunggu budak-budak ni mula periksa.


Wednesday, 26 November 2014

Langkawi 2014 - Episod 3: Menjakun dan Meluncur Atas Pasir

Kali ni adalah episod akhir untuk hari pertama. Selamat membaca. Hehehe... Lepas makan dekat kedai Kak Ani, kami meneruskan perjalanan mencari tempat penginapan. Sebab haku perasan kaya, maka aku telah membuat tempahan di Dayang Bay Serviced Apartment & Resort. Hotel ni hotel baru dan jalan masuk ke sini pun macam harami; berlubang sana sini. Kenapa pilih hotel ni?
1. Dia adalah hotel baru maka kelengkapan tu semuanya baru dan cantik dan bersih.
2. Sebab hotel dia adalah cantik.
3. Sebab ada kolam renang khas untuk wanita.
4. Sebab dia kata ada spa & massage jadi sambil menyelam sambil minum air.(tapi spa dia tak bukak lagi maka kena menyelam je tak boleh minum air sekali)

Aku tempah melalui booking.com dan pilih two-bedroom suite. Kalau tempah melalui laman web selain milik hotel, pastikan korang print siap-siap slip tempahan atau korang akan kelam kabut email pengesahan tempahan tu waktu nak check in macam haku. Waktu nak check in tu berlaku satu masalah besar dimana mesin kad dia tak boleh nak baca kad rimau aku. Eh, ni masalah kad ke masalah mesin ni? Haritu telefon dia kata kalau debit Visa dia boleh je terima. Sekarang pe cer? Aku dah cuak sebab itu adalah pertama kali nak seret kad rimau; takut-takut masalahnya pada kad. Terus buntu tak tau nak buat macam mana. Tetiba Hani suruh seret kad dia, pun tak boleh juga. Sahihlah mesin kad dia yang tak boleh guna tu.

Tanya orang lain, diorang kata baki duit dalam kad tak cukup. Sebenarnya sebelum pergi tu dah terasa-rasa macam ada benda buruk akan berlaku; sekalinya betul-betul berlaku. Bila dah tak boleh tu, aku pandang diorang, diorang pandang aku. Tetiba Hani tanya kalau boleh buat bayaran melalui online. Eh, apasal aku tak terfikir eh? Disebabkan hal ni, proses check in tu jadi lama. Nasib baiklah banyak tempat duduk maka sementara tunggu bolehlah mak buyung pergi berehat dulu. Akhirnya, aku bayar guna online banking. Memang cisss tau mesin kad awok tu!

Nasib baiklah bilik dia cantik. Kitorang pilih bilik tak ada view laut; kalau nak sea view kena tambah dalam 300 - 400 untuk semalam maka sekian terima kasih. Duit tu boleh simpan beli Corelle. Pun begitu, pemandangan bilik kami agak cantik juga iaitu jeti nelayan jadi nampak jugalah air, siap ada bot lagi. Hehehe... Suite ni ada dua bahagian; pintu belah kiri memang bilik saja dengan dua katil manakala pintu belah kanan ada ruang tamu, bilik dan dua bilik air. Ada private balcony juga dimana disitulah adanya oven, peti sejuk, cerek dan meja besar. Nampak je oven, terus si Mada ke Hani cakap; "Wah, ni boleh masak udang ni." Bahahaha... Rajin sangatlah tu. Bilik memang luas, selesa dan puas hati. TV ada 3 bijik (sebijik bilik Chik, dua bijik bilik aku), bilik air ada 3, sofa bed mahal ada seketul(tapi tak selesa sebab rasa spring je), dan almari baju pun besar. Access card dia bagi 4 keping jadi dua bilik sebelah, dua bilik sebelah. Bila keluar, kitorang tinggalkan je satu kad biar bilik tu sentiasa sejuk. Barulah terasa berbaloi bayar mahal. Hehehe...



The private balcony

View of the entrance

Master bedroom and sofa bed (masuk-masuk je terus punggah sofa jadi katil..nampak sangat jakunnya tu..hahaha)

Lepas check in lepak golek-golek je dalam bilik sebelum keluar menuju ke Pantai Chenang lepas asar. Cadangnya nak jalan-jalan je dekat pantai tetiba ada orang datang dekat kitorang dan promote aktiviti parasailing. Nak bagi harga pelajar katanya. Hani yang terlebih teruja terus kata nak buat sambil mengajak kami sekali. Chik memang tak boleh la buat, Aten pakai skirt pun terselamatlah. Cuma tinggal aku dengan Mada. Aku pandang dia, dia pandang aku, kitorang pandang Hani. Hahaha... Tempat parasailing tu bukan dekat situ tapi kena naik kereta ke bahagian yang jauh sikit dari kawasan orang mandi-manda. Bila Hani cakap nak, abang tu telefon kroni dia cakap ada ustazah-ustazah nak parasailing. Okeylah, tudung labuh sikit je kena jadi ustazah kan, maka dia kata orang yang akan bawak tu nanti perempuan jugak. Maka, persetujuan dicapai. Hani, Mada dan yours truly bersetuju nak sailing.

Hani pergi dulu sebab dia yang paling semangat nak buat padahal aku dengan Mada tengah cuak tahap Power Rangers dalam hati. Hahaha... Untuk tujuan keselamatan, kitorang kena pakai life jacket. Dah pakai life jacket baru dia pasang alat untuk sailing tu. Sebelum tu dia ada juga tunjuk cara nak terbang. Kitorang siap tanya lagi, ada yang cedera tak sepanjang waktu buat aktiviti ni dan macam-mcam soalan cuak. Dia macam paragliding tapi lagi mudah sebab kita mula terbang dekat kawasan rata dan ada bot yang tarik. Waktu nak naik tu kena lari, lari dan lari sampailah 'terbang'. Tapi dah kata lari atas pasir, laju mana sangatlah larian tu kan. Orang belakang siap cakap; "Lari, lari, lari, lari." Berat okey berlari atas pasir. Aku lari pun macam jalan je. Hahaha... Waktu berlepas tu alhamdulillah semuanya lancar.

Sementara menanti giliran...cuak benornya masing-masing tu..

Bila dah dekat atas tu, rasa macam woooaaaahhhh! Cantik sangat pemandangan dekat atas tu. Bila tengok bawah, terus terfikir, 'Kalau terlepas ni macam mana?' Terus istighfar banyak-banyak untuk kurangkan rasa cuak. Hehehe... Pemandangan memang cantik lagi-lagi bila tengok laut. Dia bawa pusing tu tak jauh sangat tapi bila dah dekat atas tu memang terasa 'bila la nak sampai darat, bila la nak sampai darat'. Hahaha... Waktu nak mendarat, kena lari jugak. Maka sebelum sampai dekat darat, sila siap-siap 'berlari' dekat udara dan terus berlari walaupun kaki dah jejak pasir sampailah badan terasa berat. Sebab apa kena terus berlari sampai badan terasa berat? Itu tandanya kita betul-betul dan jejak bumi dan payung terjun dah selamat jatuh. Kalau badan masih rasa ringan walaupun kaki dah jejak bumi, itu tandanya belum betul-betul mendarat. Merasalah kena seret atas pasir macam tuan tanah ni. Tiga orang yang buat parasailing, tiga-tiga mendarat dengan cara berbeza. Hani masuk dalam air, aku sliding atas pasir manakala Mada terduduk. Hani masuk air sebab akak yang naik dengan dia tu tak berapa kuat mengemudi tali payung terjun waktu nak mendarat. Sudahnya bila sampai giliran aku dengan Mada, lelaki yang naik sekali dengan kitorang.

Okey, bawah ni gambar-gambar waktu mendarat. Gambar waktu berlepas tak ada sebab photographer sibuk selfie dan wefie. Okey Ten, aku maafkan ko. Asal ada gambar dengan payung terjun tu, jadilah. Buat kenangan katanya.




Wefie by Queen of Selfie...Hani sorang je yang terer ambik gambar camni tanpa 'joran' sampai kitorang cakap; "Hani ni doktor ke, tukang ambik gambar ni? Confuse, confuse." hahaha....

Asalnya nak terus makan malam balik dari Pantai Chenang tu tapi sebab Hani punya baju dah basah, maka kitorang terus balik hotel. Sampai hotel, tukar 'uniform' dan terus tergesa-gesa turun kolam. Elok sangatlah perangai pergi terjun kolam waktu maghrib. Mujurlah tak ada apa-apa perkara pelik berlaku. Syok habislah berendam dalam kolam khas untuk wanita saja tu dan hanya kami je ada kat situ waktu tu. Walaupun tak pandai berenang, dapat berendam pun dah kira hebat sangat. Hahaha... Kedalaman dia adalah paras dada jadinya boleh lagi berjalan-jalan dalam tu. Kolam khas untuk wanita ni dikelilingi pokok-pokok dan terlindung daripada laluan umum makanya selamatlah apa-apa yang patut diselamatkan. Kalau kolam utama view dia memang cantik; infinity pool. Tapi takkan la kan nak berkuak lentang dengan orang-orang lelaki.

Malam tu kami keluar ke Pekan Kuah untuk cari makan. Being tourists, we busily checked other people's review about the best eating place on the internet. We took quite some times to decide where to go when finally we decided to go to a Medan Selera near the Dataran Lang. They said Dataran Lang is just over there behind the building but I saw nothing. Hehehe... Sebab dah terjumpa review tentang kedai Laksa Penarak, maka ke situlah kami. Macam-macam ada! Rancangnya nak makan besar pada malam terakhir jadi kami pilih menu biasa je dan kemudian beli sate. The end of day one. Stories in day two will be continued.
Makanan tambahan

Kami...tu Hani tu dapat panggilan dari sepital tu..

Saturday, 22 November 2014

Tambah Koleksi

Ini hasil tangkapan harituuuu. Kadang tu memang ada angin ribut nak-beli-jugak nama dia. Padahal tak perlu pun sebenarnya. Dasar perempuan, baju dah tak muat almari pun boleh cakap takde baju bila nak keluar. Heeee... Lepas tu pantang tengok perkataan 'diskaun' atau 'percuma pos'. Aku le tu. Bila membeli ni, tidaklah yang diluar kemampuan. Masih juga cari yang di dalam bajet dan kedai online yang dipercayai. Beli-belah online ikut nasib juga sebab ada juga peniaga yang tak jujur sebab aku dah pernah kena.*Maaf ye, saya tak halalkan duit saya yang awak makan tu.* Kalau agak-agak peniaga tu lambat nak mamps balas pertanyaan, sila tak payah berurusan dengan beliau sebab kebarangkalian beliau tak jujur adalah sangat tinggi.

Macam baru-baru ni, aku nak beli border lace dari satu peniaga ni. Dia ada blog dan ada FB Page dan memang nampak meyakinkan. Macam biasalah bila berurusan di alam maya, mestilah pertanyaan tu lain macam banyaknya sebab nak beli benda yang tak ada depan mata. Aku pun WhatsApp dia tanya stok semua. Pertama kali tanya tu memang baru nak tanya dan kali kedua tu memang betul-betul nak beli. Bila dah tanya dua kali dan tak ada balasan langsung lepas tu, malas dah nak berurusan dengan dia. Kecewa mak incik sebab stok yang dia ada sangat cantik dan menepati piawaian baju. Haih... Kalau ada yang menjual border lace dengan pelbagai pilihan corak dan warna, mohon tunjuk muka. Saya benar-benar nak beli, tak tipu punya. Tapi awak pun jangan main-main macam peniaga tu ye, nanti tak berkat hidup awak.

Sambung cerita tentang hasil rembatan angin ribut nak-beli-jugak tu. Bulan sebelumnya rembat 2 helai wide shawl dari Fleur Closet. Beli sebab gatal tangan dan sebab dia adalah wide shawl dan dia ada manik-manik. Beli benda yang memang dipakai takpe. Mihmihmih... Edisi kali ni nama dia THEA. Tengok edisi terbaru shawl dari Fleur Closet, cantik dan tertarik jugak tapi.....
coklat dan hitam



Lepas tu terasa nak cuba membeli di Poplook sebab asyiklah keluar promosi dia dekat newsfeed FB. Berapa kali aku keluar masuk website dia sebelum akhirnya merembat sepasang baju yang berupa blouse dan juga skirt. Mix and match gitu. Alhamdulillah, senang dan cepat juga servis mereka.

Bungkusan Poslaju dari Poplook

Cherilyn Lace Button Front Blouse paired with Jancis Flare Panel Maxi Skirt

Dah beli baju, tak ada tudung sepadan pulak, gatal tangan lagi sekali bila tiba-tiba keluar promosi Ranna Rasyeeqa dekat FB. Memang sesuai sangat warna tudung tu dengan blouse rembatan Poplook. Terus zaaaassss mesej dan buat pesanan terus. Servis Ranna Rasyeeqa juga terbaik sebab aku mendapat balasan dengan sangat cepat. Seronok! Terus confirm order, terus bayar dan terus selesai urusan jual beli. Cepat dan cekap. Boleh ulang beli lagi ni. Hehehe... Lagi seronok bila bungkusan sampai, kembung lain macam je plastiknya macam tebal sangat tudung tu. Bila bukak, rupanya dapat percuma satu tudung double face ke apa orang panggil tu; ala, yang boleh guna dua-dua belah tu. Alhamdulillah, rezeki. Terima kasih banyak-banyak kerana bermurah hati memberi tudung percuma pada saya; semoga Allah mengurniakan lebih lagi dari apa yang anda beri.

Kiri adalah tudung percuma manakala kanan adalah hasil belian


Membeli barang online ni kadang tak adalah jimat sangat pun sebab kadang boleh jumpa dekat kedai dengan harga yang lebih murah. Tapi sebab tak tahu mana kedainya dan tak ada masa nak pergi, beli online lebih praktikal. Lepas tu bungkusan akan sampai dekat ofis dan perasaan menerima bungkusan tu adalah tidak tergambar. Lepas tu nanti bila dapat je bungkusan tu semua orang kepochi suruh bukak dan-dan tu jugak sebab nak tengok sama-sama. Tak kiralah siapa pun yang dapat bungkusan, kena paksa bukak dekat situ jugak. Bahahaha... Tengok je, tak kena bayar pun kan.

Wednesday, 19 November 2014

Masih Mengembara

Kadang-kadang bila pergi blog orang tapi tak ada entri baru, aku masuk balik blog sendiri dan baca balik entri-entri purba dalam ANC ni. Dah kata sendiri tulis sendiri baca, maka kena baca balik apa yang telah ditulis itu dan terperasan satu benda; dah lama tak ada entri bawah label Kembara Korea rupanya. Kemain eksyen ye lepas balik dari Korea nun, tak nak tulis review drama dah. Hehehe... Tak sempat nak menaip, bukan eksyen. Masih lagi mengembara cuma tak ada stok baru sebab bajet hujung tahun ni ketat jadinya ulang tengok jelah cerita yang ada dalam simpanan.

Setakat ni, cerita yang paling banyak ulang tengok adalah Faith ataupun The Great Doctor sebab heroin dia heroin kegemaran dan Lee Min Ho adalah sangat macho dan hensem dalam drama ni. Drama lain dia tak hensem. Hahaha... Habis la kena pangkah dengan peminat Kim Tan. :p  Serius oi, dia sangat sesuailah jadi Jeneral Choi Young tu. Walaupun dah ulang banyak kali sampai boleh hafal jalan cerita, tetap nak ulang tayang jugak.

Hensemnya awok Choi Young!

Bila tengok drama Korea, terus terasa rindu sangat dekat Seoul. Rindu nak naik bas, rindu nak jalan kaki sampai sakit lutut, rindu nak minum kopi depan guesthouse, rindu nak dengar ahjumma-ahjumma gosip dalam bas, rindu nak pergi convenience store dan beli susu pisang, dan rindu dengan pemandangan yang cantik. Rindu dengan cuaca musim bunga yang nyaman jugak.

Sebenarnya aku memang suka naik bas tapi dekat tanah air sendiri ni penakut banyak kalau nak kena naik bas awam. Hehehe... Seronok tengok pemandangan dari dalam bas dan seronok dengan cara mereka yang saling menghormati dan mengutamakan yang utama. Pantang ada orang tua atau wanita dengan anak kecil, cepat-cepat orang yang sedang duduk bangun dan berikan kerusi kepada mereka. Satu lagi pemandangan menarik sewaktu naik bas 273 adalah deretan kedai yang menjual barang yang sama mengikut kategori. Insaf bila Mada cakap; "Sazoh, nilah yang dikatakan rezeki masing-masing. Walaupun kedai jual benda sama, tapi tetap ada pelanggan." Kadang-kadang manusia ni tak yakin dengan janji Allah bahawa setiap orang ada rezekinya sendiri tapi bila tengok situasi dekat sana, insaf terus. Tak tahulah polisi kerajaan ke apa tapi kalau satu lorong tu jual barang-barang hardware, dari hujung sini sampai hujung sinun semua jual benda sama. Kalau lorong tu jual cadar dan selimut, sepanjang-panjang kedai yang ada dekat bangunan tu semua jual benda sama. Bukan tertumpu satu kawasan je ye tapi rata-rata tempat.

Sebab kitorang sampai sana hari Sabtu, maka pengguna kenderaan awam pada hujung minggu adalah makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang keluar untuk berlibur. Kagum aku dengar makcik-makcik tu 'berjoyah' menggunakan bahasa Korea. Walaupun tak faham semua, tapi aku fahamlah intipati perbualan diorang. Berkat tengok cerita Korea berkoyan-koyan. Hehehe... Ada sekali tu ahjumma-ahjumma tu dok borak pasal hantu. Dari gaya cakap tu, macam diorang nak kata; "Aiyoo, takutlah ada hantu dekat situ." Gituuu...

Waktu kitorang dekat sana, kejadian feri terbalik tu baru sangat berlaku maka segala rancangan hiburan dihentikan buat seketika sebagai tanda menghormati mangsa-mangsa nahas. Tak dapatlah nak tengok Running Man sebab yang ada cuma drama-drama je. Kalau waktu berita pulak, hampir keseluruhan waktu berita berkisar tentang nahas. Siap dia tunjuk eksperimen macam mana feri tu boleh terbalik. Walaupun tak faham, tapi sebab dah ada kat sana, kira macam faham jugalah apa yang pemberita tu cakap.

Satu lagi yang menarik adalah cara diorang meraikan tetamu atau pelanggan. Upon entering their restaurant, they will greet us and bow at the same time. Bila sentiasa berhadapan dengan situasi begitu selama 6 hari di sana, sampai sini pun terikut-ikut juga. Dekat ofis pun, sebab diorang tahu aku baru balik dari Korea, kemain masing-masing dok annyeonghasayeo. Bila aku jawab balik siap menunduk juga macam dekat Korea. Hahaha...

Gwanghamun Square on weekend

Padang Rumput di Nami Island

Gwanghamun Square on weekdays

Haih, rindulah! Eh, Wak Doyok dah "Ke Korea Ke Kita?" buat kali kedua kan? Sebenarnya lebih rasa tak sabar nak ke sana sebab tengok rancangan Wak Doyok dengan Myo tulah. Sumber inspirasi gitu. Mada, kita nak kena buat perancangan untuk pergi Korea kali kedua ke, cemana ni? Kang Mada cakap, "Dah banyak duit kang bukan Korea je kita pergi, nak pergi Antartika pun boleh." Tahun depan mungkin tak kemana-mana kot sebab tahun ni dah banyak sangat berjalan. Bagi tabung-tabung yang ada stabil dulu baru rancang balik nak berjalan.

Monday, 17 November 2014

Hujung Minggu

Dah hujung-hujung tahun ni, hari minggu memang ada kat rumah je melainkan ada jemputan kenduri atau Abah ajak jalan-jalan. Tapi suka lagi duduk rumah daripada keluar. Bila dah kat rumah memang malas nauzubillah nak keluar sebab kena mandi cepat, kena gosok baju, kena sarung stokin dan nanti kena basuh balik stokin untuk minggu seterusnya. Tapi kalau dah keluar rumah, tak jumpa jalan balik pulak, cemana tu? Hahaha... Memandangkan duit lebihan di sana dan sini telah pun habis dilaburkan di Langkawi, maka sekarang kena berjimat-cermat tahap Power Rangers walaupun banyak aje barang dalam senarai nak beli. Heeee...

Kelas tuisyen pun dah habis untuk tahun 2014 maka bertambahlah lapang hari minggu ku. Itu yang seronok aje tengok drama Korea berepisod-episod sampailah habis satu cerita. Kerja rumah pulak tengok mood; kalau rajin aku sental kalau tak lantak situ. Dah, semua aku sorang nak buat, karang stress-stress ada yang mengemop sambil menangis. Emosi keterlaluan. Kalau ada rezeki beli rumah sendiri karang, tak naklah beli rumah besar. Penat nak mengemas hoi! 

Malam Sabtu keluar ngeteh dengan Aten. Baru nak ajak dia ngeteh petang Sabtu sekalinya dah roger-roger pulak petang Jumaat tu. Layankan aje. Sekarang dah tak ada tempat menarik nak lepas selain Tasbeeh Bistro. Sejak kualiti makanan dan servis SR merosot, dah jarang sangat lepak situ. Nak pergi SAHA pulak kena tempah meja dulu sebab kalau datang melenggang memang duduk bersila la depan tangga. Jadi, dapatlah selesaikan basuhan 3 mesin, menyapu dan mengemop selain memasak la kan. Itupun bahagian depan je, bahagian dalam tak selesai juga. Tunggu hujung minggu ni pulak kemas bahagian dapur.

Sunday, 16 November 2014

Cucur Kentang Sendiri Bikin

Okey, fenomena potato fritters ni dah lama melanda dan dah lama reda pun tapi aku baru terhegeh-hegeh nak mencuba. Tak apa, biar lambat asal buat. Resepi asalnya aku tengok dari beberapa blog masakan popular yang tersenarai di belah kanan ANC ni tapi aku ubah-ubah sikit ikut bahan yang ada dan ikut kesedapan anak tekak ni. Contohnya macam daun kunyit tu, resepi asalnya guna daun bawang tapi sebab tak ada daun bawang maka aku petik aje daun kunyit yang tengah subur dekat keliling rumah. Kalau tak ambik kang berebut pulak dengan belalang yang suka betul makan daun kunyit. Hehehe... Sebenarnya idea letak daun kunyit ni datang dari Abah sebab kalau Abah buat jemput-jemput dia akan letak daun kunyit dan jadi sedap. Kalau tak percaya, boleh cuba ye. Okey, meh tengok resepi.

Cucur Kentang Sendiri Bikin


Bahan-bahan (4 orang makan)
5 biji kentang disagat
1 biji bawang besar
1 biji cili hijau + 2 biji cili padi merah
1 helai daun kunyit (boleh ganti dengan daun bawang)
1 genggam ikan bilis (ditumbuk kasar)
1 sudu lada sulah (sendiri kisar)
1camca garam
6 sudu besar tepung jagung
5 sudu besar tepung gandum
2 biji telur

Cara membuat
1. Hiris halus bawang besar, cili dan daun kunyit.
2. Campurkan semua bahan hirisan, ikan bilis, lada sulah dan garam ke dalam kentang yang disagat.
3. Gaul sampai sebati dan barulah dimasukkan tepung.
4. Akhir sekali, masukkan telur yang telah dikocok manja dan gaul sampai semua bahan sebati.
5. Panaskan minyak dan goreng sampai garing.
6. Makan sambil tengok tv. Hehehe....

Kerana Aku Pencinta Kopi


Rasanya ramai kot yang satu kapal dengan aku tentang kopi ni. Setiap hari, aku WAJIB minum kopi sebab kalau tak minum akan sakit kepala dan terasa nak marah orang je kerjanya. Kalau tengok aku masam muka lepas tu tengok orang pun tak puas hati je, tu tandanya tak dapat kopi la tu. Hahaha... Tak perasan pulak sejak bila ketagih dengan kopi ni, rasanya sejak dekat U kot. Tak ada jenama spesifik asalkan kopi, dah cukup. Kalau kopi o, aku dah boleh minum tanpa gula walau pahit macam mana sekalipun kopi tu. Ini disebabkan oleh satu peristiwa yang menyerlahkan ketidakcerdikan dimana aku dengan yakin hirup kopi McD yang dibeli dikaunter. Pertama kali beli kopi McD, mana la tau gula dia kena bubuh sendiri. Sejak tu aku lebih suka minum kopi o tanpa gula. Cuma waktu kat U dulu semedang ada stok Radix sebab senang nak dapat stok. Kalau Nescafe, dulu boleh la minum tapi sekarang ni sakit kepala bila minum sebab terasa kuat sangat pulak kafein dia. Bau je pun dah pening.

Dah lama tak beli Radix sebab susah nak dapat stok sebab kedai yang aku selalu beli tu dah buat onar. Maaflah aku nak beli lagi dekat kedai dia. Tapi dah dapat alternatif baru iaitu kopi Agromas. Tak ingat pulak macam mana kenal dengan jenama ni tapi disebabkan ianya lebih murah dan kilangnya pun sepelaung je dari rumah maka sekarang ni aku minum kopi Agromas ni je. Kilang dekat Banting ni dia buat serbuk kopi yang kopi o tu je tapi dia ada jual produk Agromas lain jugak seperti kopi 3 dalam 1, sardin, rempah-ratus dan juga mee segera. Boleh datang je ke pejabat dia dekat kilang ni sebab tempat jualan produk adalah dalam bangunan pejabat. Meh layan gambar...





Borong sampai 4 paket haaa...

Selain baunya yang tak menyengat macam Nescafe, rasanya pun sedap! Ada banyak pilihan jugak. Sebab tu la kalau pergi beli, kena ada paling kurang 50 hengget dalam dompet. Rancang nak beli sepaket, sampai sana kang kaut tu satu, kaut ni satu, terus jadi berpaket-paket. Gambar-gambar atas ni waktu aku borong beberapa bulan lepas. Gambar gegar-gegar sebab segan nak ambik gambar secara terang-terangan. Hehehe... Nampak tak sebenarnya aku dah peram entri ni lama? Pintu masuk dia pun haritu dah tukar baru. Nanti kalau pergi sana lagi aku ambik gambar baru.