Engagement Fund ;)

Tuesday, 13 January 2015

Aku, Mereka dan K-Pop...

Beberapa hari ni, heboh tentang video gadis bertudung dan kumpulan penyanyi Korea terkenal di media baik sosial mahupun cetak. Mula-mula tahu isu ni daripada FB Kak Di dan kemudian banyak status mengenai ini terpapar di newsfeed FB. Daripada hanya membaca, tertengok videonya di salah satu laman blog hiburan, juga terbaca komen-komen dari artis-artis tempatan.

Isu ni kalau dikupas, memang akan jadi serius dan berat. Betullah coretan seorang sahabat di FB bahawa kalau kita tak layak nak marah berlebihan pada mereka yang muncul dalam video itu, kerana sebelum video itu muncul lagi aksi-aksi serupa sudah acapkali muncul di kaca-kaca tv, dilakonkan sendiri oleh pelakon melayu Islam. Komen dari mulut-mulut orang sekeliling apabila ada yang membangkitkan antara aksi peluk si gadis dengan penyanyi K-pop dan aksi peluk pelakon-pelakon tempatan adalah; "Itu lain, ini lain." Apa yang lainnya? Bersentuhan antara bukan mahram berlainan jantina tetap haram hukumnya tak kiralah lelaki tu mamat Korea ke, mamat Malaysia ke.

Kita tahu apa yang dibuat oleh mereka itu salah, cukuplah kita doakan agar mereka insaf dan bertaubat kerana itu juga salah satu cara untuk menegur; menegur melalui hati iaitu selemah-lemah iman. Tahu mana yang boleh dan mana yang tak boleh itu juga hidayah dari Allah jadi jangan cakap lebih-lebih kerana bimbang nanti Allah tarik hidayah tu dari kita. Kalau cakap belakang, bukan menegur namanya tapi mengumpat.

Terus pulak timbul isu lain, yang lelaki tu kalau nak pilih isteri, jangan pilih yang minat K-pop. Mengarut la wei! Eh, marah nampak? Tidaklah, cuma geram sebab zaman makin maju tapi otak makin tak cerdik. Habis semua peminat K-pop disalahkannya. Tak patut, tak patut. Tak salah pun minat K-pop ni asalkan jangan berlebihan. Buat apa benda punlah dalam dunia, tak boleh terlalu taksub dan melebih-lebih sebab kesannya memudaratkan. Rugilah lelaki-lelaki yang tak pilih calon isteri minat K-pop sebab kebarangkalian peminat K-pop untuk tahu memasak makanan Korea adalah tinggi. Untung di situ sebab pertama calon isteri tu tahu masak dan kedua, masak makanan antarabangsa lagi. ;)

Mak incik pun minat juga Kpop tapi tak adalah sampai nak tampal poster penyayi atau pelakon Korea dalam bilik. Tak ada pun nak kena letak muka Kwon Sang Woo jadi wallpaper laptop, tak payah! Geli lagi ada nak tatap muka dia lama-lama. Ei! Minat sekadar tengok lakonan artis yang diminati dalam drama dan lepas tu dah. Tak pun sampai nak mimpi ke atau berhabis duit beli buku biografi bergambar artis-artis K-pop. Tak kuasa! Disebabkan isu ini, aku pergi Korea haritu tu pun dinaikkan jadi isu waktu berbual-bual tadi. Dah kenapa? Bukannya pergi sana sebab nak peluk mamat-mamat K-pop tapi nak tengok tempat orang, nak kenal budaya mereka, nak tahu gaya hidup mereka, dan nak belajar bahasanya. Belajar bukan hanya melalui buku tapi daripada alam sekeliling.

Maka bila timbul sesuatu isu, jangan cepat melatah dan jangan terus nak tunding jari pada orang lain. Kalau bila kita berbicara itu akan menambah dosa, lebih baik diam dan berfikir. Muhasabah diri dulu adakah ilmu kita cukup untuk berbicara tentang isu ini? Sudah banyakkah pahala yang dikumpul? Diam bukan bererti tak ambil kisah tapi diam kita itu diam berisi, diam berilmu. Jadi kepada peminat-peminat K-pop, jangan terlalu taksub dengan apa yang anda minat. Minatlah mereka secara sederhana. Sekian saja pandangan sisi kiri Cik Fara untuk kali ni. Majulah Malaysia untuk rakyatnya.

No comments: