Engagement Fund ;)

Wednesday, 7 January 2015

Regu Lauk Kampung Terhebat

Assalamualaikum....

Sudah tujuh hari kita berada di tahun 2015 tapi aku baru je nak tepek satu entri. Hehehe... Salah satu azam tahun baru, tak mahu bertangguh lagi. Apa-apa punlah macam, karang cerita dekat sini sebaik saja ia berlaku. Kalau tak, memang tak habis-habis ceritanya. Hari ni karangan cerita tahun lepas lagi. Cerita kali ni pasal lauk kategori kampung yang buat aku bertambah nasi sampai tiga kali kalau tak fikir orang belakang. Hehehe...Dua lauk ni, kalau dihidangkan sekali, memang sahih bertambah nasi. Masak lemak rebung madu dengan daging bakar dan sambal belacan kedai. Sebelum ni macam dah pernah kongsi cara nak masak lemak rebung ni tapi takpelah, kongsi lagi sekali.

Rebung masak lemak cili padi dengan daging bakar

Rebung ni dapat percuma Kak Is bagi waktu dia melawat kitorang dekat pejabat. Dapat dua bungkus; sebungkus buat masak lemak cili api dan lagi sebungkus aku masak dengan daging korban ni. Sebab rebung ni dah direbus terlebih dulu, jadi tak payah masak lama-lama.

Mula-mula bakar daging dulu. Aku bakar dua ketul daging bersaiz segenggam penumbuk. Lumurkan kunyit, garam dengan lada hitam je dan bakar sampai dia agak-agak empuk. Dalam 40 minit kot aku bakar; 20 minit untuk setiap sisi. Guna oven toaster je pun boleh. Bila dah sejuk, hiris nipis.

Untuk masak lemak, kisar bawang merah + bawang putih + cili padi. Didihkan air sikit dan masukkan bahan kisar. Masak sampai air surut. Letakkan serbuk kunyit dan serai yang diketuk dan kacau kejap. Masukkan daging, gaul dan biar kejap. Lepas tu masukkan rebung dan santan. Sebab pakai santan kotak, tak adalah nak kena masukkan santan cair dulu. Kacau dan biarkan mendidih tapi jangan sampai pecah minyak. Perasakan dengan garam dan gula. Ini cara aku masak la ek, cara orang lain tak tau. Tapi sedap je pun kejadian dia. Hehehe...

Sambal belacan kedai

Sambal belacan pulak, ilmu dari Cik Iti. Aku memang suka sangat sambal belacan ni tapi arwah mak tak gemar sangat. Kalau nak makan yang sedap, kena beli dekat kedai sebab bila buat sendiri dia tak jadi macam yang kat kedai. Kalau arwah mak buat sambal belacan, ikut cara arwah nenek kulon iaitu semuanya digoreng dulu baru ditumbuk. Sedap jugak yang tu tapi sebab tak rajin, selalu ngelat bila mak kata nak buat sambal belacan. Heee.. Sambal belacan kedai ni tak payah ngelat sebab masuk je semua dalam blender dan zeeeetttt.

Ada satu hari tu, Cik Iti datang rumah dan aku pun masak la untuk makan tengahari sebab waktu tu arwah mak kena pergi sekolah. Waktu nak buat sambal belacan ni, Cik Iti terus ajar cemana nak bagi rasa dia macam yang kat kedai. Cuma guna cili besar + cili padi + belacan bakar + air asam. Cili tu agak-agak tau dan belacan memang kena banyak. Kisar cili dan belacan dengan air asam dan siap! Bahan utama dia adalah air asam tu. La hai, senang je pun tapi kalau tak tahu, memang tak tahu. Terima kasih atas ilmu yang diberikan makcikku. Waktu nak hidang, perahkan limau kasturi. Nak lagi mengancam, boleh hiriskan sekali kulit limau kasturi dan campak je dalam sambal. Memang pergghhh! Nasib baiklah aku tak buat dua-dua lauk ni sekali, kalau tak memang hancur program catuan nasi.

No comments: