Engagement Fund ;)

Tuesday, 10 February 2015

Baik Sebenarnya...

Bila jadi cikgu, tugas kita bukan hanya mengajar dan mendidik malah juga memberi peringatan dan nasihat. Walaupun terasa diri ini macam tak adalah baik sangat pun tapi perlu juga mengingatkan mana-mana yang perlu. Sem ni jadual tak ong sebab asalnya jadual aku berturut slot 2 dan slot 3. Antara kedua-dua slot tu, tak ada waktu senggang langsung jadi memang penat dan terkejar-kejar sebab kelas slot 2 dekat bangunan depan manakala kelas slot 3 dekat bengkel belakang. Jadi aku mintak tukar slot dengan Encik S; sekarang ni kelas aku jadi slot 1 dan slot 3 sampai akhir sem inshaAllah.

Masalah bila mengajar slot 1 ni adalah, kelas masih berkunci walaupun pemilik kelas dah tahu setiap hari Selasa sampai Khamis ada subjek umum dekat kelas tu. Tak pernah mula kelas tepat pada masa; paling awal pun 8.20 baru mula. Itu paling awal, paling lambat malas nak cakap. Buat sakit hati. Disebabkan hal ini, mood aku boleh berputar 180 darjah - dari ceria ke huru-hara.

Kisahnya, Rabu lepas aku ambil dua slot kelas CAD sebab Encik S ada kerja lain dan tak dapat masuk kelas maka kira ganti kelas la dengan dia. Bila dah 8.15 tapi pintu tak bukak lagi, terus rasa nak nangis. Hahaha... Faham tak rasa terkilan sebab tak dapat nak menggunakan 1 jam 30 minit masa yang diperuntukkan tu sepenuhnya? Perasaan dia sama macam sebak nak menangis. Dah la jumpa seminggu sekali je. Itu satu. Bab nak memenuhkan kerusi bahagian depan pun boleh buat aku naik suara satu oktaf dari suara mengajar. Nak tunggu kerusi baris depan penuh je dah 10 minit, tak hangin?

Dah selesai sesi penuhkan kerusi, mula dengan pembentangan dari budak-budak ni. Mood huru-hara naik satu tahap lagi bila masing-masing tak bersedia. Siap ada yang tak tahu tajuk tu! Memang nak kenalah kan. Terus membebel geram. Nak pulak yang buat masalah paling besar tu calon-calon MPP, lagilah bertalu-talu bebelan. Disebabkan kena bebel, bila waktu rehat tu berduyun-duyun diorang jumpa Kak R nak tarik diri dari jadi calon, siap mengadu tu. Mengadu.... Bagus, tunggu kejap lagi. Diorang tak tahu meja aku dekat pejabat tu sebelah Kak R; apa yang diorang cakap, terus Kak R bagi tahu aku.

Elok je habis rehat, aku masuk balik kelas diorang untuk ganti slot Encik S tadi. Sebelum mula mengajar, bebel siri kedua dulu. Kali ni bebelan motivasi la pulak kan. Disebabkan calon-calon MPP untuk bahagian CAD sesi kali ni ramai, memang lamalah sesi bebelan tu. Ada la sesi soal jawab dengan diorang tentang kenapa calonkan diri untuk MPP dan semuanya jawab sebab pengajar yang calonkan. Maksudnya, diorang ni macam paksa rela la nak kena jadi pemimpin. Bahaya kalau dari awal tahap motivasi dah rendah macam ni.

Bila semua calon dah habis luah perasaan, aku sambung bebel. Suntik sikitlah keyakinan dekat mereka dan bincang sikit-sikit apa yang perlu mereka tonjolkan sebagai pemimpin. Kalau dah dalam kelas pun tak berani nak duduk depan, macam mana nak berhadapan dengan orang ramai? Kalau diri sendiri tak terurus, macam mana nak urus orang lain? Kalau diri sendiri tak yakin, macam mana nak yakinkan orang lain? Kalau tak hormat orang lain, macam mana orang nak hormat? Haih... Mereka ni bukan tak mampu nak baiki diri tapi tak ambil berat dengan tanggungjawab; bukannya tak baik, tapi sifat-sifat baik itu terlindung dengan imej konon hebat. 30 minit jugaklah habiskan masa untuk sesi motivasi tu.

Kelmarin waktu dekat dewan, salah seorang yang dimotivasikan waktu kelas datang jumpa aku mintak maaf. Terdiam kejap dan tak tahu nak bagi reaksi yang bagaimana. Selama aku memotivasikan budak-budak, tak pernah pun lagi yang rasa dia tu betul-betul bersalah dan datang minta maaf. Bila aku diam, dia cakap; "Saya cerita dekat mak saya dan mak saya suruh minta maaf dekat Cik." Okeylah, aku maafkan dan  cakap jangan ulang lagi perbuatan yang tak patut tu. Aku tak simpan dalam hati lama-lama pun bila diorang ni buat salah. Dah tegur, dah nasihat, terpulanglah pada diorang nak buat apa. Yang penting aku dah ingatkan dan pesan.

No comments: