Engagement Fund ;)

Tuesday, 14 April 2015

Gangguan

*Entri ni dah taip 20 Mac lepas, maka ini adalah satu lagi entri tertunggak yang baru ditampal.*

Selama ni cuma dengar cerita dari orang lain, hari ni diri sendiri pulak terkena. Kisahnya, waktu bangun pagi tadi, telinga belah kiri hilang keupayaan mendengar maka sepanjang hari rasa tak selesa sebab tak dengar sebelah. Maka, waktu tengahari aku pun masuk la surau konon nak tidur. Pejabat dah kosong waktu tu dan lampu semua dah tutup. Ada jugaklah teringat cerita-cerita seram orang yang pernah mengalami tapi sebelum ni pernah je tidur sorang-sorang waktu tengahari Jumaat dan tak ada apa-apa berlaku. Aku pun mengandaikan bahawa tiada apa yang berlaku.

Masuk dalam surau, bukak almari, susun bantal dua ketul, dan baring. Sebab sebelum tu dah lelap kejap dekat meja, maka mata memang ngantuk. Aku baring mengiring ke kanan dan silangkan kaki sebab ada kakak senior waktu sekolah dulu cakap, kalau tidur silang kaki inshaAllah tak ada yang ganggu. Tak lama tu terus lelap. Tiba-tiba aku tersedar dan bukak mata; tapi badan berat gila macam ada orang tindih dari belakang. Nak gerak jari pun tak boleh. Ah sudah!

Berdasarkan cerita orang lain, kalau begitu keadaannya, ada gangguan dari makhluk lain. Lama jugaklah dalam keadaan macam tu. Mata boleh bukak tapi badan tak boleh gerak, mulut pun tak boleh nak gerak. Terus baca fatihah, 3 qul dan ayat kursi. Waktu baca ayat kursi tu dugaan sebab baca tapi tak habis-habis; macam terlupa pun ada. Akhir sekali, aku kuatkan semangat nak sebut Allah dan selawat sebab bila mulut dah boleh gerak, perlahan-lahan badan pun boleh gerak.

Alhamdulillah, lepas berjaya sebut Allah kuat-kuat, badan pun boleh gerak. Terus aku bangun dari perbaringan dan duduk. Mata ngantuk ni, tapi kalau sambung baring, takut kena tindih lagi. Jadi dengan muka mamai dan telinga yang kurang pendengaran, aku keluar dari surau dengan sebiji bantal dan tidur duduk dekat meja. Lenguh leher, lenguh tangan, lenguh kaki. Tapi nak buat cemana, itu je la yang termampu. Kalau balik rumah tidur, jawabnya terlajak-lajak la sebab baring atas katil empuk.

Sekarang ni agak mudah sebenarnya nak kena tindih; asal baca cerita seram, inshaAllah malam tu kena tindih. Dulu tak pernah kena tapi sejak rajin baca kisah seram dekat blog Kak Peej, terus senang kena. Tiap kali entri cerita seram tu keluar, memang tak pernah tak baca sampailah gangguan ni berlaku. Ganggu mengganggu ni waktu lepas baca cerita seram je, waktu lain tidak. Tahap paling dahsyat bila terasa 'dia' mendengus depan muka. Bila dah kena kacau, memang takdelah aku baca lagi kisah seram tu. Korang pernah kena ganggu?

No comments: