Engagement Fund ;)

Monday, 13 July 2015

Buka Puasa dengan Kak Chik

Ini rancangan berbuka terawal untuk ramadhan tahun ni dan merupakan tradisi tahunan. Kalau pun tak dapat berkumpul dengan teman-teman serumah yang lain, berbuka dengan Kak Chik adalah mesti. Disebabkan Kak Chik akan padat jadualnya untuk hujung minggu sehingga raya, maka hujung minggu kedua dipilih untuk bertemu. Selepas hampir setahun tak jumpa, kekok pulak bila bersua muka. Macam tak logik je aku tak jumpa Kak Chik nak dekat setahun sebab bukan ke asal nak merayap je aku ke Shah Alam dan teman merayapnya adalah beliau? Entah apalah yang disibukkan aku dan beliau tu sampai dah lupa rumah beliau yang mana satu. Hahaha...

Ini juga kali pertama memperkenalkan Taejang pada Kak Chik. Hehehe... Ingatkan beliau dah tahu sebab dekat FB ada jugalah aku sok sek pasal Taejang cuma tidak secara langsung. Macam biasa bila berjumpa, banyak je benda nak cerita, banyak je benda nak luah. Lepas tumpang solat asar dekat rumah beliau, terus gerak ke Mydin sebab aku awal-awal kata nak pergi beli stokin. Selepas lima tahun tak beli stokin, termangu kejap depan rak mencari jenama yang aku pakai. Jenamanya masih ada cuma logonya sudah bertukar. Dah sampai Mydin, bukan stokin je dibelinya, siap sarung lengan, siap kain batik sekali aku borong. Heeee...

Hasil rembatan di Mydin dengan ucapan, bila nak buka Mydin dekat Banting?

Dari Mydin, terus ke SACC Mall untuk berbuka dan solat maghrib. Sebab waktu pun dah lewat, kami memutuskan untuk solat dulu baru cari makan. Ingatkan tak ada orang dekat surau, sekalinya penuh sesak sebab bukan kami je fikir nak solat dulu. Hehehe... Lepas solat, pusing-pusing dekat dalam SACC baru turun cari makan. Pusing punya pusing, masuk dalam satu restoran baru. Baru bagi kamilah sebab sebelum ni tak nampak. Kak Chik yang namanya duduk Shah Alam pun tak merayap sangat maka apa yang baru aku jumpa, barulah juga bagi dia.

Restoran ni okeylah sebab dia ada nasi. Itu pun yang penting sebab Kak Chik wajib makan nasi. Hehehe... Menu dia pelbagai juga, ada nasi, ayam goreng, chicken chop, dan makanan ringan macam kentang goreng, wedges dan onion ring. Nasi pula ada beberapa pilihan ayam dan saiz hidangannya agak besar sebabnya kitorang makan tu, apahal ayam dia ni tak habis-habis? Kira banyak la ayam dia bagi dan sos untuk nasi ayam dia adalah ikhlas. Maksud ikhlas adalah sos dia lagi pekat dan berasa dari sos nasi ayam di restoran nasi ayam.
Side dishes

Kak Chik's

Mine

Selesai makan, pusing-pusing dekat festival sempena raya dekat bahagian luar. Bapak la ramai manusia dekat situ sampai nak jalan pun berlanggar bahu. Keluar je dari kawasan sesak tu, aku cakap dengan Kak Chik; "Gigihlah mak ayah yang membeli-belah sambil bawa anak kecik ni, dengan nak tolak stroller, dengan nak kawal yang dah dapat kaki. Saya yang tengok ni pun penat." Pastu Kak Chik tambah; "Sangat gigih. Kalau saya nanti, tinggal jelah anak-anak kat rumah." Hahaha... Kalau anak-anak jenis menurut kata dan takde nak menonong jalan, okeylah kan, ni kalau jenis yang suka punggah barang dan tak nak dipegang, satu hal nak kawal anak sambil beli barang. Akhir kata, mak bapa yang bawa anak-anak membeli-belah terutama waktu puncak adalah gigih dan hebat!

No comments: