Engagement Fund ;)

Wednesday, 7 October 2015

Rentetan Kisah Chicken Pox

Semalam ke hospital semula sebab losyen calamine dah habis dan MC juga dah habis. Doktor bagi sampai Jumaat je maka kena la minta MC sebab tak okey lagi. Kali ni dapat lima hari maka marilah layan Running Man dan Drama Korea Bersiri walaupun stok ulang tayang. Hahaha...

Hari ni dah masuk hari ke lapan kena chicken pox dan cuma tinggal chicken pox je, demam dah tak ada, tekak pun tak sakit dah, palpitation pun nampaknya tak ada. Bab palpitation tu panjang lagi kisahnya sebab kena datang balik buat lagi pemeriksaan dalam masa 3 minggu.

Sebenarnya aku rasa mula kena chicken pox ni dari hari Selasa lepas tapi sebab tak pernah kena jadi tahu. Macam syak kena CP pun bila nak solat zuhur hari Rabu tu dan buang tebiat pulak belek badan depan cermin sebelum ambik wudhuk. Hehehe.. Perasan pulak ada bintik-bintik berair dan terus tergerak dalam hati macam kena chicken pox ni. Biasanya tak sempat belek badan pun sebab kejar waktu tapi hari tu sebab tak keluar makan, maka sempatlah nak buang masa macam tu.

Disebabkan aku jarang sangat demam, memang tak perasan tanda-tanda nak demam cuma pagi tu badan rasa tak sedap dan perut rasa tak sedap, macam ada benda bergerak dalam perut dan buatkan aku rasa nervous. Itu yang orang putih cakap 'there's butterfly in my stomach' bila nervous sebab perasaan dia memang macam tu. Tambah pulak dengan palpitation tu, lagilah rasa tak selesa. Itu yang akhirnya buat keputusan ke hospital juga selepas tangguh dua minggu.

Pertama kali dapatkan rawatan dekat hospital kerajaan, punyalah cuak sebab tak berapa nak tahu prosedur. Pada yang tak tahu, Jabatan Pesakit Luar tutup pukul 4.30 petang; itu kira waktu terakhir la untuk daftar. Lepas ambik nombor, duduklah tunggu giliran. Piagam Hospital Banting adalah untuk para pelanggannya menerima rawatan dalam masa dua jam dan tak lebih dari tu. Dua kali aku pergi, kurang lebih dua jam jugaklah baru selesai semua.

Mula-mula macam pelik dengan sistem nombor dia tapi lepas tu baru faham. Sebelum jumpa doktor, jururawat akan panggil dulu ambik suhu dan periksa tekanan darah semua. Dah selesai, kita kena hantar rekod masuk dalam bilik doktor dan nanti doktor panggil. Waktu pergi tu agak ramai juga orang tapi tak adalah lama sangat pun.

Masuk bilik doktor, haruslah nervous sebab dah memang nervous pun. Lupa pulak soalan doktor yang mula-mula tapi agaknya dia tanya kenapa kot. Sebab tujuan nak periksa yang palpitation tu, aku terus bagi tahu yang tu. Sebelum doktor melanjutkan pemeriksaan, dia tanya kat aku; "Awak demam ni, awak tak tahu awak demam?" Nak jawab apa lagi melainkan tidak? Hahaha... Memang tak perasan pun aku demam cuma lepas dari tu memang baru boleh rasa aku demam sebab badan berbahang. Alang-alang tu aku tanyalah sekali pasal bintik-bintik berair tu, terus doktor suruh selak lengan baju semua dan dia cakap; "Ini chicken pox ni. Takpe, awak bawa slip ni ke bilik 9 dulu untuk ECG nanti datang sini balik" 

Keluar dari bilik doktor dan pergi ke bilik buat ECG. Mujurlah Sister yang uruskan ECG tu peramah, maka kurang sikit cuak. Masuk dalam bilik tu terus ke katil paling hujung dan langsir pun ditutup. Kena kepit dekat pergelangan tangan dan kaki dan kemudian mengelilingi bahagian jantung. Prosesnya tak lama pun dan bila dah dapat keputusan, hantar ke doktor dan tunggu sampai nombor dipanggil. Jenuh menunggu jelah.

Bila nombor naik, masuk balik bilik doktor dan doktor pun tengok keputusan ECG tadi. Ada sedikit ketidaknormalan pada denyutan jantungku maka itu yang kena datang balik semalam. Selesai semuanya, bawa slip ubat ke bahagian farmasi untuk ambil ubat. Hari tu dapat ubat demam, ubat tahan gatal dengan losyen calamine.

Dari hari Rabu sampailah hari Sabtu kot demam datang dan pergi. Itulah yang paling seksa tu sebab pakej demam, sakit kepala, chicken pox dan sakit tekak. Chicken pox pulak baru nak keluar, dia punya bisa tu, yang pernah kena jelah tahu. Waktu ni memang tak lalu nak makan, cuma lalu makan bubur dengan roti cicah milo je. Bila kunyah makanan pun rasa macam ada benda je dalam mulut dan aku syak ada jugak chicken pox ni dalam mulut.

Beberapa hari pertama, tak banyak yang keluar sampai aku tak rasa risau pun kalau setakat ni je yang keluar. Tapi lepas tu, berlumba-lumba keluar sampai penuh satu badan; muka, kepala, leher, tangan, tapak tangan, badan, kaki, tapak kaki, sampai dalam telinga pun ada. Hoih, dahsyat hoih sampai takut tengok apasal banyak sangat bintik yang keluar ni.

Hari ni dah tak ada bintik baru yang keluar kot cuma tunggu bintik-bintik yang ada ni mengering. Masalah tak boleh tidur malam masih ada sebab asal malam je, bintik-bintik yang dekat kepala tu berdenyut-denyut dan satu badan gatal dan ada juga bintik-bintik yang rasa bisa. Makanya malam jadi burung hantu siang baru ganti tidur.

Selain ubat hospital, ikut jugalah petua-petua tradisi macam mandi dengan air daun semambu, letak daun semambu bawah cadar dan tak makan kicap. Kena hujan pun tak boleh tapi aku macam dah terkena sikit haritu tapi harapnya tak ada yang teruklah berlaku. Kalau baca dekat blog-blog lain, macam-macam lagi petua ada siap tak boleh menumis/menggoreng dalam rumah yang ada pesakit chicken pox ni. Motif dia tak berapa jelas tapi sebab aku kalau tak masak tak makan, maka bukan setakat ada tumisan dalam rumah, orang yang ada chicken pox tu sendiri yang menumis. Pasrah jelah... Kalau nak tahu petua tu boleh Google ye sebab dah ramai yang kongsi.

No comments: