Engagement Fund ;)

Saturday, 31 January 2015

Masih Makan Oat?

Sejak berazam nak sarapan secara sihat, perlahan-lahan cuba istiqomah makan oat tiap pagi. Tapi akhir-akhir ni banyak terbabas dari berjalan lurus. Hehehe... Kalau nak sarapan oat, kena 'buat' siap-siap sebelum tidur sebab pagi-pagi memang tak sempat nak isi dalam Tupperware. Dekat pejabat nanti tinggal tuang air panas je. Macam manalah kau mampu telan oat tu ye? Orang lain la tanya. Sebenarnya kan, macam tak mampu je nak telan tapi memikirkan bahawa kesihatan itu penting maka terkulat-kulatlah aku sudu bancuhan oat masuk mulut.

Kalau perhati muka aku, memang betul-betul kena paksa makan punya muka. Hahaha... Maunya tidak? Makan dalam pantri dengan orang lain, belah kiri makan nasi lemak ayam goreng. Belah kanan makan lempeng kelapa cicah rendang kerang. Belah sana makan nasi lemak paru. Belah sinun makan bihun goreng dengan sambal tumis. Bayangkan dia punya bau tu? Sabor jelah. Ada juga masanya aku ngelat tapi dalam sekali atau dua kali seminggu je la.

Jadi, macam mana sebenarnya bancuhan oat si Farah ni sampai dia kata kena paksa tekak menelan? Ini cara akulah; campurkan oat + susu tepung + nestum + chia seed + 'pemanis'. Nisbah dia 4 sudu + 1 sudu + 1 sudu + 1 camca + 1 sudu. Pemanis tu buah kering atau coklat cip; tukar-tukar. Buah segar tak pernah pulak cuba lagi. Tapi lepas ni tak letak coklat cip dah kot sebab dia jadi terlalu manis dan menyebabkan aku muak. Korang bolehlah cuba jugak. Risiko terluah balik tu kena tanggung sendiri sebab tak ramai orang yang lalu nak makan oat.

Campuran oat dengan kranberi kering

Campuran oat dengan coklat cip

Campuran oat dengan buah tin

Friday, 30 January 2015

Rindu Makanan Korea

Bila kerjanya mengadap Running Man dan drama Korea, mulalah rindu nak makan apa yang orang dalam drama makan. Haih... Dekat Banting ni, celah mana nak jumpa restoran Korea? Nan hado! Terpaksalah gigih masak sendiri. Masak yang termampu jelah, tak gigih lagi nak gentel ttokboki macam yang Maangchi tunjuk dalam YouTube.

Stok kimchi dah tinggal nyawa-nyawa ikan maka lepas ni kena buat lagi dan kena buat lebih sebab dah janji nak bagi Kak Eli rasa. Haritu dah buat lebih untuk dia sebenarnya tapi bila aku rasa, macam ada benda kurang. Walaupun dah siap letak dalam balang, tak jadi nak bagi. Lepas ni semangat nak buat tu lebih sikit la sebab dah beli bekas khas simpan kimchi dekat Jusco tahun lepas. Hehehe...

Paling senang nak masak tentulah ramyun. Campak apa nak campak, bawak keluar set chopstick besi yang beli kat Korea dulu, makan bersila depan laptop. Pergghh, nyaman! Gambar ramyun tak payah letaklah ye sebab dah banyak kali letak. Bila ada kimchi ni, lagi satu menu yang wajib buat adalah kimchi bokkeumbap(nasi goreng kimchi). Kalau orang Korea letak gochujang nak bagi pedas, aku ketuk cili padi je barang 3 biji untuk satu hidangan. Makan dengan sunny side up egg ataupun Geng Makan panggil telur goyang. Sampai sudah aku tak pandai buat telur goyang yang tak berapa nak goyang.

Kimchi bokkeumbap a.k.a nasi goreng kimchi dengan taburan rumpai laut panggang(tertulis di bungkusan)


Lepas tu aku masak kimchi sundubu jjigae. Diorang kata nak masak jjigae kena guna kimchi yang dijeruk lama, baru sedap. Kimchi yang ada dalam peti memang dah lama dan tak sedap nak ratah, maka gigihlah beli tofu lembut dekat pasar untuk melengkapkan bahan. Lebur je semua benda dalam periuk, kacau-kacau dan siap! Hirup panas-panas, hilang kejap kempunan.

Kimchi sundubu jjigae berisi bahan-bahan yang ditemui dalam peti sejuk

Terbaru adalah miyeok guk(sup rumpai laut) yang menjadi hidangan wajib pada hari lahir di Korea. Dok tengok diorang makan, teringin juga nak rasa. Belilah bahan dekat Giant. Dah lama pun beli bahannya, baru tergerak nak buat baru ni. Yang ni pun senang kacang je nak masak. Bahan pun tak renyah. Lagi sekali, lebur semua benda dalam periuk, tunggu mendidih dan cedok ah dalam mangkuk. Makan sambil tengok Running Man. Sebab bahan utama dia adalah rumpai laut, jadi dia hanyir sikit. Kalau makan dengan nasi atau roti, okey. Kalau makan gitu je kembang juga tekak.

Sejurus selepas diangkat dari dapur..berasap-asap lagi...

Selepas agak sejuk

Nak resepi? Boleh Google ye, bersepah resepi. Tapi aku suka rujuk Korean Bapsang sebab blog dia senang nak baca. Kalau nak tunggu aku tepek resepi, tak tahu bila. Hehehe...

Derma Darah Lagi

Ini cerita derma darah pulak. Bila dah pernah biasa buat dan tiba-tiba lama tak buat, rindu nak buat. Kali terakhir derma darah adalah pada bulan April 2012; dua tahun lepas. Kenapa jauh sangat jaraknya? Sebab lepas dari tu semedang tak layak nak menderma; HB mesti rendah. MESTI! Nak pergi kali ni pun jadi fobia sebab takut HB rendah lagi.

Balik dari boling malamnya kelaparan tapi makan roti dengan bancuh Ephyra je. Lepas tu tidur sebab kena dapat tidur yang cukup sebelum derma darah. Agak nyenyak la tidur malam tu sebab penat tapi tangan kanan sakit. Esoknya paginya bangun dan tidur balik baru bangun betul-betul. Sebelum menderma kena makan tapi tak boleh makan berat jadi menunya hanya roti bakar dan Horlicks coklat. Sebelum bancuh Horlicks, tengok dekat bungkusan dan nampak ada tulis 'membina sel darah merah'; terus semangat nak minum. Tak cukup Horlicks, teguk juga pati delima Gulsan sebab delima telah terbukti mampu menambahkan sel darah merah.

Sampai dewan tu nak dekat pukul 12 jugak dan tak ada orang sangat. Kempen yang ini dikendalikan oleh PDN jadi agak seronok di situ sebab biasanya PDN bagi 'jajan' macam-macam. Eh, benda percuma dan banyak dan pelbagai, mestilah mak incik suka! Hehehe... Masuk dalam dewan dan macam biasa kena isi borang dulu. Lepas tu periksa jenis darah dan HB. Dekat kaunter nombor dua ni yang paling cuak sekali. Berdebar-debar tunggu dia cakap; "Ok, boleh ke kaunter seterusnya." Alhamdulillah, HB okey dan terus ke kaunter nombor tiga. Dekat kaunter tiga periksa tekanan darah dan tekanan pun normal maka terus ke kaunter empat. Kaunter ni tempat dia bagi coding untuk paket darah yang bakal diambil.

Dah selesai, terus pergi kaunter terakhir iaitu serahkan satu plastik berisi borang dan coding pada jururawat bertugas dan bolehlah pergi duduk dekat kerusi. Kalau orang menulis guna tangan kanan, biasanya ambik darah tangan kiri tapi aku boleh je mana-mana pun. Tapi sebab tangan kanan sakit maka tadahlah tangan kiri.

Satu lagi perkara yang aku suka bila PDN yang kendalikan kempen adalah dia ada sediakan kain untuk tutup kaki. Yelah, bila dah terbaring dekat kerusi tu, tak sopan ye untuk perempuan. Bila ada kain menutupi, terasa selamat gitu. Dah lama tak kena cucuk jarum besar, cuak tu tetap ada. Hani ke Zimah pernah pesan, sebelum nak derma darah kena minum air banyak-banyak supaya senang nak cari urat. Dari celik mata sampailah dalam kereta memang minum tak henti-henti dan memang tak ada masalah pun jururawat tu nak cari urat.

Sebelum kena cucuk

Sebelum cucuk, semua jururawat yang lalu sebelah aku tanya soalan yang sama; "Dah makan?" Mestilah dah sebab kalau pergi derma darah dengan perut kosong boleh pitam tau. Lepas tu salah seorang jururawat terus tepuk-tepuk dekat tangan cari urat dan terus suntik cecair tak pasti untuk apa. Kemudian tu baru dia masukkan jarum untuk keluarkan darah. Dua kali cucuk la kiranya. Auch! Pedih dan bisa.

Dah selamat dicucuk

Kena tunggu dalam beberapa minit sambil genggam silinder dekat tangan. Tak lama pun darah nak keluar dan tiba-tiba dah penuh kampit darah tu. Macam biasa, lepas je jarum dikeluarkan, kena tekan kuat-kuat dengan kapas tempat jarum dicucuk untuk beberapa minit. Duduklah situ berangan sampai jururawat datang bawak plaster. Sebelum keluar, dapat satu plastik 'jajan' berserta dua paket pil berisi asid folik dan ferrous fumerate.  Pergh, dah hafal nama ubat! Hehehehe... Seharian jugaklah bertampal plaster sebab darah masih keluar sikit-sikit dari kesan jarum tu dan sampai hari ni masih nampak kesan lebamnya. *Maafkan kejakunan Tuan Tanah sebab dah lama tak merasai keadaan ini. *

Jajan yang dimaksudkan; jajan berkhasiat.

Alhamdulillah, dapat juga derma darah selepas sekian lama tak layak nak menderma. Perasaannya? Tak dapat nak digambarkan; puas hati, seronok, semua ada! Buat yang nak menderma darah, jangan ragu-ragu okey? Tahu diri tu layak, terus je pergi. Tak payah tunggu ada kempen, datang serah diri dekat hospital pun boleh.

Thursday, 29 January 2015

Sepetang di Lorong Boling

Kejadian ini berlaku pada hujung minggu minggu lepas. Sabtu dan Ahad kira terisi bermanfaat. Hari Sabtu, secara tidak sengaja telah tersenarai sebagai peserta untuk perlawanan boling anjuran JPJ. Mula-mula tengok poster gitu-gitu je lepas tu Kak P dok ajak masuk dan dikatakan yuran penyertaan adalah ditaja oleh kelab kebajikan kakitangan. Memula macam eish, tak naklah. Akhirnya 'ter'masuk juga sebab tak ada orang nak masuk. Takpe la ada geng kamceng nak main jugak.

Tahu main boling, tapi dah tak pandai sebab kali terakhir main adalah pada tahun 2008. Kiralah guna jari tangan berapa tahun aku tak main boling tu. Memang dah tak ingat menda wei! Nak baling hala mana pun dah lupa, bola saiz berapa warna apa pun dah terpadam dari kotak memori. Cara nak baling lagilah ke laut. Hahahaha... Tapi sebab nama dah daftar, usahalah macam mana pun asalkan dalam satu game tu ada juga pin yang jatuh.

Maka waktu rehat hari Jumaat aku, Kak P dan Kak R terus memecut ke tempat boling untuk berlatih. Tak payah tanyalah berapa pin yang jatuh sebab waktu aku baling je longkang dia jadi besar; semedang masuk longkang. Cuak dah waktu ni. Takpe, esok boleh datang lagi tapi petang tu cuak habis roger teman jenayah mintak teman berlatih boling pagi Sabtu. Hahaha... Kumawo chinggu! Nak pergi sendiri takut sebab tempat dia tersorok dan sunyi.

Waktu latihan kali kedua nilah mula ingat balik semua benda yang dah tak ingat tu. Banyak jugalah pin yang jatuh dan dapat la rasa spare. Baling sampai sakit tangan la pendek kata baru berhenti. Balik rumah terus tampal Salonpas dekat tangan dari pergelangan tangan sampai ke bahu. Ko mampu?

Sementara tunggu penganjur 'kira jumlah pin' yang akan digunakan, marilah bergambar

Malamnya semangat je keluar rumah betul-betul lepas maghrib sebab dia kata mula pukul 8 ke 8 lebih macam tu. Sekalinya pukul 9.30 baru mula. Ceh! Hebat-hebat belaka semua peserta; semedang strike, spare, strike, spare, strike, strike. Memang kalah la kan. Prestasi menjunam teruk malam tu sebab tak boleh nak fokus walaupun Aten kata aku kena lawan dengan longkang, bukan dengan orang. Hahaha... Banyak ke longkang jugak tapi dapat la merasa strike sekali.

Peserta wei!

Kesimpulannya, aku datang malam tu hanya untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan menyokong program orang sebab kalau kita tak sokong, nanti orang pun tak nak sokong program kita. Daripada 10 orang yang main untuk pejabat, tiga orang dapat nombor; Kak P, Kak N dan Kak A. Elok je masing-masing dapat nombor 2, 4 dan 6. Waktu nak balik, nampak ada sekumpulan abang sado ni makan Maggi dekat kafe dia. Teruslah terasa nak balik dan-dan tu jugak masak Maggi tapi terpaksa menahan diri sebab esoknya nak derma darah, tak eloklah kan sumbat makanan tak berkhasiat. Cerita derma darah sambung lepas ni.

Thursday, 22 January 2015

Menggelabah

Semalam petang dapat Wasap dari sepupu; dia ajak ikut rombongan belah perempuan ke kenduri bertandang. Eh, tak cerita langsung rupanya kan kisah kenduri kendara tahun 2014 dalam ni? Esok-esoklah cerita secara pukal sebab nak kena korek gambar. Heee... Okey, sambung cerita. Sebab ia melibatkan ramai orang, maka aku tak terus bagi persetujuan; kena balik tanya Abah dulu.

Sebab malam tadi pengsan awal, maka pagi ni baru bagi tahu Abah. Siap tanya Abah nak bermalam kat sana ke tak (padahal awal-awal aku dah tengok hotel). Disebabkan tempat majlis tu dah hujung Johor sana, maka Abah kata kita bermalam jelah dekat sana; 2 malam terus sebab takut penat. *lompat bintang dalam hati* Hahahaha... Aku kan suka kalau bab nak kena tidur kat hotel ni.

Sambil-sambil jaga budak-budak mengulang periksa tadi, tengok balik hotel-hotel yang berpotensi. Masalah tiap kali nak tempah hotel adalah mesti hati ni rasa tak yakin je padahal bukannya ada benda pun. Terpaksa roger crime partner mintak pendapat dia. Ni namanya menggelabah sebab sebelum ni bukan tak pernah buat. Terima kasih teman jenayah! Jasamu dikenang. Hehehe...

Maka, selamatlah menempah hotel di booking.com. Tahun lepas dah berjalan ke utara dan pantai timur jadi tahun ni memang teringin nak berjalan ke selatan pulak. Dapat jemputan yang ni, terus la lompat-lompat kesukaan. Hehehe... Ada rezeki nanti ke arah selatan lagi sekali dengan  crime companion. Sebenarnya dah siap kertas kerja dan tempah hotel pun tapi sebab salah seorang crime companion ada masalah dan terpaksa menarik diri, maka perancangan ditangguh. Tak syok la kan kalau tak cukup korum. Itu kena anjak jauh sikit kot sebab lepas dari tarikh tu macam-macam benda muncul. 

Sunday, 18 January 2015

Sampai Melimpah!

Hujung minggu ni, memang tak kuasa nak keluar ke apa sebab nak rehat je lepas satu minggu yang agak penat. Kebetulan untuk minggu orentasi kali ni dilantik dua AJK, maka ada hari yang balik lewat sebab terlibat dengan aktiviti riadhah. Lepas tu kena pulak 'ABC', lagilah penat dia berganda.

Hari ni terpaksa juga keluar cari sayur. Dah seminggu tak masak makanan seimbang, maka gagahkan diri juga keluar ke pasar malam. Beli la sikit agak-agak tahan sampai hari Selasa sebab hari Rabu kang ada pasar tani, jadi boleh beli stok baru. Dekat pasar hari Ahad ada makcik jual lemper tapi dah lama dia tak buat lemper. Tadi sajalah pergi jenguk sekali tu ada lempernya, terus gembira tak terkata sampai senyum sorang-sorang. Hahaha... Ko ingat senang nak cari kuih ni? Terus cepat-cepat; "Acik, nak lemper 2 ringgit."

Kuih nama lemper tu yang dalam bulatan ye Hani (sebab dia tak kenal lemper..hehehe)

Dari pasar terus ke Banting nak isi minyak sebab dah nak sampai E dah meter minyak. Kalau dulu tunggu jarum meter tu sampai dekat E baru pergi isi tapi sejak kejadian tersadai tepi jalan tu, minyak tinggal suku je dah cuak. Mula-mula nak isi tunai dan cadang nak singgah cucuk duit tapi ambik ko, berlapis-lapis kereta depan bank; tak jadi cucuk duit terus ke Shell. Pertama kali nak seret kad ceri dekat Shell, cuak jugak kot dia meragam. Nasib baik semuanya baik-baik aje.

Setangki penuh biasanya 40 hengget untuk Mrs. Kanc maka aku pun syok je tekan pam tu sampai dia bunyi 'tek'. Tengok dekat skrin, baru 38 hengget. Aku ingat dia bagi amaran pertama maka aku pun godek-godek pam tu dan tekan lagi untuk cukupkan 40 hengget. Sekalinya, melimpah! Eh, selalu 40 hengget tak penuh betul pun tapi yang ni dah kenapa sampai melimpah? Tiba-tiba teringat yang harga petrol dah turun sikit berbanding kali terakhir aku isi minyak. La hai, patut la melimpah. Maka dengan nilai 39 hengget 5 kupang, penuh sudah tangki Mrs. Kanc.



Habis isi minyak, beralih ke pam angin. Rasa macam dah lama benar tak pam tayar Mrs. Kanc ni. Waktu dia boleh jalan jauh, memang aku akan periksa tayar ni sebelum mula perjalanan tapi sejak dia boleh jalan dekat-dekat je, terus lupa nak periksa. Mujurlah pam anginnya tadi sebab kempis banyak keempat-empat tayar. Kalau langgar lopak yang dalam, mau bocor terus tayar macam yang pernah terjadi dulu. Itulah dia rutin hidup pada hujung minggu kalau tak keluar mengukur jalan mahupun pusat membeli-belah. Hehehe...

Thursday, 15 January 2015

Dapur Nusantara KLIA 2

Okey, yang ni cerita makan-makan pulak. Sesiapa yang belum pernah ke KLIA 2, boleh pergi jalan-jalan cari makan dekat situ sebab ada baaaaaaanyak kedai makan menarik. Dari makanan Malaysia sampailah makanan Amareka, semua ada. Tamak dengan tak tamak je. Hahaha... Pertama kali makan dekat sini waktu keluar ngeteh dengan Aten. Kemain sekarang, lepak ngeteh sampai KLIA 2? Sekali-sekala, bolehlah... Waktu tu petang Sabtu; balik dari tuisyen terus zaaaasss ke sana. Bila balik tuisyen, memang sahih lapar tahap gaban. Nampak je kedai jual nasi, terus masuk dalam dan pilih tempat duduk best. Lepas makan baru kitorang ronda-ronda dan menyesal sebab lagi banyak kedai best. Heeee... Takpe, lain kali boleh datang lagi. Bukan jauh nau pun dari rumah kan?

Kali kedua makan dekat sini waktu bawa Abah jalan-jalan. Abah cakap teringin nak tengok KLIA 2 maka jomlah. Kalau bawa Abah keluar makan, mesti kena makan nasi dan sebab dah lapar jugak dan malas nak cari kedai lain, ke sinilah kami. Makanan dekat sini ala-ala masakan Padang tapi ada juga menu masakan Melayu. Lokasinya adalah dekat aras Balai Ketibaan, dekat dengan KFC.

Nasi ayam penyet

Mula-mula datang haritu, aku makan nasi ayam penyet. Rasa dia boleh tahan sedap, dan berbaloi dengan harga sebab punyalah banyak lauk suku-sakat selain lauk utama. Minuman pulak, kali ni datang minum air mineral je sebab nak jaga kesihatan kekdahnya jadi harga air tak pasti berbaloi ke tak dengan rupa. Tapi Abang Paiz order teh tarik tak silap waktu ni, sekali yang sampai bukan mug, saiz kole terus! Harga dia kalau tak salah, 3 hengget ke 6 hengget macam tu tapi yang ini memang berbaloi. Sampai sengkak perut nak habiskan air kata beliau. Hahaha..

Air mineral dan teh tarik satu kole

Ni aku punya, nasi dengan daging-tak-ingat-masak-apa...kemain banyak banchan dia keliling nasi tu

Meja kami

Selepas hampir satu jam makan, habis pun kesemuanya

Kalau berada di KLIA 2 dan lapar nasi, bolehlah terjah kedai ni sebab kedai dia ada pelbagai pilihan lauk, luas dan hiasannya menarik. Tak payah risau tak dapat kerusi nak duduk okey?

Sakit Kepala Tahap Gaban

Ini cerita semalam dimana dari petang sampai ke malam kepala berdenyut-denyut tahap nak hantuk dekat dinding bagi lega. Puncanya sebenar tidak diketahui. Habis kerja pergi pasar jalan-jalan beli kek dengan apam balik je sebab tengah mogok tak nak beli apa-apa untuk orang-orang dekat rumah. Sampai rumah terus mandi dan basuh kepala tapi masih lagi berdenyut-denyut. Lepas mandi baring kejap konon nak bagi lega tapi tak lega jugak dan kena bangun balik nak masak untuk Abah dan Nenek.

Ingat nak buat sup sayur pun tak larat; sempat goreng ikan je sebab makin sakit pulak. Habis goreng ikan dan panaskan lauk lebihan yang ada, makan nasi sikit sebab teringin nak makan sambal kicap Abah buat. Duduk dulu dalam satu jam bagi nasi turun kemudian cubalah baring. Baring atas bantal, kemain sakit dia berdenyut. Buang bantal, baring je atas tilam pun sakit jugak. Cari minyak angin, sapu dekat leher dan urut-urut sikit. Eh, makin sakit pulak? Lepas tu tak tahu nak buat apa. Baring tak lalu, duduk pun tak lalu, sudahnya aku paksa baring tapi sambil nangis sebab sakit sangat. Heeee...

Terasa nak muntah tapi malas nak pergi tandas, boleh? Heeee... Kalau macam ni gayanya, aku rasa migrain sebab pernah beberapa kali migrain tahap muntah-muntah. Dah lama juga tak kena migrain apatah lagi yang tahap muntah-muntah maka memang tak simpan ubat. Kalau migrain sikit-sikit memang tak cari ubat pun cuma sapu minyak angin banyak-banyak dan paksa tidur. Memang tak boleh nak tidur mula-mula tapi paksa jugak tidur sampai akhirnya tertidur tanpa sengaja. Risau kalau berlarutan sampai pagi ni tapi alhamdulillah bila bangun pagi dah ringan sikit.

Paksa juga bangun pergi kerja memikirkan ada mesyuarat dengan HQ petangnya. Bila dah mandi semua, dah ringan dah dan bolehlah berfungsi macam biasa. Nasib baik juga datang kerja dan masuk mesyuarat tu sebab benda yang dibincangkan adalah benda yang teramat penting sampai sakit kepala balik lepas habis mesyuarat memikirkan macam mana nak jalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Hehehe... Sampai sekarang masih fikir samada migrain tu datang sebab aku makan nasi goreng kampung banyak pak aji(kedai tu memang bahan utama dia pak aji) atau sebab PMS. Hhhmmmm...

Tuesday, 13 January 2015

Aku, Mereka dan K-Pop...

Beberapa hari ni, heboh tentang video gadis bertudung dan kumpulan penyanyi Korea terkenal di media baik sosial mahupun cetak. Mula-mula tahu isu ni daripada FB Kak Di dan kemudian banyak status mengenai ini terpapar di newsfeed FB. Daripada hanya membaca, tertengok videonya di salah satu laman blog hiburan, juga terbaca komen-komen dari artis-artis tempatan.

Isu ni kalau dikupas, memang akan jadi serius dan berat. Betullah coretan seorang sahabat di FB bahawa kalau kita tak layak nak marah berlebihan pada mereka yang muncul dalam video itu, kerana sebelum video itu muncul lagi aksi-aksi serupa sudah acapkali muncul di kaca-kaca tv, dilakonkan sendiri oleh pelakon melayu Islam. Komen dari mulut-mulut orang sekeliling apabila ada yang membangkitkan antara aksi peluk si gadis dengan penyanyi K-pop dan aksi peluk pelakon-pelakon tempatan adalah; "Itu lain, ini lain." Apa yang lainnya? Bersentuhan antara bukan mahram berlainan jantina tetap haram hukumnya tak kiralah lelaki tu mamat Korea ke, mamat Malaysia ke.

Kita tahu apa yang dibuat oleh mereka itu salah, cukuplah kita doakan agar mereka insaf dan bertaubat kerana itu juga salah satu cara untuk menegur; menegur melalui hati iaitu selemah-lemah iman. Tahu mana yang boleh dan mana yang tak boleh itu juga hidayah dari Allah jadi jangan cakap lebih-lebih kerana bimbang nanti Allah tarik hidayah tu dari kita. Kalau cakap belakang, bukan menegur namanya tapi mengumpat.

Terus pulak timbul isu lain, yang lelaki tu kalau nak pilih isteri, jangan pilih yang minat K-pop. Mengarut la wei! Eh, marah nampak? Tidaklah, cuma geram sebab zaman makin maju tapi otak makin tak cerdik. Habis semua peminat K-pop disalahkannya. Tak patut, tak patut. Tak salah pun minat K-pop ni asalkan jangan berlebihan. Buat apa benda punlah dalam dunia, tak boleh terlalu taksub dan melebih-lebih sebab kesannya memudaratkan. Rugilah lelaki-lelaki yang tak pilih calon isteri minat K-pop sebab kebarangkalian peminat K-pop untuk tahu memasak makanan Korea adalah tinggi. Untung di situ sebab pertama calon isteri tu tahu masak dan kedua, masak makanan antarabangsa lagi. ;)

Mak incik pun minat juga Kpop tapi tak adalah sampai nak tampal poster penyayi atau pelakon Korea dalam bilik. Tak ada pun nak kena letak muka Kwon Sang Woo jadi wallpaper laptop, tak payah! Geli lagi ada nak tatap muka dia lama-lama. Ei! Minat sekadar tengok lakonan artis yang diminati dalam drama dan lepas tu dah. Tak pun sampai nak mimpi ke atau berhabis duit beli buku biografi bergambar artis-artis K-pop. Tak kuasa! Disebabkan isu ini, aku pergi Korea haritu tu pun dinaikkan jadi isu waktu berbual-bual tadi. Dah kenapa? Bukannya pergi sana sebab nak peluk mamat-mamat K-pop tapi nak tengok tempat orang, nak kenal budaya mereka, nak tahu gaya hidup mereka, dan nak belajar bahasanya. Belajar bukan hanya melalui buku tapi daripada alam sekeliling.

Maka bila timbul sesuatu isu, jangan cepat melatah dan jangan terus nak tunding jari pada orang lain. Kalau bila kita berbicara itu akan menambah dosa, lebih baik diam dan berfikir. Muhasabah diri dulu adakah ilmu kita cukup untuk berbicara tentang isu ini? Sudah banyakkah pahala yang dikumpul? Diam bukan bererti tak ambil kisah tapi diam kita itu diam berisi, diam berilmu. Jadi kepada peminat-peminat K-pop, jangan terlalu taksub dengan apa yang anda minat. Minatlah mereka secara sederhana. Sekian saja pandangan sisi kiri Cik Fara untuk kali ni. Majulah Malaysia untuk rakyatnya.

Monday, 12 January 2015

Lembik

Malam tadi rasa macam tak tidur langsung; cuma pejam mata dan khayal dan tiba-tiba dah pukul 6.30 pagi? Bila bangun terasa segar tapi tunggu petang karang. Dah cuti lama, tidur pun semedang lewat, memang susah nak kembali normal.

Hari ni pendaftaran pelajar-pelajar baru untuk sesi satu 2015 dan ditugaskan menjaga kaunter serahan borang. Dari pagi sampai tengahari duduk tercongok dekat kaunter melayan kerenah budak-budak ni. Ada yang tak ada borang pemeriksaan kesihatan, tak kira lagi yang tak cukup slip keputusan peperiksaan yang lepas, tambah pulak yang tertinggal sijil dekat rumah, pening dibuatnya. Tapi pelanggan kan, kenalah layan secara berhemah dan senyuuummmm.

Lepas waktu rehat tengahari, dah mula lesu dah. Nasib baiklah sesi petang ni tak ramai yang mendaftar maka pukul 4 dah berkemas sebab kaunter lain pun dah tutup. Masuk pejabat, mula tak larat. Duduk bersandar kejap bagi lega tulang belakang dan terus solat asar. Kena wudhuk, segar sikit. Masuk je kereta nak memandu ke tempat tuisyen, mata dah memberat. Terkejip-kejip mata tahan mengantuk. Ngantuk gila!

Sampai separuh jalan, tak boleh jadi ni; terus belok kiri ke Intan Delight. Kena ambik kafein sebab lepas ni nak mengajar lagi. Kalau terus balik, boleh mandi dan bertahan tunggu maghrib. Sebab tamak, terus pesan cappuccino hazelnut! Hahaha... Bolehlah buat ubat sampai sekarang ni. Bahana tak cukup rehat, lembik satu badan. Omputih kata lethargic.

Bila Tiada Halatuju & Chemistry Lab Cafe

Ini cerita makan-makan baru-baru ni; minggu lepas waktu keluar dengan Kak Chik. Disebabkan lama sangat tak keluar lepak, maka kami sepakat pilih hari yang lapang dan mengukur jalanlah kita. Macam biasa, bila nak keluar lepak mesti tak berapa lalu nak sarapan sebab dah fikir nak terjah restoran yang bersepah dekat Shah Alam tu. Lepas ambik Kak Chik dekat rumah dia, terus je memandu tanpa arah tujuan sebab memang tak ada rancangan nak ke mana-mana pun. Sudahnya, pusing satu Shah Alam dan ikut jalan jauh untuk sampai ke Alam Avenue padahal belakang rumah Kak Chik je sebenarnya. Takpelah, harga minyak kan dah turun dan bagi peluanglah tengok Shah Alam sebab dah lama tak ukur jalan.

Pergi Alam Avenue sebab Kak Chik nak cari satu butik online ni tapi sampai sudah tak jumpa. Cadang nak makan dekat kedai yang ada dekat situ tapi pusing punya pusing punya pusing, tak ada parking. Dengan perut yang lapar, patah balik ke Seksyen 7 dan aku cakap nak cuba makan dekat Chemistry+Lab Cafe. Memula tak ingat nama betul, lepas tu Kak Chik Google dan tadaaa, sampailah dekat situ. Sebab Seksyen 7 ni kawasan jajahan, maka tak ada masalah pun nak cari. Dia dekat kawasan Jalan Kristal, sederet dengan Hakim. Pertama kali tahu pasal kafe ni daripada blog Kak Yan. Baca review dan tengok gambar, terus simpan cita-cita nak makan dekat sini.

Tapi kan, kalau lapar dan perut tu perut Jawa, tak sesuai makan dekat sini sebab menu berat dia tak banyak. Ada pasta je, nasi takde. Kalau nak datang minum kopi dan makan kek sambil lepak, memang sesuai sangat. Kafe ni jaaaaauuuuh lebih baik dan berbaloi dari SR yang makin lama makin hampeh tu. Bila tengok menu, terus pandang Kak Chik sebab rasa bersalah sebab bawak dia makan dekat kedai yang tak ada nasi. Heeee... Nasib baiklah beliau sporting dan bertekak universal juga maka teruslah tercongok depan kaunter pilih menu.



Kafe ni unik dari segi hiasan dalaman. Dekat sini konsep dia layan diri; kena buat pesanan dekat kaunter dan terus bayar. Makanan nanti dia hantar ke meja. Rambang mata nak pilih kek dia sebab ada baaaaaaanyak pilihan kek dengan rupa yang menggoda; itu nampak sedap, yang ni macam menarik, yang tu pun best jugak. Hahaha... Orang tamak memang macam tu. Waktu kitorang pergi haritu memang betul-betul tengahari tapi makanan berat hanyalah pasta; ada 4 jenis menu pasta tapi tak ingat pulak dah apa menunya. Kek dan pastri memang melambak. Ada waffle jugak. Jadi, mari tengok apa yang kami makan pada hari tersebut.

Kak Chik punya dan saya punya

Waffle Kak Chik dan yang lain orang tamak punya...

Harganya memang berbaloi-baloi dengan saiz hidangan dan cara hidangan juga unik. Cuma ada jugalah beberapa perkara yang aku kurang berkenan. Ini pendapat peribadi tau, kalau tauke Chemistry+Lab Cafe terbaca ni, jangan kecik hati okey.

Okey, semua dah sampai, jom makan!

Perkara pertama yang tak berkenan adalah cara nak pesan sebab pilihan dalam menu ada banyak tapi aku tak seronok nak pilih makanan. Aku suka lagi duduk dulu dan ambil masa tengok menu yang disediakan tanpa ada banyak mata yang memerhati. Macam serba salah nak pilih pun ada jugak sebab yang mengambil pesanan tu kena tunggu lama plus kelam kabut fikir sebab kang tiba-tiba ada pelanggan lain dah beratur dekat belakang. Kalau pergi kedai tomyam biasa pergi untuk tapau lauk makan malam pun aku mintak menu, apatah lagi kedai gempak macam ni; haruslah nak baca menu macam baca buku teks sejarah. Hehehe..

Perkara kedua yang tak berkenan adalah kekuatan muzik yang dimainkan; bagi aku terlalu kuat sampai nak borak pun kena jerit sikit. Tak syoklah macam ni kan sebab tujuan asal datang nak makan santai-santai tapi jadi stress pulak sebab kena lawan dengan muzik. Walaupun aku berjiwa klasik tapi boleh je layan lagu moden pun jadi pilihan lagu tu tak ada masalah.

Jumlah keseluruhan..kalau nak datang selalu, memang tak bolehlah nak penuh tabung melancong..

Ini rupa depan kafe

Selain dari dua benda dekat atas ni, semuanya okey dan kalau ke Shah Alam lagi, mungkin akan singgah. Layan blues sorang-sorang dekat sini pun best jugak rasanya. Nasib baik kafe ni jauh, kalau dekat jawabnya asal stress kerja je mesti datang sini minum kopi.

Sunday, 11 January 2015

Menyelam dan Minum Air

Haritu lepas pergi kenduri Maira, terus pergi ukur Alamanda. Mula-mula macam nak pergi IOI Mall yang baru bukak tu tapi Chik cakap tak payah pergilah sebab masih ramai lagi orang buat lawatan tapak sebab IOI masih buat mall warming. Kali ni bertiga je termasuk Hani yang excited datang kenduri kahwin sebab dia jarang dapat nak penuhi undangan walimah kerana tuntutan tugas. Alang dah off duty, teruslah ukur kawasan yang patut. Aku ajak tengok Manisnya Cinta di Cappadocia sebab novelnya best, jadi nak tengok jugak bila dah jadi filem ni best macam novel ke tak.

Sampai Alamanda, aku terus solat zuhur dulu manakala Hani yang dah solat terus pergi beli tiket. Gedebuk gedebak, sampai dekat kawasan GSC terus beli popcorn dengan air mineral. Ikut hati nak beli je kudap-kudap lain tu tapi fikir kang nak makan malam pulak, maka popcorn je cukup. Siap beli, pintu tak bukak lagi maka sempatlah menjakun tepi poster. Kami antara orang terawal dan sebab dah lambat, dapatlah 3 tempat duduk akhir di barisan paling depan. Dah lama tak duduk kerusi paling depan maka mendongak la sikit waktu menonton.

Tangan penuh dengan kentang putar Aten, popcorn, air mineral, dan beg telekung

Pelakon-pelakonnya memang mantap dan baru sedar bahawa Fazura adalah sangat cantik. Sebelum ni tak adalah tengok dia 'besar' dan dekat macam tu jadi tak perasan yang dia cantik. Hehehe... Tapi plot berkembang terlalu cepat sampai aku tak boleh nak terima kenyataan bahawa tiba-tiba je dah habis? Banyak juga yang diubah dari novel tapi tak bosan sangat waktu menonton sebab ada juga selit adegan lawak. Kesimpulannya, aku lagi suka baca novel daripada tonton filemnya.

Lepas habis, ingat nak solat dekat surau GSC tu tapi dia tak bagi sebab bukan waktu menonton. Macam tak relevan je? Terus keluar dan ke surau Alamanda. Lepas solat asar, perut dah lapar balik maka moh le cari makan. Bila banyak kedai makan, terus pening nak pilih. Akhirnya kami ke Bumbu Desa, restoran masakan Sunda. Suasana kedai memang best dan sesuailah nak makan santai-santai.

Meja kami...nama lauk pauk tak ingat dah

Tuan Tanah punya; ayam tak-ingat-nama-tapi-sedap!

Menu dia nasi dan lauk; pilihlah nak lauk apa dan pesan dengan nasi sekali. Paling penting, kena sebut dan tunjuk gambar dari menu kepada pelayan kalau dapat pelayan yang tak faham cakap Melayu. Cakap omputih pun tak berapa nak jelas sangat. Kalau cakap Jawa agak-agak dia faham tak? Lain kali kalau pergi lagi aku cuba. Masing-masing pilih lauk utama sorang satu dan tambah satu sayur. Makanan dia memang sedap dan paling penting sambal dia pedas! Nasi dia pun wangi dan sedap; tak kering sangat, tak lembik sangat. Cuma pilihan lauk dia tak berapa nak meriah. Ada rezeki lebih, nak bawa Abah makan dekat sini. Cawangan paling dekat dengan rumah adalah KLIA 2.

Dah kenyang, terus keluar nak solat maghrib manakala Hani terus balik rumah. Memang dari zuhur sampai isyak aku solat dekat surau Alamanda. Senang solat siap-siap, balik tinggal tidur je. Berjaya menyiapkan satu lagi entri tertunggak! Yeay! Esok mula bekerja balik selepas bercuti hampir dua minggu dan perasaannya sama macam nak mula bersekolah hari pertama; kecut perut. Dah kenapa?

Thursday, 8 January 2015

Jeruk Mangga Asam Boi

Zaman jeruk ni popular dah lama berlalu dan catatan ini juga merupakan cerita lama, waktu dia popular. Kisahnya, kebetulan waktu dia mencipta nama, pokok-pokok mangga depan rumah ni bukan main meriah lagi buahnya. Kalau dah masak ranum, tak rajin nak kupas. Sebelum dia masak, kait banyak-banyak buat jeruk. Dah siap jeruknya, bawak ke pejabat dan plinggg! Habis sekelip mata. Hehehe... Banyak kali jugaklah buat sebab tiba-tiba ramai pulak yang mengidam, maka layankan aje.

Lepas dikait, biarkan dulu beberapa jam supaya getahnya kering sikit

Dah siap kupas

Sedia untuk dijeruk

Rasa macam pernah cerita cara buat jeruk ni dulu tapi meh la bagi tahu lagi sekali sebab tak rajin nak korek entri tu. Cara ni bukan macam yang muncul di FB atau blog tapi ikut cara Kak Wan, jiran satu lorong. Mula-mula rebus air gula dan letak garam sikit dan biarkan sejuk. Sementara tu, potong buah mangga ikut suka dan masukkan dalam balang diselang selikan dengan asam boi. Asam boi kena banyak baru ummmpphh! Akhir sekali tuangkan air gula dalam balang dan simpan dalam peti sejuk. Esoknya dah boleh makan. Sekian.

Wednesday, 7 January 2015

Sarapan Secara Sihat

Ini satu lagi azam baru iaitu bersarapan secara sihat. Sejak mula kerja ni, bukan main seronok makan apa nak makan. Lepas tu bila gemuk bising dekat orang lain. Hahaha... Buat permulaan, mulakan dengan sarapan. Haritu bukan main popular overnight oat untuk sarapan. Aku pun hampir terpengaruh tapi tak sempat buat, susu segar yang dibeli untuk tujuan tersebut telah habis dibedal oleh orang-orang dalam rumah ni. Maka aku makan je apa yang ada; oat tu aku campur dengan susu tepung dan dried cranberry. Bolehlah telan walau payah. Menunya tukar-tukar jugak sebab kalau oat hari-hari pun bosan. Ada juga selang seli cheese sandwich dan egg sandwich. Kalau dulu semedang minum kopi 3 dalam 1, kali ni tukar minum kopi hitam. Omputih panggil black coffee iaitu kopi tanpa gula. Boleh je telan pun cuma tak sesedap kopi 3 dalam 1 pastinya.

Black coffee + shop-bought muffin + 2 bite-sized tuna sandwich

Black coffee + cornflakes with milk chocolate

Kena minum banyak air..kalau aku rajin, buatlah infused water tu..

Tapi kan, satu nak cakap, nasi lemak paru berkali ganda sedap dari oat. Hahaha... Lepas tu kan, makan dalam pantri dan dikelilingi orang lain yang makan nasi lemak, nasi kerabu, lempeng kelapa, dan juga roti canai. Memang dugaan yang sungguh hebat! Walaupun tak adalah kurus mendadak, sekurang-kurangnya ke arah pemakanan yang lebih sihat berbanding sebelum ni. Kalau dah sampai kedai, takdenye nak makan roti bakar. Kalau roti canai, tak nak yang biasa; terus roti telur bawang satu! Nasi lemak pulak, tak cukup lauk paru je, kadang-kadang ambik jugak bebola atau nugget. Tak kira lagi mee bandung telur goyang sebiji, berapa banyak kalori tu? Hari-hari menu sarapan punya kalori je dah boleh cover kalori untuk sehari. Ish..ish..ish.. Semoga keinsafan ini berterusan hendaknya.

Regu Lauk Kampung Terhebat

Assalamualaikum....

Sudah tujuh hari kita berada di tahun 2015 tapi aku baru je nak tepek satu entri. Hehehe... Salah satu azam tahun baru, tak mahu bertangguh lagi. Apa-apa punlah macam, karang cerita dekat sini sebaik saja ia berlaku. Kalau tak, memang tak habis-habis ceritanya. Hari ni karangan cerita tahun lepas lagi. Cerita kali ni pasal lauk kategori kampung yang buat aku bertambah nasi sampai tiga kali kalau tak fikir orang belakang. Hehehe...Dua lauk ni, kalau dihidangkan sekali, memang sahih bertambah nasi. Masak lemak rebung madu dengan daging bakar dan sambal belacan kedai. Sebelum ni macam dah pernah kongsi cara nak masak lemak rebung ni tapi takpelah, kongsi lagi sekali.

Rebung masak lemak cili padi dengan daging bakar

Rebung ni dapat percuma Kak Is bagi waktu dia melawat kitorang dekat pejabat. Dapat dua bungkus; sebungkus buat masak lemak cili api dan lagi sebungkus aku masak dengan daging korban ni. Sebab rebung ni dah direbus terlebih dulu, jadi tak payah masak lama-lama.

Mula-mula bakar daging dulu. Aku bakar dua ketul daging bersaiz segenggam penumbuk. Lumurkan kunyit, garam dengan lada hitam je dan bakar sampai dia agak-agak empuk. Dalam 40 minit kot aku bakar; 20 minit untuk setiap sisi. Guna oven toaster je pun boleh. Bila dah sejuk, hiris nipis.

Untuk masak lemak, kisar bawang merah + bawang putih + cili padi. Didihkan air sikit dan masukkan bahan kisar. Masak sampai air surut. Letakkan serbuk kunyit dan serai yang diketuk dan kacau kejap. Masukkan daging, gaul dan biar kejap. Lepas tu masukkan rebung dan santan. Sebab pakai santan kotak, tak adalah nak kena masukkan santan cair dulu. Kacau dan biarkan mendidih tapi jangan sampai pecah minyak. Perasakan dengan garam dan gula. Ini cara aku masak la ek, cara orang lain tak tau. Tapi sedap je pun kejadian dia. Hehehe...

Sambal belacan kedai

Sambal belacan pulak, ilmu dari Cik Iti. Aku memang suka sangat sambal belacan ni tapi arwah mak tak gemar sangat. Kalau nak makan yang sedap, kena beli dekat kedai sebab bila buat sendiri dia tak jadi macam yang kat kedai. Kalau arwah mak buat sambal belacan, ikut cara arwah nenek kulon iaitu semuanya digoreng dulu baru ditumbuk. Sedap jugak yang tu tapi sebab tak rajin, selalu ngelat bila mak kata nak buat sambal belacan. Heee.. Sambal belacan kedai ni tak payah ngelat sebab masuk je semua dalam blender dan zeeeetttt.

Ada satu hari tu, Cik Iti datang rumah dan aku pun masak la untuk makan tengahari sebab waktu tu arwah mak kena pergi sekolah. Waktu nak buat sambal belacan ni, Cik Iti terus ajar cemana nak bagi rasa dia macam yang kat kedai. Cuma guna cili besar + cili padi + belacan bakar + air asam. Cili tu agak-agak tau dan belacan memang kena banyak. Kisar cili dan belacan dengan air asam dan siap! Bahan utama dia adalah air asam tu. La hai, senang je pun tapi kalau tak tahu, memang tak tahu. Terima kasih atas ilmu yang diberikan makcikku. Waktu nak hidang, perahkan limau kasturi. Nak lagi mengancam, boleh hiriskan sekali kulit limau kasturi dan campak je dalam sambal. Memang pergghhh! Nasib baiklah aku tak buat dua-dua lauk ni sekali, kalau tak memang hancur program catuan nasi.