Engagement Fund ;)

Friday, 8 April 2016

Sunan Nanggroe

Buat ulasan novel sikit. Ini adalah novel ketujuh dalam siri yang melibatkan Laksamana Sunan. Bila baca Sunan Nanggroe Sang Kembara ni, barulah terungkai misteri gelaran lelaki berduka dari Tanah Rencong tu. Kiranya ini adalah kisah hidup Saifudin sebelum dia dijadikan anak asuhan Wali Sufi dan juga macam mana Ratna boleh jadi anak angkat Maharani.

Kisahnya bermula di Punggor waktu Saifudin baru menginjak remaja. Kerana fitnah dari Orang Kaya Seman yang mendambakan jawatan penghulu, Saifudin dihukum sebat oleh bapanya, Penghulu Jalis. Dek kerana terlalu kecewa dengan bapanya yang menjalankan hukuman tanpa siasatan yang mendalam, Saifudin nekad membawa diri dari Punggor.

Malangnya dalam perjalanan ke Melaka, dia telah diculik oleh penyamun dan dijual kepada seorang juragan kapal. Bermula dari situ, dia hidup sebagai anak kapal dan mempelajari ilmu laut. Sewaktu berada di atas kapal Juragan Semarang, dia bertemu dengan Tikurai, tukang masak beragama Hindu yang sangat kuat pegangan agamanya dan dialah yang sentiasa melindungi Saifudin dari dibuli oleh anak-anak kapal yang lain. Tikurai jugalah yang membantu Saifudin bebas dari mejadi hamba kepada Juragan Semarang.

Selepas bertemu Wali Sufi, dia dijadikan anak angkat Wali Sufi dan dididik dengan ilmu agama kerana Saifudin memilih ilmu agama berbanding ilmu persilatan. Maharani yang berdendam dengan Wali Sufi menghantar Ratna untuk menghapuskan Wali Sufi dan seterusnya menawan Aceh. Pelbagai kekacauan berlaku dalam usaha untuk membunuh Wali Sufi.

Kemuncaknya adalah kematian rombongan dari kerajaan Pagar Ruyung dan dari situlah misteri kekacauan dirungkaikan satu persatu walaupun aku kira kisah ini tergantung sama macam ulasan bedah buku ini. Kepada yang belum baca, bolehlah dapatkan novel ini di pasaran beserta sambungannya, iaitu Sunan Cinta Nan Sakti. Sekian, ulasan ala-ala Nilam dari Cik Fara.

No comments: