Engagement Fund ;)

Wednesday, 8 June 2016

Tudung Tak Sekolah

Bila cakap pasal tudung, dah banyak sangat jenama dan fesyen tudung dekat pasaran. Kalau nak ikut perkembangan semasa, memang tak terkejar. Bermula dengan jenama sampailah kepada gaya, bahan dan harga.

Aku tak adalah mengikut sangat arus perubahan tudung ni tapi kadang tu ada juga terpengaruh sampai terbeli juga. Konsepnya, kau ada, aku pun nak kena ada walaupun satu. Gituu..

Tapi tudung kegemaran sejak azali tentulah tudung Turki sebab boleh campak je dalam mesin basuh. Hahahaha... Lepas tu tudung Turki ni kan senang nak jumpa yang bidang 60 dan dulu-dulu tak banyak tudung bidang 60 yang macam-macam jenis, maka memang beli tudung ni jelah.

Dari segi jenama pula ada banyak tapi yang paling terkenal adalah Akel dan Rozello. Setiap jenama ni ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kain Akel ni lembut tapi tak licin dan senang dibentuk tapi coraknya tak pelbagai. Kalau Rozello pulak, kainnya lembut dan licin tapi coraknya cantik-cantik dan pelbagai.

Dua-dua ni aku ada tapi selalunya kalau pakai Rozello, memang kena pasrah sebab fenomena 'tudung tak sekolah' akan berlaku. Istilah tudung tak sekolah ni Kak Chik la yang ajar iaitu merujuk kepada keadaan pemakaian tudung yang selekeh seperti lipatan di bahagian muka yang tidak kemas atau bila dikelepet muka akan nampak begitu bulat sebab muncung tudung tak jadi.

Ini dilema orang perempuan, orang lelaki kalau tak faham, duduk diam-diam. Bila tudung tak sekolah, aku malas nak fikir. Lantakkan situ asalkan aku pakai tudung. Yakin tu kena tunjuk walaupun kelepet belah kiri dan kanan senget dan ada gelembung udara. Hahaha...

Tudung Kak Chik - paling kanan tu Akel, sebelahnya tu aku tak ingat jenama apa, lepas tu Rozello dan paling hujung yang hitam-maroon tu tak ada jenama tapi kain dia sedap

Cerita pasal tudung dan Kak Chik, baru ni tolong Kak Chik beli tudung Turki dekat kedai yang aku selalu pergi. Awal-awal aku pesan Kak Chik supaya bersedia dengan telefon sebab nak buat siaran langsung dari kedai. Gigihlah hampar tudung dan ambil gambar dan hantar melalui WhatsApp sebab nak tunjuk corak dan warna. Gigih aku fikir nak samakan dengan warna apa untuk bagi gambaran yang hampir tepat; tu yang sampai keluar coklat Nescafe, coklat kek batik bagai. Hahahaha...

Sejak kempen memaksa diri berjimat bermula, aku dah tak layan kedai tudung online sangat sebab harganya lebih mahal berbanding harga di kedai tudung yang mudah untuk dikunjungi. Beza sampai sepuluh hengget untuk sesetengah jenis! Makanya lepas ni beli jelah dekat kedai; lebih jimat dan puas hati sebab dapat belek barangnya sebelum beli.

No comments: