Engagement Fund ;)

Monday, 11 July 2016

Penang 2016: Bukit Bendera dan Cerita Disebaliknya

Assalamualaikum dan selamat hari Isnin. Sebelum cerita Cuti-cuti Malaysia 2016 Geng Bilik Prep ni jadi tukun, baiklah paksa jari menaip dan kerah otak mengingat balik peristiwa pada hari tersebut. Zaman siber ni, semua orang nak Google dulu cari maklumat sebelum pergi ke satu-satu tempat kan? Harapnya perkongsian ni bermanfaat.

Ini kejadian pada 29 April yang lepas dimana itu adalah hari pertama kami berada di Pulau Pinang. Akhirnya selepas sekian lama, tercapai juga hajat nak jejak kaki ke Pulau Pinang ni. Percutian kali ni hanya ada 3 orang ahli saja dan pada hari pertama, aku berdua je dengan Aten sebab Mada ada hal pada saat akhir.

Destinasi pertama sebaik saja tiba di pulau adalah Bukit Bendera. Yeay! Destinasi wajib pergi bila berada di Pulau Pinang. Kami sampai tu dalam pukul dua lebih dan matahari pun bersinar dengan girangnya; panasnya Malaysia ku rasakan. Tapi, roh pelancong tidak membataskan pergerakan dan melunturkan semangat.

Dengan berpandukan Pakcik Waze(r), kami tiba di lokasi. Mungkin kerana petang masih muda maka kawasan tu tak begitu sesak. Sampai di kaki bukit, kami masuk ke tempat meletak kenderaan bertingkat. Jadi kalau korang nak ke sini, tak perlu risau tempat parking sebab ada banyak dan berbumbung.
Dalam keretapi

Tiket masuk untuk pengunjung dewasa dengan MyKad adalah RM 10. Berbaloilah bagi aku dengan kemudahan yang ada dan gerabak keretapi yang selesa. Gerabak yang akan membawa pengunjung ke puncak bukit adalah gerabak moden yang dilengkapi dengan pendingin hawa dan dibahagikan kepada beberapa bahagian. Ada bahagian yang dikhaskan untuk warga emas dan wanita mengandung, ada juga bahagian untuk yang sihat walafiat dan gagah untuk berdiri. Kalau nak duduk, kenalah cepat-cepat lari dan 'cop' tempat, kalau tak kenalah berdiri. Hehehe...
Tempat wajib ambil gambar tapi nak bergambar dekat sini kena sabar tahap petala

Tinggi juga Bukit Bendera ni dan pemandangan sepanjang jalan nak ke puncak adalah mendamaikan. Sampai dekat puncak, bolehlah membuat tinjauan dari Menara Tinjauan. Boleh nampak seluruh Pulau Pinang dari sini dan ada peta petunjuk yang menunjukkan lokasi tarikan di Pulau Pinang dari tempat tinjauan tu.
Entah apa yang ditunjuknya, pun aku tak tahu; untuk tujuan penggambaran kekdahnya

Pemandangan dari Dek Peninjau

Meneliti petunjuk lokasi tempat-tempat menarik di Pulau Pinang

Boleh tahan menarik juga dekat puncak bukit ni. Kalau tak puas tengok pemandangan, boleh jalan ke depan sikit dan tengok seluruh pulau dengan teropong. Selain tu, satu lagi tarikan utama di sini adalah Mangga Cinta macam yang ada dekat N Seoul Tower. Asal tempat tinggi je, nak mangga cinta, dah kenapa? Kami tidaklah pula nak kunci mangga dekat sini sebab tak tertarik pun, sekadar bergambar dan membaca mesej-mesej yang ditinggalkan bersama mangga tadi. Hehehe..
Ini pemandangan dari tempat teropong

Teropong ada banyak, pilihlah nak warna apa

Lepas bayar singgit, cepat-cepat teropong apa yang patut

Sarang! Eh, cinta.

Sibuk baca mesej orang lain. Muehehehe

Kerusi jodoh katanya

Laluan ke hatiku kawasan mangga cinta

Tak cukup dekat tembok, sampai ke lampu kau manggakan ek?

Selain tu ada juga Muzium Burung Hantu dekat bahagian bawah, bersebelahan dataran yang juga menempatkan gerabak keretapi asal yang digunakan sewaktu pembukaan Bukit Bendera dulu. Gerabak asal ni diperbuat daripada kayu dan menggunakan pengudaraan semulajadi iaitu tingkap. 
Dekat kawasan dataran

Gerabak pertama

Satu lagi yang menarik adalah disediakan perkhidmatan buggy untuk menjelajah kawasan berhutan dan juga rumah-rumah kediaman. Dengan bayaran RM 30 untuk satu buggy, aku rasa berbaloi sebab sepanjang perjalanan tu pemandu buggy akan bercerita sejarah rumah-rumah agam yang ada dan juga serba sedikit sejarah Bukit Bendera. 

Peti surat pertama yang digunakan di Tanah Melayu

Berdasarkan maklumat daripada Abang Buggy, keseluruhan banglo yang ada dekat sini adalah sebanyak 52 buah dan 42 buah banglo tersebut adalah milik persendirian. Wow, kaya sangat ni ada banglo atas Bukit Bendera! Banglonya semua dibina pada zaman pembukaan Bukit Bendera ni dulu, makanya rekaan senibina adalah klasik. Sebuah banglo yang asalnya digunakan sebagai pejabat oleh Francis Light juga masih kukuh dan terjaga. Banglo-banglo ni dah jadi rumah percutian dan yang duduk sini adalah penjaga-penjaga rumah saja yang mana rumah-rumah penjaga ni pun boleh tahan cantik dan besar juga.

Ok Bang, terima kasih bawa kami meronda dan kongsi maklumat

Ada juga kawasan bersejarah lain tapi dah penat nak jalan, makanya lepas turun dari buggy kami teruslah menuju ke stesen puncak untuk turun semula ke kaki bukit. Bila petang makin panjang, orang pun makin ramai. Makanya kalau nak datang sini, silalah rancang perjalanan supaya tidak bersesak-sesak dengan orang ramai. Selain tarikan yang diceritakan, ada juga beberapa tempat santai dengan landskap yang cantik. Kot-kot nak layan perasaan, silakan duduk termenung dekat bangku-bangku yang ada.

Itulah saja cerita pada hari pertama. Kisah hari kedua akan bersambung nanti. Terima kasih kerana membaca.

No comments: