Engagement Fund ;)

Friday, 19 August 2016

Kisah Dua Rendang

Begitu banyak nampaknya entri tertunggak dalam draf ni. Rajin buat tajuk je tapi tak sempat lagi nak mengarang dan edit gambar. Bila ada blog ni, mudah lagilah simpan kenangan dalam ni untuk rujukan pada masa hadapan katanya.

Sebelum mula bercerita perjalanan hari raya tempoh hari, nak cerita pasal rendang dulu. Orang cakap, rendang ni susah nak buatnya. Bagi aku yang dah dilatih dari kecil untuk duduk di dapur, tak adalah susah mana. Cuma kadang tu rasa nak menangis bila tiba waktu nak potong daging; lagi-lagi kalau dapat daging yang banyak lemak dan bahagian yang susah nak jumpa urat. Sobs..

Nak potong daging untuk masak rendang pun ada caranya cuma macam tak ada dalam ingatan pula arwah mak ajar macam mana. Yang paling penting, nak potong daging kena lawan urat supaya daging tak liat. Tu bahagian daging, belum masuk bahagian perencah. Kalau nak betul-betul sedap, bahan-bahan tumisan kena tumis sampai garing dan pecah minyak baru masukkan daging. Ni petua makcik aku lah.

Rendang daging yang masih dalam proses, pun bercinta juga nak tunggu kering..


Raya kali ni memang masak rendang daging je, sambal kacang makan yang dari punjungan sebab ada banyak. Cuma raya pertama tu masak jugalah kuah lodeh untuk tambah lauk. Tahun ni Abah beli 3 kg daging dan aku rendang semua sekali. Tapi lepas siap masak aku masukkan dalam 3 bekas plastik untuk disejukbeku. Tak adalah asyik panaskan je berulangkali atas dapur, bila ada tetamu istimewa, baru keluarkan yang dalam peti tu dan panaskan.

Ni dah masukkan dalam 3 bekas berasingan dan tunggu sejuk sebelum disejukbeku..

Kali kedua merendang adalah waktu potluck dekat pejabat ni. Memang ada niat nak jamu makan kawan-kawan pejabat pun, tiba-tiba kata nak buat potluck, sekali jalanlah. Kebetulan pula minggu tu dapat elaun tuisyen, bolehlah masak banyak.

Hari tu dah buat rendang daging, yang kali ni buat ayam pula. Beli ayam dua ekor besar-besar lepas tu ada tambah kurang lebih seekor lagi ayam yang Abah beli. Kalau nak masak banyak dengan tujuan nak jamu orang, memang seram. Takut tak cukup rasa dan tak sedap.

Bercinta wei nak tunggu kering! Mula masak dahlah lewat sebab keluar cari blender dulu..dan dan blender nak semput pulak..


Mula-mula nak guna kuali paling besar yang ada dekat dapur tapi rasa macam tak muat. Nasib baik aku guna kuali yang lagi besar, kalau tak memang tak muat. Rendang ni aku guna santan kotak je sebab macam leceh nak cari santan segar melainkan pergi pasar awam sana.

Nak bajet guna berapa pun aku tak tahu. Akhirnya aku tuang dua kotak yang besar. Tapi rasa macam berlemak sangat pulak. Agaknya lepas ni kalau 3 ekor boleh guna satu kotak besar dan satu kotak kecil kot. Rempah ratus pun kurang sebab aku salah bajet. Beza lah kan 3kg daging lembu dengan 3 ekor ayam? Aku pergi sukat ikut sukatan 3 kg daging; jadi tak rasa pun rempah kisar tu.

Kalau arwah mak dulu, memang akan masukkan rempah empat sekawan dalam rendang tapi aku tak suka sebab nanti bila makan tetiba tergigit buah pelaga. Dah wangi satu macam dalam mulut. Hehehe.. Maka aku cuma masukkan ketumbar, jintan putih dan jintan manis yang disangan terlebih dahulu sebelum dikisar. Aku tak ingat tengok dekat rancangan masak mana, tapi dia ajar supaya rempah ni dimasukkan dulu sebelum bahan-bahan lain.

Taraa, siap sudah! Berkuah sikitlah sebab tak larat dah nak tunggu dia kering betul..sebelah tu nangka segar dari kebun..


Alhamdulillah menjadilah juga rendang ayam ni walaupun tukang rasa kata tak sedap macam rendang daging haritu. Yang penting, rasa rendang dan cukup rasa. Rendang ayam ni aku letak daun limau purut supaya lebih wangi dan macam biasa, kena ada hirisan daun kunyit. Baru ummph

No comments: