Engagement Fund ;)

Monday, 22 August 2016

Tempahan Kimchi Selepas Raya

Kimchi lagi. Bila dah kerap buat, dah tak berapa ada selera pula nak makan kimchi buatan sendiri. Hehehe.. Kali ni buka tempahan tiba-tiba sebab ada yang bertanya. Memang dah niat nak buka tempahan tapi biasalah, banyak dia punya kekangan tu. Bila dah ada yang tanya, secara tiba-tiba jadi bersemangat waja.

Kalau ada permintaan nak pos, memang aku buat Ahad petang sebab hari Isnin terus pos. Kiranya proses pemeraman tu tak adalah lama sangat. Bila pos ni, banyak risikonya dan kadang-kadang tu kena pasrah sebab ada banyak faktor yang boleh menyebabkan kegagalan barang untuk sampai ke tangan pelanggan.

Kali ni buat 5kg. Sebenarnya nak buat dalam 3kg je tapi bila tengok baechu tu lawa, terus beli sampai 5kg. Tak susah pun nak buat kimchi ni, cuma leceh. Bahagian paling nak nangis adalah bila nak kena perah air dari kobis selepas di toskan, bercinta! Sahih tangan akan rasa sengal sebab memang kena perah sesungguh hati.
Pes cili dengan warna yang sangat menawan..rahsianya? Gunakanlah serbuk cili yang diimport dari Korea..

Ini selepas digaulkan dengan bahan-bahan sampingan

Siap sediakan pes, aku biarkan dulu sebelum campurkan kobis. Bagi pes tu mesra dan bagi air dari kobis tos. Sebelum tak terfikir nak buat, hari ni mentol menyala atas kepala dengan bunyi ting! Hehehe... Lepas perah tu aku letakkan lesung batu beserta alunya sekali untuk menekan keluar lebihan air. Berhasil! Apa pasallah tak terfikir sebelum ni?

Ada seketul lagi alu yang paling besar, nasib baik besen ni tak berapa nak kukuh je, kalau tak memang aku letak semua sekali kasi air dari kobis tu keluar laju sikit..

Selesai gaul kobis dengan pes, biarkan dulu dalam 2 jam baru ke peringkat pembungkusan. Sementara nak tunggu pes dan kobis mesra, kaut sikit untuk ratah. Pengaruh tengok rancangan masak Korea banyak sangat, gigih aku beli bijan ni dan bakar sebelum digunakan. Nak sangan atas dapur malas. Sambil ratah kimchi yang ditabur bijan ni, sambil layan Korea dua episod sebelum mula membungkus.

Satu senduk untuk yours truly

Bungkusan untuk yang dipos dan serahan secara terus berbeza. Kalau pos, aku masukkan dalam ziplock baru letak dalam balang plastik dan balang tu dibalut dengan bubble wrap. Langkah keselamatan kena jaga sebab perjalanannya penuh liku. Kalau pecah balang tu, memang pening kepala orang pejabat pos sebab bau kimchi ni agak menusuk juga. Hehehe.. Untuk serahan secara terus, aku guna balang cantik sikitlah. Sukatan pun ada dua pilihan; 200gm atau 400gm. Tapi memang aku akan bagi lebih la dari sukatan yang ditentukan tu sebab nak bagi penuh balang. Tempahan seterusnya kena tungguuu...

Siap dibungkus dan sedia untuk diedarkan.

No comments: