Engagement Fund ;)

Wednesday, 7 September 2016

Jadi Jutawan Kejap Je

Bila saja perbelanjaan sepanjang berada di Korea nanti dibincangkan dan dibentangkan, maka bolehlah kami tokok tambah mana-mana yang bocor. Waktu perbincangan diadakan, kadar tukaran matawang adalah sekitar 3.50 hingga 3.60 berdasarkan semakan di internet dan beberapa pengurup wang yang kami lihat.

Cadangnya nak selesaikan dulu pusingan kutu bulan ni baru nak tukar untuk pusingan pertama. Malangnya, bila nilai tukaran diperiksa pada Sabtu lepas, tiba-tiba KRW mencanak naik bagaikan limpahan banjir; naik dengan pantas dan tak turun-turun. Bila aku saja-saja tanya di salah satu pengurup wang di Banting, nilai KRW naik kerana musim raya haji menghampiri. Aik, raya haji yang muncul, duit Korea yang naik?

Otak pun mula bekerja mengaitkan raya haji dan kenaikan nilai KRW. Tinggg! Raya haji + cuti sekolah = Orang Malaysia beraya di Korea. Hahahaha... Ye, aku syak ramai yang bakal melancong ke sana pada musim cuti sekolah akan datang maka beramai-ramailah mereka itu menukarkan Ringgit Malaysia kepada Korean Won. Nampak tak? Permintaan meningkat, stok sikit = Naik harga. Permintaan berkurang, stok banyak = Turun harga. USD pula yang asyik turun dan turun sebab dekat Amareka tak ada Lee Jong Suk dengan Park Shin Hye. Eh? Hahahaha...

Maka aku pun keluarkan teori bahawa kami perlu tunggu hingga semua orang habis melancong di Korea dan kembali ke Malaysia dan tiada lagi permintaan tukaran KRW yang aktif supaya nilainya susut sedikit. Tapi cuak jugalah sebab nilai matawang ni tak boleh dijangka turun naiknya. Jadi kelam kabut juga cari pengurup wang yang menawarkan harga paling murah. Walaupun bezanya nampak sikit, tapi kalau nak tukar banyak, dia jadi sakitnya tuh di sini juga.

Kelam kabut aku dengan Aten cari tempat murah selain Mid Valley. Ramai orang cakap kalau nak paling murah memang di Mid Valley tapi kena ambil kira juga kos minyak, tol, dan lain-lain perbelanjaan juga kalau nak ke sana. Lainlah kalau memang lalu lalang dekat Mid Valley tu.

Kadar tukaran di Banting paling rendah adalah 3.80 pada hari Sabtu lepas dan ada satu tempat menawarkan kadar 3.90. Berani kan letak harga tinggi-tinggi? Hari ni, kadar tu dah naik sampai 3.85. Selepas carian gigih dibuat, jumpa satu tempat di Shah Alam yang menawarkan harga paling rendah di antara yang terendah iaitu 3.77. Nilai dia bukan bertukar ikut hari ye tapi ikut sukati dia. Hahahaha.. Okey, tak kelakar. Dia berubah ikut tempoh waktu; pagi lain, tengah hari lain, petang lain.

Alhamdulillah walaupun kadarnya naik bila dah petang, kami masih dapat kadar waktu pagi tu sebab tengah hari tadi Aten dah pergi riki dulu. Itupun, stok tak ada! P.A.N.I.K. Memang banyak tempat tak ada stok dan ada beberapa tempat yang aku tanya nilai tawaran pun cakap bahawa stok terhad. Akhirnya kami buat keputusan untuk tukar je dulu mana yang ada. Dapatlah merasa jadi jutawan kejap. Yelah, nilai KRW kan besar, duit kita baru ribu duit dia dah jadi juta. Jadilah merasa pegang duit juta-juta walaupun nilai Won. Hehehehe..
Dapat duit besar semuanya

Nah, Cik Farah kongsi tips dalam bentuk isi penting. Tapi ini tips berdasarkan pemerhatian dan kesimpulan sendiri tau. Kalau tak betul jangan marah.

  1. Waktu terbaik untuk menukar duit adalah pada awal tahun kerana berdasarkan pemerhatian, nilainya susut agak banyak.
  2. Elakkan menukar duit sebelum musim cuti sekiranya lawatan anda bukanlah pada waktu cuti kerana permintaan pada waktu itu sangat tinggi dan menyebabkan nilainya juga naik. (seperti yang berlaku sekarang)
  3. Rajin-rajin buat kajian dan cari tempat termurah untuk menukar duit. Tidak perlu ke sana untuk bertanya, memadailah dengan panggilan telefon atau ada juga yang boleh dihubungi melalui WhatsApp.
  4. Paling penting, bila dah ada duitnya, kau tukar jelah sebab takut kalau tunggu-tunggu nak murah, langsung tak dapat pulak.

Itulah dia cerita tentang duit yang memang boleh buat stress. Tahun 2014 dulu, aku dapat nilai 3.15 untuk tukaran pada bulan Mac. Bak kata Jessie kawan Aten, "Jangan pandang belakang." Hahaha.. Baiklah. Sebab kami tak selalu tukar duit banyak-banyak ni, cuak dia lain macam. Sebaik saja duit dihulurkan, terus buat gaya cuak sambil mengira jumlah yang diberikan dengan menghadap dinding. Itu Aten. Bila Aten hulur duit tu dekat aku untuk pengesahan kali kedua, keluar soalan pandai yang berbunyi, "Macam mana nak kira ni?" #hantukkepalakedinding. Hahaha.. Suci sangat soalan kau tu Farah. Baru sejuta yang pertama tu. Kahkahkah... Orang lain tukar duit lagi banyak, tenang je semua. Kitorang yang tukar tak berapa nak banyak ni pula yang gelabah.

No comments: