Engagement Fund ;)

Monday, 31 October 2016

Hotteok Tak Manis (?)

Ini satu lagi sindrom rindu teruk yang berlaku. Antara makanan wajib makan yang masuk dalam senarai tempoh hari adalah hotteok tapi tak jumpa la pulak. Makanya, bila balik sini, asyik teringat-ingat dekat hotteok.

Tiba-tiba pada suatu hari, termasuk dalam satu blog ni dan nampak ada resepi hotteok. Eh eh, macam nak suruh buat je ni? Tengok bahan pun tak adalah renyah mana. Baca langkah demi langkah pun, tak leceh. Gigih aku beli barang dekat Speedmart dan memaksa diri untuk rajin menguli tepung. Meh tengok resepi meh..

Hotteok

Sumber: Blogger SueMiezi
Sumber asal: Maangchi

Bahan-bahan doh:
2 cawan tepung serbaguna - guna tepung naik sendiri cap MFM
1 cawan air suam
2 sudu besar gula putih
2 camca yis kering
1/2 camca garam
1 sudu besar minyak sayur - guna minyak zaitun je

Cara buat doh:
1. Campurkan air suam dengan gula pasir, yis, garam dan minyak sayur dalam satu mangkuk besar dan kacau bagi sebati.
2. Kemudian, masukkan tepung dan kacau guna senduk atau gaul pakai tangan.
3. Tutup mangkuk berisi doh dan biarkan pada suhu bilik selama 1 jam.
4. Selepas 1 jam, doh akan naik sekali ganda. Uli doh untuk keluarkan udara dan rehatkan lagi selama 10 - 20 minit.

Intinya boleh ikut suka hati. Biasanya guna gula perang dan kacang tumbuk. Aku letak labu lenyek yang digaul dengan madu dan sedikit badam tumbuk sebab tak ada gula perang. Lain kali kena guna gula perang dan kena letak BANYAK sebab kejadian hotteok aku ni tak manis langsung. Hahahaha.. Bajet labu dah manis kan? Memang tenggelam kemanisan labu dalam doh.

Cara buat hotteok:
1. Uli doh untuk buang lebihan udara.
2. Taburkan tepung atas papan pencanai dan letakkan doh untuk diuli lagi.
3. Bahagikan doh kepada 8 bahagian atau mengikut saiz kesukaan.
4. Ambil satu bebola doh dan leperkan.
5. Masukkan inti dan tutup doh. Bentukkan doh menjadi bebola. Buat sampai habis.
6. Panaskan kuali dan masukkan minyak sayur.
7. Letakkan satu bebola dalam kuali dan leperkan dengan sudip.
8. Masak untuk kedua-dua belah dan angkat dan hidangkan.

Kejadian hotteok aku adalah sangat cantik cuma tak manis jelah. Bila jadi tak manis, mulalah aku bayangkan inti sardin atau sambal ikan bilis dalam doh tu. Hahahaha.. Tekak Jawa sangat! Tapi memang sesuai pun kalau tukar inti dan silalah cuba ye awak semua. Senang kacang je dan sedap dah tentunya.

No comments: