Engagement Fund ;)

Monday, 24 October 2016

Rasmi Periuk Korea Dulu

Nampak gaya, macam lama lagi nak bertemu cahaya di hujung Terowong Seoul Autumn Noob. Minggu lepas dah karang dua entri untuk hari pertama, tapi ada masa otak beku - tak dapat nak cari perkataan Bahasa Melayu yang tepat untuk perkataan-perkataan Inggeris yang ada. Kebelakangan ni memang kerap gejala ni berlaku; nampak gaya kena mula balik baca buku Bahasa Melayu ni. Tengok drama Korea pun pakai sari kata Inggeris, memang mereputlah kosa kata Melayu.

Apa pun, cerita akan diteruskan juga untuk bacaan diri sendiri pada masa akan datang. Cuma itulah, kali ni tak banyak sangat buat catatan sebab terlalu banyak aksi spontan sepanjang berjalan di sana. Mentang-mentang ada geng yang pandai baca Hangul dan pandai cakap Korea, memang banyak bergantung pada papan tanda lepas tu malas nak tulis dalam jurnal.

Gambar-gambar pun sikit-sikit muat turun dari Moments sebab asyiklah tiba-tiba aplikasi tu tutup sendiri. Tak tahulah sebab aplikasi atau sebab Yong. Nak ambil gambar yang original, mereput lagi sekali sebab dua orang dah balik ke Borneo sana dan seorang dekat Ampang. Yang dekat Ampang tu bolehlah nak pergi tapi kena bawa duit banyak sebab nanti nak singgah makan pajeon dengan tteokbokki dekat Sweetree. Tak ada duit, tak dapatlah makan kan? Eh! Menyelam sambil minum air katanya. Hahahaha.. Seorang lagi dekat je ni ha, kampung sebelah je tapi kena buat temujanji juga nak jumpa. Hai orang kampung sebelah tu! *lambai tangan*

Sebelum lagi banyak melalut, marilah kembali ke pangkal terowong. Nak cerita pasal periuk beli dekat Pasar Kwang Jang yang jjang tu je pun. Memang dah niat nak beli pun periuk macam ni dekat sana. Mula-mula jumpa dekat daiso dekat jalan masuk ke tempat penginapan, tapi sebab pergi situ nak beli payung dan lepas tu nak jalan jauh, tidaklah teman beli.

Pandangan dari atas

Kalau tak silap dekat daiso tu dia jual 3000 Won tapi macam nipis sikit. Yang ni harga dia 5000 Won dan sepertinya lebih tebal. Kaut! Kalau bawa beg yang boleh isi Kwon Sang Woo tu, wajib aku beli yang saiz lagi besar. Ini masak mee segera campur kimchi dua minggu lepas. Cuaca pula mendung-mendung, sejuk lepas hujan, memang layan makan macam ni.

Dekat sikit, bagi nampak kimchi tu

No comments: